Jumaat, 30 Oktober 2020

Reviu Zine Dari Johor #1


Zine Dari Johor yang pertama ini membawakan definisi anarkisme sebagai tema utama, semestinya anarkisme bukan dapat difahami dengan satu definisi rasmi sahaja, sekurang-kurangnya kita dapat faham apa yang dimaksudkan oleh anarkisme dari anarkis-anarkis Johor.

Dalam muka-muka awal dipersembahkan maksud otonomi (autonomy) iaitu sebagai satu kebebasan untuk menganut nilai-nilai anarkis tanpa perlu diminta persetujuan dari kekuasaan yang lebih tinggi seperti kerajaan. Bagi mereka otonomi bukan sahaja bersifat individu, tetapi juga bersifat kolektif, ia tidak dapat dipisahkan. Perkara ini membuatkan saya berfikir, apabila ditulis "otonomi individu tidak dapat dipisahkan dengan otonomi kolektif" apakah maksudnya? Kerana saya sering melihat bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan yang berbeza, dan seringkali bercanggah. Seperti sejarawan Howard Zinn ketika membedah apa itu maksud "kepentingan negara", kerana negara itu terdiri dari pelbagai kelas yang mempunyai kepentingan berbeza. Jadi jika ada perbezaan antara individu atau kolektif, atau kolektif bersama kolektif yang lain, dari sudut praktikalnya, siapa yang boleh membuat keputusan andai jalan perbincangan tidak menemui solusi?

Saya bersetuju dengan tuan editor bahawa terma 'anarkisme' mempunyai konotasi yang negatif dalam masyarakat, ia dipandang dengan "ganjil dan aneh". Media memainkan peranan penting dalam memaknai konotasi negatif ini, sebagai contoh, dalam siri televisyen Gotham, ketika detektif Gordon ingin membersihkan bandarnya dari cartel mafia dan korupsi, ketua mafia Don Falcone memberitahunya bahawa mereka bukanlah musuh sebenar masyarakat kerana mereka bekerjasama dan mengimbangi kerajaan, musuh sebenar kata Dol Falcone adalah anarki. Anarki dikaitkan dengan kacau bilau sedangkan bagi para anarkis maksud mereka mungkin merupakan manifestasi kebencian mereka terhadap perampasan, penindasan, penaklukan, monopoli, dari authority yang berkuasa dan zalim.

Saya faham bahawa zine ini merupakan medium santai bukan buku teks, tetapi saya kira ianya perlu diperbaiki lagi dari sudut teksnya agar mudah difahami. Saya dapati ada ayat-ayat yang tergantung, ayat yang tidak jelas dan tersusun yang menyukarkan pembacaan. Mungkin boleh diminta ia diulang-baca oleh sesiapa sebelum diterbitkan.

Saya juga tertarik dengan usaha-usaha ekonomi yang dibangunkan contohnya String Art, kolektif mereka turut menceburi pelbagai bidang seperti penerbitan, Cukong Press, percetakan pakaian, Organisasi Terlarang. Mereka bukan sahaja bersembang hal-hal idea anarkis tetapi ada sudut praktikalitinya. Mungkin satu hari nanti boleh ditulis pula sejarah dan perkembangan usaha-usaha ekonomi ini dalam zine akan datang satu persatu, ia tentunya mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.

Dalam perbincangan perihal forum Seni dan Aktivisme ada ditakrifkan apa itu seni, iaitu seni sebagai aksi, ekspresi dan menyuarakan pendapat, seni bukan sahaja aktiviti seperti melukis, mewarna dan menyanyi kerana itu adalah perbuatan. Definisi seni ini sangat menarik kerana ia membawa makna yang lebih luas, sesiapa pun boleh melakukan kesenian. Saya teringat akan satu temuramah oleh George Carlin ketika beliau sudah tua, beliau ditanya bila hendak bersara, beliau menjawab komedinya adalah satu aksi kesenian, kita tidak akan bertanya kepada Picasso bila dia akan berhenti melukis.

Ada juga diceritakan perihal mat-mat motor yang dianggap rosak oleh masyarakat. Hakikatnya mereka bukanlah rosak kerana mereka ingin rosak, cumanya mereka tidak punya kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan untuk memberi sumbangan pada dunia. Diceritakan perihal seorang mat motor yang mendapat kesedaran dan menggunakan circle dan hubungannya sesama mat-mat motor untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang positif. Tuan editor dalam penulisannya menekankan permasalahan ini adalah permasalahan sistem, bukan sahaja mat motor tidak punya kesedaran, tetapi ibu bapa mereka sibuk mengurus hal ekonomi dan tidak sempat untuk mendidik anak-anak.

Tulisan berkenaan dengan solidariti terhadap orang kampung yang menolak pembinaan pusat sisa buangan waste to energy di Bukit Payung turut dimuatkan didalam zine ini. Saya pertama kali memahami dengan dalam masalah ini ketika membaca buku yang ditulis oleh saudara Iltizam Iman Menolak Perintah. Sekali lagi masalahnya bukanlah pada projek ini secara khusus, tetapi masalahnya adalah sistem yang dibuat untuk tidak menyebelahi rakyat. Anarkis sedar akan hal ini, sebab itu permasalahan sistem adalah tema yang selalu diulang di dalam zine ini.

Ada satu artikel khas yang ditulis dalam zine ini oleh Ocha dalam memberi makna kepada anarkisme, walaupun bahasanya agak kasar dan ganas, maknanya saya kira elok direnungkan. Anarkisme adalah sebuah fahaman tanpa ketua, tetapi ia memahami realiti hidup, iaitu ada ketika seorang pembuat keputusan diperlukan, maka ketika itu seorang ketua boleh dilantik, tetapi apabila ketua itu bertindak membahayakan orang lain, dia perlu digugat dan diturunkan. Makna ini saya kira dekat dengan makna yang pernah diberi oleh Noam Chomsky iaitu mana-mana sistem kuasa yang tidak dapat menjustifikasikan kewujudan mereka perlulah dirobohkan.

Cuma artikel itu sedikit mengelirukan, walaupun ia ditulis oleh Ocha, ditengah-tengahnya editor masuk dan menulis "thanks Ocha". Saya kira elok kiranya setiap artikel ditulis tajuk dan penulis di permulaan untuk memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan, ucapan terima kasih mungkin boleh dimasukkan di penghargaan di permulaan zine. Artikel berkenaan kemudian menyambung bahawa anarkisme adalah ideologi ekonomi, bersifat alamiah, tanpa campur tangan kuasa dan kepentingan yang menindas. Anarkisme yang dituduh buruk tidak mencetuskan perang-perang dunia, sebaliknya merekalah yang melawan kuasa-kuasa yang sering berperang. Anarkisme percaya bahawa masalah utama masyarakat adalah masalah ekonomi, kerana dari ekonomi sesuatu masyarakat terbentuk.

Artikel yang ditulis oleh Grinder Kulaifornia II juga menarik minat saya, yang membawakan idea untuk menghidupkan sebuah lorong di Kulai iaitu Lorong Ismail. Ia diberikan nama istimewa sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Saya begitu tertarik dengan misi untuk menjadikan LUAS sebagai "sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni". Semoga usaha ini berjaya, dan semoga satu hari nanti saya boleh tumpang mengopi pula disana!

Selain artikel ganas perihal makna anarkisme, Ocha juga menyumbang satu lagi artikel dalam zine ini yang bertajuk "Peranan Percetakan Dalam Gerakan", mungkin ia adalah inspirasi kepada penubuhan Cukong Press. Dalam artikel itu dibawakan satu tokoh anarkis bernama Liu Shifu yang tidak begitu terkenal seperti tokoh anarkis lain seperti Proudhon, Bakunin, Stirner dan Goldman. Ia juga menceritakan bagaimana ideologi anarkis masuk ke Malaysia.

Artikel oleh Saleng Kulai yang bertajuk Kongsi Pengalaman juga menarik, terutamanya perbincangan tentang bagaimana teknologi membuatkan dunia semakin rapat. Eropah, Asia, Timur Tengah, semuanya kini mendekati antara satu sama lain, berinteraksi, belajar dan berhubung tanpa kekok. Perbincangan berkenaan dengan bagaimana teknologi mendekatkan dunia yang terpisah ini juga membuatkan saya terkenang buku yang ditulis Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat, idea Saleng Kulai ini menjadi teras kepada thesis buku Friedman itu.

Artikel Utopia tulisan Kulai Besar bagi saya merupakan artikel yang mempunyai nilai falsafah. Artikel ini cuba untuk menjawab tuduhan bahawa idea anarkisme adalah bersifat utopia yang tidak boleh dicapai. Ia juga membincangkan soal taktikal, ia tidak gelojoh dengan memulakan misi untuk merobohkan negara serta merta sebaliknya memulakan gerak kerja dengan keadaan yang ada, dengan sumber dan tenaga yang ada. Dalam pertahanannya, penulis mengkritik bahawa kapitalisma sendiri juga belum tertegak secara ideal seperti dalam teorinya, dalam kata lain kapitalisma juga adalah idea utopia. Saya rasa renungan ini benar, jika kita membaca buku yang ditulis ekonomis Ha-Joon Chang dalam bukunya yang sangat mudah difahami, 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, Chang mengkritik idea free market yang diperjuangkan oleh kapitalisme. Kerana hakikatnya free market tidak wujud, contohnya kita tidak boleh menjual dadah, atau menggunakan buruh kanak-kanak, kenapa? Sekiranya pasaran itu terbuka, bukankah pasaran yang perlu menentukan apa yang hendak dijual-beli, bukan moral. Jadi jika dikatakan idea kapitalisme itu utopia, saya boleh menerimanya. Jadi persoalan yang tinggal, kenapa masyarakat menerima kapitalisme dan menolak anarkisme jika kedua-duanya idea yang utopia? Hakikatnya kita semua dalam proses menuju kepada sesuatu, idea yang utopia itu hanya memberi kita hala tuju destinasi yang hendak kita tuju.

Banyak lagi point-point yang menarik dalam zine ini untuk difikirkan, tidak muat untuk posting yang terbatas ini, elok dibaca dan diperhalusi sendiri. Saya akhiri ulasan zine ini dari kata-kata akhir editor sendiri, Redo, "tanpa diperintah dan memerintah, tanpa dimiliki dan memiliki, tanpa hieraki dan autoriti, tanpa patriaki dan matriaki, tanpa kuasa untuk menguasai!"

Sabtu, 17 Oktober 2020

Catatan Baitul Muslim 38: Anjing Bernama Pep-Po


Ketika anak saya yang pertama berusia dua-tiga tahun, cerita kegemarannya adalah Inside Out, mungkin itu cerita kegemarannya kerana dia tidak didedahkan dengan cerita lain. Animasi yang diterbitkan pada tahun 2015 ini mengisahkan perihal seorang budak berumur 11 tahun yang bernama Riley, peningkatan umur, juga perubahan keadaan hidupnya (berpindah dari Minnesota ke San Francisco mengikut ayahnya yang bertukar kerja) memberi kesan kepada emosinya. Animasi itu menceritakan bagaimana emosi Riley bertindak balas dan bagaimana dia berubah ke proses yang lebih matang. 

Tentu sahaja anak saya ketika itu tidak memahami plot dan makna cerita ini. Jika saya menonton bersamanya, dia akan bertanya kepada saya setiap minit "abi kenapa macam ini?" "kenapa macam tu?". Dia menontonnya sebagai sebuah kartun. Dalam animasi tersebut, ketika Riley masih kecil, dia mempunyai teman imaginari (imaginary friend) bernama Bing Bong yang merupakan haiwan campuran kucing, gajah, dan dolphin. Babak Bing Bong berkorban untuk emosi gembira Riley mungkin babak yang paling sedih dalam animasi ini - isteri saya menangis ketika kami tonton bersama ketika kami baru berkahwin.

Ada sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Child Development yang ditulis oleh Gabriel Trionfi dan Elaine Reese berkenaan dengan kanak-kanak yang membesar dengan teman imaginari. Hasil kajian mereka, 48% kanak-kanak dari sampel kajian didapati mempunyai teman imaginari, teman ini boleh jadi diimaginasikan sebagai manusia atau haiwan. Kajian mereka mendapati anak-anak yang mempunyai teman imaginari mempunyai skil naratif yang lebih baik, mereka dapat menceritakan sesuatu dengan konteks yang lebih kaya, dan mereka mendapati hal ini lebih jelas pada anak yang pertama.

Saya berpendapat, hasil pemerhatian saya, anak pertama lebih cenderung akan hal ini, dia akan selalu mengajak saya untuk play pretend, contohnya menganggap tikar sebagai sungai, anak kedua masih diawal usia bayi jadi kecenderungan ini belum kelihatan. Anak pertama saya juga mempunyai seekor anjing mainan yang dibinanya dari set mainan blok dan dinamakan Pep-Po, kadangkala dia akan membawa Pep-Po tidur bersamanya, mengajak saya menyambut hari jadi Pep-Po, selain hari jadi teddy bear-nya. Walaupun sebagai seorang ayah, kadangkala sukar juga saya untuk lakonkan watak-watak mainan beliau apabila diajak bermain kerana saya sudah dewasa dan keluar dari fasa ini, saya akan cuba juga untuk bermain dengannya, play pretend, kerana satu hari nanti anak jaya juga akan keluar dari fasa ini.

Jumaat, 16 Oktober 2020

Kaki Ditarik Tenggelam Dalam Nostalgia


Apa perlunya kenangan,
Andai yang dibawa cuma tangisan.

Menarik kaki,
Dari berdiri,
Hanyut semula dalam sungai memori.

Melihat wajah yang telah pergi,
Cinta yang tidak jadi.

Sukar untuk hidup untuk sekarang,
Ibarat kaki yang kejang,
Terikat pada memori usang.

Beratnya menyesak jiwa,
Hingga akhirnya tenggelam dalam nostalgia.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sosialisma?


Persoalan Komunisma-Sosialima merupakan persoalan usang, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini. Perlawanan ideologi dua mazhab ekonomi ini telah diperdebatkan sejak zaman berzaman, darah telah ditumpahkan, revolusi tercetus, menyebabkan jatuhnya monarki dan feudalisma, malah lautan dakwat telah ditumpahkan ke atas lembaran untuk menulis kitab perihalnya, untuk menyokong atau mengkritiknya.

Dahulu saya mencari makna sosialisma ini dengan kacamata bahawa ia punya satu definisi objektif yang jelas. Namun kini saya tersedar bahawa ia adalah satu kanta yang silap, sosialisma tidak punya satu makna, tidak punya satu definisi, ia berbeza mengikut pemikir, mengikut geografi, latar masa dan suasana. Saya sedar akan hal ini apabila saya mengikuti pelbagai syarahan ahli ekonomi Marxis, Profesor Richard D. Wolff, yang digelar oleh majalah The New York Times sebagai ahli ekonomi Marxis yang paling ulung di Amerika.

Entah kenapa, apabila saya mendengar perbahasan ekonomi dari aliran kiri, ia lebih masuk akal, mudah difahami, menarik, hujahnya kedengaran lebih elegan, mungkin teori ekonomi arus perdana terlalu kompleks dan matematikal untuk otak manusia biasa seperti saya, atau teori ekonomi aliran kiri berbentuk simplistik, saya tidak pasti. Tapi syarahan Prof. Wolff begitu menarik, hampir satu minggu saya habiskan mendengar syarahannya, saya dengar syarahan beliau di Talks at Google, di Levy Economics Institute of Bard College, ACLU SoCal Lecture di Occidental College, di Webster University, juga temuramah beliau bersama Bill Moyers, temuramah beliau bersama Amy Goodman dan Paul Krugman di Democracy Now! juga debat beliau melawan Gene Epstein di Soho Forum Debate. Ada lagi syarahan beliau yang saya ikuti, tapi ia akan membuatkan perenggan ini terlalu panjang. Apa yang hendak saya katakan adalah syarahan beliau menangkap imaginasi, mudah difahami, serta menyebabkan saya mahu mendengar lebih lagi.

Antara ulasan beliau yang sangat mencerahkan adalah perkembangan sosialisma, seperti sistem lain termasuk sistem kapitalisma, sosialisma berubah mengikut zaman, ia tidak statik, ada idea yang dicuba dan gagal, ada idea-idea baru. Sosialisma lama menurut beliau adalah kefahaman bahawa sosialisma bermaksud perniagaan semuanya diuruskan oleh kerajaan dengan ekonomi dikawal ketat oleh kerajaan pusat (central planning). Model ini telah dicuba oleh Kesatuan Soviet tetapi gagal, komunis China pula tidak mengamalkan dasar ini secara monolitik sebaliknya membuka ruang besar untuk ekonominya dijalankan menggunakan sistem kapitalis walaupun menggunakan nama dan pakaian komunis.

Sosialisma Alaf-21 menurut Richard Wolff merupakan fahaman bukan bermaksud ekonomi perlu dikawal kerajaan, kerana apa yang dilakukan sebelum ini adalah menggantikan sekelompok kecil kapitalis yang menguasai syarikat dan menggantikannya dengan pegawai-pegawai kerajaan, ini menurut Wolff tidak mengubah struktur hiraki syarikat dan ini juga bukan idea asal Karl Marx, Marx dalam tulisan-tulisannya tidak memandang berat soal campurtangan kerajaan dalam ekonomi kerana itu bukan apa yang ingin beliau teliti. Apabila struktur hiraki tidak berubah, ia masih dikawal oleh segolongan kecil manusia yang membuat keputusan untuk populasi pekerja yang lebih besar, cuma bezanya sebelum ini mereka ditindas oleh kapitalis, sekarang mereka ditindas oleh pegawai kerajaan.

Bagi Wolff, sosialisma Alaf-21 bermaksud pendemokrasian tempat berkerja. Bukan sekadar menukar elit kecil yang membuat keputusan ekonomi. Tempat kerja adalah tempat yang kita habiskan sebahagian besar umur produktif kita, jika kita mempercayai demokrasi, mengapa sebahagian besar hidup kita ini tidak ditukarkan ke sistem demokrasi? tanya Wolff. Solusi beliau adalah mewujudkan syarikat milik pekerja (workers co-op). Apabila pekerja yang memiliki syarikat dan punya kuasa dalam membuat keputusan ekonomi, mereka akan membuat keputusan-keputusan yang memihak kepada sebahagian besar pekerja, bukan golongan elit kecil, baik elit kapitalis atau elit kerajaan. Bagi mereka yang skeptik dengan solusi ini, beliau sering mengulang-ulang kejayaan Corporacion Mondragon, sebuah syarikat milik pekerja di Basque, Sepanyol yang kini sudah berkembang menjadi konglomerat dengan 81,507 pekerja (data tahun 2019).

Saya teringat polemik saya bersama Komrad Benz Ali berkaitan dengan kebergantungan golongan kiri kepada golongan kanan. Jika kapitalis adalah sistem kanan, Richard Wolff dalam syarahannya sering menekankan kebergantungan sosialisma dengan kapitalisma, beliau menyebut bahawa "capitalism produced Karl Marx" dan dalam syarahan lain beliau menyebut "socialism is a product of capitalism". Dalam pelbagai definisi sosialisma, mungkin para sosialis bersetuju dengan satu definisi, bahawa sosialisma bermaksud lawan kepada kapitalisma, ia akan wujud selagi kapitalisma wujud, ia adalah "self-critiscm" buat kapitalisma.

Jika anda ingin cuba memahami teori ekonomi Marxis atau ingin memahami apa yang dimaksudkan dengan sosialisma tapi mendapati bahawa artikel ini tidak begitu jelas untuk memuaskan nafsu intelektual anda, saya sarankan anda mendengar sendiri syarahan Prof. Richard David Wolff, tidak perlu dengar semua yang saya telah senaraikan, satu sudah memadai kerana kesemuanya kebanyakannya mempunyai isi fundamental yang sama.

Ahad, 11 Oktober 2020

Be Bold For Change


Baru-baru ini saya dijemput untuk memberi sedikit perkongsian perihal penulisan di satu perjumpaan Kelab Toastmaster yang bertajuk "Be bold for change". Dalam sesi tersebut turut dijemput novelis terkenal Siti Hazneza Binti Abdul Hamid (Kak Haz) yang merupakan pengarang novel Cemburu Seorang Perempuan. Jika dibandingkan pencapaian penulisan, bagaikan langit dengan bumi, Kak Haz merupakan novelis terkenal yang karyanya dibaca oleh ribuan orang, sedangkan saya merupakan penulis buku yang tidak dibaca orang, tapi perkongsian dari beliau sangat menginspirasikan. Jadi di posting ringkas ini saya ingin merenung nasihat dan wisdom dari beliau. 

Berkongsikan pengalaman beliau mula menulis, beliau menceritakan dalam kepalanya banyak persoalan "what if?", jadi beliau tuliskan fikiran-fikiran beliau tersebut. Bagi beliau penulisan pertama sememangnya akan mempunyai banyak kesilapan dan kesalahan, tetapi jangan berhenti menulis. Beliau memberi perumpamaan seperti kita memasak, "you will never serve the first pie". Tetapi makin lama kita makin mahir, kita semakin pandai menyusun apa yang terintas dalam fikiran, mampu mengulas dan mengembangkan idea, tetapi jika kita berhenti kita tidak boleh meningkat maju.

Perihal kritikan penulisan, beliau menerangkan bahawa ia merupakan satu alat untuk kita memperbaiki diri, kritikan terhadap penulisan boleh kita jadikan panduan tentang bahagian mana yang kita punya kelemahan, dengan kritikan kita boleh mengenalpasti kelemahan kita dan memperbaikinya. Namun beliau turut berbicara tentang kritikan orang yang membenci kita, sebaik manapun kita, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, ada orang yang tetap akan membenci kita kerana kita adalah kita, menghadapi situasi sebegini kita perlu berlapang dada dan menerima bahawa insan seperti ini akan terus wujud. Untuk menghadapi mereka, kita perlu terus berkerja dan berusaha, kejayaan kita akan menjadi jawapan terhadap kritikan mereka. 

Sekian sahaja perkongsian ringkas, program tersebut juga ringkas dengan masa yang terbatas, saya kira banyak lagi perkara yang beliau ingin kongsikan, pengalaman-pengalaman penulisan sememangnya satu yang berharga. Mungkin di masa hadapan saya berkesempatan untuk mengutip lagi pengalaman-pengalamannya. Majulah penulisan untuk negara.

Ahad, 4 Oktober 2020

Membaca Memoir Tara Westover: Harga Sebuah Pendidikan


Membaca memoir Tara Westover, Educated merupakan pembacaan selingan saya ketika membaca dengan perlahan tulisan klasik Jean-Jacques Rousseau, The Social Contract. Memoir ini lebih ringan dibaca berbanding tulisan Rousseau, setiap buku tidak sama, ada yang memperkatakan perihal falsafah dan pemikiran, perlu dibaca dan ditekuni dengan perlahan, ada juga buku berbentuk penceritaan yang boleh dibaca dengan lebih laju. Sebab itu saya tidak percaya akan pembacaan laju hanya untuk mengumpul berapa banyak buku yang dibaca setiap bulan. Laju atau perlahan bergantung kepada jenis pembacaan, dan apa yang kita hajati dari pembacaan.

Memoir Westover ini merupakan kisah hidup beliau. Bagaimana beliau dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan agama Kristian Mormon, namun di awal memoirnya beliau membuat disclaimer bahawa ia bukan buku perihal Kristian Mormon, kerana tidak semua Kristian Mormon berpegang dengan agama mereka seperti keluarga mereka. Bab-bab awal bukunya berkisar tentang ayahnya yang tidak mempercayai kerajaan, tidak percaya akan institusi pendidikan negara dan juga institusi kesihatan awam. Bagi ayahnya sekolah kerajaan adalah usaha kerajaan untuk menjauhkan anak-anak dari Tuhan, ayahnya mengeluarkan abang-abangnya dari sekolah, manakala adik-adiknya dan Tara sendiri tidak bersekolah. 

Malah kelahiran mereka juga tidak didaftarkan, oleh kerana ketiadaan sijil lahir, empat orang adik-beradiknya termasuk beliau tidak wujud di sisi kerajaan, mereka ada secara fizikal tanpa punya identiti rasmi. Ibunya mula memfailkan permohonan untuk mendaftar apabila abangnya Luke memerlukan lesen memandu, namun ia merupakan proses yang panjang kerana ibunya, neneknya, ayahnya semua mempunyai tarikh yang berbeza tentang bila dia dilahirkan. 

Bagi ayahnya mendapatkan rawatan di hospital dan berjumpa dengan doktor adalah berkerjasama dengan perancangan syaitan dan Illuminati. Saya merupakan seorang yang tidak berapa selesa dengan luka, darah, (sebab itu saya tidak masuk ke dalam bidang perubatan) jadi penulisan beliau berkenaan dengan hal-hal ini sedikit mengerikan saya, ia sangat grafik bagi saya, mungkin tidak grafik bagi orang yang mempunyai tolerance yang lebih tinggi. Bagaimana mereka adik beradik terluka, terbakar kaki, kemalangan kereta, semuanya diubat sendiri menggunakan rawatan homeopathic dan herbalism yang dibuat oleh ibunya tanpa ke klinik atau hospital.

Namun ini tidak bermakna mereka tidak mendapat pendidikan langsung. Pada mulanya ibunya melakukan home-schooling kepada mereka, namun selepas beberapa ketika ibunya berhenti. Tetapi ini tidak mematikan minat anak-anaknya dalam mencari ilmu. Proses pembelajaran dalam keluarganya menurut Tara seluruhnya merupakan usaha sendiri. Mereka boleh belajar apa sahaja yang mereka boleh ajarkan pada diri sendiri. Beliau sendiri melihat kesungguhan adik beradiknya yang lain belajar dan membaca. Abangnya Tyler meminta untuk bersekolah semula ketika dia berumur 13 tahun, dia bersekolah semula, kemudian ayahnya mengeluarkannya sekali lagi. Tetapi imaginasi Tyler telah ditangkap, beliau berazam untuk belajar sendiri, abangnya Tyler mengumpul duit untuk membeli buku trigonometri, dia meminjam buku kalkulus dari gurunya kerana tidak mampu membeli sendiri, dan gurunya mengatakan mustahil untuknya menguasai kalkulus sendiri, Tyler menjawab "berikan saya buku itu, saya fikir saya boleh!". Apabila Tyler punya kereta sendiri, Tara melihat bagaimana Tyler meninggalkan keluarga mereka.

Melihat Tyler meninggalkan keluarga, memilih kecintaan kepada pendidikan lebih dari cintanya kepada keluarga menanam satu biji benih dalam diri Tara, benih "ingin tahu", benih ini tidak memerlukan apa-apa, hanya masa dan kebosanan yang diperlukan untuk ia tumbuh sendiri. Selepas pemergian Tyler, Tara cuba untuk meniru gaya Tyler belajar, dia mula membaca buku-buku yang ada di rumahnya, kebanyakannya berkenaan dengan agama Kristian Mormon, ada kalanya dia tidak begitu memahami apa yang dibaca, tetapi bagi beliau ini adalah skil yang sangat penting, iaitu kesabaran membaca teks yang kita belum boleh fahami.

Ayahnya begitu mengimani bahawa hari pengakhiran bakal tiba tidak lama lagi, ketika mereka masih kecil, ketika keluarga lain juga percaya akan teologi yang sama, keluarga mereka bukan sekadar percaya, tetapi mereka membuat persediaan. Setiap hari mereka membotolkan makanan, mereka menyimpan minyak di tangki rahsia di bawah tanah, menyimpan emas, semuanya dilakukan untuk bersedia menghadapi hari akhir yang bapanya percaya akan tiba tidak lama lagi. Namun akhirnya ayahnya sedar bahawa hari akhir yang ditiliknya tidak datang.

Abangnya Tyler meyakinkan Tara bahawa dia harus keluar dari rumahnya dan bersekolah, Tyler mencadangkan bahawa dia memulakan pelajaran di Bringham Young University (BYU) yang menerima pelajar yang tidak bersekolah, asalkan mereka berjaya melepasi ujian ACT. Tara belajar sendirian, cuba mencari masa disamping berkerja dengan ayahnya sehinggalah dia berjaya dan diterima masuk ke BYU. Di BYU beliau mula melihat dunia sebenar, bukan lagi dunia sekecil kehidupan lamanya, beliau mula membuat perbandingan antara kepercayaannya dengan realiti sebenar. Walaupun ayahnya pada mulanya tidak percaya akan pendidikan formal dan tidak mahu Tara menyambung pengajian, Tara masih merekodkan ada ketikanya ayahnya membantunya, memberi kata-kata semangat, dan memberi sedikit wang. Belajar pada ketika itu bukan merupakan perkara yang mudah kerana beliau turut bekerja untuk membayar yuran, sewa, dan menanggung kos sara hidup. Ketika itu beliau sedar akan kuasa wang terhadap pendidikan, adanya wang membuatkan seseorang boleh berfikir tentang perkara lain selain wang. Dengan wang seseorang itu dapat fokus pada pelajaran tanpa perlu berfikir akan komitmen-komitmen kewangan lain. "Curiosity is a luxury reserved for the financially secure" tulis beliau.

Antara watak yang penting dalam memoir Tara adalah abangnya Shawn. Beliau muncul dipertengahan memoir ini, Shawn pada mulanya merupakan abang yang baik, yang rapat dengat Tara. Namun dia juga merupakan seorang yang ganas yang selalu membuli (atau mungkin menderanya) secara fizikal. Shawn bukan sahaja memberi kecederaan fizikal pada adiknya (dan kemudian isterinya sendiri) dia juga meninggalkan kesan psikologi terhadap Tara dengan bahasa-bahasa kasar yang beliau ungkapkan kepadanya. Shawn merupakan antara sebab berlakunya perpisahan antara Tara dan keluarganya. Namun ada juga ketikanya Shawn menjadi penyelamat buat Tara, memastikan keselamatannya semasa bekerja di kilang besi juga memberikannya wang untuk belajar.

Melihat keadaan Tara, rakannya Robin membantu beliau untuk mendapatkan pertolongan, dia memastikan Tara mendapat kaunseling dari seorang Bishop yang meyakinkannya untuk mendapatkan bantuan keewangan. Tetapi beliau menolak, kerana dia belum boleh melepaskan keyakinan-keyakinannya, ketidakpercayaannya kepada kerajaan. Namun akhirnya dengan bantuan Robin dan Bishop tersebut, Tara mendapat geran untuk belajar, kini dia tidak perlu lagi bergantung kepada keluarganya atau berkerja, mindanya kini bebas untuk berfikir dan belajar.

Kesan pendidikan dan pembesaran mereka sekeluarga dirasai sehingga mereka dewasa, abangnya Tyler sebagai contoh, walaupun sudah keluar dari kepompong keluarga mereka, menyambung pelajaran hingga ke peringkat PhD dan menjadi saintis, masih melihat dunia melalui paranoia ayahnya, tidak mengimunisasikan anaknya sehinggalah dipujuk oleh isterinya bertahun-tahun sebelum berjaya. Paranoia ayahnya bukanlah tidak mempunyai sandaran langsung, ketidakpercayaan ayahnya kepada kerajaan sebagai contoh berpunca dari kisah benar seperti pembunuhan keluarga Weaver di Ruby Ridge, juga insiden pembunuhan di Waco oleh pihak kerajaan. 

Ketika ayah dan ibunya datang ke Cambridge semasa beliau menyambung pengajian PhD, beliau diberi pilihan sama ada untuk menerima “pengampunan” dari ayahnya dan “disucikan” dari dosa-dosanya. Tetapi beliau akhirnya menolak, kerana penyerahan itu membawa makna dia akan mengkhianati pendidikannya. Usahanya selama ini untuk melihat dan merasai kebenaran lebih dari “kebenaran” yang dikatakan oleh ayahnya, dan menggunakan kebenaran itu untuk membina pemikirannya sendiri.

Tara berpendapat kebolehan menganalisa pelbagai idea, pelbagai sejarah, pelbagai perspektif hidup, pelbagai pendapat, adalah paksi utama dalam proses pembinaan diri. Pelajaran, pembacaan, pemikiran, dan pengembaraan telah mentransformasikan dirinya menjadi individu baru. Tara kini tidak lagi pasti sama ada dia masih lagi sebahagian dari keluarganya. Pada penghujung memoir beliau, Tara menceritakan bagaimana transformasi pendidikan menyebabkan beliau terputus hubungan dengan keluarganya. Dia tidak dapat lagi menyerahkan pemikirannya untuk dikawal dan ditentukan oleh ayahnya. Hanya beberapa orang abangnya dan makciknya masih berhubung dengan beliau.

Membaca memoir ini memberi kesan yang kuat berkenaan dengan kuasa ilmu terhadap pemikiran seseorang. Bagaimana Tara, seorang anak perempuan yang miskin dan berfikir mengikut apa yang ditentukan oleh ayahnya berubah dengan bantuan pendidikan. Menjadi individu tersendiri, yang mempunyai fikiran sendiri, mampu dan berani membuat keputusan sendiri. Ia adalah satu pengalaman perjalanan pendidikan yang begitu mencabar, ia memberi kita gambaran tentang nilai harga sebuah pendidikan, dan dalam kes ini, harganya adalah keluarganya sendiri.

Proses pendidikan adalah proses menjadi individu sendiri, ia boleh dinamakan dengan pelbagai nama seperti transformasi, metamorfosis, kesilapan atau pengkhianatan. Tetapi bagi Tara ia adalah pendidikan. “You could call this selfhood many things. Transformation. Metamorphosis. Falsity. Betrayal. I call it an education” tulis beliau.


Sabtu, 3 Oktober 2020

Motivasi Untuk Menulis: Jujur

 

Antara motivasi menulis bagi saya, selain menulis untuk renungan diri seperti yang dilakukan oleh Marcus Aurelius, adalah pembaca-pembaca yang budiman. Saya dahulu gemar menulis blog, tapi saya kira penulisan saya hambar sahaja. Ada ketika saya berfikiran mahu berhenti menulis, kemudian satu hari saya ada membaca penulisan orang lain bahawa dia terkesan dengan tulisan saya. Saya tidak mengenal beliau, baru saya sedar bahawa sebenarnya penulisan ada kesannya, sebagaimana kecil pun. Jika bukan di zaman ini, di zaman akan datang. 

Jadi jika anda merasakan penulisan anda tidak penting, jangan begitu. Jika anda merasakan ia tidak berharga, jangan berhenti dari menulis dan menerbitkan penulisan. Ia akan kekal menjadi memori zaman, dan mungkin ada yang membaca tanpa pengetahuan anda. 

Baru-baru ini ada seorang saudara menghubungi saya di Instagram, walaupun saya bukan Instafamous, beliau memperkenalkan dirinya sebagai mahasiswa Universiti Teknologi Petronas yang gemar membaca perihal idealisme, beliau bertanya perihal buku yang saya pernah tulis bertahun dahulu. Saya pun sudah tidak aktif menjual atau mempromosikannya. Setelah beberapa tahun masih ada yang bertanya. Ia merupakan motivasi kepada diri untuk terus menulis. Saya masih ada beberapa naskah berbaki, yang saya sorokkan dalam almari baju - tempat paling rahsia untuk simpan stok buku. Jadi saya poskan satu untuk beliau. 

Menulis yang pertama, sememangnya perlu pada diri sendiri. Dengan menulis pada diri, penulisan menjadi penulisan yang jujur. Penulisan yang jujur melahirkan tulisan yang berkesan, malah bertahan lama. Diari Anne Frank contohnya, merupakan tulisan untuk dirinya sendiri, bukan untuk penerbitan atau pembaca. Sebab itu kebanyakannya merupakan perkara rutin biasa, kupas kentang, bersembang dengn keluarga masa makan, cuma sedikit di hujungnya Anne ada bercerita berkenaan dengan situasi perang. 

Marcus Aurelius juga menulis pesanan-pesanan pada diri dalam naskah Meditation beliau, sebab itu banyak pesanan-pesanannya berulang-ulang, kerana dia memesan pada diri, bukan pada orang lain, Marcus menulis untuk dirinya. Jadi jika anda menulis untuk diri juga, elok diterbit dan disiarkan, mungkin anda adalah Marcus atau Anneliese zaman akan datang, yang tulisannya tersebar selepas kematian mereka, tulisan mereka hidup menjangkaui umur dan zaman mereka. 

Jika anda punyai pembaca, ia adalah motivasi bonus, tapi jika tidak, ia tidak harus menjadi penghalang anda berkarya. Jika ada pembaca yang mengulas, mengkritik, atau memetik karya anda, maka itu bonus yang lebih besar. 

Ada buku yang kita boleh harapkan orang lain untuk tulis, sama ada buku mengenai politik, ekonomi, sosial dan sebagainya, tetapi ada buku yang hanya kita boleh tulis, buku perihal pengalaman kita, pendapat kita, pemikiran kita, atau sejarah hidup kita. Buku seperti ini, jika kita tidak tulis, ia akan hilang apabila kita mati, tiada siapa yang mampu menulisnya melainkan kita sendiri.

Selasa, 29 September 2020

Tentang Peduli

Perubahan merupakan sebahagian dari hidup, malah jika tiada apa yang berubah mungkin kita tidak boleh mengklasifikasikan hidup sebagai 'hidup'. Fizikal kita berubah, dari bayi yang kecil kepada anak kecil yang boleh mengunyah makanan, menjadi remaja, dewasa dan mengalami proses penuaan. Keadaan hidup juga berubah, dari bersekolah ke universiti, berkahwin, mempunyai anak, cucu, cicit. Selagi kita hidup dunia disekeliling kita, malah kita sendiri akan sentiasa berubah.

Pemikiran kita juga akan berubah. Ketika kita muda kita mungkin menjadi seorang yang idealis, kita akan merempuh tembok-tembok oder lama, percaya bahawa dunia ini sebenarnya kecil, kita boleh mengubahnya dengan semangat dan usaha-usaha tangan kita. Namun apabila kita sudah dewasa, sedikit demi sedikit pemikiran kita semakin realis. Kita tidak mahu mengkhianati idealisme kita namun kita akhirnya sedar, dunia ini terlalu besar untuk kita ubahkan.

Tenaga muda kita yang kita habiskan untuk melawan arus dunia semakin lama semakin pudar. Kita mula bertanya kepada diri, adakah ini bermakna kita menyerah kalah? berputus asa? atau ia sebenarnya manifestasi kematangan, akhirnya kita melihat dunia sebagai 'dunia', kita melihat dunia seperti adanya, kita telah faham, kita tidak lagi melihat dunia dengan lensa idealisma, dari sudut pandang idealisma kita melihat dunia sebagai mana "dunia yang sepatutnya ada menurut kefahaman kita", oleh itu kita sentiasa mahu mengubahnya, sesuai dengan selera kita. Namun dunia tidak peduli tentang apa yang kita fikirkan, dunia akan terus menjadi dunia menurut fitrahnya, sedangkan tenaga kita sudah habis semuanya.

Tapi tentunya kita masih peduli dengan masalah-masalah dunia. Tetapi 'peduli' itu bukan lagi peduli yang akan membuatkan kita membeli tiket kapal terbang, pergi ke negara lain, dan menyelamatkan anak-anak yang mati lemas ditengah laut di negara lain kerana mereka cuba melarikan diri dari menjadi mangsa perang, peduli itu sekadar kesedihan hati, sekadar doa di dalam hati. Atau sekadar tulisan dan komen-komen. Yang, jika direnung secara rasional, tidak meringankan beban mangsa-mangsa yang kita kasihankan.

Mungkin ada yang mengatakan ini merupakan defeatism, kita juga tidak punya hujah untuk melawan kata-kata itu, mungkin benar. Mungkin keperluan untuk terus hidup, untuk terus menghidupkan keluarga yang dibina menyerap seluruh tenaga kita. Atau mungkin juga ia merupakan satu tempoh peralihan, satu krisis dalaman yang dilalui oleh setiap manusia apabila telah sampai masa dan umurnya, satu metamorphosis kepada diri yang baharu.

Sejarah pemikiran penuh dengan contoh-contoh manusia yang menukar fikiran mereka, dari pemuda yang percayakan socialist utopia kepada manusia yang percaya bahawa kapitalis adalah sistem yang realis, yang terbentuk bukan kerana konspirasi tetapi kerana keperluan dan keadaan semasa. Dari pemuda yang merasakan dirinya istimewa, dirinya merupakan manusia yang dilahirkan untuk mengubah dunia, kepada manusia yang sedar bahawa dia hanyalah manusia biasa yang hidup dalam lautan 7 billion manusia lain sepertinya. 

Semakin kita dewasa, kita akan kurang peduli tentang sesuatu perkara, dan lebih peduli akan perkara yang lain.

Ahad, 27 September 2020

Menulis Mengikut Falsafah Marcus Aurelius


Kadang-kadang saya tiada tujuan untuk menulis, tetapi tetap juga tangan akan berlari-lari diatas papan kekunci, menaip apa sahaja yang hinggap di minda. Kadang kala ia sekadar coretan yang compang-camping, tetapi apabila ia sudah dicoret, ia memberi ketenangan pada hati, seolah-olah saya perlu melepaskan sesuatu, mengurangkan sedikit bebanan sebelum boleh melangkah lagi dalam perjalanan kehidupan.

Seolah-olah hati saya sudah berpaut pada blog usang ini, menulis merupakan sebahagian dari diri, tidak kira jika ada atau tidak orang yang membaca, itu tidak penting, yang penting saya telah menyelesaikan sedikit kesesakan di jiwa dengan menulis. Melepaskan perasaan yang telah sekian lama bertakung, apabila sungai emosi berjalan dengan lancar kembali, kehidupan seperti segar semula, seperti ada makna. Tidak lagi nihilis.

Saya teringat beberapa hari sudah, saya terhanyut ke dalam sebuah video di channel Ryan Holiday iaitu Daily Stoic, perihal Marcus Aurelius dan junalnya. Ini bukan kali pertama saya bertemu dengan Ryan Holiday, saya pernah membaca buku beliau Trust Me, I'm lying 5 tahun sudah. Bagi saya video itu sangat menarik, terutamanya dalam membahaskan kenapa kita perlu menulis jurnal, mengutip kata-kata hikmah sepanjang perjalanan kehidupan.

Dalam sejarah Empayar Rom, banyak kisah-kisah peperangan epik yang direkodkan. Namun, disebalik kisah keberanian tentera, atau kehebatan seorang jeneral, satu buku dari empayar tersebut menjadi rujukan dan bacaan hingga ke hari ini. Bukan perihal perang atau keberanian, tetapi perihal renungan kendiri dan muhasabah diri seorang raja. Marcus merupakan raja terakhir yang memerintah di zaman Pax Romana, zaman dimana Empayar Rom mengecapi zaman yang stabil dan aman. Bukan sahaja seorang raja, Marcus merupakan seorang ahli falsafah yang kuat berpegang dengan falsafah Stoic.

Mengapa nota peribadi perihal renungan yang digelar "Meditation" itu lebih memberi kesan dan bertahan lama dimata pembaca? Berbanding dengan kisah-kisah epik ketenteraan?

Kerana renungan diri ini merupakan mutiara pemikiran yang berharga. Marcus tidak menulis untuk menerbitkan buku, dia tidak menulis untuk mempengaruhi sesiapa, beliau tidak menulis untuk memuaskan hati audiens, dia tidak menulis untuk menjadi terkenal, tetapi Marcus menulis untuk dirinya sendiri. Bermuhasabah sambil memberi nasihat pada diri sendiri. Itu yang membuatkan tulisannya berharga, menjadikan ia satu mutiara untuk manusia yang hidup beribu tahun selepas Marcus. Kerana itu juga, penulisannya dalam Meditation berulang-ulang, kerana dia bukan menulis untuk orang lain, tetapi untuk dirinya, dan dia sedar sesuatu nasihat itu perlu diulang-ulang agar ia diingati dan diamalkan.

Sebab itu kadangkala saya tidak kisah menulis jika tiada like, comment, atau share, sekiranya tiada royalti pun saya akan menulis. Kerana menulis ini merupakan ruang untuk kita berfikir terhadap dunia, peluang untuk kita cuba memberi makna tentang apa yang berlaku dalam kehidupan seharian, ia ditulis untuk diri kita. Sekiranya ia dibaca oleh orang lain, itu bonus sahaja. Yang lebih penting adalah ia merupakan renungan ikhlas diri sendiri, catatan pengalaman, kutipan apa yang berharga yang kita temui sepanjang hidup, juga tempat untuk kita melepaskan emosi dan perasaan.

Rabu, 23 September 2020

Catatan Baitul Muslim 37: Tidak Lagi Menoleh Ke Belakang

Saya masih ingat, anak kami yang pertama duduk bersama pengasuh dari 6 bulan sehinggalah dia berumur 4 tahun, pada umur 4 tahun baru Amni masuk ke tadika. Anak kami yang kedua agak berbeza, kerana ada sedikit masalah tidak dapat bersama pengasuh hingga ke umur 4 tahun. Pada umur setahun lebih, Idlan mula masuk ke taska. Taska ini sama dengan tadika kakaknya, jadi mudah untuk dihantar bersama pada pagi hari, tidak perlu lagi singgah ke dua lokasi. Selain memudahkan urusan logistik, taska juga lebih stabil kerana urusan menjaga anak-anak dilakukan oleh beberapa guru, jika seorang sakit masih ada guru lain yang boleh mengganti, berbeza dengan pengasuh, jika pengasuh tidak sihat, sama ada ibu atau bapa perlu mengambil cuti.

Kami mula menghantar Idlan pada bulan Mac 2020, namun beberapa hari selepas itu satu negara ditutup bersempena dengan penularan wabak Covid-19, kami mula menghantar semula pada bulan Mei. Bagi isteri pelbagai segi difikirkan, adakah anak kecil dapat membiasakan diri di tempat baharu? Namun pada perspektif bapa mungkin yang berbeza hanya tempat menghantar, mungkin bapa tidak mempunyai deria emosi yang begitu kuat seperti wanita.

Pada mulanya memang Idlan menangis setiap pagi, ketika mahu diserahkan kepada cikgu dia akan memeluk kuat sambil menangis, sampai cikgu terpaksa menariknya dari saya. Mungkin yang paling menyentuh hati adalah gelagatnya apabila diambil pulang sebelah petang, dia akan melompat dan berlari dengan penuh kegembiraan sambil menjerit "Abi! Abi!". Saya kira ini merupakan antara nikmat menjadi seorang ibu atau ayah, apabila melihat manusia lain begitu menghargai diri kita, begitu berharap pada kita, itulah kegembiraan yang diberikan oleh anak-anak. Cuma mungkin keinginan mereka untuk bersama ibu bapa itu kadang kala terasa begitu kuat hingga menyebabkan ibu bapa berasa mereka tidak mempunyai kebebasan untuk menyendiri. Namun pasti, satu hari nanti, apabila anak-anak mula membina hidup mereka sendiri, ia akan menjadi saat-saat indah yang dirindui dan digenangi air mata.

Selepas 4 bulan sahaja dihantar ke taska, kini dia tidak menangis lagi. Saya teringat pada satu hari pada bulan September saya tidak mendukungnya hingga ke pintu taska, tetapi membiarkan dia sendiri berjalan. Dia tidak lagi perlukan cikgu untuk mengambilnya, malah pagi itu dia masuk sendiri, saya mengintai ke dalam taska, dia sudah tahu kemana dia perlu pergi di dalam, malah sedikit pun tidak menoleh lagi ke belakang, dua tiga kali saya memanggil namanya baru dia menoleh, dan melambai sambil mengucapkan "bye bi!".

Begitulah pantasnya anak-anak membesar. Hanya dalam 4 bulan sahaja anak-anak boleh beradaptasi di tempat baru. Dalam sekelip mata, mereka akan masuk sekolah, universiti, bekerja dan berkeluarga. Jadi sebelum kelipan mata itu tiba, eloklah kita rasai saat-saat manis mereka membesar ini dengan penuh penghargaan dan kebahagiaan. 


Selasa, 22 September 2020

Membebaskan Minda Dari Sampah Sarap

 

 Antara tulisan Marcus Aurelius yang saya minati dalam renungan “Meditations” beliau adalah perihal pemikiran, kata Marcus “The happiness of your life depends upon the quality of your thoughts”. Dalam erti kata lain apa yang membuatkan kita gembira bukanlah keadaan luaran kita, tetapi tafsiran pemikiran kita terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Oleh itu Marcus Aurelius yang merupakan seorang raja dan ahli falsafah menitikberatkan perihal apa yang sepatutnya kita fikirkan, dan apa pemikiran yang kita patut benarkan masuk ke dalam minda kita.

Perkara ini mungkin lebih senang dilakukan pada zaman Pax Romana kerana pada ketika itu belum wujud smartphone, Tik Tok, Facebook dan seribu satu lagi rekaan teknologi yang mengebom kita dengan informasi pada setiap hari. Hampir kemana sahaja kita toleh hari ini kita disuap dengan iklan, promosi produk, propaganda politik, gambar makanan, gambar percutian orang lain, membuatkan fikiran kita sering sahaja terliuk-liuk kesana dan kemari.

Bumi hari ini terlalu bising dengan informasi, sebab itu Jeneral Zod menghadapi kesukaran ketika kali pertama dia mendarat di bumi dan hilang helmet ajaib beliau, begitu juga dengan Clark Kent ketika membesar di bumi, terlalu bising menyebabkan beliau sukar fokus kerana mempunyai deria yang sensitif. Begitu jugalah perihal diri kita, perkara-perkara yang kita lihat seharian di media sosial menyebabkan kita sering hilang fokus terhadap apa yang penting di dalam kehidupan kita.

Melihat percutian orang lain menyebabkan kita merasakan kita juga perlu berehat ditepi pantai. Melihat gambar burger cheese meleleh menyebabkan kita menyesal kerana kita makan nasi berlauk ikan temenung sahaja. Melihat itu, melihat ini, kita terus didahagakan dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan hidup kita. Kita bincangkan dan bimbangkan masalah orang lain, akhirnya kita tidak benar-benar hidup untuk hidup kita, sentiasa mahu menjadi orang lain, di keadaan lain.

Dalam siri jenayah-misteri-komedi-drama Sherlock yang dihasilkan oleh BBC, Sherlock Holmes ketika beliau berdiskusi dengan Dr. John Watson di pagi hari, beliau berkata perihal minda. Bagaimana mindanya merupakan pusat informasi, tetapi untuk mindanya berfungsi beliau harus melupakan informasi-informasi yang tidak berguna dan hanya menyimpan informasi yang berguna sahaja. Sementara orang kebanyakan menghimpunkan pelbagai jenis informasi berstatus sampah-sarap di dalam pemikiran mereka. Jadi menurut Sherlock, jika kita ingin menggunakan minda kita dengan berkesan dan dengan potensi penuh, kita harus meninggalkan perkara-perkara yang tidak berguna. Bagi Stoic perkara yang kita tidak punya upaya mengubahnya adalah perkara yang tidak perlu kita bimbangkan.

Perihal meninggalkan perkara yang sampah dan tidak berguna ini juga telah lama diajar dalam Islam, seperti yang diperingatkan oleh abang senior kesayangan saya, Ahmad Nabil MJ berkenaan dengan sebuah hadith dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith ke-12 yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud "Antara tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya". Oleh itu membebaskan minda dari perkara yang tidak bermanfaat ini bukan sahaja kebijaksanaan Stoic, atau saranan watak fiksyen, ia adalah suruhan Nabi.

Perihal Perkaitan Buku dan Kerjaya


Saya memulakan kerjaya saya di sebuah syarikat kontena kecil. Syarikat tersebut diasaskan oleh seorang kapten kapal, Kapten Rat dari India. Saya masih ingat trick question yang ditanya Kapten Rat semasa sesi temuduga. 99 x 8 berapa? Lama juga saya kira dalam kepala otak sebelum beliau terangkan trick menjawabnya. Lebih mudah difikir 100 x 8 = 800, sebab 99 kurang satu dari 100 dan ada 8 kali. Jadi 800 perlu tolak 8 kali satu. Dapatlah 792. Ok kalau tak dapat, boleh hadam perlahan-lahan.

Tapi soalan-soalan lain saya berjaya jawab dan diterima kerja. Kali kedua saya berjumpa dengan Kapten Rat yang merupakan CEO syarikat kami adalah semasa tournya di Singapura-Malaysia. Ofis operasi Malaysia kecil sahaja, kerana kami beroperasi dari 3 perlabuhan utama sahaja, Port Klang, NBCT, dan Johor Port. Staf Malaysia ketika itu hanya tinggal 5 orang, 2 baru resign. 4 senior dan saya junior.
Kelu juga saya ketika itu, dah la junior, duduk semeja dengan CEO nak sembang apa? At least senior boleh sembang pasal pengalaman kerja mereka bersama. Namun tengahari itu berubah tidak kekok apabila kami bersembang tentang buku. Saya dan Kapten Rat berkongsi membaca buku yang sama, buku The World Is Flat tulisan Thomas Friedman. Kapten Rat menceritakan bagaimana dia akan membaca sepanjang pelayarannya dahulu, dan isterinya selalu komplen almari sudah penuh dan dia perlu berhenti membeli buku. Akhirnya dia mula membaca dengan Kindle. Dia suruh saya mencuba Kindle, katanya boleh membaca dalam gelap, tapi malangnya saya tidak berjodoh dengan Kindle, saya sudah terbiasa hidup dengan buku fizikal.
Namun kerjaya saya disana tidak lama. Syarikat kecil sangat bagus untuk pengalaman. Kerana kita akan buat semua kerja, kita yang siapkan dokumen, kita yang akan ke pejabat kastam kalau kontena sangkut, kita yang kena kejar payment, kita yang kena update customer, kita yang kena pastikan akaun tally, dan seribu satu lagi tugas. Dalam bahasa Adam Smith, syarikat kecil tidak ada economic of scale untuk laksanakan "division of labour". Saya ketika itu baru memulakan keluarga dan merasakan keluarga lebih utama dari mengejar kerjaya. Saya tidak dapat bayangkan menyambut anak pertama hanya melalui perbualan talifon. Saya resign dari syarikat tersebut tidak lama selepas makan tengahari tersebut.
Selepas anak pertama sudah lahir, dan dunia sudah sedikit aman saya mencari kerja baharu. Kali ini dengan syarikat yang lebih besar, jadi tugasnya memang specialize, tak perlu buat perkara luar bidang. Saya ditemu duga oleh Kent, seorang pengurus muda yang penuh semangat. Kami berkongsi pengalaman dalam bidang pengurusan kontena jadi banyak soalan beliau yang mudah dijawab. Tapi apa yang saya ingat pada sesi temuduga itu adalah bagaimana ia boleh terjerumus kepada buku. Saya dan Kent akhinya bersembang perihal buku Stephen Hawking, A Brief History of Time.
Kent berkata dihujung sesi tersebut bahawa dia mempunyai beberapa calon lagi, dan semuanya lebih berpengalaman dari saya, tetapi apa pun dia akan maklumkan semula, mungkin tidak mahu patahkan semangat saya secara bersemuka. Namun akhirnya saya diterima berkerja.
Banyak lagi kisah-kisah dalam kerjaya saya berputar sekitar buku. Namun mata terlalu berat untuk meninta di malam yang larut ini. Jadi cukuplah secertot ini. Bagi saya membaca merupakan satu asset, ilmu dan pengetahuan yang mungkin kita tidak tahu lagi ia akan berguna di masa depan. Oleh itu kutiplah sebanyak yang boleh.
Kata Seneca, jika kita tidak tahu perlabuhan mana hendak kita layari, tiada angin yang boleh membantu kita. Jika kita tidak membaca, jangankan angin, layarnya juga mungkin kita tiada.

Ahad, 20 September 2020

Apabila anak panah sudah keluar busur, usah lagi bimbang


Esok keputusan peperiksaan professional saya akan keluar, sudah hampir sebulan saya memikirkannya, dan hari ini, apabila ia semakin dekat, minda saya semakin risau memikirkannya. Namun sebenarnya tidak ada apa yang boleh diperbuat lagi selain merungsingkan pemikiran, kerana anak panah sudah keluar busur. Mungkin pada ketika ini saya harus mengamalkan pemikiran Stoic, agar lebih tenang sehingga menyamput keputusan esok hari. 

Stoicism bukan agama, tetapi falsafah-falsafah dan renungan-renungan hidup yang menekankan kehidupan yang aman dan minda yang tenang, bagi Stoic kita harus hidup selari dengan alam. Menurut Prof. Massimo Pigliucci, ia berasal dari ahli fasafah Yunani kuno bernama Zeno. Zeno merupakan seorang pedagang yang kaya, namun dia hilang segala-galanya apabila kapal dagangnya tenggelam. Selepas itu Zeno pergi ke kedai buku, dia terbaca perihal falsafah, kemudian mencari ahli falsafah, kemudian dia menjadi ahli falsafah. Namun berbeza dengan ahli falsafah lain, Zeno berbicara dengan masyarakat di jalanan tanpa mempunyai sekolah tersendiri. Pemikiran-pemikiran beliau melahirkan aliran pemikiran Stoic.

Ramai pemikir-pemikir yang terkemudian dari Zeno mempunyai pengaruh Stoic yang kuat antaranya Seneca dan Marcus Aurelius, sebelum kebangkitan Kristian yang memadamkan pengaruh kuatnya dalam masyarakat. Bagi Stoic, kita perlu hidup sesuai dengan fitrah manusia iaitu hidup secara sosial dan hidup dengan menggunakan kebolehan untuk menggunakan logik akal.

Antara pemikiran Stoic lain adalah perkara dalam dunia ini terbahagi kepada dua, satu yang boleh kita kawal, yang kedua perkara yang kita tidak boleh kawal. Dan kita hanya perlu risau berkenaan dengan perkara yang kita boleh kawal, dan untuk hidup dengan tenang, berhenti berasa bimbang dengan perkara diluar kawalan kita. Antara ungkapan Stoic yang menarik berkenaan dengan hal ini adalah dari Epictetus, dimana beliau menulis:

“Saya akan mati. Jika sekarang, maka saya akan mati sekarang, jika kemudian, sekarang adalah masa untuk saya makan tengahari, kerana masa makan tengahari telah tiba, manakala mati saya akan hadapinya kemudian”.

Maksudnya disini adalah bukan kita tidak harus bersedia untuk mati, tetapi mati adalah satu kepastian. Jika kita takut berlebihan atau kita tenang menjalani kehidupan, ia tidak akan mengubah kenyataan bahawa kita akan mati. Oleh itu kita harus menumpukan perhatian kita pada perkara-perkara yang kita boleh kawal di saat ini, sekiranya perkara itu adalah makan tengahari, maka itu seharusnya menjadi fokus kita buat masa tersebut. Ia lebih dekat dengan pemikiran Eckhart Tolle bahawa kita perlu hidup dimasa kini, sekarang, bukan masa lampau atau masa depan.

Kita boleh mengumpamakan pemikiran ini dengan aktiviti memanah. Kita boleh berlatih bertahun-tahun untuk menguasai ilmu memanah. Kita boleh cuba untuk mendapatkan anak panah dan busur yang berkualiti. Tetapi apabila kita memanah, sebaik sahaja kita sudah melepaskan anak panah dari busur, ia bukan lagi dalam kawalan kita. Mungkin akan ada angin yang membuatkan panahan kita tersasar, atau sasaran kita bergerak menyebabkan ia tersasar.

Dalam hidup kita hari ini, mungkin kita boleh lihat ia melalui usaha-usaha kita untuk mencapai sesuatu. Dalam peperiksaan contohnya, fokus dan kebimbangan kita perlulah pada usaha kita, kerajinan kita untuk mengulangkaji, memahami teori, tetapi apabila kita sudah menjawab peperiksaan, anak panah telah kita lepaskan dari busur, kita tidak perlu lagi bimbang atau gelisah kerana ia bukan lagi dalam kawalan kita. Kita perlu menerima keputusannya, dan jika tidak baik kita perlu berusaha lebih keras lagi selepas itu.

Mungkin saya patut akhiri penulisan pendek ini dengan ungkapan kegemaran saya dari Seneca, yang saya kira sangat bagus untuk direnung-renungkan. Seneca berkata “kita semua sentiasa merungut perihal kesingkatan masa, namun, dalam masa yang sama kita punya terlalu banyak masa sehingga kita tidak tahu apa yang kita hendak perbuat dengannya”.

Harap-harap dengan menjadi Stoic saya dapat menerima keputusan dengan tenang esok!


Ahad, 13 September 2020

Catatan Baitul Muslim 36: Bahasa Cinta Budak Lima Tahun

 

Cuti sempena hari kemerdekaan pada tahun 2020 dihabiskan hanya dengan berehat di rumah, seperti cuti-cuti lain semasa Pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Pada sebelah tengahari, Amni dan umminya tertidur di dalam bilik. Manakala saya menemani Idlan yang berumur dua tahun, dia sudah tidur pagi, dan biasanya sebelah petang baru dia akan tidur semula. Idlan sudah pandai memegang pensel, dan sudah pandai menconteng. Jadi tengahari itu aktiviti kami adalah menconteng kertas.

Saya mengambil crayon dan mula melukis burung seperti angry bird untuk Idlan, kemudian mewarnakannya. Tiap kali hendak melukis, dia akan memberi saya pensil dan berkata dan menyuruh saya melukis "sharksh", tapi hari itu sudah terlalu banyak ikan jerung yang saya lukis.

Apabila Amni bangun pada sebelah petang, dia melihat lukisan itu dia menampalnya di dalam bilik. Kemudian dia pun mengeluarkan pen markernya dan mula melakukan kerja-kerja kreatifnya. 

"Bird yang ada love ni dia tak menangis, yang tak dapat love ni dia menangis" terangnya apabila saya bertanyakan maksud tersirat dari apa yang dia contengkan. Walaupun sekadar garisan marker di bawah mata, kelihatan memang burung itu sedang menangis, hmm pandai juga si kecil ni conteng gumam hati saya.

Anak kecil sebenarnya sudah mempunyai bahasa cintanya sendiri, dia sudah mula mengenali apa itu suka duka, apa perkara yang menggembirakan, apa yang menyedihkan, dalam bahasa parenting mereka sedang melalui proses individuation, iaitu proses menjadi seorang individu yang berbeza dengan ibubapanya, dia mula mengenal akan perasaan. Memang kadangkala apa yang dikatakannya adalah gibberish dan tidak masuk akal, atau mungkin dia pun tidak faham apa yang dia maksudkan, namun kadangkala saya merasakan ada perkataannya yang benar-benar dia maksudkan.

Mungkin sebab itu Faber & Mazlish menyarankan untuk ibubapa bersembang dengan anak-anak, walaupun kita beranggapan mereka tidak boleh lagi faham, cuba untuk memberi penerangan walaupun kita rasa mereka tidak akan faham. Kita beranggapan hanya 'marah' bahasa yang difahami oleh mereka, dan mungkin kita silap. Mereka mungkin sudah menyimpan perasaan yang dalam. Seperti Otto Frank yang menemui diari anaknya Anne yang terkorban sesudah tamat perang, dia terkejut membaca pemikiran-pemikiran yang mendalam yang ditulis anaknya seolah-olah ia merupakan Anne yang berbeza. Otto menyimpulkan bahawa kebanyakan ibubapa tidak benar-benar mengenali anak mereka.

Mungkin apabila anak-anak sudah pandai menulis, saya perlu memberikan mereka sebuah diari.

Rabu, 9 September 2020

Curam-Curam Dalam Penulisan


Salah satu perkara yang saya takuti jika menulis atau menerbitkan penulisan adalah pandangan orang lain bahawa saya mengetahui banyak perkara, atau saya mengetahui lebih dari orang-orang kebanyakan. Dikagumi, dijemput untuk bercakap. Walaupun perkongsian itu satu perkara yang yang sangat bermanfaat, kekhuatiran saya adalah jika ia diambil bulat-bulat sebagai kebenaran, hakikatnya ia hanyalah pandangan atau pendapat yang boleh sahaja betul atau salah.

Mungkin ini yang menyebabkan saya lebih selesa untuk menulis di tempat-tempat yang kurang sesak, di blog berbanding di Facebook yang mana sesuatu tulisan itu boleh merebak dengan cepat. Saya mungkin belum sampai ke satu tahap dimana penulisan merupakan kerjaya yang boleh membiayai kehidupan, tetapi saya kira saya tidak mahu bergantung harap kepada penulisan untuk mencari kehidupan kerana pada saya ia akan merendahkan nilai kritis dalam penulisan.

Saya melihat ini berlaku dalam banyak kalangan penulis, dimana apabila mereka mencapai tahap ini, penulisan mereka bergantung pada pembaca, jadi mereka sentiasa menulis untuk memenuhi selera pembaca, jika mereka mempunyai pengikut, mereka perlu sentiasa menulis, menghasilkan sesuatu untuk menggembirakan pengikut mereka, agar nama mereka sentiasa muncul di paparan-paparan pengikut mereka. Mengejar perkara ini bagi saya kadangkala merendahkan penulisan, masa merupakan satu kandungan asas dalam penulisan, penulisan yang baik dengan makna-makna yang dalam memerlukan masa yang lama untuk difikirkan, digarap, dan dikarang. Jika ia dilakukan untuk mengejar pengikut ia akan menjadi penulisan yang cetek, berbentuk pop, dan tidak matang. 

Sesetengah orang berpendapat, apa gunanya penulisan yang baik dengan makna yang dalam jika tiada yang membacanya. Mungkin pandangan itu benar. Namun bagi saya pandangan itu benar bagi mereka yang mencari pembaca dan pengikut. Tetapi jika penulis itu menulis untuk kepuasan diri, sebagai ruang untuknya melepaskan apa yang menghimpit jiwa dan minda, sebagai satu pentas untuk dirinya berkarya, pandangan itu tidaklah dianggap begitu tepat. Ia tidak begitu penting, kerana penulisan itu jujur untuk dirinya sendiri, orang lain adalah sekunder, jika mereka merasa ia berharga mereka akan membaca, jika tidak, mereka berlalu, sedikit pun tidak mengesani penulis. 

Antara curam lain dalam penulisan adalah kebergantungan penulis kepada penerbit. Zaman ini memberi kelebihan kepada penulis, kerana mereka tidak perlu lagi bergantung ehsan kepada penerbit, sekiranya karyanya tidak dimahukan dia bisa saja menerbitkannya sendiri. 

Antara nasihat awal yang saya pernah terima dalam penulisan adalah "orang pertama yang haru percaya kepada kemampuan dan potensi penulisan kita adalah diri kita sendiri". Jika kita sendiri tidak yakin dengan karya dan penulisan kita, bagaimana orang lain boleh menghargainya. Atas dasar percaya akan kebolehan diri inilah penulis seharusnya tidak takut menerbitkan karyanya sendiri, jikapun dia menerbitkan dengan penerbit lain, ruang untuk swaterbit perlu sentiasa dibiar terbuka agar sekiranya penerbit tidak mahu menerbit, dia akan sentiasa mempunyai saluran penerbitan sendiri.

Menulis merupakan sesuatu yang berisiko. Tidak sedikit catatan sejarah yang merekodkan manusia dipenjara, dibunuh, disiksa, dihalau keluar negeri kerana menulis. Akan ada dalam sejarah penulisan diri kita sendiri, penulisan kita akan dikritik, malah mungkin dihina dan dicaci. Itu adalah asam garam dalam penulisan. Atas risiko ini juga biasanya satu penulisan kritis itu akan ditolak oleh penerbit, kerana mereka tidak mahu menanggung risiko, mereka mahu penulisan yang tidak mengundang kontroversi, penulisan yang selamat dan boleh memberi mereka makanan. Ini mungkin berbeza dengan hasrat penulis yang menulis untuk membangkitkan isu, untuk menyatakan protes, untuk mengkritik kuasa, seperti yang pernah dikatakan Kafka "kita harus membaca buku yang menikam kita, jika pembacaan tidak menggegarkan minda, apa gunanya kita membaca?".