Isnin, 18 Januari 2021

Melempar Minda Kembali ke Dalam Laut


Hari ini kita tahu terlalu banyak, bukan terlalu sedikit. Menjadikan pundak kita sesak, minda kita tenat, fikiran kita penat. Dunia dipenuhi dengan pelbagai jenis masalah, menjadikan kita 24 jam resah. Ketenangan merupakan rahsia manusia yang hilang, kita perlu berlumba dengan semua orang, kita perlu berjaya seperti semua orang, kita berlari, namun akhirnya kita tewas. Termenung merenung dinding kosong.

Kita mahu kewujudan kita ini bererti sesuatu. Sekurang-kurangnya dunia menjadi lebih baik selepas kita mati meninggalkannya. Namun kita buntu untuk bermula di mana. Kita terlalu banyak informasi. Ada kapal terbang terhempas di negara seberang, adakah kita perlu pergi ke sana membantu, jika tidak, mengapa berita itu kita diberi tahu. Atau adakah kita perlu menjadi saintis, bekerja melawan masa untuk mencipta vaksin yang menyelamatkan dunia. Atau kita perlu menyediakan kapal, membuat ekpedisi ke kutub bagi menyelamatkan beruang yang hilang habitat kerana kecairan glacier. Atau ke Afrika, menghantar makanan? Apa yang kita perlu lakukan dengan berita-berita masalah dunia yang meributi kaunter informasi minda kita.

Keributan informasi ini satu perkara yang tidak dikenali oleh nenek moyang kita. Kita mungkin boleh mengejek mereka kerana mereka tidak pandai membuka akaun Facebook, atau me-re-tweet cerita gossip panas, atau menonton kejadian viral di Youtube. Tetapi mereka hidup dengan tenang. Pagi ke sawah atau ladang. Petang memberi makan lembu dan ayam, anak-anak dibiar mandi parit. Malam-malam mengaji Al-Qur’an sebelum tidur. Mereka tidak perlu fikir rusuhan yang berlaku di Washington atau siapa di tangga pertama manusia paling kaya dalam dunia. Mereka sudah kaya dengan ketenangan, itu sudah cukup.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk berdakwah supaya manusia menjadi pasifis atau menjadi penganut defeatism. Sekiranya anda mampu mengubah dunia, berbuat baik meskipun hanya menghilangkan secebis duri di jalanan, itu adalah baik. Setiap kebaikan itu adalah baik, meskipun sekecil mikroskopik. Seperti kisah yang terkenal, perihal seorang lelaki, yang berjalan di tepi pantai. Dia melihat seorang budak sedang membaling tapak sulaiman kembali ke laut dengan berhati-hati.

“Hai budak, apa yang kau perbuat?” soalnya hairan.

“Tapak sulaiman ini harus segera dikembalikan ke dalam air, ia akan mati kering jika dibiar terdampar” jawab budak itu gigih.

“Tapi ada berjuta-juta lagi tapak sulaiman berkilometer di sepanjang pantai, ia tidak mengubah apa-apa” soalnya lagi bertambah bingung.

Budak itu mengambil tapak sulaiman baru, dan dibaling ke dalam laut. 

“Tidak bagi tapak sulaiman yang berjaya saya selamatkan ini, mereka dapat merasai perubahan” jawabnya puas.

Tentu sahaja kita tidak dapat mengubah dunia yang luas ini dengan tangan kecil kita, ia terlalu besar untuk diubah oleh hanya satu tangan kudrat manusia. Namun, itu juga tidak bermaksud kita tidak harus berbuat apa-apa. Mungkin lambakan informasi ini membingungkan kita, kita lemas di dalamnya. Jika boleh berbuat kebaikan, berbuatlah meski sekecil apa pun, jika tidak, jika lemas dan rimas, tiada masalah juga untuk menutup berita. Menutup kaca-kaca peranti elektronik untuk berjalan-jalan di taman.

Mencari ketenangan dengan melihat awan yang bergerak perlahan, tinggalkanlah dunia yang penuh dengan ribut beritanya. Tutup sepasang mata dan nikmati secawan kopi panas, rasai bagaimana kopi itu menyerap masuk ke dalam mulut. Bak kata Eckhart Tolle, nikmati saat sekarang, berhenti sebentar dari hiruk pikuk untuk merasa hidup.

Jika masalah dunia terlalu besar untuk diselesaikan, tidak mengapa, jangan salahkan diri anda. Lihatlah persekitaran sekeliling. Mungkin ada kucing kurap yang boleh dibantu dan diberikan makanan. Mungkin ada buku yang sudah lama dibeli tidak dibaca. Mungkin ada roti yang sudah lama terbiar dan boleh diberi kepada burung merpati. Mungkin tiada siapa yang kisah jika anda tidak berkongsi apa-apa di laman sosial? Atau mungkin sudah tiba masanya anda berbuat baik kepada diri sendiri? Melemparkan minda kusut ke dalam laut agar boleh tidur nyenyak dalam mimpi yang indah. Mungkin anda perlu berehat sebentar, bertenang, masalah dunia tetap akan ada apabila anda bangun nanti, sekurang-kurangnya jika tidur ia boleh dihadapi bila anda bertenaga semula.

Tiada ulasan: