Sabtu, 26 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 52: Kenapa Anak Tak Mahu Bersembang Dengan Ibubapa?


Apabila Amni masuk sekolah darjah 1, setiap hari, apabila menjemputnya pulang, dia akan bercerita tentang apa yang dibuatnya di sekolah. Antara soalan yang aku tanya adalah siapakah nama kawannya di sekolah? Semasa di tadika, aku mengenali nama kawan-kawannya, dari cerita-ceritanya, walaupun mungkin aku tidak mengenali muka kawan-kawannya itu. Bila disebut nama kawan-kawan, dia merasakan bahawa ayahnya dekat dengan dirinya, tahu dunianya, kenal rakan-rakannya.

Jadi apabila mula bersekolah, itu adalah antara soalan harian aku. Namun hari-hari awal, dia masih tidak mengingati nama kawan-kawannya. Walaupun semasa aku menjemputnya pulang, dia mesti sedang bersembang dengan kawan-kawannya. Kadang-kadang jalan-jalan bersama. Katanya dia masih baharu, tak ingat lagi nama kawan. Hinggalah hari keempat, baru dia berjaya memberi aku sebuah nama.

"Kawan kakak nama Nurin".

Berkawan di sekolah merupakan satu pengalaman yang berharga. Jadi aku gembira apabila Amni mempunyai kawan. Kawan ini bagi aku merupakan komponen penting dalam pembangunan kehidupan seseorang. Dengan persahabatan bersama kawan, kita dapat meneroka satu dunia sosial yang baharu, yang tidak sama dengan dunia sosial kita bersama ibu bapa. Dengan ibu bapa kita sentiasa harus berhati-hati, kerana jika kita tersilap, kita mungkin jatuh di daerah derhaka. Tetapi dengan kawan pergaulan kita lebih bebas, lebih selesa, lebih natural. Kita boleh teroka dan bersembang perkara-perkara yang mungkin kita tidak akan buka bersama ibu bapa.

Kadang-kadang aku berasa aneh dengan ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka dengan tegas, segalanya perlu dilalui dengan hormat, tanpa ada ruang untuk anak-anak bersembang dengan ibu bapa. Yang dipentingkan dalam pendidikan adalah ketaatan. Apabila anak-anak ini besar, ibu bapa tadi hairan, kenapa anak-anak ini tidak mahu bersembang dengan mereka? Jawapannya cukup jelas. Mereka dididik untuk taat, bukan untuk bersembang meluahkan perasaan. Ibu bapa hanya dilihat sebagai satu sosok untuk ditaati. Namun sebenarnya, kita bukanlah harus memilih cara pendidikan anak antara mendidik dengan tegas dan mendidik dengan memahami. Tetapi kita boleh mendidik menggunakan jalan tengah, ada ketika kita tegas, dan ada ketika kita terbuka dengan mereka, beri mereka ruang menerangkan keadaan mereka, perasaan mereka, dan keinginan mereka.

Namun sebenarnya, apa pun cara yang kita pilih, hubungan sosial kita dengan anak-anak tidak akan sama dengan hubungan mereka dengan kawan-kawan. Bagi saya, hakikat ini tidak perlu disedihkan. Kerana memang ibu bapa mempunyai fungsi yang berbeza berbanding kawan-kawan dalam kehidupan seorang anak. Cuma mungkin peranan ibu bapa adalah menyediakan peluang bagi anak-anak untuk memilih kawan-kawan yang baik dalam hidupnya. Walaupun pilihan itu tidak dapat dibuat oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka dapat memberi panduan kepada mereka, mengajar mereka memilih. Kerana kawan-kawan ini mempunyai impak yang besar dalam hidup anak-anak.

Semakin seorang anak itu besar, dia semakin boleh memahami. Kapasitinya untuk faham sesuatu perkara meningkat, dia mula mempersoalkan sebab bagi sesuatu perkara berbanding mengikutinya tanpa soal. Oleh itu, seiring peningkatan usia anak-anak, ibu bapa perlu mengurangkan teguran yang berbentuk tegas dan memarahi, dan melebihkan teguran yang berbentuk memahami. Melalui dialog dan bersembang. Semakin anak kita besar, semakin kita perlu berkawan dengan mereka, meskipun kita tidak akan sama dengan kawan-kawan sebaya dengan mereka. Jika ini dilakukan, anak-anak tadi akan lebih selesa untuk bersembang dengan kita apabila mereka sudah besar. Tidaklah nanti bila dewasa mereka mati kutu berjumpa kita, tak tahu apa yang ingin disembangkan kerana mereka tak punya pengalaman, tidak dididik untuk bersembang dengan ibu bapa.

Jadi jangan disalahkan anak-anak yang tidak bersembang dengan ibu bapa mereka apabila mereka sudah dewasa. Besar kemungkinan mereka hanya dididik dengan taat, patuh, dan hormat. Itu sahaja elemen yang ditekankan dalam pendidikan mereka. Tiada ruang untuk mereka membuka perasaan bersama ibu bapa. Apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak akan berjaya membuka perasaan mereka, malah jika disuruh sekali pun, mereka akan merasa awkward

Tidak seperti sebahagian anak-anak lain, Amni gembira sahaja memulakan persekolahan pada hari pertama hinggalah tamat minggu transisi. Dia tidak menangis pergi ke sekolah, tidak perlu dipaksa, malah bangun dengan mudah pada pagi hari, harapnya semangatnya kekal seperti ini hingga hari akhir, apabila dia tamat sesi persekolahan. Tugasku pula adalah bertanya apa yang dilakukan di sekolah, dan berbincang dengannya akan apa-apa persoalan yang bermain di mindanya. Apabila anak masuk ke sekolah, aku kira cara kita menjadi ibu bapa juga perlu berubah. Perlu banyakkan elemen berkawan dengan anak-anak berbanding hanya mengarah dan memarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan