Ahad, 5 Disember 2021

Sifat Lupa Manusia Adalah Satu Anugerah


Kita sering mengaitkan sifat lupa dalam konotasi yang negatif. Bagi kita, kuat ingatan merupakan satu sifat yang baik, yang berguna untuk manusia. Namun sebenarnya, sifat lupa yang diciptakan Tuhan buat manusia bukanlah satu sifat yang sia-sia. Ia mempunyai tujuan yang penting bagi manusia untuk terus hidup dengan sihat dan normal. Sifat lupa manusia merupakan sifat yang penting, tanpanya manusia akan menjadi gila, atau mungkin hilang semangat untuk hidup, atau merasakan hidup ini tiada maknanya.

Saya akan terangkan pendapat saya ini dengan lebih mendalam.

Saya menyedari hal ini ketika saya dirundung depresi. Saat itu saya kehilangan kawan-kawan teman sepermainan hidup. Mungkin kerana saya berada di satu fasa kehidupan dimana rakan-rakan dan teman rapat mula satu per satu meninggalkan dunia. Sebenarnya fasa ini berlaku kepada semua manusia, malah mereka yang lebih tua dari saya mungkin sudah kehilangan lebih ramai rakan dan sahabat, sehingga kehilangan itu tidak lagi merundung mereka ke dalam depresi. 

Namun bagi saya yang masih baru dengan keadaan ini, ombak depresi menghentam saya dengan kuat. Hentakannya mematikan deria saya untuk melakukan apa-apa. Berminggu-minggu saya terasa tawar. Semua perkara seperti tidak lagi menarik minat saya. Jika dahulu, jika saya keseorangan bersama komputer, tangan saya akan ligat menulis dan menaip sesuatu, pada ketika itu saya tidak mampu menulis. Ada juga idea yang datang, tetapi saya tak mampu tuliskan. Saya tiada semangat langsung untuk menulis. Idea yang datang sekadar saya notakan, mungkin jika semangat kembali datang akan saya tuliskan dan huraikan.

Lama juga saya lemas dalam perasaan ini, hingga kadangkala saya merasakan mungkin sampai disini sahaja hidup saya dimana saya boleh merasakan kebahagiaan. Selepas ini hidup saya hanya akan disedut dengan kemurungan. Setiap hari saya akan teringat-ingat kawan saya yang telah pergi. Tak berjaya dilupakan, tak berjaya di-nyah-sedih-kan hati saya. Saya cuba lazimi solat berjemaah di masjid, saya fikir mungkin kehidupan ruh saya sudah kering, jadi ia perlu dibasahkan semula. Saya juga cuba berhubung semula dengan kawan-kawan yang masih hidup. Berjumpa dengan mereka, bertukar cerita dan ketawa, perlahan-lahan membaiki jiwa saya. Ada juga masanya saya curahkan kesedihan itu ke dalam bentuk sukan, supaya kemurungan itu menjadi peluh, yang boleh saya basuh.

Lama ke lamaan, sedikit demi sedikit saya berjaya melupakan perasaan sedih yang menghambat saya di lorong depresi. Selera menulis saya kembali perlahan-lahan datang. Semangat untuk hidup dengan gembira dan ceria perlahan-lahan pulih. Kesedihan tidak lagi datang setiap hari berulang-ulang, merempuh hati saya seperti mana ombak merempuh pantai. Saya sudah boleh melupakannya. Kebolehan untuk melupakan ini bagi saya merupakan satu anugerah. Bukan melupakan sahabat-sahabat yang saya cintai yang sudah mati. Tetapi melupakan kesedihan yang datang dengan pengetahuan bahawa mereka telah tiada. Walaupun kesedihan itu masih ada bakinya, mana mungkin kita tidak sedih dengan kehilangan orang-orang yang kita sayang. Tetapi kebolehan untuk melupakan kesedihan yang dalam itu merupakan anugerah yang sangat berharga. Yang membantu saya.

Untuk hidup semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan