Khamis, 5 Januari 2023

Nota Awal Tahun


Tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu, aku tidak ada meletakkan apa-apa azam yang besar. Azamku seperti biasa, ingin hidup dengan lebih gembira dan bahagia. Dalam melaksanakan azam ini, ada beberapa strategi yang telah aku fikirkan. Dan di sini, aku ingin cuba meleraikannya.

Pertama, aku ingin kurangkan bergaduh terutamanya di media sosial. Namun, jika ada isu yang menarik untuk dibincangkan, akan aku cuba sertai. Dalam kata lain, aku hanya mahu melaburkan masa dan tenaga pada benda-benda yang dirasakan penting. Pastilah dalam dunia ini banyak perkara yang menarik dan penting, namun masa, usia, dan tenaga kita adalah finite. Tidak mungkin kita mampu membahaskan semuanya, mendalami semuanya. Kita akhirnya terpaksa memilih. Ha-Joon Chang pernah menyebut dalam satu syarahannya bahawa salah satu kelemahan menjadi warga dalam sistem demokrasi adalah kita harus mengambil tahu akan semua perkara, dari hal keselamatan, alam sekitar, politik, agama, ekonomi, harga barang, keadilan sosial, mustahil kita mampu memperjuangkan kesemuanya walaupun semuanya penting. Kita harus memilih. Pick your fight wisely.

Antara kata-kata Robert Fisk yang saya minati adalah ketika dia mengulas pandangan bahawa wartawan perlu tahu semua perkara. Beliau tidak bersetuju akan hal ini, kerana baginya seseorang itu perlu memilih satu bidang lapangan dan menjadi pakar dalamnya. Bukan cuba untuk mengetahui semuanya. Jika dia mahu mengetahui semua perkara, kata Fisk "he will know about everything, and everything about nothing". Atau dalam kata lain, dia hanya akan berjaya tahu benda yang remeh temeh sahaja pasal semua perkara, bukan pengetahuan yang mendalam dan bermakna.

Jadi dalam usahaku menjimatkan masa dan tenaga, juga menjadi lebih gembira dan bahagia, aku akan cuba memfokuskan tenagaku pada hal-hal yang aku minati sahaja. Seperti kata Edward Said, kita perlu mengenal pasti apa yang penting dalam hidup, dan mengasingkan benda-benda yang tidak penting. Barulah hidup lebih bermakna. Lebih berfokus. Lebih berjaya menyiapkan perkara-perkara yang kita suka. Aku juga akan berusaha untuk tidak memulakan projek-projek baharu, sebaliknya cuba melunaskan projek-projek yang tergendala. Tahun ini aku mahu lebih fokus untuk menghabiskan, bukan memulakan.

Kedua, aku kira aku merupakan manusia yang suka bernostalgia. Jika minda dibiarkan bersendirian, segera ia akan meliar melihat-lihat memori di belakang. Segala yang sudah lepas dan terlepas akan diikat di kaki, menjadikan langkah begitu berat. Bukan tidak sayang, bukan tidak rindu. tetapi tahun ini aku mahu cuba belajar melepaskan. Aku pasti orang-orang yang aku sayang, yang sudah tidak ada lagi di dunia ini mahukan aku terus melangkah. Jadi aku akan cuba melepaskan ikatan-ikatan nostalgia ini, cuba untuk hidup pada hari ini, bukan hidup dalam memori.

Perihal hidup hari ini sebenarnya telah banyak sekali aku tulis perihalnya. Kebanyakannya mengulang fikir idea Eckhart Tolle. Tahun ini aku perlu melakukan apa yang aku tuliskan. Practice what you preach bak kata orang Kedah. Kadang kita telah melakukannya, namun hidup memutar semula kita, perlahan-lahan diresapi semula dengan nostalgia. Oleh itu aku kira penting untuk kita menulis nota nasihat buat diri, untuk kita mengingatkan diri sendiri, janji apa yang telah kita sepakati.

Ketiga, aku ingin meneruskan gaya hidup yang sihat. Menjaga permakanan dan memastikan ada masa diperuntukkan untuk bersukan dan bersenam. Ini penting bukan sahaja untuk kesihatan tubuh badan, tetapi juga kesihatan mental dan pemikiran. Apabila kita bersukan, kita tidak statik untuk bernostalgia, tenaga-tenaga depresi juga dapat dialirkan keluar. Nikmat sihat adalah nikmat yang paling besar, ia adalah kekayaan yang sebenar. Maka wajib untuk kita menjaganya, tubuh kita adalah satu amanah, pinjaman untuk kita peliharanya dengan sebaiknya.

Jadi, ini sebenarnya adalah nota peringatan buat diriku pada awal tahun ini. Untuk digunakan sebagai tanda, sebelum aku melangkah lebih jauh. Tanpa sebarang tanda, kita tidak dapat mengukur sejauh mana kita telah pergi melangkah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan