Khamis, 30 Mei 2024

Terpaling Palestin


Saya sebenarnya tak kisah kalau ada orang kutuk atau sindir "terpaling Palestin". Malah saya bangga jika dapat sindiran sebegitu. Apabila sejarah bertukar, dan Palestin merdeka, kita akan melihat orang-orang yang menyindir orang lain "terpaling Palestin" ini adalah orang-orang bodoh yang melambatkan pembebasan dan kemerdekaan satu bangsa yang sepatutnya sudah bebas sejak 100 tahun yang lalu. Maka biar kita jadi terpaling Palestin dan biar mereka menjadi terpaling bodoh.

Mengapa Intelektual Yang Membosankan?


Buku ini pertamanya hadir dalam fikiran saya ketika saya memerhatikan gelagat beberapa jenis manusia yang merasakan diri mereka intelektual. Walaupun ada diantaranya yang tidak pernah menerbitkan apa-apa buku, artikel, atau kajian ilmiah, mereka merasakan mereka ini intelektual kerana mereka banyak membaca.

Mereka juga merasakan jenis-jenis buku yang mereka baca sahaja melayakkan diri mereka sebagai seorang intelektual. Mereka yang tidak membaca buku-buku aliran mereka dianggap kolot, jumud, konservatif, feudal, dan seribu satu label lain sesuai dengan selera mereka. Bagi saya golongan ini adalah golongan yang membosankan, dalam beberapa ketika, juga menjengkelkan.

Mereka syok sendiri dengan "mengecop" diri mereka sebagai intelektual, satu istilah yang diberikan pada diri mereka sendiri. Maka penuhlah media sosial mereka dengan hashtag #notaintelektual dan lain-lain gelagat yang membosankan. Wacana mereka mengulang isu yang sama saban tahun tanpa menyentuh isu-isu strategik masalah manusia hari ini. Falsafah mereka terawang-awangan, terlalu utopia untuk difahami manusia.

Selain golongan yang membosankan ini, saya juga mengambil kesempatan dalam naskah ini membahaskan beberapa topik terpilih seperti sumber dalam epistemologi ilmu, isu pendidikan, dan juga beberapa kritikan terhadap idealisme mahasiswa. Semuanya dalam rangka memperkemaskan lagi budaya intelektual yang sebenar, bukannya budaya syok sendiri yang membosankan.

Terima kasih kepada penerbit The Biblio Press yang bertungkus lumus menyiapkan buku ini. Naskah ini sudah menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung. Sekiranya anda tidak berkesempatan ke PBAKL 2024, buku ini juga boleh dibeli di Shopee.

Khamis, 23 Mei 2024

Hari Di Mana Aku Meninggalkan Gerakan Islam

 


Hari itu aku berjanji untuk berjumpa dengan seorang sahabat, beliau sudah tamat perkhidmatan di Sungai Petani dan akan berpindah ke Kelantan. Petang itu aku menunggunya di dalam kabin "Perhentian Kopi", sebuah kafe kopi hipster baharu yang terletak di Dataran Jam Besar, Sungai Petani. Oleh kerana sahabat tersebut datang lambat, aku mengambil keputusan untuk membaca buku sejarah tulisan pensyarahku di USM, perihal perantauan masyarakat Melayu pada zaman British ke Kerian, Perak. Menarik juga bukunya, antara migrasi yang disentuh, selain masyarakat Melayu, adalah migrasi orang Banjar ke Perak, oleh kerana atukku merupakan orang Banjar di Perak, buku tersebut sedikit sebanyak membuatkan aku merasakan aku adalah sebahagian dari sejarah tersebut.

Apabila sahabat tersebut tiba, kami bersembang banyak perihal gerakan Islam di Malaysia, terutamanya gerakan yang kami sendiri ikuti. Beliau meluahkan perasaannya, perihal mengapa beliau tidak lagi begitu berminat mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Perihal meninggalkan gerakan Islam ini merupakan fenomena yang selalu aku fikirkan, terutamanya dalam kalangan orang muda, gerakan Islam seolah sudah tidak menarik lagi kepada mereka. Aku ada menulis tiga tahun yang lalu dalam sebuah artikel, perihal pemerhatianku berkenaan kepupusan kaum muda dalam gerakan Islam di Malaysia. Dalam penulisan ini, aku ingin merenung perbualanku dengan sahabatku ini. Mencoret sedikit isi-isinya, agar boleh aku analisa dan rujuk kembali untuk menimbang pemikiranku. Bagi aku, menuliskan semula pemikiran kita itu satu perkara yang perlu, agar kita dapat melihat dan menimbang perubahan pemikiran kita seiring perubahan masa.

Sahabatku itu meluahkan isi hatinya, antara sebab minatnya pudar dalam mengikuti gerakan Islam adalah kerana pergaduhan dalaman yang pernah berlaku semasa musim pilihanraya. Baginya ada sesetengah anggota yang terlalu mempertahankan parti politik tertentu. Aku bukanlah ingin mempertahankan mana-mana pegangan atau polisi gerakan Islam. Jadi aku dengar dahulu segala luahannya. Tidak aku bangkang terus, kerana aku tidak rasa jika aku berhujah sekali pun dapat merubah pegangannya. Selepas habis luahan hatinya, baru aku terangkan apa yang aku fikirkan.

Bagi aku, dalam persoalan politik parti. Gerakan Islam sememangnya tidak memberi sokongan penuh kepada mana-mana parti, kerana tugas mereka bukan berpolitik dalam parti. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga tidak boleh bersifat neutral, kerana Islam adalah agama yang bersifat politik. Dalam Islam terdapat elemen siyasah yang tidak dapat dinafikan. Jika dia bersifat neutral, dia akan dikritik kerana sibuk berkata bahawa perlunya Islam memerintah, tetapi dalam sudut praktis, mereka berkecuali. Tetapi jika mereka berpihak, ini akan membuka ruang perpecahan kerana memang sifat parti politik itu menganjur pada perpecahan.

Jadi pada pandangan aku, sikap untuk tidak mengumumkan kepada umum bahawa perlu menyokong siapa itu adalah langkah yang tepat dan lebih harmoni. Dalam masa yang sama, untuk tidak dikritik bahawa gerakan Islam ini tidak mempunyai pegangan siyasah, saranan untuk berpihak pada siapa ini hanya dibisik-bisik kepada ahli sahaja, dengan penerangan diberikan tentang mengapa pilihan itu dibuat dalam situasi semasa. Pastilah apabila diberitahu pilihan, ini akan menyebabkan pergaduhan dan ketidak setujuan. Tambahan pula, ketika PRU-14 dan PRU-15, negara sedang mengalami fasa perubahan. Jadi suhu politiknya sangat tinggi, apa pun keputusan yang dibuat akan menimbulkan pergaduhan. Dan ini saya lihat berlaku dalam semua gerakan Islam, tiada yang terkecuali. Ia tidak unik berlaku dalam sebuah gerakan Islam sahaja.

Tambahan pula, gerakan Islam tentunya tidak dapat mengawal pemikiran ahli-ahlinya. Setiap orang mempunyai kefahaman masing-masing. Ada hujah dan logik tersendiri. Sekuat mana pun usaha kita untuk membina 'kesatuan pemikiran', tetap akan ada perbezaan pendapat dan pandangan. Hal ini saya kira bukan kelemahan gerakan Islam tertentu, tetapi fitrah kejadian manusia. Hatta jika kita mengimbau sejarah Islam sendiri, kita akan dapati pergaduhan dan perbezaan ini berlaku di setiap masa dan zaman. Dalam kata lain, kita perlu menerimanya sebahagian dari sunnatullah. Namun apabila musim pilihanraya sudah berakhir, sepatutnya kita kembali merapatkan saf dan berkerja lagi membaiki masyarakat, bukan meninggalkan kerja-kerja yang ada.

Kemudian kami mula berbincang perihal ideologi dan pemikiran. Di sini ada beberapa isu. Pertama adalah penggunaan teks-teks tafsiran lama yang dilihat sudah tidak menjawab persoalan zaman. Aku bersetuju akan hal ini, bahawa perlunya kita juga membaca dan memikirkan tafsiran baru. Malah, inilah sebenarnya yang cuba aku ketengahkan dalam buku Berfikir Tentang Pemikiran. Namun, dalam masa yang sama, aku faham mengapa teks lama lebih diutamakan berbanding teks baharu. Aku merasakan, generasi lama lebih selesa dengan teks lama kerana ia lebih terjamin, pemikirnya telah lama meninggal dunia oleh itu pemikirannya telah terhenti. Jika diambil teks baharu, terutamanya jika pemikir tersebut masih hidup, boleh jadi dia akan bertukar fikiran di kemudian hari, boleh jadi juga mereka menjadi penentang gerakan Islam di kemudian hari, jadi pemikiran mereka belum benar-benar terjamin untuk konsisten dan istiqamah.

Dalam hal pemikiran juga, sahabatku tersebut membangkitkan persoalan demokrasi. Bagi aku, persoalan demokrasi ini, aku 50-50. Tidaklah aku merasakan demokrasi ini satu sistem yang betul-betul baik atau betul-betul buruk. Ia ada kelebihan dan ada juga limitasi. Tetapi jika kita berputus asa, dan merasakan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah sistem ini, maka di situ kita akan menjadi sebahagian dari sistem yang bermasalah. Masalah yang ada dalam sistem demokrasi ini sudah terlalu banyak kali aku menulisnya, jadi tidak perlulah diulang-ulang lagi di sini. Semua sistem dalam dunia ini, semasa ia dilaksanakan, orang merasakan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengubahnya hinggalah tiba satu masa ada orang yang mengubahnya. Apabila sudah diubah, baru orang akan berkata "rupanya ada sistem yang lebih baik" atau "rupanya sistem ini boleh diubah". Jika kita mengatakan sistem yang ada tidak perlu diubah, maka gerakan-gerakan yang ada sudah tiada raison d'etre. Semua gerakan yang wujud mahu mengubah sesuatu, jika tiada perubahan yang dimahukan, semua gerakan tidak perlu wujud, termasuk gerakan Islam.

Akhir sekali, kami membincangkan perihal generasi lama yang ada dalam gerakan Islam. Sebahagian dari masalah golongan muda dalam gerakan Islam adalah krisis antara generasi. Aku akui, memang ada sebahagian golongan lama yang keras pendekatan dan pandangannya. tetapi kita harus sedar, gerakan Islam ini bukan milik sesiapa. Pemikiran juga bukanlah satu perkara yang statik, generasi lama ini juga akan berlalu. Jika pun kita tidak bersetuju dengan beberapa pemikiran mereka, aku merasakan bahawa meninggalkan gerakan Islam bukan solusinya. Apabila generasi berubah, kita boleh melaksanakan pula pemikiran kita, masanya akan tiba. Perubahan generasi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia akan berlaku. Umpama terbitnya fajar baharu, tiada siapa dapat menghalangnya, melainkan kiamat tiba.

Saya juga tidak bersetuju dengan pemikiran bahawa generasi lama tidak membawa apa-apa perubahan. Ini kerana lensa kita yang pendek. Kita melihat apa yang berlaku hari ini sahaja, namun jika kita ukur keadaan masyarakat ketika gerakan islam baru bermula, kita akan dapati bahawa berlakunya perubahan yang begitu besar. Dari sudut masyarakat dan juga institusi. Namun, seperti juga gerakan dan institusi yang lain, ia pasti mempunyai masalah-masalahnya. Kita melihat institusi lain seperti gah dan tidak bermasalah, namun, apabila kita memasukinya, kita terus dapat melihat kelemahan-kelemahan yang ada. 

Bukanlah penulisan ini merupakan cubaan untuk aku untuk menyuruh sahabatku itu kembali ke pangkuan gerakan Islam. Itu adalah pilihan yang harus dibuatnya sendiri. Aku sekadar mahu meletakkan pemikiranku kerana aku juga mempunyai kritikan-kritikan yang sama. Cuma aku memilih pendekatan yang berbeza. Aku merasakan, hari di mana aku meninggalkan gerakan Islam itu belum tiba, dan aku berharap ia tidak akan tiba. Kelemahan dan masalah itu pasti akan ada, tetapi meninggalkannya tidak akan membuat keadaan bertambah baik. Jika pun penyertaanku tidak mengubah apa-apa, tidaklah aku kecewa, kerana itu semua adalah qadar Allah. Cuma aku merasakan, di kesempatan usia yang singkat ini, sekurang-kurangnya aku melakukan sesuatu. Aku teringat akan sebuah penulisan oleh Maududi bertajuk Syahadatul Haq yang aku pernah baca dahulu di universiti. Maududi berkata, jika kau merasakan gerakan ini baik maka bergabunglah dengannya, jika kau rasa buruk, maka dirikanlah satu gerakan yang baik. Cuma satu yang jangan kau lakukan, jangan duduk dan tidak berbuat apa-apa.

Aku doakan sahabatku itu dilindungi oleh Allah, dalam apa pun pilihannya.

Rabu, 22 Mei 2024

Mon Monologue: Dva

 

Hari ini diberi kesempatan untuk berenang-renang di dalam kolam disamping membawa anak-anak bercuti dan mandi. Menyelam dan berenang di dalam kolam merupakan satu aktiviti yang sangat menyegarkan bagiku. Seolah-olah ikatan kuat yang mengikat fikiran sehingga stress perlahan-lahan melonggar. Fikiran mula beransur tenang sambil badan diapungkan oleh air biru yang jernih.

Melihat silauan cahaya matahari yang terbias di dasar air juga melonggarkan lagi ikatan yang membelenggu fikiran. Sambil merasakan diri hanyut terapung di dalam air biru yang jernih. Fikiran dibiar kosong dan melayang. Segala kerja yang menyesakkan dilupakan. Yang ada hanyalah apungan dalam satu ruang kosong yang tidak mempunyai dasar. Kosong, kosong, longgar, dan menyegarkan. Biar pun apungan itu hanya sementara sahaja, sedikit sebanyak minda kusut yang ketat menjadi terbuka semula. Kerja-kerja yang bertimbun dilihat dengan objektif semula. Bukan lagi dari perspektif stress, tapi perspektif produktif, untuk disusun dan dibereskan satu per satu.

Kerja memang banyak dan tidak akan habis. Jika habis pun, kita akan mencari dan mencipta kerja baharu bagi mengisi kekosongan hidup. Merenung sepasang tangan di dalam air biru aku terfikir. Semua manusia diberikan sepasang tangan yang sama. Kanan dan kiri. Tetapi mereka menghasilkan hasil yang berbeza-beza. Apa yang membezakan mereka bukan sepasang tangan mereka, tetapi banyak mana usaha yang sanggup dilaburkan.

Dalam apungan hidup yang sebentar ini, aku harap, dua tangan aku ini mampu aku gunakan untuk meninggalkan sesuatu yang bermakna buat dunia.

Sabtu, 11 Mei 2024

Mengapa Perlu Menyimpan Jurnal Peribadi?


Saya merasakan menulis dan menyimpan jurnal peribadi adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan dan membahagiakan. Topik-topik lain, perihal politik, ekonomi, sosial dan lain-lain boleh ditulis oleh orang lain. Tetapi penulisan perihal diri dan hidup kita hanya kita yang mampu menulisnya. Orang yang paling "expert" tentang diri kita adalah kita.

Adakah hidup kita signifikan untuk dijurnalkan? Jika pun tidak signifikan untuk orang lain, jurnal kita akan sangat signifikan untuk diri kita sendiri. Tidak semua perkara dalam hidup ini dapat kita ingati, banyak perkara-perkara kecil yang akan kita lupakan. Namun dengan menyimpan jurnal, perkara-perkara kecil ini dapat kita pelihara, dapat kita selak semula pada satu hari nanti. Membuatkan kita tersenyum, atau mungkin menangis dalam nostalgia rindu.

Dengan adanya jurnal peribadi, kita dapat mengukur perubahan diri. Selang berapa tahun, kita boleh membaca semula pengalaman lalu, dari situ kita dapat membandingkan perubahan diri kita. Namun jika ia tidak dijurnalkan, sukar untuk kita melakukan perbandingan, kerana banyak sisi-sisi hidup kita yang lalu akan hilang ditelan memori. Dengan adanya rekod bertulis, kita dapat melakukan perbandingan yang lebih tepat dan bermakna.

Jurnal peribadi juga boleh digubah semula. Ia boleh diadun dengan imaginasi dan juga kreativiti untuk menghasilkan satu penulisan yang unik. Di satu sudut, ia bersifat peribadi dan mampu membuatkan kita mengenang semula memori lama. Di satu sudut lain, ia dapat menjadi kisah yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Dengan mengadunnya semula dengan imaginasi dan kreativiti, ia boleh dibaca oleh pembaca lain sebagai satu penulisan yang tidak terlalu peribadi, suatu penulisan yang membuatkan orang lain merasakan ada kaitan yang boleh dibuat dengan diri mereka sendiri dengan kisah-kisah yang dibawakan.

Saya kira antara contoh jurnal peribadi yang baik yang diadun dengan imaginasi dan kreativiti adalah Jurnal Seorang Rockers oleh Mel Zainal. Ia adalah satu penulisan yang duduk di tengah-tengah. Antara karya non-fiksyen dan karya kreatif kerana ia menggabungkan kedua-dua elemen ini. Di satu sudut, penulis dapat memelihara memorinya, di satu sudut yang lain, dia dapat mempersembahkan satu cerita yang santai.

Menulis jurnal juga saya kira adalah sebagai satu tanda, tanda bahawa perasaan kita pernah wujud di dunia.