![]() |
| Idlan, 2019. |
Semalam, aku mahu menulis disertasi bagi pengajian sarjana hingga lewat malam, tetapi anakku yang kedua, Idlan, memintaku menemaninya tidur dan bercerita. Aku akur, hingga akhirnya aku tertidur bersamanya. Hari ini (02/11/2025), selepas makan bersama, solat Isyak bersama, dan mengulangkaji subjek akhlak bersama (esok peperiksaan UASA), Idlan mengajakku tidur bersamanya. Aku pun memotong kata-katanya.
"Abi nak siapkan kerja, Idlan dah besar boleh tidur sendiri."
Aku merancang untuk menyiapkan kertas kajian perihal Peristiwa Berdarah Kalabakan 1963 pada malam itu. Kajian itu merupakan kajian bersamaku dengan Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali dari USM. Idlan segera menyatakan:
"Adik ajak Umi, bukan Abi".
Namun, isteriku Maryam, juga tidak boleh menemaninya juga kerana mahu mengulangkaji pelajaran bersama anakku yang pertama, Amni. Jadi Idlan pun masuk ke bilik seorang diri. Khusyuk aku menulis, Maryam bertanya adakah aku sudah menutup lampu di bilik sebelah kerana Idlan mahu tidur.
Ketika aku membuka pintu, Idlan kelihatan menangis seorang diri, sambil menyapu ubat mengurut kakinya yang sakit. Apabila melihat aku membuka pintu, Idlan cuba menyorokkan tangisannya. Namun tetap aku bertanya kenapa menangis. Dia menunjukkan lututnya yang sakit. Melihat wajah anak menangis seorang diri sambil mengurut kaki terus meluluhkan hatiku. Idlan memang selalu sakit kaki setiap malam, kami banyak kali juga berjumpa doktor, namun sering doktor menyatakan tiada apa pada kakinya. mungkin growing pain, biasanya doktor membekalkan paracetamol dan ubat sapu voren.
Melihat Idlan menangis seorang diri meruntun hatiku pada malam itu. Teringat aku pada waktu kecil. Pernah satu malam, aku terasa sakit perut, pada ketika itu mungkin umurku sebaya Idlan sekarang. Kami tinggal di rumah dua tingkat di Taman Koperasi Polis, Gombak. Melihat aku sakit perut dan menangis, ibu telah turun dari biliknya di tingkat atas dan mengurut perutku dengan minyak gamat di ruang tamu sambil terlentok-lentok. Hingga akhirnya aku berhenti menangis dan tertidur di ruang tamu.
Maka aku pun memberi ubat tahan sakit kepada Idlan. Aku fikir, apalah sangat kajianku dan pengajianku yang aku kejar hingga tidak dapat menemani anak-anak sebentar sahaja. Masa membesar mereka bukannya lama. Sekelip mata nanti, habislah sudah peluangku untuk bersama mereka ketika mereka membesar. Melihat wajahnya menangis seorang diri sambil mengurut lutut sangat membekas padaku pada malam itu. Entah kenapa, sangat menyedihkan. Aku pun mengambil ubat sapu, menutup lampu, dan mengurut kakinya. Lama juga aku mengurut kakinya, hingga dia sudah berhenti menangis dan sudah mengantuk. Dia katakan padaku:
"Dah."
Barulah aku bangun dan kembali ke meja kerjaku di bilik sebelah.


