Ahad, 31 Januari 2016

Cikgu, saya nak drop Addmath



Akhirnya tiba waktu yang aku sangat harap ia tidak berlaku, aku perlu pergi meneruskan kehidupan ke alam baru. Selepas ini tiada lagi suasana kemeriahan, riuh rendah pelajar yang mewarnai hidup. Ramai juga pelajar yang datang berjumpa pada hari terakhir. Ada yang mahu bergambar, ada yang datang meminta maaf dan mengucapkan selamat jalan, juga yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Namun, yang paling membekas di hati adalah apabila datang seorang pelajar menyapa.

"Cikgu" seorang pelajar memanggil. Dia menyorok disebalik pintu, seingatku aku mengajarnya ketika dia di tingkatan satu, subjek matematik.

"Saya dengar cikgu nak pindah, saya ada 50 sen sahaja. Cikgu ambil lah, hadiah dari saya" sambil menyerahkan kepingan duit syiling 50 sen kepada ku. "Terima kasih" jawabku sambil tersenyum padanya. Dalam hati saya menangis.

Sebenarnya aku telah jatuh hati dengan kerjaya pendidik. Kerjaya yang aku kira sangat mulia, mengajar di sekolah agama tidak semewah mengajar di sekolah kebangsaan, pengorbanan yang diperlukan adalah lebih besar. Masih aku ingat tahun lalu.

Aku bersiap-siap untuk pulang, sudah lewat petang, setelah semuanya dimasukkan didalam beg, dan dikumpulkan buku untuk dibawa pulang, aku ke pejabat untuk menghantar claim bulan itu. Waktu itu aku masih lagi guru sementara, gaji dibayar mengikut hari.
Semasa di pejabat untuk menghantar dan mengisi claim, datang seorang pelajar.
"Cikgu saya ada soalan add math nak tanya". Aku melihat jam, sudah hampir jam 6 petang.

"Mana soalan?" jawab ku berseloroh. Terus dia hilang kemudian membawa kertas masuk pejabat. Hati ku sayu, tak sampai hati untuk berkata " Nanti kita bincang dalam kelas". Aku pun berkata padanya " Kamu duduk di kelas mana? Lepas habis urusan pejabat cikgu datang". Dia lantas memberitahu dan kembali ke kelasnya.

Petang itu aku pulang lewat. Hati ku sayu semula.
Mereka disini beberapa kali bertukar guru. Ada ketika beberapa bulan berlalu tanpa guru. SPM pula tinggal beberapa minggu. Maklumlah sekolah agama rakyat tidak mendapat bantuan kerajaan. Gaji kecil sahaja untuk guru. Jadi, guru selalu sahaja berhenti.
Tapi petang itu hati ku sayu, pelajar seperti ini gagal bukan kerana mereka malas. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan guru. Guru yang mampu setia mengajar dengan gaji yang rendah. Guru yang mampu berkorban. Air mata ku menitis dalam kereta petang itu. Aku juga keluaran sekolah agama rakyat. Guru ku dahulu juga gajinya rendah, tetapi anak muridnya dapat masuk universiti di luar negara dengan biasiswa. Sekarang tiba giliran ku pula, menangis. Aku mahu melihat anak-anak dalam rahim tarbiyyah ini terjaga akademiknya. Tidak merasa lekeh dan rendah diri bila keluar sekolah nanti.

Bagi ku mengajar merupakan satu kepuasan bukan sekadar pekerjaan. Mereka bukan aku lihat sebagai pelajar, tetapi sebagai anak-anak sendiri. Pernah juga ketika dalam satu kelas lewat petang seorang pelajar bertanya kepada ku.

"Cikgu dah lewat petang ni, cikgu tak nak balik ke? Cikgu tak sayang kat baby cikgu?"

Sebenarnya dia mahu balik awal dan tidak mahu menyiapkan latihan. Aku ketika itu baru beberapa hari mendapat anak sulung. Aku menjawab. "Kamu pun anak cikgu". Dia tersipu malu dan kembali membuat latihan.

Di ketika lain seorang pelajar datang berkata "Cikgu, saya dari dulu lagi fail Fizik, cikgu tak berputus asa ke dengan saya?" Aku menganggap kalian ibarat anak sendiri. Bagaimana seorang ayah mampu berputus asa dari berusaha untuk melihat anaknya berjaya?

Sesiapa yang menjadi guru matematik tambahan, ayat yang anda akan sentiasa dengar dari para pelajar adalah "Cikgu, saya nak drop addmath" Tugas guru bukan hanya perlu mengajar, guru juga perlu memberi motivasi kepada anak-anak didik agar berjiwa kental dan berani menyahut cabaran. Tidak kalah sebelum berjuang. Andai ada peluang, aku ingin menjadi pendidik lagi.

Jumaat, 29 Januari 2016

Tumbuhlah tinggi mencapai angkasa



Masih segar dalam ingatanku saat kawanan burung terbang selepas subuh
Embun pagi masih basah dan mentari juga belum tumbuh
Ku gagahkan diri pada awal waktu merentasi sempadan negeri yang jauh
Ku rintis pagi agar dapat bersama anak-anak ku bersama melentur buluh

Hari-hari kita lalui bersama mengembara ke muara ilmu
Aku gembira saat melihat anak-anak ku petah membaca wahyu
Aku mahu menyiapkan kalian untuk mentadbir dunia yang kian buntu
Agar kalian mampu menjadi generasi cemerlang yang baru

Jika keras bicaraku padamu saat kita besama dalam perahu ilmu
Bukanlah membekas kan luka menjadi nawaitu
Cuma mahu melihat anak-anak ku pantas tidak keliru
Agar tidak tersesat dalam perjalanan jauh menuju alam yang baru

Aku ingin kalian tumbuh besar menjulang tinggi ke angkasa waktu
Biar pucuk naik tinggi hingga ke persada langit biru
Aku ingin kalian terbang bebas laksana sang helang sedang memburu
Dengan sayap keimanan dan ilmu menjadi pemandu

Jangan kalian anak-anak ku hanyut dengan arus longkang dunia
Pegang eratlah tangan - tangan sesamamu merentas remaja
Ketahuilah bukan kata manusia yang membuatkan kau mulia
Tetapi tangismu di tikar sujud yang akan membantu kalian di sana

Hari-hari yang kita lalui kini harus ku simpan di dalam kotak memori
Berat hatiku untuk meninggalkan kalian anak-anak ku sendiri
Seolah-olah usia tidak pernah cukup untuk di isi dengan ilmu dan bakti
Cinta ku masih tertinggal di dalam ruang ini seolah tidak mahu pergi

Aku merenung jauh melangkaui ufuk lapangan sawah jingga
Pergi ku meninggalkan kalian bukan kerana terluka
Bukan juga kerana benci dan tidak cinta pada anak-anak semua
Masakan aku lupa pada kalian barisan pewaris agama

Tanganku akan sentiasa menadah doa kepada kalian anak-anak ku tercinta
Tumbuh lah tanpa ragu dengan penuh semangat dan ilmu bercahaya
Moga satu hari nanti masa akan membawa kita kembali bertemu gembira
Sehingga waktu itu tiba ku pohon ampun atas semua dosa-dosa

Sekolah Menengah Agama Ibrah
Jumaat 29 Januari 2016.