Memaparkan catatan dengan label Penulisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penulisan. Papar semua catatan

Selasa, 24 Disember 2024

Kesunyian Adalah Teman Baik Penulis

Sepanjang saya menulis, saya rasa kehidupan penulis ini ada musim-musimnya. Musim pertama adalah musim kesunyian. Dalam musim ini saya mempunyai banyak masa berseorangan. Boleh duduk termenung dengan tenang dan berfikir tentang banyak perkara. Saya boleh membaca dan menghadam buku berlama-lamaan. Membuang masa dengan menulis dan menghuraikan sesuatu yang mungkin pada mulanya tidaklah begitu bermakna. Kesunyian dalam musim ini merupakan teman baik bagi saya. Ia memberi saya masa dan ruang untuk larut dalam pemikiran. Tenang.

Musim kedua adalah apabila sesebuah penulisan itu diterbitkan. Musim ini merupakan musim perlawanan untuk merebut kesunyian. Jarang sekali pada musim ini saya dapat menyendiri dan bercakap-cakap dengan sepi. Biasanya masa dipenuhi dengan acara, berjumpa manusia, berdiskusi, minum kopi bersama, serta berdebat tentang idea. Kesunyian hanya dapat mengintai saya dari jauh sahaja pada musim ini. Masa merupakan satu komoditi yang kering, yang sering saya tidak punya untuk digunakan untuk duduk merenung jauh. Sama ada renungan dalam bacaan, atau renungan dalam penulisan. Tetapi seperti setiap musim, ia juga akan berakhir dan menerbitkan musim baharu.

Lama kelamaan acara akan surut dan saya akan hilang dari pandangan manusia. Ah. Ini adalah masa emas untuk saya melarikan diri. Bertemu semula dengan kesunyian. Kesunyian yang tidak pernah menyakitkan hati atau merajuk dengan saya. Sentiasa sahaja kesunyian itu menyambut saya semula apabila tamatnya musim acara. Saya dapat duduk kembali dan termenung lama, dalam sejuk hujan dan juga panas kopi. Cuba memahami falsafah penulis gila, dan juga idea tidak masuk akal pakar-pakar dunia, juga ada ketikanya hanyut dibuai bait puitis penulis putus cinta. Dalam kesunyian juga, idea biasanya datang bertandang segar, sembangnya panjang tanpa noktah. Dalam musim kesunyian sebenarnya adalah masa-masa indah. 

Kembali tenang.

Khamis, 19 Disember 2024

Ciri-Ciri Kedai Kopi Yang Berjaya


Sebagai seorang pembaca dan penulis, tentulah kehidupan harian saya tidak boleh lari dari secangkir kopi. Peneman setia saya dalam mengelamun menafsir manuskrip orang lain juga sebagai peneman hidup ketika saya sedang menulis manuskrip saya sendiri. Walaupun saya paling selesa membaca dan menulis di ruang kecil peribadi saya di rumah sendiri. Ada kalanya saya terpaksa keluar untuk membaca dan menulis di luar. Namun dalam banyak ketika, suasana di luar ini sering melukakan hati saya kerana suasananya yang tidak kondusif bagi saya melakukan kerja-kerja saya. Maka di sini saya ingin menetapkan beberapa ciri-ciri wajib yang harus ada pada pengusaha kedai kopi bagi memastikan kedai kopi mereka berjaya. Ciri-ciri ini harus dijadikan silibus wajib bagi pengusaha semua kedai kopi di seluruh dunia. Jika Elon Musk berjaya membina koloni manusia di Marikh, silibus ini seharusnya turut terpakai di sana.

Ciri-ciri kedai kopi yang berjaya:

1. Kopinya mestilah sedap dan pahit. Jika kopi itu manis sehingga tenggelam rasa pahitnya, maka itu sebenarnya bukan kopi, tetapi air gula yang ditambah sedikit serbuk kopi.

2. Suhu kedai tidak terlalu sejuk sampai menggigil, faktor suhu ini sangat penting kerana penulis dan pembaca seperti saya memerlukan masa duduk yang lama. Suhu juga tidak boleh panas dan merimaskan sehingga menyebabkan ketiak basah.

3. Tidak pasang lagu bising yang bingit. Membaca dan menulis memerlukan konsentrasi yang tinggi, sesuatu lagu mungkin diminati oleh barista, tetapi bagi peminum kopi yang sedang membaca dan mencari idea, ia mungkin adalah azab yang menyiksakan. Oleh itu kedai kopi yang baik perlu ada suasana tenang, perlu ada vibe tenang ala-ala Ghibli. Apakah yang dimaksudkan dengan vibe Ghibli? Saya selalu melihat hasil seni Ghibli yang ada unsur-unsur nature sebagai karya yang sangat menenangkan. Jadi, vibe Ghibli adalah kedai yang tidak terlalu sibuk, dan ada permandangan yang cantik di dalamnya.
 
4. Akhir sekali,jangan kacau orang yang sedang minum kopi sambil baca buku didalamnya. Ini merupakan sesuatu yang paling pantang! Jika pada ketika dia dikacau dia sedang dapat idea dan ideanya terputus, boleh jadi dia akan trauma seumur hidup.

Setakat pengalaman saya hidup di dunia yang singkat ini, saya belum jumpa kedai kopi yang telah memenuhi semua kriteria ini.

Ahad, 15 Disember 2024

Bibliografi Tahun 2024


Buku 

1. Syed Ahmad Fathi. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press, Mac 2024. ISBN: 9786299905011 

2. Syed Ahmad Fathi. Intelektual Yang Membosankan. Kenyalang Press, Mei 2024. ISBN: 9789670040707 

3. Syed Ahmad Fathi. Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Penerbit Cakna, November 2024. ISBN: 9786299517603  

Jurnal

1. Syed Ahmad Fathi. "Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia". Jawhar: Jurnal Kajian Ketamadunan 20: 83-97, 2024. ISSN 1675-8609

2. Syed Ahmad Fathi. “Anti-Colonial History: Pulau Pinang from the Point of View of Local Historian and Writer”. MINDEN Journal of History and Archaeology 1 (1): 58-70, 2024. ISSN: 3030-685X

3. Syed Ahmad Fathi. 2024. “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2): 1-13, 2024. E-ISSN 2590-4086

Nota: Alhamdulillah, berakhir sudah sesi penulisan untuk tahun ini. Tak tahu tahun depan masih ada masa atau tenaga untuk menulis, tapi jika ada ruang dan peluang yang diizinkan Allah, insha'Allah akan diusahakan.

Selasa, 19 November 2024

"Kau ni tulis banyak sangat buku"


Kadang-kala kalau saya berjumpa dengan kawan-kawan, ada juga yang bergurau dan berkata yang saya tulis banyak sangat buku. Ada yang kata "kau ni tulis buku macam buat goreng pisang". Sebenarnya susah juga proses menulis buku. Kebanyakannya ditulis bertahun-tahun, disimpan, diperam, bila sudah ada keyakinan diri, baru diperbaiki, disusun, diasah, dan dikeluarkan. Tetapi orang tidak nampak proses bertahun-tahun ini, proses duduk membaca, proses membuat carian maklumat, proses cuba memahami sesuatu idea dan konsep, semua proses ini sebenarnya lebih lama dari proses membuat goreng pisang. Tetapi semua proses ini terhijab sebab ia tidak dizahirkan. Kalau asyik memberi tahu orang kita sedang menulis buku mungkin nampak seperti menunjuk-nunjuk, dan tidak begitu manis dan bertatasusila. Kebiasaannya, apabila semua proses ini sudah siap dan manuskrip sudah diserahkan kepada penerbit, barulah kita akan beri tahu orang dan buat hebahan.

Tapi kadang-kadang hati ini berbolak-balik, ada kalanya saya rasa betul juga, kadang saya fikir juga. Mungkin sudah sampai masa saya berhenti menulis dan sudah cukup dengan buku-buku yang ada setakat ini. Banyak-banyak buku, bukan ada orang yang akan baca kesemuanya. Mungkin saya patut berhenti dan cari hobi lain. Antara hobi yang saya pertimbangkan mungkin mahu pergi gym dan besarkan muscle lengan, atau pergi mengembara secara solo di pergunungan di Tibet atau pergunungan di Hindu Kush.

Namun, pada satu hari, saya terdengar sebuah podcast oleh Dr. Roy Casagranda bersama Daizy Gedeon, beliau menceritakan bagaimana Ibnu Haitam menulis 130 buah buku semasa hayatnya. Dahsyat juga, sebab zaman dahulu bukan macam hari ini, ada kemudahan seperti laptop, dulu proses menulis buku adalah proses manual menggunakan tangan. Saya fikir, mesti lenguh tangan Ibnu Haitam tulis hingga 130 buku. Zaman itu juga belum ada kopi hipster seperti Zus Coffee, mungkin kalau mengantuk, Ibnu Haitam terpaksa membancuh kopi biasa sahaja. Apabila saya membuat perbandingan, apalah sangat beberapa buku yang saya tulis berbanding Ibnu Haitam yang telah menulis 130 buku.

Walaupun Ibnu Haitam menulis 130 buku, hanya 20 dari buku-buku beliau yang berjaya survive hingga ke hari ini selepas 1,004 tahun beliau meninggal. Maksudnya, selepas hampir seribu tahun, hanya 15 peratus sahaja bukunya yang dapat bertahan. Jadi kalau kita mahu satu buku bertahan selepas seribu tahun, kita sekurang-kurangnya perlu menulis 10 buku. Tetapi buku bertahan bukan disebabkan bilangan sahaja, kalau buku yang ditulis tidak bermanfaat dan membosankan, mungkin, jika ditulis 1,000 buku pun, semuanya tidak akan bertahan. Jadi selain jumlah, kita juga perlu menulis dan mengeluarkan idea yang menarik. Proses ini bukanlah proses yang mudah. Tetapi saya yakin, jika kita konsisten menulis walaupun tulisan kita pada awalnya tidak menarik, semakin lama penulisan kita akan menjadi semakin baik. 

Jadi, bila saya fikir semula, saya tidak jadi mahu bertukar hobi. Saya batalkan niat untuk pergi gym, Tibet, dan Hindu Kush. Saya mahu sambung semula menulis.

Khamis, 29 Ogos 2024

Betul ke pembaca Malaysia tak minat wacana kritis?

 

Saya baca juga keluhan-keluhan sahabat-sahabat penulis yang mengatakan buku wacana kritis di Malaysia ini tidak laku kerana rakyat Malaysia tak berminat dengan wacana kritis. Saya sebenarnya tak bersetuju dengan kenyataan ini.

Kadang-kadang saya rasa penulis ini dia syok sendiri. Dia rasa penulisan dia best dan hebat. Maklumlah disunting penerbit besar, dapat anugerah sastera berlori-lori, tapi buku tetap tak laku. Habis akan disalahkan pembaca tak berminat baca buku sastera. Semua salah pembaca. 

Pembaca tak minat wacana kritis. Pembaca tak minat hadam karya sastera. Pembaca tak suka baca buku akademik aras tinggi. Dan seribu satu lagi alasan menyalahkan pembaca jika buku tidak terjual. Tapi saya rasa, dari menyalahkan pembaca, eloklah disalahkan diri sendiri.

Bagi saya, kalau satu penulisan itu hebat dan bermutu, kita tidak perlu salahkan sesiapa. Buku itu akan jumpa pembacanya, tidak generasi ini, generasi seterusnya, tidak seterusnya mungkin 4-5 generasi akan datang. Kalau tak ada pembaca sekalipun, saya kira penulis patutnya sudah boleh bertenang, kerana dia telah menulis.

Dia telah jalankan apa yang mampu diusahakannya. Dia sudah ketengahkan idea. Dia tidak boleh paksa masyarakat untuk terima atau suka kepada penulisannya. Itu hak masyarakat untuk membuat pilihan. Tak semestinya wacana kritis itu ada pada buku sahaja, wacana kritis ini boleh didapati di dialog-dialog kritis, forum, syarahan, debat, dan sebagainya. Buku hanya salah satu medium wacana.

Lagi pun, saya kira, lagi aman kalau penulis itu menulis selari dengan kuntuman hatinya. Tak perlu sangat mengejar-ngejar pembaca. Ada yang sudi terbitkan karya kita, alhamdulillah. Ada yang sudi beli dan baca alhamdulillah. Kalau tidak ada yang sudi, boleh terbit sendiri, simpan, wariskan pada anak-anak buat kenang-kenangan. Bagi saya, begitu lagi aman.

Kadang saya bosan juga baca keluhan yang menyalahkan pembaca ini, tidak habis-habis. Tak kiralah penulis muda atau tua. Bagi saya, penulis yang baik bukan sibuk kejar dan salahkan pembaca. Tapi dia sibuk berkarya, kerana jiwanya di situ. Jiwa-jiwa pembaca ini, bukan dalam kawalan penanya. Maka haruslah dia fokus kepada mencari bahagia pada kembara redup karya penanya.

Layakkah Pembaca Mengkritik Penulis?

 

Dalam segmen wacana kritis mandiri bersama penulis di The Bibliophile Bookshop, pempengaruh buku tersohor tanah air Asha Kakchik telah membangkitkan satu soalan yang kontroversi, bolehkah pembaca itu mengkritik penulis?

Sesetengah intelektual yang membosankan pasti tidak membuka ruang kepada pembaca terutamanya jika pembaca itu tidak masuk ke "pintu ilmu" seperti pintu ilmunya. Bagi mereka hanya orang yang masuk mengikut pintu ilmu mereka sahaja layak berbicara soal-soal besar yang mereka bicarakan. Seolah-olah dalam hidup ini hanya ada satu pintu ilmu.

Saya tentulah tidak bersetuju dengan lagak intelektual yang membosankan seperti ini. Dalam wacana tersebut saya membawakan kalam Bart Ehrman dalam bukunya Misquoting Jesus. Buku ini tidak banyak dibaca oleh khalayak Malaysia kerana buku ini perihal agama Kristian, dan wacananya membincangkan kesejarahan kitab Injil. Tetapi ini adalah antara buku yang paling best saya pernah baca selama 34 tahun saya hidup. Jika terdampar di sebuah pulau keseorangan, buku ini salah satu buku yang saya akan bawa untuk mendampar bersama, (saya tidak dapat royalti tolong promote buku Ehrman).

Berbeza dengan sarjana lain yang melihat Injil dari sudut teologi. Ehrman mengkaji Injil dari sudut sejarah. Pada mulanya, Ehrman sangat judgemental kepada scribe (penyalin kitab Injil di monasteri) yang sering mengubah dan mengolah tulisan dalam kitab Injil. Namun apabila semakin tua dan semakin lama mengkaji, pada penghujung bukunya, Ehrman tidak lagi menyalahkan scribe yang sering mengubah, mentafsir, dan menambahbaik Injil.


Bagi Ehrman, pembacalah yang akan akhirnya menafsirkan apa-apa teks tulisan. Maka inilah poin saya, menafsir dan mengkritik sesebuah penulisan itu memang hak pembaca. Apabila penulisan itu telah keluar, penulis tidak boleh lagi menghalang orang lain menafsirkan penulisannya.

Cuma saya menerangkan bahawa, penafsiran pembaca tidak boleh dijadikan asas bagi menilai pemikiran penulis. Pemikiran penulis mestilah dinilai dari penulisan asalnya, bukan dari tafsiran yang telah dilakukan oleh orang lain terhadapnya. Biar pun seribu orang telah mengkritik dan menafsir sesebuah penulisan, jika kita hendak memahami penulisan tersebut, tetap kita kena pulang ke teks asal untuk berlaku adil. Kerana tafsiran orang lain telah bercampur dengan pemikiran yang asing dari pemikiran asal penulis. Bagi yang membaca buku Intelektual Yang Membosankan, kritikan saya terhadap buku-buku lain dalam naskah itu saya harapkan menganjurkan pada proses yang sama. Jangan percaya kepada kritikan saya, tetapi kembalilah pada buku-buku asal yang dikritik itu untuk dinilai sendiri.

Sabtu, 22 Jun 2024

Perlukah kita gali kubur Huntington dan Kissinger?

 

Pada pandangan saya budaya kritik itu memang perlu disuburkan. Ada idea yang kita rasa tak kena, kita boleh utarakan pendapat dan kritikan kita. Kita ulas kenapa kita tidak setuju.

Dalam masa yang sama, kita kena bersedia untuk menerima kritikan orang lain pada kita. Sebab kita sendiri pun bukanlah pandai atau paling tajam ideanya. Bagi saya, orang yang menulis itu bukan paling pandai, tapi dia ada keberanian untuk meletakkan ideanya di tengah untuk dinilai dan dikritik oleh orang awam. Bila dikritik perlulah terima dengan hati yang terbuka, kecualilah kritikan itu bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan idea yang dibincangkan.

Cuma kadang saya kelakar sedikit dengan orang yang kononnya mengetengahkan idea ilmu mandiri kritis, tapi tak boleh terima kritikan orang lain. Seolah-olah kritikan itu miliknya sahaja dan milik orang aliran dia sahaja. Seolah kalau nak mengkritik kena baca semua buku aliran dia sahaja. Aliran dia yang paling best. Bila dia mengkritik dia angkat dirinya sebagai "kritis", tapi bila orang lain mengkritiknya, dia angkat orang lain sebagai "jumud".

Lebih kelakar, orang yang membosankan dan berlagak seperti intelektual, yang sibuk bergaduh di media sosial dan menggunakan hashtag #notaintelektual kata orang yang mengkritiknya tak faham idea yang dikritik dan tak pernah jumpa penulis yang dikritiknya.

Saya boleh terima bahagian pertama, mungkin saya tak faham idea istimewa hebat bombastik jargon "intelektual" nya itu. Sebab saya ini tidak bijak dan tidak intelektual. Cuma saya rasa kelakarlah sikit kalau kita hendak kritik seorang penulis kita kena pergi jumpa penulis tersebut.

Katalah kita nak kritik idea Clash of Civilization Huntington atau idea World Order Kissinger. Memang kita kena pergi jumpa mereka dahulu ke sebelum mengkritik ideanya? Tapi mereka sudah mati. Perlu ke kita gali kubur mereka sebelum kita boleh kritik idea mereka?

Sabtu, 11 Mei 2024

Mengapa Perlu Menyimpan Jurnal Peribadi?


Saya merasakan menulis dan menyimpan jurnal peribadi adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan dan membahagiakan. Topik-topik lain, perihal politik, ekonomi, sosial dan lain-lain boleh ditulis oleh orang lain. Tetapi penulisan perihal diri dan hidup kita hanya kita yang mampu menulisnya. Orang yang paling "expert" tentang diri kita adalah kita.

Adakah hidup kita signifikan untuk dijurnalkan? Jika pun tidak signifikan untuk orang lain, jurnal kita akan sangat signifikan untuk diri kita sendiri. Tidak semua perkara dalam hidup ini dapat kita ingati, banyak perkara-perkara kecil yang akan kita lupakan. Namun dengan menyimpan jurnal, perkara-perkara kecil ini dapat kita pelihara, dapat kita selak semula pada satu hari nanti. Membuatkan kita tersenyum, atau mungkin menangis dalam nostalgia rindu.

Dengan adanya jurnal peribadi, kita dapat mengukur perubahan diri. Selang berapa tahun, kita boleh membaca semula pengalaman lalu, dari situ kita dapat membandingkan perubahan diri kita. Namun jika ia tidak dijurnalkan, sukar untuk kita melakukan perbandingan, kerana banyak sisi-sisi hidup kita yang lalu akan hilang ditelan memori. Dengan adanya rekod bertulis, kita dapat melakukan perbandingan yang lebih tepat dan bermakna.

Jurnal peribadi juga boleh digubah semula. Ia boleh diadun dengan imaginasi dan juga kreativiti untuk menghasilkan satu penulisan yang unik. Di satu sudut, ia bersifat peribadi dan mampu membuatkan kita mengenang semula memori lama. Di satu sudut lain, ia dapat menjadi kisah yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Dengan mengadunnya semula dengan imaginasi dan kreativiti, ia boleh dibaca oleh pembaca lain sebagai satu penulisan yang tidak terlalu peribadi, suatu penulisan yang membuatkan orang lain merasakan ada kaitan yang boleh dibuat dengan diri mereka sendiri dengan kisah-kisah yang dibawakan.

Saya kira antara contoh jurnal peribadi yang baik yang diadun dengan imaginasi dan kreativiti adalah Jurnal Seorang Rockers oleh Mel Zainal. Ia adalah satu penulisan yang duduk di tengah-tengah. Antara karya non-fiksyen dan karya kreatif kerana ia menggabungkan kedua-dua elemen ini. Di satu sudut, penulis dapat memelihara memorinya, di satu sudut yang lain, dia dapat mempersembahkan satu cerita yang santai.

Menulis jurnal juga saya kira adalah sebagai satu tanda, tanda bahawa perasaan kita pernah wujud di dunia.

Khamis, 4 April 2024

Timbunan Draf-Draf Penulisan Terbengkalai


Hampir setiap hari, apabila saya membaca-baca berita yang keluar, tiada satu pun yang benar-benar menunjukkan bahawa dunia ini sedang menuju kepada masa depan yang optimistik dan lebih baik. Sepertinya dunia ini menuju zaman kegilaan, Raja Ahmad Aminullah menulis bahawa zaman ini adalah "Zaman Edan".  Sebab itu saya selalu merasakan pada masa kini, elok saya berundur ke alam pembacaan dan penulisan. Sekurang-kurangnya alam penulisan lebih "make sense" dari apa yang berlaku dalam realiti dunia hari ini.

Apabila saya mula menyambung pengajian, saya sedar banyak benda-benda yang menarik untuk diteroka dan diketahui. Untuk difikir dan ditulis. Walaupun ia mengayakan pemikiran, saya juga kadang-kala merasakan ia mengambil banyak masa saya untuk menulis hal-hal lain, kerana banyak masa diluangkan menulis perihal hal-hal akademik. Hal akademik seronok sebenarnya untuk ditulis, tetapi ia tidak mempunyai ruang yang besar untuk refleksi berbanding penulisan esei yang lebih bebas.

Saya juga merasakan, kadang kala orang yang membaca penulisan kita, mereka melihat buku-buku yang kita tulis dan terbitkan, dan merasakan bahawa seorang itu banyak "kejayaan". Tetapi apa yang pembaca tidak nampak adalah sebenarnya lebih banyak lagi buku-buku yang tergendala, yang sudah ditulis bertahun-tahun tetapi terbengkalai, penulisan yang ditulis separuh dan tidak diteruskan, dan seribu satu penulisan yang tersimpan di dalam fail draf. Sebenarnya apa yang diterbitkan itu permukaan sahaja, disebaliknya sebenarnya banyak lagi buku-buku yang tidak berjaya.

Penulisan ini bukanlah satu penulisan terarah. Sekadar mahu mencoret sedikit anekdot perihal beberapa fikir yang datang ke minda.

Ahad, 17 Mac 2024

Menambah Sebuah Bibliografi: Resistance Sudah Berbunga


Tahun ini saya diberi rezeki oleh Allah untuk menambah satu lagi bibliografi, iaitu sebuah buku yang bertajuk Resistance Sudah Berbunga. Buku ini sebenarnya tidak ada dalam draf asal rancangan penulisan, namun melihat kepada situasi perang yang menyedihkan di Gaza pada ketika ini, saya merasakan tidak menulis satu buku khas perihal tajuk ini merupakan satu pengkhianatan buat mereka di sana. 

Buku ini saya dedikasikan buat anak-anak di Gaza. Buku ini sebenarnya antara buku yang sukar ditulis oleh saya, pertama kerana ia membangkitkan emosi saya yang sangat kuat. Kedua, kerana keadaan yang begitu menyedihkan di sana membuatkan saya merasakan begitu sedih. 

Selepas perang baru yang meletus, saya dilanda serangan panik, hampir setiap hari, dan selama setiap hari, saya akan membaca berita dan berharap agar pejuang kemerdekaan di sana mendapat kemenangan. Compulsion saya membaca berita-berita ini diikuti dengan compulsion saya untuk menulis analisis suasana ketenteraan di sana bagi meredakan kerisauan hati saya. 

Penulisan selama seratus hari lebih ini akhirnya melahirkan buku ini. Buku ini juga satu usaha yang sukar kerana ia ditulis semasa saya sedang bergelut dengan peperiksaan semester pertama dalam pengajian sarjana sejarah saya di Universiti Sains Malaysia. Syukur projek ini akhirnya berjaya siap. Maka bolehlah saya menyambut Ramadhan mubarak dengan hati yang lebih tenang. Compulsion saya membaca berita sebenarnya masih belum surut kerana situasi di sana yang masih genting, namun compulsion menulis saya sedikit sebanyak telah terubat. Semoga naskah ini dapat menjadi sebahagian dari bibliografi yang membantu memerdekakan Palestin.

Khamis, 2 November 2023

Untuk Cinta, Aku Laburkan Umur Pada Ilmu

 

Semalam sempat ke Big Bad Wolf Sungai Petani bersama anak-anak. Oleh kerana ada beberapa almari lagi buku yang belum dibaca, dan mungkin takkan sempat dibaca semuanya sebelum mati, jadi saya berikrar untuk beli sebuah buku sahaja. Saya tertarik dengan sebuah buku yang cuba untuk memperihalkan sejarah universiti, bagaimana universiti boleh sampai ke tahap moden yang diduduki sekarang. Buku tersebut bertajuk Wisdom's Workshop: The Rise of the Modern University oleh James Axtell.

Saya mempunyai satu sikap di mana, kalau saya tahu buku itu menarik, namun saya tak punya masa untuk membacanya, saya akan membelek-belek dan membaca 10-20 mukasurat pertama. Biasanya tesis utama akan berada dalam lingkungan ini. Walaupun mungkin bukan keseluruhannya. Axtell dalam kalam mulanya banyak menceritakan perihal pengalaman peribadinya, perubahan-perubahan minatnya yang menyebabkan beliau banyak menulis subjek-subjek yang berbeza. Namun akhirnya beliau kembali ke subjek kegemarannya, yang beliau gelar sebagai "cinta pertama", iaitu universiti.

Membaca pengalaman Axtell menulis menimbulkan satu semangat yang berjangkit kepada saya. Entah kenapa semangat menulis saya yang semakin lama semakin pudar muncul semula. Melihat semua buku-buku yang ditulis Axtell membuatkan saya cemburu. Takkanlah saya hanya mahu berhenti di sini, sedang horizon ilmu masih luas. Masih banyak yang boleh dipelajari dan ditulis dengan baki umur yang ada. Maka saya kira saya perlu bersemangat semula untuk mengangkat pena.

Budaya pena dan penulisan bukanlah sesuatu yang baru di tanah nusantara kita ini. Menurut John M. Gullick dalam tulisannya Indigenous Political Systems of West Malaya (halaman 52), budaya penulisan dan sastera telah merebak di Nusantara sejak berkurun lamanya. Pada kurun ke-15 surat dari kuasa asing akan di bawa oleh Sultan Melaka ke bandar dengan rombongan bergajah untuk dibacakan. Begitu sekali mereka meraikan sebuah penulisan.

Maka haruslah kita generasi baharu meneruskan budaya penulisan, pembacaan, susastera, dan juga wacana. Bukan sekadar untuk meninggalkan sesuatu untuk generasi seterusnya. Tetapi juga untuk diri kita sendiri. Untuk memuaskan kecintaan kita pada ilmu. Kerana bagi saya, umur yang berguna adalah umur yang kita laburkan pada ilmu.

Jumaat, 15 September 2023

Ombak Yang Kepenatan


Dalam sebuah bual bicara, Saudara Wan Hamidi ada menegur penulisanku di mana aku menulis bahawa aku merasakan aku telah tua. Aku memberi tahu padanya perihal konteks penulisan ku itu. Kerana kebanyakan mereka yang datang mendekatiku untuk bertanya perihal hal-hal penulisan adalah orang yang lebih muda dari diriku, sebab itu aku merasakan diri ku tua.

Wan Hamidi menerangkan bahawa dia menegurku yang perasan tua kerana dia bimbang bahawa aku akan berhenti menulis. Katanya apabila seseorang itu tua, dia mungkin merasakan masa untuk dia menulis sudah selesai. Dia pun meletakkan penanya dan tidak lagi menulis. Pada ketika itu, aku merasakan, pasti aku tidak seperti itu. Aku masih bersemangat untuk menulis, dan aku akan terus menulis.

Namun sedikit demi sedikit apa yang digusarkan oleh Wan Hamidi itu menyelinap masuk ke dalam hidupku. Semakin lama aku semakin kurang menulis dan tidak lagi aktif menerbitkan penulisan. Malah banyak projek-projek penulisan yang tergendala dan berhabuk sahaja di dalam komputer. Sepertinya gelombang yang menolakku untuk menulis telah surut dan pudar. Ombak semangat untuk menulis dalam jiwaku sudah kepenatan.

Namun apabila direnungkan, sebenarnya tidaklah aku berhenti menulis langsung. Namun fokusku sudah berubah. Kebanyakan penulisanku berfokus pada hal-hal yang lebih akademik. Jadi aku kurang menulis perihal perenungan hidup, kisah-kisah, cerita pendek, yang sebelum ini merupakan jenis-jenis esei kegemaranku. Aku merasakan, sebenarnya, semangat menulis itu ada pasang surutnya. Mungkin kini aku di fasa persurutan, tetapi tidaklah sampai ke tahap berhenti.

Bagi aku penulisan itu memerlukan sifat istiqamah. Istiqamah ini bukan melakukan perkara ketika bersemangat sahaja. Melakukan perkara ketika bersemangat itu kerja mudah. Tetapi istiqamah yang sebenar adalah apabila kita memaksa diri kita melakukan perkara ketika kita penat dan malas. Jika dalam keadaan paling bawah pun kita masih terus cekal bekerja dan berusaha, maksudnya kita berjaya istiqamah. Walaupun mungkin usaha itu tidaklah sebanyak seperti mana ketika semangat kita sedang bergelojak dan membara.

Sedang aku melayan perasaan malas yang membadai jiwa ini aku menerima sepucuk mesej.

"Saiyid Ahmad Fathi berbakat, insyaallah masa depan menanti dia di sana."

Mesej ini merupakan mesej yang dihantar oleh Ustaz Darus Senawi kepada Ustaz Yazid Noh selepas Ustaz Yazid menyerahkan naskah Mendidik Untuk Bahagia kepada Ustaz Darus. Naskah tersebut merupakan antologi kumpulan catatan aktivis pendidikan di Sabah yang aku bantu susun, sunting, dan terbitkan. Bagi aku Ustaz Darus bukanlah penulis sebarangan, walaupun aku tidak pernah menjadi pelajar beliau secara langsung, aku ada membaca naskah-naskah kitab Arab yang beliau terjemahkan. Antaranya kitab Fiqh Al-Sirah yang merupakan kitab karangan Almarhum Sheikh Said Ramadhan Al-Buti, kitab terjemahan Ustaz Darus ini aku tekuni semasa aku menyambung pengajian di Rusia ketika muda dahulu. Namun bukunya yang paling berbekas bagiku adalah naskah Kembara Darus Senawi 1963. Bagi aku buku ini agak istimewa kerana ia memaparkan sudut peribadi beliau juga pengalaman mudanya.

Mesej dari Ustaz Darus ini, meski pun ringkas, membuatkan hati aku sedikit berbunga semula. Sedikit sebanyak kabus kemalasan bertiup pergi dan ombak kemalasanku sedikit sebanyak bergelora semula. Ayuh, aku mahu bermula semula.

Ahad, 3 September 2023

Berfikir Tentang Pemikiran Selepas 5 Tahun


Dalam coretan kali ini, izinkan saya untuk bernostalgia. Buku Berfikir Tentang Pemikiran mungkin merupakan buku pertama yang saya tulis. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2018 secara swaterbit. Buku ini merupakan tiket saya untuk masuk ke dunia perbukuan. Walaupun diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2018, ianya ditulis jauh lebih awal, selama beberapa tahun. Jadi kandungannya sebenarnya merupakan pemikiran seorang budak lelaki di usia 24-25 tahun. Bagi saya, ia adalah satu umur yang terlalu awal dan sangat muda untuk melahirkan satu buku yang masak ranum ideanya, jitu hujahnya, dan juga menarik perhatian cerakinan dan olahannya.

Namun ketika itu saya masih muda. Satu zaman di mana kita mempunyai banyak idea dan usia di mana kita seorang idealis. Berlawan idea dan berhujah merupakan aktiviti yang merangsang jiwa, oleh itu banyak benda yang hendak diperkata dan ditulis. Dalam masa yang sama, saya mahu buktikan pada dunia bahawa saya mempunyai idea, walaupun sebenarnya dunia tak kisah pun sama ada kita ada idea atau tidak, ia tetap akan mengorbit suria seperti biasa.

Dan mungkin hari ini idea-idea saya tentang dunia telah berubah, tapi tetap buku ini istimewa buat saya. Kerana ia merupakan rekod fikir saya. Saya tidaklah pernah begitu kisah tentang apa yang orang kata perihalnya, kerana itu tidak pernah ada dalam perkiraan saya. Contohnya Benz Ali yang pernah mengkritiknya sebagai satu buku yang didaktik. Bagi saya buku ini merupakan rekod peribadi yang penting, kerana dengan merekodkan fikiran lalu kita, kita dapat merenungnya semula di masa hadapan, membandingkan ia dengan fikiran yang baharu. Dengan itu, kita mampu melihat bagaimana fikiran kita berubah. Jika tidak direkod, kita tak mampu menganalisa perubahan tersebut. Walaupun fikiran saya sudah berubah, tinta lama saya sudah kering, pena telah diangkat dan buku telah dicetak, saya tidak mempunyai keinginan untuk mengubah idea-idea lama saya. Biarlah ia tersimpan dalam naskhah ini. Namun saya tidak pernah berhenti mahu menulis perihal idea-idea baharu.

Walaupun dikritik, ada juga yang memujinya. Dari edisi swaterbit, buku ini kemudian mendapat nafas baharu apabila diterbitkan semula oleh Biblio Press dengan kata pengantar oleh Puan Emmy Hermina pada tahun 2020. Saya terhutang budi kepada Biblio Press kerana mereka benar-benar berusaha keras memasarkan dan mempromosikan buku ini hinggalah ia tersenarai sebagai 50 buku terbaik Malaysia oleh MBKM untuk tahun 2020/21. Dan pada tahun 2022 ia diterbitkan semula oleh Kenyalang Press. Jadi buku ini sudah bersalin kulit sebanyak 3 kali. Tetapi bagi saya secara peribadi, siapa yang mempunyai kulit yang pertama, mereka merupakan orang yang sangat saya hargai, kerana merekalah orang yang pertama yang menyokong penulisan saya. Jadi, terima kasih saya ucapkan.

Kulit pertama buku ini merupakan gambar saya di Peterhof, sebuah istana yang didirikan oleh Peter the Great di pinggiran Teluk Finland. Saya sudah lupa siapa yang mengambil gambar saya tersebut, mungkin teman saya Khalis atau Nazrin. Oleh kerana tajuknya “berfikir” penerbit kemudiannya memberikan kulit baharu dengan gambar patung skulptur Le Penseur yang dihasilkan oleh Auguste Rodin dalam edisi kedua dan ketiga. 

Oleh kerana itu, ia kelihatan seperti buku falsafah sedikit walaupun bukan itu mauduk asal penulisan saya. Jika ditanyakan kepada saya, adakah ia buku falsafah? Saya akan menjawab tidak, dan mungkin ya. Tidak jika falsafah yang dimaksudkan adalah pemikiran ahli falsafah yang selalunya diperkatakan seperti Socrates, Plato dan lain-lain, atau mungkin ahli falsafah moden seperti Hegel dan Marx. Kalau itu falsafah yang dimaksudkan, maka buku ini bukanlah bukunya. Tetapi jika falsafah yang dimaksudkan adalah lebih umum, iaitu tafsiran-tafsiran kepada dunia dan kehidupan, maka mungkin ya. Ia adalah produk tafsiran dan pemikiran saya perihal dunia dan kehidupan di sekeliling saya.

Sekian, sekadar sedikit nostalgia tentang penulisan.

Jumaat, 23 Jun 2023

Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?


Pesta buku yang terbesar di Malaysia adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dalam ingatan saya, pertama kali saya menghadirinya adalah ketika usia saya 15 tahun, sewaktu itu ia diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Pada saya berusia 16 tahun, tempatnya ditukar ke MAEPS, Serdang. Ini adalah memori awal saya perihal pesta buku. Namun menurut ibu saya, sebenarnya saya pernah ke pesta buku lebih awal. Kata ibu saya pernah ke PBAKL bersamanya semasa berumur 2 tahun dan hilang dari pantauan beliau, namun selepas itu ibu berjaya menjumpai saya yang hilang apabila urusetia membuat pengumuman ada anak hilang di kaunter. Namun memori ini terlalu awal, hanya ibu saya yang mengingatinya, saya sendiri tidak dapat menemukan memori ini dalam ingatan.

Semasa saya menghadiri PBAKL pada usia belasan tahun itu, antara yang saya perhatikan dan ia kemudian menjadi titik kritikan saya adalah perkataan “antarabangsa” dalam PBAKL yang tidak diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kerana pada ketika itu, minat membaca saya adalah pada buku-buku dari luar negara terutamanya buku berbahasa Inggeris. Pada masa ini, saya ke pesta buku sebagai pembaca, pembaca kepada buku-buku berbahasa Inggeris. Juga mungkin saya boleh tambah, pembaca yang naif.

Pandangan saya tentang pesta buku berubah pada tahun 2019. Kerana pada tahun tersebut, saya tidak lagi hadir ke pesta buku sebagai pembaca, tetapi sebagai seorang pembaca dan juga penulis. Pada tahun 2018, saya menerbitkan buku Berfikir Tentang Pemikiran secara swaterbit, dan teman saya, Izzat Ibrahim mengajak saya menjual buku bersamanya di reruai mandiri semasa PBAKL 2019. Pada ketika itu saya mula belajar perihal industri buku, bukan lagi sebagai pembaca yang naif, tetapi sebagai pembaca, penulis, dan juga penjual buku. Saya bertemu ramai orang pada ketika itu dan jaringan saya bersama “orang-orang buku” bermula. Saya tiba-tiba disedut masuk ke dalam dunia buku, di dalamnya ada penjual buku, aktivis buku, kolektor buku, penganjur wacana buku, pengkritik buku, pengossip buku, penerbit buku, editor buku, penulis buku, penganjur acara buku, pencetak buku, dan lain-lain. Baru saya sedar bahawa buku itu ada dunianya yang tersendiri, dan pesta buku merupakan sarang mereka bertemu.

Sejak dari itu saya mula melihat pesta buku ini dari kacamata tempatan, kacamata ekosistem buku, kacamata penulis, bukan lagi sebagai seorang pembaca buku-buku Inggeris. Saya masih kekal membaca buku-buku Inggeris, tetapi saya kini sedar bahawa PBAKL bukanlah tempatnya. Buku-buku Inggeris saya biasanya akan datang dari kedai buku internasional dalam talian seperti Book Depository (sudah di tutup), Abe Books dan Bookfinder. Juga kedai buku dan acara buku di luar talian seperti Kinokuniya dan Big Bad Wolf. Ada kalanya saya mencari buku terpakai di Chowrasta Market, Pulau Pinang, juga dari dalam talian di portal seperti Books n Bobs dan Bookaholics Anonymous. Saya tidak lagi mempunyai jangkaan naif bahawa banyak buku-buku Inggeris boleh didapatkan di pesta buku di Kuala Lumpur.

Selepas 2019, saya mula ke PBAKL sebagai penulis. Dari sudut penerbit dan kedai buku yang menjadi pempamer, persoalan utama pastilah tentang pemasaran dan jualan buku. Mereka masuk dengan modal yang besar, jadi untung dan rugi menjadi kriteria utama. Analisis perihal trend pembaca, trafik pengunjung, dan juga statistik perbelanjaan pengunjung, merupakan perkara-perkara yang akan diperhalusi pasca-PBAKL. Namun, saya ingin membawakan sudut yang lain, iaitu sudut penulis. Apa yang diharapkan oleh penulis dari sebuah pesta buku?

Bagi saya, yang pertama adalah penulis mahu berjumpa dengan pembacanya secara bersemuka. Dengan ini penulis dapat mengambil maklum balas secara primer dari pembaca. Tidak semua pembaca selesa menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu buku secara terbuka. Jadi pesta buku merupakan tempat yang sesuai bagi mereka bertemu dengan penulis dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan semua yang ditulis oleh penulis. Mereka juga boleh memberi kritikan, pandangan balas, juga cadangan tentang bagaimana untuk menambah baik lagi mutu dan juga kandungan penulisan.

Apabila penulis dapat bertemu dengan pembaca, mereka dapat memahami bagaimana selera dan juga bentuk khalayak yang membaca buku mereka. Oleh itu, mereka dapat memahami bentuk penulisan yang sesuai untuk diketengahkan dalam penulisan seterusnya. Bagi saya, penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman, pemikiran, dan kefahamannya, tetapi dia mestilah mengenali latar pembacanya dan dapat memberikan sesuatu yang sesuai buat mereka. Tentulah dia tidak dapat memahami satu bentuk pola pembaca sahaja apabila bertemu dengan pembaca, tetapi, semakin ramai pembaca yang ditemuinya, dia akan mendapat gambaran yang lebih jelas perihal pola dan latar pembaca. Dari pembaca yang datang bertemu dengannya, dia dapat menjangka demografi pembacanya, juga menyesuaikan laras penulisannya.

Kedua, selain menemui pembaca, pesta buku merupakan laman yang mekar bagi penulis untuk bertemu dengan para penerbit. Para penerbit sedia ada, dan juga penerbit-penerbit lain yang bakal menjadi penerbitnya. Setiap penerbit mempunyai niche dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, penulis hendaklah mempunyai pengetahuan perihal syarikat penerbitan. Pemahaman perihal syarikat penerbitan ini bukan sahaja perihal niche penerbitan mereka, malah perihal tatakelola dan juga bagaimana mereka beroperasi. Tidak semua penerbit yang ada adalah penerbit yang baik, ada juga penerbit yang bersifat pemangsa, yang mempergunakan penulis bagi membuat keuntungan tanpa memberi mereka pampasan yang sewajarnya. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis bukan sahaja perlu memahami penerbit secara luaran, tetapi dia juga harus peka dengan nadi dan denyut dunia penerbitan, memasang telinga dan mendengar suara-suara yang berbisik-bisik di celah-celah reruai pempamer.

Seorang penulis bagi saya tidak perlu setia kepada hanya satu penerbit. Jika dia menulis karya dalam pelbagai genre, dia wajar mempunyai lebih dari satu penerbit. Setiap penerbit mempunyai tribe dan pengikut yang berbeza, dengan menerbitkan karya dengan penerbit yang memfokuskan penerbitan dalam genre yang bersesuaian, sesuatu karya itu akan mudah mendapat liputan yang meluas dalam kalangan pembaca. Penulis akan menikmati readership yang lebih luas, berpatutan dengan genre penulisannya.

Saya teringat perbualan saya di atas talian bersama Zahiruddin Zabidi, seorang penulis yang banyak menulis buku keagamaan. Beliau berpandangan bahawa sebagai penulis “kita mahu karya kita malar hijau. Menjadi rujukan bidang dan ada sumbangan signifikan dalam dunia intelektual”. Beliau juga berpandangan bahawa karya berbentuk himpunan rencana dan artikel pendek akan deras ditelan zaman sekali pun penulisnya mapan. Beliau mencadangkan agar saya menulis buku berbentuk monograf yang mempunyai satu tema dan berstruktur. Buku berbentuk tematik ini bagi beliau lebih berdaya tahan apabila berlalunya edaran masa. Saya bersetuju dengan pandangannya, dan ada juga menyimpan niat untuk menulis penulisan berbentuk seperti ini. Namun masalah terbesar saya adalah kekangan masa, saya bukan penulis sepenuh masa, saya punya kerja hakiki yang lain. Jadi untuk duduk dalam masa yang lama menulis perihal hanya satu tema merupakan satu cabaran yang sukar. Mungkin nanti jika saya berpeluang mengambil sabatikal, saya akan berusaha ke arah ini.

Saya juga teringat akan perbincangan saya bersama seorang penerbit di Taman Kosas, Ampang tidak lama dahulu. Beliau berpandangan bahawa penerbit yang baik bukan merupakan penerbit yang paling banyak menerbitkan judul. Tetapi penerbit yang berjaya membangunkan penulis. Karya yang dihasilkan penulis diulang cetak, dikemaskini, diperbaiki dengan susun atur dan reka sampul baharu, diberi kata aluan baharu, dalam kata lain, penerbit itu memastikan judul yang diterbitkannya sentiasa ada di pasaran, terus diperbaiki dari satu edisi ke edisi baharu. Hal ini ada kaitannya dengan isu “malar hijau” sesuatu karya. Dalam erti kata lain, penerbit yang baik akan sentiasa memperbaiki dan memastikan karya terbitannya sentiasa malar dan hijau dalam pasaran. Mengembangkannya kepada pembaca-pembaca baharu.

Hal ini menyampaikan kepada poin saya yang ketiga perihal makna pesta buku kepada seorang penulis. Iaitu memastikan karya-karyanya bersifat malar hijau dan terus berada di pasaran. Menulis buku bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Oleh itu, penulis bukan perlu berkejar-kejar melahirkan buku baharu setiap tahun. Tetapi dia harus membantu mempromosikan buku-bukunya yang sedia ada ke pasaran yang lebih luas. Agar mencapai readership yang lebih luas. Hal ini dapat dicapai dengan menghadirkan diri ke pesta buku. Kerana pesta buku bukan sahaja dikunjungi oleh pembaca lama, ia juga dikunjungi oleh pembaca baharu. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis dapat memperkenalkan tulisannya kepada pembaca-pembaca baharu dalam masa yang sama mengembangkan lagi lingkungan pembacanya.

Malar hijau juga membawa erti bahawa karya seorang penulis itu terus dicetak apabila stok habis terjual. Dari sudut pandang penerbit, mungkin menghabiskan stok merupakan satu keutamaan kerana mereka memerlukan semula modal yang sudah dilabur. Namun sudut pandang penerbit dan penulis mungkin tidak sama, penulis bukan sahaja mahukan stok bukunya habis dijual, dia juga mahukan stok bukunya kekal ada selepas ianya habis. Kerana karya yang baik bukanlah karya yang meletup sekali sahaja, tetapi harus meletup berkali-kali. Inilah sebenarnya definisi malar hijau, ia tidak hanya diketahui oleh satu generasi, tetapi mengalir ke generasi yang lain. Isi sesebuah karya mungkin sama, tetapi penafsiran terhadap teks yang sama akan berubah mengikut generasi. Setiap generasi akan menafsirkan teks mengikut latar dan semangat zaman mereka. 

Keempat, menghadirkan diri ke pesta buku, selain dapat bertemu pembaca dan penerbit, penulis dapat membina jaringan komuniti. Seperti yang saya sebutkan dalam pendahuluan saya, buku ini mempunyai dunianya yang tersendiri. Jika seorang penulis itu rajin ke pesta buku, rajin berbudi dan berbahasa, sedikit demi sedikit, dia akan diserap ke alam lain, iaitu “alam buku”. Alam buku bukan sahaja terdiri dari pembaca dan penerbit, tetapi lebih luas dengan keberadaan aktor lain seperti penyunting, kolektor, pengkritik, aktivis, dan lain-lain. Dengan bersama dalam sebuah jaringan, penulis akan lebih cakna akan perkembangan dunia buku dan dapat mencari posisi yang paling sesuai bagi menempatkan dirinya. 

Seperti yang saya tulis berulang kali dalam buku Dua Sayap Ilmu bahawa “dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang”, saya berpandangan bahawa seorang penulis itu tidak boleh memisahkan dirinya dengan membaca. Sarjana seperti E.H. Carr berpandangan bahawa membaca dan menulis itu satu proses yang sama dan perlu berjalan seiring. Sebab itu, pada pandangan saya, yang merupakan poin yang kelima dan terakhir, tentang makna pesta buku bagi seorang penulis adalah pesta buku itu berfungsi sebagai sebuah ladang. Ladang kepada seorang penulis itu untuk menambah bahan bacaannya sendiri. Seorang penulis tidak akan menjadi penulis yang baik sekiranya dia sendiri bukan seorang pembaca.

Dengan membaca, seorang penulis sebenarnya sedang menajamkan mata penanya. Dengan membaca, seorang penulis itu sedang melebarkan lagi lembaran kefahamannya. Dia dapat meneroka alam fikir baharu dan mampu masuk ke gelanggang permainan yang baharu. Jika penulis itu sekadar seronok dengan karya-karya lamanya, dia akan segera ditelan zaman, pemikirannya menjadi kaku, dakwatnya tidak lagi dapat merangsang fikir. Aksaranya tidak lagi akan membumi dan buah fikirnya tidak lagi terasa manis untuk dinikmati usai peredaran masa. Penulis yang membaca dapat merawat rawan pembacanya, dia mampu memahami degup nadi semasa bangsanya. Lantas penanya dapat digunakan untuk membangunkan penyelesaian, bicaranya sesuai dengan masalah semasa dalam masyarakat. Dalam kata lain, untai-untai kata-katanya dapat mengarah kepada perubahan yang baik dalam masyarakat. Kerana pada perkiraan saya, itulah fungsi penulis, dia bukan hadir untuk mengkhayalkan pembaca dengan bait-bait yang enak tetapi tidak bermakna, tetapi dia haruslah mampu menjadi ejen pembaikan sosial dengan menggerakkan pembacanya untuk bekerja dan berusaha. Maka dengan untaian kesimpulan itu, bagi saya, inilah makna-makna sebuah pesta buku buat penulis.

Artikel ini turut tersiar di Suara Muhammadiyah dan Nesiapos.

Khamis, 13 April 2023

Kebebasan Untuk Meneroka Dan Beridea


Apabila kita bebas, ketika itulah kita akan melahirkan idea-idea dan pemikiran yang menarik, kita melahirkan sesuatu yang berguna buat manusia kemudian, sesuatu yang memuaskan hati. Namun suasana hari ini, baik struktur sosial ataupun cengkaman ekonomi, tidak memungkinkan hal ini berlaku. Hanya sesetengah orang sahaja yang memiliki kebebasan untuk meneroka minat dan idea mereka.

Saya tidaklah berhasrat untuk mengkritik sistem kapitalis atau hiraki politik seperti biasanya dikritik oleh pemikir lain, kerana saya merasakan ia sudah terlalu klise, dan klise sering membosankan dan tidak membangkitkan minat saya. Tetapi saya mahu menulis perihal kebebasan yang sebenarnya kita ada, disebalik gari-gari yang mencengkam kita. Rousseau menulis bahawa manusia sentiasa digari, tapi saya merasakan, zaman ini, walaupun gari Rousseau itu masih ada, sebenarnya teknologi dan keadaan zaman memberi banyak kelebihan pada manusia moden. Terutamanya kebebasan untuknya meneroka.

Persoalannya mengapa mereka tidak menjadi peneroka?

Pertama, mungkin mereka merasakan hidup mereka sudah terlalu penat, tenaga mereka sudah habis disedut oleh kehendak ekonomi. Baki masa yang ada hanya cukup untuk tidur dan berlibur. Kedua, mungkin mereka merasakan tiada keperluan lagi untuk meneroka, kerana ilmu yang perlu sudah habis diteroka dengan mendapat segenggam sijil universiti, sekeping kertas baginya sudah cukup, kerana dengan ilmu tersebut, makan pakainya sudah pun cukup. 

Tetapi saya merasakan hidup seperti ini terlalu membosankan, sepertinya kita hidup sekadar hidup. Saya ada bersembang dengan aktivis Kumandang Zine di sebuah acara, perihal bagaimana hidup seharian hanya untuk mencari makan dan tidur itu sangat membosankan, sangat tawar dan pudar dari sebarang makna. Saya kira itu adalah salah satu faktor yang menolak saya untuk menulis, kerana menulis memberi saya satu lapangan untuk meneroka idea dan pemikiran, disela-sela kesesakan sosial dan ekonomi, masa yang sedikit itu dapat digunakan untuk meneroka. Dan saya berharap, api lilin penerokaan saya tidak akan padam selagi nyawa masih di badan. Jika sudah terpadam, saya kira saya sudah mati sebelum saya mati.

Baru-baru ini, saya ada mendengar perbualan antara Rupert Sheldrake, Iain McGilchrist, dan Alex Gomez-Marin, perbincangan ini saya kira sangat menarik. Antara yang dibincangkan adalah bagaimana untuk melahirkan idea yang baharu, segar dan kreatif. Mereka berpendapat, antara sebab terhalangnya penerokaan idea-idea kreatif adalah kongkongan universiti dan institusi. Di mana orang-orang di dalamnya dikongkong dengan pandangan utama yang diterima oleh golongan yang dianggap "pakar". Ini menjadikan universiti-universiti besar menjadi kaku, tidak terbuka dengan idea dan paradigma baharu. Semuanya harus terkongkong dalam kerangka pemikiran materialis, saintifik, dan emperikal. Sheldrake berpandangan situasi ini terjadi kerana saintis dan pengkaji sudah ditukar fungsi mereka, sebelum ini mereka adalah peneroka, maka lahir banyak idea-idea baharu. Namun hari ini mereka menjadi pekerja, kajian menjadi kareer, dan pengkaji tidak mahu kareernya terjejas. Jadi dia tidak akan mengeluarkan idea-idea yang segar yang mungkin melawan fahaman konvensional. 

Mereka yang bekerja di syarikat-syarikat juga tidak diberikan ruang untuk menjadi kreatif. Kebanyakannya hanya mengulang rutin yang sama. Kata Sheldrake, pekerjaan kebanyakannya memerlukan manusia menjadi tidak kreatif. Pekerja sering dikawal dan diperhatikan. Dan apabila mereka dikawal secara mikro, bagi McGilcrist, ini hanya akan melahirkan manusia yang biasa-biasa, yang membosankan. Sebaliknya, jika kita mahukan idea-idea segar, kita perlu membiarkan manusia meneroka minat dan idea mereka. Mereka mestilah cukup makan dan pakai, tidak risau akan hal ekonomi dan dapat memfokuskan tenaga dan idea mereka pada penerokaan. Antara yang dibincangkan adalah peluang bagi pekerja untuk mengambil sabbatikal, iaitu ruang masa dimana seseorang itu bebas meneroka minat mereka dalam beberapa selang masa. Idea ini bagi saya sangat menarik, dengan peluang sabbatikal, seseorang itu akan bebas, dan apabila ia bebas, idea dan kreativiti mereka dapat berkembang dengan organik.

Dalam bidang penulisan, saya cukup mementingkan soal kebebasan. Penulis itu perlu bebas. Kesetiaannya bukan patut diletakkan pada penerbit, tetapi pada idea dan pemikiran. Hatta penulis itu perlu bebas dari kehendak dan kecenderungan pembaca. Bukan hanya mengikut arus atau mengikut trend. Sebaliknya dia harus kekal original untuk menjadi segar. Kebebasan adalah pra-syarat kepada originaliti.

Saya merasakan dalam dunia yang sibuk dengan keserabutan dan kegilaan. Dapat duduk dengan tenang, menulis dan menumpah fikir itu satu kenikmatan dan kebebasan. Kenikmatan yang abadi pada setiap saatnya.

Sabtu, 18 Mac 2023

Mampukah AI Menulis Seperti Manusia? Tidak.


Lama rasanya saya tidak mencari masa bersendirian malam-malam menulis renungan. Mungkin zaman saya mempunyai banyak masa sudah berlalu, zaman kini adalah zaman saya dihimpit kesibukan, masa untuk mencuri-curi ruang untuk termenung dan berfikir sangat terhad. Pasti ada sahaja kerja lain yang menuntut masa, dan tenaga juga tidak seperti dahulu, saya tidak mampu lagi menaip begitu lama hingga ke larut pagi.

Malam ini saya mahu mencuba nasib dan menulis renungan perihal penulisan. Seperti membaca, jika seseorang itu konsisten menulis, penulisannya akan berevolusi. Corak kita menulis, cara kita menulis, akan berubah, dan kadang kala ia bukan sahaja dipengaruhi pemikiran kita, tetapi dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itu Carr dalam bukunya What is History? menulis bahawa untuk memahami sesebuah penulisan, seorang pembaca bukan sahaja perlu mengenali penulis, dia juga perlu mengenali zaman ketika penulis itu menulis, kerana kita semua adalah produk latar sosial kita.

Kadang-kadang, ada juga orang yang bertanya, katanya mahu menulis tapi tidak tahu mahu menulis apa. Bagi saya soalan ini sukar dijawab. Kerana setiap penulis mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Jika penulis itu mahu menjual hasil penulisannya, maka untuk mengetahui apa yang perlu ditulis, dia perlu memahami kehendak masyarakatnya. Jika masyarakatnya gemar akan artis Korea, maka dia perlu membuat kajian tentang itu dan menulis perihalnya. Jika masyarakatnya suka healing, maka untuk menjual dia perlu menulis penulisan yang menjerumus ke arah itu.

Namun saya secara peribadi tidak menggemari penulisan seperti ini, kerana ia tidak membebaskan penulis. Sebaliknya penulis digari dengan kehendak masyarakat. Saya lebih suka menulis apa yang saya mahu tulis. Cuma, risikonya adalah ia mungkin tidak diminati sesiapa. Tetapi bagi saya itu lebih memuaskan hati dan membahagiakan. Saya tidak bahagia jika orang menyukai penulisan saya tetapi jauh dalam lubuk hati saya, saya tidak berminat akan hal tersebut. Saya tidak mampu menipu diri sendiri.

Jika seseorang itu mahu menulis untuk kepuasan dirinya, saya akan menasihatinya untuk menulis tentang apa yang dirasakan penting dalam hidupnya. Jika dia merasakan keluarga adalah penting, maka tulislah hal keluarga, jika dirasakan pemikiran penting, tulislah hal pemikiran. Hidup ini sangat singkat, masa yang kita ada begitu terhad. Menulis hal-hal yang tidak penting bagi diri kita akan membazirkan banyak masa. Kita seharusnya menumpukan perhatian pada perkara yang kita rasa penting, kita rasa berharga, meski pun ia tidak diminati sesiapa. Kerana bagi saya, pada ketika itulah penulisan sebenar akan lahir, kita akan mengerahkan minda kita untuk merakam sebaiknya apa yang kita rasakan berharga.

Jika tidak, tulisan yang dihasilkan adalah sekadar halai balai. Kita dapat lihat sebagai contoh penulisan assignment di universiti. Ketika pelajar dipaksa menulis sesuatu yang dia sendiri tidak minati, hasilnya caca merba, sekadar mahu lulus, ia adalah penulisan yang tidak mempunyai jiwa. Pensyarah yang terpaksa memeriksa karangan mereka pun akhirnya sakit jiwa.

Menulis bagi saya adalah seni yang tersendiri. Dari satu sudut, ia adalah seni untuk mengenali diri. Dengan menulis kita dapat mengenali pemikiran kita, ini tidak dapat dilakukan jika ia adalah proses yang terpaksa. Proses yang terpaksa akan melahirkan karya yang terpaksa, karya yang terpaksa tidak akan dapat menyentuh jiwa.

Sebab itu saya berpegang bahawa menulis merupakan kelebihan manusia, meski pun kini lahir teknologi-teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mampu memanipulasi bahasa, ia tetap tidak sama dengan manusia. AI mungkin bijak tetapi ia tidak mempunyai jiwa, perasaan, dan tidak punya kesedaran, secanggih manapun, ia hanya mampu belajar dari apa yang telah dihasilkan manusia. Sebaliknya manusia mampu menghasilkan perkara baharu tanpa arahan, tanpa dipandu, manusia dapat merasa perkara di luar pancaindera. AI mungkin boleh menghasilkan sesuatu dari data, tetapi ia tidak dapat menghasilkan sesuatu dari perasaan, ia tidak boleh merasa sepi di malam hari dan mengarang puisi sendiri.

Semasa zaman robotik bermula dahulu, kita sering didendangkan bahawa robot bakal mengambil alih kerja-kerja perkilangan, hari ini kilang-kilang masih punya pekerja. Mungkin kerjanya berbeza, namun ia tidak menghilangkan, sekadar menyenangkan. Saya kira begitulah juga peranan AI dalam penulisan.

Berbalik kepada topik asal, sebelum saya terbabas dalam AI, saya merasakan penulisan merupakan satu seni ekspresi, oleh itu ia tidak boleh dihasilkan dengan baik jika niatnya tidak benar. Dan bagi saya, dalam evolusi penulisan, semakin lama, apa yang saya hargai sebagai benar adalah kebebasan. Menulis dan merakam apa yang saya rasakan dekat dan penting.

Dengan konsisten menulis juga, kita sebenarnya dapat memerhatikan evolusi penulisan kita. Banyak penulisan-penulisan awal saya yang saya rasakan tidak cukup matang dan ranum, tapi sekali pun tidak pernah saya padamkan, kerana ia merupakan sejarah penulisan saya, tanpanya saya tidak dapat melihat perkembangan. Dengan menyimpan penulisan kita yang buruk, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya sedang berubah. Penulisan kita berubah, pemikiran kita berubah.

Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu berubah dia tidak konsisten. Saya pula akan mengatakan bahawa jika seseorang itu tidak berubah, dia tidak pernah belajar apa-apa dalam hidupnya. Dia tidak lebih dari seketul batu. Kebolehan seseorang untuk berubah menandakan kebolehannya untuk belajar. Maka itulah manusia, makhluk yang belajar.

Selasa, 22 November 2022

Refleksi Terhadap Penulisan


Ketika saya menulis esei ini, hidup saya terasa begitu sibuk. Saya sebenarnya masih menulis, tetapi tulisan saya lebih banyak berfokus pada tugasan universiti, ulasan buku, laporan-laporan pejabat dan juga teks ucapan. Sangat sedikit masa yang tinggal untuk penulisan yang bersifat refleksi, dimana kita meniliti sesuatu idea kemudian memberikan pendapat-pendapat kita sendiri perihalnya. Di celah kesibukan hari ini, saya ingin menukil sedikit akan perihal ini.

Ada orang berpendapat bahawa kita perlu menulis apabila kita mempunyai autoriti, contohnya diiktiraf dengan ijazah dalam sebuah bidang. Ada juga yang berpendapat, termasuk sebahagian guru saya, bahawa kita perlu menulis apabila kita menjadi orang yang penting, kerana selepas itu baru orang akan berminat membaca tulisan kita. Namun saya tidak bersetuju akan hal ini.

Antara buku yang saya mula baca setelah menjadi pelajar sejarah adalah buku The Idea of History karangan Collingwood. Namun sebenarnya buku ini bukanlah diterbitkan oleh Collingwood, tetapi oleh murid-muridnya selepas kematiannya. Dalam edisi revisi, Jan Van Der Dussen menceritakan kisah bagaimana proses ini berlaku di bahagian pengenalan. Membaca tulisan Dussen ini membuatkan saya terfikir, jika seharusnya kita menunggu untuk mendapat autoriti atau menjadi orang yang penting baru hendak menulis, bagaimana jika kita ditakdirkan mati lebih awal seperti Collingwood? Collingwood bernasib baik kerana mempunyai murid-murid yang membantu menerbit tulisan-tulisannya. 

Kita orang-orang biasa tidak punya anak murid, jadi kita perlu berusaha menulis dan menerbit sendiri. Agar dunia sempat membaca pandangan dan idea kita. Dan kita tidak dapat menunggu, kerana boleh jadi ajal tiba dahulu sebelum penungguan kita habis.

Menjadi pelajar sejarah juga membawa saya membaca tulisan Carr dalam makalahnya What is History? Makalah ini asalnya merupakan syarahan yang kemudian dikumpul dan dibukukan. Ia tidaklah terlalu tebal, namun perbahasannya sangat penting kepada pelajar sejarah. Sebagai seorang yang suka menulis, tulisan (atau syarahan) Carr yang paling membekas bagi saya adalah apabila beliau mengulas tentang bagaimana sejarah itu ditulis.

Menurut Carr, sesetengah orang berpandangan, penulisan sejarah bermula apabila ahli sejarah membaca sumber dan mengambil nota, kemudian dia menulis sejarahnya dari awal hingga akhir. Namun ini tidak terjadi kepada beliau. Sebaliknya, sebaik sahaja dia membaca sumber-sumber yang dirasakan penting, the itch becomes too strong, dia akan berasa terlalu gatal untuk mula menulis. Penulisan tidak semestinya ditulis di hadapan, tetapi di mana sahaja. Membaca dan menulis menurut Carr bergerak seiringan. Membaca membantu agar penulisan lebih terarah.

Penulisan akhir mungkin tidak sama dengan idea asal yang kita fikirkan kerana melalui pembacaan kita akan menjumpai banyak perkara, banyak perkara juga berubah dan kita akan membuangnya. Menulis dan membaca ini menurut Carr adalah satu proses yang sama, ia tidak dapat dipisahkan dalam melahirkan sebuah penulisan yang baik dan berkualiti.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Carr ini. Setiap kali saya mengambil buku dari rak dan mula membacanya pasti idea datang mencurah-curah dan memaksa saya untuk membuka laptop. Seterusnya jari akan menari dengan sendirinya di atas papan kekunci. Tarian ini tidak akan berhenti selagi idea yang sedang keluar itu tidak habis. Selepas habis barulah fikiran saya akan tenang, dan jiwa merasa puas, kerana idea-idea itu telah dilahirkan dalam penulisan, tidak lagi memberatkan pemikiran. Penulisan ini sendiri sebenarnya merupakan proses penuangan saya setelah membaca buku-buku sejarah, dan sekarang saya sudah puas, jadi saya akan berhenti dahulu di sini.

Jumaat, 16 September 2022

Seronok ke menulis?


Ada orang tanya, apa yang seronoknya menulis buku?

Sebenarnya bagi aku, menulis dan menerbitkan buku itu dua perkara yang berbeza. Tak semua penulisan akan berakhir dalam helaian buku. Buku bagi aku adalah sejenis rumah kepada penulisan, tetapi ia bukan satu-satunya rumah yang ada. Ia adalah rumah yang perlu dicari. Tetapi jika tidak jumpa, tak bererti ia tidak boleh mendiami rumah-rumah jenis yang lain.

Kalau penerbit besar tak mahu terbit, aku akan cari penerbit kecil. Kalau penerbit kecil tak mahu aku akan cari penerbit halus dan mikroskopik. Kalau tiada juga aku akan terbitkan sendiri. Kalau aku sendiri rasa tak yakin aku akan tulis di blog sahaja. Kalau aku mahukan pendapatku diketahui mungkin aku akan menulis di media sosial. Jika aku mahu mencatat sesuatu yang aku rasa tidak sesuai disingkap oleh orang lain, aku akan tulis di blog rahsia. Jika tidak, aku akan garap dalam diari sahaja. Jika tiada satu pun tempat yang sesuai, aku tetap akan tuliskannya di dalam hati.

Mungkin orang melihat penulisan itu sesuatu yang ingin aku zahirkan. Tetapi bagiku menulis adalah sesuatu yang peribadi. Menulis membuatkan aku gembira dan bahagia. Dengan menulis aku mampu berjumpa semula dengan perasaan-perasaan yang lalu, yang aku sendiri sudah lupa. Kalau boleh aku ingin menulis tentang semua perkara, tapi masa tidak menyebelahiku. Kadang hidup memaksa aku berjauhan dari pena. Ada yang sempat ditu;is lengkap, ada yang tercarik-carik disini sana.

Aku pernah juga berfikir mahu mengumpulkan semua penulisanku yang bertaburan di pelbagai rumah, untuk duduk bersama di dalam satu manuskrip. Tapi kini aku rasa perkara itu terlalu besar untuk aku lakukan sendirian. Aku rasa, jika ada benda yang menarik dalam penulisanku, mungkin satu hari nanti ada orang yang terlebih rajin untuk mengumpulkannya. Atau mungkin ada anak dan cucu yang ada masa untuk melakukannya.

Aku akan terus menulis. Tetaplah menulis biar pun tiada siapa yang membaca. Bagi aku penulisan adalah hal peribadi yang menyeronokkan dan menggembirakan. Kalau ada yang rasa menarik, bagus, jika tidak, aku bahagia dengan tulisanku sendiri. Syok sendiri kata orang. Menulis tak semestinya besar dan panjang. Tulisan dan anekdot kecil kadang lebih berharga bagiku, serangkap puisi juga kadang lebih dalam ertinya dari penulisan panjang penuh jargon yang berpusing-pusing mendewa tinggi di langit. Bagiku biarlah penulisan itu kecil dan sederhana, asal ia membekas pada diri kita.

Isnin, 4 Julai 2022

Bila masa kau menulis?


 "Bila masa kau menulis?"

Soalan ini adalah soalan yang selalu saya dapat bila berjumpa dengan teman-teman. Bekerja dan berkeluarga akan merebut banyak masa kita. Melelahkan. Kadang yang tinggal adalah masa untuk tidur sahaja kerana tenaga kita sudah kering kontang. Tapi sebenarnya, jika kita selidiki hidup kita sehari-hari, sebenarnya ada banyak masa luang yang terselit-selit yang boleh kita gunakan untuk menulis. Saya adalah jenis penulis yang menulis berdikit-dikit apabila ada masa. Kemudian saya akan kumpulkan tulisan-tulisan ini, perbaiki, sunting, dan terbitkan. 

Jadi untuk menjawab soalan "tiada masa untuk menulis" ini, saya sertakan masa-masa saya menulis seperti di bawah agar dapat menjawab soalan yang biasa ditanyakan ini. Saya menulis:

Masa ada idea.

Masa bersemangat.

Masa anak-anak tidur.

Masa saya tak boleh tidur.

Masa kopi masih panas.

Masa kopi sudah sejuk.

Masa cuti.

Masa berehat.

Masa lapang.

Masa menunggu roti canai di kedai.

Masa berehat di surau.

Masa musafir.

Masa dalam bas, feri, kapal terbang.

Masa marah.

Masa sedih.

Masa bahagia.

Masa duka.

Masa sepi dan sunyi.

Masa bersendirian.

Masa saya ada masa untuk menulis.

Tapi tidaklah saya menulis setiap kali saya ada masa luang. Hidup kita perlu seimbang. Ada juga masa luang yang tidak saya gunakan untuk menulis. Ada ketika saya tidak menulis, ada juga masa saya tak boleh menulis, juga ada masa saya tak mahu menulis. Antara masa saya tidak menulis seperti di bawah.

Masa tidur.

Masa makan.

Masa mandi.

Masa memandu.

Masa ambil anak balik sekolah.

Masa pergi kedai beli sayur.

Masa bersembang.

Masa sedang berjogging.

Masa main bola.

Jadi kalau dilihat pada senarai ini sebenarnya kita ada banyak masa lagi selain dari masa bekerja dan masa bersama keluarga untuk kita gunakan untuk mengasah penulisan kita. Ada orang kata menulis adalah satu terapi. Saya setuju, banyak juga tulisan saya yang lahir masa depresi, masa saya serabut otak dan juga masa saya sedang murung. Sedikit sebanyak ia membantu saya untuk kembali tenang dan waras. Carilah selitan-selitan masa dalam hidup anda.

Selamat menulis.

Sabtu, 18 Jun 2022

Menangkap Idea Sebelum ia Terbang Hilang


Salah satu benda yang menyeronokkan berada di pesta buku adalah bersembang dengan anak muda terutamanya mahasiswa. Pemikiran mereka masih segar. Mereka masih menimbang dan masih meneroka. Ada yang pernah bertanya kepada saya apa yang dimaksudkan dengan muda? Bagi saya orang muda adalah orang yang mindanya masih terbuka kepada idea. Jika umurnya 80-an sekali pun, jika dia masih membuka mindanya untuk menerima idea baru, maka bagi saya dia masih muda. Sebaliknya jika perasaan ingin tahunya telah terpadam, bagi saya dia telah tua, boleh jadi dia tua walaupun bilangan umurnya masih muda.

Antara soalan yang saya kira menarik juga ditanya oleh mahasiswa adalah bagaimana untuk menangkap idea. Bagi saya idea itu boleh diikat dengan dua cara. Pertama jadilah orang yang kuat ingatan dan tidak mudah lupa. Jika tidak mampu, jadilah yang kedua, sentiasa menulis nota. Saya adalah golongan kedua, golongan yang tidak begitu tajam ingatan. Dalam keadaan ini, banjirkan kelilingmu bukan sahaja dengan buku untuk dibaca, tetapi juga buku-buku nota untuk ditulis.

Idea ini datang dalam situasi-situasi yang kadangkala tidak dapat kita jangka. Oleh itu kita perlu sentiasa bersedia dengan sesuatu untuk kita dapat mengambil nota. Jika tidak buku, nota digital dalam peranti elektronik seperti talifon. Saya sendiri, kadang kala idea datang ketika saya sedang memandu. Dalam keadaan ini saya akan berhenti di tepi jalan dan membuat nota. Selepas puas baru saya akan jalan semula. Nota-nota inilah yang menjadi naskah-naskah buku, nota ini saya simpan kemudian diolah dan disusun.

Jika anda membeli buku saya, banyak kandungannya sebenarnya saya tulis ketika saya di dalam bas, ketika menaiki feri, semasa duduk berehat di surau dalam permusafiran, juga kadangkala ketika di atas katil kerana tak boleh tidur. Notakan. Nota tak semestinya cantik dan sempurna. Tumpahkan sahaja semuanya. Biarkan idea itu mengalir tanpa perlu dihalangi dengan apa-apa. Apabila ribut kehidupan telah tenang. Ziarah semula nota itu, duduk dan fikirkan lagi. Tambahkan isi dan kembangkan dengan bahan bacaan lain. Sambungkan menjadi naratif. Begitulah seterusnya sehingga ia menjadi sebuah bahan bacaan yang bermakna.