Jumaat, 25 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 51: Kita Tiada Masa, Mereka Sudah Dewasa


Pada suatu petang, selepas anak-anak balik rumah dari sekolah dan tadika, mereka keluar bermain dengan kucing di luar. Aku melihat mereka dari tingkap, sekadar melihat. Tidak menganggu. Aku lihat Idlan yang berusia 4 tahun duduk sambil asyik melihat kucing. Aku terfikir bertapa kecilnya anak ini, tidak bersalah, tak tahu apa-apa. Aku terus melihat, sekadar menghayati permandangan anak yang masih kecil. Selagi "ada masa" aku mahu melihat anak kecil ini membesar. Bukan sekadar melihat, tapi melihat dengan sedar bahawa sebenarnya aku tak "ada masa", dan permandangan ini akan hilang tidak lama lagi. Tidak lama lagi mereka akan dewasa.

Dalam dialog harian, kadang-kadang kita selalu sebut "takpa, kita ada masa". Tanpa kita sedar bahawa sebenarnya kita tak punyai masa. Bahkan mungkin "masa" tersengih melihat kita yang mempunyai wishful thinking, merasakan kita memiliki apa yang kita sebenarnya tak ada.

Kadang kala aku suka mencatat perkara-perkara kecil dalam hidup, ada catatan yang saya buka untuk umum, banyak juga yang saya simpan sendiri. Sebab kadang-kadang kita rasa satu benda itu kecil, tak signifikan, tapi apabila beberapa "masa" berlalu, kita harap kita dapat mengingatinya semula, kita harap kita boleh ulanginya semula. Tapi kita tak mampu, sebab kita tak ada "masa", ia bukan milik kita. Menyedari hal ini, catatan-catatan kecil yang tak signifikan ini sebenarnya boleh menjadi kapsul masa. Walaupun mungkin bukan kapsul masa dari sudut hakikat, tapi tetap ia sedikit sebanyak dapat merawat keinginan kita untuk mengulangi masa lampau, mengingati benda-benda kecil dalam hidup yang membuatkan hidup terasa "hidup".

Masa mengubah segala-galanya. Apa yang kita anggap kecil hari ini akan diubah oleh masa, mungkin ia menjadi satu yang sangat besar berharga satu hari nanti, hingga kita mahu berikan seluruh hidup untuk mendapatkannya semula. Tiada manusia yang dapat bertahan melawan masa. Baik sultan yang penuh keagungan, jelitawan, hartawan, atau seorang ayah biasa, semuanya akan hancur seiring masa. Seratus tahun lagi yang tinggal hanya nama. Seribu tahun lagi, mungkin cucu-cicit kita pun tidak akan mengetahui nama kita siapa.

Ada ahli puisi yang menulis bahawa masa umpama pasir-pasir halus di tepi pantai, sekuat mana pun kita genggam, ia akan perlahan-lahan terlepas dari tangan kita. Hanya dalam cerita rekayasa manusia mampu menguasai masa, pergi ke masa belakang dan masa depan. Namun dalam kehidupan realiti, manusia masih dikuasai masa bukan sebaliknya.

Dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, cara kita menggunakan "masa" adalah segala-galanya. Kita perlu berhenti dari tergesa-gesa mahu ke hadapan, dan bila di hadapan, sentiasa meratapi masa lalu, ingin kembali ke belakang. Kita lupa untuk hidup sekarang. Oleh itu, aku sentiasa ingin duduk di tepi cermin itu, melihat anak kecil bermain kucing di luar rumah, kerana aku tidak mempunyai "masa". Sedangkan esok, anakku sudah dewasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan