Saya bergegas ke pejabat pagi itu, hasratnya mahu bertolak jam 5 pagi, supaya boleh keluar sedikit awal petang nanti untuk mengambil Amni dari tadikanya. Tapi nampaknya tidak sempat kerana terlebih tidur. Semasa bergegas masuk ke dalam kereta dan mahu memulakan perjalanan sekitar jam 6 pagi, ada kotak hadiah bersama kad ucapan ditinggalkan di tempat duduk kiri oleh isteri tercinta. Oh, hari ini hari lahir 20-an saya yang terakhir.
Bukankah hari ini dibenarkan untuk ber-nostalgia?
Kehidupan - Perjalanan mencari diri
Glowacki menulis didalam bukunya bagaimana kanak-kanak melalui proses 'pengindividuan' apabila dia mula sedar bahawa dia merupakan makhluk unik dan mempunyai diri sendiri. Anak-anak mula membuat keputusan sendiri, walaupun dari kaca mata ibubapa ia adalah sesuatu yang remeh-temeh. Contohnya mahu makan nasi di tengah malam ketika semua orang sudah mahu tidur, atau mahu pakai baju tidur bercorak dinosaur untuk pergi ke kenduri-kendara.
Merenung ke belakang, saya tidak ingat apa-apa secara jelas usia awal saya membesar. Tetapi kadang-kala ketika menyelak album lama, melihat gambar kecil saya makan aiskrim dengan comot di tepi kolam Masjid Negara, saya boleh mengimbas sedikit, meski pun tidak begitu jelas.
Saya masih ingat arwah Opah bercerita tentang pengalamannya hidup di zaman penjajahan Jepun, bagaimana beliau menceritakan beliau bersama keluarga masuk menyorok di dalam parit ketika pesawat Jepun mengebom Malaya. Opah banyak menyimpan duit lama, pada suatu hari raya Opah mengeluarkan plastik berisi duit 50 sen lama, setiap cucu diberi dua keping sebagai duit raya. Pada ketika itu di Changkat Tin masih terdapat nasi lemak yang berharga 30 sen, tetapi perlu dibeli pada awal pagi.
Saya membesar di Kuala Lumpur dimana 12 tahun awal kehidupan saya dihabiskan di Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara, Taman Tasik Titiwangsa, merupakan tempat-tempat biasa yang ibu bawa kami lawati. Walaupun tidak ber-ideologi politik ketika kecil saya duduk berdekatan dengan Markas PAS Taman Melewar dan selalu membeli belah di kedai-kedai yang dibuka bersempena dengan acara atau ceramah yang diadakan. Ketika mereka membuat rumah terbuka, saya juga sering beratur bersama anak-anak lain bersalaman dengan ustaz-ustaz PAS, seingat saya, saya pernah bersalaman dengan Ustaz Fadzil Noor. Saya juga selalu melihat perkataan 'ABU' di-spray dimerata tempat di sekitar KL, namun saya tidak tahu maksudnya, hinggalah saya dewasa, baru saya ketahui ia adalah acronym untuk Asalkan-Bukan-UMNO.
Hidup dalam perjalanan
Apabila saya melangkah ke tingkatan satu, ia merupakan satu anjakan besar, ia adalah titik masa yang menandakan bahawa saya tidak lagi hidup di rumah, tetapi hidup dalam perjalanan. Saya masih ingat ketika kali pertama dihantar oleh ibu dan ayah ke asrama di Perlis, saya duduk di kantin - tidak menangis - merenung jauh ke tanah di bawah, permandangan padang, dewan makan, blok aspura dan aspuri, rumah sampah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, hari pertama saya memulakan persekolahan di asrama MATRI.
Selepas itu hidup saya bersama rakan-rakan, yang kebanyakannya menjadi sahamat akrab hingga ke hari ini. Cuti-cuti singkat biasanya saya habiskan di rumah sahabat-sahabat di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, cuma cuti panjang saya menaiki bas Transnasional balik ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat kali pertama menaiki bas pulang, saya tidak dapat tidur, dari malam itu di Kangar sehinggalah sampai di Hentian Pudu. Balik ke KL pun saya akan keluar bersama kawan-kawan, atau ke program dan perkhemahan bersama sahabat-sahabat.
Kali terakhir pulang ke Kuala Lumpur dari Arau setelah tamat SPM , saya menaiki kereta api, walaupun kereta api memakan masa yang lebih lama, 12 jam berbanding 8 jam menaiki bas, tetapi kereta apai mempunyai nostalgianya sendiri. Saya masih ingat antara gerabak terdapat ruang kecil yang mempunyai pintu, perjalanan pulang kali terakhir, saya duduk di tepi pintu yang kami buka, bersama sahabat karibku Abu Asri. Di kala kereta api bergerak, kami menikmati permandangan sawah padi dari Perlis hingga ke Kedah. Kadang kala perasaan rindu hinggap di hujung hati ku, Abu kini sudah tiada, sudah dipanggil Tuhan.
Merenung tingkap bersalji
Tingkap asrama Stachek 111 merupakan tempat kegemaran saya merenung salji yang menyimbah bumi Leningrad. Tidak pernah ke sekolah kebangsaan atau asrama elit, saya merupakan antara pelajar yang bertuah diterima melanjutkan pelajaran dengan biasiswa di bumi revolusi Russia. Saya selalu menaiki keretapi ke Moscow setiap bulan bagi menghadiri program pelajar, program persatuan, dan program kedutaan. Pernah satu ketika saya menulis "terasa seluruh hidupku dihabiskan diatas kereta api".
Tingkap di dalam kereta api di Russia juga cantik dan menggamit jiwa, ketika musim salji kita boleh melihat kawasan perdalaman yang dipanggil Dacha, dengan rumah-rumah kampung yang dilitupi salji. Russia nampak bersih ketika musim sejuk, dengan semua manusia menutup aurat. Apabila salji mula cair, puntung-puntung rokok yang menyorok dibawah timbunan salji mula keluar.
Sehingga ke hari ini
Mungkin disebabkan jiwaku yang suka merenung tingkap dari kecil, sehingga hari ini aku masih berharian menaiki bas. Dahulu untuk belajar, hari ini untuk bekerja. Namun sekarang perenungan aku lebih cantik, hendak ke Pulau Pinang perlu menyeberangi laut, jadi setiap hari Tuhan memberi aku peluang untuk termenung melihat ombak, burung, juga kapal-kapal berlabuh.
Hari ini aku sudah tiada lagi Opah dan Abu, tapi aku masih punya ayah dan ibu, kini aku punya isteri dan dua anak kecil. Pastinya merenung nostalgia merupakan sesuatu yang manis, sepedih mana pun memori lalu kita boleh melihatnya semula dan tersenyum. Tiba masa untuk kita tinggalkan nostalgia dan memori, untuk hidup pada hari ini. Menyayangi orang yang kita masih ada, menikmati kurnia Tuhan Maha Mulia.
Walaupun aku bakal meninggalkan hidupku di zaman 20-an, aku gamit nostalgia dan kenangannya. Atas kehidupan, aku bersyukur, oh Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan