Khamis, 23 Mei 2024

Hari Di Mana Aku Meninggalkan Gerakan Islam

 


Hari itu aku berjanji untuk berjumpa dengan seorang sahabat, beliau sudah tamat perkhidmatan di Sungai Petani dan akan berpindah ke Kelantan. Petang itu aku menunggunya di dalam kabin "Perhentian Kopi", sebuah kafe kopi hipster baharu yang terletak di Dataran Jam Besar, Sungai Petani. Oleh kerana sahabat tersebut datang lambat, aku mengambil keputusan untuk membaca buku sejarah tulisan pensyarahku di USM, perihal perantauan masyarakat Melayu pada zaman British ke Kerian, Perak. Menarik juga bukunya, antara migrasi yang disentuh, selain masyarakat Melayu, adalah migrasi orang Banjar ke Perak, oleh kerana atukku merupakan orang Banjar di Perak, buku tersebut sedikit sebanyak membuatkan aku merasakan aku adalah sebahagian dari sejarah tersebut.

Apabila sahabat tersebut tiba, kami bersembang banyak perihal gerakan Islam di Malaysia, terutamanya gerakan yang kami sendiri ikuti. Beliau meluahkan perasaannya, perihal mengapa beliau tidak lagi begitu berminat mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Perihal meninggalkan gerakan Islam ini merupakan fenomena yang selalu aku fikirkan, terutamanya dalam kalangan orang muda, gerakan Islam seolah sudah tidak menarik lagi kepada mereka. Aku ada menulis tiga tahun yang lalu dalam sebuah artikel, perihal pemerhatianku berkenaan kepupusan kaum muda dalam gerakan Islam di Malaysia. Dalam penulisan ini, aku ingin merenung perbualanku dengan sahabatku ini. Mencoret sedikit isi-isinya, agar boleh aku analisa dan rujuk kembali untuk menimbang pemikiranku. Bagi aku, menuliskan semula pemikiran kita itu satu perkara yang perlu, agar kita dapat melihat dan menimbang perubahan pemikiran kita seiring perubahan masa.

Sahabatku itu meluahkan isi hatinya, antara sebab minatnya pudar dalam mengikuti gerakan Islam adalah kerana pergaduhan dalaman yang pernah berlaku semasa musim pilihanraya. Baginya ada sesetengah anggota yang terlalu mempertahankan parti politik tertentu. Aku bukanlah ingin mempertahankan mana-mana pegangan atau polisi gerakan Islam. Jadi aku dengar dahulu segala luahannya. Tidak aku bangkang terus, kerana aku tidak rasa jika aku berhujah sekali pun dapat merubah pegangannya. Selepas habis luahan hatinya, baru aku terangkan apa yang aku fikirkan.

Bagi aku, dalam persoalan politik parti. Gerakan Islam sememangnya tidak memberi sokongan penuh kepada mana-mana parti, kerana tugas mereka bukan berpolitik dalam parti. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga tidak boleh bersifat neutral, kerana Islam adalah agama yang bersifat politik. Dalam Islam terdapat elemen siyasah yang tidak dapat dinafikan. Jika dia bersifat neutral, dia akan dikritik kerana sibuk berkata bahawa perlunya Islam memerintah, tetapi dalam sudut praktis, mereka berkecuali. Tetapi jika mereka berpihak, ini akan membuka ruang perpecahan kerana memang sifat parti politik itu menganjur pada perpecahan.

Jadi pada pandangan aku, sikap untuk tidak mengumumkan kepada umum bahawa perlu menyokong siapa itu adalah langkah yang tepat dan lebih harmoni. Dalam masa yang sama, untuk tidak dikritik bahawa gerakan Islam ini tidak mempunyai pegangan siyasah, saranan untuk berpihak pada siapa ini hanya dibisik-bisik kepada ahli sahaja, dengan penerangan diberikan tentang mengapa pilihan itu dibuat dalam situasi semasa. Pastilah apabila diberitahu pilihan, ini akan menyebabkan pergaduhan dan ketidak setujuan. Tambahan pula, ketika PRU-14 dan PRU-15, negara sedang mengalami fasa perubahan. Jadi suhu politiknya sangat tinggi, apa pun keputusan yang dibuat akan menimbulkan pergaduhan. Dan ini saya lihat berlaku dalam semua gerakan Islam, tiada yang terkecuali. Ia tidak unik berlaku dalam sebuah gerakan Islam sahaja.

Tambahan pula, gerakan Islam tentunya tidak dapat mengawal pemikiran ahli-ahlinya. Setiap orang mempunyai kefahaman masing-masing. Ada hujah dan logik tersendiri. Sekuat mana pun usaha kita untuk membina 'kesatuan pemikiran', tetap akan ada perbezaan pendapat dan pandangan. Hal ini saya kira bukan kelemahan gerakan Islam tertentu, tetapi fitrah kejadian manusia. Hatta jika kita mengimbau sejarah Islam sendiri, kita akan dapati pergaduhan dan perbezaan ini berlaku di setiap masa dan zaman. Dalam kata lain, kita perlu menerimanya sebahagian dari sunnatullah. Namun apabila musim pilihanraya sudah berakhir, sepatutnya kita kembali merapatkan saf dan berkerja lagi membaiki masyarakat, bukan meninggalkan kerja-kerja yang ada.

Kemudian kami mula berbincang perihal ideologi dan pemikiran. Di sini ada beberapa isu. Pertama adalah penggunaan teks-teks tafsiran lama yang dilihat sudah tidak menjawab persoalan zaman. Aku bersetuju akan hal ini, bahawa perlunya kita juga membaca dan memikirkan tafsiran baru. Malah, inilah sebenarnya yang cuba aku ketengahkan dalam buku Berfikir Tentang Pemikiran. Namun, dalam masa yang sama, aku faham mengapa teks lama lebih diutamakan berbanding teks baharu. Aku merasakan, generasi lama lebih selesa dengan teks lama kerana ia lebih terjamin, pemikirnya telah lama meninggal dunia oleh itu pemikirannya telah terhenti. Jika diambil teks baharu, terutamanya jika pemikir tersebut masih hidup, boleh jadi dia akan bertukar fikiran di kemudian hari, boleh jadi juga mereka menjadi penentang gerakan Islam di kemudian hari, jadi pemikiran mereka belum benar-benar terjamin untuk konsisten dan istiqamah.

Dalam hal pemikiran juga, sahabatku tersebut membangkitkan persoalan demokrasi. Bagi aku, persoalan demokrasi ini, aku 50-50. Tidaklah aku merasakan demokrasi ini satu sistem yang betul-betul baik atau betul-betul buruk. Ia ada kelebihan dan ada juga limitasi. Tetapi jika kita berputus asa, dan merasakan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah sistem ini, maka di situ kita akan menjadi sebahagian dari sistem yang bermasalah. Masalah yang ada dalam sistem demokrasi ini sudah terlalu banyak kali aku menulisnya, jadi tidak perlulah diulang-ulang lagi di sini. Semua sistem dalam dunia ini, semasa ia dilaksanakan, orang merasakan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengubahnya hinggalah tiba satu masa ada orang yang mengubahnya. Apabila sudah diubah, baru orang akan berkata "rupanya ada sistem yang lebih baik" atau "rupanya sistem ini boleh diubah". Jika kita mengatakan sistem yang ada tidak perlu diubah, maka gerakan-gerakan yang ada sudah tiada raison d'etre. Semua gerakan yang wujud mahu mengubah sesuatu, jika tiada perubahan yang dimahukan, semua gerakan tidak perlu wujud, termasuk gerakan Islam.

Akhir sekali, kami membincangkan perihal generasi lama yang ada dalam gerakan Islam. Sebahagian dari masalah golongan muda dalam gerakan Islam adalah krisis antara generasi. Aku akui, memang ada sebahagian golongan lama yang keras pendekatan dan pandangannya. tetapi kita harus sedar, gerakan Islam ini bukan milik sesiapa. Pemikiran juga bukanlah satu perkara yang statik, generasi lama ini juga akan berlalu. Jika pun kita tidak bersetuju dengan beberapa pemikiran mereka, aku merasakan bahawa meninggalkan gerakan Islam bukan solusinya. Apabila generasi berubah, kita boleh melaksanakan pula pemikiran kita, masanya akan tiba. Perubahan generasi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia akan berlaku. Umpama terbitnya fajar baharu, tiada siapa dapat menghalangnya, melainkan kiamat tiba.

Saya juga tidak bersetuju dengan pemikiran bahawa generasi lama tidak membawa apa-apa perubahan. Ini kerana lensa kita yang pendek. Kita melihat apa yang berlaku hari ini sahaja, namun jika kita ukur keadaan masyarakat ketika gerakan islam baru bermula, kita akan dapati bahawa berlakunya perubahan yang begitu besar. Dari sudut masyarakat dan juga institusi. Namun, seperti juga gerakan dan institusi yang lain, ia pasti mempunyai masalah-masalahnya. Kita melihat institusi lain seperti gah dan tidak bermasalah, namun, apabila kita memasukinya, kita terus dapat melihat kelemahan-kelemahan yang ada. 

Bukanlah penulisan ini merupakan cubaan untuk aku untuk menyuruh sahabatku itu kembali ke pangkuan gerakan Islam. Itu adalah pilihan yang harus dibuatnya sendiri. Aku sekadar mahu meletakkan pemikiranku kerana aku juga mempunyai kritikan-kritikan yang sama. Cuma aku memilih pendekatan yang berbeza. Aku merasakan, hari di mana aku meninggalkan gerakan Islam itu belum tiba, dan aku berharap ia tidak akan tiba. Kelemahan dan masalah itu pasti akan ada, tetapi meninggalkannya tidak akan membuat keadaan bertambah baik. Jika pun penyertaanku tidak mengubah apa-apa, tidaklah aku kecewa, kerana itu semua adalah qadar Allah. Cuma aku merasakan, di kesempatan usia yang singkat ini, sekurang-kurangnya aku melakukan sesuatu. Aku teringat akan sebuah penulisan oleh Maududi bertajuk Syahadatul Haq yang aku pernah baca dahulu di universiti. Maududi berkata, jika kau merasakan gerakan ini baik maka bergabunglah dengannya, jika kau rasa buruk, maka dirikanlah satu gerakan yang baik. Cuma satu yang jangan kau lakukan, jangan duduk dan tidak berbuat apa-apa.

Aku doakan sahabatku itu dilindungi oleh Allah, dalam apa pun pilihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan