Khamis, 27 Mei 2021

Pilger, Kanafani & Peranan Kita Buat Palestin


Saya ada menemuramah aktivis yang pernah menjejakkan kaki ke Gaza, saudara Umar Ismail dalam Kultura Podcast pada Episod Ke-23. Antara yang kami bincangkan adalah media, media mana yang kita boleh percaya dalam kita cuba hendak memahami penjajahan kolonial zionis ke atas Palestin. Dalam perbualan itu, saya mengutarakan pandangan bahawa media seperti Russia Today (RT) boleh kita dengar laporan mereka kerana mereka neutral dalam isu ini, jadi laporan mereka lebih kritikal dan objektif. Walaubagaimanapun dalam isu politik antarabangsa yang lain seperti Kesatuan Eropah, Ukraine, Brexit pandangan mereka dan framing dia aka pro-Rusia. Dalam isu Palestin, RT boleh diharapkan untuk memberi analisis yang kritikal seperti Aljazeera.


Saya ada mendengar analisa Afshin Rattansi dalam segmen Going Underground terbitan RT bersama wartawan legenda John Pilger. John Pilger merupakan antara wartawan yang melaporkan kejadian pembunuhan beramai-ramai di Kemboja dari 1975 hingga 1979 oleh Pol Pot. Pilger juga banyak menerbitkan filem dokumentari. Antara buku Pilger yang terkenal adalah “The New Rulers of the World” dan “Tell Me No Lies: Investigative Journalism and its Triumphs”.

Bagi Pilger, pengeboman dan pembunuhan yang dilakukan keatas Palestin bukanlah semata-mata dari Israel. Ia bukanlah perang Israel terhadap Palestin sahaja. Tetapi ia adalah peperangan antara Palestin melawan Israel, British, dan Amerika. Tentera British menurut Pilger sudah lama berintegrasi dengan tentera Israel. Kenyataan Pilger ini tidaklah jauh dari kebenaran. Israel memang mempunyai program ketenteraan yang dipanggil “Mahal” dimana warga bukan Israel boleh menyertai tentera Israel. Pada 2014, sekitar 100 rakyat Britain berkhidmat untuk tentera Israel. Pilger memetik bagaimana Sir Nick Carter, anggota tentera senior British, pergi ke Israel dan mengadakan kerjasama ketenteraan. Menurut Pilger, Hamas mempunyai hak dari sudut moral dan undang-undang untuk melawan penjajahan dan jenayah yang dilakukan ke atas mereka.

Menariknya, Pilger turut mengkritik penggunaan bahasa seolah-olah dua parti yang berkonflik ini mempunyai kekuatan yang sama, perkara yang dikritik juga oleh ahli komedi Amerika seperti John Oliver dan Trevor Noah. Terma seperti “two-sides” menggambarkan bahawa seolah-olah kedua-dua pihak adalah sama. Walhal apa yang terjadi sebenarnya adalah Palestin merupakan mangsa penjajahan brutal Zionis. Kenapa pengunaan bahasa ini penting? Kenapa penting kita katakan ia adalah penjajahan kolonial bukan “konflik”?

Ghassan Kanafani, seorang sasterawan Palestin yang juga merupakan pejuang PFLP pernah ditanya oleh wartawan Richard Carleton dalam sebuah wawancara pada tahun 1970 tentang konflik yang berlaku.

Kanafani membetulkan Carleton “ia bukan konflik tetapi perjuangan pembebasan untuk keadilan”.

Carleton menjawab “baik apa sahaja terma yang paling baik untuk digunakan..”

Pantas Kanafani menerangkan “ia bukan ‘apa sahaja’, kerana inilah titik bermulanya semua masalah, penggunaan bahasa yang betul penting supaya kamu boleh bertanya soalan yang betul, dan mendapat jawapan yang betul, ini masalahnya, masalah bagai mana satu bangsa didiskriminasi dan berjuang untuk hak mereka, ini cerita yang sebenar...jika kamu mengatakan ia konflik tentu kamu akan merasa pelik terhadap apa yang terjadi!”.

Kanafani faham, bahasa yang salah akan melahirkan pemahaman, analisa dan kesimpulan yang salah. Sebab itu kita lihat media-media pro-Zionis menggunakan terma yang salah. Tembok pemisah untuk mengasingkan populasi ditulis sebagai pagar atau “fence”. Pembersihan etnik di Sheikh Jarrah ditulis sebagai pertikaian harta atau “property dispute”. Oleh itu kita kena berhati-hati, bahasa yang salah akan melahirkan naratif yang salah, ini difahami Zionis, dan boleh dilihat dalam media antarabangsa yang menyokong mereka.

Kanafani dibunuh Mossad pada tahun 1972 menggunakan bom kereta di Beirut. Dalam obituari akhbar Daily Star mengenang kematian Kanafani, beliau diungkapkan sebagai “seorang komando yang tidak pernah menembak menggunakan senapang, senjata beliau adalah mata pena, dan arena beliau adalah helaian akhbar”.

Melalui analisa dari Pilger, juga buah fikir dan kehidupan Kanafani, kita dapat faham apa tugas kita dalam membantu perjuangan pembebasan Palestin dari penjajahan. Jika Kanafani dahulu memerlukan surat khabar, hari ini kita semua adalah surat khabar, akaun sosial media kita adalah surat khabar. Tugas kita adalah memahami penjajahan ini dengan betul, menggunakan bahasa yang betul, dan menyambung suara bagi mereka yang tertindas. Facebook mungkin boleh menutup satu dua akaun, namun jika berbillion akaun menyambung suara mereka, menutup akaun mereka bererti Facebook menutup bisnes mereka sendiri. 

Tiada ulasan: