Isnin, 8 April 2019

Nota-nota peribadi di PBAKL 2019




Tahun ini PBAKL kembali ke tengah pusat negara di PWTC, saya ingat kali terakhir saya datang PBAKL adalah di MAEPS Serdang, kemudian beberapa tahun tidak dapat hadir atas komitmen pengajian. Tahun ini masih ada komitmen pengajian tapi saya ‘mengelat’ dan datang juga.

Jika sebelum ni datang untuk berjalan-jalan sambil menambah koleksi buku untuk dibaca, tahun ini saya datang untuk menjual buku. Walaupun jika dikira untung rugi mungkin tidak berbaloi pun menjual di PBAKL bagi penerbit swaterbit indie, tetapi apa yang lebih berharga adalah pengalaman juga perbualan-perbualan dengan masyarakat.

Buku yang saya cetak sebenarnya telah lama habis, saya pun malas untuk mencetak lagi. Tapi apabila sahabat saya Izzat mengajak untuk bersama dia untuk menjual di reruai swaterbit saya buat cetakan kedua. Saya tahu, jika untung rugi itu hanya dikira dengan matawang ringgit mungkin tidak berbaloi, tapi apa yang lebih penting adalah solidariti bersama penulis dan penerbit indie, pengalaman bercerita dengan pengunjung, juga sembang dan renungan bersama.

Bersama komrad-komrad Anarko-sindikalisme

Antara pengalaman berharga kali ini adalah berkongsi reruai dengan penerbit anarkis indie. Duduk dengan mereka, sama-sama menjual buku, makan bersama, semestinya berharga dan melahirkan perasaan brotherhood. Mereka ini ber-ideologi pro-buruh, anti-fasis (antifa), budak-budak punk, juga pemusik-pemusik indie. Di takdirkan Tuhan mereka berkongsi reruai dengan budak usrah!

Amatan saya mereka mempunyai semangat brotherhood yang kuat antara sesama mereka dalam komuniti mereka, dalam kalangan Islamis semangat ini terjelma dalam terma ukhuwwah Islamiyah. Mereka juga kebanyakannya tidak percaya pada Tuhan.

“Weh tak solat Jumaat ke?” sapa Oka.

“Aku boleh jamak sebab datang dari Sungai Petani.” balas saya. Melihat saya ingin bertanya pula Oka terus berkata.

“Oh kitorang tak, kitorang kafir.” jelas Oka.

Apa yang menarik adalah selepas kami bersama-sama menjual buku dari pagi sehingga penat, kami duduk bersama-sama bersembang hati ke hati. Oka bercerita berkenaan dengan ideologi anti-fasis beliau, beliau berkata dia menentang semua ke-fasisan baik fasis-agama atau fasis-bangsa, tetapi percaya kepada pendekatan anti-keganasan. Saya pun bertanya bangaimana dengan ‘aksi langsung dan sabotase’? antara sebuah buku klasik anarko-sindikalisme yang sempat saya belek.

“Tak semua benda yang kita baca sesuai kita pratikkan hari ini, kena lihat situasi” jelas Ashi.

Wow, saya kagum mendengar kata-kata yang keluar dari mulut adik punk berumur 17-tahun, dia seolah faham ilmu waqi’. Ashi tidak menghabiskan sekolah, dia bersama kawan-kawan menjual t-shirt dan buku. Mukanya bersih dan sentiasa ceria, dipipi bawah mata kanan beliau ada sebuah tatoo perkataan ‘mercy’, di leher beliau ada tatoo besar rama-rama, tangan kanan dan kiri juga ber-tatoo, dan di kedua telinga ada gelang kecil yang ditindik.

Oka kemudian bercerita tentang ketidakpercayaan beliau pada tuhan, beliau berkata bahawa asas ketidakpercayaan beliau adalah pencarian dan pembacaan beliau, beliau bukan tidak percaya agama disebabkan dendam atau mempunyai pengalaman buruk dengan orang-orang agama. Tetapi beliau sama sekali tidak membenci agama, baginya tidak percaya dan benci dua perkara berbeza. Dia percaya idea perlu berlawan dengan idea, dan buku perlu berlawan dengan buku.

“Apa perasaan ko bila dengar orang cakap camtu?” tanya Ashi, mungkin dia curious apa yang budak usrah seperti saya fikirkan mendengar cerita bangsa sendiri tidak ber-tuhan.

Saya sedikit sebanyak menceritakan latar keluarga dan hidup saya, buku-buku yang saya baca di pertengahan hidup, saya katakan bahawa setiap manusia mempunyai latar hidup mereka. Dengan latar-latar ini setiap manusia sampai kepada cara fikir mereka, dan manusia tidak boleh memilih latar keluarga mereka, jadi saya tiada sebarang perasaan benci. Tapi saya percaya bahawa manusia boleh berkomunikasi apabila dia sudah dewasa dan memilih cara fikir baharu yang lebih benar dengan kemampuan akalnya.

Oka berkata bahawa dia ada membelek-belek buku saya, dia kata dia akan baca, sekiranya tiada unsur fasis dia mahu cetak dan jual buku saya. Ashi kelihatan masih muda dan jauh lagi perjalanan hidupnya, saya hadiahkan kepadanya senaskah buku saya secara percuma dan berpesan agar dibaca dan tidak dibuang.

Sembang petang dengan politikus

“Mana ko nak cari ahli politik beli zine punk.” kata Budiman yang singgah di reruai kami dan membeli dua siri Mosh Zine. Jika dilihat dengan mata kasar, tidak nampak seperti ahli politik, memakai baju t-shirt Hard Rock Cafe ‘Seville’ sambil menarik trolley-cart berisi buku, dan bersembang pasar dengan budak-budak jalanan. Agak kelakar trolley-cart beliau saya lihat, teringat makcik-makcik tua dia Rusia ketika saya masih belajar dahulu, mereka juga menggunakan trolley-cart yang sama.

Dia pun duduk dan bersembang bersama kami, bertanya khabar dan progress jualan. Banyak juga topik menarik yang kami bualkan, terutamanya berkenaan dengan penulisan buku dan proses jualan. Budiman pernah ter-viral dalam sebuah wacana anjuran akhbar harian, apabila seorang pakcik tua mengatakannya ‘bodoh’, tapi dia tenang menjawab.

Saya bertanya tentang wacana tersebut, Budiman menjawab biasa “Alah, tak kisah, aku tahu diorang tu cari makan”, nampak dia tidak menyimpan hati sedikit pun. Dia bercerita tentang pengalamannya menerbitkan buku, bagaimana dia menjual buku sendiri dan bertegas tidak mahu jual pada orang tengah. Baginya, dia yang berusaha membuat kajian dan menulis, mengapa orang tengah boleh mengaut 40 peratus? Dia kemudian mengeluarkan bukunya ‘Propaganda Politik’ dari trolley-cart kelakarnya. Buku ini dari hasil kajian PhD-nya ujar Budiman. Oka minta free tetapi Budiman tak bagi, saya pun membeli sebuah tanda solidariti.

Minum kopi bersama Wolf di tepi Sungai Gombak

Saya sempat di PBAKL tahun ini hanya dua hari, sepanjang dua hari itu hanya berada di reruai sendiri dan tidak mempunyai masa untuk berkembara, menikmati, dan membelek buku di reruai yang lain. Hari kedua di reruai kami disertai Wolf, pemuzik dan penulis, dan Nizang, penerbit zine. Wolf tiba awal, anarkis-anarkis lain masih belum bangun tidur. Dia pun menyusun poskad hasil karya beliau. Saya turut membantu mempromosikan poskad beliau, ada juga pembeli dari crowd saya yang membeli.

Buku Wolf bagi saya menarik, ia bukan travelog biasa tapi sebuah pengembaraan dengan misi tersendiri, dalam masa yang sama dimuatkan lukisan-lukisan beliau sepanjang pengembaraan beliau. Saya tertarik dengan kehalusan seni beliau, dan beliau bercerita tentang bagaimana setiap lukisan itu di hasilkan, teknik-teknik yang digunakan. Saya bertanya berkenaan dengan lukisan original. “No, not for sale!” jawab Wolf tegas. Saya beli satu buku beliau 'Kept in Ink' bersama poskad tanda solidariti.

“Weh, jom cari kopi” ajak Wolf apabila sudah separuh hari berpromosi dan memberi flyers pada pengunjung. Masing-masing penat, kini tiba masa untuk makan tengahari. Kami pun keluar dari dewan dan masuk ke medan makan di tepi sungai Gombak yang berwarna seperti ‘teh tarik’. Kami bersama makan nasi putih dengan ayam goreng kampung, sambal belacan kedai tersebut sangat sedap, pedas, dan ‘terangkat’. Saya bungkus satu untuk Izzat.

Wolf bercerita perihal dirinya, dari dia mula berkarya ketika belasan tahun, aktiviti harian busking di SACC mall, juga projek-projek amal beliau mengajar muzik secara percuma kepada anak-anak di PPR. Kami bersembang berkenaan dengan buku, banyak juga yang dibualkan kerana banyak buku yang sama kami baca seperti karya-karya Chomsky hingga ke kritikan Richard Dawkins terhadap agama.

Kami kemudian berbual berkenaan dengan halatuju politik kiri di Malaysia. Wolf berpendapat bahawa parti sosialis di Malaysia masih membawa sosialis lama era-70-an sedangkan kapitalis berubah dengan cepat, kapitalis hari ini tidak sama dengan kapitalis 70-an. Di sebabkan itu mereka sukar mendapat base terutamanya dalam lingkungan ideologi. Perkataan ‘sosialis’ sendiri mempunyai konotasi negatif di Malaysia dan sering dikaitkan dengan ‘komunis’. Tetapi bagi Wolf, parti sosialis konsisten dalam bekerja memperjuangkan rakyat bawahan, tiada siapa boleh menyangkal mereka ‘berkerja’, dan dia sendiri meletakkan simpati beliau pada mereka, dan tidak segan membantu jika diminta.

Selamat tinggal Pesta Buku KL 2019

Dalam pekat malam kota aku meninggalkan pesta buku tamat hari ke-dua, pekat malam kota tidak sama dengan pekat malam desa kerana ada lampu neon di mana-mana. Pesta kali ini membuatkan aku berfikir berkenaan dengan keindahan seni dan karya, bagaimana ia boleh merentas rupa, warna, juga ideologi dan budaya. Baik kiri atau kanan, mereka duduk sebentar dalam genjatan senjata, bersama di dalam satu dewan bersama menjual karya.

Di kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih buat penganjur yang memberi ruang kepada kami untuk bernafas, kepada komrad-komrad anarkis yang bersama-sama menjual karya, kepada pengunjung yang sudi singgah mendengar cerita, kepada pembeli dan pencinta karya, kepada suri hati yang menjaga dua anak tercinta dan melepaskan suamimu ke pesta, dan yang paling utama, kepada Allah yang memberikan nikmat tenaga dan usia.

Selamat tinggal pesta buku!

1 ulasan:

Akmal Sabri berkata...

rasa kecewa lak tak belek2 buku diorang. tak tahu lak kisah diorang mcm tu