Sabtu, 23 Ogos 2025

Senjata Peribumi Melawan Kolonial Milik Siapa?

Apabila dipersoalkan senjata yang digunakan oleh kaum peribumi Palestin untuk menentang penjajahan kolonial, saya teringat akan kisah yang diceritakan oleh Dr. Azzam Tamimi perihal sejarah gerakan pembebasan Palestin. Saya sarankan, kita semua mendengar ulang sejarah itu kembali.

Apabila British menguasai Palestin, antara perkara utama yang dilakukan oleh mereka adalah melucutkan senjata dari tangan peribumi. Kata Dr. Azzam, hatta pisau pun tidak dibenarkan disimpan di rumah-rumah kaum peribumi. 

Penjenayah zionis pula diberi latihan ketenteraan, sebahagian dari mereka ikut serta sebagai askar British dalam Perang Dunia Kedua. Mereka dibenarkan untuk menubuhkan kumpulan pengganas para-militari seperti Haganah, Stern Gang, dan Irgun. Sebab itu apabila Plan Dalet dilaksanakan pada 1947/48, kaum peribumi tidak mempunyai senjata untuk melawan. Ada sedikit pasukan-pasukan kecil Arab Legion pada ketika itu yang membantu dan cuba bertahan, namun jumlah mereka terlalu kecil.
Kampung-kampung dibakar hangus, penduduknya dihalau, telaga mereka diracun, kebun mereka ditebang, sebahagian besar dibunuh dengan kejam. Namun mereka sedar, untuk membebaskan watan mereka dari penjajahan kolonial, senjata adalah alat utama. Maka apabila rusuhan pemberontakan intifadha berlaku, senjata mereka hanya batu-batu. Ada juga yang mula merampas senapang musuh dan mula menggunakannya. Ya, senjata mereka hanya batu.

Sebab itu kita dengar nasyid yang menyebut "dan kerikil perkasa berlarian", kerana batu itu adalah simbol perjuangan mereka. Mereka kemudian mula menyusun pasukan pembebasan yang tersusun. Mula menghantar pelajar mereka untuk belajar kejuruteraan perang. Mereka melihat anak-anak mereka dibakar, rumah mereka dimusnahkan, generasi mereka dicacatkan, adakah mereka wajar menyerah senjata dan disembelih secara pasif? Menjadi mangsa yang baik, rela disembelih tanpa melawan?

Dari situ barulah mula pasukan yang terancang dibentuk, yang kita lihat pada hari ini. Mereka mempunyai pasukan dron sendiri, roket sendiri, RPG sendiri, sniper sendiri, dan alat-alat letupan tersendiri. 100 tahun mereka dibunuh dan dijajah, seratus tahun mereka bangunkan senjata mereka untuk mempertahankan diri, rasa-rasa wajarkah mereka mendengar pandangan 'penganalisis' neo-orientalis yang tidak pernah pun menghidu peluh di medan tempur? Neo-orientalis yang bersembang dan tidak pernah melihat kampungnya dibakar? Neo-orientalis yang kononnya Azhar kiblat ilmunya yang tidak pernah melihat bagaimana anaknya ditembusi peluru di kepala? Apa hak Neo-orientalis ini menyuruh pejuang pembebasan Palestin menyerahkan senjata? Zionis melancarkan perang selama 600 hari pun tidak berjaya melucutkan senjata pejuang pembebasan. Adakah pejuang akan serahkan senjata dengan pandangan  'penganalisis' neo-orientalis?

Senjata itu adalah hak pejuang untuk membebaskan watan mereka dari penjajahan. Pandangan neo-orientalis itu tidak lebih mulia dari taik kucing yang terlekat di bawah tapak kasut kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan