Sabtu, 23 April 2022

Biarlah Agamawan di Lembah Perdebatan Mereka

 

Biarlah para agamawan dengan debat mereka. Biarlah mereka berdebat antara mereka siapa yang paling sesat, siapa yang paling kuat, siapa yang paling tepat dan siapa yang paling hebat, biarkan mereka menentukan siapa antara mereka yang punya serban paling besar, janggut yang paling panjang dan jubah yang paling labuh. Itu bukan urusan kita.

Biarkan mereka bertikam lidah, biarkan mereka berlawan siapa yang paling fasih, siapa yang paling soleh. Biarlah mereka yang menentukan sesama mereka siapa yang paling sunnah, siapa wahabi, siapa sufi, siapa munafik, siapa fasiq, siapa kafir, siapa ke syurga, siapa ke neraka. Itu bukan urusan kita.

Biarlah para agamawan bersama kitab-kitab mereka, bersama nukilan kalam-kalam imam mereka bertempur di pentas debat. Biarlah mereka bergaduh perihal urusan yang telah digaduhi selama beribu-ribu abad. Biarlah mereka ulang debat yang sama. Biarkan mereka dengan keasyikan debat mereka semalam, hari ini, esok dan tahun depan. Biarlah mereka berdebat tentang tajuk debat, debat perihal tarikh debat, berdebat perihal apa yang nak didebat. Itu semua bukan urusan kita.

Kalau pun kita hendak mengintai, cukuplah kita mengintai sarkis debat itu umpama kita mengintai sarkis politikus. Ia adalah sarkis yang sama, cuma jubah dan kopiah yang berbeza.

Lalu apa urusan kita?

Urusan kita adalah meninggalkan agamawan. Urusan kita adalah berjumpa bersama teman dan keluarga menyambung silaturahim. Bermanis muka, bersembang, berbicara, berkongsi roti dan bergembira. Urusan kita adalah mengimarahkan Ramadhan dengan puasa, tilawah, dan solah. Urusan kita adalah membaca buku, menimba ilmu dan berbincang perihal bagaimana untuk membangunkan kehidupan, membangunkan masyarakat, membangunkan keluarga, dan membangunkan insan. Urusan kita adalah untuk berkasih sayang antara satu sama lain, bertoleransi dengan senyuman dalam menerima perbezaan. Urusan kita adalah membersihkan hati agar ia sejahtera.

Biarlah agamawan di satu lembah dan kita di lembah yang lain. 

Sabtu, 2 April 2022

Kerusi Kosong di Sebelah Sawah Padi


Tinggal kerusi itu sendiri,
sepi.

Di sebelah tepi,
seluas fatamorgana sawah padi.

Kerusi itu menunggu sebuah jiwa,
yang sudah pergi selamanya.

Kerusi itu setia menunggu, 
sejauh mana pun masa berlalu,
tetap di situ.

Kerusi itu menunggu.

Di tepi,
sawah padi,
yang kini berubah sepi.

Tidak sempat air mata dikesat,
takdir datang,
tidak sesat,
tidak lewat,
walaupun sesaat.

Meragut seorang ayah,
dari anak di sebuah Madinah.

Pintu bahagia sudah ditutup,
pintu kesedihan kini menyusup.

Masuk ke dalam hati,
yang kini sudah mati.

Seguni gula kini terasa tawar,
udara pagi tidak lagi terasa segar,
segala jenaka terasa hambar,
dikunci sedih tanpa keluar.

Hirisan takdir begitu dalam.
Tak terubat dek kalam.

Tiada lagi tawa-tawa yang lalu.
Yang tinggal hanyalah.


Rindu.

Psikologi Membaca: Buku di Paras Mata


Peranan buku di rumah dibincangkan oleh banyak orang. Antaranya dalam buku Freakonomics, yang mengkaji hubungan keberadaan buku di rumah dengan anak yang berjaya dalam pelajaran. Mereka membuat kesimpulan bahawa bukan buku itu yang memberi kesan magik kepada anak untuk berjaya, tetapi rumah yang ada banyak buku ini kebanyakannya mempunyai ibu bapa yang menjaga pendidikan anak-anak. Jadi jika seorang anak itu tidak berjaya atau tidak minat belajar, memasukkan satu tan buku ke dalam rumah tidak akan mengubah apa-apa jika ibubapa tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak.

Tapi kali ini saya ingin merakamkan sudut lain dalam hal menyimpan buku di rumah. Sekadar rakaman pemerhatian dan perasaan peribadi. Bukan kajian yang emperikal, saya juga tidak ada apa-apa statistik untuk dibentangkan. 

Di rumah saya, ada dua bilik yang saya simpan buku-buku. Satu bilik tidur dan satu lagi bilik saya bekerja. Di kedua-dua bilik ini, buku diletakkan dalam rak di paras mata. Maksudnya mata terus boleh lihat buku ini ketika berdiri tanpa perlu mendongak atau menunduk. Masuk bilik sahaja terus nampak buku. Saya kira permandangan ini penting bagi saya. Setiap hari saya keluar masuk bilik saya nampak buku. Ia memberi kesan psikologi kepada saya. Pertamanya saya sering melihat sambil memerhatikan buku mana yang saya sudah baca, buku mana yang belum saya baca. Dari permandangan rak ini minda saya akan sentiasa berkira-kira, mana lagi banyak, buku yang sudah dibaca atau buku yang belum dibaca.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya sentiasa berfikir bahawa masih banyak buku yang belum saya baca. Ia seperti reminder buat saya apabila saya sudah lama tidak membaca, bahawa masih banyak buku yang saya hendak baca. Ada juga buku yang saya beli ketika saya bersemangat untuk mendalami sesebuah tajuk, namun setelah berlalu sekian lama, semangat itu pudar. Namun dengan melihatnya setiap hari, semangat yang pudar itu tidak terpadam. Sebaliknya ia hidup, umpama api lilin kecil di dalam hati yang meliuk-liuk. Menunggu masa yang sesuai untuk kembali membara.

Buku yang sentiasa tidak hilang dari pandangan saya setiap hari juga membuatkan saya sentiasa berfikir tentang kandungan buku. Buku-buku yang saya sudah baca menyebabkan saya sentiasa terkenang akan idea-ideanya apabila saya melihatnya setiap hari. Manakala buku-buku yang saya belum baca menyebabkan hati saya sentiasa tertanya-tanya, pemikiran dan idea apa yang bakal mereka sajikan buat saya. Oleh itu, walaupun ada kalanya saya menjadi malas membaca, dengan sentiasa melihat buku setiap hari, keinginan membaca buku tidak pernah hilang dari fikiran saya. Walaupun ia tidak menjadi fokus saya pada sesuatu ketika, ia sentiasa wujud dalam unconscious mind saya.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya lama kelamaan dapat menghafal dimana letak duduknya sebuah buku. Minda saya sudah dapat menghafal secara tidak sedar kedudukan sesuatu buku. Jika saya ingin merujuk buku-buku yang pernah saya baca, saya akan menjumpainya dengan mudah, kerana kedudukannya telah pun saya hafal. Ini juga bermakna, koleksi buku saya tidaklah begitu banyak, kerana ia boleh dihafal. Jika pustaka peribadi seseorang itu besar, mungkin untuk menghafal setiap letak duduk buku itu menjadi lebih sukar. Namun bukan mustahil!

Saya memang seorang pembaca yang perlahan. Bagi saya membaca ibarat mencicip sehirup kopi. Tidak boleh tergesa-gesa, nikmatnya itu perlu dirasai. Biar airnya masuk perlahan-lahan menyapa bibir, biar kehangatannya meresap di mulut, biar rasa pahitnya mekar di lidah, diikuti rasa manis dan juga rasa lemak-lemak susu. Begitu juga buku, idea yang sedap dan ranum itu perlu perlahan-lahan dicerna minda, difikir-fikirkan, ditulis dan dikembangkan. Barulah membaca itu menjadi satu kenikmatan intelektual. Bukan aktiviti yang gersang. Sebab saya membaca dengan perlahan, jadi koleksi buku dalam pustaka saya juga berkembang dengan perlahan. Tidak dilupakan orang-orang yang meminjam buku saya tapi belum dikembalikan, janganlah sekali-kali kalian ingat saya sudah lupa! Bagi saya, setiap buku yang saya beli dan baca adalah khazanah minda saya, jadi sentiasa akan saya simpan, dan ulang selak bila kerinduan intelektual sampai kepadanya.

Dengan melihat buku-buku setiap hari, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kita kesan psikologi, terutamanya dalam keadaan kita sedang malas membaca, atau pun saat kita terperangkap dalam reading slumps atau reader's block. Reading slumps ini merupakan keadaan yang menimpa orang yang suka membaca, namun ada ketika dia tidak dapat membaca, jika dipegang buku pun dia tidak dapat mengekalkan konsentrasi membaca. Ia memerlukan masa untuk pulih. Selain keluar bersiar-siar melihat alam, kembali ke rumah melihat-lihat buku pun akan mempercepatkan rasa ingin membaca itu datang semula.

Begitulah serba sedikit perkongsian saya perihal kesan menyusun buku di dalam rumah di paras mata. Letakkan buku di tempat-tempat di dalam rumah yang mana kita selalu lalui. Dengan sentiasa melihat buku-buku ini setiap hari, ia akan meninggalkan kesan di dalam minda, secara sedar atau tidak sedar, ia akan memberi kita motivasi untuk membaca, dan juga mengekalkan konsistensi kita dalam membaca seiring peningkatan usia. Selamat menyusun buku dan membaca!

Kembali Ke Zaman 60 Kilogram


Sebenarnya sudah lama saya berazam untuk mengurangkan berat badan. Tapi seperti biasa, saya tak ada perancangan atau keiltizaman. Sekadar azam tahun baharu yang tak tertunai seperti orang lain. Hinggalah saya melihat sebuah gambar saya sendiri pada satu hari, ketika membeli kopi, pada ketika itu berat badan saya sudah mencecah 78 kilogram. Doktor katakan pada saya ketika itu saya kini pre-obes.

Bertitik tolak dari situ saya mulakan langkah dengan konsisten. Pada mulanya saya tak ada langkah yang spesifik, hanya skip lunch, tak minum air manis dan kurangkan makan nasi dalam diet harian. Selepas 3 bulan saya berjaya turun dalam 6 kilogram. Selepas itu berat saya statik dan tidak turun. Saya mula buat pembacaan, kajian, dan mendengar pandangan pakar dan saintis untuk mengetahui cara yang lebih berkesan dalam menentukan diet dan menguruskan berat badan.

Antara pakar yang saya dengar adalah Giles Yeo yang merupakan seorang ahli genetik yang mengkaji tentang genetik obesiti, permakanan dan diet. Beliau menerangkan perbezaan antara tenaga yang dihasilkan dari makanan berasaskan protein, fiber dan karbohidrat. Menurut beliau, semua jenis ini mempunyai tenaga. Cuma tenaga yang dihasilkan dari karbohidrat, jika diambil berlebihan akan ditukarkan kepada lemak. Sedangkan tenaga dari protein tidak dapat disimpan, jika lebih ia akan dibuang oleh badan. Selepas itu saya tailor permakanan saya. Saya hampir langsung tidak makan karbohidrat (nasi) - saya namakan diet saya ini protein diet. Saya hanya makan protein, buah dan sayur. Melalui cara ini saya berjaya turun 2 kilogram. Namun selepas itu berat saya kembali statik dan tidak turun.

Saya kembali mengkaji. Antara yang saya jumpa juga dalam perjalanan saya kembali ke zaman 60 kilogram adalah peranan bersukan. Conventional wisdom kita mengatakan sukan hanya sumbang 30% dari penurunan berat, 70% adalah pemakanan. Ini disanggah oleh Ruben Meerman. Beliau bertanya sebuah soalan yang sangat signifikan, berat yang kita hilang itu bertukar menjadi apa? Jawapan beliau adalah kebanyakannya menjadi karbon dioksida. Sementara 20% bertukar menjadi air yang disingkirkan dari badan melalui peluh, air kencing, dan air mata. Ya, karbon dioksida mempunyai jisim dan sangat signifikan dalam penurunan berat badan, oleh itu sukan yang menyebabkan kita bernafas dengan lebih laju akan menyebabkan kita turun berat badan dengan lebih cepat.

Saya juga kemudian bertemu dengan intermittent fasting (IF). IF adalah teknik menurutkan berat badan dengan membiarkan badan kita berlapar lebih dari 18 jam. Kita hanya dibenarkan makan dalam window 6 jam, kemudian berpuasa dalam tempoh 18 jam. Namun dalam tempoh berpuasa, kita dibenarkan minum air kosong dan juga kopi dan teh tanpa gula. IF ini menggalakkan badan kita melakukan proses ketosis, dimana insulin sedia ada dalam badan kita habis digunakan, oleh itu badan kita mula mencairkan lemak-lemak yang ada bagi keperluan tenaga harian badan kita. Untuk sampai kepada ketosis, kita perlu berpuasa sekurang-kurangnya lebih dari 16 jam.

Jadi saya couple IF dengan senaman harian dan diet yang melebihkan protein dan fiber. Dengan cara ini berat badan dapat turun dengan lebih laju, kira-kira 1 kilogram seminggu. Melalui cara ini, saya turun lagi 2 kilogram, sekarang saya sudah mencapai 68 kilogram, dengan penurunan total sebanyak 10 kilogram. Namun melalui kiraan BMI, berat saya ini belum lagi dikira sebagai berat yang sihat dan masih dikira sebagai overweight. Berat badan sihat saya adalah sekitar 43 kilogram hingga 58 kilogram berdasarkan ketinggian. Jadi saya masih mempunyai baki 10 kilogram untuk sampai ke berat yang sihat. Target saya adalah 55 kilogram. Berjaya menurunkan 10 kilogram adalah pencapaian milestone pertama saya. Milestone kedua adalah menurunkan lagi 10 kilogram. Milestone terakhir adalah 3 kilogram.

Milestone 1: Turun 10 kilogram (dari 78 kepada 68) - berjaya
Milestone 2: Turun 10 kilogram (dari 68 kepada 58) - dalam proses
Milestone 3: Turun 3 kilogram (dari 58 kepada 55) - akan datang

Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang saya lakukan, antaranya berhenti makan ultra-processed food dan menyediakan makanan sendiri. Ultra-processed food adalah makanan yang telah diproses secara industri, ia tidak boleh dihasilkan di dapur di rumah, dan ia telah berubah dengan drastik dari bentuk asalnya. Ia juga telah ditambah dengan perasa, perisa, pewarna, bahan awet dan pelbagai bahan lagi untuk meningkatkan tekstur dan kesedapan makanan. Jadi makanan seperti ini sangat berbeza dari segi isinya dari makanan asal (whole food). Sebagai contoh, potato chips dalam balang adalah untra-processed food, ia tidak sama dengan kentang yang kita beli dikedai. Lebih baik beli kentang dari makan potato chips atau french fries. Mengapa? Walaupun mempunyai jumlah kalori yang sama, badan kita lebih mudah menyerap kalori dari ultra-processed food kerana ia telah dipermudahkan dari segi isi dan bentuknya, oleh itu kita akan gemuk dengan lebih laju. Berbanding kalori yang sama dalam whole food, dimana badan kita perlu bekerja untuk mencerna bagi mendapatkan kalori untuk dijadikan tenaga, jadi penyerapannya lebih lama dan sedikit.

Kerja dari rumah juga banyak membantu saya mengubah cara hidup. Tanpa perlu ke tempat kerja dan menghabiskan 4 jam diatas jalan raya, masa ini boleh digunakan untuk bersenam dan menyediakan makanan yang sihat. Ia juga membantu saya untuk konsisten dengan cara permakanan sihat kerana ketiadaan kawan-kawan yang sering ajak saya makan di luar. Jika kita makan di luar, kita tidak dapat mengawal bentuk makanan, juga jumlah lemak, minyak, dan gula yang ada dalam makanan. Ia bergantung kepada tukang masak restoran. Jadi makan masakan sendiri di rumah lebih membantu kita mengawal berat badan.

Semua ini dan banyak lagi saya kongsikan bersama dalam episod Kultura Podcast Ke-31. Jika anda ingin mengikuti pengalaman saya turun 10 kilogram, dan mengetahui dengan lebih lanjut apa yang anda perlu lakukan untuk menurunkan berat badan, bolehlah bersama mendengar episod podcast tersebut..

Sabtu, 26 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 52: Kenapa Anak Tak Mahu Bersembang Dengan Ibubapa?


Apabila Amni masuk sekolah darjah 1, setiap hari, apabila menjemputnya pulang, dia akan bercerita tentang apa yang dibuatnya di sekolah. Antara soalan yang aku tanya adalah siapakah nama kawannya di sekolah? Semasa di tadika, aku mengenali nama kawan-kawannya, dari cerita-ceritanya, walaupun mungkin aku tidak mengenali muka kawan-kawannya itu. Bila disebut nama kawan-kawan, dia merasakan bahawa ayahnya dekat dengan dirinya, tahu dunianya, kenal rakan-rakannya.

Jadi apabila mula bersekolah, itu adalah antara soalan harian aku. Namun hari-hari awal, dia masih tidak mengingati nama kawan-kawannya. Walaupun semasa aku menjemputnya pulang, dia mesti sedang bersembang dengan kawan-kawannya. Kadang-kadang jalan-jalan bersama. Katanya dia masih baharu, tak ingat lagi nama kawan. Hinggalah hari keempat, baru dia berjaya memberi aku sebuah nama.

"Kawan kakak nama Nurin".

Berkawan di sekolah merupakan satu pengalaman yang berharga. Jadi aku gembira apabila Amni mempunyai kawan. Kawan ini bagi aku merupakan komponen penting dalam pembangunan kehidupan seseorang. Dengan persahabatan bersama kawan, kita dapat meneroka satu dunia sosial yang baharu, yang tidak sama dengan dunia sosial kita bersama ibu bapa. Dengan ibu bapa kita sentiasa harus berhati-hati, kerana jika kita tersilap, kita mungkin jatuh di daerah derhaka. Tetapi dengan kawan pergaulan kita lebih bebas, lebih selesa, lebih natural. Kita boleh teroka dan bersembang perkara-perkara yang mungkin kita tidak akan buka bersama ibu bapa.

Kadang-kadang aku berasa aneh dengan ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka dengan tegas, segalanya perlu dilalui dengan hormat, tanpa ada ruang untuk anak-anak bersembang dengan ibu bapa. Yang dipentingkan dalam pendidikan adalah ketaatan. Apabila anak-anak ini besar, ibu bapa tadi hairan, kenapa anak-anak ini tidak mahu bersembang dengan mereka? Jawapannya cukup jelas. Mereka dididik untuk taat, bukan untuk bersembang meluahkan perasaan. Ibu bapa hanya dilihat sebagai satu sosok untuk ditaati. Namun sebenarnya, kita bukanlah harus memilih cara pendidikan anak antara mendidik dengan tegas dan mendidik dengan memahami. Tetapi kita boleh mendidik menggunakan jalan tengah, ada ketika kita tegas, dan ada ketika kita terbuka dengan mereka, beri mereka ruang menerangkan keadaan mereka, perasaan mereka, dan keinginan mereka.

Namun sebenarnya, apa pun cara yang kita pilih, hubungan sosial kita dengan anak-anak tidak akan sama dengan hubungan mereka dengan kawan-kawan. Bagi saya, hakikat ini tidak perlu disedihkan. Kerana memang ibu bapa mempunyai fungsi yang berbeza berbanding kawan-kawan dalam kehidupan seorang anak. Cuma mungkin peranan ibu bapa adalah menyediakan peluang bagi anak-anak untuk memilih kawan-kawan yang baik dalam hidupnya. Walaupun pilihan itu tidak dapat dibuat oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka dapat memberi panduan kepada mereka, mengajar mereka memilih. Kerana kawan-kawan ini mempunyai impak yang besar dalam hidup anak-anak.

Semakin seorang anak itu besar, dia semakin boleh memahami. Kapasitinya untuk faham sesuatu perkara meningkat, dia mula mempersoalkan sebab bagi sesuatu perkara berbanding mengikutinya tanpa soal. Oleh itu, seiring peningkatan usia anak-anak, ibu bapa perlu mengurangkan teguran yang berbentuk tegas dan memarahi, dan melebihkan teguran yang berbentuk memahami. Melalui dialog dan bersembang. Semakin anak kita besar, semakin kita perlu berkawan dengan mereka, meskipun kita tidak akan sama dengan kawan-kawan sebaya dengan mereka. Jika ini dilakukan, anak-anak tadi akan lebih selesa untuk bersembang dengan kita apabila mereka sudah besar. Tidaklah nanti bila dewasa mereka mati kutu berjumpa kita, tak tahu apa yang ingin disembangkan kerana mereka tak punya pengalaman, tidak dididik untuk bersembang dengan ibu bapa.

Jadi jangan disalahkan anak-anak yang tidak bersembang dengan ibu bapa mereka apabila mereka sudah dewasa. Besar kemungkinan mereka hanya dididik dengan taat, patuh, dan hormat. Itu sahaja elemen yang ditekankan dalam pendidikan mereka. Tiada ruang untuk mereka membuka perasaan bersama ibu bapa. Apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak akan berjaya membuka perasaan mereka, malah jika disuruh sekali pun, mereka akan merasa awkward

Tidak seperti sebahagian anak-anak lain, Amni gembira sahaja memulakan persekolahan pada hari pertama hinggalah tamat minggu transisi. Dia tidak menangis pergi ke sekolah, tidak perlu dipaksa, malah bangun dengan mudah pada pagi hari, harapnya semangatnya kekal seperti ini hingga hari akhir, apabila dia tamat sesi persekolahan. Tugasku pula adalah bertanya apa yang dilakukan di sekolah, dan berbincang dengannya akan apa-apa persoalan yang bermain di mindanya. Apabila anak masuk ke sekolah, aku kira cara kita menjadi ibu bapa juga perlu berubah. Perlu banyakkan elemen berkawan dengan anak-anak berbanding hanya mengarah dan memarah.

Jumaat, 25 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 51: Kita Tiada Masa, Mereka Sudah Dewasa


Pada suatu petang, selepas anak-anak balik rumah dari sekolah dan tadika, mereka keluar bermain dengan kucing di luar. Aku melihat mereka dari tingkap, sekadar melihat. Tidak menganggu. Aku lihat Idlan yang berusia 4 tahun duduk sambil asyik melihat kucing. Aku terfikir bertapa kecilnya anak ini, tidak bersalah, tak tahu apa-apa. Aku terus melihat, sekadar menghayati permandangan anak yang masih kecil. Selagi "ada masa" aku mahu melihat anak kecil ini membesar. Bukan sekadar melihat, tapi melihat dengan sedar bahawa sebenarnya aku tak "ada masa", dan permandangan ini akan hilang tidak lama lagi. Tidak lama lagi mereka akan dewasa.

Dalam dialog harian, kadang-kadang kita selalu sebut "takpa, kita ada masa". Tanpa kita sedar bahawa sebenarnya kita tak punyai masa. Bahkan mungkin "masa" tersengih melihat kita yang mempunyai wishful thinking, merasakan kita memiliki apa yang kita sebenarnya tak ada.

Kadang kala aku suka mencatat perkara-perkara kecil dalam hidup, ada catatan yang saya buka untuk umum, banyak juga yang saya simpan sendiri. Sebab kadang-kadang kita rasa satu benda itu kecil, tak signifikan, tapi apabila beberapa "masa" berlalu, kita harap kita dapat mengingatinya semula, kita harap kita boleh ulanginya semula. Tapi kita tak mampu, sebab kita tak ada "masa", ia bukan milik kita. Menyedari hal ini, catatan-catatan kecil yang tak signifikan ini sebenarnya boleh menjadi kapsul masa. Walaupun mungkin bukan kapsul masa dari sudut hakikat, tapi tetap ia sedikit sebanyak dapat merawat keinginan kita untuk mengulangi masa lampau, mengingati benda-benda kecil dalam hidup yang membuatkan hidup terasa "hidup".

Masa mengubah segala-galanya. Apa yang kita anggap kecil hari ini akan diubah oleh masa, mungkin ia menjadi satu yang sangat besar berharga satu hari nanti, hingga kita mahu berikan seluruh hidup untuk mendapatkannya semula. Tiada manusia yang dapat bertahan melawan masa. Baik sultan yang penuh keagungan, jelitawan, hartawan, atau seorang ayah biasa, semuanya akan hancur seiring masa. Seratus tahun lagi yang tinggal hanya nama. Seribu tahun lagi, mungkin cucu-cicit kita pun tidak akan mengetahui nama kita siapa.

Ada ahli puisi yang menulis bahawa masa umpama pasir-pasir halus di tepi pantai, sekuat mana pun kita genggam, ia akan perlahan-lahan terlepas dari tangan kita. Hanya dalam cerita rekayasa manusia mampu menguasai masa, pergi ke masa belakang dan masa depan. Namun dalam kehidupan realiti, manusia masih dikuasai masa bukan sebaliknya.

Dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, cara kita menggunakan "masa" adalah segala-galanya. Kita perlu berhenti dari tergesa-gesa mahu ke hadapan, dan bila di hadapan, sentiasa meratapi masa lalu, ingin kembali ke belakang. Kita lupa untuk hidup sekarang. Oleh itu, aku sentiasa ingin duduk di tepi cermin itu, melihat anak kecil bermain kucing di luar rumah, kerana aku tidak mempunyai "masa". Sedangkan esok, anakku sudah dewasa.

Victoria tulisan Emmy Hermina Nathasia


Pada 19 Mac 2022, saya selesai membaca naskah tulisan Emmy Hermina Nathasia yang bertajuk Victoria: Rahsia Kemenangan yang Dilupakan. Buku ini kecil sahaja, ringan, dan diterbitkan dengan susun atur yang kemas. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah dibaca tanpa "mengebom" pembaca dengan jargon-jargon yang susah difahami. Ia juga tidak hanya membahaskan teori tetapi menggariskan langkah-langkah yang praktikal dalam merancang kejayaan. 

Perbahasan awalnya mengajak pembaca mencari tujuan hidup. Saya kira ini merupakan soalan falsafah asas bagi manusia, untuk manusia itu melaksanakan fungsinya, dia perlu tahu tujuan hidupnya. Proses mencari tujuan hidup ini mungkin memakan masa yang lama, bahkan ada manusia yang mencari tujuan hidup seluruh hidupnya hingga dia sendiri terlupa untuk hidup. Namun jika kita berjaya menjumpai tujuan hidup kita, kita tahu kemana arah tuju kita, kita akan mudah menempuh cabaran-cabaran yang datang.

Bak kata Nietzsche “He who has a why to live for can bear almost any how.”

Kebanyakan manusia menjumpai tujuan hidup yang dapat memanfaatkan orang lain. Ini juga pernah ditulis oleh ahli psikologi seperti Angela Duckworth yang mengkaji psikologi kejayaan. Sesuatu tujuan atau matlamat itu, jika digabungkan dengan sumbangan untuk memberi manfaat kepada manusia akan menjadikan matlamat itu lebih bermakna, lebih jitu dan dalam kesannya terhadap diri sendiri. Apabila kita bermanfaat untuk orang lain kita merasakan bahawa apa yang kita buat itu ada makna yang lebih besar, lebih besar dari diri kita sendiri.

Quote kegemaran saya dalam naskah ini adalah pada mukasurat ke 40:

"Perjalanan mengenali diri sendiri untuk memahami diri dengan lebih dekat dan menyayangi diri. Ini salah satu hasil daripada merenung diri, emosi, perasaan dan kemahuan. Tiada wang yang boleh dikenakan terhadap kegembiraan yang datang dari dalam, yang datangnya daripada proses mengenali diri sendiri".

Keghairahan kita untuk mengejar aspek-aspek kehidupan dunia, terutamanya ketika dunia sekarang dijalari teknologi yang membawa falsafah "cepat itu bagus" kadang-kadang merenggut jiwa kita. Kita tak punya masa untuk duduk berfikir, termenung, berdialog dengan diri sendiri, dan berusaha memahami diri. Kita sibuk terkejar ke sana ke mari hingga akhirnya yang tinggal hanyalah beberapa nafas akhir, tetapi segala peluang yang mungkin kita boleh realisasikan sudah terlepas dari tangan.

Saya juga tertarik dengan sudut praktikal buku ini. Dalam merancang kejayaan kita perlu mencari "rakan akauntibiliti". Iaitu rakan yang mana kita boleh berkongsi dengan mereka perancangan kita, dan rakan ini akan sering bertanya dan mengambil tahu perihal progress perancangan kita. Mereka merupakan pengimbang apabila kita malas atau terleka. Praktikal rakan akauntibiliti ini bagi saya sangat penting, ia membuatkan saya teringat akan ucapan Ted Talk "Refusing to Settle" oleh Adam Poswolsky yang menceritakan bagaimana rakannya yang hari-hari bertanya kepadanya adakah dia sudah melaksanakan perancangannya, hinggalah dia akhirnya melaksanakan rancangannya dan mengubah kehidupannya. Jadi jangan pandang enteng, jenis kawan yang anda pilih dalam hidup!

Tahniah diucapkan kepada penulis atas naskah ini, semoga dari buku ini kita dapat melihat lahirnya banyak kejayaan di bumi tercinta kita ini!

Tautan manusia dengan alam menghalau sunyi


Bagaimana aku mampu bekerja,
tanpa secawan kopi?

Bagaimana aku mampu aman,
tanpa ada bau siraman hujan,
yang membasahi bumi?

Mungkin itulah resam manusia,
rasa-rasa hatinya sentiasa bergantung,
pada alam dan bumi. 

Dengan merasai,
pertautan dengan sekelilingnya,
baru manusia,
dapat menghalau sunyi.

Ahad, 6 Mac 2022

Menentang Perang Putin ke atas Ukraine

 

Я люблю Россию и Я против этой войны.

Hampir setiap hari sekarang saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Ukraine dengan hati yang sedih. Bagi saya penyelesaian kepada keganasan bukanlah dengan mencetuskan keganasan yang baharu, keganasan tidak dapat dirawat dengan perang. Catatan ini bukan catatan perbahasan geo-politik, atau analisa siapa salah, atau propaganda untuk menghasut kita untuk menyokong mana-mana pihak yang berkonflik, saya sekadar mahu mencatat rasa hati melihat apa yang belaku.

Rusia merupakan negara yang dekat dengan hati saya. Takdir menentukan bahawa perjalanan hidup saya tersulam bersama dengan negara yang hebat ini. Rusia merupakan rumah kedua saya, 4 tahun saya berkelana di buminya. Selepas Malaysia, tiada negara lain yang saya pernah menetap lebih lama selain dari Rusia. 4 tahun mencari ilmu disana penuh dengan kenangan yang indah. Saya menetap di sebuah bandar di tepi Finski Zaliv bernama Sankt Peterburg. Sebuah bandar yang cantik, damai, penuh sejarah, dan merupakan ibukota Rusia sebelum Moskva.

Pada mulanya saya tinggal di Avtova sebelum berpindah ke Prospek Stachek. Siapa pun yang menjejakkan kaki ke bumi Rusia pasti mudah jatuh cinta padanya. Negaranya yang indah penuh dengan pemandangan yang mendamaikan. Saya rindu berjalan-jalan di tepi Sungai Neva melihat aliran airnya semasa musim panas. Pada musim sejuk pula, Neva akan membeku membolehkan saya berjalan di atasnya. Saya juga rindu melihat-lihat buku di Dom Knigi, kedai buku ikonik di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Kazanski Sabor. Pada hari Jumaat kami akan berhenti di Metro Gorkovskaya dan solat bersama ratusan Muslim yang lain di Masjid Sabornaya.

Melihat salji-salji turun buat kali pertama memang mengasyikkan. Bumi terlihat aman dan bersih ketika musim sejuk kerana semuanya terlitup dalam salji yang tebal. Musim sejuk di Rusia, walaupun cantik, begitu menyakitkan hidung kerana kesejukannya. Musim sejuk inilah yang membantu mengalahkan tentera Napoleon dan Hitler. Ketika musim sejuk siangnya singkat dan malamnya lama. Saya lebih gemar minum kopi panas sambil melihat ribut salji di luar dari tingkap. Beberapa tahun di Rusia, musim yang saya gemari bukanlah musim sejuk, tetapi musim luruh. Pertama kerana cuacanya tidak terlalu sejuk, dan tidak terlalu panas. Berbeza dengan cuaca yang sama pada musim bunga, musim luruh tiada salji separuh cair yang membasahi kasut. Dan yang lebih menggembirakan adalah dedaunan yang berubah kepada warna emas. Ketika musim luruh, saya akan mendaki Bukit Voronya, melihat permandangan kuning keemasan, sambil dibuai angin. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang muncul melihat permandangan seperti itu. Ketika musim buah-buahan tempatan, saya akan memborong buah Chereshnya, dan makan dengan gembira buah yang sama setiap hari. Coklat kegemaran saya pula adalah Aleyonka, coklat sedap dan pembalut coklat juga ikonik, saya suka gambar anak kecil comel pada pembalutnya.

Orang Rusia juga bagi saya merupakan orang yang baik. Mereka kreatif, baik hati, periang, mudah berkawan, dan suka membantu. Kebanyakan guru-guru saya semuanya baik dan rapat dengan saya. Cikgu kegemaran saya adalah Chernov, syarahannya biasanya diselitkan dengan jenaka dan juga pengajaran-pengajaran hidup walaupun subjeknya adalah enjin, pam dan kompresor. Penyelia projek tahun akhir saya adalah Chistyakov, walaupun digeruni pelajar, bagi saya beliau baik sahaja dengan saya serta banyak memudahkan saya untuk lulus cemerlang. Walaupun orang luar mungkin melihat orang Rusia sebagai garang, susah tersenyum, dan ganas, namun jika kita mengenali mereka secara peribadi, segala prejudis itu senang dan cepat sahaja hilang.

Sejarah mereka merupakan sejarah yang panjang, penuh revolusi dan tribulasi. Namun orang-orangnya tetap mempunyai imaginasi yang sama seperti kita, perasaan yang dalam dan penuh kemanusiaan, rasional dan emosional. Antara kata-kata yang sangat saya minati yang ditulis oleh Svetlana Alliluyeva (anak kepada Stalin) ketika saya membaca biografinya adalah tulisan beliau tentang bagaimana kecintaan orang Rusia kepada keindahan laut. Svetlana menulis: “Pushkin berbicara dengan lautan. Pasternak mendengar lagu-lagunya. Gorky pula berkata laut juga boleh ketawa”. 

Mungkin ada yang bertanya, jika benar orang Rusia itu rasional, punya perasaan yang mampu berkasih sayang, kenapa perang ini menunjukkan sisi mereka yang sebaliknya?

Kita harus membezakan rakyat biasa dengan kerajaan. Yang mengishtiharkan perang adalah kerajaan. Saya sangat tersentuh hati melihat orang-orang di bandar yang saya duduki dahulu, Sankt Peterburg, berdemonstrasi beramai-ramai menolak perang. Walaupun kemudian mereka dipukul dan ditangkap polis. Juga bagaimana media-media yang berani melaporkan apa yang terjadi sehingga kerajaan memaksa mereka ditutup. Saya percaya, rakyat Rusia merupakan orang-orang yang mencintai keamanan dan persahabatan.

Jean-Paul Sartre menulis bahawa “when the rich wage war, it's the poor who die”. Bagi saya tentera yang dikerahkan perlu berhenti dari mengikuti arahan. Biarlah presiden, jeneral, dan orang-orang kaya yang mahukan perang itu pergi berperang sendiri. Mereka mudah mengishtiharkan perang kerana bukan mereka yang perlu mati di medan perang, tetapi orang-orang muda dan orang-orang miskin yang dikerahkan. 

Perang bukanlah jalan menyelesaikan konflik. Sejarawan ulung, Howard Zinn pernah mengutarakan bahawa terdapat seribu satu cara boleh kita gunakan selain berperang untuk menyelesaikan konflik. Kegagalan memilih cara lain menggambarkan kemalasan berfikir, kekeringan idea, serta pemikiran primitif bahawa membunuh boleh menyelesaikan masalah. Menurut Robert Fisk, wartawan yang melihat sendiri perang, beliau mengatakan bahawa perang menggambarkan “the total failure of the human spirit".

Oleh sebab itu, saya merasakan serangan Rusia ke atas Ukraine adalah salah. Saya tidak menyokongnya walaupun saya mencintai Rusia. Tidak menyokong Rusia tidak bererti kita secara automatik menyokong Barat dan Amerika Syarikat. Ini adalah pemikiran binari. Sebaliknya tidak menyokong Rusia merupakan komitmen kita yang konsisten menolak keganasan. Kita menolak keganasan yang dilakukan kepada Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan, dan kali ini Ukraine. Kita perlu konsisten, pengeboman Saudi Arabia ke atas anak-anak Yaman adalah sama kejam dengan pengeboman Israel kepada anak-anak Palestin. Walaupun kita sedar Barat dan Amerika Syarikat bersifat hipokrit, etnosentrik (eurosentrik), dan rasis, kita boleh menolak keganasan mereka dalam masa yang sama menolak juga keganasan Rusia. Kita tidak perlu memilih, kerana ia bukanlah pilihan binari. 

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan juga alumni yang menghubungi saya bertanyakan pendapat. Tulisan saya ini bukanlah berniat untuk mendahului mana-mana kenyataan rasmi persatuan yang saya anggotai. Ia hanya coretan perasaan saya atas kapasiti peribadi. Sekadar menulis semula pandangan saya secara publik akan apa yang telah saya sebutkan dalam ruang tertutup dengan pandangan yang umum. Seruan kita haruslah bagi menamatkan konflik, bukan berpihak kepada mana-mana. Tiada siapa yang untuk dalam peperangan kecuali pembekal-pembekal senjata. 

Apa yang kita perlukan adalah keamanan dan persahabatan.


Reunion Gen-13 MATRI: Memutar Semula Memori


Alhamdulillah setelah berbulan-bulan bermesyuarat akhirnya diberi keizinan oleh Allah untuk bersama turun dalam reunion bersama sahabat-sahabat persekolahan di Teluk Senangin, Perak pada 25-17 Februari 2022. Kali terakhir berkumpul mungkin sekitar 2017. Tahun ini memang rasa perbezaannya, jika sebelum ini hanya riuh rendah bersembang sesama sendiri, kali ini riuh rendah dengan anak-anak masing-masing yang sedang membesar. Seronok melihat anak-anak dapat main bersama. Dulu bapak-bapaknya yang bermain bersama.

Persahabatan di sekolah saya kira satu fenomena yang unik. Setelah kita dewasa, kita jarang mencipta persahabatan baharu. Sebaliknya kita akan mencari semula sahabat-sahabat lama. Sahabat-sahabat yang bersama kita masa kita tak punya apa-apa, yang ada hanyalah kasih sayang sesama sendiri. Dengan teman-teman persekolahan biasanya kita boleh bersembang dan bergurau dengan terbuka (walaupun kadang-kadang ada juga yang merajuk), keterbukaan ini kadang-kadang dengan keluarga sendiri pun kita tak dapat lakukan. Dengan sahabat yang kita kenal, percaya dan sayang, kita boleh bercerita semua benda.

Antara persoalan yang sering timbul dalam pertemuan ini adalah "kenapa nak buat reunion?" , "apa tujuannya?". Jika ditanyakan saya sendiri, berjumpa kawan-kawan lama itu satu peluang untuk saya merasai semula kemanisan memori masa lalu, tenggelam dalam sahabat-sahabat lama memberi saya peluang untuk merasa diri saya yang dahulu. Atau dalam kata lain, berjumpa dengan diri sendiri yang lebih muda, yang masih remaja, suci (?), dan keanak-anakan. Juga memberi saya peluang untuk membuka semula hati saya, bercerita perkara-perkara yang mungkin susah atau tak dapat saya ceritakan pada orang lain. Bagi saya, itulah harganya. 

Mengenangkan banyak sahabat-sahabat saya yang saya hargai telah tiada, saya merasakan ia satu peluang yang lebih mahal. Selalu terbayang difikiran saya mungkin ini kali terakhir saya melihat senyum mereka dan mendengar ketawa mereka. Ketua batch kami, Radhi berkata selepas subuh pada hari ketiga, "Jika seseorang itu sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit untuk sesuatu, sesuatu itu pasti ada nilainya". Begitulah. Bagi saya nilainya sangat besar, satu nilai yang bukan material. Segala penat lelah, kesakitan (sakit kaki) itu akan berlalu. Tetapi kenangan dan amal soleh yang dikumpul bersama akan kekal. 

Ketika negara dan dunia ditimpa dan diliputi pelbagai isu, kerehatan sebentar ini sememangnya saya perlukan. Setelah dua tahun bersarang dirumah, udara segar dan angin laut sememangnya satu vitamin kesegaran. Walaupun sedih meninggalkannya dan kembali kepada rutin harian namun itulah hidup, tiada yang kekal. Ibarat ombak yang hilang setelah menghempas pantai.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat kerana memberi peluang untuk kita duduk bersama satu kali lagi. Memutar semula kenangan dan mencipta kenangan yang baharu. Terima kasih juga kepada pengarah program Muhammad Radhi yang bertungkus lumus menjayakan program. Terima kasih pada tuan rumah Ikhwan Zulkifli yang menyediakan penginapan yang selesa dan makanan yang sedap, juga pada Amin Roseli yang menyumbang pelbagai kepakaran teknikal dalam mengurus duit juga menyediakan baju program. Seterusnya pada semua sahabat-sahabat yang namanya terlalu panjang untuk disebut satu persatu.

Moga kalian dalam jagaan Allah selalu. Jumpa lagi dalam next reunion pada tahun 2024 di Johor.

Selasa, 1 Mac 2022

Bukan Sebab Sedap, Tapi Memori

Balik dari Reunion Gen-13 MATRI di Teluk Senangin saya sempat ber-DOLI di Taiping, Perak. Dahulu, arwah ayah selalu bercerita perihal sejarah bagaimana Doli mula dengan kedai kecil hinggalah mereka berkembang dan ada kedai besar sendiri. Bila saya bagi tahu teman-teman akan hasrat saya ini, bahawa pada perjalanan balik saya nak singgah Doli, ada yang berkata bahawa ramai orang di hujung minggu. Ada juga yang menyatakan bahawa rasa Doli dah tak sama, tak sedap macam dulu. Pada masa saya sampai, memang perlu beratur sekejap, biasalah kedai lama yang sudah established pasti banyak customer di hujung minggu. Selesai makan, alhamdulillah, saya rasa masih sedap. Saya minat sambal kicapnya yang masin-masin sedikit. Saya terfikir, kadang, orang pergi ke kedai lama bukan sebab makanannya yang sedap sangat. Tapi sebab memori.

Catatan Baitul Muslim 50: Memori, Imaginasi & Karya


Pada sebelah petang, apabila mengambil anak-anak balik dari tadika. Biasanya mereka akan menunjukkan kertas, kertas aktiviti, kertas kerja, kertas warna, segala bentuk kertas aktiviti yang mereka buat di tadika. Selepas habis bercerita dan sampai di rumah, biasanya kertas-kertas ini ditinggalkan sahaja dalam kereta untuk sang ayah mengutipnya dan menyimpannya selepas itu.

Saya perasan, karya anak-anak ini biasanya terhasil dari pengalaman dan memorinya. Contohnya satu hari anak saya meninggalkan satu kertas yang tertulis "Pulau Saak" dan dibelakangnya ada gambar orang-orang lidi yang sedang bersuka-ria di tepi pantai. Pulau Saak ini sebenarnya ejaan salah kepada Pulau Sayak. Amni yang menulisnya masih belum dapat mengeja dengan betul ketika umurnya 7 tahun. Pulau Sayak adalah satu-satunya tempat berpantai yang boleh kami kunjungi semasa tempoh larangan rentas negeri sekitar tahun 2020-2021.

Selain makan Mee Udang Usop dan menikmati permandangan matahari terbenam, di sana adalah tempat anak-anak mandi pantai dan kutip kerang-kerangan. Walaupun dari perspektif ibu bapa, pergi ke Pulau Sayak banyak hal yang perlu difikirkan. Contohnya kalau pergi tengah hari, cuacanya sangat panas, kalau pergi petang pula susah sebab masa yang singkat dan tergesa-gesa mengejar solat maghrib. Banyak juga "inconvinience" lain antaranya ketiadaan bilik mandi dan bilik salinan selepas habis mandi di pantai. Tapi dari perspektif seorang anak, hanya ada perasaan seronok sebab dapat mandi pantai. Ia menjadi satu memori yang menggembirakan buat mereka.

Kadang-kadang berhari-hari anak-anak bertanya bila nak ke Pulau Sayak lagi. Saya kira itulah antara tugas ibu bapa, iaitu menyediakan memori-memori yang bahagia dan gembira buat anak-anak. Memang akan ada kesulitan dan inconvenience, tetapi itu semua akan berlalu dan memori itu akan berkekalan. Memori ini akan diterjemahkan dalam bentuk karya dan imaginasi anak-anak.

Karya anak-anak ini kadang-kadang nampak seperti simple, kadang nampak macam conteng-conteng yang tak ada makna. Tapi jika kita menyuruh mereka menerangkan karya mereka, kadang-kadang ketika itu baru kita sedari bahawa anak-anak kita ada pemikiran-pemikiran yang dalam walaupun mereka belum dewasa. Berbincang dan bersembang perihal karya anak-anak juga dapat membantu kita memahami apa yang ada dalam pemikirannya, apa imaginasi dan harapannya.

Anak-anak itu merupakan kain-kain yang bersih. Jadi imaginasi mereka terhasil dari corak yang dilukis oleh ibubapa. Dengan menyediakan kenangan-kenangan, pengalaman, momen, dan memori yang membahagiakan, imaginasi mereka juga akan memancarkan kebahagiaan. Seterusnya karya-karya yang lahir dari tangan mereka juga akan menghasilkan bentuk-bentuk yang membahagiakan hasil dari input-input yang telah kita berikan. Istilah Inggeris menyebut "garbage in garbage out", jika kita masukkan kenangan yang tidak baik, yang tidak baiklah yang akan keluar sebagai hasil. Begitu juga sebaliknya. 

Karya anak-anak ini kadang-kadang sukar untuk disimpan semula. Namun bagi saya, usaha menyimpan itu perlu dilakukan. Kertas-kertas lukisan boleh ditulis nota di belakangnya, nama anak yang berkarya serta tarikhnya. Ia akan menjadi relics yang berharga apabila mereka sudah dewasa nanti. Ketika itu mungkin mereka sendiri sudah lupa akan kertas-kertas karya mereka. Jika punya masa, tenaga, dan kreativiti, kertas-kertas ini juga boleh dibukukan dengan cara binding DIY. Teknik binding kertas secaya DIY ini boleh dipelajari dengan mudah hari ini di laman Youtube. Kaedah lain untuk menyimpan karya anak-anak adalah dengan mendigitalkan karya tersebut. Karya tersebut boleh discan ke dalam komputer atau diambil gambar. Kaedah ini mungkin lebih mudah dan tidak bulky, namun ia menghilangkan fizikaliti karya tersebut.

Masa kecil anak-anak ini akan berlalu dengan cepat. Walaupun kita hari ini merasakan ia satu beban. Bebanan ini nanti akan hilang, yang tinggal adalah memori dan imaginasi, juga karya-karya yang kita simpan dengan baik dan dapat bertahan mengharungi hakisan zaman.

Selasa, 15 Februari 2022

Mengenang Atuk Ho (Sahar bin Sidin)


Pada 23 Januari 2022, saya menerima khabar duka bahawa Atuk Ho yang saya kasihi telah tiada. Atuk Ho atau nama sebenarnya Sahar bin Sidin merupakan adik kepada Wo, Hafsah binti Sidin (nenek saya di sebelah ibu). Atuk Ho merupakan atuk yang sangat peramah, dan selalu bercerita dan melayani kami cucu-cucu yang pulang ke kampung. Setiap kali balik ke Kampung Parit Tengah, Bagan Datuk, rumah Atuk Ho merupakan rumah yang selalu kami singgahi terutamanya pada hari raya. Apabila saya besar sedikit di sekolah menengah, Atuk Ho adalah orang yang menyuruh saya untuk membaca khutbah raya di Surau Kampung Parit Tengah. Tiap kali raya dia akan cari saya untuk bagi buku teks khutbah. Itulah antara pengalaman pertama saya bercakap di depan orang ramai. Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, adik-adik pula mengambil alih tugas membaca khutbah raya kerana kami bersekolah di sekolah agama. Agak mencabar juga membaca teks khutbah dalam tulisan Jawi bila diingat-ingat semula.

Atuk Ho juga merupakan orang yang kuat bekerja. Sehingga tua beliau masih ke kebun dan melakukan kerja-kerja berat seperti meracun. Wo kadangkala ada menasihatinya untuk berhenti berkebun, namun dia tetap juga nak berkebun. Antara dialog yang saya ingat yang pernah diucapkan beliau adalah apabila beliau menjawab cadangan yang diberikan kepadanya untuk berhenti bekerja dan membiarkan anak-anak yang menyaranya. Kata beliau:

"Aku ni bela anak-anak bukan nak suruh depa bela aku bila aku tua, selagi aku boleh bekerja biar aku bekerja cari rezeki sendiri".

Begitulah lebih kurang ayat beliau, walaupun saya tidaklah seratus peratus ingat akan dialog ini, atau betulkah beliau pernah mengucapkannya, tapi dalam ingatan saya, beliau pernah bercakap sebegitu. Biasanya apabila orang tua-tua bersembang di kampung saya dengar sahaja, sama ada saya dengar sambil bermain dengan sepupu sepapat atau saya dengar sambil tengok televisyen.

Beraya di rumah Atuk Ho juga berbeza dengan beraya di rumah atuk-atuk yang lain. Orang lain biasanya memberi duit raya dalam sampul, tetapi di rumah Atuk Ho, setiap kali raya disediakan plastik yang berisi dengan pelbagai gula-gula. Duit raya juga ada dalam plastik berisi gula-gula ini. Ketika Raya Haji, biasanya Atuk Ho akan mengetuai orang-orang kampung menyembelih lembu. Malah sering kali rumahnya menjadi lokasi gotong royong dan merewang. Biasanya di pokok kelapa depan rumahnya akan di tambat lembu korban.

Semasa saya betul-betul kecil (besar sedikit dari bayi), saya merasakan saya antara cucu yang paling disayangi beliau. Pemergian Atuk Ho begitu membekas di hati saya. Hilang satu lagi sosok yang banyak mengisi kenangan zaman kecil saya. Semoga Allah merahmati dan menerima segala amal soleh Atuk Ho dan mengampunkan dosa-dosanya. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Semua Benda Perlu Diselamatkan


Selamatkan itu, selamatkan ini.

Antara dialog dalam anime Attack on Titan yang menarik bagi saya adalah ketika Armin memberitahu Gabi bahawa dia tak ada keinginan untuk membunuhnya. 

"Kill this, kill that, that is all in your mind".

Saya rasa dialog ini bergetar kuat dengan situasi kehidupan harian. Terutamanya perihal politik tanah air. Buka sahaja media sosial kita akan lihat pelbagai gerakan, pelbagai seruan, pelbagai orang. Mahu selamatkan itu, selamatkan ini. Selamatkan negara, selamatkan ekonomi, selamatkan alam, selamatkan pokok, selamatkan haiwan, selamatkan planet dan bermacam benda lagi nak diselamatkan.

Yang terbaharu dan paling kelakar adalah buat pilihanraya nak selamatkan ekonomi. Kalau pilihanraya boleh selamatkan ekonomi, elok kita buat pilihanraya seminggu sekali.

Dahulu saya terkesan juga dengan slogan-slogan nak selamatkan "sesuatu" ini. Kita mesti berjuang nak selamatkan sesuatu. Masa saya kecil, saya dengar banyak slogan selamatkan negara, negara ini sudah tenat, negara ini ekonominya parah, sudah mahu bankrap, selamatkan itu, selamatkan ini. Namun bila saya besar saya lihat negara saya berkembang macam itu juga.

Ada salah, silap, dan kurangnya. Bukanlah negara ini sempurna. Kita harus perbaikinya dengan kemampuan kita. Tapi ia bergerak dengan baik secara relatif. Teringat kata-kata Carlin perihal manusia yang mahu menyelamatkan planet, walhal planet sudah wujud berbillion tahun sebelum manusia wujud. Sebenarnya mereka nak selamatkan manusia yang bakal pupus kata Carlin, planet ini baik-baik sahaja.

Mungkin bukan negara ini yang sakit, rosak, bakal hancur, korup, bangkrap, dan sebagainya. Tapi yang rosak itu adalah orang-orang di dalamnya. Negara ini baik-baik sahaja.

Ahad, 13 Februari 2022

Wacana Bersama Ideolog yang Sia-sia

Untuk memahami dunia, kita tidak dapat lari dari memahami ideologi. Kerana ideologi telah mencorak sejarah, dan kita adalah produk sejarah, gagal memahami ideologi bererti kita gagal memahami apa yang telah membentuk masyarakat kita hari ini. Tetapi ideologi bukanlah segala-galanya. Golongan yang terlalu pekat ideologinya cenderung menjadi ideolog, bagi mereka ideologi mereka telah disamakan dengan kebenaran. Walhal boleh jadi kebenaran terletak di luar daerah ideologinya, tapi itu tidak lagi menjadi minatnya. Dia terus memunggungi ideologi walaupun terpaksa menafikan realiti.

Bagi golongan seperti ini, semua wacana adalah wacana ideologi, kebenaran bagi mereka mesti ideologikal, otaknya tak dapat memahami kebenaran di luar ideologinya. Pemikiran mereka adalah pemikiran binari, mana-mana pendapat selain pendapat mereka mesti dicop sebagai ideologi berlawanan, meski pun ia keluar dari kajian yang objektif.

Jika ideolog tersebut cenderung pada ideologi kiri, semua yang melawan pendapatnya akan dicop ideologi kanan, diwarnakan seperti bercumbu dengan kekuasaan. Pemikiran binari inilah yang menyebabkan mereka cenderung mengamalkan budaya cancel culture, yang memberi mereka alat untuk memaksakan ideologi binari mereka ke atas orang lain. Mereka tidak dapat bertahan untuk berhujah. Tidak boleh berwacana, mereka bertindak mendiamkan lawan.

Jika berwacana pun, wacana dengan mereka adalah sia-sia, kerana mereka tak ingin pun untuk melihat isi perbahasan. Mereka lebih cenderung untuk cari modal untuk meletakkan lawan mereka dengan label. Apabila sudah berjaya meletakkan label kanan, maka baginya dia telah berjaya. Apa-apa yang kanan harus ditolak, tak perlu berwacana lagi. Kerja mudah menang debat wacana awam dengan melempar label. Boleh menang mudah dengan melabel, buat apa berwacana?

Apabila diberi contoh, mereka tak akan sibuk melihat contoh, tapi sibuk berusaha untuk mencari siapa yang beri contoh tersebut, bagaimana untuk mengaitkan dia dengan ideologi kanan. Tampal label lebih mudah. Kemudian boleh bersorak "hah! contoh ni kanan kita kena tolak".

Tidaklah semua golongan kiri sebegini, menurut Chomsky golongan kiri yang seperti ini adalah golongan yang melakukan kesilapan dari sudut prinsip dan taktikal, banyak lagi golongan kiri yang sebenarnya bersifat intelektual. Cuma sebahagian yang mengaku "aktivis" dan berkelakuan seperti ini bagi saya langsung tak intelektual. Sebab itu pemikir kiri seperti Noam Chomsky sendiri tak bersetuju dengan cancel culture, malah sign surat yang mendokong kebebasan bersuara dan menolak cancel culture yang menyekat kebebasan bersuara dan berfikir. Apa Chomsky tak faham wacana kekuasaan? Atau Chomsky sekarang sudah masuk golongan kanan?

Bagi saya ideolog anti-intelektual ini membuang masa sahaja jika diajak berwacana. Mereka lebih minat melabel dari bahas isi. Tak banyak beza dengan agamawan yang melempar label "wahabi", cuma golongan ini akan melemparkan label "kanan" , "bigot" dan sebagainya.

Chomsky pernah ditanya, dia tak risau ke kerana ada pendapatnya yang sama dengan golongan Nazi? Jawab Chomsky, kalau Nazi cakap benda betul, betullah, kebenaran tetap kebenaran. Begitu juga apologis Israel pernah bertanya kepada Norman Finkelstein, dia terima ke orang label dia self-hating Jew kerana pandangan dia yang pro-Palestin? Finkelstein dengan tenang jawab "habis kalau aku self-loving Jew, adakah semua yang aku cakap akan jadi betul?". Kata beliau lagi, lihatlah fakta, yang penting adalah fakta, siapa saya tidak relevan.

Tanpa mengurangkan kepentingan untuk kita belajar perihal ideologi, dalam wacana intelektual, bagi saya yang penting adalah fakta bukan ideologi. Follow the evidence wherever it goes. Sebab itu saya rasa tak bermanfaat berwacana dengan ideolog anti-intelektual, mereka tak kisah pasal fakta, mereka hanya berminat bagaimana nak menampal label pada lawan mereka untuk menang mudah, lepas tampal bolehlah mereka berlari-lari sini sana dan bersorak-sorak.