Petang Ahad pada bulaun Mei 2025, saja saya melalaikan diri membaca buku Herald Van Der Linde bertajuk Majapahit: Intrigue, Betrayal and War in Indonesia's Greatest Empire. Mat salleh, kita boleh kritik perspektif euro-sentriknya, tapi kerajinan mereka mengkaji, mencari, meneroka, dan menulis itu sememangnya harus diakui. Sesuatu yang orang kita sendiri lemah. Betul kata Hussien Al-Attas dalam Imperialisme Intelektual, kadang satu kajian itu bukan susah untuk dilakukan, cuma orang tempatan tak ada keazaman untuk melakukannya. Bila Mat Salleh buat, semua terngangga kagum. Ini petikan paraphrasing bukan verbatim.
Van Der Linde ambil masa 4 tahun untuk buat kajian pasal buku ini. Dia malah kawin dengan orang Indonesia. Dia jelajah kawasan-kawasan yang dikaji, lawat museum, dan cari manuskrip. Menariknya, dalam buku ini dimasukkan satu garis masa yang meletakkan Majapahit ini dalam sejarah dunia. Jadi kita boleh lihat kemunculannya dan bandingkan dengan kerajaan lain di dunia, Majapahit (1292) diasaskan awal sedikit dari Empayar Uthmaniyah (1326).
Cuma Van Der Linde ini tak dapat lari dari perspektif eurosentrik walaupun buku ini diterbitkan pada tahun 2024 di mana perspektif eurosentrik ini sudah berbakul-bakul ditulis kritikannya. Sepertinya kritikan terhadap perspektif eurosentrik ini langsung tidak berkesan. Perspektif ini menjadikan buku ini turn-off sikit. Ini dapat dilihat dengan gaya penulisan beliau. Kerajaan Jawa Kuno seperti Majapahit pun akan ditulis permulaannya dengan cerita Raffles. Perspektif orang Eropah memang macam tu bila menulis, orang Eropah akan dipaparkan sebagai permulaannya, sebagai founder, mereka yang menyelamatkan tamadun kuno dari dilupakan. Selain itu, buku ini juga banyak kesalahan ejaan yang menyebabkan bacaan kadang rasa annoying siked.
Tetapi tetap ketelitian dan kerajinan mat salleh mengkaji dan menulis itu harus diakui. Sesuatu yang kita masih jauh ketinggalan.
Bacaan Yang Menimbulkan Rasa Kagum dan Sakit Hati
Membaca sejarah yang sedap memang berbahaya. Ia boleh membuatkan kita kagum dan terpukau. Bila dah terpukau ni bahayanya adalah kita nak mengkaji dengan lebih dalam. Sebab itu ada sarjana yang menghabiskan umur berpuluh-puluh tahun. Belajar bahasa kuno, baca manuskrip lama beribu-ribu halaman. Orang lain mungkin rasa mereka telah gila, tetapi sebenarnya mereka telah terpukau dengan sejarah. Mereka rasa mereka detektif, mereka nak selesaikan kes beratus dan beribu tahun dahulu.
Beza sejarah dan propaganda adalah sejarah tidak hanya buat kita syok dan teruja, ia juga buat kita sedih dan sakit hati. Lagi-lagi bila baca perspektif kolonial yang menulis dengan membersihkan jenayah mereka. Mereka datang membunuh dan mencuri, tetapi ditulis sebagai founder dan discoverer. Tulisan Van Der Linde pasal Majapahit sangat pekat dengan perspektif kolonial dan eurosentrik ini. Peribumi sentiasa digambarkan dengan buruk.
Misalnya pemerintahan raja di Bali dikatakan sebagai kejam (disebut sebagai “brutal”), ini ditulis sebagai justifikasi penjajahan Belanda. Kemudian Belanda datang, bunuh 2,000 orang kampung termasuk wanita dan anak-anak. Belanda kemudian bakar istana di Bali. Tapi seorang askar Belanda sempat selamatkan beberapa manuskrip. Antara yang diselamatkan adalah Desawarnana (Nagarakertagama). Kemudian disebut sebagai ‘discovery’. Wow, hebat, discovery.
Baca memang sakit hati. Begitulah perspektif euro-sentrik dan kolonial. Padahal Belanda itu beribu kali lebih brutal. Orang Eropah sentiasa sahaja disebut sebagai penyelamat tamadun, pengasas, founder, discoverer, bla bla bla. Padahal jika Belanda tidak datang dan bakar istana dan curi isinya, kita mungkin ada banyak lagi manuskrip.
No, orang Eropah ini bukan discoverer atau penyelamat, merekalah yang banyak merosakkan sejarah dan kefahaman sejarah peribumi.