Selasa, 31 Ogos 2021

Peranan Mujaddid dalam Sejarah Islam Menurut Hassan Ali Nadwi


Buku tulisan S. Abul Hassan Ali Nadwi ini pertama kali diterbitkan dalam bahasa Urdu pada tahun 1955 dengan tajuk Tarikh-i-Da’wat-o-‘Azeemat. Beberapa kali diterbitkan dalam Bahasa Arab dengan tajuk Rijal ul-Fikr wad-Da’wah fil-Islam sebelum diterbitkan dibawah tajuk Saviours of Islamic Spirit. Buku ini ditulis untuk mengisi kekosongan penulisan sejarah perihal gerakan pembaharuan dalam agama Islam. Kebanyakan pensejarahan memfokuskan kisah raja-raja, sultan, dan khalifah, tidak banyak biografi ditulis berkenaan dengan pemikir intelektual yang membawa gerakan pembaharuan. Kekosongan ini memberi gambaran yang salah terhadap Islam, seolah-olah Islam merupakan gerakan yang statik dan tidak mampu melahirkan golongan pemikir.

Tokoh-tokoh pemikir yang disenaraikan merupakan mereka yang berani melawan kerosakan, mempertahankan nilai-nilai Islam serta menghidupkan semula semangat pembaharuan dalam jiwa umat. Bagi Hasan Ali Nadwi, sebenarnya tiada kelompongan dalam pembaharuan pemikiran intelektual Islam, apa yang perlu adalah usaha untuk menulis dan mengetengahkannya pada umum. Beliau bukanlah ingin memberi makna kepada “pembaharuan” yang dibawa bukan juga sekadar menamakan beberapa tokoh mujaddid, tetapi beliau ingin mensejarahkan usaha-usaha pembaharuan dalam sejarah Islam sejak 1300 tahun yang lalu.

Kaedah Penulisan

Hasan Ali Nadwi menulis dengan mengutamakan sumber-sumber primer dan menapis sumber-sumber sekunder. Untuk menganalisa pembaharuan sesuatu tokoh, nilai intelektual, budaya, dan kapasiti akademik tokoh tersebut mestilah dilihat pada situasi masa dan tempatnya. Melihat sumbangan seseorang tokoh dengan situasi zaman moden akan menatijahkan ketidakadilan.

Penulisan dan pemikiran tokoh yang dibahaskan juga dimuatkan dengan selengkapnya supaya pembaca dapat merasai sendiri kekuatan penulisan mereka dalam membawa mesej pembaharuan. Petikan-petikan pendek tidak memungkinkan pembaca mendalami maksud asal mereka. Beliau juga tidak hanya mempersembahkan penulisan dan pemikiran mereka tetapi juga membahaskan peribadi dan akhlak mereka. Beliau juga memuatkan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ini semasa zamannya bagi menjadikan analisa beliau lebih kritikal.

Keperluan Reformasi dalam Sejarah Islam

Islam merupakan agama yang telah sempurna seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3. Agama ini berakar dari keimanan yang merupakan nilai yang tidak berubah, juga pada keadaan zaman dan kehidupan yang sentiasa berubah. Allah memberi pada agamanya kebolehan untuk memutikkan daun-daun baru yang segar seiring perubahan zaman lalu memberikan panduan pada manusia di setiap zaman. Iman dalam Islam merupakan benda yang hidup, bukan budaya untuk hanya satu zaman atau susunan yang khusus untuk satu tempat. Islam membawa solusi, tetapi bukan satu solusi, Islam membawa pelbagai solusi untuk pelbagai zaman.

Islam juga merupakan agama yang terakhir. Oleh itu ia perlu bersifat universal, mempunyai semangat rentas bangsa, juga dapat berubah dengan pantas sesuai dengan zamannya. Untuk mengharungi perubahan ini, Allah mengurniakan kepada ummat ini dua perkara. Pertama adalah sunnah Rasulullah. Kedua adalah akan sentiasa ada mujaddid baru yang mempunyai kekuatan akhlak dan intelektual yang akan membawa penafsiran baru agar Islam kekal praktikal pada setiap zamannya. Ini adalah kehendak Allah.

Islam diserang oleh musuh-musuhnya sejak ia lahir di muka bumi lagi, ia bukan sahaja dapat bertahan dari serangan musuh sepanjang zaman, malah berjaya mengekalkan keasliannya. Kejayaan Islam boleh dilihat bukan sahaja dari kejayaannya menghadapi serangan tentera Salib dan Mongol, malah Islam berjaya menghadapi serangan pemikiran seperti penafsiran salah teks agama, tradisi asing, penyembahan manusia dan kubur, fahaman materialisma juga ateisma. Di setiap cabaran zaman ini Allah menghantar tokoh-tokoh yang menjaga Islam dan keasliannya. Banyak cabaran pemikiran yang pernah menjalari umat, seperti Qadriyah, Jahmiyah, ‘Itizal, dan Din-i-Ilahi, walaupun ada ketikanya ia sangat berpengaruh dan disokong penguasa, namun akhirnya ia tidak menjadi sebahagian dari Islam, Islam berjaya mengekalkan kesuciannya, manakala pemikiran ini hari ini hanya menjadi sekolah pemikiran yang kecil. Kehidupan akan sentiasa melahirkan masalah baru, agama yang boleh menjawab permasalahan baru akan kekal relevan.

Hasan Ali Nadwi juga menekankan kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat awam. Bagi beliau tugas menggali semula sejarah Islam yang hilang bukanlah tugas sejarawan semata-mata, tetapi perlu digalas bersama oleh masyarakat awam. Dari pembacaan, mereka akan melihat bagaimana usaha untuk menjaga agama ini dari dipesongkan tidak pernah berhenti sepanjang zaman. Golongan mujaddid dalam Islam telah membantu umat sepanjang zaman dengan penafsiran yang segar, membawa umat memilih jalan yang sederhana, menggunakan akal dan logik untuk membuang keraguan, mereka telah melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana sultan atau raja.

Maulana Jalal ud-Din Rumi

Antara tokoh yang disenaraikan oleh Hassan Ali Nadwi yang bagi saya merupakan sesuatu yang membuatkan saya curious adalah Rumi. Saya mengenali Rumi melalui puisi-puisinya sebelum ini, tidak sebagai mujaddid umat.

Rumi lahir pada zaman di mana ummat Islam dilanda pemikiran rasionalima. Era dimana kefahaman agama dianalisa hanya melalui lensa hujah rasional, logika dan perbahasan falsafah. Rasionaliti menjadi faundasi dan diaplikasi kepada persoalan-persoalan metafizikal seperti sifat-sifat Tuhan. Hanya pembuktian yang boleh dirasakan melalui deria manusia diangkat sebagai kebenaran. Walaupun rasionaliti menjadikan mereka kelihatan bijaksana, metodologi rasionalisma ini telah memadamkan kehangatan jiwa dan hati mereka. Disebalik kehebatan logik mereka, banyak persoalan-persoalan perihal perasaan dan rasa hati yang tidak dapat dijawab oleh mereka, mereka menjadi ahli akademik yang kering.

Di dalam kecelaruan krisis rasionalisma ini datangnya Rumi yang digelar Sultan ul-’Ulama. Rumi merupakan anak cendiakawan terkenal pada zamannya, iaitu Baha’ud-din Valed, lahir di Balkh (Afghanistan hari ini), beliau mengikuti ayahnya yang berhijrah ke Konya (Turki hari ini). Apabila ayahnya meninggal dunia Rumi menggantikan tempat ayahnya sebagai guru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Halab dan Dimashq dimana beliau bertemu banyak ilmuan termasuk Ibn Arabi. Rumi mengikuti fahaman Sufi Mistik apabila bertemu dengan Shamsh Tebrez. Kematian beliau diratapi bukan sahaja oleh Muslim pada zamannya, tetapi oleh orang Kristian dan Yahudi pada ketika itu, malah mereka turut dibenarkan untuk menyertai pengkebumian Rumi.

Rumi sangat kritikal terhadap golongan rasionalis atas sikap mereka yang terlalu mengutamakan deria manusia sebagai sumber kebenaran. Tetapi berbeza dengan ahli sufi lain, beliau tidak hanya menyeru pada cinta dan kejiwaan semata-mata, tetapi beliau cuba memberi jawapan kepada persoalan dialektik dan falsafah ketika logik tidak dapat menjawab sesuatu persoalan. Jawapan yang diberikan sangat halus sehingga pembaca boleh memahami jawapannya tanpa merasakan jawapan itu dipaksakan keatasnya. Kitabnya Mathnawi menjawab soalan-soalan teologi dan metafizikal yang tidak dapat dijawab falsafah.

Kini Islam jatuh ke tangan kita. Maka tugas kita untuk menyambung tradisi mujaddid ini dalam sungai sejarah Islam. Tugas besar ini tidak mungkin boleh kita lakukan jika kita sendiri tidak mengetahui sejarah tradisinya. Maka paling minimum tugas kita adalah membaca sejarah ummat. Dan buku Abul Hassan Ali Nadwi ini adalah petak yang baik untuk kita bermula.

Tiada ulasan: