Ahad, 2 Oktober 2022

Otaknya Tua Sebelum Umurnya

 

Pada pandangan saya, tua atau muda seseorang itu bergantung kepada mindanya. Minda yang telah tua adalah minda “jangan”. Semuanya jangan, jangan buat itu, jangan buat ini. Mereka sudah selesa dengan cara lama. Tak mahu berubah dan mahu semuanya sama seperti purbakala, lagi purba lagi mereka suka. Walaupun kadangkala usianya masih muda, badannya masih kuat, fizikalnya masih sihat, jika fikirannya begitu, mereka telah tua sebelum umurnya. Dan bisa kemungkinan hidupnya tiada beza dengan orang yang mati, kerana semuanya statik dan tiada sumbangan pada masyarakat.

Tetapi ada juga orang tua yang mindanya muda. Berbeza dengan minda “jangan”, minda orang muda adalah minda “cuba”. Dia takkan terkesan dengan andaian-andaian manusia. Dia takkan terikut-ikut dengan ketakutan ciptaan fantasi orang berminda tua. Baginya dalam hidup ini hanya ada dua keputusan sahaja. Jika berjaya dia anggap itu adalah kemenangan. Jika tidak berjaya dia akan belajar. Dia tak mungkin gagal, hanya menang atau belajar.

Minda “cuba” ini biasanya minda yang menongkah arus. Kebanyakan manusia mempunyai “crowd mentality”, dia tidak mahu dan malas buat keputusan sendiri. Dia hanya ikut majoriti dan tak mahu menyatakan pendirian. Jadi dia akan hanya mengikut suara yang dia dengar paling kuat. Jika suara yang paling kuat adalah suara “jangan” jadi dia pun hanya mengikut seperti kawanan kambing, dan duduklah dia dalam karavan yang tidak mahu berpindah, selesa dengan air dan rumput yang sedikit.

Minda “cuba” tak akan duduk dalam karavan seperti ini. Kerana baginya ia adalah suasana yang membosankan, tiada cabaran, dan tiada peningkatan. Baginya hidup adalah peluang dan usaha. Untuk mencapai sesuatu mestilah ada sedikit susah payah, barulah bermakna. Dia tetap berjuang meski pun dia berseorangan, dia tidak akan mengikut majoriti jika majoriti itu mengajak kepada kelemahan dan kelemauan. Jika belum mencuba pun sudah takut itu dan ini, baginya itu bukan hidup yang dia mahukan, orang muda pantang kalah sebelum berjuang. Apalah erti hidup jika menjadi kambing-kambing yang kenyang dan menunggu masa untuk disembelih. Hidup terlalu berharga untuk dihabiskan dengan kebosanan.

Hidup ini memang kadang-kala keras, tetapi bukan bererti kita perlu melemah. Jika hidup menjadi keras, kita perlu menjadi lebih keras dari hidup. Itulah resam orang yang berjaya, mereka berani untuk menjadi lebih keras dari cabaran yang datang. Tidak bersama majoriti itu lumrah perjuangan dalam hidup. Biar teguh dengan cita-cita dan impian, jangan larut dalam kebosanan orang kebanyakan. Jika takut berkeseorangan, janganlah berjuang untuk sebuah impian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan