Sabtu, 4 Disember 2021

Diari Atuk: Kembali Ke Tahun 1972 di Changkat Tin, Perak

 

Pada 31 Oktober 2021, akhirnya berjaya juga aku pergi menziarahi Mak Yang di Bandar Enstek. Mak Yang merupakan kakak kepada arwah ayah, beliau diserang strok semasa PKP. Sebaik sahaja keluar pengumuman kebenaran untuk merentas negeri, menziarahi Mak Yang merupakan perkara pertama yang bermain di mindaku. Selain menziarah, aku juga punya hasrat menemu bual Mak Yang. Telah lama aku pendam hasrat untuk menggali semula sejarah keluarga di belah ayah yang aku rasakan sampai hari ini aku belum memahami dan mengetahuinya sepenuhnya. 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, ketika aku menemu ramah Mak Yang, Pak Yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik. Mungkin beliau melihat kesungguhanku, atau mungkin kasihan pada diriku yang begitu clueless tentang sejarah keluarga. Pak Yang keluar dengan sebuah diari, diari atukku sendiri, Syed Mohd Jiplus. Pak Yang menyerahkan kepadaku diari tersebut. Atuk pendiam orangnya tapi suka menulis. Menurut Mak Yang dan Mak Chu, atuk selalu atuk menulis diarinya di kalendar kuda. Tapi rupanya ada juga dalam bentuk diari buku. Menurut Pak Yang, Kampung Changkat Tin awalnya adalah kampung penempatan orang Melayu, mereka dikumpulkan di situ semasa ancaman komunis. Manakala orang Cina pada waktu itu diletakkan di Kampung Timah. Menurut Pak Yang, atuk dahulu belajar di sekolah pondok, setakat ini tiada siapa yang dapat memastikan di mana, tetapi ada yang mengkhabarkan sekolah pondok tersebut di Kedah.

Balik dari perjumpaan tersebut, lama juga masa berlalu sebelum aku mula membuka dan mengkaji diari atuk. Hasratku adalah untuk menjadikan diari atuk ini sebagai asas kepada penulisan sejarah keluarga. Walaupun belum jelas projek ini akan membawa aku ke mana. Mungkin juga diari ini akan aku taip semula, ditranskripkan ke dalam bentuk digital dan cetak untuk simpanan sejarah dan arkib. Bagi aku ia bukan sahaja penting buat keluarga, tetapi juga sejarah setempat bagi Changkat Tin, Perak kerana atuk merupakan pemimpin tempatan di kawasannya. Beliau merupakan imam masjid dan terlibat dengan banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Changkat Tin. Semua ini ada dirakam dalam diarinya. Proses transkripsi ini telah aku mulakan, dan aku merasakan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan, kerana ada sebahagian tulisan tangan atuk sukar ditafsir, juga sebahagiannya di tulis dalam tulisan jawi. Aku juga berhasrat ingin menuliskan sedikit komentari berdasarkan kefahamanku juga maklumat tambahan dari ahli keluarga lain. Berikut aku kongsikan sedikit penelitian aku berdasarkan progres penulisan buat masa kini.

..............................................................................................................................................................

Nota Suntingan

Diari ini ditulis pada buku diari berwarna merah berkulit keras. Di muka hadapan diari tertulis tahun “1979”, ia merupakan buku diari yang dikeluarkan oleh syarikat PERNAS Trading Sdn. Berhad. Ia pada asalnya ditulis tangan, ada sebahagian tulisan ditulis dengan bersambung dan tidak dapat dipastikan dengan tepat perkataan yang ditulis. Dalam masalah ini, usaha terbaik telah dilakukan untuk menentukan perkataan tersebut dengan mengambil kira bentuk tulisan juga makna dan konteks ayat.

Dari segi aspek bahasa, ejaan asal yang ditulis oleh Syed Mohd. Jiplus dikekalkan bagi menjaga keaslian. Keaslian ini dirasakan penting untuk dikekalkan bagi memberi gambaran bagaimana orang pada zaman tersebut menulis, bahasa yang mereka gunakan, dan juga ejaan yang mereka gunakan. Penggunaan singkatan juga dikekalkan kecuali pada tempat-tempat yang dirasakan perlu dijelaskan untuk mengelakkan kekeliruan, namun pengubahan ini dibuat dengan minimum bagi mengekalkan gaya asal penulis.

Pada setiap bab-bab, sebelum dinyatakan tulisan asal diari, komentar umum diberikan bagi menjelaskan apa yang berlaku pada bab tersebut, pengenalan watak-watak yang disebut, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bab tersebut. Pengenalan awal ini merupakan komentar editor, dan bukan merupakan teks asal yang terdapat dalam diari penulis. Ia diletakkan bagi tujuan memudahkan kefahaman bagi pembaca yang mungkin tidak arif dengan penulis dan tidak mengenali watak-wataknya dengan dekat secara peribadi.

Naskah diari ini disunting oleh cucunda Syed Mohd Jiplus, iaitu Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair. Naskah ini pada asalnya disimpan oleh Encik Zulkilpully (menantu Syed Mohd Jiplus, beliau berkahwin dengan Sharipah Hasnah). Ia diserahkan kepada penyunting pada 31 Oktober 2021 dalam satu perjumpaan ziarah di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Walaupun buku diari ini bertahun 1979, isi kandungannya mengandungi tahun-tahun yang lebih awal. Malah entri terawal dalam diari ini adalah pada tahun 1972. Saya berpandangan ia adalah entri yang telah disalin semula dari catitan beliau di tempat lain. Menurut anak-anak Syed Mohd Jiplus, beliau selalunya mencatat di kalendar kuda di rumah. Besar kemungkinan di hujung tahun catatan ini disalin semula ke dalam diari ini apabila kalendar tahunan bertukar. Teori ini dikuatkan lagi dengan cara penulisan diari, semua entri pada tahun tersebut tersusun, dengan gaya penulisan yang sama, nampak seperti ia bukan ditulis secara harian tetapi sekali gus. Dakwat pen yang digunakan juga sekata, tanpa ada perubahan stail.

Buku ini juga tidak disusun semula dalam bentuk kronologi, sebaliknya mengekalkan susunan asal entri jurnal seperti yang ditulis oleh Syed Mohd Jiplus sendiri.

Tahun 1972

Tahun 1972 merupakan tahun pertama yang dicatatkan dalam diari ini. Namun demikian, ia tidak dicatat menurut kronologi, kerana selepas 1972, tahun seterusnya yang dicatatkan adalah tahun 1971. Ini menguatkan lagi teori bahawa diari ini tidak ditulis secara harian. Sebaliknya disalin semula dari catatan di tempat lain. 

Zul yang disebutkan dalam diari pada tahun ini adalah merujuk kepada menantu beliau Zulkilpully yang berkahwin dengan Sharipah Hasnah. Menurut Jasmin binti Jalaludin, cucu kepada Syed Mohd Jiplus, Pak Yang (panggilan kepada Zulkilpully oleh anak-anak saudara) pernah membawanya ke auditorium angkasapuri pada tahun 80-an untuk melihat rakaman Hiburan Minggu Ini. Menurut Jasmin antara kenangan yang tak dapat dilupakan adalah pernah menaiki lif bersama Fauziah Latiff. Jasmin juga menceritakan bagaimana di hujung rancangan RTM, biasanya beliau akan menunggu untuk melihat di bahagian credit untuk mencari nama Pak Yang sebagai jurukamera. 

............................................................................................................................................................

Projek ini bukan sahaja merupakan satu projek sejarah buat saya, tetapi ia adalah satu perjalanan mencari diri, menjejaki semula akar diri. Saya tidak pasti bila projek ini bakal siap, malah saya tidak pasti adakah ia boleh disiapkan. Tetapi saya yakin, projek ini mampu memberikan saya satu pengetahuan tentang keluarga, tentang diri, walaupun saya belum tahu, apakah yang saya akan dapat fahami itu. Bagi saya itulah tujuan kembara, projek ini adalah kembara peribadi saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan