Jumaat, 1 Disember 2023

Mon Monologue


Lama sudah rasanya tidak mencoret sedikit monolog. Jadi di ruang sempit ini, saya sekadar mahu melepaskan perasaan-perasaan yang ada.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu graduasi. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan dan saudara mara yang bergraduasi. Meriah sekejap aliran media sosial dengan gambar konvo. Ada yang berjaya menghabiskan sarjana muda, ijazah, dan doktor falsafah. Melihat semuanya sangat menginspirasikan.

Saya kira belajar dan menyambung pengajian adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan. Belajar bagi saya merupakan proses umum. Ia dilalui oleh semua orang, kadang-kadang mereka sedar, kadang mereka tidak sedar. Belajar tidak semestinya melalui pengajian formal, tidak semestinya memerlukan kita membaca buku, setiap sisi kehidupan kita dapat menjadi satu proses pembelajaran. Dialog kita, pekerjaan, pengurusan anak-anak, masalah-masalah hidup. Semua mengajar kita sesuatu sama ada kita sedar atau tidak.

Beberapa ketika, saya memang minat membaca buku. Bagi saya meneroka helaian buku adalah sesuatu yang membahagiakan. Meskipun kadang kesibukan hanya membenarkan saya menyelak beberapa halaman sahaja sehari. Lama kelamaan ia menjadi ruji harian. Walaupun membaca buku itu mengasyikkan. Saya kira ia juga mempunyai limitasinya yang tersendiri dalam proses pencarian ilmu.

Ia bersifat mandiri dan tidak berstruktur. Maksudnya, kita baca apa yang kita mahu baca, kita yang menentukan apa yang kita mahu pelajari. Kita juga boleh membacanya mengikut kelajuan kita sendiri tanpa apa-apa tekanan atau paksaan. Tetapi saya merasakan, untuk kita mahir dan belajar sesuatu perkara, kita memerlukan sedikit tekanan. Tidaklah tekanan yang membuatkan kita gila. Tetapi tekanan yang mampu mengeluarkan kita dari bilik kita yang selesa, dan belajar sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedar kita perlu belajar. Ini bagi saya memerlukan pengajian yang tersusun dan formal.

Seperti apa-apa objek logam yang cantik, ia memerlukan tekanan haba agar ia boleh dibentuk dan dibina. Saya kira proses mencari ilmu dalam dunia formal juga begitu. Ia memberi kita tekanan untuk kita berusaha. Kita perlu belajar walaupun kita malas. Kita tidak boleh bersenang lenang kerana kita mempunyai had masa. Maka ia memaksa kita berusaha. 

Berbanding dengan mencari bacaan sendiri. Memilih subjek formal untuk dipelajari memerlukan kita membaca bahan-bahan tertentu, kuliah pengajian akan membuka fikiran kita kepada bahan-bahan yang sangat menarik yang jika kita bergerak sendirian mungkin tidak kita temui. Kerana manusia secara bersendirian itu amat terhad upayanya. Dengan diskusi dan dialog, dia akan mendapat sesuatu perkara yang sudah diusahakan orang lain, jadi ini akan membantunya dalam usaha pencarian ilmu kerana sebahagiannya boleh didapati melalui usaha orang lain. Jika semua mahu dilakukan bersendirian, usahanya sangat terhad, malah penerokaannya mungkin tidak akan sampai ke garis hujung fatamorgana ilmu.

Menyambung pengajian sememangnya mengasyikkan. Duduk mendengar kuliah membuatkan kita terasa seperti pelajar muda. Walaupun mungkin rambut-rambut putih sudah mula muncul di sebalik selitan ikal rambut, namun jiwa kita akan sentiasa merasa muda dengan duduk belajar. Proses pembelajaran membuatkan jiwa kita segar, sentiasa mahu mencari dan memahami.

Keasyikan mendengar kuliah juga membuatkan kita sedar. Kita hanya titik nol kecil dalam lautan infiniti ilmu. Saya sangat gembira terutamanya jika menjumpai sesuatu perkara yang sebelum ini saya tidak ketahui. Memahami sesuatu yang sebelum ini saya sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Belajar sentiasa mengerdilkan kita. Semakin kita tahu, semakin kita sedar bahawa kita hanya zarah kecil dari bima sakti ilmu yang tiada penghujung. 

Menyambung pengajian juga memberikan kita peluang untuk mendampingi para sarjana dan pemikir. Memetik buah-buah ilmu mereka dari jarak yang lebih dekat. Memberi kita peluang merasakan sentuhan inspirasi. Melihat jalan ilmu yang telah mereka telusuri. membuatkan hati kita berbunga untuk menempuh jalan yang sama juga. Jalan-jalan ilmu yang membawa kita pada bahagia.

Maka jika ada satu perkara yang saya mahu lakukan sepanjang umur usia yang singkat ini. Saya mahu selamanya menjadi penuntut ilmu. Menjadi pelajar yang meneroka sempadan-sempadan pengetahuan. Menjadi rahib yang asyik bersendirian di perpustakaan. 

Hinggalah tiba satu hari di mana saya dipanggil semula oleh Tuhan.

Tiada ulasan: