Jumaat, 25 Jun 2021

Manuskrip "Dua Sayap Ilmu"



Pada 21 Jun 2021 akhirnya saya selamat menyerahkan manuskrip buku baharu yang bertajuk "Dua Sayap Ilmu" kepada penerbit. Sebenarnya ini penerbit kedua saya hantar manuskrip yang sama, penerbit pertama agak sibuk jadi saya ambil keputusan untuk menukar penerbit kerana saya bercadang manuskrip ini diterbitkan pada tahun ini.

Ini mungkin buku terakhir bagi tahun ini. Tahun ini saya lebih fokus menyiapkan buku-buku untuk rekod peribadi. Buku pertama tahun ini adalah catatan pengalaman mendaki Gunung Tahan pada tahun 2014 yang bertajuk Gunung Tahan Hiking Log. Buku ini sebenarnya sudah lama ada dalam bentuk PDF, dan pada tahun lepas, semasa awal Covid-19 merebak, ada perancangan untuk mendaki Gunung Tahan kali ke-2, namun keadaan tidak mengizinkan. Jadi tenaga yang tidak jadi digunakan untuk mendaki dialirkan untuk menyunting dan menerbitkan catatan pendakian lama. Selain rekod peribadi, moga ia juga dapat dirujuk pendaki akan datang, juga sebagai cebisan sejarah Gunung Tahan yang mana kami menjadi sebahagian dari ceritanya.

Buku kedua pula adalah catatan nota di sekolah bertajuk Catatan Ijtima' Am MATRI: Dari Tahun 2003 Hingga 2007. Juga bersifat peribadi. Buku ini antara lain merupakan projek untuk menyimpan sejarah sekolah. Asalnya sekadar mahu dijadikan rekod peribadi dan rekod perpustakaan, tetapi mungkin sekolah yang terpencil di Perlis ini mempunyai nilai sentimental yang sangat kuat. Buku kedua ini banyak dipesan oleh alumni-alumni sekolah dan juga ibubapa alumni sekolah, sehingga terpaksa dicetak beberapa kali. Malah jumlah cetakannya juga jauh lebih banyak dari buku-buku yang pernah saya terbitkan secara kecil-kecilan, sungguh diluar jangkaan.

Buku "Dua Sayap Ilmu" ini mungkin satu-satunya buku yang mempunyai nilai komersil untuk bacaan umum pada tahun ini yang bukan bersifat peribadi. Buku ini merupakan kumpulan esei, renungan, juga pengalaman terhadap dua aktiviti yang sangat mengujakan. Dua aktiviti ini adalah sayap yang menerbangkan ilmu zaman-berzaman. Memastikan khazanah pemikiran silap dapat dihirup kesegarannya oleh generasi hari ini. Dua sayap ini adalah membaca dan menulis. Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang. 

Buku ini banyak kali berevolusi, kerana selagi belum diterbitkan, tangan saya selalunya gatal untuk menambah-nambah dan menukar-nukar. Namun alhamdulillah, akhirnya sampai ke tangan penerbit. Harapnya ada lah rezeki untuk diterbitkan tahun ini. Manakala kegatalan tangan sepatutnya difokuskan pada manuskrip-manuskrip lain yang tersadai dan terbengkalai.

Moga-moga semua naskah ini ada sedikit sumbangannya kepada khazanah penulisan negara, juga saham kecil bagi saya untuk melayari negeri abadi nanti. 

Ameen ya rabbal alameen.

Tiada ulasan: