Ahad, 8 Ogos 2021

Memetik Al-Muqaddimah Dari Almari


Pada awalnya saya memetik buku Al-Muqaddimah dari almari untuk membuat sedikit rujukan. Kerana senarai buku yang sedang dibaca masih banyak belum selesai, saya tidak bercadang untuk membaca naskah ini sekarang. Kerana aktiviti membaca bagi saya sudah menjadi aktiviti yang sangat kompleks. Dahulu saya membaca dengan lebih mudah, sekadar baca dan fikirkan apa isi utama yang cuba dibawakan penulis.

Namun tabiat membaca saya lama kelamaan berubah. Sukar untuk membaca secara bersahaja (kecuali novel). Setiap kali membaca pasti saya mempunyai urgensi untuk menandakan bacaan saya, membuat nota bagi setiap isi yang saya rasakan bermakna dan perlu dimasukkan dalam bakul nota saya. Ini menjadikan pembacaan sebagai satu proses yang sangat berat, tidak lagi santai. Namun ia lebih bermakna kerana ia menjadi bacaan yang berisi, bukan bacaan santai yang berlalu seperti tiupan angin.

Setelah menyelak dan membaca prakata yang ditulis oleh 'Abd-ar-Rahman Abu Zayd ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami (nama penuh Ibn Khaldun), naskah ini terus meresapi minda. Sukar untuk diletakkan semula ke almari tanpa membelek-belek halamannya.

Dalam prakatanya Ibn Khaldun membicarakan perihal sejarah, yang menurut hemat beliau merupakan cabang dari keilmuan falsafah. Beliau mengkritik ahli sejarah sebelum beliau yang menulis tanpa kritis, sekadar menyalin bahan umpama burung kakak tua. Beliau juga mengkritik ahli sejarah yang tidak cermat memilih sumber, tidak mengasingkan fakta yang absah dari fakta yang menyeleweng dan rekaan. Bagi Ibnu Khaldun sejarah bukan sekadar perlu disalin semula, tetapi ahli sejarah perlu memberi makna kepada apa yang berlaku, menerangkan kepada pembaca mengapa sesuatu berlaku dalam sejarah. Ahli sejarah juga perlu menyesuaikan pensejarahan mereka seiring dengan peredaran masa, sejarah yang ditulis tanpa mengambil kira perubahan zaman merupakan sejarah yang kaku.

Bruce B. Lawrence membangkitkan penghargaan Ibn Khaldun kepada penulisan dalam komentarnya. Bagi Ibn Khaldun, penulisan adalah satu kemahiran yang paling berguna. Dari rahim penulisanlah lahirnya pengiraan matematik dan juga kajian saintifik. Ini bukanlah satu analisa yang silap oleh Ibn Khaldun. Menurut Yuval Noah Harari, nama manusia pertama yang dicatatkan oleh sistem penulisan adalah 'Kushim' yang merupakan seorang akauntan dari Sumeria, Mesopotamia. Kushim memerlukan tulisan untuk menyimpan data-data perihal percukaian. Dari penulisan juga lahir budaya intelektual, ia adalah komponen paling dasar dalam kehidupan kosmopolitan. Namun dalam masa yang sama Ibnu Khaldun tetap menghargai kepentingan puisi dan budaya oratori.

Kerana rasukan naskah ini begitu kuat, ia terbawa bersama dengan saya ke PPV. Sambil menunggu dos kedua Sinovac, sempatlah meninjau dan menikmati kalam-kalam tulisan Ibn Khaldun.

Tiada ulasan: