Sabtu, 22 Jun 2024

Kecintaan Kepada Sastera & Persuratan

Minggu ini saya dipaksa oleh pensyarah untuk membaca tentang tokoh-tokoh intelektual Arab yang menyumbang kepada idea kebangkitan kebangsaan. Ia sememangnya satu bacaan yang menarik untuk menelusuri kehidupan cendiakawan seperti Nasif Yazeji, Butrus Bustani, Jamaluddin al-Afghani, Abdul Rahman al-Kawakibi, Najib 'Azuri, Rifa'a Badawi Rafi' al-Tahtawi, Khairuddin Pasha, dan Faris al-Syidyaq. 

Cuma saya tidak begitu berpuas hati kerana masa yang diberikan untuk menghabiskan bacaan sangat singkat. Saya suka membaca perlahan-lahan untuk menikmati bacaan dan berfikir tentangnya. Apa pun terpaksa juga saya ikuti atas kehendak pengajian akademik. Mungkin selepas habis, saya akan membaca semula buku-buku tulisan George Antonius dan Albert Hourani yang diberikan itu perlahan-lahan. Agar tiada mutiara-mutiara yang ketinggalan.

Sepanjang pembacaan saya, saya tertarik tentang bagaimana intelektual yang memberi kesedaran kepada bangsa ini banyaknya bermula dengan kecintaan mereka kepada bahasa dan bahan sastera. Tokoh-tokoh ilmuan kebangsaan Arab ini banyak bermula dengan kemahiran bahasa. Ada yang tinggal di kawasan yang tiada buku, oleh itu mereka telah membaca manuskrip-manuskrip silam yang tersimpan di monasteri kerana itu sahaja bahan bacaan yang ada. Penerokaan mereka membawa kepada satu dunia yang lain, dan mereka terus jatuh cinta dan mengabdi seluruh hidup mereka untuk meneroka dan mengembangkan ilmu. Mereka mengutip semula lentera ilmu yang telah malap dalam bangsa mereka dan menyalakannya semula. Dari tangan mereka lahir bangsa baru dengan keilmuan baru yang berakar dari penulisan dan sastera silam mereka.

Saya kira perkara yang sama berlaku di negara kita. Ketika membaca buku Rustam A. Sani perihal idea kebangsaan Melayu, beliau mendedikasikan banyak muka surat untuk membincangkan persatuan bahasa, budaya dan persuratan yang akhirnya membentuk semangat kebangsaan Melayu yang bermula pada tahun 1930-an.

Di sela-sela masa yang ada, saya juga sedang menelaah naskah lama tulisan Burhanuddin Al-Helmy yang telah diberi nafas baru dengan alihan aksara oleh Zaid Ahmad. Buku ini merupakan bacaan ketiga dari buku-buku yang saya dapatkan di PBAKL 2024.

Buku ini agak istimewa kerana ada kaitan peribadi dengan saya dari segi pertalian darah keluarga iaitu dari keluarga di Changkat Tualang, Perak. Dahulu arwah ayah selalu sebut bahawa kami ada "bau-bau bachang" dengan Burhanuddin Al-Helmy, "bau-bau bachang" ini bermakna ada pertalian keluarga. Ibu Burhanuddin, Zaharah merupakan anak kepada Haji Osman yang merupakan anak kepada Syed Endin. Manakala saya dari jalur Mohd Jiplus bin Kulup Mat Saman bin Mohd Zain bin Syed Endin. Ini berdasarkan dokumen salasilah keluarga yang saya warisi. Sejauh mana kebenarannya, wallahualam, dan perlu kepada kajian yang lebih tersusun. 

Apa-apa pun, buku ini saya kira sangat menarik sebagai warisan persuratan sejarah bangsa. Moga-moga, masa tidak mencemburui saya, dan dapatlah saya menganalisa makalah ini dengan teliti.

Koleksi Fikir: Ahli Sejarah


Saya kira salah satu perkara yang menarik apabila mempelajari bidang sejarah adalah membaca perkara-perkara yang begitu sensitif. Perkara yang pernah terjadi yang mungkin hari ini tidak sanggup kita ceritakan kembali. Selepas mendalami dan membaca kajian dan dokumen, saya faham kenapa ahli sejarah sesetengahnya tidak mahu menceritakan sejarah di ruang awam, kerana ia boleh ditafsir untuk kepentingan politik sedia ada. Jadi mereka lebih aman membahaskannya di ruang akademik sahaja.

Perlukah kita gali kubur Huntington dan Kissinger?

 

Pada pandangan saya budaya kritik itu memang perlu disuburkan. Ada idea yang kita rasa tak kena, kita boleh utarakan pendapat dan kritikan kita. Kita ulas kenapa kita tidak setuju.

Dalam masa yang sama, kita kena bersedia untuk menerima kritikan orang lain pada kita. Sebab kita sendiri pun bukanlah pandai atau paling tajam ideanya. Bagi saya, orang yang menulis itu bukan paling pandai, tapi dia ada keberanian untuk meletakkan ideanya di tengah untuk dinilai dan dikritik oleh orang awam. Bila dikritik perlulah terima dengan hati yang terbuka, kecualilah kritikan itu bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan idea yang dibincangkan.

Cuma kadang saya kelakar sedikit dengan orang yang kononnya mengetengahkan idea ilmu mandiri kritis, tapi tak boleh terima kritikan orang lain. Seolah-olah kritikan itu miliknya sahaja dan milik orang aliran dia sahaja. Seolah kalau nak mengkritik kena baca semua buku aliran dia sahaja. Aliran dia yang paling best. Bila dia mengkritik dia angkat dirinya sebagai "kritis", tapi bila orang lain mengkritiknya, dia angkat orang lain sebagai "jumud".

Lebih kelakar, orang yang membosankan dan berlagak seperti intelektual, yang sibuk bergaduh di media sosial dan menggunakan hashtag #notaintelektual kata orang yang mengkritiknya tak faham idea yang dikritik dan tak pernah jumpa penulis yang dikritiknya.

Saya boleh terima bahagian pertama, mungkin saya tak faham idea istimewa hebat bombastik jargon "intelektual" nya itu. Sebab saya ini tidak bijak dan tidak intelektual. Cuma saya rasa kelakarlah sikit kalau kita hendak kritik seorang penulis kita kena pergi jumpa penulis tersebut.

Katalah kita nak kritik idea Clash of Civilization Huntington atau idea World Order Kissinger. Memang kita kena pergi jumpa mereka dahulu ke sebelum mengkritik ideanya? Tapi mereka sudah mati. Perlu ke kita gali kubur mereka sebelum kita boleh kritik idea mereka?

Ahad, 16 Jun 2024

Lentera Ilmu: Catatan-Catatan Dunia Buku


Buku Lentera Ilmu: Catatan-Catatan Dunia Buku ini merupakan buku kedua yang dibaca yang dibeli di PBAKL 2024. Saya merasakan Najibah Abu Bakar merupakan seorang bobliofil heavyweight di Malaysia, dengan pengalaman selama 7 tahun di perpustakaan, beliau begitu arif dengan judul-judul buku yang menarik.  Dalam naskhah ini, kearifan ini dapat dilihat dengan jelas. Pustakawan sememangnya merupakan satu pekerjaan yang mengayakan minda, saya teringat akan seorang bekas pustakawan yang kisahnya pernah ditulis oleh Jonathan Spence. Pustakawan ini kemudian menjadi pejuang revolusi dan kemudian telah mengasaskan Republik China, nama pustakawan ini adalah Mao Zedong. 

Saya juga tertarik dengan gaya penulisan Najibah yang memulakan buku ini dengan kisah peribadi. Bagaimana beliau bermula dengan membaca blog yang kemudiannya menemukan beliau dengan dunia buku dan kepustakawanan. Mengadun subjek yang kita mahu bahaskan dengan kisah peribadi sememangnya boleh menjadikan sebuah tulisan itu lebih manusiawi dan menarik. Antara pandangan Najibah yang saya minati adalah saranan beliau bahawa pembacaan itu perlu ada peningkatan. Membaca untuk hiburan dan liburan itu tidak salah untuk usia tertentu, namun kita tidak boleh statik di takuk tersebut. Pembacaan perlu meningkat kepada tahap yang lebih mencabar. 

Membaca tulisan Najibah membuatkan saya merasakan bahawa setiap bibliofil itu perlu menulis pengalaman pembacaan mereka. Kerana masing-masing mempunyai perspektif mereka yang menarik, kecenderungan mereka berbeza menjadikan apa yang diulas berbeza. Najibah sebagai contoh, pada pandangan saya mempunyai kecenderungan untuk mengulas budaya bibliofilia dalam sejarah Islam. Beliau juga dilihat menggemari manuskrip dan sastera Arab yang saya lihat banyak dipetik dan diulas. 

Semoga, selepas ini kita mempunyai lebih banyak perkongsian bibliofil seperti ini!

Dunia Akademia Yang Membosankan

 

Semalam saya ada kuliah dengan Prof. Madya Dr. Hasrul Zakariah di bahagian sejarah. Kuliah semalam saya rasa sangat seronok. Kerana saya kira pensyarah yang menjadi gurunya memang seorang yang berpengetahuan luas. Bila dia sembang tajuk yang hendak diajar, segalanya dikupas dengan menarik, luar dan dalam. Beliau memang subject-matter-expert dalam bidangnya.

Cuma yang menarik, saya rasa. Guru saya tersebut turut melahirkan rasa bosannya kepada dunia akademik, yang baginya hanya mengulang benda yang sama dan tidak berani mencabar benda sedia ada. Andai ada tulisan yang mencabar pemikiran sedia ada, ia akan ditolak untuk diterbitkan oleh jurnal akademik.

Beliau juga membahas perihal bidang kajian. Contohnya bidang kajian yang dipilih oleh pelajar sarjana. Masing-masing mahu pilih tajuk yang senang kerana malas. Jadi beliau terpaksa dengar perbentangan sama selalu. Contohnya kajian tentang tanaman padi. Berulang-ulang dan membosankan.

Saya kira apa yang guru saya sebut itu, sama dengan apa yang pernah ditulis oleh Syed Hussein al-Attas. Perihal Imperialisme Intelektual. Kita bangga dengan tulisan dan kajian orang luar perihal masyarakat kita. Walhal kajian tersebut bukan memerlukan alatan kompleks. Kita pun boleh melakukannya. Tapi disebabkan tiada kesungguhan dan semangat, kita asyik mengulang kajian-kajian sama yang membosankan.

Dunia Dalam Perenggan: Tinta Seorang Bibliofil

Buku ini merupakan buku PBAKL 2024 pertama yang berjaya saya habiskan. Buku Dunia Dalam Perenggan: Tinta Seorang Bibliofil tulisan Emmy Hermina Nathasia ini saya kira merupakan buku yang ditulis oleh seorang bibliofil heavyweight, beliau berjaya menghabiskan pembacaan sebanyak 137 buah buku pada tahun 2017.  Saya sendiri, paling banyak, hanya pernah menghabiskan 23 buah judul buku setahun. 

Pada pandangan saya, buku Emmy ini merupakan karya persuratan bibliofil yang berbentuk self-help. Ini dapat dilihat dalam bentuk penulisannya yang cuba mengajar sesuatu dan memberikan tips dan cadangan. Selain itu, beliau juga memperincikan kaedah-kaedah membaca yang boleh digunakan. Saya secara peribadi meminati gaya bacaan aktif.  Di mana pembaca menilai secara kritis perihal apa yang dibaca, bertanyakan soalan along the way, dan mengaitkan apa yang dibaca dengan pengetahuan sendiri. Pembaca yang aktif juga akan menotakan bacaan mereka. 

Emmy menekankan bahawa aktiviti pembacaan perlulah dikekalkan sebagai aktiviti yang menyeronokkan.  Jika tidak, pembaca akan berhenti ditengah jalan. Membaca buku Dunia Dalam Perenggan juga membuatkan saya merenung tentang evolusi pembacaan saya sendiri. 

Antara isu bibliofil lain yang menarik yang disentuh oleh Emmy adalah isu tsundoku, perkataan ini berasal dari Jepun di mana seseorang itu mengumpul banyak buku namun tidak dibaca.  Saya sendiri sedang bergelut dengan isu ini, terlalu banyak buku dan terlalu sedikit masa untuk membaca. Namun, walaupun tidak sempat baca semuanya, bagi saya, lebih baik jika kita menyimpan koleksi buku yang kita mahu. Jika pun tidak dapat dibaca keseluruhan, kita masih boleh membuat rujukan dan membaca beberapa bahagian yang kita perlukan. 

Banyak lagi isu-isu seputar bibliofil yang dibahaskan di dalam buku ini. Sememangnya buku tulisan Emmy Hermina Nathasia ini merupakan satu naskhah istimewa bagi pencinta buku, saya pasti bibliofil yang membacanya boleh merasakan keterikatan dengan isu-isu yang dibawanya. Ia boleh dikatakan sebuah naskhah dari pembaca untuk pembaca yang lain.

Sabtu, 15 Jun 2024

Mengintai Kematian


Topik kematian biasanya topik yang dielakkan untuk disentuh, ia seolah topik taboo, menakutkan dan menyedihkan. Namun sebenarnya kematian adalah sebahagian dari kehidupan ini. Perkara yang tidak dapat dielakkan, baik kita suka atau duka. Kematian yang kita takuti itu besar kemungkinan duduk disebelah kita sahaja.

Saya sendiri punya banyak teman rapat yang sudah pergi ke alam abadi. Sebahagiannya merupakan rakan sebaya sepermainan di sekolah. Kehilangan mereka memang satu perkara yang menyedihkan. Ada juga rakan baik yang lebih muda dari saya pergi dahulu. Begitulah sifat kematian, tidak menunggu orang itu tua atau muda.

Saya pada mulanya menjangkakan saya akan hidup hanya sekitar 26 tahun lagi sahaja. Anggaran ini saya buat berdasarkan umur ayah saya yang meninggal dunia pada umur 60 tahun.  Tetapi sejak tahun lepas, saya merasakan anggaran saya ini mungkin tidak tepat. Saya berfikir, sepatutnya tahun lepas saya sudah meninggal dunia apabila menghadapi serangan jantung. Namun mungkin Allah masih memberi saya sedikit masa untuk hidup lagi seketika.

Dengan izin Allah dan bantuan perubatan moden, hayat saya masih ada. Walaubagaimana pun, saya selalu berfikir masa yang saya ada semakin suntuk, terutamanya di hari-hari di mana dada terasa sakit dan sesak. Mungkin kerana rasa kesuntukan masa ini menyebabkan saya lebih tertolak untuk belajar, membaca, dan menulis dengan lebih banyak. Sekadar mahu menikmati saat-saat terakhir dan meninggalkan sebuah jejak sebelum pulang ke negeri abadi. Saya juga gemar bertemu kawan-kawan lama kerana mungkin itu peluang terakhir yang saya ada. Jika tiba-tiba saya talifon sesiapa, janganlah pelik, saya bukan mahu menjual apa-apa. Mungkin sekadar mahu sembang-sembang terakhir sahaja.

Maaf andai coretan ini agak melankolik. Sekadar catatan fikiran menunggu nombor untuk bertemu kardiologis.

Jumaat, 14 Jun 2024

Melihat Manusia di Pesta Buku & Reruai Terbaik di PBAKL 2024


Tahun ini teramat sibuk, tak sempat berlama-lamaan di pesta buku, sempat sehari sahaja selama beberapa jam. Tapi tetap puas, terutamanya dapat jumpa teman-teman bukuwan, penerbit, penulis, penterjemah, penjual, dan juga pembaca. Saya suka melihat-lihat manusia di pesta buku. Ada ayah yang tertidur bersama bayi dalam dakapan sedang isterinya "hilang". Ada ibu yang stress ayah tak mahu balik lagi dan anak sudah meragam. Ada yang sibuk makan dan minum. Juga para pempamer yang sibuk menyantuni pengunjung. Ada bahagian yang bising, ada juga bahagian yang tenang. Ragam manusia di pesta buku, adalah ragam kehidupan. Tidak kurang, tidak lebih.

Sama seperti coretan Cikgu Afiq Rostam, antara yang saya hargai di pesta buku adalah sembang-sembang sesama bukuwan. Saya ingin kongsikan beberapa cebisan di sini, rebagai rekod dan rujukan buat Fathi di masa hadapan.

Antara sembang yang saya kira menarik adalah dengan Saudara Amir dari reruai The Bibliophile Bookshop. Pertama, kami bersembang bagaimana memilih bahan bacaan. Saya secara jujur, mula membaca dengan intensif agak lewat, di hujung zaman universiti. Diet bacaan awal saya kebanyakannya buku non-fiksyen berbahasa Inggeris, buku bahasa Melayu yang saya baca hanya buku-buku agama.

Saya juga tidak akan beli buku sebarangan. Kebanyakannya sudah saya kaji dahulu siapa penulisnya, apa isi kandungannya, bagaimana reviunya, baru saya dapatkan. Tapi apabila saya mula menulis dan masuk ke "dunia buku" di Malaysia, saya sedar bahawa saya tidak banyak pengetahuan berkenaan dengan persuratan negara saya sendiri. Maka saya mula membaca juga karya-karya tempatan. Sekarang, hampir 50-80% buku bacaan saya adalah karya tempatan.

Saya juga sembang dengan saudara Amir bahawa saya sedar bahawa saya kena keluar dari bubble bacaan saya. Apabila kita strict memilih bahan bacaan, kita akan bias memilih bacaan yang kita selesa sahaja. Kita akan hidup dalam bubble. Oleh itu, sekarang, saya akan beli juga satu dua buku yang saya tidak kenal penulisnya, dan tidak tahu subjek tulisannya. Agar saya tidaklah terpuruk dalam bubble bacaan saya sahaja. Bahkan, kadang saya cuba juga baca buku yang saya sendiri tak begitu berminat, contohnya  buku genre "puisi healing gadis remaja". Walaupun itu bukan minat saya, sekurang-kurangnya, saya tahu apa yang sedang berkembang dalam dunia buku di luar bubble saya.

Kami juga bersembang perihal "kalau buku tu tak best, perlu ke kita baca sampai habis?".

Pada saya, buku tak best ini ada dua kategori. Pertama buku yang tak best tapi merupakan bahan sastera penting. Contohnya buku Adam Smith, The Wealth of Nation. Buku ditulis tahun 1776, dengan gaya Inggeris lama. Ada bab-bab yang sangat laborous, yang membincangkan harga pasaran jagung, emas, perak, yang sangat susah dibaca dan sukar dihabiskan. Kerana buku Smith adalah buku yang penting dalam persuratan. Saya akan habiskan juga walaupun lambat, biasa saya akan sulam dengan buku-buku lain sementara saya hendak menghabiskannya.

Kategori kedua adalah buku tak best yang bukan bahan sastera penting. Buku macam ini saya akan cuba juga habiskan, tapi kalau saya tak habis pun saya tidak begitu rasa bersalah. Dan kadang kala, memang terbengkalai dan tak habis-habis.

Banyak lagi sebenarnya sembang-sembang bukuwan yang menarik di pesta buku sambil melihat gelagat dan ragam manusia. Ada juga sebahagiannya gosip-gosip bukuwan yang tidak boleh dikongsikan. Apa pun tahniah kepada semua yang terlibat dalam pesta buku kali ini. Pahit manisnya adalah ragam kehidupan yang biasa.

Ada rezeki dan kesihatan, moga ketemu lagi tahun depan.

Ada satu point saya hendak sertakan dalam catatan tentang PBAKL. Tentang satu reruai terbaik. Nama reruai tersebut dirahsiakan bagi mengelakkan reruai tersebut kembang hidung. Reruai ini menjual buku-buku sains sosial, sejarah, dan juga sastera.

Apabila pembeli datang, pekerja di reruai tersebut akan melayan pembeli. Beliau terangkan satu persatu perihal buku yang ditanya. Bahkan beliau bersembang dengan pembeli perihal subjek-subjek buku-buku yang dijualnya. Saya yang mendengar terdetik dalam hati "ini dah jadi macam forum ilmiah", walhal dia bersembang dengan pembeli perihal buku-buku sejarah dan sastera yang dijualnya.

Di sini saya melihat kelebihan reruai ini. Pekerjanya bukan sekadar penjual, tetapi pembaca buku yang tegar. Dia bukan sekadar jual buku, tetapi dia juga nampak gembira berkongsi dapatan dari bahan-bahan bacaannya. Dia boleh memberikan nasihat perihal buku apa yang bagus jika pembeli mahu mengetahui tentang sesebuah topik. Dalam kata lain, perbincangannya dengan pembeli adalah dari hati ke hati, dari seorang pembaca kepada pembaca yang lain. Seperti sebuah diskusi buku.

Di sini saya kira kepentingan reruai buku yang mencari penjual di kedai yang membaca dan yang mencintai buku. Secara automatik ada jambatan hati antara dia dan pembeli, kerana kedua-duanya berkongsi frekuensi kecintaan kepada buku yang sama. Saya lihat orang yang datang juga teruja, malah ada yang memuji.

"Baguslah awak ni, awak tahu banyak tentang buku-buku, jarang jumpa penjual yang tahu dengan mendalam karya-karya yang dijual".

Bagi saya ini adalah kekuatan yang diperlukan oleh reruai yang ingin berjaya. Bukan sekadar tangkap muat pekerja yang boleh dibayar murah. Tetapi melengkapkan reruai mereka dengan pencinta buku. Promosinya damai dan lancar, dari hati pembaca yang menjual ke hati pembaca yang membeli. Begitulah perkongsian singkat saya perihal PBAKL 2024.