Ahad, 2 Oktober 2022

Solitude: Pencarian Diri


Kadang saya tertanya juga, kenapa kadangkala kita suka berseorangan? Kadang ketenangan itu tidak dijumpai dalam keramaian dan pendampingan, tetapi dijumpai jauh di dalam perut alam. Seperti kata-kata "you need to be lost to be found". Kita perlu "sesat" di dalam hutan belantara hijau untuk merenung diri. Kita bersendiri bukan kerana kita tidak menyukai atau membenci sesiapa, tetapi seolah itu fitrahnya. Bersendiri dalam solitude memberi kita ruang dan masa mencari dan mengenal diri.

Saya tidak begitu gemar perbahasan introvert-extrovert dalam hal ini, kerana pada saya perasaan tenang dari solitude ini ada pada semua manusia, walaupun mungkin dalam spektrum dan intensiti yang berbeza. Saya baru usai meneliti dan menghadam tulisan Ibnu Tufail, dalam makalahnya yang terkenal "Hayy ibn Yaqzan". Walaupun ada bahagian makalah ini yang saya kira terlalu filosofikal hingga sukar diterjemah oleh akal awam, namun olahan dan penerangan beliau tentang bagaimana solitude dapat membantu manusia mencapai pengetahuan yang sebenar amat menyegarkan.

Ia juga memberi saya perspektif baharu perihal kenapa manusia suka mencari ketenangan berseorangan. Suka ke tempat yang tiada orang seperti di dalam hutan dan belantara, di tepi sungai dan air terjun, di tepi pantai mendengar deruan ombak, tempat-tempat solitude ini berjaya melahirkan perasaan tenang dalam diri manusia yang tak dapat dihasilkan dari solusi, teknologi dan ciptaan moden manusia.

Bagi Ibnu Tufail, solitude merupakan ruang ideal manusia untuk berfikir dan mengembangkan pemikirannya. Beliau menerangkan, melalui allergori-allergori bahawa ilmu sebenar bukan sekadar ilmu yang dapat dicerap melalui deria, juga bukan sekadar logik, falsafah dan eksperimen minda. Tetapi juga merangkumi perasaan-perasaan yang kita rasai dalam solitude, perasaan yang membawa kita berjumpa dengan diri kita sendiri.

Antara allergori Ibnu Tufail yang paling jelas adalah sebuah pulau yang tidak didiami manusia. Solitude manusia di pulau ini, dengan keindahan alam ciptaan Tuhan merupakan habitat fitrah asli bagi pembangunan minda manusia jauh dari segala kekotoran dan korupsi masyarakat. Bersendiri diselubungi alam buana dapat membantu manusia jauh dari tarikan dan gangguan manusia lain, jadi dia dapat fokus dan memerhatikan dirinya. Merasai dirinya. Merasai hidup.

Bagi Ibnu Tufail, gua adalah simbol kepada tempat manusia bertafakkur dan berfikir. Bukan seperti pemahaman gua kita, gua dianggap tempat penuh kegelapan, kita masuk ke dalam gua hanya ketika pasukan bola yang kita minati tewas. Bagi Ibnu Tufail, gua adalah tempat kita meneroka diri kita, jauh dari hiruk pikuk manusia yang bising dengan urusan dunia mereka. Ia adalah tempat kita mengembara di dalam diri, dari pengembaraan ini kita berpeluang menjumpai ketenangan.

Bagi saya tafsiran dan allergori Ibnu Tufail ini lebih memuaskan dalam menafsirkan sebab manusia suka mencari masa bersendiri. Juga bercuti di tempat-tempat yang jauh dari manusia lain. Kerana meski pun masyarakat menyuruh kita berlari-lari mengejar dunia dan kerjaya, jauh dalam sudut hati kita, kita mempunyai kerinduan untuk bersendiri dalam ketenangan dan kebahagiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan