Ahad, 28 Mac 2021

Reviu Zine Hubooks Edisi 1


Zine Hubooks Edisi Pertama ini diterbitkan pada bulan Februari 2021. Hubooks adalah sebuah kedai yang menjual buku baru dan terpakai selain menjalankan fungsi perpustakaan, arkib zine, juga pusat berkaitan perbincangan dan kajian berkenaan seni, budaya dan intelektualisme. Zine Hubooks ini mengetengahkan tulisan-tulisan perihal buku, bibliofilia, dan sosiologi buku.

Artikel pertama yang membuka pencak zine ini ditulis oleh Omar Bacok yang ingin mengangkat semula peranan dan sumbangan Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College, Tanjong Malim (PKSI). Dalam kajian beliau, beliau mengutarakan buah fikir bahawa banyak usaha yang dilakukan oleh PKSI tidak diberi kredit dan pengiktirafan oleh kerajaan British dahulu. Ia memberi bayangan salah dalam masyarakat bahawa banyak dokumen terjemahan ini dihasilkan oleh birokrat dan ekspatriat British yang kononnya berjaya menguasai bahasa dan budaya orang Melayu.

Satu tema yang saya kira bagus sekali yang dinaikkan oleh Omar Bacok dalam artikel beliau adalah perihal pemusnahan dokumen. Beliau membawakan petikan kata-kata dari Majid Osman, Pegawai Kebudayaan Dan Perhubongan, Kementerian Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu dalam naskah Peranan Pejabat Karang Mengarang (1960). Majid Osman mengkritik aktiviti membakar minit-minit pelajaran yang mustahak, mengakibatkan tiadanya rekod lengkap di Kementerian Pelajaran selepas Perang Dunia II kerana ia telah dibakar oleh Kementerian Pelajaran sendiri. Hal ini mengingatkan saya perihal sebuah artikel yang pernah saya tulis dahulu berkenaan pembakaran perpustakaan Alexandria dan perpustakaan Louvain, rupa-rupanya kita mempunyai contoh serupa di peringkat tempatan.

Artikel kedua dalam zine ini ditulis oleh Tokobuku Matlelagila perihal keasyikan beliau membaca buku tulisan Arena Wati. Membaca tulisan beliau membangkitkan kesedaran dalam diri saya sendiri, bertapa dalam pembacaan peribadi saya ada lompong yang besar, iaitu kurangnya, atau lebih tepat, hampir tiada pembabacaan rumpun tulisan karyawan melayu klasik. Hal ini mungkin sesuatu yang perlu saya baiki dalam rumpun-rumpun bacaan saya. Beliau menceritakan bagaimana Arena Wati membuat kajian perihal masyarakat Dusun di Sabah dalam bukunya Dusun. Kajian ini kemudian dituang ke dalam karya novel beliau yang bertajuk Royan. Bagi saya, antara kriteria penulis fiksyen yang baik adalah kebolehan penceritaan yang membuatkan pembaca tertanya, adakah ini fiksyen atau kejadian sebenar? Arena Wati mempunyai kebolehan ini berdasarkan pengakuan Tokobuku Matlelagila yang menulis bahawa novel Royan itu menggambarkan perubahan Sabah pada tahun 1970-an dan sama ada watak-watak tersebut adalah benar atau fiksi, beliau tidak ketahui.

Artikel ketiga dalam zine ini ditulis oleh Shahriman Jamalullayl perihal kisah seorang penyapu sampah bibliofil di Mesir bernama 'Ammu Sa'id. Beliau bercita-cita untuk mendalami bidang sastera namun kesempitan hidup memaksanya memburuh dan melupakan pengajian universiti. Namun kecintaan 'Ammu Sa'id pada ilmu luar biasa, beliau menjadi pembaca buku tegar dan sudah membaca hampir 4,000 naskah buku. Malah beliau juga berjaya menguasai bahasa Inggeris dan Perancis hanya dengan belajar sendiri, beliau juga membuat usaha penterjemahan karya secara suka-suka. Kemampuan belajar sendiri ini mengingatkan saya pada sosok Basil Brown, seorang arkeologis dan ahli astronomi yang tidak mempunyai pendidikan formal. Saya juga minat akan cara pembacaan 'Ammu, beliau tidak membaca untuk dilupakan beberapa minit selepas itu, tetapi dihadam dalam pemikiran dan boleh dibahaskan semula dengan lancar. Kisah 'Ammu ini saya kira boleh ditambah sebagai bukti bahawa kerajinan boleh mengatasi kesarjanaan. 

Artikel keempat ditulis oleh Izmal Karim yang mengulang semula perjalanan kali pertama Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Sultan Zainal Abidin III ke England bagi menghadiri majlis pertabalan Raja George VI. Ia mungkin menarik kepada sesiapa yang mengkaji sejarah raja-raja Melayu, namun ia tidak menarik hati saya kerana saya merasakan ia sekadar rekod perjalanan tanpa ada perkara untuk dipelajari. Mungkin yang paling menarik bagi saya adalah pengetahuan bahawa Sultan Johor pernah mengahwini seorang janda dari Scotland iaitu Helen Bartholomew. Tulisan Mohd Dahri dalam artikel kelima juga tidak kuat menarik minat saya, beliau memperihalkan kisah kolektor buku Ronnie Rio, mungkin kerana saya bukan kolektor jadi kesannya kurang meresap dalam diri, saya lebih kepada pembaca sahaja.

Artikel keenam berjajuk Guten Tag Wien ditulis oleh seorang pengkaji otak dan kognitif yang memilih untuk tidak mahu dikenali. Beliau membicarakan kisah berkelana di bumi Vienna untuk mencari ilmu. Namun isi artikel ini agak aneh kerana mengandungi banyak perkataan tati, tatistic, tatisti, yang saya tidak ketahui maknanya. Mungkinkah typo? Ia banyak berulang dan sedikit mengganggu pembacaan. Namun saya minat sekali saranan beliau bahawa kita perlu memberanikan diri membaca buku dalam bahasa asing. Saya dahulu apabila tamat pengajian ada membeli buku Tolstoy dan Dostoevsky dalam bahasa Rusia dari Dom Knigi, Saint Petersburg, Russia yang terletak di Jalan Nevskiy, buku tersebut saya bawa balik ke Malaysia tapi sehingga hari ini tidak berani dibaca, seperti ada sumpahan! Mungkin perlu juga saya telesuri semula dan mengasah kembali bakat terpendam saya dalam memahami Bahasa Rusia.

Artikel ketujuh ditulis oleh Abdullah Husaini perihal perpustakaan tajuknya. Namun isinya lebih seperti sebuah cerpen, dan saya syak ia adalah cerpen satira, namun tetap menarik dan mind-blowing. Beliau memulakan cerekanya dari syarahan John Hickok. Kerana curious, saya ada membuat carian, memang beliau wujud dan ada menulis buku perihal perpustakaan. Husaini kemudiannya membawakan beberapa kisah mistik di Asia Tenggara yang dibacanya dalam buku Hickok sebelum menghantar email kepada beliau. Saya syak sebenarnya beliau bermain kata-kata, cerita Hickok tu cuma layar yang menutupi niat asalnya untuk memperkenalkan cerita, teks, dan buku-buku langka dan mistik.

Artikel kelapan tulisan Abd Halim bin Toha mungkin merupakan artikel kegemaran saya dalam zine ini, saya merasakan ia akan lebih best jika dihurai dengan lebih panjang dan mendalam. Beliau membedah buku Malay Sketches tulisan Frank Swettenham yang diterbitkan pada 1895. Dalam naskah ini Swettenham memperihalkan kisah-kisah masyarakat Melayu dulu-dulu. Ingin saya petik satu perenggan dari tulisan beliau dalam zine ini untuk memberi anda sedikit taste.

"Meskipun Malay Sketches tidak diselitkan sebarang lukisan atau foto, Swettenham bermain dengan lenggok bahasa era Victoria untuk menggambarkan keindahan alam Melayu; hutan tebal menghijau, denai-denai basah berembun, sungai yang menyusur di perlembahan, sehinggalah ke pantai permai yang menyempadani Selat Melaka, dilatari perjalanan siang dan malam bersama mentari Khatulistiwa dan rembulan Timur. Begitulah yang Swettenham lakukan melalui sketsa terakhir berjudul "Evening", melukiskan citra Semenanjung Tanah Melayu dalam rembang senjanya, penuh romantis dan bernostalgia." - Abd Halim bin Toha, Melayu Dulu-Dulu Dalam Malay Sketches.

Artikel kesembilan dan yang terakhir dalam naskah ini adalah tulisan Wan Ahmad Shaufiq yang mengisarkan perihal perkembangan masyarakat Melayu Moden dari lensa drama. Walaupun artikel ini paling ringkas dan pendek, ia tetap menarik terutamanya tentang bagaimana sentimen, peristiwa, dan perkembangan masyarakat mempengaruhi idea drama-drama Melayu. Saya kira tema seperti antara dua darjat ini memang banyak boleh kita telusuri dalam karya lama, seperti melalui cerita P. Ramlee, juga novel kajian disekolah seperti novel Konserto Terakhir. Dikotomi kampung versus bandar ini menggambarkan perkembangan pembangunan yang sedang menjalari negara ketika itu.

Tamat sudah pembacaan zine Hubooks edisi pertama ini, secara keseluruhan ia merupakan zine yang menarik dan meliburkan. Tema bibliofil tentulah antara penyebab ia begitu menarik melalui pemikiran saya. Moga-moga kita boleh menikmati lagi edisi-edisi seterusnya.

Tiada ulasan: