Jumaat, 21 Mei 2021

Polisi China Terhadap Apartheid Israel dan Perubahan Persepsi Dunia


Saya menonton perbincangan Prof. Norman Finkelstein bersama wartawan Harry Fear. Jika sebelum ini saya ada menulis sedikit perihal optimisma dalam renungan sebelum tidur saya, perbincangan antara Finkelstein dan Fear ini menambah lagi optimisma saya. Ada beberapa perkara menarik yang ingin saya ketengahkan hasil dapatan saya dari perbualan mereka.

Pertama, adalah bagaimana China kini mengambil peluang untuk menggunakan isu Palestin untuk membalas dendam pada Amerika Syarikat. Setelah beberapa lama mereka ditekan, terutamanya semasa pentadbiran Trump terutamanya dalam bidang ekonomi. Kali ini China berjaya memalukan Amerika Syarikat dengan mencadangkan gencatan senjata melalui UNSC namun ditolak Amerika Syarikat. Menteri luar Wang Yi berkata “Kami kesal, majlis ini gagal mencapai kata sepakat apabila Amerika Syarikat berdiri melawan dan tidak membenarkan keadilan sejagat ditegakkan”.

Saya tertarik dengan proposal China dan ingin mengetahui lebih lanjut. Menariknya adalah point ke-2 dalam proposal China, iaitu mengangkat semua sekatan keatas Gaza serta merta. Sebelum ini suara untuk mengangkat sekatan keatas Gaza ini hanya suara marginal dari kalangan aktivis. Paling kuat pun dari negara-negara Islam. Hari ini, kuasa ekonomi kedua dunia juga menyokong penamatan sekatan ke atas Gaza. Ini merupakan perubahan besar dalam polisi antarabangsa.

Kedua, apa yang menarik adalah perubahan sensitiviti dunia, juga bahasa yang digunakan dalam perbahasan antarabangsa. Jika sebelum ini sesiapa yang berani mengatakan Israel adalah negara yang bersifat rasis seperti apartheid di Afrika Selatan akan menerima kecaman yang hebat. Namun hari ini dunia menerima bahawa Israel adalah negara apartheid. Kenyataan ini malah diiktiraf oleh persatuan kemanusiaan antarabangsa seperti Human Right Watch (HRW) juga persatuan Israel sendiri iaitu B’tselem. Israel tidak dapat lagi mengawal imejnya yang sudah tercalar, ia sudah merebak dengan terlalu cepat, dan diterima oleh dunia. Israel tidak mampu lagi mengawal bagaimana media boleh dimanipulasikan, tidak dapat lagi mengawal bahasa yang digunakan dalam mengecam mereka. Tembok yang menghalang kritikan kepada Israel telah roboh.

Sensitiviti masyarakat dunia juga sekarang sudah berubah terutamanya selepas tercetusnya demonstrasi seperti Black Lives Matter (BLM). Keinginan Israel untuk mencipta majoriti Yahudi dengan melakukan pembersihan etnik tidak lagi diterima sebagai hujah yang valid. Ia dilihat dengan penuh jijik dan menjengkelkan. Malah kritikan terhadap polisi rasis kini bukan lagi terhad kepada ahli politik, ia telah merebak kepada atlet antarabangsa, selebriti, dan artis. Malah baru-baru ini, John Oliver turut menyatakan bahawa Israel melakukan jenayah perang dalam segmen beliau. Segmen yang beberapa kali memenangi anugerah Emmy Award. Kerosakan imej Israel tidak dapat dikawal lagi. Mungkin Israel berfikir bahawa mereka boleh membunuh sesuka hati tanpa kritikan, namun era itu telah berakhir. “its a new day” kata Finkelstein. Ini adalah kemenangan besar buat Palestin. Jenayah terbaru Israel ini juga menghasilkan ledakan informasi, dari video, gambar, perbincangan, kontroversi, penulisan yang meletakkan Palestin dimuka depan. Palestin dimanusiakan setelah sekian lama mereka dipandang sebagai bukan manusia oleh lobi Israel dan media antarabangsa.

Pengakhiran rejim apartheid ini adalah pasti, kita hanya perlu menunggu masa.

Nelson Mandela pernah menyebutkan bahawa “Yasser Arafat is our comrade in arm”. Hari ini, persepsi dunia berubah dan menyatakan bahawa Palestin adalah saudara semanusia mereka, we are brother in arm

Tiada ulasan: