Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga. |
Sewaktu
kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang
banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam
suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah
dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu
terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat
menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.
Petang
itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay
sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang
ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.
Sekitar
jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku
pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali
cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh
bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu
ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian
Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan
panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula
ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.
Aku
tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan
memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas
ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak
lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi
yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir
dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.
Sebagai
anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam
ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam
album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang
apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari
yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang
melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.
Apabila
sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang
aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang
telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku
tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai
bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah
berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir,
aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal
Ayah, Assalamualaikum".
Sekitar
jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan
nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa
anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan
sebelum mengharungi ribut esok hari.
Pagi
esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur,
kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah.
"Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil
meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti
berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat
tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan
ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti
tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai
emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang
membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2
ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami
menghantarnya pulang.
Ketika
sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak
melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan
tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya,
kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada
gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal
ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali
terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya
buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah
bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.
Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128. |
Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.
Aku
tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan
hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar,
kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih
bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah
sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah
kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.
Syed
Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30
April 1959 – 29 Febuari 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan