Isnin, 16 November 2020

Gerimis Malam: Mengapa Masih Disini?



Malam itu hujan renyai-renyai, hujan lebat telah berlalu, kini yang tinggal hanya gerimis di malam hari. Kedai makan tempat dijanjikan untuk berjumpa sudah tutup, mungkin kerana tempat yang agak tersorok menyebabkan lokasi kedai ini tidak strategik. Saya menunggu di dalam kereta sambil dilimpahi lampu neon jalan. Kelihatan sebuah kereta tiba, kemudian berpusing, dan datang lagi. Ahh mungkin mereka merasakan mereka sesat kerana kedai yang dilihat di alam maya tidak ada. Saya mengeluarkan talifon, memberitahu bahawa kedai makan yang dijanjikan itu telah berpindah, dan mencadangkan tempat perjumpaan diubah ke kedai ikan bakar bersebelahan kedai tersebut, di sebelah sungai. Mereka setuju.

Kelihatan dua anak muda keluar dari kereta dan bergegas ke kedai ikan bakar, seorang darinya memegang senaskah buku di tangannya. Saya pun keluar dan mengekori mereka. Malam itu kami bersembang panjang, perihal masalah-masalah pemikiran yang ada dalam pergerakan Islam. Perihal retorik yang tidak sesuai dengan waqi'e setempat, peromantikan sejarah lampau, kebekuan dalam cara program-program diatur. Panjang diskusi itu, melarut seiring larutnya malam.

"Lantas, melihatkan permasalahan-permasalahan ini, relevankah lagi kita berada dalam pergerakan ini?" soal salah seorang dari anak muda tersebut. Soalannya ikhlas, dari riak wajahnya saya dapati mungkin dia sekarang dalam transisi pergelutan idea di dalam minda, dalam proses membentuk pemikiran. Saya memberi jawapan bahawa faktor keluarga merupakan faktor mengapa saya masih setia dalam pergerakan, kerana bagi saya pergerakan ini sudah sebati menjadi keluarga saya. Ia adalah lanjutan apa yang dibina oleh ibu ayah saya, dan tidak pantas bagi saya untuk meninggalkan mereka, mengecewakan mereka, meski saya kira ada percanggahan pemikiran dalam gerakan ini.

Setelah perjumpaan tersebut tamat, dan kami masing-masing membelah malam pulang ke rumah masing-masing, soalan tersebut tetap bermain-main dalam fikiran saya. Seolah-olah jawapan yang saya berikan itu tidak benar-benar memuaskan hati saya sendiri. Saya berfikir tentang soalan itu dengan dalam, dengan lama, dengan mendasar. Dan tinta saya kali ini adalah untuk merakamkan sambungan pemikiran saya, jawapan terhadap soalan tersebut.

Bagi saya gerakan ini masih relevan. Kerana meski pun saya merasakan ada beberapa pemikiran yang tidak saya persetujui, tetapi bagi saya ia tidak cukup kuat untuk mengeluarkan saya. Kerana pada hemat saya tidak semua perkara boleh dipelajari dari buku atau melalui kiat-kiat pemikiran intelektual sahaja. Tetapi pengalaman berada dalam pergerakan itu merupakan satu ilmu yang juga berharga, ia tidak boleh didapati di helaian-helaian muka surat. Pergelutan dengan manusia dalam organisasi mengajar kematangan, mengajar kita cara mengurus manusia, mengajar kita soal keragaman manusia, cara berdiplomasi, juga cara bergerak dalam organisasi. Semua ini adalah ilmu praktikal yang tidak bisa didapati dalam arena intelektual.

Saya juga selesa berada dalam pergerakan ini. Saya sedar saya boleh menyertai pergerakan lain atau memulakan pergerakan sendiri, tetapi saya juga sedar bahawa saya tidak akan merasai perasaan yang sama. Ibarat kita pergi berjaulah, kita tinggal di hotel, semuanya kemas dan indah, namun kita tetap tidak merasakan bahawa kita di rumah kita sendiri. Apabila kita pulang kita berasa lega, rasa selamat, rasa disinilah tempat kita, this is where we belong. Dalam kehidupan ini, semakin tua semakin sedikit kawan baharu yang akan kita temui, sahabat yang saya sudah menjalinkan ukhuwwah dalam gerakan ini terlalu ramai, terlalu mesra, terlalu akrab, saya tidak fikir saya akan mampu menjumpai permata seperti mereka di tempat lain.

Tulisan ini diharap tidak dilihat sebagai didaktik, atau merupakan satu ancaman untuk tidak mencuba pergerakan baru, bukan kongkongan untuk bebas meneroka, sebaliknya ia adalah jawapan-jawapan peribadi saya, alasan-alasan saya sendiri. Tentu sahaja orang lain boleh membuat pilihan mereka sendiri berdasarkan kefahaman mereka, perasaan mereka, juga pemikiran mereka.

Antara sebab lain saya masih disini adalah kerana saya merasakan gerakan ini, meskipun ada cacat celanya, ia sudah mempunyai pengalaman yang lama, sekurang-kurangnya lebih lama dari umur saya sendiri. Jadi untuk berpecah dan bermula semula sendiri merupakan satu kerugian. Ia sudah matang dalam beberapa perkara yang membolehkan kita menyumbang tenaga pada masyarakat. Sumbangan yang tak bisa kita lakukan andai kita bergerak sendiri.

Saya ada menyaksikan sepanjang hayat saya, anak-anak muda yang bersemangat, mereka pantas meninggalkan pergerakan yang tidak mampu mengikuti kelajuan semangat mereka, namun setelah sekian lama semangat mereka pudar, mereka sedar bahawa dengan semangat yang idealistik itu tak mampu mengubah dunia yang realistik, namun untuk berpatah semua mereka terasa segan. Ya, kita punya semangat yang membara, banyak benda yang kita rasa tidak betul, tetapi semangat tanpa strategi adalah sebilah pedang yang tumpul.

Apabila keluar, nasihat dan pandangan kita terhadap ahli gerakan akan dianggap sebagai pandangan luar, biar pun kita punya semangat, idea kita tidak akan disambut. Jadi ia adalah strategi yang salah. Saya merasakan kita perlu melakukannya dari dalam, bertahap, dan berstrategi. Perubahan dari dalam secara perlahan-lahan adalah perubahan organik yang bernafas panjang, ia lebih baik dari revolusi yang menatijahkan kejayaan singkat namun tidak bertahan lama, roboh kerana tiadanya foundasi organik.

Akhir sekali saya merasakan bahawa setiap pergerakan mempunyai masalah-masalahnya. Kita mungkin nampak pergerakan lain sempurna kerana kita tidak duduk didalamnya, jadi kita tidak tahu masalah mereka. Jadi meninggalkan pergerakan yang ada untuk mencari pergerakan yang sempurna bagi saya adalah seperti mengejar fatamorgana, akhirnya kita penat tanpa dapat mencapai apa-apa. Pergerakan Islam bukan milik mana-mana individu secara peribadi, ia adalah milik ummat, dan selagi kita tergolong dalam ummat ini kita adalah sebahagian dari pemiliknya. Sudah pasti manusia mempunyai cara fikir yang berbeza-beza, untuk menjadikan pemikiran semua ahli seratus peratus sama adalah satu kemustahilan, oleh itu perbezaan pemikiran hendaklah difahami sebagai sesuatu yang natural, sunnatullah dalam mana-mana pergerakan manusia.

Akhirnya kita akan pulang bertemu Tuhan. Mahu atau tidak mahu, percaya atau tidak percaya, kita semua akan binasa. Oleh itu masa yang kita ada perlulah diisi dengan amalan-amalan, sebagai bekal untuk ke alam seberang. Tidak salah berfikir atau berbeza pemikiran, yang salah mungkin jika kita tinggalkan medan amalan.

Tiada ulasan: