Isnin, 19 Januari 2026

Nota Tentang Gambar Muka Hadapan Buku Homo Historikus

Buku Homo Historikus.
Terdapat beberapa persoalan yang timbul tentang gambar yang menghiasi muka depan buku Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Maka di sini yang ingin memberikan sedikit penjelasan.

Gambar muka depan buku Homo Historikus adalah lukisan Kota Melaka dari buku The Life of Ferdinand Magellan and The First Circumnavigation of the Globe 1480-1521 oleh F.H.H. Guillemard (London: George Philip & Son, 1890)., hlm. 65. Gambar tersebut bertajuk “Malacca (from Correa)”. Namun edisi-edisi gambar ini yang ada tidak begitu berkualiti resolusinya. Oleh itu ia telah dilakukan sedikit ubah suai secara digital bagi meningkatkan kualitinya. Disebabkan telah berlaku ubah suai, ia tidak seratus peratus sama dengan lukisan asal dari sumber Correa. Sebaliknya ia adalah gambar Kota Melaka yang sudah diubah suai secara digital bersumberkan gambar Correa di dalam buku Guillemard.

Lukisan asal Kota Melaka oleh Correa di dalam buku Guillemard.

Ahad, 18 Januari 2026

Koleksi Fikir: Protes Iran 2026

Pada awal Januari 2026, media Barat sibuk memainkan berita berlaku protes besar di Iran. Protes ini sebenarnya didalangi CIA-Mossad. Ini bukan kali pertama, sebelum ni pun berlaku benda yang sama, wartawan Barat kecoh tentang protes di Iran walhal semua wartawan ini tidak boleh memahami bahasa Parsi dan tidak mempunyai sumber di lapangan. Sumbernya sekadar akaun Twitter. Rupanya bukan rakyat Iran yang berdemonstrasi, wartawan Barat yang berdemonstrasi di Twitter.

Memahami Perubahan Dalam Masyarakat

Pada 10 Januari 2026, saya bertemu dengan penyelia di Restoran Nasi Kandar Kayu, Pulau Pinang. Selain menambahkan kolestrol dalam badan, kami juga bersembang pasal sejarah. Menurut beliau, dalam sejarah kemerdekaan, gerakan yang paling signifikan adalah gerakan agama. Namun belum ada betul-betul satu kajian yang mampu membuktikan idea ini. Beliau melontarkan idea menggunakan metodologi mapping history untuk buktikan tesis beliau tersebut.

Bila saya dah kenyang, balik tidur, dan bangun fikir balik, saya rasa tesis tersebut ada benarnya. Cuma kerangka fikir kita tidak diprogramkan sebegitu. Kita lebih banyak melihat politik yang mengubah masyarakat. Kajian-kajian perihal negara kebanyakannya disorot dari sudut politik, korpus penulisan politik itu sangat banyak sampai orang hanya faham perubahan masyarakat mesti melalui politik. Namun sebenarnya ada arus lain yang sebenarnya lebih deras, tapi sebab ia tidak ditulis, tidak diterbitkan secara sistematik, tidak dikaji dengan dalam, tidak disebarkan kajian perihalnya, peranannya tidak menonjol. Ia hanya wujud dalam footnotes dan in the margin of history.

Gambar kenyang makan nasi kandar dengan Prof. Madya Dr. Azmi Arifin.

Pada 14 Januari 2026, saya terima sebuah buku yang dipesan perihal usaha gerakan dakwah oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain terbitan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan Daerah Tarbiyah. Tajuk buku tersebut adalah Ustaz Dahlan: Murabbi Merentas Zaman. Saya sangat seronok kerana kajian-kajian sejarah gerakan Islam yang merubah masyarakat ini mula timbul. Saya harap banyak lagi kajian dan buku seperti ini akan dihasilkan. Barulah kita dapat memahami dengan benar apa yang merubah masyarakat. Dan dapat keluar dari mentaliti lama yang melihat perubahan dari kaca mata politik sahaja.

Buku rare ini boleh diperolehi di Tamkin Store.

Rex Tan - Pandangan Tidak Popular

Saya ingin berbeza dengan teman-teman di media sosial. Saya tidak setuju dengan premis dan perbandingan yang dibuat oleh Rex dalam soalannya kepada Galloway semasa Forum IAIS pada 12 Januari 2026. Di mana Rex Tan membuat perbandingan penindasan zionis ke atas bangsa Palestin dengan keadaan kaum Cina di Malaysia. Bagi saya Galloway telah menjawab dengan baik soalan tentang perbandingan yang salah itu. Rex juga sudah meminta maaf dan bagi saya itu sudah memadai. Tidak perlu lagi posting memakinya, atau melaporkan beliau pada pihak berkuasa, atau menangkapnya. Bagi saya semua tindakan itu excessive malah counter-productive. Kita tidak akan menang hujah dengan menangkap orang yang berbeza pandangan.

Saya melihat di forum tersebut beliau memakai keffiyeh, bagi saya itu pun sudah melambangkan solidaritinya dengan rakyat Palestin. Sebenarnya apa yang kita perlukan bukanlah menangkap Rex atau memaki hamunnya. Itu hanya memperlihatkan akhlak kita yang buruk dan tidak akan memperlihatkan kita benar.

Apa yang perlu kita lakukan adalah memahami bahawa ada segmen masyarakat yang masih belum jelas tentang keadaan di Palestin. Ada juga segmen yang merasakan ada ketidaksamaan di Malaysia. Dari memaki hamun dan menangkap, tugas kita sepatutnya memberi penerangan, penjelasan dan diskusi. Dengan cara ini pandangan kita akan lebih mudah tersebar dan diterima. Dengan menggunakan kuasa dan kekerasan, kita sebenarnya hanya menjauhkan sesetengah segmen masyarakat, membuatkan mereka takut berdiskusi dengan kita, kerana kita tidak rasional, jika mereka tersilap soalan akan ditangkap dan dihukum. Maka kitalah yang rugi, jangan nanti ditanya kenapa orang lain tidak bersolidariti. Kerana sikap kita sendiri yang reaksionari.

Rabu, 14 Januari 2026

Catatan Baitul Muslim 74: Melihat Kehidupan Dari Kematian

Ada sebuah hadis yang saya kira sangat signifikan, yang mafhumnya adalah orang yang pandai adalah orang yang mengingati mati. Hadis ini jika direnung jauh dan dalam, memang sangat membekas. Ia mengubah bagaimana kita melihat dunia, bagaimana kita melihat kehidupan, dan bagaimana kita mengatur hidup kita.

Dalam kehidupan hanya ada satu yang pasti, iaitu mati.

Jika kita memandang hidup dari perspektif ini, kita akan dapati bahawa banyak perkara yang dikejar manusia are not worth the time. Masa kita pendek, kita akan rasa banyak benda yang sebenarnya tak berguna, tidak pantas untuk dilabur masa ke dalamnya.

Selepas tiga kali mengalami serangan jantung, perspektif melihat hidup dari mati ini semakin menebal dalam diri saya. Membuat saya selalu terfikir, apakah benda-benda yang saya kejar dalam hidup ini worth the life? Saya rasa sebab itu orang tua biasanya hidup mereka lebih slow, fokus, dan aman. Mereka sudah tidak mengejar banyak benda yang orang kejar. Sedar atau tidak, mereka mula melihat kehidupan dari kematian. Sedang orang muda mungkin kurang perasaan ini, orang muda sering merasakan masa mereka masih banyak lagi, walhal mati itu tidak kenal muda atau tua, syarat mati bukan sakit, bukan tua, tetapi hidup.

Hidup manusia sangat fragile, tubuhnya sangat lemah. Sekecil-kecil bakteria mampu membunuhnya. Selsema dan demam pun mampu memadamkan nyawanya. Kemalangan jalan raya bila-bila boleh meragut nyawanya. Hakikatnya, manusia itu begitu senang untuk mati.

Bila kita lihat dunia dari kematian, kita juga akan lebih menghargai sahabat dan keluarga yang kita ada, selalu kita akan terfikir, apa yang akan kita tinggalkan pada mereka, adakah mereka akan mengingati senyuman atau kemarahan kita? Adakah mereka akan ingat kasih sayang atau satu ketika di mana amarah menguasai kita?

Melihat hidup dari mati, saya selalu rasa tidak wajar saya memarahi anak lama-lama. Atau bermasam muka pada isteri lama-lama. Setiap kali berpisah, walaupun ke tempat kerja, akan bersalaman cium pipi. Kerana mungkin itu perjalanan kita yang terakhir. Kematian sentiasa membuat kita menghargai kehidupan, mungkin itu tujuan Tuhan ciptakan kematian, agar manusia menghargai kehidupan. Mengasihi keluarga dan sahabatnya. Cepat-cepat membaiki hubungan andai tersilap dalam tindakan atau terkasar dalam bahasa.

Kerana selalu dalam mindanya, mungkin itu adalah momen terakhirnya.

Ahad, 4 Januari 2026

Koleksi Fikir: Angan-Angan Ada, Belum Usaha


Di UK, ada satu projek yang menarik perhatian saya. Namanya The Great Diary Project yang diasaskan oleh curator British Museum, Irving Finkel dan Polly North. Mereka mengumpulkan diari orang-orang biasa, katalogkan, dan tubuhkan repositori. Diari orang awam yang dirasakan "biasa" dan tidak relevan dikumpulkan. Kalau ada rumah dikosongkan, owner asal meninggal tinggalkan diari, mereka boleh hantar pada mereka untuk disimpan. Repositori ini diletakkan bawah institusi, bukan koleksi peribadi, agar bila pengasasnya mati, tradisi itu akan berterusan. Saya pernah contact Polly, untuk hantar diari atuk saya untuk dipelihara oleh mereka, tapi Polly kata dia tidak boleh terima, sebab dia hanya kumpul koleksi dalam bahasa Inggeris. Antara angan-angan saya adalah untuk wujudkan repositori yang sama dalam bahasa Melayu satu hari nanti. Tapi setakat ini baru angan-angan, belum berusaha. Saya yakin kalau dimulakan, kita akan jumpa sesuatu yang berharga, sesuatu yang kita tidak pernah mimpi bahawa ia sebenarnya wujud.

Sabtu, 3 Januari 2026

Risalah Untuk Kaum Yang Berfikir

Terima kasih The Bibliophile Bookshop kerana terus mekar mengangkat karya-karya pemikiran kritis. Buku terbaharu saya Risalah Untuk Kaum Yang Berfikir telah diumumkan untuk diterbitkan dalam Mini Siri Kenyalang. Rasa kerdil sebenarnya bila karya saya diletak sebaris dengan para pemikir dan professor. Karya-karya yang akan diterbitkan dalam mini siri ini termasuklah:

1. Risalah Falsafah Sastera Melayu-Islam oleh Prof. Emeritus Bukhari Lubis
2. Estetika: Risalah Tentang Falsafah Seni oleh Prof. Madya. Dr. Saiful Akram
3. Risalah Perpaduan oleh Kassim Ahmad
4. Risalah Islam dan Etnisiti oleh Prof. Nasrin Nasir
5. Risalah Untuk Kaum Yang Berfikir oleh Syed Ahmad Fathi

Moga-moga saya mampu mengikut jejak langkah mereka, mewakafkan hidup untuk ilmu, dan menyebarkan ilmu bagi meninggikan pemikiran watan. Karya-karya ini akan menemui pembaca di Kuala Lumpur Altertative Bookfest 2026 (KLAB 2026).