Selasa, 5 Mei 2020

Kerinduan Pada Mereka Yang Telah Berlabuh Ke Kampung Abadi



Semalam entah mengapa saya teringat dan termenung jauh tentang kematian. Satu perasaan gerun tiba-tiba menyusup menggegarkan jiwa. Akan tiba satu masa, saya tidak mampu lagi merasa apa yang saya rasa, membuat apa yang saya mahu, memegang, mencinta, membenci, atau dalam kata lain tidak lagi hidup. Berfikir tentang mati adalah perkara biasa, ia datang dan pergi, kadang kita terfikir tentangnya tanpa apa-apa perasaan, adakalanya saya juga berasa mahu hilang dari dunia ini, tetapi semalam terasa lain. Perasaannya terasa sangat dalam. Apabila difikir secara benar, diguna minda untuk membayanginya, kegerunan yang dibawa mati menyentakkan jiwa.

Banyak kematian disekeliling saya yang sangat mengesani jiwa. Yang paling pertama menggugat jiwa adalah arwah Azri (Muhammad Azri bin Aminuddin, 18 Disember 1991 - 4 April 2016) yang merupakan teman yang sangat saya kasihi. Kami bertemu di Rusia sewaktu belajar dan beliau merupakan junior setahun dari saya. Banyak kenangan dan memori bersama, pernah bersama kembara ke Scandinavia semasa cuti musim panas. Tamat pengajian juga kami sangat rapat bersama, beliau sering berjumpa saya dan berbincang perihal masalah-masalah kehidupannya. Sayang saya terhadap Azri sehingga saya pernah bertanya padanya jika dia sudi bernikah dengan seorang ahli keluarga saya. Gambar profile picture beliau di Facebook yang terakhir adalah gambar ketika beliau datang beraya di rumah saya bersama Rauff, bila saya buka semula ia sangat mengesani hati. Beliau dipanggil pulang Tuhan dalam satu kemalangan, pada ketika itu saya baru mula berkerja di tempat baru, beberapa hari saya murung dibilik sewa. Sampai hari ini saya masih terkilan kerana tidak dapat hadir memberi penghormatan terakhir.

Pemergian arwah Farizul Firdaus (Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie, 02 Mei 1990 - 25 Julai 2019) juga sangat membekas di hati. Kami panggil beliau Pejo, beliau merupakan rakan sebilik saya ketika dalam pengajian di Petersburg. Selain sebilik, beliau juga merupakan rakan sepasukan dalam pasukan bola dan futsal universiti. Teman sebilik dan sepermainan. Alhamdulillah sempat bersama mencandat sotong beberapa minggu sebelum beliau pergi, walaupun pada ketika itu beliau sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat bersembang lama. Saya bersyukur kerana sempat hadir menziarahi keluarganya meskipun tidak sempat bersama menguruskan jenazah beliau kerana jarak Pulau Pinang-Terengganu yang agak jauh, dan kami tiba ketika semuanya telah selesai.

Antara sahabat yang kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam juga adalah arwah Abu (Abu Asri bin Zailani, 9 September 1990 – 22 Ogos 2016). Abu merupakan teman sepermainan di sekolah menengah di MATRI. Walaupun kelas berbeza hampir setiap masa lain saya menghabiskan masa dengan Abu. Masing teringat perjalanan jauh dari Perlis ke KL Sentral, kami menaiki tren KTM, membuka pintu gerabak tengah sambil duduk, bersama menikmati permandangan bendang sambil merasakan angin yang berderu-deru kerana tren bergerak pantas. Saya masih ingat kata-kata beliau satu malam selepas SPM bahawa tidak mahu berjumpa kecuali selepas 10 tahun, beliau mahu melihat perubahan pada diri kami, namun kami sering juga bertemu selepas habis sekolah. Semasa saya menyambung pengajian di Johor, saya sering ke restorannya di Sempang Renggam, selalunya saya akan tidur di sana dalam perjalanan ke Skudai. Pagi-pagi beliau akan membawa saya menaiki motor meneroka ladang kelapa sawit sebelum mencari kedai roti canai. Hampir semua masalah hidupnya, dari keluarga hingga ke percintaan akan beliau luahkan pada saya. Malah beliau sanggup turun ke KL untuk meluahkan perasaan. Pemergian teman sepermainan seperti Abu begitu membekas dihati, seluruh album gambar tidak mampu mengubati rinduku padanya.

Kematian terbaru yang meragut separuh jiwa saya adalah pemergian arwah ayah (Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus, 30 April 1959 – 29 Febuari 2020) pada hujung Februari tahun ini. Secara jujur saya tidak ada rasa ada perkara yang masih 'tertinggal' untuk saya ucapkan pada ayah. Segalanya telah cukup bagi saya, ayah telah menyempurnakan tugasnya di dunia. Anak-anaknya sudah besar, dan dari aspek kerjaya pun ayah telah berpencen. Cuma mungkin saya tidak sempat menyalin sejarah keluarga dari ayah, ayah memang menjaga rapat hubungan keluarga. Hampir semua keluarga sepupu sepapat dia jejaki semula, kenduri anak-anak mereka dia cuba hadir. Kadang kala ayah cerita letak duduk seseorang dalam salah silah keluarga yang saya sendiri tak mampu ingat. Walaupun telah sempurna tugasnya, pemergian ayah membuatkan rasa kehilangan itu cukup nyata. Mengucup wajahnya yang telah sejuk mengalirkan air mata yang tak pernah cukup untuk dicurahkan.

Mungkin benar kematian itu satu tazkirah buat insan, kematian sepatutnya menghidupkan hati yang masih bernyawa agar dia tidak terlupa untuk "hidup" dalam masa yang sama mengumpul bekal untuk berangkat ke kampung abadi.

Dari Allah kita datang, dan kepadanya jua lah kita akhirnya akan kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan