Ahad, 26 Oktober 2025

Gambar Keluarga di Majlis Pernikahan Mira

 

Gambar keluarga semasa majlis pernikahan Effy Emira Said Md. Nasir dan pasangannya Mohamad Suhaimi bin Abdullah pada 24 Oktober 2025 (Jumaat) di Masjid al-Mutaqin, Taman Meru, Ipoh.

Bergambar bersama Sharifah Salwah (Mak Chu) dan Said Md. Nasir (Pak Ngah) pada 24 Oktober 2025 (Jumaat) di Masjid al-Mutaqin, Taman Meru, Ipoh. Nota: nama Mak Ngah adalah Allahyarhamah Dahalina binti Shaharuddin Dahlan.

Kenapa Dokumen dan Dokumentasi Penting?

Beberapa minggu lalu, saya ada menonton temubual Tucker Carlson dengan salah seorang co-founder Wikipedia, Larry Sanger. Dalam temubual tersebut dibedah bagaimana Wikipedia merupakan alat propaganda, digunakan oleh pasukan perisikan untuk mencipta naratif sesuai dengan kehendak mereka. Wikipedia adalah sumber maklumat utama dunia, bahkan ia mengalahkan portal-portal berita establishment.

Saya juga masih ingat ketika cuba mencari maklumat berkenaan Perang Dunia Kedua di dalam bahasa Rusia, halaman tersebut dipadam dan tidak dapat diakses, mungkin kerana ia akan memaparkan sudut pandang Rusia yang tidak secocok dengan propaganda semasa bagi tujuan memenangi Perang Ukraine-Rusia. Wikipedia sememangnya perlu digunakan dengan penuh curiga dan waspada.

Begitu juga dengan carian Google, yang kini secara jelas berbentuk curated. Maklumat sensitif cukup payah didapati. Menyebabkan orang menggunakan enjin lain seperti Duckduckgo. Algoritma media sosial tidak perlu dibahaskan, kerana ia lebih jelas dari taik kucing sifat bias dan curated. Media sosial seperti Facebook, Twitter/X, Instagram, dan TikTok aktif menyunting kandungan pengguna.

Semua ini membawa persoalan apakah yang dipaparkan di skrin kita mewakili realiti? 

Jawapannya jelas, tidak. 

Sebab itu pelbagai organisasi dan individu menyimpan rekod dan database tentang genosida di Gaza. Kerana di masa depan, fakta akan dipadamkan, fail akan dibuang, jenayah akan dikaburkan. Sebab itu ahli sejarah skeptik dengan sumber dalam talian, mereka lebih percaya dokumen. Dan kita juga perlu dokumentasikan apa yang kita lihat, kerana tiada jaminan ianya akan kekal di masa hadapan.

Sebab itu selain duduk di dalam gua menulis disertasi. Dua tahun ini saya bertarung untuk siapkan dua buku sebagai satu dokumentasi. Satu telah keluar bertajuk Resistance Sudah Berbunga yang sedang diusahakan edisi kemaskini. Kedua adalah buku Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida, yang sudah siap dicetak dan kini menemui pembaca. Jenayah imperialis tidak boleh dilupakan, ia perlu direkod agar keadilan dapat dituntut. Tidak sekarang, di masa depan.

Editor yang Merosakkan Penulisan

Saya mengambil keputusan, selepas ini buku-buku saya tidak akan lagi melalui sebarang proses editorial. Cukup sekadar proof-reading dan semakan kesalahan ejaan. Saya merasakan perubahan yang dibuat ke atas tulisan saya menjadikan tulisan tersebut bukan lagi tulisan saya. Stailnya lari, malah ayat yang diubah membawa maksud yang berbeza. Sehingga saya sendiri pening baca tulisan saya. Malah proses editorial menyebabkan kerja saya bertambah. Saya bukan hanya perlu semak kesalahan saya, malah kena semak pula kesalahan editor. Saya lebih senang dikritik atas kesalahan saya sendiri, bukan dikritik disebabkan perubahan yang dilakukan editor.

Wacana di Astaka Fikir

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi selesai akhirnya wacana bersama PEMIKIR pada 13 Oktober 2025. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemikir dari sekalian buana dan desawarnana yang sudi hadir dan berdiskusi di Astaka Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR). Kehadiran dan pandangan kalian telah merancakkan lagi suasana wacana ilmu yang sangat menyeronokkan.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih khusus kepada Ustaz Muhammad Firdaus Zalani, Ustaz Amar Ismat, Ustaz Sheikh Afiq, dan Ustaz Ahmad Shueib bin Sulaiman yang telah bersusah payah menyusun dan meraikan diskusi ini dengan penuh tertib dan mesra. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat yang dapat diambil daripada perkongsian pemikiran saya yang tidak seberapa itu.

Diskusi kali ini sebenarnya membawa makna yang cukup istimewa kerana ia merupakan perasmian kepada buku saya yang berjudul Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida. Setelah melalui pelbagai cabaran dan penantian, akhirnya buku ini berjaya diterbitkan dan saya berjaya memegangnya ddi tangan sendiri.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Kiridaren Jayakumar dan pasukan The Biblio Press yang telah bertungkus lumus siang dan malam memastikan penerbitan buku ini berlangsung dengan sempurna. Penghargaan juga saya tujukan kepada editor, pembaca pruf, pereka letak, dan pereka bentuk yang telah bekerja dengan penuh dedikasi dan ketelitian. Doa saya agar Biblio terus maju dan terus menerbitkan beribu-ribu lagi karya saya di masa hadapan, insya-Allah.

Akhir kata, saya berharap agar buku Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida ini dapat menjadi satu sumbangan kecil dalam sejarah panjang perjuangan peribumi melawan kezaliman kolonial. Sebagai sebuah usaha kerdil dalam menegakkan kebebasan, kemerdekaan, dan maruah umat. Moga perbincangan ini diberkati dan menjadi sebahagian daripada warisan ilmu yang bermanfaat buat semua.

Kembali Merenung Lembaran Zaman

Tamat sudah rihlah sahaya,
mencari hikmah di celah-celah debu kota.

Maka berpulanglah sahaya,
kembali beruzlah di dalam gua.

Kembali lagi dalam perenungan,
merenung lembaran-lembaran,
kenangan-kenangan zaman.

S.A. Fathi 
14.10.2025

*Puisi pada 14 Oktober 2025 selepas berpeluang menyelak naskah nadir Parliamentary Debates, First Parliament: Dewan Ra'ayat Vol. 1 (First Session), September 1959 to February 1960 di Perpustakaan Parlimen Malaysia.

Koleksi Fikir: Kedai Buku IPSI

Pada 17 Oktober 2025 (Jumaat), saya merayau-rayau di Tanjung Penaga (digelar Georgetown oleh Francis Light sang penjajah). Hinggalah saya 'terlalu' di depan IPSI Bookstore yang terletak di belakang pejabat dalam perjalanan saya untuk bersolat Jumaat, dahulu, saya selalu juga singgah ke kedai buku ini, tetapi lama-kelamaan, saya terlupa akan kewujudannya. Koleksi bukunya masih mantap, cuma duit saya yang tidak cukup mantap untuk beli banyak buku di IPSI. Melihat koleksi buku di IPSI, saya teringat pesanan Ustaz Khurram Murad bahawa Muslim itu harus membina pustakanya, kata beliau “but most of all, cherish your Islamic books”. 

Mengangkat Pena Untuk Mengabadikan Sebuah Keindahan

Dalam karya sejarahnya, al-Mas’udi menamakan kitabnya sebagai ‘lapangan emas’, penulisan menurutnya merupakan satu usaha untuk menyelamatkan masa silam. Agar ia tidak hilang. Namun itu mungkin satu kenaifan pemikiran bangsa penulis, yang beranggapan bahawa mereka melakukan satu tugas pengabadian. Namun hakikatnya, masa menghancurkan semuanya. Masa merupakan makhluk yang sabar, yang berkerja perlahan-lahan, memusnahkan semua yang berada di depan laluannya.

Namun tetap dalam kenaifan itu, bangsa penulis tetap degil dalam kepengarangan mereka. Tetap mengangkat pena walaupun peluang keabadian itu adalah keabadian yang sementara sahaja. Bagi saya secara peribadi, saya bukanlah menulis untuk menyelamatkan apa-apa. Malah, ada kalanya saya merasakan ia bukan satu aktiviti yang ilmiah. Kadang saya merasakan pena itu diangkat bagi merekodkan keindahan, baik keindahan alam atau keindahan sebuah perasaan. Bukan sebagai usaha keabadian, tapi sebagai penghargaan kepada sebuah keindahan. Walaupun ia adalah keabadian yang singkat, sekurang-kurangnya keindahan itu diberi satu peluang.

Ibnu Khaldun: Dari Politik Istana Andalusia Hingga Ke Khemah Perang Tamerlane

Moga gembira bersama keluarga buat kawan-kawan yang sambut Diwali saya ucapkan. Sempena cuti pendek Diwali, saya berhajat untuk mengambil mental break sekejap dari kerja-kerja pejabat, juga kerja-kerja penulisan disertasi sarjana. Saya memilih untuk membaca buku kecil. Bagi melakukan mental break kita tidak boleh membaca buku besar, sebab buku besar lambat habis, ia akan mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Akhirnya proses ini akan menatijahkan mental breakdown bukan mental break!

Maka saya telah memilih buku kecil bertajuk Ibn Khaldun: His Life and Works tulisan sarjana Mesir, Mohammad Abdullah Enan, pensyarah di Universiti Fouad, Cairo. Tulisan beliau sangat menarik, membedah kehidupan sang historiografer terkenal dunia, Abdul Rahman Ibnu Khaldun al-Hadhrami, yang lebih dikenali sebagai Ibnu Khaldun dalam dunia Islam. ‘Khaldun’ ini berasal dari perkataan ‘Khalid’ yang merupakan antara suku Arab yang bangsawan dari Yaman.

Ibnu Khaldun yang lahir dalam keluarga yang bangsawan dan terlibat dalam politik yang kompleks di Andalusia dan Afrika Utara. Membaca penglibatan Ibnu Khaldun dalam percaturan istana ini membuatkan saya teringat akan sebuah buku tulisan Elizabeth Dryson, yang merekodkan keruntuhan Dinasti Nasrid terakhir di Granada. Situasinya sama, ahli keluarga raja, sultan dan bangsawan mencatur dan berbunuhan sesama sendiri hingga akhirnya mereka binasa dengan kebangkitan kuasa Kristian Castille dan Aragon.

Namun, lama kelamaan Ibnu Khaldun penat dengan permainan politik istana, dan mahu menumpukan tenaganya pada ilmu. Akhirnya beliau berjaya mendapat ruang dan peluang bertapa dalam solitude di Kubu Salamah berdekatan Tujin di mana beliau akhirnya berjaya menyiapkan magnum opusnya Muqaddimah (Prolegomena). Suasana politik yang tidak stabil akhirnya memaksanya berhijrah ke Mesir di mana beliau menjadi pensyarah dan juga hakim.

Namun disebabkan beliau dianggap orang luar, kehadirannya menimbulkan konflik dengan golongan inteligensia dan literati Mesir. Di Mesir, Ibnu Khaldun tidak terlepas dari pengaruh politik apabila Sultan memintanya menyertai ekspedisi ke Dimasyk bagi menghadapi serangan dari Timur (dikenali di Barat sebagai Tamerlane). Pertemuan Ibnu Khaldun dan Timur mungkin merupakan satu episod paling epik dalam persuratan sejarah Islam. 

Ibnu Khaldun dikritik oleh pelbagai sarjana zamannya seperti Ibnu Hajar al-Asqalani, Jamaluddin al-Bishbishi dan Badraddin al-Ayntabi. Walaupun mengkritik Ibnu Khaldun, al-Asqalani pernah menghadiri kuliah Ibnu Khaldun. Pengkritik beliau al-Sakhawi, yang merupakan murid al-Asqalani pun mengambil banyak manfaat darinya dan pengaruh Ibnu Khaldun boleh dilihat dalam kitab karangannya.
Namun ada juga sebahagian kelompok inteligensia Mesir yang mengkagumi ilmu dan metod Ibnu Khaldun seperti al-Maqrizi dan Abu al-Mahasin Ibnu Taghri Birdi.

Buku tulisan Mohammad Abdullah Enan cuba melihat kehidupan Ibnu Khaldun dari lensa yang adil, tidak hanya mengambil perspektif Ibnu Khaldun dari kitabnya Muqaddimah dan Kitab al-Ibar, tetapi membandingkannya dengan penulisan lain yang sezaman dengannya walaupun tidak semua manuskrip di zaman tersebut terpelihara dan sampai ke zaman kita. Buku tulisan Mohammad Abdullah Enan ini menarik kerana ia memberi satu gambaran tentang bagaimana budaya politik mempengaruhi budaya keilmuan pada zaman dahulu. Juga sosok ilmuan yang kita kagumi sebenarnya bukanlah sosok yang sempurna, mereka adalah produk zaman mereka, dan dipengaruhi oleh pelbagai latar semasa hidupnya.

Tugas Penulis Adalah Untuk Mengalur Sungai Baharu

Saya merasakan ada kalanya manusia melakukan kesilapan dengan merasakan bahawa jika mereka mengetahui dengan banyak bermaksud mereka semakin berilmu. Tidak semua pengetahuan itu sebenarnya ilmu. Tambahan di era limpahan informasi, ada kalanya pengetahuan yang disogokkan kepada kita itu hanya distraction yang tidak berguna. Kebanyakan lambakan informasi itu propaganda algoritma dan juga iklan jualan.

Sebab itu saya mengambil keputusan untuk unfollow beberapa akaun yang tidak bermanfaat, yang sibuk berdebat tetapi masih belum faham definisi debatnya. Ternyata hidup lebih aman, kita boleh memberi fokus pada ilmu yang bermanfaat. Memang kita tidak dituntut untuk tahu semua perkara.

Beberapa hari lalu saya duduk di depan tingkap, melihat Laut China Selatan. Mengosongkan fikiran sekosongnya. Cuba mengamalkan nasihat Eckhart Tolle untuk ‘menutup fikiran’ apabila kita tidak menggunakannya. Sekadar melihat alunan ombak, yang naik dan turun dan botol plastik yang terapung mengikuti ritma ombak. Tenang. Dan kosong.

Kekosongan dan ketenangan sebenarnya merupakan ramuan penting bagi idea. Sebab itu Ibnu Tufail menulis novel perihal solitude dan Ibnu Khaldun mengarang kitabnya dalam solitude. Selain solitude, saya merasakan bahan penting dalam adunan tulisan dan idea adalah kedegilan. Kadangkala orang mengutuk penulis itu ada ‘keegoan’ nya yang tersendiri. Seperti yang dituduhkan kepada Sayyid Qutb. Tapi saya merasakan kedegilan itu adalah istilah yang lebih tepat. Pengarang yang degil, yang tidak mahu mengikuti batasan-batasan yang membosankan, yang berani berfikir di luar kotak yang dipaksakan, yang lebih suka dengan laras bahasanya dari konvensi penguasa, yang berani berbeza meski seluruh dunia mencemuhnya. Penulis ‘degil’ itu akhirnya mencipta alur sungai baharu.

Beberapa zaman berlalu, generasi berubah, alur itu sudah menjadi sungai baharu yang deras. Generasi baharu akan menikmatinya, mengambil manfaat dalam pelayaran ilmu baharu. Penulis tidak dihargai di zamannya itu perkara biasa, kerana bukan itu tugas penulis. Tugas penulis adalah terus setia kepada generasi akan datang.

Tugas mereka adalah mengalur sungai baharu.

Koleksi Fikir: Dunia Yang Bersambung Ketika Diwali

Pada 20 Oktober 2025, saya berjaya menghabiskan bacaan saya perihal sebuah buku. Habis baca buku tersebut saya mahu update di Goodreads, tetapi asyik tidak boleh dan saya mendapat error message. Keesokan harinya baru saya membaca berita bahawa hari sebelumnya terjadi global outage kepada servis AWS Amazon. Saya merasakan outage ini mungkin ada kena mengena dengan sambutan Diwali di India sebab biasanya banyak pekerja tech big company biasa buat offshoring services ke India, kebanyakan data center juga di sana. Ini menunjukkan bagaimana sebenarnya dunia ini bersifat inter-connected, satu bahagian dunia bercuti, bahagian lain terus mula outage.

Sabtu, 11 Oktober 2025

Manusia Memilih Buku Kerana Nostalgia

Pada zaman dahulu, ketika eBook dan Kindle mula muncul di pasaran, ramai penganalisis yang menyatakan bahawa buku fizikal akan menjadi tidak relevan. Saya masih ingat perbualan saya dengan CEO syarikat pertama saya bekerja, apabila bersembang perihal buku, beliau menyarankan saya mendapatkan peranti Kindle. Katanya:

"Dalam gelap tak ada lampu, malam-malam pun boleh membaca"

Tapi tetap saya tidak tertarik untuk mendapatkannya. Saya juga bukan seorang kolektor, saya tidak berminat mengumpul buku, saya biasanya hanya akan membeli buku yang saya mahu baca, bukan beli untuk disimpan dan dijadikan koleksi. Namun selepas habis membaca, saya akan jadi sentimental dengan buku tersebut, tidak mahu menjualnya.

Bagi saya yang menarik perihal buku fizikal bukan bau aroma buku baharu atau perkara-perkara lain yang cliche tentang buku fizikal. Tetapi buku fizikal yang saya baca biasanya menjadi sebahagian dari memori dan kenangan hidup saya. Saya biasanya akan membawa buku-buku yang sedang saya baca ke mana-mana. Jadi buku tersebut sudah sinonim dengan fasa-fasa kehidupan.

Ada buku yang saya baca ketika sedang struggle di alam pekerjaan, ada buku yang saya baca sambil tidurkan anak yang pada ketika mereka masih bayi, ada buku yang saya baca masa tengah depresi. Jadi buku tersebut bukan konten dalamannya yang saya hargai. Tetapi buku tersebut sudah menjadi sebahagian dari nostalgia. Ada buku-buku lama yang disimpan, jika saya lihatnya semula di almari, mengembalikan nostalgia lama.

Mungkin sebab itulah saya suka kepada buku-buku fizikal. Selain dari nilai ergonomiknya, bagi saya, buku-buku tersebut juga adalah sebahagian dari nostalgia. Ada masa hidup terasa sesak, merenung buku-buku lama sedikit sebanyak menyuntik semangat keremajaan. Meniupkan semula semangat ingin tahu, ingin meneroka, dan ingin membaca seribu tahun lagi.

Mengapa Idea Politik Islam Sering Dituduh Radikal?

Kadang saya berasa canggung dengan orang yang mendakwa bahawa diri mereka sekular tetapi asyik berkata tentang sosok seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy yang membawa idea politik Islam dalam perjuangan kebangsaan Melayu. Idea politik Islam Dr. Burhanuddin ini sukar disangkal kerana beliau sudah mengabadikannya dalam tulisan falsafah kebangsaannya.

Sebahagian manusia menafsirkan bahawa jika kita menyatakan bahawa politik sebahagian dari agama, kita bersifat takfiri, mencampur aduk hal fiqah ke dalam aqidah dan sebagainya. Walhal, dalam sejarah bangsa kita sendiri, idea inilah yang diperjuangkan oleh banyak pejuang nasionalis kita sendiri. Mereka faham Islam bukan sekadar ibadah ritual. Tetapi juga politik, ekonomi, pendidikan. Sebab itu kita mempunyai tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir yang cuba membina pelbagai platform ekonomi, politik dan sosial di Il Ihya Al-Syarif. Namun beliau segera dibanteras British, malah ditohmah oleh bangsanya sendiri sebagai “bahaya dari gunung”.

Perjuangan Kaum Muda di tanah kita ini sebenarnya berjaya, dan subur, meski pun akan dinafi oleh golongan pembenci yang berjiwa sekular. Mereka berjaya melahirkan masyarakat baharu yang akrab dengan Islam, yang berfikiran kritikal, dan tidak hanya menelan budaya sekular Barat yang korup dan bersifat jahiyah itu.

Idea sekular di tanah air kita ini sebenarnya tandus, kerana itu golongan sekular akhirnya terpaksa mengangkat pemimpin Islam juga sebagai ikon tokoh perjuangan, bercakap tentang Kaum Muda dalam hal pemikiran. Kaum Muda adalah golongan yang bercakap tentang politik adalah sebahagian dari agama. Tidak wajar ditinggalkan sehingga umat dipimpin oleh golongan yang berideologi jahiliyah.

Saya melihat tokoh-tokoh Islam begitu sifatnya. Ketika hidup mereka ditohmah. Seperti Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor, apabila mereka meninggalkan kita mereka dianggap sebagai tokoh. Begitu juga Dr. Burhanuddin al-Helmy yang meringkuk di dalam penjara hingga ke hujung usia oleh pemerintah bangsanya sendiri. Namun apabila beliau meninggal dunia, kisahnya diangkat, namanya dijulang. Seolah-olah kita hanya mahu menyanjung pejuang kita dalam sejarah, perjuangan Islam itu hanya dihargai apabila mereka sudah menjadi sejarah. Bagi saya kita perlu mengubah cara fikir ini, pemimpin yang ikhlas sedia ada perlu kita hargai, selagi nyawa dikandung badan mereka.

Apabila kita mengatakan bahawa politik itu sebahagian dari Islam, mereka yang berfikiran sekular, golongan neo-orientalis, tidak dapat menerima idea ini. Bagi mereka kita menuduh orang lain sebagai tidak betul agamanya atau sesat akidah pemikirannya. Walhal kita hanya menerima idea Islam yang wadih, yang benar, yang syumul dan menyeluruh, tidak memisahkan agama dari mana-mana juzuk kehidupan.

Memilih fikiran Islam berbentuk gerakan/harakiyah tidak bermakna kita tidak boleh bersifat sufi dari segi ibadah dan kerohanian, atau menerima pandangan salafiyah dari segi akidah ketuhanan. Itu adalah pemikiran sekular orientalis yang memisah-misahkan agama. Hakikatnya Islam itu menyeluruh, kita tidak bermasalah dengan idea politik dalam masa yang sama bersifat sufi dan abid dalam ibadah, kita tidak melihat apa-apa pemisahan. Bagi kita Islam adalah Islam, tiada pemisahan Islam sufi, Islam haraki, Islam sosialis, atau apa pun idea sekular orientalis seperti yang ditulis.

Jika benar Islam itu tidak menyentuh politik, maka pendahulu kita tidak akan menubuhkan seribu satu gerakan. Dari parti hingga empayar. Khazanah politik Islam itu begitu kaya, luas dan mendalam. Maka tidak harus kita menyempitkan fikiran kita dengan kalam-kalam sekular orientalis yang terus mahu kita lemah dan diperintah.

Koleksi Fikir: Hadiah Nobel Sebagai Alat Imperialisme


Saya tidak pernah tertarik dengan hadiah Nobel, ia hanya alat untuk mengukuhkan imperialisme. Hanya mereka yang berjiwa hamba sahaja merasakan kita perlu diiktiraf oleh golongan imperialis untuk dikatakan mempunyai "pencapaian" tidak kira dalam bidang apa pun. Hakikatnya kita boleh sahaja berjaya tanpa perlu menunggu pengiktirafan daripada alat-alat imperialis. Bayangkan penjenayah yang membunuh manusia tidak berdosa di Palestin seperti Shimon Peres pun diberi hadiah Nobel keamanan? 

Maka tidak hairanlah hadiah Nobel pada 2025 diberikan kepada agen CIA, Maria Machado untuk menjatuhkan kerajaan yang sah di Venezuela. Machado adalah penyokong tegar parti genosida Israel iaitu Parti Likud, beliau juga pernah bersama fasis lain seperti Geert Wilders dan Marie Le Pen. 

Bantahan dari CAIR National kepada penganugerahan nobel kepada penyokong genosida.

Mereka yang berjiwa hamba sahaja terhegeh-hegeh perihal hadiah Nobel ini. Bagi saya orang yang paling tidak cerdik adalah orang yang berkata "Orang Islam itu mundur, tengok hadiah Nobel pun tak pernah dapat, padahal Yahudi dapat banyak hadiah Nobel". Bila saya nampak sahaja kata-kata macam itu, saya tahu orang itu berjiwa hamba, dan dia sedang berada dipuncak kebodohan.

Ahad, 5 Oktober 2025

Penulisan Adalah Seni yang Dikandung di Dalam Sepi

Apabila kita menulis sesuatu, kadang kala ada orang merasakan kita mahu tunjuk pandai atau kita mahu memperlihatkan bahawa kita mempunyai ilmu yang banyak. Walhal kita hanya mencatat apa yang kita fikir, kita tidak pun merasakan tulisan kita itu mempunyai autoriti ilmu, tetapi sekadar anekdot lintasan fikir yang ingin direkodkan.

Tulisan yang keluar juga mungkin kemudian akan mengalir ke dalam ranah kritikan dan perdebatan hingga membuatkan orang menyangka bahawa penulis itu seorang yang suka bercakap dan berdebat. Suka ke depan mempamerkan dirinya. Bagi saya secara peribadi penulisan bukanlah menggambarkan itu semua. Penulis sering dinilai apabila penulisannya telah keluar, gegak gempita perdebatan yang berlangsung selepasnya. Jarang sekali penulis itu dinilai pada fasa sebelum tulisannya itu keluar, walhal, itulah masa yang banyak dihabiskannya, membaca, termenung, dan meninta sedikit fikir.

Bagi saya penulisan itu adalah sebuah seni yang dikandung dalam sepi. Itulah saat-saat yang lebih saya hargai, saat dapat larut di dalam bacaan, berlayar dalam tulisan, dan ranum dalam renungan. Proses-proses itu semuanya dikandung dalam sepi. Jauh dari jerit pekik komen manusia. Pada saya keseronokan penulisan tetap di situ, satu proses menikmati sepi. Apa pun ribut kontroversi yang keluar selepas penulisan itu keluar, ia tetap tidak dapat memadamkan nikmatnya kesepian itu. Dan sesudah ribut itu berlalu pergi, proses itu akan kembali dapat dinikmati.

Khamis, 2 Oktober 2025

Koleksi Fikir: Global Sumud Flotilla

Hari ini 02/10/2025, Global Sumud Flotilla yang cuba memecahkan sekatan haram penjajahan Israel ke atas Gaza telah dirompak secara haram oleh penjenayah zionis yang sedang melakukan jenayah genosida di Gaza. Beberapa aktivis Malaysia turut diculik. Rompakan haram ini telah mencetuskan siri demonstrasi dan rusuhan di beberapa negara dunia. Ini mengingatkan saya tentang apa yang ditulis sebagai "The coming revolts of the guards", ia adalah chapter di dalam buku tulisan Howard Zinn yang paling saya minati. 

Menurut Zinn, semua sistem mempunyai pengawalnya. Termasuklah sistem-sistem jahiliyah yang pelbagai itu. Sistem itu hanya bertahan kerana pengawal-pengawalnya masih mengawal sang thoghut. Tetapi pengawal-pengawal itu juga manusia. Akan sampai satu ketika dia akan dipaksa membuat suatu aksi yang kejam untuk mempertahankan sistem yang korup itu, dan hatinya akan melawan perbuatannya itu. Akan sampai masa angin bertiup dan hatinya berubah. Sang pengawal akan mempersoalkan mengapa dia harus menzalimi bangsanya sendiri? Mengapa mereka harus menzalimi anak-anak kecil?

That flip.

Will spark the revolts among the guards, and the system will melt like butter. So sails on, keep on struggling. The wind will blow, dan kita akan melihat genosida ini berhenti, dan Palestina akan merdeka. Ayuh kita teruskan solidariti!

Sabtu, 27 September 2025

Koleksi Fikir: Idea Masyarakat Jahiliyah Sayyid Qutb

 

Apabila kita kata pemerintahan yang ada ini kebanyakannya thoghut, kita dituduh kononnya kita ini membawa pemikiran takfiri. Tapi dunia jelas melihat yang bersama-sama dengan penjenayah membunuh umat Islam hari-hari adalah pemimpin Islam dan Arab. Maka analisis Sayyid Qutb tidaklah jauh tersasar, sistem yang ada dan pemerintahannya adalah sistem jahiliyah.



Kenapa Pengiktirafan Palestin Oleh Pihak Kolonial Adalah Penipuan?

Ketika Israel memulakan Operasi Gideon Chariot-2 untuk memusnahkan Gaza City dalam operasi jenayah genosidanya pada bulan September 2025, negara-negara kolonial seperti Perancis, Britain, Australia, dan Canada mengumumkan mereka mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Mengapa ini sebenarnya hanya helah kolonial?

Pertama, Palestin tetap milik peribumi, ia tidak perlu pengiktirafan dari tangan-tangan kolonial yang dipenuhi darah. Mereka tiada hak meminta peribumi memecahkan bumi mereka kepada dua, tiga, empat atau berapa pun.

Kedua, siapa yang dengar pengumuman penjenayah seperti Starmer dan Macron, dia akan faham bahawa ucapannya itu adalah ucapan kolonial pekat dan tebal. Dalam ucapan tersebut, walaupun perihal Palestin, dipenuhi dengan pengabsahan projek kolonial Zionis, malah siapa yang tidak faham konteks mungkin akan ingat ucapan itu adalah untuk mengiktiraf negara kolonial Zionis. Pengumuman tersebut dibuat bagi memperlihatkan seolah-olah ada dua negara, walhal satu lagi adalah projek kolonial yang tidak sah disisi undang-undang dan moral.

Ketiga, pengiktirafan ini hanyalah distraction untuk mengalihkan pandangan populasi domestik Eropah kononnya kuasa-kuasa kolonial ini menyokong peribumi. Mulut mereka mengiktiraf negara Palestin, tetapi tangan mereka terus menghulur bom untuk membunuh anak-anak Palestin. Langkah sebenar sepatutnya adalah menghentikan bekalan senjata dan kuatkuasa sekatan maksimum pada penjenayah genosida. Kuasa kolonial ini sedar, rakyatnya tidak senang dengan jenayah genosida mereka, di Itali sekarang berlaku rusuhan besar-besaran protes perang kolonial Barat ke atas Palestin. Oleh itu, mereka harus wujudkan sebuah wayang untuk alih perhatian. UK tidak pernah berhenti bekalkan spare part jet F35 untuk bom anak-anak Gaza sampai ke saat ini. Perancis juga tidak mahu iktiraf jenayah kolonial mereka sebagai genosida. Dalam kata lain, ini adalah langkah untuk kurangkan tekanan domestik dan antarabangsa bagi membolehkan jenayah genosida terus berlangsung.

Keempat, kita bukan mahu menafikan kemenangan kecil Palestin. Cuma kaum peribumi kena bijak membaca permainan kolonial. Kita sudah dijajah selama beratus tahun, jangan tersilau dengan kesilapan yang sama berulang-ulang.

Rakaman video saya menerangkan perkara ini.

Membaca Dokumen Sebagai Sumber Sejarah Yang Belum Ditafsir

Apabila mula membuat kajian sejarah, baru saya merasakan benar-benar kesukarannya, kadang kala terpaksa menghabiskan dua tiga hari membaca satu dokumen dengan ketebalan 400 muka surat tetapi hanya ada satu dua ayat sahaja yang relevan dengan kajian yang dilakukan. Memang pedih, tapi itulah disiplinnya, maka perlu dilalui dengan sabar.

Membaca dokumen tidak sama dengan membaca buku, sebab buku sudah memilih bahagian yang relevan, jadi kita tidak perlu membaca bahagian yang tidak relevan. Tambah pula jika buku tersebut sudah menyusun naratif, maka pembacaan akan lebih senang dan terarah kepada satu konklusi. Bagi yang tidak membaca sumber asal, mereka mungkin ingat bahawa satu konklusi itu sahaja yang wujud. Hakikatnya mereka membaca tulisan yang sudah dipilih, disaring, dan dipermudah. Sebab itu ia tidak dianggap sumber primer dalam kajian sejarah.

Walau pun susah, sebenarnya membaca dokumen ada kalanya sangat menarik, kita akan jumpa macam-macam perkara yang kita tidak akan jumpa di dalam buku. Mungkin itu sebabnya para ahli sejarah seolah dirasuk untuk menghabiskan umur hidupnya membaca dokumen-dokumen ini. Banyak sudut yang berbeza dan tidak dizahir oleh naratif sedia ada. Namun jalannya sukar dan panjang, tidak semua orang mahu dan mampu duduk bertapa menyelak ribuan muka surat dokumen.

Isnin, 15 September 2025

Melawan Tangan Besi Yang Berkarat

Pada 12 September 2025, hujan menyimbahi bumi Sungai Petani, saya terasa aman dan dingin. Dingin itu merupakan kurniaan Allah yang sangat besar, membuatkan kita selesa untuk termenung dan berfikir. Renungan dingin ini membawa saya teringat akan kalam guru saya. 

Satu ketika, guru saya berkata kepada saya, sejarah yang ditulis oleh pena sejarawan yang ada perjuangan itu paling menarik untuk dibaca. Beliau memuji tulisan beberapa lawannya, baginya walaupun beliau tidak bersetuju dengan naratif mereka, tulisan mereka itu tetap enak dibaca kerana adanya elemen perjuangan. Kalam ini masuk meresap dalam hati saya, juga ke dalam benak pemikiran saya.

Saya merasakan mungkin itulah sebabnya tulisan mereka yang berjuang seperti Sayyid Qutb itu enak dibaca, kerana elemen perjuangannya sentiasa memberi nilai kepada jiwa manusia. Walaupun dituduh aties, komunis, sosialis, radikal, teroris, takfiri dan lain-lain. Tetap tidak terpadam tulisan beliau. Di baca kawan dan lawan. Sehingga hari ini namanya ditulis dan dibincangkan. Hatta orang yang mengatakan bahawa pembaca Sayyid Qutb itu duduk dalam “sarang pembodohan” pun menganjurkan forum tentang Sayyid Qutb. Begitu sekali tidak dapat dielakkan pemikiran beliau.

Sebenarnya bukan Sayyid Qutb sahaja. Tokoh lain pun begitu juga. Mandela misalnya, orang mencari Long Walk to Freedom untuk merasai elemen perjuangannya. Di Tanah Melayu sendiri, tulisan Dr. Burhanuddin al-Helmy enak dibaca kerana elemen perjuangannya, walaupun terpaksa meringkuk di dalam penjara, beliau setia pada perjuangannya. Elemen perjuangan pada batang tubuh Ustaz Sayyid Qutb itu yang menyebabkan beliau masih dibincangkan setelah 59 tahun beliau shahid.

Penulis yang tiada elemen perjuangan sentiasa tidak menarik dan membosankan. Sebab itu setiap hari dia terpaksa memuji diri sendiri di media sosial untuk kelihatan relevan. “Aku tak shallow, aku berjaya baca buku satu malam, aku lain dari yang lain, aku jual buku kepada perpustakaan”. Mungkin dia rasa dirinya hebat apabila berjaya memuji diri sendiri, namun dia tidak sedar, hari-hari puji diri sendiri hanya menyebabkan dirinya semakin tidak relevan.

Teringat saya kata-kata guru saya:

“Dunia ini akan terasa sempit, jika kita rasakan semuanya pasal diri kita sahaja”.

Sebaliknya jika kita merasa kita hanya sebahagian kecil dari perjuangan yang panjang. Kita akan merasa bahawa dunia itu besar. Itulah sebabnya Sayyid Qutb tersenyum apabila Nasir memberinya tali gantung, beliau sedar, dunia itu besar. Dan beliau benar. Walaupun kita dicaci, difitnah, dilabel, hatta dibunuh sekali pun, kita sedar bahawa perjuangan itu akan terus bersambung. Kita hanya mata rantai kecil dalam sejarah perjuangan yang panjang. Apa pun mehnah dan tribulasi, bak kata Ustaz Abu Ammar, kita tidak akan berasa kalah atau sempit, kerana kita sedar, ia hanya gerhana sebentar, bukan tenggelamnya matahari.

Siapa yang membaca biografi dan kisah hidup Sayyid Qutb, dia akan menjumpai bahawa beliau sepanjang hidupnya dituduh dengan pelbagai gelaran, bukan sekadar sosialis dan komunis, ada yang menuduh beliau ateis. Hari ini, orientalis dan neo-orientalis menuduh beliau dengan pelbagai gelaran buruk lagi seperti radikalisme dan terrorisme. Bagi musuhnya, membunuh beliau tidak cukup, ideanya juga perlu dibunuh. Tapi satu tuduhan yang saya tak pernah jumpa dilemparkan kepada Sayyid Qutb - pengecut. Ya, tiada siapa pernah menuduh beliau sebagai pengecut kerana beliau bukan penulis biasa. Sayyid Qutb tidak menulis buku untuk jual buku supaya orang beli dan dia dapat duit, beliau bukan penulis cari makan.

Ada satu kata-kata beliau yang sampai hari ini melekat dalam hati saya. Saya sebenarnya hendak menyimpannya, mungkin dijadikan sebagai tajuk buku saya di masa hadapan. Tetapi saya rasa saya terlalu sibuk, mungkin cita-cita menulis buku itu tidak akan terlaksana. Jadi baiklah saya berkongsi sahaja. Saya berterima kasih kepada Ustaz Darus Senawi Ali yang telah menterjemahkan biografi Sayyid Qutb, Ustaz Darus memang orang sastera Arab, jadi terjemahannya sangat enak dibaca.

Semasa Sayyid masih muda, perdana menteri Muhammad Mahmoud Pasya mengishtiharkan bahawa sesiapa yang berani menimbulkan kekacauan akan dihancurkan dengan tangan besi. Sayyid Qutb lantas menulis artikel dan berkata:

"Wahai manusia bertangan besi, kalau kamu mencari tangan besi kamu itu, nah kamu dapatinya sudah pun berkarat dan tidak berguna!".

Sayyid Qutb telah dipanggil ke kementerian. Apabila beliau masuk ke pejabat, Mahmoud Pasya terkejut melihat seorang yang sangat muda. Beliau bertanya adakah kamu penulisnya? Sayyid Qutb menjawab:

"Ya". 

Perdana menteri bertanya mengapa bahasamu begini keras? Jawab beliau:

"Itulah apa yang saya pegang".

Saya merasakan sebab mengapa tulisan Sayyid Qutb tersebar ke seluruh pelusuk dunia, dibaca oleh jutaan manusia, menyentuh begitu banyak hati, adalah kerana dia penulis yang berani dan menyampaikan kebenaran apa adanya, beliau penulis yang ikhlas yang tidak boleh dibeli. Membaca sejarah hidupnya, kita tidak akan temui perkara lain selain kesetiaan beliau pada idea dan kebenaran, malah tali gantung Nasir pun tidak berjaya mematahkan kesetiaannya. Moga Allah merahmati murabbi umat, ash-Shahid Ustaz Sayyid Qutb.

Khamis, 11 September 2025

Apabila Pengulas Netflix Mahu Usrah Diupdate


Ada ketika dahulu, saya rasa menarik juga beberapa idea sosialisme. Namun kini tidak lagi. Ada yang menulis kononnya silibus usrah perlu diupdate bukan sekadar baca Fathi Yakan dan Sayyid Qutb. Tergelak juga saya baca. Menariknya, semasa hayatnya, Sayyid Qutb selalu digelar sebagai sosialis dan komunis, kerana penanya yang tajam mengkritik pemerintahan kuku besi dan mempertahankan derita rakyat jelata. Pernah satu ketika, dikatakan bahawa Sayyid Qutb dipengaruhi sosialis, penterjemah tafsir Fi Zilail Qur'an, Dr. Adil Salahi ketawa mendengarnya dan mengatakan itu sebenarnya terbalik. Sebenarnya Islam yang mempengaruhi sosialisme, bukan sebaliknya, Islam telah datang sejak 1,400 tahun sedangkan sosialisme terlalu muda, hanya sekitar seratus tahun lebih umurnya.

Begitulah, sebenarnya orang-orang yang suruh silibus usrah diupdate, kononnya usrah sarang pembodohan, mereka bukan banyak membaca pun, bacaannya pun cetek. Sekadar memetik pandangan sini sana dan bukan membaca secara primer. Kerjanya pun sekadar mengulas filem Netflix, sedang Sayyid Qutb sedia menyerahkan nyawanya untuk ideanya. Jadi terlalu jauh sebenarnya jurang antara orang yang mengkritik Sayyid Qutb itu yang hanya bermain media sosial dan mengulas Netflix, saya lihat kalam-kalam karut mereka ini umpama debu di bawah selipar sahaja.