Khamis, 10 Oktober 2024
Koleksi Fikir: Semangat Kenegerian
Kunjungan Ke Areca Books
Artikel Terbaharu di Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR)
Intelektual Yang Membosankan Memasuki Cetakan Ke-2
Diaspora Podcast Episod-36: Buku Apa Yang Sedang Kalian Baca?
Podcast terbaharu bersama Muhammad Nazreen dalam Diaspora Podcast dimana kami bersembang perihal beberapa buku yang sedang dibaca. Antaranya adalah kisah benar berunsur thriller tentang bagaimana anak kepada Stalin yang melarikan diri ke Amerika Syarikat. Kami juga menyelit-nyelit perihal genocide yang sedang berlaku di Gaza. Nak tahu buku apa yang saya sedang baca? Klik link Spotify ini.
Getusan Hari Kelahiran Pada 01 Oktober 2024
Gambar bersama ibu dan kakak circa 1992. |
Harap, kehadiran sekejap saya di dunia memberi sedikit kebaikan, sebelum esok saya pergi meninggalkannya.
Analisa Perang di Gaza dan Lubnan
Kejatuhan Politik Melayu oleh Firdaus Zainal
Alhamdulillah akhirnya saya selesai membaca buku hebat ini. Ini adalah antara 4 buah buku yang saya beli di PBAKL2024, dengan habisnya bacaan ini, maka saya sudah habis membaca semua buku yang dibeli di PBAKL. Tidakah rasa bersalah sangat beli buku tapi tak baca.
Pada mulanya saya agak skeptik dengan kebolehan buku ini untuk mempertahankan tesis utamanya, iaitu kejatuhan kuasa politik orang Melayu, namun, semakin banyak muka surat yang saya selak, saya merasakan penulis mempunyai kekuatan dalam hujahnya, ia diikat dengan argumen dan fakta yang baik. Walaupun mungkin ada tafsiran yang saya tidak persetujui kerana saya mempunyai pegangan ideologi politik yang berbeza. Perbezaan ideologi ini ada saya sembangkan dengan penulis secara langsung dalam pertemuan di kedai makan.
Antara perkara yang saya suka pada buku ini adalah kekuatan fakta sejarahnya, kerana sebagai pelajar sejarah, aspek pemaparan sejarah ini tentulah paling menarik minat. Kita boleh berbeza dalam hal tafsiran sejarah, namun dari segi fakta dan data sejarah, ia mesti diisi, jika tidak, ia hanya akan menjadi medan perbahasan abstrak.
Saya juga suka dengan bahagian perzamanan di mana penulis membezakan fasa kejatuhan kuasa politik Melayu itu menggunakan beberapa peristiwa penting untuk menandakan sempadan zaman kejatuhan ini. Bermula dengan kejatuhan Kota Melaka, campur tangan British secara langsung dalam negeri Melayu, dan akhir sekali kejatuhan parti politik Melayu iaitu UMNO dalam pilihanraya. Cuma mungkin lebih baik jika aspek perzamanan ini disusun secara chronological supaya nampak lebih kemas dan mudah difahami.
Komen terakhir saya adalah aspek penyuntingan. Saya kira kesalahan ayat masih banyak dan signifikan. Harap cetakan seterusnya, pihak editor buku dapat perbaiki hal ini.
Mengenang Sayyid Qutb: Sasterawan dan Pemikir Ulung Islam
Buku tersebut bertajuk Asy-Syahid Sayyid Qutb: Dari Kelahiran Sehingga Kewafatan terjemahan Ustaz Darus Senawi. Buku tulisan dan terjemahan Ustaz Darus Senawi tidak pernah mengecewakan. Buku memoir beliau bertajuk Kembara Darus Senawi 1963 bagi saya antara buku memoir terbaik dalam Bahasa Melayu yang saya baca. Buku terjemahan ini, yang merupakan penulisan Dr. Solah Abdel Fattah Al-Khalidi perihal biografi Sayyid Qutb yang diterjemahkan beliau juga sangat mempersonakan. Nampak jelas kesarjanaan Ustaz Darus dalam sastera Arab, bukunya bermutu, dengan fikiran yang tajam dan lenggok bahasa yang indah. Bagi saya beliau adalah karyawan under-rated, jika beliau dilahirkan di negara lain, mungkin sudah dapat pelbagai anugerah sastera dan dinobat sebagai tokoh sasterawan. Saya kongsikan beberapa petikan menarik
"Badan Sayyid Qutb yang kecil dan kurus itu membawa jiwa revolusioner, darinya tercetus karya menggegar singahsana taghut."
Petikan ini saya kira antara yang paling menggugah jiwa dalam naskah ini. Perihal bagaimana seorang budak yang berasal dari kampung dan bertubuh kecil tetapi mempunyai daya fikir yang hebat yang menakutkan pemerintah pada ketika itu. Bagi saya, Sayyid Qutb ini merupakan pemikir yang berani berfikir dan mencabar sistem sedia ada yang dianggapnya rosak dan merosakkan, bahkan beliau setia dengan ideanya hingga ke hujung nyawa.
"Sayyid Qutb adalah sasterawan dunia Arab yang luar biasa, juga pemikir setanding Muhammad Iqbal."
Aspek Sayyid Qutb sebagai sasterawan ini merupakan aspek yang jarang diberi penekanan oleh pengkritik-pengkritiknya. Ini kerana mereka membaca tulisan Sayyid Qutb dan mengadilinya hanya secara literal mengikut lensa fiqh. Walhal tulisan beliau merupakan tulisan dengan kekuatan sastera, dalam arena pemikiran dakwah dan pembaharuan. Maka penafsiran tulisannya yang sebenar perlu dilihat dari sudut ini.