Pada 30
Mei 2021 yang lalu saya berkesempatan untuk ke udara di laman Neo-Melayu bersamaSaudara Iqbal Harraz dalam sesi bual bicara untuk membincangkan tajuk “Melihat
Sejarah Pembebasan Palestin Dari Sudut Perjuangan Kelompok Kiri”. Saya kira
pihak Neo-Melayu banyak mengadakan perbincangan dan wacana yang segar yang
sangat baik sebagai makanan intelektual buat masyarakat. Walaupun saya tidaklah
mampu untuk mengikuti kesemuanya, namun ada juga yang saya ikuti terutamanya
yang kontroversi, seperti wacana yang membincangkan pemikiran Ustaz Noor Deros,
saya harap pihak Neo-Melayu dapat meneruskan wacana-wacana kritis seperti ini
di masa hadapan.
Persoalan
Palestin ini merupakan persoalan yang lama. Sejarahnya panjang. Jika ditanyakan
kepada penyokong Israel, sejarahnya bermula 2 ribu tahun yang lalu, apabila
Joshua di dalam Deuteronomy diberitahu
Tuhan bahawa dia akan memimpin Bani Israel menawan dan mewarisi promise land.
Dan kita boleh baca seterusnya dalam buku Joshua di dalam perjanjian
lama, bagaimana ketika menakluki Jericho, Joshua membunuh semua orang, lelaki,
perempuan, tua, muda, lembu, kambing dan termasuk keldai-keldai turut dibunuh.
Jadi dari ayat-ayat ini kebiasaannya dijadikan hujah sejarah oleh Israel bahawa
mereka punya hak sejarah ke atas Palestin. Tetapi hujah ini banyak masalah.
Pertama, Joshua menakluk Palestin dari canaanites, bermaksud bukan Bani Israel
penduduk asal tetapi ada penduduk lain. Kedua, ahli sejarah dan arkeologi yang
mengkaji peristiwa ini kebanyakannya mengatakan ia tidak berlaku. Ini diakui
oleh sejarawan Israel sendiri seperti Prof. Shlomo Sand.
Tetapi
perbincangan ini bukan hendak berbicara tentang sejarah kuno Timur Tengah,
tetapi ingin mengulas semula perbincangan saya dengan Saudara Iqbal. Jika ada
yang berminat perihal subjek sejarah penjajahan Palestin bolehlah membaca buku
ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy yang bertajuk The Case of Israel: A
Study of Political Zionism yang diterbitkan oleh Shorouk International pada
1983. Garaudy ini seorang komunis, dia merupakan ahli Parti Komunis Perancis, dan
mempunyai 2 PhD, salah satu PhD beliau adalah perihal Marxism. Jadi beliau adalah
dari golongan kiri. Buku yang kedua yang saya ingin cadangkan adalah buku yang
ditulis oleh Prof. Nur Masalha, Palestine: A four thousand history.
Kebanyakan Zionis mengatakan Palestin tidak wujud, nama Palestin itu diberikan
oleh Kerajaan Rom apabila Tentera Roman menawan Judea, lantas ditukar Judea kepada
Palestine. Prof Masalha menolak hujah ini, menurut beliau nama Palestine ini
telah didokumenkan sejak Bronze Age kira-kira 3,200 tahun yang lalu.
Persoalan
Palestin hari ini, atau disebut sebagai The Question of Palestine oleh
United Nations adalah persoalan moden. Tadi kita membincangkan persoalan ini
daripada pandangan penyokong Israel, yang mana mereka mendakwa mereka mempunyai
hak sejarah berdasarkan janji Tuhan pada Bani Israel dalam Bible. Tapi jika
soalan yang sama ditanyakan kepada penyokong Palestin atau masyarakat
antarabangsa, persoalan ini bermula pada tahun 1948. Apa yang berlaku pada
1948? Menurut sejarawan Israel, Ilan Pappe, 1948 berlakunya pembersihan etnik
dimana 700,000 penduduk Palestin dihalau keluar. Ilan Pappe juga seorang yang berhaluan
kiri, dia pernah bertanding untuk Knesset dibawah Parti Komunis Israel, HaMiflega
HaKomunistit HaYisra'elit. Buku beliau bertajuk The ethnic cleansing of
Palestine, yang mana menurut beliau, apa yang berlaku pada 1948 bukanlah Nakbah
seperti yang dianggap oleh orang Palestin, ataupun perjuangan kemerdekaan
seperti yang dianggap oleh orang Israel, tetapi 1948 adalah sebuah pembersihan
etnik yang dirancang rapi melalui sebuah rancangan yang dipanggil Plan Dalet.
Bagi Pappe ia adalah jenayah perang yang nama penjenayahnya diketahui dan
mereka perlu didakwa di mahkamah antarabangsa atas jenayah mereka.
Baik, setelah
kita membincangkan bahagian pertama tajuk ini dari sudut sejarah secara ringkas,
kita beralih pada bahagian seterusnya iaitu perjuangan ini dari sudut pandang
golongan kiri. Saya ingin menambah bahawa rakyat Palestin ini merupakan bangsa
yang pelbagai, pelbagai dari segi ideologi, agama, dan budaya. Tidak semua
orang Arab Palestin beragama Islam, ada yang beragama Kristian. Hatta di Gaza
pun ada Arab Kristian, sering kali menjadi isu apabila Arab Kristian di Gaza
dihalang untuk melawat Jerusalem ketika Krismas. Malah dalam sejarah perjuangan
Palestin, sebelum Hamas ditubuhkan pada tahun 1987, ada perjuangan Palestin
kiri yang lebih radikal, kita ada Popular Front for the Liberation of
Palestine (PFLP), PFLP ini ditubuhkan pada tahun 1967 (20 tahun sebelum
Hamas) dan berfahaman Marxist-Leninist dan revolutionary socialist,
ia adalah sebuah pertubuhan kiri. PFLP pernah assassinate menteri
Israel, Rehavam Zeevi. Bagi yang mengikuti penulisan saya sebelum ini, saya
sering menyebut nama seorang sasterawan Palestin, Ghassan Kanafani. Beliau
merupakan wartawan dan penulis kepada PFLP dan juga seorang figura dalam
perjuangan Palestin, dia akhirnya dibunuh oleh Mossad.
Bila
kita sebut “golongan kiri”, bagi saya ia adalah satu perbincangan yang sangat
luas, boleh jadi ekonomi kiri, atau teologi kiri, jadi kita perlu kecilkan skop
kita untuk kita ada satu meaningful discussion. Jadi skop golongan kiri
kita adalah ideologi politik kiri, kerana persoalan Palestin ini adalah
persoalan politik antarabangsa, jadi skop kita adalah kiri dari sudut politik,
bukan ideologi ekonomi kiri atau teori teologi kiri.
Tetapi
saya kira skop politik kiri ini masih lagi terlalu besar, sebab ideologi
politik kiri ini mempunyai sejarah yang panjang. Dan ideologi politik kiri ini
berubah mengikut masa, ada idea dan pemikiran pengasas-pengasas ideologi kiri
yang tidak lagi relevan dengan pemikiran politik kiri pada hari ini. Saya bagi
contoh, Karl Marx. Jika ada yang mengatakan dia golongan kiri tapi tidak
mengenali Karl Marx ia adalah sesuatu yang janggal. Antara orang yang
mengkritik Karl Marx dengan baik menurut saya adalah Edward Said. Bagi saya
Edward Said ini merupakan legendary scholar, sesetengah scholar
beranggapan bahawa Edward Said ini bukan ahli akademik tetapi beliau merupakan
sebuah universiti. Edward Said adalah seorang Palestin Kristian. Dalam buku
beliau, Orientalism, beliau ada mengkritik Marx. Pemikiran Marx sangat humanis
dan penuh simpati kepada golongan tertindas, kita baca dalam The Communist
Manifesto, Marx dan Engels menulis bahawa “The proletarians have nothing
to lose but their chains. They have a world to win. Proletarians of All
Countries, Unite!”. Jadi Marx banyak menulis perihal pembebasan. Said
membahaskan bagaimana dalam kajian Marx terhadap pemerintahan British di India,
Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan
revolusi sosial yang sebenar. Bagi Said, walaupun Marx mempunyai simpati yang
kuat kepada kesengsaraan manusia, namun dalam persoalan kolonial India, Marx
merestui apa yang dilakukan British. Pemikiran ini menurut Said membingungkan,
beliau mempersoalkan dimanakah moral dalam pemikiran Marx? Dimanakah simpati
kepada manusia hilang? Kemana ia hilang apabila pemikiran Orientalis menyusup
masuk ke dalam pemikiran Marx? Edward Said tidak hanya mengkritik Marx, beliau
juga mengkritik tokoh lain seperti John Stuart Mill, yang terkenal dengan On
Liberty dan idea Utilitarianism. Mill sendiri bekerja dengan
syarikat kolonial East India Company.
Jadi
kita dapati pemikiran pro-kolonial ini ada pada pengasas pemikiran kiri. Malah
Mikhail Bakunin, pengasas collectivist anarchism juga terkenal dengan pemikiran
anti-semitik, iaitu pemikiran yang rasis, yang membenci Yahudi atas dasar
bangsa. Oleh itu kita perlu kecilkan lagi skop kita, kita bercakap tentang
golongan kiri dalam politik kontemporari. Gerakan kiri yang kita bahaskan
adalah gerakan politik kiri kontemporari yang sudah berubah, tidak lagi
pro-kolonial atau mempunyai prejudis bangsa. Gerakan kiri masa kini sesuai
dengan perjuangan Palestin kerana mereka tidak dapat lagi menerima Israel pada
hari ini yang berbentuk settler-colonialism dan juga polisi-polisi yang
rasis dan apartheid.
Tetapi
politik kontemporari juga masih merupakan skop yang besar, adakah kita mahu
berbicara tentang politik kiri kontemporari kiri di China? Atau Cuba? Jadi kita perlu memilih skop geografi. Edward
Said dalam perbahasan Orientalism memilih Britain dan France sebagai
skop kajiannya, bukan kerana tiada Orientalis di German, Belanda atau Rusia
atau negara Eropah lain, tetapi kerana France dan Britain adalah dua kuasa
imperial yang dominan yang banyak menghasilkan penulisan perihal orang Timur
dari lensa Barat. Jadi untuk skop ini kita akan membincangkan politik
kontemporari di dua negara, iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Kenapa dua
negara ini? Kerana Amerika adalah tali survival Israel, jika Amerika berhenti
menyokong Israel, Israel akan jatuh. Kedua adalah Britain, walaupun Britain
bukan lagi pemegang tampuk hegemoni dunia, Britain mempunyai beban sejarah
dalam penubuhan Israel dan masih mempunyai pengaruh kuat dalam mempengaruhi
persepsi dunia.
Ada
satu dokumentari yang diterbitkan oleh Al-Jazeera yang bertajuk The Lobby,
dokumentari ini menyiasat bagaimana Israel melobi pemimpin di dua negara iaitu
Britain dan Amerika Syarikat. Saya sarankan kita semua melihat dokumentari ini,
ia boleh dilihat di YouTube. Versi Amerika Syarikat pada mulanya dihalang untuk
penerbitan, namun akhirnya didedahkan juga (leaked) kepada The
Electronic Intifada dan beberapa outlet media yang lain. Dalam versi
US kita boleh melihat bagaimana lobbyist yang disiasat berkata “Europe
has lost”. Sebab itu jika kita lihat resolusi-resolusi UN, Eropah sentiasa
bersama masyarakat dunia menentang polisi Israel. Antara figura paling penting
dan berkaliber dalam politik kiri UK tidak lain dan tidak bukan adalah Jeremy
Corbyn, pemimpin Labour Party (Parti Buruh), beliau hampir mengalahkan
Theresa May pada 2017 dan menyebabkan parlimen tergantung. Corbyn memang
terkenal dengan pemikiran yang anti-kolonial, anti-perang dan beliau merupakan
penyokong kuat Palestin. Sebab itu lobi Israel berusaha keras untuk membuang
Corbyn, dan jika dilihat pada pilihanraya 2019, lobi Israel berusaha keras
untuk melabel beliau sebagai anti-semite untuk menghalang beliau dari
memenangi pilihanraya. Dalam manifesto 2019, Labour berjanji untuk
mengantung penjualan senjata kepada Israel dan yang paling penting, Labour
berjanji akan “immediately recognise the state of Palestine”. Selain
serangan label anti-semitism (Guardian meletakkan ini sebagai sebab
pertama kekalahan Labour pada tahun 2019), Labour tidak memenangi
pilihanraya disebabkan stand beliau dalam isu Brexit.
Israel juga bergantung kuat pada Amerika
Syarikat yang membekalkannya sejata. Noam Chomsky pernah menyebutkan bagaimana
Israel merupakan rakan Pentagon. Israel memberi Amerika tapak ketenteraan dan
depoh simpanan senjata di Timur Tengah. Amerika juga menggunakan Israel bagi
menguji persenjataan baru, senjata yang diuji ini akan diiklankan kepada negara
lain sebagai terbukti berkesan. Jika ditanya saya secara peribadi, siapa yang
berjaya mengubah persepsi golongan kiri, liberal, dan progresif di US
terutamanya perihal Palestin adalah Chomsky. Chomsky adalah intelektual yang
berani menyatakan kebenaran. Apa yang menyebabkan pemikiran Chomsky berjaya
mengubah pemikiran golongan ini adalah kerana beliau sendiri merupakan seorang
Yahudi, malah pada usia muda beliau merupakan seorang Zionist. Jika
seorang yang bukan Yahudi mengkritik Israel, dia dengan mudah akan dituduh sebagai
anti-semite, tetapi label tersebut tidak dapat dilemparkan kepada
Chomsky. Kes yang sama berlaku kepada Senator Bernie Sanders, penyokong
Palestin yang turut berbangsa Yahudi.
Untuk melabel orang-orang Yahudi yang
tidak menyokong Israel, kerana anti-semite tidak dapat digunakan, mereka
akan menggunkan label self-hating Jew. Norman Finkelstein pernah ditanya
apa pandangan beliau terhadap label tersebut pada dirinya. Jawapan yang beliau
berikan sangat brilliant, apa kena mengena label tersebut dengan fakta,
jika dia merupakan self-loving Jew, adakah semua yang dikatakan beliau
adalah benar?
Walaupun polisi luarAmerika masih kuat
dilobi oleh Kristian Zionis dan juga organisasi lobi seperti AIPAC, kelihatan
bibit-bibit perubahan mula berputik. Jika sebelum ini sokongan keatas Israel
berbentuk bi-partisan antara Demokrat dan Republikan, hari ini kita
melihat ramai ahli politik terutamanya generasi baru yang progresif dalam kem
Demokrat, mereka sedar bahawa polisi Israel bertentangan dengan nilai
kemanusiaan. Ahli politik seperti Bernie Sanders, Cori Bush, Betty McCollum,
Ilhan Omar, Rashida Tlaib, Ayanna Pressley dan Alexandria Ocasio-Cortez mula
menukar persepsi publik dan menggambarkan sisi manusia dalam perjuangan
Palestin. Ada satu dokumentari yang menarik jika anda berminat untuk mengetahui
dengan lebih lanjut berkenaan dengan bagaimana golongan muda bekerja untuk
menukar traditional demokrat kepada demokrat yang lebih progresif,
dokumentari ini boleh ditonton di Netflix bertajuk Knock Down The House.
Dalam discourse Israel-Palestine di
Amerika Syarikat, terutamanya golongan progresif adalah apa yang diungkapkan
sebagai “Progressive Except for Palestine” (PEP). Maksudnya ahli politik
biasanya akan berkempen untuk polisi yang progresif tapi ada pengecualian,
iaitu Palestin. Jadi ini yang dibuang apabila traditional demokrat dibuang dan
diganti dengan demokrat yang lebih progressif. Ada satu buku yang menarik
bertajuk Except for Palestine: The Limits of Progressive Politics yang
ditulis oleh Marc Lamont Hill, buku ini membuka pintu untuk mengajak golongan
kiri di Amerika untuk mengaplikasikan polisi progresif tidak hanya pada isu
domestik tetapi meliputi isu Palestin. Marc Lamont Hill adalah seorang
professor dan dipecat dari CNN apabila beliau menyebut "free Palestine
from the river to the sea".
Itu belum kita bincangkan gerakan-gerakan Yahudi
organik seperti IfNotNow dan Jewish Voice for Peace yang secara aktif melawan
naratif Israel dan cuba memastikan ahli politik berpihak kepada Palestin.
Walaupun Israel menikmati sokongan ketenteraan dari Pentagon, jika public
opinion berubah, Israel bakal kehilangan penyokong kuatnya. Sama seperti
perang Vietnam yang disokong oleh Pentagon dan ditentang oleh publik, ia
berakhir dengan pengunduran.
Sebagai kesimpulan, kita hendaklah
memahami bahawa perjuangan Palestin sebenarnya melangkaui semangat agama, malah
masyarakat Palestin sendiri yang pelbagai mempunyai gerakan-gerakan pembebasan
dari jalur bukan agama. Seperti PFLP yang kita bahaskan tadi. Malah apabila
kita melakukan tinjauan, diskusi perjuangan pembebasan Palestin ini banyak
dijuarai oleh gerakan kiri terutamanya Parti Buruh di United Kingdom dan juga
ahli Demokrat yang progresif di Amerika Syarikat. Dengan berganding bahu
bersama, projek kolonial di Palestin pasti akan dapat ditamatkan. Sejarah
membuktikan bahawa semua projek kolonial akan berakhir.
Rujukan:
1.
Deuteronomy (1:38) NKJV pg. 110
2.
Joshua (6:21) NKJV pg. 136
3.
Killebrew, Ann E. (2005). Biblical Peoples and
Ethnicity: An Archaeological Study of Egyptians, Canaanites, and Early Israel,
1300–1100 B.C.E pg. 152: "Almost without exception, scholars agree
that the account in Joshua holds little historical value vis-à-vis early Israel
and most likely reflects much later historical times."
4.
Roger Garaudy. The Case of Israel: A Study of
Political Zionism. Shorouk International, 1983.
5.
Masalha, Nur. Palestine: A four thousand year
history. Zed Books Ltd., 2018.
6.
Pappe, Ilan. The ethnic cleansing of Palestine.
Simon and Schuster, 2007.
7.
Israel bans Christians in Gaza from reaching West
Bank, Jerusalem for Christmas http://www.xinhuanet.com/english/2019-12/15/c_138633357.htm
8.
Pilger, Kanafani & Peranan Kita Buat Palestin http://theindependentinsight.com/2021/05/26/pilger-kanafani-peranan-kita-buat-palestin/
9.
Said, Edward. "Orientalism: Western concepts
of the Orient." Penguin 1991. Pg. 153-154
10. Dokumentari
yang diterbitkan oleh Al-Jazeera yang bertajuk The Lobby.
Part 1 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=ceCOhdgRBoc
Part 2 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=Vuk1EhkEctE
Part 3 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=L3dn-VV3czc
Part 4 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=pddH2sfNKNY
Part 1 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=3lSjXhMUVKE
Part 2 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=XytkI7afHcQ
Part 3 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=Mm-Dm4pO0xY
Part 4 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=_1OgxfCT044
11. Manifesto
Labour UK 2019 https://labour.org.uk/manifesto-2019/a-new-internationalism/
12. Five
reasons why Labour lost the election https://www.theguardian.com/politics/2019/dec/13/five-reasons-why-labour-lost-the-election
13. Noam
Chomsky - Why Does the U.S. Support Israel? https://www.youtube.com/watch?v=lUQ_0MubbcM
14. A
portrait of Chomsky as a young Zionist: Noam Chomsky interviewed by Gabriel
Matthew Schivone https://chomsky.info/20111107/
15. Time to
boycott Israel? | Head to Head https://www.youtube.com/watch?v=8YFfQnwuVLo&t=1835s
16. CNN severs ties with liberal pundit Marc Lamont Hill after his controversial remarks on Israel https://edition.cnn.com/2018/11/29/media/marc-lamont-hill-cnn/index.html