Jumaat, 9 Julai 2021

Memetik Sebiji Puisi di Taman Rumi


Ada satu puisi yang ditulis oleh Rumi yang menurut saya sangat kuat pengaruhnya pada diri saya. Puisi ini diletakkan pada bahagian awal dalam naskah The Essential Rumi (di mukasurat ketiga pada naskah saya), naskah yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi dengan nuansa lirikal ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ini dilakukan oleh Coleman Barks. Walaupun ada yang mengkritik Barks atas terjemahan dan tafsirannya pada karya-karya Rumi, saya kira beliau mempunyai sumbangan yang signifikan dalam membuka pintu pembaca yang tidak mempunyai ilmu Bahasa Farsi untuk masuk bertandang di taman pemikiran karyawan agung Rumi ini. Minum dari puisi-puisinya yang manis dan mengkhayalkan, pada masa yang sama mengambil pulang beberapa putik pengajaran.

Saya pernah membaca puisi tersebut kepada kekasih saya. Pada ketika itu beliau sedang mencurahkan perasaan pada saya perihal masalah-masalah hidupnya. Saya ingin memberikannya kekuatan dan semangat dari rangkap tersebut. Apabila dia mendengar sahaja bait-bait puisi tersebut, dia lantas menangis. Bait tersebut berbunyi:

“Tutuplah kedua matamu wahai kekasihku,
Agar kau bisa melihat dengan mata hatimu,
Mengapa kau masih memilih dipenjara duka?
Sedangkan pintu bahagia sudah luas dibuka”

Bait ini saya terjemahkan secara lirikal juga, tidak literal. Terjemahan saya atas terjemahan Coleman Barks yang menterjemahkan Rumi. Terjemahan atas terjemahan. Namun saya kira maknanya tetap disitu. Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara yang baharu, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah kepada perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan lalu kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada di tangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkahlah keluar. Ya, bait-bait puisi Rumi ini membawa falsafah kebebasan.

Saya juga merasakan dengan kuat sekali, bahawa kadangkala keinginan untuk bebas itu memakan jiwa saya dengan begitu marak sekali. Sejak kecil kita diajar untuk tunduk dan taat, unjuk menjiwai jiwa hamba, untuk menurut apa yang ditentukan pada kita. Tetapi apabila dewasa, agensi kreatif dalam diri kita, keinginan untuk bebas yang ditanam Tuhan dalam jiwa kita sebagai sebahagian sifat manusia, mereka memberontak. Mereka mahu bebas mengembara, menjumpai, mencari, mencuba, mengekspresi, mereka mahu jiwa mereka terbang.

Maka ketika kita merasakan dunia ini terlalu mencengkam. Seperti takdirnya sudah ditetapkan. Beranikanlah diri untuk berpegang kepada bisikan kebebasan, untuk berangkat dari takdir yang membosankan kepada takdir baharu yang lebih menghidupkan. Tiada siapa yang dapat memenjarakan kita jika kita memilih untuk memegang kuncinya.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan