Isnin, 26 Mei 2025

Pengenalan Kepada Buku Malam Dalam Aksara Yang Panjang

Buku "Malam Dalam Aksara Yang Panjang" dengan model nakal-nakal, Amirzudin Suhaimi.

Alhamdulillah, saya dimaklumkan pada 26 Mei 2025 oleh CEO The Bibliophile Bookshop Tuan Kiridaren Jayakumar bahawa buku Malam Dalam Aksara Yang Panjang kini sudah siap cetakannya dan akan menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025. Sedikit tazkirah ringkas perihal buku ini.

Buku ini merupakan satu naskah penyembuhan buat saya. Biasanya saya menulis tentang politik, falsafah, ideologi, sejarah, konflik, kritik sastera dan lain-lain, tajuk-tajuk yang kadang kala melelahkan jiwa. Tapi seorang penulis itu, se-akedemik mana pun, se-serious mana pun tulisannya. Dia tetap seorang manusia. 

Maka sekali-sekala dia kena keluar dari buih-buih yang memenjarakannya. Merenung jalan, perjalanan, lampu jalan, tanda jalan, dan arah tujuannya. Dia perlu berfikir tentang bagai mana dia berfikir, merenung bagaimana dia menulis. Baru dia akan sampai pada satu muara yang segar, di mana dia tidak hanya hanyut dalam tulisannya, tetapi dia dapat memegang kemudi dan hanyut dengan penuh sedar hala tujunya. Maka inilah yang saya cuba lakukan dalam naskah ini, satu perenungan kepada perjalanan sungai penulisan, sambungan kepada dua sayap ilmu, serta lamunan saya di setiap malam yang ditemani oleh aksara yang panjang.

Naskah ini saya harapkan dapat menjadi naskah yang ringan, lebih ringan dari puisi cinta, lebih ringan dari senyuman manja para remaja. Naskah ini adalah garapan bebas saya tentang pembacaan, penulisan, proses-prosesnya (sedikit gosip sekadar menambah masin secukup perasaan), dan juga kehidupan yang melingkari perjalanan ini. Semoga buku ini dapat menyembuhkan jiwa dan pena saya, dan penyembuhan itu nanti akan meresap masuk ke jiwa pembaca pula.

Tiada ulasan: