Ahad, 9 Mei 2021

Analisa Roger Garaudy Perihal Ideologi Politik Zionis

 

Pertama kali saya melihat buku ini, saya ingat ia adalah buku tulisan apologis Israel, Alan Dershowitz, buku Dershowitz itu bertajuk The Case for Israel. Buku Dershowitz ini dikritik hebat oleh Prof. Norman Filkenstein sebagai “complete nonsense” dan “spectacular academic frauds ever published”. Jadi pada mulanya saya berhasrat untuk menolak dari membaca dan mengupas buku tersebut. Namun setelah diteliti, rupa-rupanya ia adalah buku yang lain. Buku ini bertajuk The Case of Israel, bukan “for” Israel, dan sub-title-nya adalah A Study of Political Zionism yang ditulis oleh ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy.

Sebelum kita masuk ke dalam isi buku ini, elok kita tinjau sedikit latar belakang penulis. Roger Garaudy lahir di Marseille, Perancis pada tahun 1913. Beliau memegang dua PhD, pertamanya dalam bidang falsafah dari Sorbonne yang kedua dari Institute of Philosophy dari Russian Academy of Sciences. Dalam bidang politik, beliau merupakan ahli Parti Komunis Perancis, pernah menang undian dan menjadi ahli parlimen Perancis, dan pada tahun 1970 beliau menjadi senator. Beliau memeluk Islam pada tahun 1982 dan berkahwin dengan seorang wanita dari Palestin. Beliau pernah dijatuhkan hukuman di bawah akta Gayssot kerana menafikan Holocaust, tetapi beliau menafikan tuduhan ini kerana menurut beliau bukunya memperihalkan bagaimana Israel menggunakan Holocaust sebagai justifikasi polisi kolonial mereka. Beliau meninggal dunia pada tahun 2012 pada umur 98 tahun.

Buku ini diterbitkan pada tahun 1983 oleh Shorouk International, ia merupakan terjemahan dari naskah asal yang bertajuk L’Affaire Israël: le sionisme politique yang diterbitkan oleh SPAG-Papyrus di Paris pada tahun yang sama. Prakata untuk naskah bahasa Inggeris ini diantar oleh Peter Mansfield.

Dalam pendahuluannya, Garaudy membawakan bagaimana topik Israel dan Zionis ini menjadi begitu taboo dalam masyarakat Perancis yang kononnya sekular dan sangat mendokong kebebasan bersuara. Bagaimana baru-baru ini timbul semula isu kebebasan bersuara di Perancis apabila seorang cikgu menunjukkan gambar karikatur Nabi Muhammad di sekolah, dalam mempertahankan kebebasan bersuara ini, Presiden Emmanuel Macron membuat kenyataan bahawa “agama Islam hari ini dalam krisis”. Menurut Garaudy di Perancis masyarakat dibenarkan mengkritik apa sahaja sama ada dogma Katolik atau teori Marxis, menyerang ateis atau nasionalis, mengutuk regim seperti Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat atau Afrika Selatan, juga dibenarkan untuk menyebarkan fahaman anarki atau monarki, semua ini boleh dilakukan tanpa terjatuh ke dalam polemik dan kontroversi. Namun apabila masyarakat mengkritik polisi kolonial Zionis, tiba-tiba ia bukan lagi dibawah kebebasan bersuara tetapi dibawah undang-undang, dituduh sebagai seorang “Nazi” dan “anti-Semite”. (5)

Tuduhan “anti-Semite” ini memang merupakan senjata besar Israel dalam membunuh karakter pemimpin-pemimpin Eropah yang memperjuangkan kebebasan Palestin. Anti-semite ini satu label yang sangat buruk, sebaris dengan fasis, nazi dan juga rasis. Kalau kita tengok pilihanraya United Kingdom tahun 2019, apabila pemimpin Parti Buruh ketika itu Jeremy Corbyn yang pro-Palestin masuk pilihanraya, golongan pelobi Israel ini mainkan sentimen “anti-Semite” kepada Corbyn hinggalah dia kalah dalam pilihanraya. Penggunaan “anti-Semite” sebagai senjata ini bukanlah perkara baru, di Amerika Syarikat pun kita lihat perkara yang sama, bagaimana pemimpin pro-Palestin diserang pelobi Israel seperti Ilhan Omar, Alexandria Ocasio-Cortez (AOC), Bernie Sanders, Betty McCollum, Rashida Tlaib, mereka ini sasaran pelobi Israel. Dan isu penggunaan “anti-Semite” ini sebagai senjata untuk melindungi polisi barbarik Israel ini dah lama dikupas oleh ahli akademik. Antara buku yang baik adalah Beyond Chutzpah tulisan Prof. Norman Finkelstein.

Untuk tidak jatuh ke lembah anti-semitism, Garaudy dalam pendahuluannya amat berhati-hati, disini beliau membuat beberapa perbezaan, agar pembaca dalam kefahaman yang jelas bahawa serangan beliau bukanlah ditujukan kepada bangsa Yahudi secara pukal, atau kepada agama Judaism, tetapi serangan beliau adalah spesifik terhadap pemikiran kolonial Zionis. Beliau memulakan dengan membezakan zionis agama dan zionis politik. Zionis agama adalah berbentuk spiritual dan merasakan keterikatan hati dengan tanah-tanah sejarah yang ada disebut dalam teks-teks Yahudi. Perasaan spiritual ini tidak menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Muslim atau Kristian, dan mereka mampu hidup bersama selama ratusan tahun. (7)

Apa yang menjadi masalah adalah Zionis politik yang dimulakan oleh Theodor Herzl bermula tahun 1882. Idea Herzl ini disusun dalam bukunya Der Judenstaat (1896). Herzl sendiri bukanlah seorang yang beragama, beliau merupakan seorang agnostik dan menentang keras penakrifan Judaism sebagai sebuah agama. Sebaliknya beliau melihat bangsa Yahudi dalam lensa nasionalis. Dari Herzl lahirlah gerakan politik Zionis yang tidak berakarkan agama. Menurut Garaudy, idea Herzl merupakan idea kolonial sejak awal, antara penasihat beliau adalah Cecil Rhodes yang menjalankan aktiviti kolonial di Afrika Selatan. Herzl pada mulanya tidak mempunyai sebarang preference kepada geografi tempat untuk mendirikan Judenstaat-nya. Namun kemudian dia memilih Palestin kerana dia boleh menunggang sentimen spiritual Zionis agama walaupun beliau sendiri secara peribadi tidak mempercayai agama. (7-9)

Perbezaan yang kedua yang dibahaskan oleh Garaudy adalah perbezaan antara Zionisme dan Judaisme. Setelah menunggang agama untuk menjayakan projek kolonial Zionis. Taktik kedua adalah menyamakan Judaisme dan Zionisme, melalui persamaan ini, sesiapa yang mengkritik polisi kolonial Zionis akan dengan mudah dilabel sebagai anti-semitik. (9) Sebenarnya, dalam masyarakat yahudi sendiri, terdapat banyak penentangan terhadap projek kolonial Zionis, namun tidak mendapat perhatian yang besar. Antaranya adalah mazhab ortodoks Yahudi Heredi, Naturei Karta, mereka sangat lantang menentang projek kolonial Zionis dan selalu bersama dalam perarakan pro-palestin. Kumpulan yang lebih liberal adalah Jewish Voice for Peace, manakala barisan muda progresif yang selalu berkempen menentang kekejaman Israel adalah kumpulan seperti IfNotNow.

Penggunaan label “anti-semitism” secara salah ini sebenarnya berbahaya kepada kaum Yahudi sendiri, sebab itu ia ditentang oleh banyak orang Yahudi seperti kumpulan yang disebut sebelum ini. Kerana dengan menggunakannya secara salah, abuse of the word, ia akan menjadikannya perkataan yang tidak bermakna. Contohnya dalam masyarakat Malaysia, sering apabila agamawan bergaduh mereka akan melemparkan label “Wahabi”, sehingga perkataan itu hilang relevan dan sekadar menjadi mainan mulut untuk menyerang lawan. Ini akan menyusahkan proses melawan anti-semitism yang benar, kerana ia telah bercampur aduk.

Garaudy juga menolak teori konspirasi “Judeo-Masonic” yang sering berlegar dalam masyarakat, beliau menolak teori konspirasi bahawa Yahudi dan Freemason ingin menguasai dunia, dalam hal ini beliau menolak naskah Protocols of the Elders of Zion yang merupakan fogery yang dilakukan oleh polis rahsia Rusia. (13) Sebaliknya Garaudy memuji tradisi Judaism yang memberi banyak sumbangan kepada kemanusiaan. Dalam setiap agama, termasuk Islam dan Kristian menurut Garaudy, ada tendensi yang berlawanan antara satu sama lain. (14)

Contohnya dalam Islam ada ayat-ayat perihal persaudaraan, keampunan, juga persefahaman. Tetapi Islam bukan agama yang pasifis, dalam keadaan tertentu, Islam mengiktiraf perlunya kekuatan dalam konflik persenjataan. Ayat Al-Qur’an ada diturunkan dalam situasi perang. Tetapi ada organisasi-organisasi yang menggunakan ayat-ayat dalam konteks peperangan ini sebagai justifikasi keganasan yang dilakukan mereka. Jadi menurut Garaudy, perkara yang sama yang dilakukan oleh gerakan politik Zionis, yang menggunakan ayat-ayat agama dalam menjustifikasikan keganasan program kolonial mereka, petikan dalil agama ini memberi bayangan bahawa gerakan kolonial Zionis itu adalah sama sahaja dengan agama Judaism. (14)

Beliau memuji tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemanusiaan seperti Spinoza dan Martin Buber. Menurut pandangan Garaudy, Zionis politik bukanlah berakar dari Judaism, tetapi ia adalah satu fahaman berbentuk nasionalis dan kolonialis yang lahir dari rahim nasinalisma dan kolonialisma Eropah pada abad ke-19. Penggunaan dalil dari Bible secara selektif dengan penafsiran yang berbentuk perkauman adalah taktik Zionis politik dalam menutup kekejaman polisi dan objektif mereka. (16)

Perbezaan yang terakhir yang diketengahkan oleh Garaudy dalam pendahuluannya adalah perbezaan antara Israel di dalam Bible dan negara Israel hari ini. Negara moden Israel pada hari ini merupakan negara ketenteraan dengan 50 peratus dari bajetnya digunakan untuk ketenteraan. Israel merupakan negara yang mengamalkan aspirasi expantionist dengan objektif untuk memecahkan negara-negara Arab menurut Garaudy. Pemimpin-pemimpinya menggunakan Bible sebagai alasan polisi ini, antara negara yang ingin dimakan oleh Israel dengan alasan historic right adalah Lubnan, Syria, Jordan, Turki, Mesir dan Cyprus. (16-17)

Antara bahaya lain dalam menyamakan Zionisme dengan Judaism dengan memetik dalil-dalil dari Bible adalah lahirnya anti-semitisme yang sebenar. Kerana kekejaman, pembunuhan, polisi kolonial, dan penghapusan etnik yang dilakukan Zionis juga akan disamakan dengan Judaism dan bangsa Yahudi. Ini akan menjadi justifikasi kebencian dunia kepada bangsa Yahudi dan Judaism, bukan lagi kepada Zionisme. Oleh itu menurut Garaudy, penyebab kepada anti-semitisme bukanlah kritikan terhadap polisi kolonial Zionisme tetapi sokongan membuta tuli terhadap polisi tersebut. (23)

Dalam bab yang pertama dalam buku ini, Garaudy cuba untuk membahaskan propaganda bahawa Israel mempunyai hak sejarah “historical right” ke atas tanah Palestin, propaganda ini adalah dogeng menurut Garaudy. Dan propaganda ini sering dikaitkan dengan hak yang sakral “devine right” atau tanah yang dijanjikan “promised land” menurut Bible. Namun dalam naskah ini Garaudy memisahkan dua dakwaan ini, historical claim dan divine claim, dan dalam bab pertama beliau hanya berbincang persoalan hak menurut sejarah. Hal ini tidak susah untuk dilakukan, kerana tidak ada bukti sejarah dalam teks-teks purba masyarakat Timur Tengah di luar Bible atau tinggalan arkeologi yang mengabsahkan kisah yang berlaku pada tahun 10 sebelum Masehi berkenaan wujudnya masyarakat Yahudi, penindasan mereka di Mesir, dan juga penaklukan yang mereka lakukan kepada Kaum Kanaan. (29)

Mungkin bagi siapa yang tak familiar dengan kisah ini adalah kisah bagaimana Bani Israel diselamatkan dari kekejaman dan penindasan Fir’aun di Mesir. Kemudian mereka lari dan sampai ke Palestin, Tuhan menjanjikan mereka bumi tersebut. Mereka pun memerangi Bangsa Kanaan (Cananite), jika dibaca dalam Bible dalam Book of Joshua dan Deuteronomy ia adalah satu siri pembunuhan yang kejam, yang mana tiada nyawa ditinggalkan, semua dibunuh lelaki, wanita, dan kanak-kanak.

Tetapi tinggalan rekod sejarah amat berbeza dengan apa yang diceritakan dalam Bible. Pada zaman ini tulisan telah pun wujud. Mesir purba mempunyai sistem tulisan Hieroglyphs, dan sistem tulisan ini walaupun telah pupus, ia telah dikaji dan pengkaji telah decipher bahasa purba ini. Zaman sekarang tulisan Hieroplyphs ini boleh dipelajari di Youtube. Bahasa purba Sumer di Mesapotamia juga telah di decipher oleh pengkaji, sebab itu hari ini kita boleh membaca Epic of Gilgamesh yang ditulis dalam bahasa Sumerian yang sudah pupus. Jadi kita boleh membaca sejarah pada zaman tersebut. Berdasarkan tinggalan sejarah ini tiada langsung rekod perihal kerajaan Israel, malah perkataan Israel yang dijumpai melalui rekod zaman tersebut hanya ayat “Israel telah dimusnahkan, tidak wujud lagi bangsa Israel”. Rekod ini juga tidak dijumpai dalam kerajaan-kerajaan lain sekitar timur tengah yang bersaing dengan Mesir Purba. Rekod yang ada adalah perihal ketamadunan bangsa Kanaan pada zaman tersebut. (31-32)

Dari bukti-bukti sejarah ini, Garaudi menyimpulkan dua perkara.

Yang pertama, Israel tidak mempunyai “hak sejarah” keatas Palestin, kerana sebelum kedatangan bani Israel sudah wujud bangsa-bangsa lain termasuklah Canaanites, Hittites, Ammonites, Moabites, dan Edomites, juga kedatangan bangsa Philistines. Bangsa Arab datang kemudian pada kurun ke-7, mereka kemudian berasimilasi dengan masyarakat yang ada dan memperkenalkan budaya mereka. Jadi apa yang disebut sebagai Bangsa Palestin itu bukanlah merujuk pada etnik tapi lebih kepada fenomena budaya, yang mana mereka merupakan keturunan bangsa-bangsa asal termasuklah Bangsa Kanaan. (32)

Kesimpulan yang kedua, bangsa Israel yang datang, sama ada melalui penghijrahan atau penaklukan, adalah satu dari pelbagai bangsa yang pernah menjajah tanah ini termasuklah bangsa Babylon, Hittites, Mesir, Parsi, Yunani, Roman, Arab, Turki, dan British. Hanya selepas kurun ke-13, kita boleh menyatakan bahawa Israel itu sebuah bangsa kerana tiada rekod bertulis akan kewujudan mereka sebelum itu melainkan rekod Bible. (32-33) Semasa penjajahan Rom, bangsa Israel tidak lagi wujud di Palestin dalam bentuk komuniti, tetapi mereka sudah menjadi diaspora di Eropah dan Timur Tengah. Bani Israel atau bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal, tetapi satu dari pelbagai etnik yang ada di tanah Palestin. (33)

Jadi dalam sejarah Palestin yang panjang ini, hanya ada beberapa ketika pengaruh, iaitu peristiwa penaklukan Kanaan, 73 tahun kerajaan David dan Solomon, pembuangan negeri ke Babylon dan pulang kembali, juga siri revolusi yang gagal semasa pemerintahan Rom. Sedangkan 2,000 tahun sebelum kedatangan Bani Israel ini seolah-olah tidak diambil kira. Juga 2,000 tahun selepas kegagalan pemberontakan pada kerajaan Rom sehinggalah pembentukan Israel pada 1948 seolah-olah bukan bukti sejarah, seolah tiada apa yang berlaku sewaktu itu. (36)

Dalam perbahasan mainan propaganda dogeng hak sejarah ini juga, Garaudy menyerang propaganda yang lain termasuklah propaganda bahawa Israel berjaya menukarkan Palestin dari padang pasir kepada kebun yang subur. Saya juga dahulu percaya akan dongeng ini, pernah sekali saya bawakan hal ini untuk dibincangkan dengan seorang profesor biologi tempatan, beliau langsung tidak nampak keajaiban, katanya sistem saliran air yang baik sudah cukup untuk menukar padang pasir kepada kebun. Antara frasa propaganda yang masyhur perihal hal ini bahawa Palestin adalah tanah gersang tanpa penduduk sebelum terbinanya negara Israel adalah frasa: “give a country without a people to a people without a country”. (37)

Antara buku yang ditulis dengan penipuan bahawa Palestin sebelum Israel adalah tanah kosong tanpa penduduk adalah buku yang ditulis oleh Joan Peters bertajuk From Time Immemorial, buku ini diiktiraf sebagai pemalsuan fakta hatta oleh penyokong Israel sendiri. Buku Peters ini merupakan antara rujukan Alan Dershowitz dalam The Case for Israel, dimana Finkelstein membuktikan bahawa Dershowitz plagiat buku Peters ke dalam bukunya.

Zionism sering mengatakan bahawa bangsa Palestin tidak wujud, tetapi mereka melawan, they did not exist but they resist, ini merupakan satu falasi logika yang serious, bagaimana sesuatu yang tidak wujud boleh wujud dalam masa yang sama. (37) Propaganda bahawa Palestin hanyalah padang pasir sebelum kedatangan Israel ini sangat mudah dipatahkan oleh Garaudy. Beliau membawakan data semasa penjajahan British bahawa Palestin merupakan pengeksport gandum dan buah oren. Malah menurut Peel Report 1937, eksport oren Palestin mendahului Amerika Syarikat, Sepanyol, dan negara-negara lain. (39)

Antara bahagian dari mitos sejarah yang digunakan Zionism adalah mitos bangsa, mitos ini menyatakan kononnya bangsa Yahudi itu bersambung zaman berzaman. Ini merupakan sebuah fiksi dalam bentuk genealogi – hakikatnya bangsa Yahudi hari ini bukanlah keturunan satu bangsa, sebaliknya mereka telah bercampur dengan masyarakat setempat lain, hal ini kerana bangsa Yahudi sebelum penubuhan Israel terpecah ke dalam banyak negara dalam bentuk diaspora. Walaupun diakui, ada tokoh dalam bangsa Yahudi, seperti Nehemiah dan Ezra yang membawa ideologi bahawa bangsa Yahudi harus mengekalkan “purity” dengan tidak berkahwin silang dengan bangsa lain. (40) Israel hari ini memanipulasi pemikiran Nehemiah dan Ezra ini untuk tujuan kekuasaan politik walaupun kebanyakan yahudi di Israel dan diserata diaspora tidak lagi menganuti agama yang dianuti oleh bangsa yahudi dahulukala. (41)

Konsep “bangsa’ seperti yang kita fahami hari ini adalah rekaan Barat pada abad ke-19 untuk menjustifikasikan projek kolonial mereka. Konsep ini mengubah fahaman bangsa dari kumpulan yang memiliki bahasa yang sama kepada perbezaan biologi, mereka juga mencipta hiraki bangsa dan etnik bagi manusia. Semangat bangsa berdasarkan biologi ini lahir dari teori evolusi yang menganggap bangsa bukan Eropah sebagai bangsa primitif. (42)

Kefahaman pseudo-saintifik yang lahir dari teori evolusi ini (juga dikenali sebagai social-darwinism dan diaplikasikan dalam eugenics) sering digunakan sebagai justifikasi untuk mendominasi bangsa lain dengan keganasan. Kemuncaknya adalah Nazism dimana Hitler sebagai contoh, dalam Mein Kampf menuduh yahudi membawa orang kulit hitam ke Jerman bagi merosakkan darah dan keturunan orang Jerman, walhal orang yahudi sendiri menjaga darah dan keturunan mereka. (43) Negara Israel hari ini menggunakan definisi rasis yang sama dalam mendefinisikan siapa yang layak diiktiraf sebagai orang Yahudi, iaitu mereka yang lahir dari wanita Yahudi atau beriman dengan agama orang Yahudi. Definisi ini adalah definisi rasis menurut Garaudy, kerana mereka yang diiktiraf akan mendapat keistimewaan manakala yang tidak akan tertindas. (43)

Bagi Garaudy, sejarah dan biologi tidak dapat membentuk definisi bangsa yang jelas, dengan mencipta satu kumpulan bangsa yang terpisah dari sesebuah negara adalah mencipta mitos menurut beliau. Ini merupakan persamaan antara Zionism dan anti-semite, yang mahu mengasingkan Yahudi sebagai sebuah bangsa yang terpisah dari negara yang mereka duduki, kedua-dua ideologi ini membawa kepada natijah yang sama. (44) Dari sudut sejarah, apa yang disebut sebagai apiru atau habiru (Hebrews) adalah merujuk kepada kategori sosial, kumpulan yang menolak pemerintah, bukan sebagai satu kumpulan etnik tersendiri. (45)

Kemuncak kepada ideologi kolonial Zionis ini adalah pengeluaran orang Yahudi dari negara-negara yang telah mereka duduki sekian lama ke sebuah tanah yang sudah mempunyai penduduk tetap. Hal ini dicapai bersama kolaborator British melalui pengishtiharan Balfour dimana satu negara menjanjikan kepada negara kedua sebuah negara yang dimiliki oleh negara yang ketiga. Walaupun deklarasi Balfour mempunyai klausa yang menekankan tanggungjawab untuk menjaga penduduk asal, ia tidak pernah dihormati oleh Israel. (47) Zionis juga semasa penubuhannya dibantu rakan kolaborator dari Amerika yang melobi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menekan negara-negara kecil dibawah orbitnya seperti Haiti, Liberia, dan Filipina untuk membahagikan tanah Palestin – walaupun negara-negara ini pada asalnya tidak bersetuju dengan rangka polisi ini.

Tetapi tanah sahaja tidak mencukupi, kerana Israel bukan merupakan projek kolonial yang ingin menggunakan tenaga penduduk asal sebagai tenaga kerja, tetapi mahu menggantikan mereka, oleh itu penduduk asal perlu dicabut dari tanah-tanah mereka secara sistematik. (49) Maka bermulalah proses pembersihan etnik yang dilaksanakan dengan kejam oleh militia Yahudi seperti Haganah, Irgun dan Stern Gang yang membunuh, mengusir dan membakar kampung-kampung Palestin. Oleh itu, adalah tidak benar Israel ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi ia ditubuhkan menggunakan keganasan yang dilaksanakan oleh perlbagai kumpulan militia dan para-militari Yahudi. (51)

Oleh itu, kita melihat bahawa hujah sejarah ini telah roboh, ia tidak lebih dari sebuah propaganda. Kerajaan yang dikatakan menjadi asas kepada kerajaan hari ini, yang terbentuk 3,000 tahun dahulu hanya bertahan selama 73 tahun, itu pun mereka tidak pernah berusaha untuk mewujudkan kerajaan yang homogenous dengan hanya satu bangsa seperti yang dilakukan Israel pada hari ini. (53)

Gerakan Zionis juga sering memainkan sentimen “perasaan ingin pulang” kepada bangsa Yahudi yang hidup di diaspora. Namun sentimen ini tidak mempunyai hujag sejarah, Judah Halevi (1075-1141) sebagai contoh, seorang ahli falsafah Yahudi yang membawa pemikiran yang sama semasa Muslim memerintah Sepanyol, beliau berhijrah dan berangkat ke Jerusalem, dan mati di pintu masuknya, tiada siapa yang mengikutinya. Begitu juga yang berlaku pada Nahmanides yang berhijrah ke Jerusalem, tiada pengikut yang mengikutinya. Apa yang menyebabkan orang Yahudi berhijrah ke Palestin adalah penindasan mereka di Eropah bukan sentimen “perasaaan ingin pulang”. (54) Gerakan politik Zionis mengeksploitasi fakta penindasan ini dan memberi kolonialisme sebagai solusi. (55)

Oleh kerana persamaan tujuan antara Zionism dan anti-semitism, iaitu ingin mengeluarkan orang-orang Yahudi dari negara yang mereka duduki (diaspora), bagi Garaudy, Zionism dan anti-semitism adalah kembar. Zionism ingin mengeluarkan orang Yahudi supaya projek nasionalis mereka berjaya, manakala anti-semite ingin mengeluarkan orang Yahudi dari negara mereka kerana kebencian mereka terhadap bangsa. (58)

Garaudy juga mengkritik bagaimana Holocaust dimanipulasikan sebagai justifikasi kolonial Zionis. Mereka mengasingkan orang Yahudi sebagai bangsa eksklusif kekejaman Nazi Jerman, sedangkan berjuta-juta lagi kematian hasil kekejaman Hitler adalah bukan Yahudi seperti orang-orang Poland dan bangsa Slavik. Mengapa hanya kematian orang Yahudi dianggap suci? tanya Garaudy. Manipulasi Holocaust ini merupakan objek kajian Norman Finkelstein dalam bukunya Holocaust Industry. (61)

Pada bab yang kedua, Garaudy membahaskan mitos kedua yang digunakan oleh Zionis sebagai justifikasi projek kolonial mereka, selepas mitos sejarah, mereka menggunakan mitos agama. Mitos ini sebenarnya bukan sahaja digunakan oleh orang Yahudi, tetapi juga digunakan oleh penyokong mereka dikalangan Evangelikal dan Kristian Zionis bahawa di dalam Bible, tanah Palestin dijanjikan tuhan kepada Bani Israel yang merupakan keturunan Nabi Ibrahim. Mitos ini digelar sebagai biblical myth yang menyatakan bahawa tanah jajahan mereka di Palestin itu adalah tanah yang dijanjikan tuhan kepada mereka (promised land). Mitos ini diulang-ulang oleh pemimpin Zionis seperti Golda Meir dan Menachem Begin. (69) Penunggangan agama untuk meneruskan agenda kolonial ini bagi Garaudy bukanlah satu perkara yang baru, ia digunakan oleh kuasa kolonial sepanjang zaman yang menganggap bangsa mereka superior, bangsa terpilih, malah tentera Nazi sendiri mempunyai frasa Gott mit uns pada helmet mereka yang bermaksud tuhan bersama kami. (70)

Dalil yang digunakan dalam Bible bagi menghalalkan projek kolonial zionis adalah seperti di dalam Genesis dimana Tuhan dikatakan memberikan tanah Palestin kepada keturunan Ibrahim. Pada Garaudy penafsiran ayat ini oleh golongan Zionis merupakan tafsiran berbentuk “tribal” – iaitu tafsiran untuk keuntungan satu puak sahaja. Dalam masa yang sama beliau mempersoalkan bagaimana tafsiran suatu kitab suci itu boleh dipaksakan keatas golongan lain yang tidak mempercayai kitab tersebut? (73-74) Juga ayat-ayat dari Old Testament (Joshua di Jericho)digunakan, bagi menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai yang mereka lakukan. (75)

Tafsiran yang dibuat oleh golongan Zionis bukan sahaja bersifat tribal, tetapi juga berbentuk selektif. Di mana ayat-ayat yang boleh menjustifikasikan pembunuhan dan keganasan diketengahkan, manakala ayat-ayat perihal keamanan dan persaudaran manusia diketepikan. Ayat-ayat seperti kepentingan menghormati jiran dan orang yang tidak dikenali seperti dalam Deuteronomy dan Exodus tidak diamalkan. (76-77) Bagi Garaudy, Bible tidak boleh dibaca sebagai buku sejarah yang objektif, kerana banyak cerita dan peristiwa yang diceritakan tidak dapat dibuktikan melalui metodologi pensejarahan. (78) Antara ahli akademik yang saya minati dalam pengakjian Bible dari perspektif sejarah adalah Bart Ehrman, namun pengkajian beliau memfokuskan tentang New Testament kerana ia lebih terkemudian dan boleh dinilai dari sudut pensejarahan melalui rekod yang ada. Namun hasil kajian Ehrman banyak bercanggah dengan doktrin Kristian menyebabkan beliau tidak disukai oleh golongan Evangelical.

Bagi Garaudy, penafsiran sepatutnya mengajar kita untuk menjadi lebih manusiawi, memberikan manusia erti untuk hidup dan untuk mati. (79) Penafsiran ayat perihal perjanjian untuk mewarisi tanah harus dilihat secara suksesif, pertama ayat yang menjanjikan tanah bagi golongan nomad, kemudian tanah untuk bernegara, dan yang ketiga adalah tanah untuk diwarisi oleh semua manusia. Ini penafsiran yang lebih lengkap, bukan terhenti pada strata kenegaraan dan mengimport idea nasionalis Eropah yang asing pada zaman tersebut. (82) Akhir sekali, dalam perbahasan biblical myth, Garaudy menerangkan bahawa janji Tuhan kepada Ibrahim bukanlah perwarisan berbentuk bangsa, tetapi perwarisan kepada siapa yang mengikuti ajaran dan agama Nabi Ibrahim. (85)

Saya merasakan penerangan Garaudy perihal biblical myth ini tidak begitu mendalam dan komprehensif sebagai mana beliau menghuraikan historical myth. Mungkin kerana latar bidang akademik beliau yang lebih bersifat falsafah dan sejarah, bukan dalam bidang penafsiran Bible. Namun kesimpulan beliau tidaklah berbeza dengan ahli dalam bidang penafsiran Bible. Contohnya seperti apa yang ditulis oleh Gary M. Burge dalam bukunya Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told about Israel and the Palestinian, pada mukasurat 290 beliau membuat kesimpulan bahawa “Therefore the Zionist idea was not born from the Bible but from ethnic nationalism that also gave birth to other nations such as 1930s Germany with all their attendant problems. Christian Zionist who envisions Herzl rebuilding Israel with a Bible under one arm are naive to the realities of history”. 1930 adalah zaman pemerintahan Paul von Hindenburg yang kemudian melantik Hitler sebagai Chancellor German. Baik, siapa Gary M. Burge? Beliau merupakan seorang sarjana dalam bidang kajian kitab suci Kristian dan merupakan professor di Calvin Theological Seminary, Grand Rapids, MI, Amerika Syarikat.

Dari mitos-mitos sejarah dan Bible yang menjadi foundasi kepada ideologi politik Zionis ini, Garaudy membawakan perbahasan bagaimana ideologi ini diterjemahkan dalam dunia sebenar, dengan kewujudan negara Israel dan polisi-polisi yang datang dengannya. Dari ideologi kolonial yang rasis ini lahirlah undang-undang yang juga bersifat rasis dan zalim terhadap penduduk asal Palestin.

Pengasas ideologi politik Zionis, Theodor Herzl, tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin anti-semite antaranya Vyacheslav von Plehve dimana Herzl menawarkan Zionism sebagai solusi untuk mengelakkan revolusi (mengeluarkan orang Yahudi dari empayar Rusia). Herzl juga menyatakan bahawa ant-semite akan menjadi teman rapat Zionis dan negara yang bersifat anti-semitik akan menjadi sekutu Zionis. (91)

Perampasan tanah Palestin, dan pembersihan etnik yang dilakukan Zionis merupakan satu pelan yang terancang dan tersusun. Ia telah dirancang sebelum negara Israel ditubuhkan. (94) Antara polisi apartheid dan rasis yang dibahaskan Garaudy adalah Undang-Undang Kewarganegaraan, dimana Arab Palestin dilayan seperti orang yang tidak punya negara dan perlu membuktikan dengan dokumen bahawa mereka pernah tinggal di Palestin, pembuktian ini selalunya sukar kerana banyak dokumen dimusnahkan semasa perang. Ini berbeza dengan bangsa Yahudi yang berhijrah ke Israel, mereka dianggap warganegara sejurus mereka menjejakkan kaki di lapangan terbang Israel. (98) Beliau juga membahaskan bagaimana Undang-Undang Tanah digunakan untuk merampas tanah rakyat Palestin. Professor Israel Shahak pada tahun 1975 menyenaraikan 385 perkampungan Arab yang dimusnahkan dari jumlah keseluruhan 475 kampung yang wujud pada tahun 1948. (105)

Polisi rasis Israel ini diiktiraf oleh perdana menteri Afrika Selatan, Verwoerd yang berkata bahawa tindakan Israel yang merampas tanah dari orang-orang Arab yang sudah menetap disitu beribu tahun merupakan satu persamaan dengan Afrika Selatan, bagi Verwoerd, Israel adalah negara apartheid. (108) B’Tselem, yang merupakan kumpulan hak asasi manusia di Israel juga, pada 12 Januari 2021 mengakui bahawa Israel adalah sebuah negara apartheid.

Selain polisi rasis, ideologi politik Zionis juga membawa polisi expansionist seperti yang dirangka Herzl, polisi ini dicapai melalui siri keganasan dan perperangan, Garaudy menyamakan polisi ini dengan polisi Lebensraum yang diamalkan Hitler. (123) Polisi ini tidak dapat dicapai kecuali dengan bantuan keewangan dan ketenteraan dari Amerika Syarikat. Amerika menyalurkan berbillion dollar kepada Israel, memberi subsidi, juga pinjaman untuk membolehkan Israel mengekalkan kebolehan ketenteraan mereka. Bantuan Amerika ini merupakan hujah Garaudi yang menepis sangkaan bahawa Israel merupakan satu keajaiban, dimana negara kecil persis David boleh mengalahkan negara-negara Arab yang dianggap sebagai Goliath. Hakikatnya, Israel mempunyai peralatan ketenteraan paling canggih hasil bantual Amerika. (145) Garaudy juga membahaskan bagaimana ideologi politik Zionis melahirkan negara yang mengamalkan terrorisma, membunuh musuh-musuh mereka diluar negara menggunkan agen-agen perisik.

Dalam kesimpulannya, Garaudy menyatakan untuk menyelesaikan konflik ini, Israel perlu ditekan untuk mengikuti undang-undang antarabangsa. Keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlulah dihormati dan dilaksanakan. Penyelesaian ini, saya kira merupakan kesimpulan yang sama yang dibuat oleh Prof. Norman Finkelstein, yang sering mengulang-ulang bahawa jalan penyelesaian adalah dengan “follow the law”. Bukan undang-undang rimba yang dibuat Israel, tetapi undang-undang antarabangsa.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa buku ini merupakan satu buku yang baik dalam memahami perkembangan dan juga struktur ideologi politik Zionis. Garaudy meruntuhkan mitos bahawa Zionis mempunyai hak ke atas Palestin dari sudut sejarah, juga dari tafsiran kitab Bible. Sebaliknya ia adalah ideologi nasionalis barat yang bersifat kolonial dan rasis, mirip ideologi nasionalis German tahun 1930. Dari ideologi ini lahir negara dengan polisi apartheid, negara yang mengamalkan keganasan untuk pengembangan penjajahan, juga negara yang mengamalkan terrorisma. 


Ahad, 2 Mei 2021

Idées Reçues Dalam Dunia Buku


Baru-baru ini saya ada membaca sebuah status yang bagi saya jelik yang ditulis oleh orang yang dikatakan sebagai ‘orang lama’ dalam industri buku. Bagi saya ia merupakan satu musibah yang melanda, kerana pada saya orang-orang buku, tidak kiralah penulis atau penerbit merupakan barisan intelektual yang mencerahkan masyarakat, bukan fungsinya menyebarkan atau menormalisasikan pemikiran pervert dan kotor. Jika ada budaya atau pemikiran yang tidak sihat dan tidak sepatutnya berlegar dalam industri buku tanah air, penulis dan penerbit lain wajar mencabar pemikiran itu, bukannya membiarkan ia berlegar tanpa cabaran hanya kerana dituturkan oleh ‘orang lama’.

Antara tokoh pemikir yang saya minati adalah Edward W. Said dan baru-baru ini saya diizinkan Allah untuk menghabiskan bacaan dan meneliti buah karya beliau yang bertajuk Orientalism. Edward Said merupakan seorang tokoh pemikir yang besar, sehingga sebahagian dari sarjana mengatakan secara metafora bahawa beliau bukan merupakan penulis tetapi beliau adalah sebuah universiti.

Dalam Orientalism beliau ada membahaskan perihal “idées reçues”, sebuah terma yang beliau pinjam dari penulis orientalis Perancis bernama Gustave Flaubert. Terma ini jika di tafsir secara literal membawa maksud “accepted ideas” atau idea-idea yang sudah sekian lama diterima dalam kalangan masyarakat. Karya Orientalism beliau sendiri merupakan karya rintis dalam mencabar idea-idea Eropah yang telah sekian lama diterima tanpa kritik dalam penulisan dan dunia akademik terutamanya perihal representasi orang timur (Orientals) dalam tulisan Barat. Karya ini merupakan pintu yang membuka bidang kajian post-colonial studies. Beliau mencabar idées reçues sarjana-sarjana Barat yang membuat generalisasi dan kesimpulan yang bersifat reductionist terhadap sifat dan peradaban orang Timur. Orang Timur sering digambarkan sebagai bangsa yang lebih primitif dan terkebelakang berbanding bangsa Eropah. Gambaran ini sering menggunakan hujah-hujah akademik dan sains, seolah-olah ianya merupakan fakta yang bersifat objektif.

Dalam kesimpulan beliau, beliau menyatakan akan tugas manusia yang mempunyai intelektual untuk melawan idées reçues yang telah lama berlegar dalam masyarakat tanpa adanya pemikiran yang kritikal. Maka tugas yang sama pada hari ini perlu digalas oleh barisan penulis, penerbit, ‘orang-orang buku’ dan orang yang punya intelektual untuk melawan idées reçues yang lapuk dan kotor yang berlegar dalam masyarakat. 

Jika kita hanya mengangguk, diam (tanda setuju), dan membiarkannya atas dasar hormat orang lama, maka tidak adalah apa pencerahan yang kita mampu bawa dalam masyarakat. Jadilah kita hanya seperti mesin fotostat, mengitar semula apa yang ada, sekadar memuntahkan apa yang diberi pada kita oleh orang lama, jika sampah yang diberi sampah yang keluar, rubbish in rubbish out

Atau mungkin justifikasi yang diberikan adalah ia sekadar gimik untuk menarik perhatian orang pada industri buku yang suram dan kelam. Bad publicity is also a publicity. Saya faham akan hal itu, mungkin buku yang baik untuk dibaca perihal hal bad publicity ini adalah buku karangan Ryan Holiday bertajuk Trust Me, I’m Lying. Namun saya kira industri buku punya nilai intelektual, sebagai khazanah bangsa, pencapaiannya tidak harus diukur dalam skala dollar and cents sahaja. Tugasnya untuk memandaikan bangsa bukan sekadar menghiburkan bangsa. Maka nilai itu perlu dijaga, jika industri buku suram sekali pun, banyak lagi perkara kreatif yang boleh kita lakukan untuk memajukannya, bukan mengambil jalan mudah dengan melacurkannya untuk sedirham dua.

Pada pandangan saya, orang-orang buku, baik penulis mahupun penerbit perlu kritikal dan melawan idées reçues yang lapok, kotor dan pervert dalam masyarakat. Jika itu tidak berani dilakukan, mereka akan mereput dan hilang relevensi dalam masyarakat, mereka akan ditinggalkan kerana masyarakat akan pergi kepada mereka yang lebih progresif dengan idea yang lebih segar. Kerana mereka yang tidak berani ini tiada apa yang mahu ditawarkan kepada masyarakat.

Kerajaan Tidak Popular Yang Menghalang Rakyat Balik Raya


Pada 28 April 1996, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang ke atas pelancong di Tasmania, Australia menggunakan senapang semi-automatik. 35 orang maut dan 19 orang cerdera dalam kejadian yang dikenali sebagai Port Arthur Massacre. Kejadian ini merupakan kejadian berdarah pembunuhan beramai-ramai yang tragis dalam sejarah Australia.

Selepas tragedi ini, Australia memperkenalkan gun control law, mengharamkan  automatik, semi-automatik dan self-loading rifles dan shotguns untuk kegunaan awam. Perdana Menteri Australia ketika itu adalah John Howard, walaupun polisi ini tidak popular, ia ditentang oleh rakan-rakan dalam koalasi politiknya sendiri, beliau juga ditentang beberapa kerajaan negeri, namun beliau tetap tegas melaksanakan polisi ini. Akibatnya, pada pilihanraya 1998, kerajaannya kehilangan 12 kerusi kepada parti lawan, parti pro-gun One Nation.

Sejak dari itu, tiada lagi mass shooting dilaporkan di Australia. Keadaan ini berbeza dengan Amerika Syarikat yang sehingga hari ini masih melaporkan kejadian mass-shooting di sekolah. Elit politik Amerika masih belum berjaya keluar dari cengkaman lobi dari National Rifle Association (NRA) yang menunggang Second Amendment Rights untuk memastikan industri senjata kekal terpelihara. Melawan NRA akan menjadikan ahli politik tidak popular dan terkuburnya kerjaya politik mereka.

Dari hal ini, kita memahami bahawa ada kalanya kerajaan perlu untuk mengambil langkah tidak popular untuk keselamatan dan kesejahteraan jangka panjang. Melihat situasi Covid-19 yang sudah tidak dapat dikawal kerajaan di India hari ini, membuatkan saya merasakan tidak dapat balik raya merupakan pengorbanan yang kecil jika dibandingkan dengan bencana yang bakal menyusul. Keadaan di India sekarang sudah tidak terkawal hasil mutasi variant Covid-19 terbaru. Perkhidmatan kesihatan awam mereka telah lumpuh, pesakit tidak mampu lagi dirawat dan terpaksa mencari sendiri tanki-tangki oksigen bagi kes-kes serious. Malah crematorium mereka kini membakar mayat tanpa henti.

Ya, kita boleh salahkan kerajaan hari ini kerana tidak dapat membendung penularan wabak Covid-19 selepas kejayaan kecil yang kita kecapi semasa PKP 1.0. Banyak tindakan kerajaan yang tidak cekap menyumbang kepada gelombang baharu Covid-19 hari ini, bermula dengan PRN Sabah, polisi PKP separuh masak, teladan yang tidak baik dari pimpinan perihal pematuhan SOP, semuanya menyumbang kepada faktor kegagalan polisi kerajaan. Namun saya kira, keadaan hari ini memaksa kita untuk melakukan pengorbanan, tidak guna lagi untuk kita bertelingkah mengapa keadaan ini berlaku, kerana ia sudah berlaku dan sedang berlaku. Yang kita perlukan adalah solusi untuk menyelesaikannya. Kita berdepan dengan kemungkinan PKP 3.0.

Namun ini tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik jika implementasinya nanti berbentuk hipokrit, selektif, dan tiada nilai kasih sayang. Semua polisi yang berat sebelah wajib dikritik, setiap ketidak adilan perlu dibela.  Dalam masa yang sama juga kita harus menimbang antara kebebasan dan keselamatan. Terlebih bebas sehingga situasi tidak lagi selamat pun salah, terlebih ketat sehingga keselamatan tidak dapat memberi erti juga salah. Maka oleh itu kita harus meniti diatas tali dengan berhati-hati.

Ahad, 18 April 2021

Perjalananku Ini: Sebuah Naskah Nostalgia Menggetar Jiwa

Sebenarnya memang terlalu banyak buku yang saya mahu baca, entah sempat entah tidak dihabisi semua sebelum saya meninggal dunia, ada sebahagiannya yang saya sudah beli 5-6 tahun yang lalu, namun masih belum dibuka plastiknya. Namun kehadiran buku kecil bertajuk "Perjalananku Ini: Himpunan Puisi SukaDidik" yang ditulis oleh Annaky Abolmujahid ini mengusik jiwa kecil saya.

Pertamanya kerana ia ditulis oleh guru saya yang banyak mencorak kehidupan saya. Kedua, kerana naskah ini bagi saya secara peribadi, merupakan genre buku yang paling dalam di hati saya. Genre buku yang merupakan sebahagian dari korpus sejarah sekolah tercinta iaitu Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Yang ketiga, ia adalah koleksi puisi gurindam jiwa, yang tentulah enak dinikmati sambil menghirup secawan kopi dan terbang dalam kenangan. Jadi buku ini berjaya memotong barisan dalam senarai bacaan saya.

Walaupun ia bukanlah buku perihal sejarah definitif dan autoritif berkenaan sejarah MATRI (kita belum punyai naskah seperti itu setakat ini, menunggu siapa yang berani menyambut obornya), ia mempunyai kaitan erat dengan MATRI, pelajarnya, murobbinya, dan aktivitinya, jadi ia bolehlah diletakkan sebaris dengan naskah-naskah yang pernah ditulis sebelum ini perihal MATRI seperti Murobbiku tulisan Hilal Asyraf dan Sejarah Awal Matri tulisan Ghazali Saad.

Buku ini berkonsepkan nasihat yang diberikan melalui genre puisi. Walaupun puisi boleh terjatuh kedalam daerah yang sukar difahami oleh penerimanya, ia tetap diteruskan begitu oleh penulis. Beliau mengiktiraf masalah ini tetapi meneruskannya kerana bagi beliau nasihat itu tidak boleh diberi dengan gelojoh. Beliau lebih meminati gaya imejan, yang membawa anak didiknya bersiar-siar menikmati keajaiban alam sebelum isi nasihat itu meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa mereka. Ia bukan seperti naskah puisi biasa, naskah puisi biasa terus terjun pada bait-bait aksara sambil pembaca terpaksa meneka makna dan latarnya. Dalam naskah ini, sebelum pembaca dihidangkan dengan bait aksara, diceritakan dahulu latar peristiwa, watak dan tempat dimana lahirnya puisi-puisi ini. Jadi pembaca boleh membaca tanpa meneka latar puisi tersebut dan menjadikan pembacaan lebih mudah difahami.

Latar buku ini adalah program SukaDidik yang merupakan misi pendidikan yang dijayakan oleh pelajar lepasan Matri di Sabah selepas mereka menamatkan peperiksaan STAM. Penulis merupakan pendidik dan koordinator misi ini, yang dirangka sebagai medan amali bagi anak didiknya selepas mereka mengutip mutiara-mutiara di Matri. Di medan inilah mereka perlu menyebarkan mutiara yang sudah diterima, jauh masuk ke jiwa-jiwa di dasar perdalaman Sabah.

Misi sukarelawan ini dilaksanakan di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang merupakan institusi alternatif pendidikan bagi masyarakat Sabah yang ketinggalan dari sistem pendidikan arus perdana. Mereka tercicir kerana taraf hidup, jarak ke sekolah, kemudahan, juga masalah ketiadaan dokumen kewarganegaraan. Antara lokasi mereka menyumbang bakti mendidik masyarakat setempat adalah seperti di Kampung Tandoan, Kampung Hidayat, Pulau Mabul, Kampung Tagupi Laut, Kampung Paman Hutan, Simuning, dan Kampung Langkabong. Puisi-puisi di helaian awal juga menggambarkan kegusaran penulis meninggalkan anak-anaknya di pedalaman Sabah kerana kawasan ini merupakan kawasan keselamatan (ESSZONE).

Mungkin bagus kiranya untuk saya memetik satu bait puisi dari naskah yang kemas ini, sekadar untuk memberi gambaran kepada kita keindahan lantunan bahasanya.

"Belumpun habis secangkir bicara
saatnya sudahpun tiba
melepaskan ke dunia nyata
membawa risalah mulia;
merawat buta aksara,
membanteras jahil agama
membebaskan minda terpenjara."

Banyak lagi bait-bait yang mengasyikkan, namun tidak bolehlah saya muntahkan semua disini kerana boleh menyebabkan saya terjatuh ke lembah pelanggaran hak cipta. Anda perlu dapatkan sendiri naskah ini untuk menghayati bait-bait aksara yang digarap dengan indah. Selain membicarakan subjek misi pendidikan di Sabah, dalam naskah ini juga kita dapat mengenali penulis dengan lebih intim. Contohnya bagaimana penulis mengimbau pengalaman beliau sendiri membaca dan menghayati puisi tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam kolum Pabila Hujan Turun di dalam Dewan Sastera. Disini kita dapat kenali bahawa penulis sememangnya peminat bahan-bahan sastera.

Antara pesan yang saya kira berbekas di hati saya sepanjang membaca adalah puisi Hujan dan Kemarau, dalam puisi ini kita diingatkan akan sentiasa mengambil jalan tengah. Tidak terlalu jumud sehingga berlakunya kemarau, tidak juga terlalu ekstrem dalam berlepas-lepasan sehingga ditenggelami banjir. Walaupun nasihatnya khusus kepada pendidik, ia juga boleh diaplikasikan kepada kehidupan kita rakyat biasa.

Apabila penulis membicarakan bahawa pendidik nilainya tinggi, dan untuk mencapai ketinggian nilai itu ada tenaga yang perlu dikorbankan, ada usaha yang perlu dilakukan dalam mendaki untuk mencapai ketinggian. Hanya orang yang sampai ke puncak sahaja dapat menikmati keindahan permandangan. Bait-bait ini mengingatkan buku yang pernah saya tulis, bertajuk Gunung Tahan Hiking Log, saya dapat merasai maksud yang digarap penulis. Teringat saya pada cabaran dan keperitan mendaki Gunung Tahan, namun apabila tiba dipuncak, melihat buana luas terbentang indah diselimuti kabus, terasa manisnya kejayaan, segala penat lelah hilang seperti mimpi semalam.

Saya juga sangat terkesan membaca bagaimana sukarelawan yang berbaki disana bergaul dengan masyarakat dan anak didik sehingga tumbuh perasaan kasih dan sayang. Apabila tiba saat pulang, ada yang merayu untuk tinggal lebih lama. Saya juga pernah menjadi pendidik sebentar beberapa kali dalam hidup dan menyelami perasaan ini. Ya, apabila kita bersama anak-anak murid, melihat mereka belajar dan menjadi insan yang lebih baik, ia membungakan bahagia, sungguh kerjaya pendidik adalah kerjaya yang penuh percintaan. Saya sendiri dahulu menangis apabila berhenti menjadi cikgu. Saya ada membeli naskah Lemoi Praaq yang ditulis oleh Cikgu Bungo Lale perihal pengalaman beliau mengajar anak-anak orang asli Lemoi, saya kira naskah tersebut merupakan naskah yang baik untuk menyambung pembacaan perihal indahnya menjadi warga pendidik.

Maka penulis menulis dalam puisi Gurindam Rasa Hati, "andai jelma rasa sedih, itulah fitrah orang berkasih", begitu menusuk bait ini.

Sebelum saya mengakhiri ulasan saya terhadap naskah istimewa ini, saya ingin berkongsikan sebuah lagi tema yang berjaya saya kutip dalam makalah ini. Iaitu perihal minda yang dibiasakan berfikir tentang ilmu dan pendidikan pastilah tidak sama dengan minda yang hanya disuap hiburan-hiburan ringan. Seperti jasad yang banyak berehat, pasti tidak sama dengan jasad yang kuat bersukan dan beriadah. Tema ini dibicarakan penulis diakhir naskah dalam bahagian penutup. Apabila dibaca, ia seakan pesanan buat diri ini, apakah kita banyak bekerja dan menyumbang, atau sekadar berehat-rehat, memilih kerja-kerja yang senang dan mudah sahaja. Tentulah ia memerlukan satu muhasabah yang panjang.

Naskah ini bagi saya bukan sahaja indah, ia juga penting dalam erti memelihara sejarah persuratan akan sekolah yang kita semua semat di hati. Ia pastilah lebih penting dan indah buat sukarelawan yang pernah sendiri turun dan berbakti di sana. Semoga kita akan dihadiahkan lebih banyak naskah dalam genre ini, yang memelihara kisah, peristiwa, dan sejarah kita. Namun, sebelum kita diberikan hadiah-hadiah seterusnya, haruslah kita menikmati naskah yang telah tersedia ini. Penulis menutup makalah ini dengan baris akhir "doakan untuk penerbitan seterusnya", maknanya ada sinar cahaya bahawa kita akan diberkati dengan karya penulis di masa akan datang.

Bagaimana Mahu Memilih Bidang Pengajian Selepas SPM?

 

Jika anda blur atau tidak tahu bidang apa yang hendak dipilih selepas anda menamatkan pengajian sekolah, usahlah risau. Anda bukanlah pelik, tidak normal, atau tidak punyai keupayaan, sebenarnya ia adalah fenomena biasa. Berbillion-billion manusia di dunia ini sama seperti anda, mereka juga tidak tahu bidang apa yang mahu dipilih.

Sebenarnya soalan ini terlalu awal untuk dijawab dan ditentukan oleh seseorang yang berumur 17 tahun. Dunia ini terlalu besar dan luas, kompleks, penuh dengan risiko dan peluang, mustahil dengan hanya 17 tahun kita bisa memahami dunia yang kompleks ini seterusnya menempatkan diri kita dalam tempat yang sesuai untuk berkhidmat di dalamnya. Jangan kata pelajar 17 tahun, orang dewasa yang berumur 40-50 tahun pun belum tentu dapat merasakan bidang yang dipilihnya dalam hidup adalah bidang yang betul.

Bahkan sebenarnya tiada sebenarnya yang dikatakan “bidang yang betul”, kerana apa yang dirasakan betul itu relatif. Betul atas dasar apa? Atas dasar gaji? Kepuasan diri? Status sosial? Diterima masyarakat? Mungkin ia betul untuk satu fasa kehidupan kita, kemudian menjadi tidak betul apabila kita ke fasa yang lain. Sebab itu jika kita masuk ke alam pekerjaan, kita akan melihat bagaimana adanya orang yang bertukar bidang setelah bekerja lebih 10 tahun, ada orang yang bekerja dalam bidang yang tiada kena mengena dengan kursus pengajiannya sebelum ini.

Jadi jangan risau, jika anda salah memilih bidang sekalipun, ia bukanlah pengakhiran dunia. Pintu pengajian sentiasa terbuka, dunia tidak pernah berhenti untuk memberi kita pelajaran selagi kita membuka minda dan jiwa kita untuk belajar. 

Saya berpandangan belajar merupakan satu proses sepanjang hayat. Ia tidak semestinya formal, tanpa menafikan kepentingan pengajian formal. Pengalaman peribadi saya juga sebenarnya bukanlah seindah seperti apa yang tertulis di atas cv atau resume, saya dahulu juga meminati bidang yang lain. Namun peluang yang datang adalah dalam bidang yang lain, maka saya mengambil peluang itu, mengikutinya. Selepas tamat sarjana muda saya menyambung pengajian dalam bidang sarjana kejuruteraan. Namun saya gagal dalam pengajian tersebut kemudian mula bekerja.

Setelah sekian lama bekerja, saya dapati minat saya mula berubah. Saya tidak berminat lagi dengan bidang kejuruteraan yang saya ikuti sebelum ini. Semasa bekerja saya ada menghabiskan pengajian diploma bersama sebuah institusi professional dan berjaya menjadi ahli persatuan professional. Namun kemudian saya merancang untuk menyambung semula pengajian sarjana saya, cuma kali ini bukan lagi sarjana kejuruteraan, tetapi lebih kepada sarjana dalam bidang sains sosial. Memang begitulah hidup. Kita tidak tahu kemana kita akan pergi, kita tidak tahu apa minat kita yang sebenar, orang yang kita lihat berjaya hari ini pun, satu ketika dahulu mereka juga blur, tidak tahu apa yang harus dia buat di atas muka bumi ini. Itu adalah satu perkara yang normal.

Jadi janganlah takut untuk memilih bidang pengajian apa pun. Boleh jadi bidang itu akan membawa kita mengenali bidang dan peluang lain, ia akan meluaskan lagi pemandangan kita seiring kita berjalan dalam kehidupan. Dunia ini kompleks, mustahil kita tahu semuanya untuk buat keputusan yang betul. Oleh itu kita perlukan pengalaman, dan kita perlu bermula di satu titik. Selepas kita bermula kita akan mula meneroka, meneroka minat dan potensi diri kita. Yang penting kita memulakan perjalanan ini, tidak kira dititik mana pun kita mulakannya.

Saya masih ingat kata-kata CEO saya pada satu ketika dahulu, beliau memimpin syarikat multi-nasional dengan pejabat operasi hampir diseluruh negara di dunia ini. Katanya, jika dia mahu memilih pekerja, dia tidak akan lihat pun apa jenis kursus atau dari universiti mana seseorang itu belajar, asalkan dia mempunyai sijil sarjana muda, sijil itu sekadar untuk membuktikan bahawa dia merupakan seseorang yang pandai menulis, mengira, dan berfikir. Bahkan di tempat kerja saya, ada teman yang mendapat gaji lebih tinggi dari saya atas skil istimewa yang dipelajarinya, walaupun jika dibandingkan dari sudut pendidikan, dia tidak mempunyai sarjana muda pun. Jadi usah risau. Jika anda tidak diterima masuk mana-mana universiti sekali pun, itu bukan bermakna dunia sudah berakhir. Jalan untuk berjaya mempunyai banyak cabang, boleh jadi cabangnya bukan dari cabang universiti.

Saya masih ingat akan seorang teman di sekolah, beliau adalah pelajar tahfiz, dia tidak mengikuti pengajian akademik di tingkatan 1 dan 2, terus melangkah ke tingkatan 3. Namun dia belajar tanpa berputus asa. Siang dan malam dia belajar sehinggalah dia menjadi antara pelajar yang cemerlang semasa SPM, berjaya menamatkan pengajian universiti dalam bidang farmasi, kemudian membuka perniagaan farmasi dengan cawangan di serata negara.

Oleh itu jika ditanyakan kepada saya apakah asas untuk memilih kursus dan bidang selepas tamat SPM? Saya akan menjawab keazaman dalam menuntut ilmu dan kecintaan pada ilmu. Berusahalah memilih, berbincang dengan ibubapa dan guru, dan sambutlah apa pun peluang yang datang. Itu hanya titik permulaan. Selepas itu jangan berhenti, kerana saya percaya belajar itu bukan habis apabila kita mendapat segulung ijazah, ia sepatutnya berakhir apabila kita menjadi jenazah. Sebelum itu sampai, kita perlu menjadi pelajar sepanjang hayat.

Nota-Nota Peribadi di KLAB21


Prelude, sudah lama sebenarnya saya tidak ke pesta buku, kali terakhir adalah pada 2019 sebelum bencana Covid-19 melanda alam semesta. Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2021 (KLAB2021) ini saya dimaklumkan agak last minit, jadi agak kelam kabut sedikit perancangan saya untuk menyusun jadual untuk cuba hadir. Pada mulanya saya merasakan seperti mahu skip, tambah pula perlu pergi ke balai polis untuk meminta kebenaran. Tapi apabila difikirkan semula, sudah terlalu lama saya terperap dan terpuruk, mungkin sudah tiba masa untuk keluar dari tempurung depresi.

Penerbit buku saya, saudara Kiridaren Jayakumar ada memberi surat hasil nasihat dari Tuan Hasri Hasan, dan saya panjangkan surat tersebut kepada pihak polis. Alhamdulillah polis meluluskannya tanpa banyak birokrasi, tidak perlu lagi mengisi borang atau membawa salinan kad pengenalan, pegawai bertugas hanya mengecop surat kebenaran saya untuk merentas negeri. Kemudian yang lebih mendebarkan adalah menghantar permohonan pada isteri, alhamdulillah, juga diluluskan. Akhir sekali adalah kebenaran dari Tuhan, alhamdulillah sekali lagi, saya dikurnia umur dan jodoh untuk hadir bersama.

Namun saya tidak dapat hadir penuh, saya hanya hadir pada hari Ahad, dari jam 10 pagi hingga 10 malam di booth No. 20, The Bibliophile. Saya berharap ada kawan-kawan yang datang, agar saya ada teman bersembang. Bolehlah bertentang mata bertukar khabar tanpa perlu zoom, google meet atau apa-apa aplikasi. Saya juga membawa bersama beberapa keping naskah zine dan buku-buku yang masih berbaki. 


Saya bertolak dari Sungai Petani, Kedah menaiki kereta Myvi sekitar jam 6 petang. Sebelum bertolak saya bersalaman dan berpelukan dengan anak-anak dan isteri. Amni sewaktu itu berumur 6 tahun menangis sebak dan memeluk saya dengan erat dan lama. Adiknya Idlan, 3 tahun pada mulanya tak mahu berpelukan bersama, tapi kemudian apabila melihat kakak dan umminya memeluk saya akhirnya dia pun peluk bersama. Idlan petang itu cool sahaja, melambai saya pergi dengan gembira. Isteri juga melepaskan saya dengan mata yang berkaca. Seram juga saya ketika itu, dalam hati terdetik "adakah ini kali terakhir aku akan melihat mereka?".

Petang itu perjalanannya menenangkan. Seolah ada perasaan kebebasan yang terbit dalam hati saya. Mungkin sudah lama saya tidak kembara dan merantau seperti zaman muda. Dalam perjalanan saya singgah di Shell Sungai Dua bagi mengisi minyak dan menambah nilai kad Touch & Go, juga berhajat untuk membeli secawan Latte Caramel dari mesin Costa Coffee, namun mesin Costa Coffee sedang diservis, terpaksalah saya membeli Bubble Milk Tea dari Tealive sahaja untuk menemani perjalanan. Matahari petang itu sangat cantik, bulat penuh kemerah-merahan menghampiri maghrib. Melintasi Gunung Semanggol hujan mula merintik-rintik meruntunkan lagi jiwa dalam perjalanan. Alhamdulillah sekitar jam 10 malam saya sampai, saya tuliskan di Facebook "Alhamdulillah selamat sampai ke Gombak Darul Azmin" kerana jalan-jalan di Gombak penuh dengan muka dan poster Azmin!

Malam itu ada Zul dan Kakak sekeluarga di rumah bersama ibu. Malam dan keesokan paginya kami bersembang dan berbual perihal hal-hal dan urusan keluarga. Saya memberi tahu ibu bahawa saya mahu berziarah ke pusara ayah pada pagi Ahad, ibu kata dia mahu ikut bersama. Dalam jam 8.30 pagi pada hari Ahad, saya bersama ibu pergi menziarahi pusara ayah. Sempat saya membacakan secangkir Surah Yasin juga titipkan doa, moga pahalanya mengalir buat ayah, dan doa saya agar ayah diterima sebagai orang yang soleh diterima Allah.

"Assalamualaikum Ayah, minggu ni Allah izin Ahmad sempat balik KL sekejap, ziarah ibu. Cucu-cucu ayah semua sihat. Idlan dah boleh bercakap siked-siked. Amni dah nak masuk darjah satu tahun depan. Ahmad cuma nak cakap yang Ahmad.....
.....
.....
.....
.....
.....
.....
.........rindu."

Selepas itu kami pulang ke rumah. Saya bersalaman dengan ibu dan terus menuju Sunway Putra Mall. Saya melihat rate parking seperti agak mahal, RM15 untuk 3 jam pertama dan RM2 untuk jam-jam berikutnya. Saya akan berada disini selama 12 jam, jadi saya mengambil keputusan untuk parking ditepi jalan sahaja, bersebelahan dengan rumah apartmen. Seingat saya, saya pernah parking ditempat yang sama sebelum ini tanpa ada sebarang masalah.

Oleh kerana buku Berfikir Tentang Pemikiran edisi The Bibliophile sudah habis stok, penerbit cuba untuk menyiapkan cetakan kedua untuk acara ini, namun syarikat percetakan tidak dapat memenuhi garis masa tersebut. Maka saya bawakan edisi lama, kalau-kalau ada yang nak membeli, juga sebuah buku antologi puisi Maka Kitab Itu Pun Menyanyi, dua naskah koleksi reviu buku dalam bahasa Inggeris Life Full of Reading, juga yang terbaru, zine Skazka #1. Sekurang-kurangnya ada lah juga buku yang boleh dijual.

Antara booth awal yang saya singgah adalah booth Chempaka Collective, PBAKL2019 saya ada berkongsi booth dengan Cukong Press, mereka ada menjual Mosh Zine, tetapi pada waktu itu saya tidak membeli. Jadi kali ini saya beli sebuah Mosh Zine dari Chempaka, juga bergambar dengan Zine Dari Johor #2 yang mengandungi sebuah artikel saya. Saya ada nampak Nizang berkeliaran di pesta buku, beliau adalah penulis Mosh Zine, saya ingin menegur untuk minta autograph, tapi tak jadi sebab segan!

Kemudian saya singgah ke booth Gadis Buku dan menyapa pemiliknya, Anis A. Azam. Saya kenal Anis dari pembacaan temubual bersamanya pada zine Fagiyu #9. Gadis Buku memfokuskan buku-buku puisi dan sastera. Saya bukanlah seorang pembaca buku puisi dan buku sastera Melayu. Jadi saya bertanyakan kepada Anis, bagi pembaca entry level seperti saya, buku apa yang dicadangkan. Beliau mencadangkan naskah Baris Pertama oleh T. Alias Taib, menurut beliau naskah ini bukanlah buku penuh yang ditulis oleh T. Alias Taib, sebaliknya puisi dan rangkap yang dikumpulkan oleh anak beliau, sebahagiannya tidak pernah diterbitkan, kata Anis ia sesuai sebagai pengenalan kepada puisi-puisi T. Alias Taib. Tapi jika nak membaca terus karyanya terus juga boleh ujar Anis. Saya masih bertatih, jadi saya setuju sahaja untuk membaca naskah pengenalan dahulu. "Selamat menikmati aksara" tulis Anis dalam menurunkan tanda tangan beliau kepada naskah yang saya beli.

Saya kemudian ke booth Fagiyu, saya menegur penjaga booth menyatakan bahawa saya merupakan peminat Petak Daud, beliau sedikit terkejut dan bingung kerana beliau tidak mengenali saya. "Siapa ni ya?" tanya Petak Daud. Saya pun memperkenalkan diri, kami pun ketawa, "tak baik buat suprise macam tu!" kata Petak. Sebelum ini kami hanya berkenalan di Facebook dan Whatsapp, ini baru pertama kali berjumpa. Saya membeli naskah Merenung Matahari Mac tulisan beliau dan meminta dituliskan puisi untuk saya sebagai tanda tangan.

"Fathi,
aku fikir,
kehidupan-
apa pun,
akan membinasa.
Aku fikir,
Fathi,
kita lek je lah.
Mungkin nanti,
kita betul-
betul hidup."
- PTK DD, 12/04/21.

Banyak juga yang saya bualkan dengan Petak Daud, dari perancangan zine, penulisan artikel, pembelian dari Jue di Sungai Petani. Beliau menceritakan bagaimana keretanya rosak pagi tadi ketika mahu datang ke pesta buku. Ya, setiap hari pasti ada tragedi, kecil atau besar, gumam hati saya. Saya bertanyakan pada beliau, kerana saya melihat zine Fagiyu yang dijual masih ada semua edisi dari edisi-1 hingga lah yang paling baru, edisi ke-11. Adakah naskah tidak habis atau dicetak semula? Beliau menerangkan bahawa beliau tidak menggemari idea limited edition. Kebanyakan zine dicetak terhad untuk menjadi eksklusif kepada kawan-kawan. Beliau mahu penulisannya berkembang, jadi pada pandangan beliau tidak boleh dihadkan. Jika habis perlu dicetak semula.

Booth The Bibliophile berjiran dengan booth Studio Anai Anai. Ketika pengunjung mula surut, saya bersembang dengan adik yang menjaga booth Studio Anai Anai. Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Malaya dalam bidang linguistik, sebelum ini beliau bekerja sebagai pembantu farmasi. Saya bertanya akan buku-buku yang dijual, beliau menceritakan dan mencadangkan buku Lemoi Praaq yang ditulis oleh Bungo Lale, kisah perjuangan seorang guru yang mengajar anak-anak orang asli suku Lemoi. Saya punya pengalaman menjadi guru dan pendidik, jadi apa yang beliau ceritakan pada saya itu menarik minat saya, jadi saya beli sebuah naskah. Saya juga ada melepak di booth Tarbiyah Sentap, yang menjual novel-novel Hilal Asyraf, dan bersembang dengan adik yang menjaga booth, tapi saya tidak membeli apa-apa kerana kurang minat membaca novel.

Antara pembaca yang menegur dan bersembang dengan saya adalah Tuan Fadthul Rizal dari Shah Alam, juga Abang Roslan (dari Sarawak jika saya tidak silap). Antara teman sepelajaran yang hadir adalah Akmal Sabri, bersama isteri dan anaknya. Akmal merungut pada saya kerana kesukaran untuk mencari parking. Saya menjawab dengan nada bodoh sombong dan sedikit bangga bahawa saya hanya parking di tepi jalan. Saya parking dahulu dan fikirkan akibatnya kemudian. Dalam tak sedar, sebenarnya tragedi sedang tersenyum sinis pada saya. Saya bertanyakan khabar ibunya yang kini terlantar sakit. Kemudian kami berbincang sedikit perihal kebahagiaan. Bagi Akmal kebahagiaan adalah pilihan, se-sukar manapun cabaran yang dunia timpakan kepada kita, kita boleh bahagia jika kita memilihnya. Saya agak tidak bersetuju dengan pemikiran ini. Mungkin kerana saya juga diserang minor depression pada musim pandemik ini. Pada fikiran saya, orang yang dibelenggu depresi sebagai contoh, tidak memilih untuk menjadi depress, jika dia boleh memilih pastilah dia akan memilih kebahagiaan. Walaupun dia cuba untuk memilih bahagia, perasaannya sendiri mengkhianati dirinya untuk terus dibelenggu depressi. Jika diambil kira contoh ini, tentunya kita tidak dapat mengatakan dengan total bahawa kebahagiaan itu satu pilihan. 

Setelah Akmal pulang, saya ditemani oleh Termidzi Mahmod (Miji), saya meninggalkan pesta buku seketika untuk solat jamak zohor dan asar, kemudian kami ke restoran Pak Jen untuk makan tengahari+malam. Seperti biasa kami mempolemikkan subjek-subjek kontemporari seperti teori konspirasi dan perjuangan gender. Miji menceritakan bahawa dia sekarang ingin step back, dan melepaskan koleksi bukunya, kerana dia merasakan buku-buku ini tidak membantu kehidupannya secara real. Saya membantah pandangan beliau ini, kerana ia kontradik dengan kenyataan beliau sendiri tentang nasihat politik yang dia pernah berikan pada orang lain yang walaupun mereka tidak ingat akan nasihat itu, ia tetap memberi kesan kepada minda mereka secara subtle. Bagi saya ini juga terjadi apabila kita membaca buku, ia mungkin tidak kelihatan seperti mempunyai kesan yang real, namun secara subtle ia merubah gaya fikir kita, mempengaruhi tindak tanduk kita juga mempengaruhi keputusan-keputusan yang kita lakukan dalam hidup.

Kemudian pada sebelah petang sedikit, saya bertemu dengan junior sekolah dari Matri, saudara Amirul Mahzan, lama juga saya mendengar kisah beliau perihal bidang perniagaan yang dia ceburi. Juga saya ada bertemu saudara Ameerul Firdhaus, sejuk sedikit hati apabila sahabat-sahabat besar datang melawat, bersembang dan bertukar gelak jenaka. Dalam pesta kali ini ada juga timbalan menteri, ahli parlimen yang datang, ada yang datang mengunjung, ada juga yang merasmikan buku mereka. Namun satu pun saya tidak dekati untuk bersembang atau bergambar kerana tidak berminat.

"First as a tragedy then as farce" tulis Karl Marx dalam Der 18te Brumaire des Louis Napoleon. Selepas saya bersama salahabat-sahabat lepasan Matri, saya merasa penat, saya kembali ke booth dan mendapati buku Berfikir Tentang Pemikiran yang saya bawa telah habis stok. Maka saya pun turun ke bawah ke kereta untuk mengambil beberapa buah lagi yang saya bawa, tanpa saya ketahui ini adalah permulaan tragedi.

Saya mendapati kereta saya telah hilang, saya bertanya kepada pengawal yang menjaga apartmen berdekatan, kata mereka kereta saya telah ditunda DBKL 2 jam yang lalu dan menasihati saya untuk menalifon Depoh Tahanan Kereta DBKL. Saya pun menghubungi mereka dan mereka mengesahkan bahawa kereta saya ada di depoh dan saya perlu membayar RM115 untuk mengambilnya semula. Hati saya diruntun sedih dan kecewa, namun apakah daya, nasi telah menjadi tragedi. Nasib baik depoh tersebut hanya 7 minit sahaja dari tempat pesta menaiki Grab. Selepas mengambil kereta, saya kembali semula ke pesta buku, kala itu sudah maghrib dan pengunjung sudah mula surut.

Sebelum kami membersihkan booth dan mengemas, Abang Nazmi Yaakob datang singgah bersembang. Saya mengenali beliau dari grup Goodreads Malaysia dimana beliau merupakan salah seorang admin, namun itu adalah kali pertama saya berjumpa dan bersembang dengan beliau. Pada mulanya saya mahu menolong mengangkat buku ke kenderaan, walaupun Amira beberapa kali menyarankan agar saya balik sahaja kerana perjalanan balik yang jauh, Kiridaren juga memberi nasihat yang sama. Saya pada mulanya menunggu juga, namun apabila jam sudah menghampiri jam 10 tetapi kenderaan belum tiba, saya meminta diri untuk pulang.

Dalam berjalanan pulang saya termenung dan berfikir adakah penyertaan saya pada kali ini berbaloi. Jika dicongak dari segi wang ringgit, termasuk duit minyak, tol, juga duit yang di pow oleh DBKL berbanding dengan hasil jualan tentu sahaja tidak berbaloi. Antara objektif utama saya ke KLAB21 adalah untuk mendapatkan tanda tangan Tuan Hasri Hasan. Penterjemah karya ulung The Alchemist ke dalam Bahasa Melayu, beliau juga merupakan penyumbang besar kepada industri buku negara. Alhamdulillah objektif ini tercapai, banyak juga yang saya bualkan dengan beliau perihal penterjemahan, penerbitan juga suasana industri buku negara. Jika ditimbang dengan pengalaman, persahabatan yang terjalin, perbincangan dan idea yang dapat dikutip, bagi saya segala penat lelah dan tragedi ini telah terbayar, perjalanan ini lebih dari berbaloi.

Tiada sebarang sekatan polis yang saya tempuhi semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan balik, ada dua sekatan. Satu selepas keluar tol Juru, pada sekatan ini abang polis tidak check apa-apa. Yang kedua selepas keluar tol Sungai Petani Selatan, hanya pada sekatan ini abang polis memeriksa surat kebenaran, itu pun hanya sekali imbas. Saya tiba semula di Sungai Petani jam 02:13 pagi.

Jumaat, 9 April 2021

Puisi Menyambut Madrasah Ramadhan


Anak Pelawan menepis murka,
Demi chinta, sanggup derita,
Dunia indah dihenti seketika,
untuk sujud mencari Pencipta.

Puteri chantik menangis hiba,
merindu kekasih di tanah Jawa,
Madrasah Ramadhan kini tiba,
moga kita mencapai thaqwa.

Soalan Polemikal Berkenaan Rekomendasi Buku


Kalau orang tanya buku apa yang disarankan untuk baca, ini adalah soalan yang paling susah nak dijawab kerana ia terlalu umum. Biasanya akan dijawab dengan soalan semula.

"Awak minat baca buku apa?"

Falsafah ke agama ke ekonomi ke novel ke puisi ke memoir ke sejarah ke buku kumpulan gambar selfie artis ke? Kerana buku itu sendiri ada banyak jenis, mempunyai banyak rumpun dan genre. Pendapat peribadi saya, tidak mengapa pun jika ditakdirkan buku yang kita pilih untuk baca itu bukan buku yang baik. Dengan itu kita ada pengalaman membaca buku yang bagus dan tidak bagus. Ia akan mengkayakan pengalaman membaca kita, melatih kita untuk membezakan mana buku yang baik dan yang buruk, yang seronok dan membosankan, yang santai dan yang berat. Macam dalam hidup, bila ada kegagalan baru sedap plot cerita untuk kita dendangkan kepada generasi akan datang, sebab hidup ini bukan semua indah sahaja. 

"Adakah aku seorang bibliophile?"

Saya sering menimbang-nimbang soalan ini di dalam kepala.Setelah merenung jauh ke dalam, juga merenung ke dinding kosong, saya merasakan saya bukanlah seorang bibliophile. Sekurang-kurangnya bukan bibliophile secara relatif jika dibandingkan pembaca buku tegar diluar sana. Yang membaca 9-10 buku sebulan. Saya membaca juga, tetapi tidaklah terlalu banyak. Bacaan saya adalah bacaan selektif, saya tidak membeli semua buku yang keluar di pasaran. Sebaliknya membuat kajian, kemudian jika saya temui buku yang saya kira boleh menjawab soala-soalan yang bermain dalam minda. Baru saya beli buku tersebut.

Bibliophile saya kira merupakan orang yang membaca banyak buku, saya rasa buku yang saya baca terlalu sedikit untuk mencapai mustawa ini, saya tidak membaca banyak buku, saya membaca untuk belajar, dan untuk mengejar perkara-perkara yang menarik minda.

Ahad, 28 Mac 2021

Reviu Zine Hubooks Edisi 1


Zine Hubooks Edisi Pertama ini diterbitkan pada bulan Februari 2021. Hubooks adalah sebuah kedai yang menjual buku baru dan terpakai selain menjalankan fungsi perpustakaan, arkib zine, juga pusat berkaitan perbincangan dan kajian berkenaan seni, budaya dan intelektualisme. Zine Hubooks ini mengetengahkan tulisan-tulisan perihal buku, bibliofilia, dan sosiologi buku.

Artikel pertama yang membuka pencak zine ini ditulis oleh Omar Bacok yang ingin mengangkat semula peranan dan sumbangan Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College, Tanjong Malim (PKSI). Dalam kajian beliau, beliau mengutarakan buah fikir bahawa banyak usaha yang dilakukan oleh PKSI tidak diberi kredit dan pengiktirafan oleh kerajaan British dahulu. Ia memberi bayangan salah dalam masyarakat bahawa banyak dokumen terjemahan ini dihasilkan oleh birokrat dan ekspatriat British yang kononnya berjaya menguasai bahasa dan budaya orang Melayu.

Satu tema yang saya kira bagus sekali yang dinaikkan oleh Omar Bacok dalam artikel beliau adalah perihal pemusnahan dokumen. Beliau membawakan petikan kata-kata dari Majid Osman, Pegawai Kebudayaan Dan Perhubongan, Kementerian Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu dalam naskah Peranan Pejabat Karang Mengarang (1960). Majid Osman mengkritik aktiviti membakar minit-minit pelajaran yang mustahak, mengakibatkan tiadanya rekod lengkap di Kementerian Pelajaran selepas Perang Dunia II kerana ia telah dibakar oleh Kementerian Pelajaran sendiri. Hal ini mengingatkan saya perihal sebuah artikel yang pernah saya tulis dahulu berkenaan pembakaran perpustakaan Alexandria dan perpustakaan Louvain, rupa-rupanya kita mempunyai contoh serupa di peringkat tempatan.

Artikel kedua dalam zine ini ditulis oleh Tokobuku Matlelagila perihal keasyikan beliau membaca buku tulisan Arena Wati. Membaca tulisan beliau membangkitkan kesedaran dalam diri saya sendiri, bertapa dalam pembacaan peribadi saya ada lompong yang besar, iaitu kurangnya, atau lebih tepat, hampir tiada pembabacaan rumpun tulisan karyawan melayu klasik. Hal ini mungkin sesuatu yang perlu saya baiki dalam rumpun-rumpun bacaan saya. Beliau menceritakan bagaimana Arena Wati membuat kajian perihal masyarakat Dusun di Sabah dalam bukunya Dusun. Kajian ini kemudian dituang ke dalam karya novel beliau yang bertajuk Royan. Bagi saya, antara kriteria penulis fiksyen yang baik adalah kebolehan penceritaan yang membuatkan pembaca tertanya, adakah ini fiksyen atau kejadian sebenar? Arena Wati mempunyai kebolehan ini berdasarkan pengakuan Tokobuku Matlelagila yang menulis bahawa novel Royan itu menggambarkan perubahan Sabah pada tahun 1970-an dan sama ada watak-watak tersebut adalah benar atau fiksi, beliau tidak ketahui.

Artikel ketiga dalam zine ini ditulis oleh Shahriman Jamalullayl perihal kisah seorang penyapu sampah bibliofil di Mesir bernama 'Ammu Sa'id. Beliau bercita-cita untuk mendalami bidang sastera namun kesempitan hidup memaksanya memburuh dan melupakan pengajian universiti. Namun kecintaan 'Ammu Sa'id pada ilmu luar biasa, beliau menjadi pembaca buku tegar dan sudah membaca hampir 4,000 naskah buku. Malah beliau juga berjaya menguasai bahasa Inggeris dan Perancis hanya dengan belajar sendiri, beliau juga membuat usaha penterjemahan karya secara suka-suka. Kemampuan belajar sendiri ini mengingatkan saya pada sosok Basil Brown, seorang arkeologis dan ahli astronomi yang tidak mempunyai pendidikan formal. Saya juga minat akan cara pembacaan 'Ammu, beliau tidak membaca untuk dilupakan beberapa minit selepas itu, tetapi dihadam dalam pemikiran dan boleh dibahaskan semula dengan lancar. Kisah 'Ammu ini saya kira boleh ditambah sebagai bukti bahawa kerajinan boleh mengatasi kesarjanaan. 

Artikel keempat ditulis oleh Izmal Karim yang mengulang semula perjalanan kali pertama Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Sultan Zainal Abidin III ke England bagi menghadiri majlis pertabalan Raja George VI. Ia mungkin menarik kepada sesiapa yang mengkaji sejarah raja-raja Melayu, namun ia tidak menarik hati saya kerana saya merasakan ia sekadar rekod perjalanan tanpa ada perkara untuk dipelajari. Mungkin yang paling menarik bagi saya adalah pengetahuan bahawa Sultan Johor pernah mengahwini seorang janda dari Scotland iaitu Helen Bartholomew. Tulisan Mohd Dahri dalam artikel kelima juga tidak kuat menarik minat saya, beliau memperihalkan kisah kolektor buku Ronnie Rio, mungkin kerana saya bukan kolektor jadi kesannya kurang meresap dalam diri, saya lebih kepada pembaca sahaja.

Artikel keenam berjajuk Guten Tag Wien ditulis oleh seorang pengkaji otak dan kognitif yang memilih untuk tidak mahu dikenali. Beliau membicarakan kisah berkelana di bumi Vienna untuk mencari ilmu. Namun isi artikel ini agak aneh kerana mengandungi banyak perkataan tati, tatistic, tatisti, yang saya tidak ketahui maknanya. Mungkinkah typo? Ia banyak berulang dan sedikit mengganggu pembacaan. Namun saya minat sekali saranan beliau bahawa kita perlu memberanikan diri membaca buku dalam bahasa asing. Saya dahulu apabila tamat pengajian ada membeli buku Tolstoy dan Dostoevsky dalam bahasa Rusia dari Dom Knigi, Saint Petersburg, Russia yang terletak di Jalan Nevskiy, buku tersebut saya bawa balik ke Malaysia tapi sehingga hari ini tidak berani dibaca, seperti ada sumpahan! Mungkin perlu juga saya telesuri semula dan mengasah kembali bakat terpendam saya dalam memahami Bahasa Rusia.

Artikel ketujuh ditulis oleh Abdullah Husaini perihal perpustakaan tajuknya. Namun isinya lebih seperti sebuah cerpen, dan saya syak ia adalah cerpen satira, namun tetap menarik dan mind-blowing. Beliau memulakan cerekanya dari syarahan John Hickok. Kerana curious, saya ada membuat carian, memang beliau wujud dan ada menulis buku perihal perpustakaan. Husaini kemudiannya membawakan beberapa kisah mistik di Asia Tenggara yang dibacanya dalam buku Hickok sebelum menghantar email kepada beliau. Saya syak sebenarnya beliau bermain kata-kata, cerita Hickok tu cuma layar yang menutupi niat asalnya untuk memperkenalkan cerita, teks, dan buku-buku langka dan mistik.

Artikel kelapan tulisan Abd Halim bin Toha mungkin merupakan artikel kegemaran saya dalam zine ini, saya merasakan ia akan lebih best jika dihurai dengan lebih panjang dan mendalam. Beliau membedah buku Malay Sketches tulisan Frank Swettenham yang diterbitkan pada 1895. Dalam naskah ini Swettenham memperihalkan kisah-kisah masyarakat Melayu dulu-dulu. Ingin saya petik satu perenggan dari tulisan beliau dalam zine ini untuk memberi anda sedikit taste.

"Meskipun Malay Sketches tidak diselitkan sebarang lukisan atau foto, Swettenham bermain dengan lenggok bahasa era Victoria untuk menggambarkan keindahan alam Melayu; hutan tebal menghijau, denai-denai basah berembun, sungai yang menyusur di perlembahan, sehinggalah ke pantai permai yang menyempadani Selat Melaka, dilatari perjalanan siang dan malam bersama mentari Khatulistiwa dan rembulan Timur. Begitulah yang Swettenham lakukan melalui sketsa terakhir berjudul "Evening", melukiskan citra Semenanjung Tanah Melayu dalam rembang senjanya, penuh romantis dan bernostalgia." - Abd Halim bin Toha, Melayu Dulu-Dulu Dalam Malay Sketches.

Artikel kesembilan dan yang terakhir dalam naskah ini adalah tulisan Wan Ahmad Shaufiq yang mengisarkan perihal perkembangan masyarakat Melayu Moden dari lensa drama. Walaupun artikel ini paling ringkas dan pendek, ia tetap menarik terutamanya tentang bagaimana sentimen, peristiwa, dan perkembangan masyarakat mempengaruhi idea drama-drama Melayu. Saya kira tema seperti antara dua darjat ini memang banyak boleh kita telusuri dalam karya lama, seperti melalui cerita P. Ramlee, juga novel kajian disekolah seperti novel Konserto Terakhir. Dikotomi kampung versus bandar ini menggambarkan perkembangan pembangunan yang sedang menjalari negara ketika itu.

Tamat sudah pembacaan zine Hubooks edisi pertama ini, secara keseluruhan ia merupakan zine yang menarik dan meliburkan. Tema bibliofil tentulah antara penyebab ia begitu menarik melalui pemikiran saya. Moga-moga kita boleh menikmati lagi edisi-edisi seterusnya.

Sabtu, 27 Mac 2021

Mitos Bahawa Kita Boleh Kitar Semula Plastik


Minggu ini Malaysia featured dalam Last Week Tonight bersama John Oliver. Topik beliau pada minggu ini adalah mitos yang dipropagandakan kepada kita bahawa untuk menyelesaikan masalah plastik adalah dengan "kitar semula". Jadi jika plastik mencemarkan alam sekitar, ia bukan salah syarikat yang menghasilkannya dan mengaut keuntungan tanpa menanggung kos pencemaran, tapi salah kita sebagai pengguna kerana "tidak kitar semula". Dengan propaganda ini, industri plastik boleh terus berkembang, dan masyarakat tidak akan menyalahkan mereka atas pencemaran, kerana telah dipropagandakan bahawa plastik boleh dikitar semula, the fault has been shifted to consumers.

Boleh lihat episod beliau disini.

Saya sebenarnya telah pun menulis perihal hal ini, kononnya masalah pencemaran plastik ini boleh kita selesaikan dengan kitar semula. Saya petik semula apa yang saya tulis tahun lepas di laman Borneo Komrad

"Beralih kepada masalah plastik domestik. Sebesar mana industri plastik Malaysia? Penghasilan produk plastik merupakan industri pembuatan yang paling rancak dalam sektor pembuatan di Malaysia menurut laporan Bernama pada November 2019. Dalam tempoh 9 bulan pertama sahaja bagi tahun 2019, nilai dagangan industri plastik adalah sebanyak RM19.76 billion. Disini kita dapati satu paradoks, satu disconnect, di satu sudut kementerian lain berkempen untuk mengurangkan penggunaan plastik, di satu sudut yang lain kementerian lain mengembangkan industri plastik. Buat apa dikembangkan jika dikempen untuk dikurangkan penggunaan?

Ini adalah mitos utama pencemaran plastik, iaitu kita dapat mengurangkan pencemaran plastik melalui kempen, melalui pengurangan penggunaan, dan melalui kitar semula. Namun hakikatnya, dan akhirnya, kita tetap akan menggunakan plastik setiap hari.

Jika benar kita mahu menghentikan penggunaan plastik dan pencemaran plastik, adalah dengan kita menghentikan pengeluaran plastik. Ini adalah sebab terjadinya masalah ini, ini adalah puncanya, jika puncanya tidak kita selesaikan, kita sebenarnya melakukan kempen yang sia-sia, membazir duit, masa, dan tenaga. Kempen-kempen itu tak lebih dari sekadar mahu menyedapkan hati, kononnya kita sudah buat “sesuatu” walaupun sebenarnya “sesuatu” itu adalah sia-sia. Adakah kita sanggup hilang RM19.76 billion dari kitaran ekonomi negara? Jika jawapannya tidak, kita perlu sedar, apabila bumi ini tercemar, dan manusia sakit dan mati, RM 19.76 billion itu tidak akan membantu kita. Apa guna kekayaan ekonomi tanpa manusia yang boleh hidup untuk memanfaatkannya."

Selasa, 16 Mac 2021

Kehidupan Adalah Tarik Tali


Apabila kita lahir, dunia kita sangat kecil, apa yang kita kenal mungkin hanya ibu bapa kita juga adik beradik. Kemudian apabila kita bersekolah dunia kita membesar sedikit. Selepas kita belajar dari satu peringkat ke peringkat seterusnya kita semakin faham bahawa dunia sebenarnya lebih besar. Semakin kita selidiki, kita ketahui bahawa masih banyak lagi sempadan yang tidak pernah kita seberangi. Dunia semakin membesar. Dan mungkin sampai satu ketika, kita akan merasakan bahawa dunia ini terlalu besar untuk kita yang kerdil ini. Atau dalam bahasa Inggeris - overwhelming.

Kadangkala, apabila kehidupan kita kosong dari aktiviti. Kita mula mencari, mana organisasi yang boleh kita sertai, apa aktiviti yang boleh kita anjurkan, aktiviti yang boleh kita sertai, kita malah sudi menerima tanggungjawab dan memegang jawatan dalam organisasi. Namun, semakin lama kita beraktiviti, semakin kita aktif, orang akan melihat kita dan memberi lebih banyak lagi bebanan pada kita, hingga akhirnya kita lelah.

Apabila kita lelah, kita mula merasa sesak, merasakan lemas, seolah tiada masa untuk diri sendiri, tiada masa untuk bernafas. Kita mula sedikit demi sedikit melangkah ke belakang. Melepaskan tangungjawab-tanggungjawab, mencari masa untuk menyendiri, beruzlah mencari diri. Atau mungkin jika bebanan itu terlalu berat, jiwa kita akan patah, kita terus meninggalkan semua projek dan aktiviti yang sedang kita buat, lalui, sertai, dan jalani. Semakin lama kita tinggalkan, dunia kita akan rasa banyak isi kosong semula, kita mula mencari semula apa yang boleh kita isi, seperti kitaran ia berulang. Seperti tarik tali, kita tidak mahu ia kosong, dalam masa tidak mahu ia terlalu penuh sehingga kita sesak. Untuk jumpa garis wasatiyyah itu memang sukar, kehidupan adalah proses tarik tali untuk mencari middle ground.

Dahulu saya merasakan kegelapan pemikiran itu satu perkara yang dibuat-buat, namun apabila tiba masa saya merasakannya sendiri, ternyata ia benar, disedut masuk dalam pemikiran yang gelap dan sedih itu ternyata benar. Perasaan depresi itu membenarkannya. Ketika itu kita melihat dunia pudar dari semua warnanya, lagu dan irama indah yang menghiasi ruang udara juga menghilang, senyap dari kicipan merdu mergastua dipagi hari. Mungkin yang paling kritikal adalah lenyapnya kegembiraan dari lubuk hati yang dijalari lara. Dalam proses duka lara ini saya merasakan bahawa lagu-lagu lama itu persis seperti mesin masa. Ia memerangkap perasaan-perasaan kita di dahulu kala, dan apabila ia diputar semula, perasaan lama juga mula menjalari hati kita. Rasa sayunya berganda-ganda, rasa rindu, rasa kehilangan, semunya menghentam dan meremukkan hati.

Ahad, 7 Mac 2021

Memaknai Rumi: Siri 11


 "Love, without which the world does not evolve." (55)

Ada benarnya gumaman Rumi dalam bait ini, perihal pentingnya cinta dalam menggerakkan dunia. Cintalah yang menyebabkan kita mengasihi dan menyayangi pasangan kita, dan dari kasih itu lahir anak-anak baru yang bakal meneruskan kehidupan di dunia. Kecintaan kita pada Tuhan memberi kita asbab untuk berlaku baik dan menyusun kehidupan dunia sebaik yang kita mampu. Kecintaan kita pada ilmu juga misalnya, membuatkan kita meneroka dan mencipta, yang akhirnya menjadikan kehidupan manusia lebih mudah dan bertahan lama.

Namun ini tidak menafikan adanya kebencian dalam dunia ini, ada perkara yang dilakukan atas dasar benci, atas dasar tidak suka. Namun ia tidak bertahan lama, perlakuan itu tidak melahirkan generasi baru, malah seringkali merosakkan, menghancurkan, juga membantutkan perkembangan ketamadunan manusia.

"Do not act in such heat." (56)

Bait ini merupakan amaran, agar kita berhenti berkelakuan apabila diri kita dikawal emosi dan amarah. Emosi ini mungkin saja merupakan perasaan marah, atau kecewa, atau ketika mana akal rasional kita tidak berfungsi sepenuhnya kerana dikawal oleh keghairahan syahwat. Pada ketika itu elok kita duduk diam, mententeramkan diri, sehinggalah akal kita kembali, dan kita mampu mengawal diri. Keputusan dan tindakan yang kita lakukan tanpa sedar ketika kita sedang dikawal emosi sering akan kita sesali di kemudian hari. Ia mungkin sesuatu yang kita tidak boleh padam semula atau tidak boleh kita tarik balik.

"Having the idea is not living,
the reality, of anything.
There's no courage in the idea of battle" (58)

Bait ini bagi saya punya satu pesanan yang dalam. Menyuruh kita bukan hanya berteori tetapi mengotorkan tangan. Bukan bersembang bab kemiskinan tetapi pergi keluar membantu orang miskin, bukan sibuk bersyarah tentang kebahagiaan tetapi berusaha membahagiakan diri, bukan bersembang untuk berjuang tetapi keluar berpeluh dan berpenat di arena perjuangan. Kehidupan sebenar menurut Rumi adalah diluar sana, bukan dalam perangkap pemikiran.

"A branch of blossom does not look like seed" (60)

Dalam bait ini saya membacanya dengan agak filosofikal. Saya teringat akan dialektik Hegel, mungkin juga Hegel mendapat idea dialektiknya dari Rumi. Benih yang berubah menjadi sebatang pohon dan mengeluarkan bunga adalah tumbuhan yang sama, tetapi masing-masing adalah objek yang berbeza. Masing-masing punyai warna berlainan, kelembutan berlainan, bau berlainan, juga rasa yang berlainan, walaupun asalnya adalah tumbuhan yang sama. Dialektik Hegel membawakan konsep perubahan dalam kerangka falsafah ini, walaupun perubahan berlaku, kita melihat sesuatu yang baru, namun di lapisan falsafah ia berasal dari perkara yang sama, perubahan itu bergantung kepada bentuk sebelumnya. Tanpa bentuk sebelumnya perubahan itu tidak dapat berhasil.

Itulah hakikat kehidupan, hakikat kehidupan adalah perubahan. Dari hidup kepada mati. Dari tiada kepada kelahiran. Dari tua kepada muda. Semuanya berubah. Saya teringat akan kisah ombak kecil yang diceritakan Morrie, ombak itu sangat takut untuk menghampiri pantai, kerana dia akan terhempas, dan hilang. Menghempas pantai dan hilang itu seolah satu kematian yang menakutkan bagi si ombak kecil. Maka ombak besar menasihatinya, kau bukan ombak tetapi sebahagian dari lautan. 

Sekolah Politik 2.0 Minggu Pertama: Negara & Negara Bangsa


Alhamdulillah, hari ini sempat menyertai program Sekolah Politik 2.0 yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL). Untuk minggu pertama yang dianjurkan pada 06 Mac 2021. Program ini saya kira sangat baik, untuk kuliah minggu pertama ini saya dapati kuliahnya disampaikan dengan neutral, tidak berbentuk indoktrinasi, dan terbuka pada perbezaan pendapat dan pandangan.

Program pada kali pertama ini agak kelakar juga pada mulanya, kerana majlis pelancaran yang dikatakan akan bermula pada jam 10 pagi tertunda selama 20 minit. Hal ini menjadikan chat box di applikasi Zoom begitu meriah. Ada yang menasihatkan pemimpin agar tidak lambat dan menghormati masa peserta, ada yang mengatakan ini adalah perkara biasa dalam program dengan menteri, ada juga yang cuba menenangkan peserta dengan slogan "sabar anak muda", dan ada juga meminta untuk memilih lagu kerana bosan dengan lagu tema yang diulang-ulang.

Selepas lewat 20 minit, akhirnya majlis dibuka dengan kata aluan oleh Saudara Jufitri Joha, presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Beliau menerangkan bahawa Sekolah Politik pertama pernah diadakan 2 tahun lepas. Beliau juga memaklumkan bahawa MBM adalah platform non-partisan yang merentasi agama, kaum, dan fahaman politik. Bagi Jufitri, anak muda minat pada politik cuma mereka tidak minat politik elit, politik berdasarkan kabilah, dan menyarankan agar anak muda membina iklim politik baru. MBM katanya hendak membawa suara anak muda, yang merupakan teras demokrasi. Dalam situasi sekarang, katanya, kita hanya ada 30 ahli parlimen muda tetapi kita memerlukan "adult youth decision making". Kerana akhirnya kita semua akan terkesan dengan polisi yang dibuat pemerintah. Hak orang muda salah satunya adalah hak berpartisipasi dalam politik. Beliau memetik kata-kata Amartya Sen bahawa "democracy is a universal value”.

Kemudian majlis diteruskan dengan sepatah dua kata oleh Dr. Amer Saifude Ghazali, Timbalan Pengerusi, UMCEDEL. Beliau memaklumkan bahawa salah satu matlamat UMCEDEL adalah untuk mendidik masyarakat dalam pendidikan politik, semua rakyat termasuk golongan belia. Beliau membawakan teori kenapa rakyat tidak mahu berpolitik, menurutnya belia lebih cenderung termasuk ke dalam “teori kemahuan politik”, yakni tiada pihak yang mendekati, tidak berkempen pada mereka, sebab itu mereka tiada kemahuan. Oleh kerana kerajaan telah turunkan umur mengundi kepada 18 tahun, bagi beliau kesedaran politik kepada anak muda adalah penting, sama ada sokong kerajaan atau pembangkang tak mengapa, janji mereka faham apa itu politik. Persoalan politik adalah persoalan semua pihik, ia milik semua, bukan milik ahli politik atau veteran sahaja, kita semua ada peranan dalam politik. Kita kena faham hak kita sebagai rakyat.

Kemudian majlis dirasmikan oleh Senator Wan Ahmad Fayhsal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Beliau menceritakan bagaimana di peringkat KBS, mereka sedang merancang Sekolah Rukun Negara. Statistik kesedaran politik dalam kalangan belia menurut beliau masih lemah, badan pemikir seperti IRIS yang mengukur persepsi dan isu belia melalui indeks sosialisasi politik menyimpulkan bahawa penyertaan dan kefahaman anak muda dalam politik sangat lemah. Indeks menunjukkan penyertaan yang sangat rendah. Meski pun diberi hak mengundi, mereka tidak akan mengundi kerana tiada kearifan. Jadi perlu usaha untuk menyantuni mereka. Beliau kemudian menerangkan bahawa lawan pada demokrasi adalah demagogeri, demagogari adalah kepimpinan yang menggunakan prejudis dan kebatilan, mereka menggunakan sentimen untuk kekuasaan, bukan “ratio”. Beliau kemudian memetik kearifan dari buku The Revolt of Masses tulisan ahli falsafah Sepanyol, José Ortega Gasset yang menurut beliau sering disebut oleh Anwar Ibrahim. Rakyat direndahkan menjadi konsumer. Beliau membawa contoh bagaimana masyarakat tercerah seperti German yang hebat falsafah dan budayanya boleh mengankat fasis Hitler, something wrong somewhere. Oleh itu, katanya, kita nak elak ke arah itu. Proses pendidikan politik juga perlu ada unsur gamification untuk santuni warga luar bandar, contohnya seperti golongan belia Felda. Kepentingan pendidikan politik ini menurutnya sudah lama difahami oleh parti politik negara, sebab itu setiap parti ada madrasah politik mereka yang melahirkan persona politik muda yang kita ada pada hari ini seperti Nik Nazmi, Hilman, dan Afif Baharudin.

Tamat perasmian, akhirnya kelas minggu pertama dimulakan. Kelas ini dibentangkan oleh Saudara Akmal Hisham yang membawa tajuk "Negara & Negara Bangsa". Di bawah adalah sedikit nota saya dari pembentangan beliau.


Akmal Hisham Abdul Rahim
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Institut Reformasi Politik & Demokrasi (REFORM)
Tajuk: Negara & Negara Bahasa

Sistem politik awal adalah sistem monarki yang berdasarkan keturunan. States dan Government sering disamakan namun sebenarnya dua entiti berbeza. Bila kita kritik kerajaan bukan bererti kita kritik negara. Kita mengamalkan demokrasi berparlimen. Negara punya 4 ciri utama iaitu manusia, wilayah, kerajaan, dan kedaulatan. Manusia boleh hidup bersama atau berkonflik. Semua tanah di dunia hari ini dimiliki oleh negara kecuali antartika.

Palestin, adakah ia sebuah negara? Menurut takrifan sains politik ia bukan negara kerana tiada kedaulatan, namun negara kita mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Trias Politika: Eksekutif, Legislatif, Kehakiman. Adakah ada pemisahan atau kesatuan kuasa? Ini bergantung pada sudut pandang. Ada yang berpandangan eksekutif dan legislatif merupakan satu badan yang sama. Malah kehakiman juga dilantik agung dari nasihat perdana menteri, hal ini menunjukkan satu bentuk kesatuan bukan pemisahan.

Negara bangsa adalah negara berdaulat dan didiami oleh satu bangsa. Bangsa mungkin boleh ditakrif sebagai ras, etnik atau warganegara. Apa yang kita bayangkan sebagai Bangsa Malaysia? Pasti kita punya bayangan dan tafsiran yang berlainan. Amerika adalah contoh melting pot society, masyarakat yang belbagai kaum. Beliau kemudian menghuraikan tulisan Rustam A. Sani yang menyatakan bahawa “Kebanyakan gerakan nasionalisme bangsa akhirnya menjadi sebuah negara. Nasionalisme Melayu adalah sebuah nasionalisme yang gagal mendirikan negara”. Gagal ini dalam erti kata gagal menubuhkan negara bangsa, sebaliknya kita menubuhkan negara dengan pelbagai bangsa.

Triti Westphalia (1648) disentuh sebagai titik permulaan dalam sejarah bermulanya gerakan kearah pembentukan negara bangsa di dunia. Dalam triti ini kuasa diseimbangkan, kuasa agama berkurang dan setiap raja punya wilayah tetap mengakhiri 30 tahun peperangan. Pada waktu tersebut konsep pemerintahan yang popular adalah konsep empayar. Pada waktu itu juga berlaku pertembungan dalam agama kristian, apa yang disebut oleh Graham Fuller sebagai "the great schism". Protestant dianggap ancaman, monarki yang menentukan versi Kristian mana yang diikuti, jika rakyat menganut fahaman kristian yang berbeza dengan monarki, ia dianggap subversif. Saya teringat akan buku Henry Kissinger yang bertajuk World Order yang membincangkan dengan terperinci perihal Triti Westphalia ini.

Menurut Akmal Hisham, negara kita masih muda, beliau menukilkan pandangan Prof. Shamsul Amri perihal negara yakni ia mempunyai 4 ciri utama iaitu kaum, kelas, budaya dan identiti. Polisi negara kita sehingga hari ini masih terpecah pada kaum. Ia berbeza dengan tafsiran Anthony Milner yang berpendapat bahawa negara adalah class based – kelas pemerintah dan diperintah.

Pada 1965, parlimen keluarkan Singapura, jadi kita boleh katakan bahawa pada 1965 kita menjadi negara baru. Akmal Hisham turut membangkitkan persoalan adakah kita boleh mewujudkan "Bangsa Malaysia”? Sedangkan eksekutif kita adalah politikus, yang ada kepentingan, mereka akan mengikut kecenderungan rakyat. Pada pandangan beliau, hari ini, ABIM menjuarai konsep “Bangsa Malaysia”. Nasionalisme adalah sentimen yang kuat melawan penjajah dan anti-kolonial. Tapi semangat kekitaan ini atas dasar apa? Bila kita berjaya keluarkan penjajah, what next? Kita bergaduh dalam kalangan kita sendiri. Kita perlu menerima bahawa zaman kita ini, kita mengamalakan konsep negara bangsa. Nasionalisme mempunyai sisi positif dan negatif. Malaysia tak boleh hidup bersendirian, kita kena berurus niaga dengan negara lain. Demokrasi ada cacat cela, Hitler sendiri naik ke puncak kuasa melalui demokrasi, tetapi demokrasi adalah sistem terbaik pada zaman ini untuk mengekalkan keharmonian.

Saya merasakan perkongsian saudara Akmal Hisham ini satu perkongsian yang menarik walaupun ia lebih membangkitkan soalan berbanding memberi jawapan. Ia membuka perbincangan dan tidak didaktik. Beliau juga memberikan senarai bacaan untuk kajian lanjut. Antara buku yang beliau cadangkan:

1. Nasionalisme Melayu tulisan William R. Roff hasil terjemahan Ahmad Boestamam.
2. Ke Mana Nasionalisme Melayu tulisan Rustam A. Sani.
3. Imagined Communities oleh Benedict Anderson.
4. Failed Nation? Concerns of a Malaysian Nationalist oleh Rustam A. Sani.

Khamis, 4 Mac 2021

Reviu Buku: Berfikir Macam Seorang Champion tulisan Syafiq Aizat Mahamad Fuad

 

Alhamdulillah, selesai membaca sebuah naskah motivasi yang ditulis oleh seorang teman. Sebenarnya buku ini sudah lama beliau hadiahkan kepada saya, semasa pertemuan kami di tengah lebuh raya di Shell Sungai Dua, Pulau Pinang. Namun takdir Tuhan saya tidak sempat membeleknya secara serius hinggalah ke hari ini. Saya tidak pasti adakah saya sudah membalas hadiah beliau dengan naskah buku saya, jadi buat Syafiq Aizat, jika belum, mai la tuntut! Syafiq Aizat merupakan salah seorang idola saya, kerana dia dahulu menulis buku dari saya. Ada juga ketika saya mendapatkan nasihat dari beliau sebelum saya menerbitkan buku sendiri.

Naskah ini tidak padat dengan aksara, banyak disertai dengan grafik dan juga komik, mungkin ini sesuai dengan target audience beliau, iaitu pelajar sekolah kerana beliau merupakan seorang fasilitator. Saya secara personal, lebih minat membaca buku dengan gambar yang minimal, kecuali mungkin buku bergenre memoir atau sejarah. Namun itu preferences saya, jadi tidaklah ia satu kesalahan, bak kata pepatah, lain padang lain belalang, lain orang lain sudut pandang! Juga bagi saya, kekurangan buku ini adalah muka suratnya tidak dinomborkan, ini bagi saya merupakan perkara yang merungsingkan saya sebagai pembaca tradisional.

Baik, cukup sekadar itu kritikan terhadap teknikaliti dan anatomi buku, mari kita tinjau isinya. Sudah tentu saya tidak akan mengulas semua isinya, kerana untuk keseluruhan isi lebih baik anda bacanya sendiri. Saya hanya akan mengulas beberapa isi yang dekat dengan hati dan fikiran saya.

Yang pertama adalah perlunya kita menulis matlamat yang hendak kita kecapi (cara ke-2). Menurut beliau, hal ini adalah penting kerana limitasi otak kita yang mudah lupa, manusia bukan Google yang boleh memuntahkan semua maklumat lalu dalam masa yang singkat. Adakalanya perkara yang ingin kita ingati tidak datang, otak kita tidak mahu bekerjasama. Jadi perlu ia disimpan dalam bentuk tulisan. Saya kira perkara ini boleh dikembangkan bukan terhenti pada matlamat sahaja, bagi saya pemikiran bagus yang terlintas di minda, idea yang tiba-tiba muncul ketika memandu kereta, perasaan yang tiba-tiba meresap ke dalam hati ketika mandi, semuanya wajar kita tuliskan. Wajar kita susun menjadi satu simpanan. Masa akan menjadikan kita tua, ia memamah semuanya, ada satu ketika kita akan semak semula simpanan itu dan hati kita akan berbunga, terkenang, bahkan mungkin air mata akan terlinang.

Kedua, beliau menyarankan kita untuk menulis pencapaian kita (cara ke-8). Beliau menerangkan bahawa tiada alat yang dicipta setakat ini yang boleh mengukur kejayaan. Tetapi proses mencapai kejayaan itu boleh kita ukur, caranya adalah dengan menyimpan diari, apa yang telah kita lakukan setiap hari untuk mencapai matlamat yang kita hajati. Di situ kita akan nampak, ada hari yang kita guna sebaiknya, ada hari yang habis dengan termenung! Jika kita mencapai kejayaan-kejayaan kecil juga harus kita rekodkan dalam tulisan, dari situ kita boleh melihat perkembangan dan progress kita untuk mencapai kejayaan. Dengan mengumpul kejayaan-kejayaan kecil ini, kita nantinya akan menyedari bahawa jika ia dikira secara kumulatif, ia sebenarnya kejayaan yang besar! Namun jika tidak ditulis, ia umpama angin rindu malam yang berlalu, esoknya kita pun tak sedar dan tak ingat apa yang telah kita lalui atau apa yang telah kita capai.

Ketiga, adalah perihal membaca, yang merupakan cara ke-34 dalam naskah ini untuk mencapai kejayaan. Saya tidak ada masalah dengan mengaitkan buku dengan kejayaan secara umumnya. Cuma bagi saya, insan seperti Mark Zuckerberg dan Bill Gates bukanlah tanda aras kejayaan, dan selain "membaca" dua insan ini punya banyak kelebihan lain dari segi ekonomi dan pendidikan yang membolehkan mereka berjaya. Saya bersetuju dengan pandangan apa yang penting adalah manfaat yang kita ambil dalam bacaan, Syafiq Aizat menggalakkan pembaca menandakan buku apabila sampai ke bahagian yang kita minati, fikirkan kesan tambah nilai yang boleh diperolehi untuk diri kita, juga cuba untuk mendapatkan kemahiran dari bahan bacaan, ini semua perkara yang saya setuju. Namun saya tidak bersetuju bahawa kita hanya pilih bahagian yang yang penting sahaja, saya lebih bermazhab membaca keseluruhan buku, kulit ke kulit, apa yang kita rasa tidak penting sekarang, mungkin akan menjadi satu yang penting di masa hadapan.

Keempat, yang merupakan cara ke-36 dalam naskah ini adalah perihal berfikir. Dalam hal ini Syafiq Aizat membuat satu ujian minda untuk membuktikan bahawa kita tidak boleh berhenti berfikir. Pada pandangan saya kecenderungan kita untuk sentiasa berfikir bukanlah perkara yang positif. Sebaliknya dalam hal ini saya bermazhab Eckhart Tolle, otak kita harus kita gunakan seperti alatan lain. Kita aktifkan apabila kita memerlukannya, dan kita nyah-aktifkan apabila kita tidak menggunakannya. Jika kita aktifkannya sepanjang masa, berfikir sepanjang masa, kita akan cepat penat, malah mungkin boleh jadi gila. Untuk nyah-aktifkan otak untuk berhenti berfikir bukanlah sesuatu yang mudah, ia perlu latihan juga "kesedaran", sedar bahawa sekarang adalah masa untuk rehat bukan berfikir. Dengan kaedah ini kita mampu berfikir dengan lebih tajam dan berstrategi, dan berehat apabila perlu, "merasa hidup sekarang" bak kata Tolle.

Secara keseluruhan, saya merasakan ini adalah buku motivasi yang baik untuk pelajar sekolah, ia tidak dipenuhi dengan perkataan dan perenggan panjang yang mungkin akan menjadikan pembaca muda cepat mengantuk. Sebaliknya ia mesra pembaca muda dengan lakaran, komik, dan grafik. Tahniah saya ucapkan buat penulis muda idola saya ini, Saudara Syafiq Aizat Mahamad Fuad.

Reviu Zine Fagiyu #10


Isu ke-10 zine Fagiyu seperti biasa tidak mengecewakan. Ia dimulakan dengan bual bicara bersama seorang penyajak muda yang berpindah dari Johor ke Kuantan, Pahang dan mengusahakan rumah makan Ah Lee, iaitu Ali Adenan. Bual bicara ini berkisar perjuangan, kehidupan, perniagaan sate dan mee rebus, juga pengaruh WS Rendra terhadap karya seni Ali Adenan. Mungkin paling menangkap fikiran adalah rangkap baris puisi WS Rendra dalam Sajak Pertemuan Mahasiswa, baris ini berbunyi "Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini, akan menjadi alat pembebasan, atau alat penindasan?". Padu beb.

Catatan pengalaman Cordon Sanitaire oleh Abdul Fatah pula mengisahkan perihal bagaimana dunia kehidupan berubah dek kerana virus Korona. Beliau juga berkongsi pengalam dijangkiti virus ini. Saya tertarik dengan nasihat Abdul Fatah perihal apa yang perlu dilakukan orang muda. Bagi beliau orang muda tidak seharusnya bergaduh perihal agama dan politik, itu adalah tugas orang tua. Orang muda harus maki ahli politik sekali sahaja, kemudian kembali menuang tenaga pada kerja-kerjanya mencerahkan masyarakat dalam soal hal miskin bandar, anak tak bersekolah, masalah ketagihan dadah, juga pengabaian anak-anak kerana ibubapa yang gemar berjudi. Ini adalah fungsi orang muda menurutnya.

Fagiyuuroskop oleh Erin pula mengandungi nasihat-nasihat untuk kita meneruskan kehidupan dan pekerjaan. Ada juga tilikan horoskop yang mengarut dan wajar untuk tidak dipercayai, tetapi nasihat-nasihat itu harus kita hargai. Tulisan Syafix Saadon dalam Garis Masa Punk Pandemik saya kira merupakan satu kisah yang ditulis dengan kelakar. Saya tertawa sendirian membacanya sambil mencicah biskut Hup Seng ke dalam cawan kopi suam. Beliau mengisahkan pengalamannya menghadiri gig kumpulan kugiran punk Kelantan, No Good. Antara baris yang berjaya membuat saya ketawa adalah tulisan beliau bahawa ketika konsert, hadirin "yang sopan terpukau tadi melompat bagai dirasuk syaitan nirrojim", beliau juga menulis virus korona sebagai "coronasetan" kerana menghalangnya untuk menghadiri gig kali kedua. Ha ha ha.

Bingkisan oleh Yaya Ashim perihal Teater Virtual Malam Keliwon @ Colonial pada saya merupakan bingkisan yang ringkas. Saya juga tertanya-tanya bagaimana teater boleh dipersembahkan melalui Zoom dengan pelakon semuanya di lokasi berbeza. Sungguh ia adalah satu cabaran buat penggiat seni yang tidak mahu mati. Diserang pandemik pun masih teguh berdiri. Update perihal industri musik membawakan bual-tanya bersama band Wolgaja.

Saya memang meminati subjek pembacaan dan penulisan. Jadi ulasan perihal zine Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk adalah salah satu segmen yang dekat dengan minat saya. Antara tajuk yang menangkap pemerhatian saya adalah puisi Di Mana Anarkis Pada Usia 30-an tulisan Sue Emoqwin. Walaupun tidak diulas dalam zine ini, juga tidak dipetik puisinya, ia mengingatkan saya perihal pertanyaan seorang komrad tentang hilangnya aktivis gerakan Islam apabila mereka keluar dari universiti, walaupun dahulunya mereka merupakan mas'ul dan mas'ulah. Persoalan ini nyata terjadi juga buat gerakan ideologi lain, mungkin itu sifat manusia, berideologi di masa muda, namun apabila melangkah ke alam realiti mereka sedar bahawa untuk melangsungkan hidup, mereka perlu menyesuaikan diri walaupun terkorbannya ideologi. Puisi-puisi ini juga merupakan rekod suara anak muda yang punya kesedaran tentang masalah-masalah yang menimpa masyarakat.

Zine kedua yang diulas adalah Varian Bias, kumpulan sajak dan prosa yang ditulis oleh Ruby M. Aris. Namun dalam ulasan zine kedua ini, aspek penulisan juga falsafah berpuisi lebih meresap kedalam minda saya berbanding ulasan zine. Perihal pentingnya prakata bagi buku, ada yang mencadangkan ia ditulis sampai 20 muka surat untuk menyediakan pembaca menghadapi halaman seterusnya. Saya gemar sekali petikan pandangan Sue Emoqwin perihal falsafah berpuisi, bagi beliau puisi membuka ruang peribadi pemuisi pada dunia, pemuisi ingin berkongsi namun dalam masa yang sama bertarik-tali dengan perasaan ingin menyembunyi. Pemuisi harus membuat keputusan apa yang ingin diberi dan apa yang disimpan. Bagi Sue, puisi adalah bahasa yang paling hening.

Pada kolum puisi, ada puisi berkenaan dengan Covid-19 oleh Lucy M dan Sarrah Rahim. Ada baris puisi dari Petak Daud yang saya rasakan sangat tajam unsur perlawanannya, berbunyi "kencingya keras, banjirnya deras" pada bait kiasan awalnya, saya tilik ia sedang menkritik sebuah negeri di Pantai Timur yang ditadbir oleh parti Bulan. Ada satu puisi ditulis oleh tulisantigapagi yang saya rasa tak dapat ditafsir manusia, saya merasakan ia bukan puisi, mungkin anak main phone, puisi ini bertajuk Percuma, saya tanyakan Petak Daud akan maknanya, beliau menjawab bahawa (saya quote verbatim): 

"Puisi begini antara puisi berbentuk yang selalu dibincangkan orang, adakah ianya puisi atau apa. Barangkali ada sesuatu yang ingin disampaikan/dipermainkan/diperolokkan oleh penulis."

Puisi lain yang ditulis oleh tulisantigapagi dalam zine ini adalah Aku Taknak Mati; Kadang2 Harap Aku Tak Pernah Lahir, June, Akutanpakau. Kemudian dua puisi singkat oleh Musalman Toya perihan kesunyian dan kerinduan. Akhir sekali adalah cerpen tulisan Benazir perihal pengkhianatan dua orang bekas temannya dan juga perihal perubahan manusia dalam hidup. Zine yang ke-10 Fagiyu ini meraikan keluaran mereka yang ke-10 dengan menyenaraikan semua yang menyokong dan menyumbang kepada penerbitan mereka yang kini memasuki 10 edisi. Kata-kata akhirnya adalah:

"Terus hidup! Dibunuh-bunuh pun, tetap hidup!".