Selasa, 24 Disember 2024
Kesunyian Adalah Teman Baik Penulis
Khamis, 19 Disember 2024
Ciri-Ciri Kedai Kopi Yang Berjaya
Sebagai seorang pembaca dan penulis, tentulah kehidupan harian saya tidak boleh lari dari secangkir kopi. Peneman setia saya dalam mengelamun menafsir manuskrip orang lain juga sebagai peneman hidup ketika saya sedang menulis manuskrip saya sendiri. Walaupun saya paling selesa membaca dan menulis di ruang kecil peribadi saya di rumah sendiri. Ada kalanya saya terpaksa keluar untuk membaca dan menulis di luar. Namun dalam banyak ketika, suasana di luar ini sering melukakan hati saya kerana suasananya yang tidak kondusif bagi saya melakukan kerja-kerja saya. Maka di sini saya ingin menetapkan beberapa ciri-ciri wajib yang harus ada pada pengusaha kedai kopi bagi memastikan kedai kopi mereka berjaya. Ciri-ciri ini harus dijadikan silibus wajib bagi pengusaha semua kedai kopi di seluruh dunia. Jika Elon Musk berjaya membina koloni manusia di Marikh, silibus ini seharusnya turut terpakai di sana.
Ahad, 15 Disember 2024
Berangan Sampai Terlepas Simpang
Pagi 17 November 2024, selepas balik dari mengambil appointment di Hospital Alor Setar untuk berjumpa dengan pakar jantung, saya sedap berangan di dalam kereta. Jalan pada pagi Ahad itu lengang, jadi fikiran melayang dengan lebih jauh.
Semester ini saya ada satu lagi subjek yang perlu dilalui sebelum boleh menulis tesis. Sekarang saya sedang baca buku John Tully pasal sejarah Kemboja dan peranan yang dimainkan oleh Norodom Sihanouk. Seronok buku dia, pandai Tully ini menulis buku. Saya kira antara keseronokan menyambung pengajian dalam bidang sejarah adalah perkenalan dengan bahan-bahan bacaan yang menyeronokkan. Membuatkan kita seolah-olah dirasuk dengan pembacaan dan menimbulkan kehausan yang mendahagakan ilmu itu semakin kuat.
Saya pun berangan untuk tulis sebuah buku pasal sejarah Asia Tenggara, tajuknya mungkin "Bagaimana Asia Tenggara Muncul di Dunia" di mana diskusinya akan survey beberapa kerajaan Asia kuno seperti Kedah Tua, Angkor, dan Majapahit, kemudian melihat bagaimana proses permodenan bermula. Saya lihat banyak trend yang sama di negara-negara Asia Tenggara perihal sejarah mereka. Kemudian mungkin penutupnya akan berbincang tentang masa depan Asia.
Punya la khusyuk saya berangan, terlepas simpang Sungai Petani, sedar-sedar saya sudah sampai di Sungai Dua, simpang Bertam pun terlepas. Terpaksalah sedekah lebih sedikit bayaran tol lebuhraya kepada Kerajaan Madani.
Koleksi Fikir: Buku Baharu & Komuniti Buku Eksklusif
Memori Permusafiran & Pembacaan di Celahannya
Antara benda yang menenangkan jiwa dalam permusafiran adalah berteman dengan buku yang sedap di baca. Dua tiga hari ini memang selalu hujan di Kuala Lumpur, satu petang, saja ambil kerusi dan duduk membaca sambil ditemani hujan turun. Tenang hati seolah-olah hujan sedang membasahi hati. Mungkin lepas ni kena buat lagi, masa hujan lebat, ambil kerusi dan membaca sambil menghirup kopi. Fuh!
Buku yang dipilih adalah catatan kembara Zakaria Ali di Mexico pada zaman 70-an. Zaman ini saya rasa zaman emas para pelajar Malaysia mengembara di dunia. Rasanya antara vibe kembara lain yang seakan buku ini adalah buku Kembara Darus Senawi 1963 yang ke Mesir menaiki kapal laut. Baca kembara orang dulu-dulu ini menarik, sebab susah payah kembara itu memang real. Zaman tersebut belum ada wassap, airbnb, booking.com, agoda, air asia dan lain-lain. Jadi memang vibe susah travel itu boleh kita baca dalam aksara-aksaranya. Travel hari ini sudah menjadi lebih kepada leisure travel. Tunggu flight sambil minum latte, cabaran paling ganas pun adalah flight delay. Teringat baca buku Kembara Darus Senawi 1963, cabaran beliau stranded di India berbulan-bulan, terpaksa tumpang rumah setinggan untuk survive.
Di Mexico ini saya lihat cabaran Zakaria Ali juga boleh tahan hebatnya, kerana faktor bahasa, dan juga gaya kerja orang Mexico yang boleh tahan menyusahkan hidup orang lain. Tapi di celah-celah kesusahan itu, pasti diselitkan juga manisnya di mana.
Bila travel berseorangan, saya selalu teringat zaman belajar dahulu, malam-malam meredah salji dari asrama ke "vokzal" (stesen kereta api). Dahulu saya biasanya menaiki tren yang dinamakan Krasnaya Strella, dari St. Petersburg ke Moskva, hampir setiap bulan untuk menyertai program-program persatuan pelajar. Antara lagu best yang saya selalu dengar semasa travel adalah lagu Talib al-Habib yang bertajuk "Travel Light". Lagu ini sangat menenangkan dan poetic, saya tak pasti kenapa ramai yang tidak tahu tentang lagu ini dan kenapa ia tidak menjadi popular di Malaysia. Lagu-lagu beliau rare, kalau dihayati lirik pun saya akan merasa tenang sahaja. Sedikit liriknya saya kongsikan untuk menyebarkan vibe lagu beliau:
Like a stranger on his way back home
Traveling light
Trying to break the shackles that bind me to the things tempting me to stay
But the truly precious is as light as a feather and all else is memory that fades away
Traveling on, just like a river flowing past hearts more unmoving than a mountain stone
Why do you flow they say?
And where are you going?
Onwards ever onwards to the sea and home".
Fuh, memori.
Aliran Sejarah Anti-Kolonial
MTL 2024: Bersama Misi Banjir HALUAN di Kedah & Kelantan
Bersama Ustaz Aizat di Derang, Kedah pada 03 Disember 2024. |
Pasukan HALUAN Kedah di Taman Tabung Haji, Kepala Batas pada 06 Disember 2024. |
Gambar bersama pasukan HALUAN di Johor mengangkat tangki air ke dalam lori di Taman Uda Murni pada 10 Disember 2024. |
Gambar bersama Tim Bravo Randex 2024, Salahuddin Nordin dan Muhammad Farhan Johan. |
Bichara "Homo Historikus" Anjuran Lestari Hikmah di Hubooks, Ipoh
Pada hari Khamis (12/12/2024) saya sempat membicarakan perihal buku terbaharu saya iaitu Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia terbitan Penerbit Cakna. Pertama, saya cuba menerangkan perihal pandangan saya perihal perkembangan kesedaran sejarah di Malaysia. Saya kira kesedaran sejarah di Malaysia ini terbahagi kepada beberapa fasa. Pertama adalah fasa sejarah tradisional di mana penulisan sejarah berbentuk sastera dan mempunyai pengaruh mitos dan legenda yang kuat. Kemudian fasa pensejarahan objektif yang mempunyai pengaruh kuat kolonial. Fasa terakhir adalah fasa pensejarahan baharu yang objektif, bebas dari pengaruh kolonial dan bersifat demokratik. Fasa akhir ini melahirkan pelbagai naratif baharu yang saling bertentangan antara satu sama lain.
Perbahasan juga dilanjutkan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Abang Syed Omar Hussain perihal keutuhan sejarah lisan dan juga kebolehan kita mencapai sejarah yang sempurna. Saya berpandangan bahawa sejarah lisan adalah sumber sejarah yang valid tetapi mesti dilakukan dengan metodologi yang betul dan dapat dipertanggungjawabkan. Sementara mencapai sejarah yang sempurna itu adalah kerja yang mustahil. Ustaz Syed Shahriman Jamalullayl pula membangkitkan persoalan apa yang hendak disampaikan melalui kesedaran sejarah. Saya berpandangan, jika manusia itu mempunyai kesedaran sejarah, mereka akan menggunakan hidup mereka dengan lebih bermakna dan memastikan mereka meninggalkan satu legasi yang baik bagi dunia.
Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Mohd Rashidi dan Lestari Hikmah yang menganjurkan bicara buku manusia sejarah ini. Terima kasih Hubooks yang menjadi tuan rumah. Terima kasih semua teman-teman jauh dan dekat yang sudi hadir bersama. Terima kasih Saudara Izzuddin Khalis dan Ali Karimi Nasri, Presiden IIUMSU menemani saya drive dari Kedah. Harap ada manfaat, minta maaf andai ada salah dan silapnya.
Mengkaji Budaya Merantau Dalam Kalangan Orang Melayu
Saya melihat kajian sejarah di Malaysia banyak menekankan aspek politik dan ekonomi, ini jelas sekali menonjol dalam kajian yang dikeluarkan saban tahun. Aspek budaya jarang sekali dikaji sebagai tajuk utama. Jika dikaji pun, biasanya ia dibahaskan sebagai aspek sampingan sahaja dan bukan tonggak kajian utama. Saya masih belum menjumpai misalnya satu kajian terperinci perihal budaya merantau dalam kalangan orang Melayu. Kajian ini saya kira bukanlah satu kajian yang rumit, tidak perlu geran berjuta-juta atau makmal sehebat Large Hadron Collider (LHC), namun tidak ada yang cuba melakukannya. Dalam penilitian saya, sahabat serumpun kita di Indonesia lebih terkedepan dalam hal ini, kajian tentang budaya merantau dalam kalangan masyarakat Indonesia begitu banyak sekali. Tahniah Indonesia. Walaupun kajian saya ini tidaklah terperinci dan begitu mendalam, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka ruang agar aspek ini diketengahkan. Mungkin akan menimbulkan niat dalam kalangan pengkaji untuk meneroka aspek ini.
Saya juga menggunakan budaya perantauan ini bagi menolak label malas yang digunakan oleh pihak kolonial dan orientalis kepada masyarakat Melayu. Antara komen yang saya terima dari pewasit adalah kenapa tidak menggunakan karya Syed Hussein Alatas sebagai rujukan? Bukanlah beliau adalah pelopor kepada idea penolakan peribumi malas? Pertama, kajian ini bukan berfokus kepada penolakan label peribumi malas, itu bukan tunjang kajian. Ia sekadar dapatan sampingan. Kedua, itulah tugas penyelidik. Bukan sekadar melakukan penyelidikan yang sama. Jika penyelidikan yang mandiri dilakukan dan tidak terikat dengan idea Alatas, tetapi menghasilkan konklusi yang sama, itu sebenarnya merupakan sumbangan kepada idea Alatas, kerana konklusi itu menguatkan ideanya. Oleh itu kajian selari patut diraikan dalam penyelidikan, bukan semuanya mahu disuruh merujuk kepada bahan-bahan yang sama sahaja yang akhirnya menatijahkan pengulangan yang membosankan.
Terima kasih Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah yang menerbitkan tulisan saya. Jemput para sahabat untuk membaca dan mengkritiknya. Jemput baca artikel saya “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2), 2024.
Bibliografi Tahun 2024
Buku
1. Syed Ahmad Fathi. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press, Mac 2024. ISBN: 9786299905011
2. Syed Ahmad Fathi. Intelektual Yang Membosankan. Kenyalang Press, Mei 2024. ISBN: 9789670040707
3. Syed Ahmad Fathi. Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Penerbit Cakna, November 2024. ISBN: 9786299517603
Jurnal
1. Syed Ahmad Fathi. "Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia". Jawhar: Jurnal Kajian Ketamadunan 20: 83-97, 2024. ISSN 1675-8609
2. Syed Ahmad Fathi. “Anti-Colonial History: Pulau Pinang from the Point of View of Local Historian and Writer”. MINDEN Journal of History and Archaeology 1 (1): 58-70, 2024. ISSN: 3030-685X
3. Syed Ahmad Fathi. 2024. “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2): 1-13, 2024. E-ISSN 2590-4086
Nota: Alhamdulillah, berakhir sudah sesi penulisan untuk tahun ini. Tak tahu tahun depan masih ada masa atau tenaga untuk menulis, tapi jika ada ruang dan peluang yang diizinkan Allah, insha'Allah akan diusahakan.
Bulletin Siyasee: Kejatuhan Basyar al-Assad di Syria dan Kesannya Terhadap Timur Tengah
Selasa, 3 Disember 2024
Peluncuran buku "Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia" di SIBF 2024
Akhirnya selesai juga peluncuran buku Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia di Selangor International Book Fair Sabtu lalu. Buku ini cuba menyoroti perkembangan kesedaran sejarah di Malaysia yang belum dikaji dengan serius dan mendalam di Malaysia. Harapannya buku ini dapat menimbulkan kesedaran sejarah dalam diri pembaca agar mereka menggunakan hidup mereka dengan penuh sedar bahawa kehidupan itu sebahagian dari proses sejarah.
Terima kasih penerbit Cakna yang bertungkus lumus menyiapkan buku ini dan mengatur peluncurannya. Terima kasih kepada moderator Firdaus Zainal dan Nomy Nozwir yang sudi berkongsi pentas. Kepada yang sudah membeli, terima kasih, selamat membaca!
Rakaman forum pelancaran buku boleh ditonton di sini.
Selasa, 19 November 2024
"Kau ni tulis banyak sangat buku"
Kadang-kala kalau saya berjumpa dengan kawan-kawan, ada juga yang bergurau dan berkata yang saya tulis banyak sangat buku. Ada yang kata "kau ni tulis buku macam buat goreng pisang". Sebenarnya susah juga proses menulis buku. Kebanyakannya ditulis bertahun-tahun, disimpan, diperam, bila sudah ada keyakinan diri, baru diperbaiki, disusun, diasah, dan dikeluarkan. Tetapi orang tidak nampak proses bertahun-tahun ini, proses duduk membaca, proses membuat carian maklumat, proses cuba memahami sesuatu idea dan konsep, semua proses ini sebenarnya lebih lama dari proses membuat goreng pisang. Tetapi semua proses ini terhijab sebab ia tidak dizahirkan. Kalau asyik memberi tahu orang kita sedang menulis buku mungkin nampak seperti menunjuk-nunjuk, dan tidak begitu manis dan bertatasusila. Kebiasaannya, apabila semua proses ini sudah siap dan manuskrip sudah diserahkan kepada penerbit, barulah kita akan beri tahu orang dan buat hebahan.
Tapi kadang-kadang hati ini berbolak-balik, ada kalanya saya rasa betul juga, kadang saya fikir juga. Mungkin sudah sampai masa saya berhenti menulis dan sudah cukup dengan buku-buku yang ada setakat ini. Banyak-banyak buku, bukan ada orang yang akan baca kesemuanya. Mungkin saya patut berhenti dan cari hobi lain. Antara hobi yang saya pertimbangkan mungkin mahu pergi gym dan besarkan muscle lengan, atau pergi mengembara secara solo di pergunungan di Tibet atau pergunungan di Hindu Kush.
Namun, pada satu hari, saya terdengar sebuah podcast oleh Dr. Roy Casagranda bersama Daizy Gedeon, beliau menceritakan bagaimana Ibnu Haitam menulis 130 buah buku semasa hayatnya. Dahsyat juga, sebab zaman dahulu bukan macam hari ini, ada kemudahan seperti laptop, dulu proses menulis buku adalah proses manual menggunakan tangan. Saya fikir, mesti lenguh tangan Ibnu Haitam tulis hingga 130 buku. Zaman itu juga belum ada kopi hipster seperti Zus Coffee, mungkin kalau mengantuk, Ibnu Haitam terpaksa membancuh kopi biasa sahaja. Apabila saya membuat perbandingan, apalah sangat beberapa buku yang saya tulis berbanding Ibnu Haitam yang telah menulis 130 buku.
Walaupun Ibnu Haitam menulis 130 buku, hanya 20 dari buku-buku beliau yang berjaya survive hingga ke hari ini selepas 1,004 tahun beliau meninggal. Maksudnya, selepas hampir seribu tahun, hanya 15 peratus sahaja bukunya yang dapat bertahan. Jadi kalau kita mahu satu buku bertahan selepas seribu tahun, kita sekurang-kurangnya perlu menulis 10 buku. Tetapi buku bertahan bukan disebabkan bilangan sahaja, kalau buku yang ditulis tidak bermanfaat dan membosankan, mungkin, jika ditulis 1,000 buku pun, semuanya tidak akan bertahan. Jadi selain jumlah, kita juga perlu menulis dan mengeluarkan idea yang menarik. Proses ini bukanlah proses yang mudah. Tetapi saya yakin, jika kita konsisten menulis walaupun tulisan kita pada awalnya tidak menarik, semakin lama penulisan kita akan menjadi semakin baik.
Jadi, bila saya fikir semula, saya tidak jadi mahu bertukar hobi. Saya batalkan niat untuk pergi gym, Tibet, dan Hindu Kush. Saya mahu sambung semula menulis.
Selasa, 5 November 2024
RANDEX 2024: Garden of Knowledge on the Hill
Gambar pertama pasukan Bravo di KL Sentral pada 27/10/2024. |
Akhirnya selesai sudah penyertaan saya dalam kursus "Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (RANDEX 2024)" yang telah berlangsung dari 27-30 October 2024 di Bukit Fraser, Pahang. Walaupun tidak dapat mengikuti kursus hingga ke hari akhir, saya tetap dikategorikan sebagai peserta yang berjaya menamatkan kursus ini dan diberikan sijil. Rezeki!
Meredah hujan menjejaki trail di Bukit Fraser untuk latihan simulasi di Kem Pelarian Karo. |
Team Bravo mendengar kuliah di dewan. |
Gambar kenangan Team Bravo di puncak Bukit Fraser. |
Gambar kenangan bersama Datin Azura dan Dr. Munawwar. |