Ahad, 31 Januari 2021

Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata - Reviu Buku

 

Petang itu kepala saya sakit, saya tidak tahu sakit kepala itu psikologi atau phisiologi. Mungkin sebab dari pagi duduk menghadap skrin, tengahari berdiskusi dengan universiti dan wakil industri, petang siapkan laporan yang tergendala, mungkin kepala panas. Selepas solat Asar saya keluar, duduk di laman rumah melihat hujan turun. Rintiknya semakin surut, di angkasa ada burung layang-layang terbang bebas. Kemudian kawanan burung pipit lalu melintas, mungkin mereka juga mahu pulang ke rumah masing-masing selepas pening mencari rezeki.

Buruh imigran yang sedang menyiapkan rumah jiran mula masing-masing memanaskan enjin motor, walau hujan mereka tetap bekerja. Beberapa ketika mereka semua hilang, tiada lagi riuh rendah persembangan mereka, walaupun saya tidak memahami bahasa mereka, namun sepertinya mereka ceria bekerja bersama. Teringin juga belajar bahasa mereka, boleh juga berbual-bual jika bosan.

Rintik hujan makin hilang, saya cuba untuk mematikan fikiran. Kata Eckhart Tolle, otak harus digunakan seperti alatan lain, andai sudah tidak digunakan harus di turn off, jika tidak kita penat berfikir tanpa henti. Apabila ada fikiran yang datang, cepat-cepat saya padamkan. Saya kembali merenung awan yang berarak, gerak awan agak pantas, mungkin penangan angin monsun belum berakhir. Entah apa yang menggusarkan kepala saya petang itu. Duduk melihat awan pun tidak tenang, ada sahaja fikiran yang cuba menyusup, namun segera saya padamkan. Saya sebenarnya menunggu anak-anak pulang tadika, selalunya mereka akan lari ke dalam rumah mencari dan menjerit nama saya apabila pulang. hari itu saya terasa terlalu penat berada di dalam rumah, biarlah saya menyambut mereka di luar. 

Mereka masih belum tiba bersama isteri, saya pun bangun dan berjalan-jalan di halaman rumah tanpa arah. Kemudian akhirnya saya masuk semula ke dalam rumah dan mengambil naskah buku Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata tulisan Nur Kamilea Syasya binti Che Sharif. Saya duduk semula dilaman dan mula membaca. Saya rasakan dunia ini terasa kecil, syarikat penerbit Syihabudin Press ini rasanya adalah syarikat yang diusahakan senior sekolah saya, manakala Usaid Asmadi yang menulis prakata adalah mahasiswa Universiti Malaya bersama adik saya. Namun saya tidak mengenali Kamilea secara peribadi.

Di bahagian prakata Usaid menulis perihal magiknya penulisan, hal ini saya kira persis apa yang diperkatakan oleh Carl Sagan, namun sebab mereka berbeza. Bagi Sagan ia magik kerana ia membolehkan manusia yang dipisahkan dengan jarak beribu tahun untuk saling berkomunikasi, manakala menurut Usaid ia magik kerana 3 perkara. Pertama, ia boleh datang menghukum kita semula. Kedua, ia memperlihatkan perkembangan pemikiran kita, dan yang terakhir, boleh mengubat fikiran yang sedang rusuh. Cuma kata Usaid, dia selalu melangkau helaian prakata tanpa dibaca. Saya berbeza dalam hal ini, jika tidak dibaca kulit ke kulit, saya merasakan pembacaan saya tidak lengkap, sering saya merenung bahkan hingga ke belakang, di bahagian nota, bibliografi, juga indeks.

Kamilea memulakan pencak bicaranya atas dilema wanita, yang sering terperangkap dalam konstruk sosial untuk memilih dua curam, sama ada kerjaya atau keluarga. Kedua-dua pilihan ini mendatangkan kata-kata tidak manis dari masyarakat, seolah-olah apa pun pilihan mereka, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman "bersalah". Membaca dilema ini saya teringat akan buku tulisan Sheryl Sandberg yang bertajuk Lean In, saya kira ia buku yang wajib dibaca oleh setiap wanita, tidak kira mereka memilih kerjaya atau keluarga. Selepas para isteri membacanya, elok dipaksa juga suami membacanya, agar mereka faham situasi dan dilema wanita.

Buku ini turut memuatkan nasihat perihal harapan dan sifat tidak menyerah kalah. Nasihat-nasihatnya begitu bagus dan positif. Cuma mungkin saya terlalu tua untuk menjadi idealis, saya kira di masa muda juga saya idealis, melihat dunia penuh dengan optimisme dan harapan, namun semakin dewasa saya faham dunia ini tidak semua indah. Dunia ini diciptakan untuk manusia yang tidak sempurna dan penuh dengan ketidak sempurnaan, kekalahan, malah tragedi. Ia kadang tidak dapat kita elak se-optimis mana pun kita. Kadang kita perlu menerimanya apa adanya, dan mendefinisikan semula apa itu kejayaan. Namun bagi orang muda, idealis itu bagus bagi saya, kerana banyak sahaja perubahan baik dalam dunia ini lahir dari mereka yang idealis dan tidak mahu mengaku kalah walaupun sudah kalah.

Sampai di muka surat 11, kereta Myvi putih muncul disebalik rumah jiran, meluncur ke halaman. Anak-anak sudah melekat di tingkap kereta dengan senyuman, jeritan, dan lambaian. Maka saya harus letakkan semula naskah ini sebentar, untuk memberi hak masa kepada anak-anak.

Keesokan harinya, Idlan, anak saya yang kedua berumur 3 tahun bangun dengan badan yang panas. Dia punya masalah sakit perut, oleh kerana pada hari tersebut adalah hari Thaipusam, yang mana sinonim dengan kontroversi Menteri Besar Kedah, Idlan menemani saya di rumah pada hari itu. Apabila dia tidur, saya kembali membelek naskah buku ini.

Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang dipetik oleh Kamilea ketika membahaskan perlunya mahasiswa membaca. Iaitu ungkapan dari Napoleon Bonaparte yang menyebut "Aku lebih takut dengan empat orang penulis berbanding 1000 senapang". Petikan ini menggambarkan besarnya peranan ilmu, yang mampu menjadi alat pemandaian untuk melawan penguasa. Tidak sedikit sejarah yang merekodkan bagaimana tulisan merubah dunia, sebab itu kita membaca banyak buku yang diharamkan, penulis yang dipenjarakan, kerana penulisan dan keilmuan itu satu senjata yang ampuh. Cuma saya tidak dapat menemui quote yang asal seperti dipetik, jadi saya tidak pasti adakah kata-kata ini benar dari Napoleon, walaupun dari sudut maknanya begitu signifikan.

Saya juga begitu tertarik dengan frasa "melayang-lah ke angan masa kecil yang indah" ketika beliau menghuraikan perlunya kita menulis. Bagi saya menulis adalah terapi diri yang sangat berkesan, ketika saya sedang dirundung emosi, sama ada marah, sedih, kecewa, atau gembira, adalah masa yang sangat subur untuk saya "melayang", kata-kata biasanya mengalir ke dalam tulisan secara semulajadi, tanpa ada halangan. Selain dari mengalirkan emosi, ia juga adalah rekod penting akan perasaan saya, jika dirundung emosi sama, saya bisa pulang ke laman itu, kembali memetik dan merasai buah-buah yang saya tanam dahulu. 

Menulis juga menurut beliau merupakan cara kita belajar berfikir, ia merupakan kaedah yang sesuai untuk kita menghadap pembacaan, menyusun informasi. Saya secara peribadi juga amat bersetuju dengan hal ini. Kadang kita merasakan kita faham akan sesuatu perkara, dengan menulisnya semula, kita dapat menyusun kefahaman kita, juga menguji kefahaman kita tadi. Dengan cuba menulis kefahaman kita semula kadang kita belajar, bahawa ada sisi yang kita belum benar-benar faham, membuatkan kita terus membaca lagi sehingga kefahaman itu dilengkapkan dan boleh disusun dengan rapi.

Menulis dan membaca memang tidak dapat dipisahkan, Kamilea menganalogikan penulisan tanpa pembacaan umpama tanaman yang hidup di tanah yang gersang. Penulisan yang disirami pembacaan adalah penulisan yang berisi, yang sihat, yang mampu membuatkan manusia lain berfikir. Bagi saya secara peribadi, menulis dan membaca itu adalah dua sayap ilmu.

Tulisan Kamilea Syasya ini menurut saya banyak berbentuk monolog yang memuatkan nasihat, motivasi, keperluan untuk terus cekal dalam hidup, dan pelbagai nasihat lagi. Walaupun ia dipasarkan sebagai sebuah zine, saya merasakan ia lebih dekat dengan sebuah buku, atau mungkin risalah kecil. Saya cukup tertarik akan penulisannya perihal menulis dan membaca, ia akan saya jadikan sebahagian dari rujukan, petikan, dan citation bagi buku saya yang akan datang. Moga-moga kita diberkati dengan lebih banyak lagi karya mutiara berharga dari penulis muda ini.

Khamis, 28 Januari 2021

Reviu Zine Fagiyu #9


Bak kata Widji Thukul yang sudah diubah suai "Hanya satu kata, mantap!" begitulah kata-kata yang boleh saya ungkapkan jika zine ini hendak disinopsiskan dengan satu ayat. Susun aturnya sangat kemas dan cantik, membuatkan seoalah-olah pembaca sedang memasuki sebuah kafe retro hipster. Bukan sahaja susun aturnya yang kemas, kontennya juga bagi saya sangat baik dan menarik.

Pencak pembacaan dimulakan dengan kolum wawancara bersama dengan Anis A. Azam yang merupakan mengusaha toko buku Gadis Buku. Banyak perkara-perkara yang diulaskan dalam segmen wawancara ini terutamanya dari sudut survival toko buku dizaman gawat Covid-19. Namun apa yang paling menarik bola pemikiran saya adalah isu "ilusi dalam kalangan ramai penulis dan pembaca". Anis membicarakan bagaimana penulis itu sering dianggap sebagai selebriti manakala pembaca adalah peminat. Ia adalah ilusi yang membuatkan seolah penulis itu eksklusif manakala pembaca adalah pemuja. Perkara ini menurut Anis membutakan mata penulis muda baharu, kononnya penulis itu satu kerja glamour, duduk dalam kelas elitnya tersendiri.

Oleh itu kadangkala penulis tidak mahu menjual buku, kerana merasakan itu tidak padan dengan kedudukan elit mereka sebagai penulis. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Anis ini. Saya juga kadangkala merasakan ia adalah satu curam dalam penulisan apabila pembaca merasakan saya yang menulis ini punya lebih banyak ilmu dari mereka. Saya lebih merasakan penulisan ini sebagai medan berkongsi idea, pengalaman, dan rasa hati. Mungkin ada nilai dari sudut ilmu, tetapi itu tidaklah menjadikan kita duduk dalam kelas yang lebih tinggi. Orang lain juga punyai ilmu, malah mungkin lebih banyak ilmunya dari penulis, cuma mungkin mereka tidak tintakan.

Zine Fagiyu #9 ini turut membedah dan membicarakan perihal medan seni musik tanah air. Antaranya bual bicara dengan kumpulan kugiran Langkasuka, juga reviu album musik kumpulan Raskat. Turut dikongsi promosi adalah zine-zine lain seperti Haiwan Bukan Kriminal oleh Bad Cat Club, Genesis Secawan Latte oleh Hanevad, Angkat Takbir Lepas Tangan oleh Nana, Zine Molek Ah #2 #4 dan #5 oleh Penerbitan Ikan Kekek, Zine Dari Johor #1 oleh Kolektif Naratif, Trans Rentboys; Love Don't Pay the Rent dan juga Pulang ke Rindu tulisan Khairul Kamarul.

Artikel Anarkis dan Pandemik Covid-19 tulisan Kon Zing menampakkan ciri-ciri anarkis zine ini. Artikel ini mengajak penyewa rumah melawan menuntut hak mereka di zaman kegelapan Covid-19 ini dari diusir oleh tuan rumah. Catatan pengalaman Selangkah ke Sebrang tulisan Mucky saya kira adalah luahan getaran hati perihal melangkah menuju alam rumah tangga, cuma saya merasakan tulisannya kadang terlalu berbunga untuk difahami manusia. Jelajah Puisi 2017; Melaka yang ditulis oleh Petak Daud membawa pembaca mengikuti hanyutan kilasan emosi penulis menyusuri Sungai Melaka. Tulisan ini bagi saya memberi kita kefahaman akan masa sendirian yang kadang kala kita perlukan, untuk merenung dan merasionalkan kehidupan.

Zine ini turut memuatkan banyak puisi, puisi yang paling menyengat emosi saya adalah Melihat Tidak Ada tulisan EA. Beliau menulis:

Kadang melihat hujan,
bukan dari yang jatuh,
tetapi kemudian,
apa yang akan tumbuh.

Puisi bagi saya merupakan satu aksi yang begitu sensitif dan emosional. Takrifannya sering kali berbeza antara penulis dan pembaca. Saya mungkin tidak tahu apa yang dialami oleh EA sehingga dia melahirkan puisi itu. Bagi saya ia membawa maksud yang positif, pengharapan, dan sifat optimisme. Saya sendiri gemarkan hujan, dinginnya, baunya, emosi yang dilahirkan hujan begitu menaikkan jiwa. Namun mungkin bagi sesetengah orang hujan adalah suatu yang tidak baik, mungkin pembawa banjir, namun puisi EA mengajar kita bahawa apa yang perlu kita perhatikan adalah apa yang tumbuh selepas itu. Mungkin selepas konflik dan revolusi akan lahir masyarakat segar yang baru, begitu optimisnya.

Akhir sekali adalaha kolum Cher Phen yang memuatkan dua buah cerpen. Cerpen pertama bertajuk Atok Ilmu Hutan tulisan Cech Adrea. Bagi saya tulisan ini ada unsur misteri dan kelakar. Adrea menulis beliau sendiri tak yakin akan nasihat-nasihat hutan Atoknya kerana kadang kedengaran seperti mahu menipu dan menakutkan budak-budak, tapi ada juga nasihat atoknya yang saya rasa macam logik, dan saya seperti Adrea tidak pasti nak percaya atau tidak. Cerpen penutup zine ini bertajuk Menghadap Malam yang Sangat Panjang tulisan Emma Maria. Saya suka gaya penceritaan yang memperlihatkan dunia dari kaca mata kecil seorang budak perempuan, cuma endingnya tidak begitu jelas pada fikiran saya, mungkin Emma mahu kita berteka-teki.

Saya agak sedih kerana sudah habis membaca zine ini, ia pembacaan yang menarik namun singkat. Nasib baik saya ada membeli edisi #10, jadi mungkin kesedihan saya tidak berpanjangan kerana boleh tenggelam semula dalam edisi seterusnya. Siapa yang sudah membeli, saya ucapkan selamat membaca. Siapa yang belum, cepatlah pergi beli. Tahniah diucapkan kepada barisan editorial, penulis, penerbit atas bingkisan ini. Moga banyak lagi edisi-edisi seterusnya yang boleh menghiasi mata dan minda kita.

Ahad, 24 Januari 2021

Kisah Kemurtadan Joram van Klaveren di Era Post-Modernisma

 

Joram van Klaveren merupakan seorang ahli politik Belanda yang begitu anti dengan Islam. Beliau menyertai Partij voor de Vrijheid (PVV), sebuah parti kanan yang diasaskan Geert Wilders. Wilders merupakan sosok kontroversi yang bertangungjawab menghasilkan filem 'Fitna' juga pameran lukisan Nabi Muhammad. Penglibatan aktif Joram dalam PVV dan mengetengahkan pelbagai usul di Parlimen Belanda untuk menutup masjid, membuang Qur'an dari parlimen, juga mengharamkan Islam di Belanda menjadikan beliau begitu terkenal sehingga beliau mendapat gelaran The Crown Prince of Wilders.

Joram mula menulis buku mengkritik Islam, namun sepanjang kajiannya akhirnya beliau jatuh hati dengan Islam dan mengambil keputusan untuk menjadi Muslim. Ucapan dan temuramah Joram di laman Youtube perihal perjalanannya memeluk Islam merupakan rakaman yang selalu saya ulang-ulangkan kerana begitu mengasyikkan. Pada penghujung tahun 2020 ketika meninjau buku di Pelita Dhihin, Petaling Jaya, saya terjumpa naskah buku Joram. Jadi dibeli sebuah sebagai koleksi dan tanda solidariti.

Buku beliau bertajuk “Apostate: From Christianity to Islam in Times of Secularisation and Terror” dengan kata pengantar oleh Shaykh Hamza Yusuf dan Prof. Abdal Hakim Murad. Saya tertarik dengan kisah beliau, kerana pada era post-modern ini, dimana kita disalurkan untuk berfikir dengan lebih rasional, saintifik dan sekular, Joram tidak murtad dari Kristian untuk masuk ke daerah ateis atau agnostik, sebaliknya beliau memilih Islam. Ia membuat saya tertanya-tanya kenapa beliau tidak memilih pemikiran yang disogokkan kepada kita yang lebih sesuai dengan zaman ini. Jadi saya mula membacanya.

Era dimana beliau mula mengkaji agama juga merupakan era dimana Islam disinonimkan dengan keganasan. Kajian agama beliau di peringkat sarjana bermula pada 11 September 2001, tarikh yang sama berlakunya serangan ke atas WTC. (17) Namun disebalik zaman Islam digambarkan sebagai agama yang ganas dan kejam, beliau tetap berjaya untuk melihat bentuk sebenar agama Islam disebalik liputan-liputan media dan propaganda. Walaupun agama sering dikatakan sebagai anti kepada pemikiran rasional, bagi Joram, pengalamannya memeluk Islam adalah satu proses intelektual, bukan hanya proses yang dikawal oleh emosi. (15) Keputusan ini bagi beliau adalah keputusan yang rasional selepas meliau mengkaji persoalan agama.

Ketika dalam proses menulis buku untuk mengkritik Islam, beliau menemui karya seperti biografi Nabi Muhammad yang ditulis oleh Martin Lings yang akhirnya mengubah persepsinya dan menukar arah tujuannya kepada pengembaraan peribadi untuk mencari Tuhan. (21) Pada era post-modern ini, seperti yang ditulis oleh Nietzsche bahawa “Tuhan sudah mati”, Eropah, termasuk Belanda sedang mengalami proses pensekularan, dimana setiap aspek kehidupan dipisahkan dari agama. Menurut Joram, proses ini merupakan satu eksperimen organik bagaimana masyarakat baru berkembang tanpa Tuhan. Beliau juga melihat bagaimana idea progresif yang diimport dari Amerika yang menghasilkan masyarakat yang punya krisis identiti. Manakala ahli politik bermain sentimen “Judeo-Christian culture” walaupun ia sebenarnya sentimen kosong, kerana masyarakat sudah hilang kepercayaan agama. (26)

Persoalan asas dalam pencarian Joram, adalah “adakah Tuhan itu wujud?”. Ini merupakan persoalan yang menyebabkan beliau tidak memihak kepada atheism. Menjawab persoalan ini beliau membawakan hujah klasik tentang kewujudan Tuhan. Yang pertama adalah “The Cosmological Argument” perihal perlunya “sebab kewujudan”. Beliau juga membincangkan “The Kalam Argument” yang dipelopori oleh Al-Ghazali dan dipopularkan hari ini oleh apologis Kristian, Dr. William Lane Craig. (34) Argumen-argumen ini juga menolak tuduhan bahawa kepercayaan kepada agama hanya berdasarkan kepercayaan buta (blind faith), ia mempunyai hujah-hujah logikal, ia adalah kepercayaan berdasarkan pembuktian, agama bukanlah lawan kepada pemikiran rasional seperti yang sering didakwa oleh militan ateis Richard Dawkins, iaitu agama adalah “the enemy of reason”. (33) Beliau juga membincangkan teleological argument yang berkisar tentang sebab kewujudan alam, keteraturan alam, juga kewujudan “design” dalam alam semulajadi. (35)

Akhir sekali adalah hujah moral, kewujudan Tuhan menjadi sumber untuk kita membezakan apa yang baik dan buruk menurut Joram. Oleh itu kita melihat bagaimana golongan naturalis menghadapi kesukaran untuk menyediakan hujah akan keperluan moral. Yuval Noah Harari sebagai contoh menulis “apa-apa yang boleh dilakukan adalah natural”, jadi jika fahaman ini diterima, apa yang dilakukan Hitler juga adalah natural kerana ia boleh dilakukan, ini akan membawa manusia kepada moral nihilism dan keadaan yang kucar kacir. Penolakan Tuhan dan perkara metafizikal menghilangkan faundasi moral menurut Joram, beliau memetik pemikiran Isaiah Berlin yang mengatakan hak asasi manusia perlu dihormati kerana ia adalah hak asasi manusia. (39)

Selepas yakin akan kewujudan Tuhan, beliau pergi kepada soalan seterusnya, Tuhan yang mana? Satu per satu persoalan ini dikupas Joram, dengan hujah logika beliau juga diselitkan dengan pengalaman peribadi. Hujah keraguan beliau kepada konsep “triune god” pada saya sangat mirip dengan argumen-argumen yang dibawakan oleh Ahmed Deedat. Dalam naskah ini juga beliau bawakan dalil-dalil dari Bible untuk dibandingkan dengan Al-Qur’an. Persoalan-persoalan keganasan dalam agama juga diselongkari oleh Joram, ia adalah perbahasan ikhlas menurut fikiran saya. Kisah pencarian Tuhan oleh Joram ini bagi saya sangat berharga, ia harus dibaca pada fikir saya oleh umat Islam sendiri, yang pada saya, banyak mengikut sahaja berbanding bersusah-payah berfikir akan hujah-hujah rasional dalam agama.

Islam dan Kristian bagi Joram punya persamaan yang terlalu banyak, sehingga dia merasakan perseteruan antara dua agama ini umpama pergaduhan antara adik beradik. (55) Namun ribuan tahun penolakan Kristian kepada Islam memainkan peranan besar dalam pandangan Barat terhadap Islam hari ini. Islam dianggap sebagai bid’ah (heresy) dari agama Kristian, dan Muhammad dianggap sebagai nabi palsu, naratif ini turut dibincangkan dengan teliti oleh Prof. Edward Said dalam bukunya Orientalism, ia adalah sikap bias awal dalam melahirkan bidang ilmu yang dipelopori Orientalis. “Siapakah sebenarnya Muhammad?” tanya Joram. (61)

Kajian Joram berkenaan dengan sosok yang dipanggil Muhammad membawanya membandingkan pelbagai teks, dari teks awal Islam seperti biografi nabi yang ditulis oleh Ibnu Ishaq sehinggalah teks-teks yang ditulis oleh Orientalis Barat seperti Gustav Weil. Antara teks menarik yang dipetik oleh Joram dalam buku ini adalah tulisan Mahatma Gandhi dalam Young India, 1928, Vol. X:

“I wanted to know the best of one who holds today’s undisputed sway over the hearts of millions of mankind...I became more than convinced that it was not the sword that won a place for Islam in those days in the scheme of life. It was the rigid simplicity, the utter self-effacement of the Prophet, the scrupulous regard for his pledges, his intense devotion to this friends and followers, his intrepidity, his fearlessness, his absolute trust in God and in his own mission. These and not the sword carried everything before them and surmounted every obstacle. When I closed the 2nd volume (of the Prophet’s biography), I was sorry there was not more for me to read of his great life.” (74)

Hasil kajian beliau akhirnya membersihkan pandangannya berkenaan dengan Nabi Muhammad. Kawan dan lawan menulis bagaimana Muhammad mempunyai sifat yang mulia. Pakaian dan makanannya sangat sederhana, tidak mahu dilayan dengan istemewa, malah tidak akan menyuruh hambanya melakukan sesuatu yang dia boleh lakukan sendiri. (78)

Antara kekuatan lain buku ini adalah ia memperkenalkan kepada pembaca pelbagai bahan ilmiah yang lain, ia memberi ruang kepada pembaca meneroka sendiri jika mereka ingin lebih yakin perihal apa yang diperkatakan. Saya sendiri mengenali sosok seperti Jonathan Brown melalui buku Joram, Jonathan juga merupakan seorang yang telah memeluk Islam, penulis karya terkenal seperti Misquoting Muhammad dan Slavery & Islam.

Hukum murtad juga dibincangkan dengan panjang lebar dalam naskah ini. Murtad perlu dilihat dalam konteks zamannya, pada zaman dahulu, murtad disamakan dengan perbuatan mengkhianati negara, satu aksi politikal. Ia juga satu aksi yang boleh menggugat kestabilan sosial pada masa lampau. Nabi Muhammad sendiri menurut Taha Jabir Al-Alwani tidak pernah membunuh seseorang kerana dia telah murtad. Antara kisah contoh di zaman nabi adalah kisah ‘Ubaydullah bin Jahsh yang masuk Islam kemudian kembali kepada Kristian, dan Nabi Muhammad tidak membunuhnya. Dalam isu murtad ini saya setuju, kerana soal kepercayaan ini tidak boleh dipaksa, dan dengan membunuh itu bagi saya bukan merupakan cara penyelesaian yang terbaik.

Persoalan sifat kebencian kepada yahudi (anti-semitism) dalam kalangan orang Islam juga dipanjangkan dalam buku ini. Saya berpendapat kebencian umat Islam kepada kaum Yahudi ini adalah atas faktor politik, penjajahan dan kekejaman yang dilakukan Israel kepada kaum Palestin merupakan sebab utama kebencian ini. Sehingga kadang kala mereka membuat generalisasi bahawa semua yahudi itu zionis dan semua zionis itu yahudi. Padahal ramai orang yahudi yang anti zionis, anti penjajahan malah anti-Israel. Dalam naskah ini, Joram memberi contoh-contoh dimana zaman pemerintahan Islam yang memberi keistimewaan kepada kaum yahudi. Contohnya Maimonides yang dilantik menjadi doktor peribadi Salahuddin Al-Ayubi. Juga bagaimana Sultan Bayazid II menghantar kapal untuk menyelamatkan orang-orang Islam dan Yahudi apabila mereka dihalau oleh Ferdinand dan Isabella, untuk dijadikan rakyat Uthmaniyah. Isidore Singer merekodkan dalam Jewish Encyclopedia-nya bahawa Bayazid berkata “bagaimana kamu boleh mengatakan bahawa Ferdinand adalah pemerintah yang bijak...padahal dia memiskinkan negaranya dan mengayakan negara saya”. (135)

Antara penulisan Joram yang lain, yang saya kira merupakan perkara yang baru bagi saya adalah beliau memperkenalkan naskah Hayy bin Yaqzan yang ditulis oleh Ibnu Tufail. (173) Walaupun Islam sering dituduh sebagai anti-thesis kepada idea-idea kebebasan, karya Ibnu Tufail ini menurut Joram merupakan antara karya yang mempengaruhi perkembangan falsafah liberal Barat. Beliau juga menukilkan tokoh-tokoh Islam yang merupakan foundasi bagi peradaban moden seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Ibnu Rushd, dan Ibnu Al-Haytham. Joram mengetengahkan idea bahawa Islam bukan sahaja tidak bertentangan dengan liberalism malah Islam membawa pengaruh kuat terhadap pembentukan idea liberisma Barat. Buku Ibnu Tufail tersebut menjadi buku bestseller di Eropah Barat selepas diterjemah ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1674, ia menjadi bestseller hingga ke abad ke-18. Menurut Prof. G.J. Toomer pengaruhnya keatas falsafah barat tidak dapat dinafikan. (175) Idea Ibnu Tufail ini mempengaruhi ahli falsafah seperti John Locke yang sering dianggap Bapa Liberalisma Barat.

Joram juga mengkritik tokoh seperti Maududi yang baginya menterjemahkan Islam kepada satu bentuk ideologi. (179) Joram mengkritik idea Maududi yang ingin memaksa agama menggunakan apparatus negara. Dalam kritiknya Joram membawakan hujah Hamzah Yusuf yang menolak idea pemaksaan agama menggunakan apparatus negara. Menurut Hamzah Yusuf negara Islam berbentuk seperti ini tidak pernah dan tidak akan wujud, mereka yang berfikiran bahawa agama boleh diwartakan melalui undang-undang berada dalam keadaan delusi.

Tentunya tulisan dan kritikan Joram van Kleveren ini punyai perkara yang kita persetujui dan tidak persetujui. Terpulang kepada pembaca untuk mengambil apa yang dimahukan dan menolak apa yang mereka rasa tidak tepat. Namun saya secara peribadi merasakan bingkisan tulisan Joram ini merupakan satu naskah yang baik dibaca. Ia tidaklah berbentuk seperti memoir, lebih kepada perbahasan titik-titik teologi yang dirasakan bermasalah dalam hidup beliau yang akhirnya membawa beliau kepada Islam. Naskah ini juga baik dalam mengetengahkan literatura-literatura yang mungkin belum pernah kita baca dan telusuri perihal teologi.


Hari Yang Produktif

 

Hari ini hari Ahad, hari Ahad isteri bekerja, Kedah bekerja di hari Ahad, anak-anak juga ke taska dan tadika. Jadi bolehlah saya memfokuskan sedikit masa dan usaha saya menghadap kerja-kerja penulisan, pembacaan, dan penerbitan. Sebab semalam tertidur awal bersama anak-anak, hari ini segar bugar menyiapkan kerja-kerja yang ada. 

Hari ini dimulakan dengan menyambung suntingan terhadap manuskrip buku yang sedang diusahakan untuk diterbitkan tahun ini. Sudah berhari-hari saya sunting. Hari ini berjaya menyelesaikan semuanya dan dihantar kepada pihak ketiga, penyunting luar pula untuk melihatnya. Ini penting bagi setiap naskah, iaitu dilihat dan disunting oleh orang lain selain penulis, kerana penulis biasanya mempunyai blind spot dalam tulisan mereka. Dengan bantuan penyunting luar, kelemahan ketara ini boleh dibaiki.

Kemudian sekitar tengahari sempat bersama dua orang sahabat untuk merakam lakonan drama pendek. Drama ini merupakan tugasan yang diberikan dalam satu konvensyen yang saya sertai. Selepas tamat konvensyen peserta perlu bekerja dalam kumpulan menyiapkan drama pendek perihal apa yang difahami dari konvensyen tersebut.

Kemudian selepas selesai rakaman, saya mendapat teks dari syarikan percetakan bahawa dua naskah zine yang sedang saya usahakan bersama seorang teman sudah diap dicetak. Saya segera ke kedai untuk mengambilnya kemudian terus ke pejabat pos untuk menghantar satu naskah contoh kepada sahabat saya di Kulim.

Pulang ke rumah saya menyambung penulisan artikel bedah buku berkenaan dengan sebuah buku yang ditulis oleh penulis Belanda. Saya sempat juga menghabiskan penulisan ini walaupun hari sudah lewat petang. Apabila anak-anak pulang, tiada lagi masa untuk fokus menulis atau membaca, masa harus difokuskan pada anak-anak. Saya gembira pada mulanya, kerana banyak yang berjaya diselesaikan, hari yang produktif. Namun hidup pasti memberi kita sesuatu apabila kita gembira.

Apabila sudah petang saya mencari buku nota saya, saya ingat ia ada saya gunakan semasa berbincang untuk merangka skrip lakonan. Teman berlakon mengeluarkan buku nota tersebut dan meletakkan di atas kereta. Saya pun tidak perasan dan membawa kereta ketika mengambil zine di kedai cetak, saya mencari di sekeliling rumah tetapi tidak ketemu. Besar kemungkinan buku nota tersebut telah jatuh di tengah jalan. Banyak nota berharga dalam buku tersebut namun apatah daya. Kata orang tua-tua "barang yang hilang usah dikenang", walaupun sedih, hidup perlu diteruskan. Jodoh saya bersama buku nota itu ditakdirkan tidak lama. Walaupun produktif, ada juga perkara yang terhilangkan. Bak kata orang Jawa "you gain some and you lose some"

Isnin, 18 Januari 2021

Melempar Minda Kembali ke Dalam Laut


Hari ini kita tahu terlalu banyak, bukan terlalu sedikit. Menjadikan pundak kita sesak, minda kita tenat, fikiran kita penat. Dunia dipenuhi dengan pelbagai jenis masalah, menjadikan kita 24 jam resah. Ketenangan merupakan rahsia manusia yang hilang, kita perlu berlumba dengan semua orang, kita perlu berjaya seperti semua orang, kita berlari, namun akhirnya kita tewas. Termenung merenung dinding kosong.

Kita mahu kewujudan kita ini bererti sesuatu. Sekurang-kurangnya dunia menjadi lebih baik selepas kita mati meninggalkannya. Namun kita buntu untuk bermula di mana. Kita terlalu banyak informasi. Ada kapal terbang terhempas di negara seberang, adakah kita perlu pergi ke sana membantu, jika tidak, mengapa berita itu kita diberi tahu. Atau adakah kita perlu menjadi saintis, bekerja melawan masa untuk mencipta vaksin yang menyelamatkan dunia. Atau kita perlu menyediakan kapal, membuat ekpedisi ke kutub bagi menyelamatkan beruang yang hilang habitat kerana kecairan glacier. Atau ke Afrika, menghantar makanan? Apa yang kita perlu lakukan dengan berita-berita masalah dunia yang meributi kaunter informasi minda kita.

Keributan informasi ini satu perkara yang tidak dikenali oleh nenek moyang kita. Kita mungkin boleh mengejek mereka kerana mereka tidak pandai membuka akaun Facebook, atau me-re-tweet cerita gossip panas, atau menonton kejadian viral di Youtube. Tetapi mereka hidup dengan tenang. Pagi ke sawah atau ladang. Petang memberi makan lembu dan ayam, anak-anak dibiar mandi parit. Malam-malam mengaji Al-Qur’an sebelum tidur. Mereka tidak perlu fikir rusuhan yang berlaku di Washington atau siapa di tangga pertama manusia paling kaya dalam dunia. Mereka sudah kaya dengan ketenangan, itu sudah cukup.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk berdakwah supaya manusia menjadi pasifis atau menjadi penganut defeatism. Sekiranya anda mampu mengubah dunia, berbuat baik meskipun hanya menghilangkan secebis duri di jalanan, itu adalah baik. Setiap kebaikan itu adalah baik, meskipun sekecil mikroskopik. Seperti kisah yang terkenal, perihal seorang lelaki, yang berjalan di tepi pantai. Dia melihat seorang budak sedang membaling tapak sulaiman kembali ke laut dengan berhati-hati.

“Hai budak, apa yang kau perbuat?” soalnya hairan.

“Tapak sulaiman ini harus segera dikembalikan ke dalam air, ia akan mati kering jika dibiar terdampar” jawab budak itu gigih.

“Tapi ada berjuta-juta lagi tapak sulaiman berkilometer di sepanjang pantai, ia tidak mengubah apa-apa” soalnya lagi bertambah bingung.

Budak itu mengambil tapak sulaiman baru, dan dibaling ke dalam laut. 

“Tidak bagi tapak sulaiman yang berjaya saya selamatkan ini, mereka dapat merasai perubahan” jawabnya puas.

Tentu sahaja kita tidak dapat mengubah dunia yang luas ini dengan tangan kecil kita, ia terlalu besar untuk diubah oleh hanya satu tangan kudrat manusia. Namun, itu juga tidak bermaksud kita tidak harus berbuat apa-apa. Mungkin lambakan informasi ini membingungkan kita, kita lemas di dalamnya. Jika boleh berbuat kebaikan, berbuatlah meski sekecil apa pun, jika tidak, jika lemas dan rimas, tiada masalah juga untuk menutup berita. Menutup kaca-kaca peranti elektronik untuk berjalan-jalan di taman.

Mencari ketenangan dengan melihat awan yang bergerak perlahan, tinggalkanlah dunia yang penuh dengan ribut beritanya. Tutup sepasang mata dan nikmati secawan kopi panas, rasai bagaimana kopi itu menyerap masuk ke dalam mulut. Bak kata Eckhart Tolle, nikmati saat sekarang, berhenti sebentar dari hiruk pikuk untuk merasa hidup.

Jika masalah dunia terlalu besar untuk diselesaikan, tidak mengapa, jangan salahkan diri anda. Lihatlah persekitaran sekeliling. Mungkin ada kucing kurap yang boleh dibantu dan diberikan makanan. Mungkin ada buku yang sudah lama dibeli tidak dibaca. Mungkin ada roti yang sudah lama terbiar dan boleh diberi kepada burung merpati. Mungkin tiada siapa yang kisah jika anda tidak berkongsi apa-apa di laman sosial? Atau mungkin sudah tiba masanya anda berbuat baik kepada diri sendiri? Melemparkan minda kusut ke dalam laut agar boleh tidur nyenyak dalam mimpi yang indah. Mungkin anda perlu berehat sebentar, bertenang, masalah dunia tetap akan ada apabila anda bangun nanti, sekurang-kurangnya jika tidur ia boleh dihadapi bila anda bertenaga semula.

Ahad, 10 Januari 2021

Catatan Baitul Muslim 40: Nota Tahun Baru 2021

Tahun baru 2021 jatuh pada hari Jumaat, Amni bangun awal pagi itu, lebih awal dari Idlan. Saya sedang membaca buku diatas kerusi, Amni datang dan berbaring diatas karpet didepan saya, mungkin bermalas-malasan kerana baru bangun dan masih mamai.

"Hari ini tahun baru, kakak dah 6 tahun" kata saya padanya.

Dia kehairanan, dan bangun sambil melihat dirinya atas bawah, pada fikirannya jika bertambah tahun badannya akan menjadi besar berbanding 5 tahun.

"Adik berapa tahun hari ni?" soalnya.

"Adik dah 3 tahun" balas saya.

Antara persoalan yang selalu saya dan isteri bincangkan pada saat ini adalah "kaedah memarahi anak". Memarahi anak bukanlah sesuatu yang menyenangkan hati ibubapa. Saya sendiri sering menyesal apabila sudah memarahi anak, dalam banyak ketika saya akan bersyukur jika saya berjaya untuk menahan diri dari meninggikan suara. Apabila anak bergaduh, kita akan pantas meninggikan suara memarahi anak pertama. Saya kini dalam proses untuk belajar menahan diri dari marah apabila mereka bergaduh, strategi terbaru saya adalah melihat sahaja, memastikan mereka tidak pukul memukul, dan memujuk adiknya yang menangis. Kemudian saya akan bertanya kepada kakaknya adakah apa yang dia lakukan itu adalah baik?

Ia tidak selalunya berjaya, tetapi bagi saya ia lebih memuaskan hati saya dari meninggikan suara. Meski dalam beberapa keadaan, saya juga akan terhilang kawalan. Bagi saya secara peribadi, marah ini ada dua bentuk. Satu adalah marah kerana kita sedang emosional, kita marah sebab kita sedang marah. Ini bagi saya merupakan marah yang kaunter-produktif. Kita marah hanya untuk melepaskan amarah. Marah yang kedua adalah marah yang berstrategi, kita marah kerana ada sesuatu kesalahan yang dibuat oleh anak, dan kita punya strategi untuk mamahamkan dia akan kesilapannya, ada unsur penerangan dan pengajaran. Marah dalam bentuk ini, bagi saya adalah sihat.

Antara bentuk marah lain yang saya sesali adalah marah kepada anak pada kesilapan yang dilakukannya pada kali pertama. Seperti yang ditulis oleh Jamie Glowacki, anak-anak ini tidak tahu sempadan baik dan buruk, jadi kita perlu menerangkan sempadan, apa yang baik apa yang buruk. Jika kita tidak pernah terangkan, dan mereka melakukan kesilapan, hal ini bukan 100 peratus silap mereka, kerana mereka tidak tahu. Jadi kesilapan kali pertama perlu segera dimaafkan, dan diterangkan mengapa ianya salah. Adalah tidak adil buat mereka dimarahi tanpa ada penerangan akan sempadan baik-buruk.

Di tahun baru juga, saya berfikir saya harus menyimpan diari, seperti Marcus Aurelius, jika ada hari yang mana saya marah dan hilang kawalan, di malam hari saya haru tulis, yang pertama apa yang berlaku, yang kedua saya harus fikir kemudian tulis mengapa ianya terjadi, dan yang ketiga saya harus bermuhasabah apa yang sepatutnya saya lakukan dalam situasi tersebut, apa strategi yang lebih baik, teknik yang lebih berkesan, dalam menangani situasi tersebut. Jangan silap, bagi saya, anak memang perlu dimarahi dalam beberapa keadaan, tetapi marah tersebut perlulah berisi, perlulah mencapai objektik koreksi, bukan sekadar semburan emosional yang melukakan anak. Jadi mungkin ini perlu menjadi resolusi saya untuk tahun baru, menulis diari marah, berfikir, dan cuba memperbaikinya.

Dalam bab memarahi anak ini, saya dan isteri sama-sama bersalah. Cuma mungkin bezanya ego lelaki lebih tinggi. Selepas marah biasanya saya akan menyesal dan mula berfikir. Tetapi isteri saya lebih proaktif, dia akan buka cerita selepas anak-anak tidur, meluahkan rasa hatinya, kekecewaannya kepada diri sendiri apabila terlepas marah, sering kali disulami air mata. Saya biasanya akan mendengar, nak memberi nasihat, saya pun bersalah juga, jadi apa yang isteri saya ceritakan, saya akan mengenangkan kesalahan saya. Di tahun baru ini kami berbincang dan merasakan bahawa kami perlu belajar perkara ini. Kerana perkara ini tidak pernah diajar di sekolah atau universiti.

Isteri saya membeli Ebook Saya Taknak Marah Anak Lagi yang ditulis oleh kaunselor Maznah Ibrahim, saya sebenarnya memang liat nak membaca buku digital, tapi saya fikir ada masa saya perlu merendah diri, melawan kehendak, untuk belajar benda baru. Menarik juga buku tersebut, di dalamnya beliau menceritakan sebab-sebab yang membuatkan kita marah juga teknik mengatasinya. Antaranya adalah kerana rasa "superiority" kita sebagai ibubapa. Sedangkan boleh jadi apa yang dikatakan anak itu betul, saya sangat setuju bab ini, banyak kali dalam kehidupan saya sebagai ayah, saya mendahulukan marah pada kata-kata anak, namun akhirnya terbukti apa yang dikatakan anak betul, dan saya salah. Jadi ini mungkin satu perkara yang saya perlu betulkan tahun ini, ambil kira apa yang dikatakan anak. Bukan tolak dahulu kemudian baru selidiki.

Menjadi ibu dan ayah, mendidik anak ini memang merupakan perkara yang mencabar, saya merasakan kita boleh membaca 1000 buku pun, ia tetap tidak akan menyediakan kita untuk tugas mendidik anak, kerana ia adalah perkara yang praktikal, ada unsur emosi, perasaan, keadaan, yang tidak mungkin boleh diterangkan di dalam buku. Namun itu tak bererti kita tidak perlu membaca dan belajar. Pengalaman dan teknik orang lain merupakan satu perkara yang berharga, jika tidak berkesan pun kepada anak kita sendiri, sekurang-kurangnya kita akan faham, kita tidak rasa keseorangan, ia adalah struggle setiap ibu bapa. Dan dengan lebih banyak bacaan, informasi, dan ilmu, kita mampu merancang strategi yang lebih baik walaupun tidak sempurna, kerana kesempurnaan itu tak mampu dimiliki manusia

Khamis, 7 Januari 2021

Ahmed Deedat Tersenyum Dari Kuburnya


Teman saya Syafiq dari Dubai tiba-tiba menghantar pesanan di bahagian mesej di sebuah platform media sosial. Beliau berkerja sebagai pereka grafik dan web. Sudah sekitar 7 purnama berlalu sejak kami bertukar-tukar perkataan. 

"Assalamualaikum saudaraku, bagaimanakah keadaan anda? Aku punya berita penting buat kamu" tulis Syafiq kepadaku.

Beliau kemudian menghantar beberapa pautan perihal berita bahawa tuduhan salah laku seks yang dilakukan oleh Ravi Zacharias kini terbukti benar. Ini adalah pengkhabaran yang sangat besar gumam hati saya.

"Jadi sesungguhnya beliau bukan sahaja penipu tetapi merupakan pemangsa seks" balas saya kepada Syafiq.

"Ya, dia pernah memfitnah Ahmed Deedat selepas kematiannya, dan sekarang nampaknya dia pula telah dipukul hebat selepas kematiannya. Allah tahu apa yang terbaik" tulis Syafiq kepada saya.

"Alhamdulillah, Deedat nampaknya masih menang walaupun dia berada di dalam kubur" tulis saya.

"Siasatan masih berterusan keatas Ravi, tetapi laporan interim telah dikeluarkan, aku hargai organisasi Ravi iaitu RZIM, mereka menerbitkan laporan ini di laman web mereka, kebanyakan kumpulan lain seperti mereka tidak akan mengakui isu-isu seperti ini" tulis Syafiq menghargai kejujuran RZIM.

"Ya, itu patut dipuji" balasku.

Kami mengakhiri perbualan kami disitu. Manakala saya seperti mendapat semangat baru hari itu. Saya masih ingat perbincangan-perdebatan saya dengan seorang rakan kristian saya Theo. Pada satu hari beliau berkongsi kepada saya video ucapan Ravi Zacharias yang memfitnah Ahmed Deedat kononnya ketika Deedat memberi ucapan di sebuah Universiti Islam di Malaysia, seorang Professor bernama Lee bertanya soalan. Deedat memanggil Lee ke hadapan dan menampar mukanya, menyuruhnya membuka seluar dan baju dan memalukan Lee di depan khalayak. Lee pulang ke pejabatnya hanya berseluar dalam. Video ucapan ini di muat naik oleh Naga Seminarian pada bulan Ogos 2020. Deedat yang telah meninggal pada tahun 2005 pastinya tidak dapat mempertahankan dirinya atas fitnah ini.

Deedat merupakan pendebat dan orator professional. Dalam debat, jika anda hilang kawalan dan marah, anda telah kalah. Deedat yang professional sangat arif dengan keadaan ini. Sebab itu jika anda melihat siri-siri debat Deedat, beliau akan sentiasa tersenyum meskipun lawannya menjerit-jerit emosional, atau pendengarnya menjerit-jerit memarahinya. Contohnya deebat Deedat melawan Pastor Stanley Sjoberg, anda boleh lihat sendiri bertama emosionalnya Stanley, sementara Deedat kekal cool sambil tersenyum menjawab soalan. Sebab itu fitnah ini sukar dipercayai. Siri debat Deedat juga pasti direkodkan, manakala tuduhan ini tidak punya apa-apa rekod.

Tidak ada satu pun video atau berita media yang melaporkan perkara ini. Cerita karut dan fitnah Ravi Zacharias ini disebar luaskan oleh media-media kristian. Sirikwa Pentecostal Fellowship contohnya menerbitkan tulisan kisah karut ini di laman Facebooknya pada 11 Disember 2013. Fitnah Ravi ini tiada langsung bukti, Prof. Lee yang disebutkan juga tidak pernah muncul untuk mengesahkan cerita karut Ravi. Bukti cerita ini hanyalah air liur Ravi, Ravi sedar pengaruhnya besar, dan pengikutnya akan percaya perkataannya tanpa perlu akan pembuktian. Theo adalah salah seorang dari pengikut buta Ravi yang naif.

Ravi Zacharias bukan merupakan figura kecil di dalam dunia kristian. Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence menghadiri upacara peringatan kematiannya, Pence dalam ucapannya pada majlis itu mengirim kata-kata dari Presiden Amerika sendiri, Donald Trump yang mengatakan bahawa “making the intellectual case for Christianity, Ravi Zacharias was instrumental in helping millions of people around the world come to know the love and mercy of Jesus Christ". Ravi Zacharias mengasaskan Ravi Zacharias International Ministries (RZIM), sebuah organisasi global yang mempunyai pejabat di USA, UK, Canada, Jerman dan banyak lagi.

Kini, kurang setahun dari kematian Ravi Zacharias, RZIM mengakui salah laku seks dan penipuan Ravi Zacharias adalah benar dari penyiasatan dalaman mereka melalui Miller & Martin PLLC. Dalam sekelip mata, Tuhan membuktikan bahawa Ravi merupakan seorang penipu sekaligus membersihkan nama Deedat dari fitnah kotor Ravi. Dalam sebuah artikel CTV News, Carson Weitnauer dari RZIM menulis bahawa Ravi adalah "penipu besar", beliau menulis bahawa:

"The realization that Ravi Zacharias was not the greatest apologist of his generation -- but rather one of its greatest frauds -- has felt like a catastrophic betrayal, I have felt a sickening combination of revulsion and grief."

Saya menyampaikan khabar yang indah ini kepada Theo. Theo tergamam, kemudian dia menulis:

"Interesting. It's exactly why we need to look to God and not men. Even King David committed adultery with Bath-sheba and subsequently murdered her husband by proxy when he found out that she was pregnant with his child. Fortunately for him, God sent a prophet who exposed and rebuked him. Well, we would only know if Prof. Lee himself comes forward with the truth. But to you who are listening I say: Love your enemies, do good to those who hate you, bless those who curse you, pray for those who mistreat you. - Luke 6:27-28".

Saya rasa sangat kelakar, kerana Lee tidak berani untuk keluar bagi membenarkan kisah fitnah karut Ravi. Saya pun membalas "So far Lee still didn't dare to come forward. We will have to wait for forever. Until he came forward, its just an unsubstantiated lie by a known sexual abuser".

Membaca tulisan saya, Theo bertukar defensif, dia perlu mencari alasan kenapa Lee tidak keluar untuk membuktikan tuduhan fitnah ini. Dia pun memetik Jakim yang tiada kena mengena langsung dengan kes ini. Theo menulis "Say he does comes forward, what is  JAKIM going to do? Apprehend Deedat? Compensate Prof. Lee? I highly doubt do, it better to remain silent".

Menjawab falasi Theo yang cuba menyorok dibelakang Jakim kerana tidak berjaya membuktikan fitnah dari Ravi si pemangsa seks, saya menulis "Jakim has nothing to do with it. For me simple, if its true give evidence, if false, then keep giving excuses to not give them. But the words of this sex abuser will not hold water anymore. As such Deedat is in the clear. Even in his grave, Deedat is still winning. Thank God".

Pasrah kerana kehabisan hujah, Theo hanya mampu memetik petikan Bible, dia menulis "For God will bring every deed into judgment, including every hidden thing, whether it is good or evil. Ecc 12:14"

Setelah bertahun-tahun Ravi Zacharias memfitnah Ahmed Deedat yang kemudian disebarkan oleh media-media kristian. Tanpa sebarang bukti, hanya dengan mempercayai perkataan Ravi, akhirnya Tuhan membantu Deedat dengan mendedahkan bahawa Ravi Zacharias tidak mempunyai kredibiliti, beliau bukan sahaja penipu besar tetapi juga pemangsa seks. Nampaknya Ahmed Deedat masih lagi memenangi perlawanan dengan kristian, dari kuburnya Ahmed Deedat tersenyum. Tuhan sendiri membersihkan namanya.

Ahad, 3 Januari 2021

Surat Buat Izzudeen Pasha


Beberapa hari lepas Sheikh Izzudin Pasha ada menghantar utusan bertanya perihal proses penulisan dan penerbitan, jadi di ruangan kali ini saya tintakan sedikit pengalaman peribadi saya. Saya menulis pada asalnya sedikit demi sedikit. Kemudian saya kumpulkan semua penulisan itu. Ini merupakan satu asas yang penting saya kira, iaitu, tulis dahulu. Tidak kiralah idea itu bernas atau tidak bernas, yang penting ia ditulis. Bak kata Seneca, "jika anda ingin menjadi penulis anda harus menulis". Pada peringkat awal jangan terlalu dirisaukan apa yang mahu dibaca oleh orang, tuangkan semua apa yang anda ingin tulis. Jangan letakkan apa-apa standard atau halangan, biarkan idea itu mengalir secara semulajadi.

Apabila sudah dikumpul dan dibukukan untuk menjadi naskah. Disini baru perlu kepada penilaian dan semakan. Pada mulanya semaklah sendiri. Kemudian hantar kepada editor untuk disemak. Jika tiada editor, beri kepada teman-teman rapat agar mereka boleh baca dan tandakan kesilapan yang ada. Saya dahulu mencetak naskah pra-penerbitan dan pos pada rakan-rakan yang sudi membaca. Ini penting kerana kita sering kali buta dengan kesilapan kita sendiri.

Setelah naskah itu siap, boleh dihantar kepada penerbit. Penulis kali pertama mungkin sukar untuk mendapatkan penerbit. Tambahan pada zaman yang sukar bagi industri buku seperti hari ini, penerbit biasanya memilih penulis yang sudah punya nama dan crowd agar buku itu nanti boleh dipasarkan. Jangan takut, terbitkan sendiri. Jika ada satu orang yang yakin dengan tulisan anda, orang itu mestilah anda! Jika anda sendiri tidak yakin, masakan orang lain diminta untuk meyakini karya anda.

Anda juga boleh meminta penulis sedia ada, atau mereka yang mempunyai crowd mereka tersendiri untuk menuliskan kata pengantar untuk buku anda. Ini akan menjadi daya penarik dan meyakinkan pembaca untuk membeli naskah tersebut kerana ia sudah dibaca oleh orang yang mereka percayai.

Untuk terbitkan karya secara swaterbit (sendiri), anda boleh mendaftar syarikat dengan SSM atau terbitkan atas nama sendiri. Saya lebih menyarankan anda menerbitkan atas nama syarikat, nampak lebih kemas dan professional, dan anda boleh menerbitkan karya lain seterusnya dibawah syarikat tersebut. Kemudian isi borang dari perpustakaan negara untuk penerbit baru. Pastikan manuskrip sudah siap untuk dicetak semasa mengisi borang perpustakaan negara, kerana selepas didaftarkan anda perlu menyerahkan 5 naskah buku ke perpustakaan negara untuk rekod. Apabila sudah mengisi borang ISBN dan CIP, masukkan data tersebut mengikut format yang ditetapkan ke dalam buku sebelum dicetak.

Untuk cetakan saya menasihatkan anda mencetak dalam lingkungan 50-100 dahulu. Walaupun mungkin margin untung rendah, ia lebih baik dari anda rugi dan naskah yang tercetak tidak terjual. Selepas dicetak bolehlah mulakan promosi. Saya sendiri hanya menjual kepada keluarga dan kawan-kawan di Facebook pada peringkat permulaan. Minta mereka berikan rating dan tuliskan reviu kepada buku anda, Goodreads adalah tempat yang baik untuk pembaca memberi rating dan review. Apabila buku anda mempunyai rating dan review, ini akan lebih meyakinkan pembeli baru. Boleh juga menjual di pesta buku atau mana-mana event yang ada. Saya pernah menjual sendiri di pesta buku, ia adalah pengalaman yang sangat berharga.

Buku ini ibarat anak kecil, kita tidak tahu kemana dia akan pergi. Boleh jadi selepas anda menerbitkan sendiri, ia mendapat perhatian dan kemudian ada penerbit yang sudi menerbitkannya semula. Atau mungkin ia tersebar dengan luas dan permintaan menjadi sangat menggalakkan. You will never know until you try. Tapi apa pun yang berlaku, sekurang-kurangnya jika anda mendaftar ISBN dan menghantar manuskrip ke perpustakaan negara, buku itu akan dipelihara dan datanya akan disimpan dan boleh diakses di OPAC PNM, jadi sekurang-kurangnya nama anda sudah terparut dalam sejarah. Siapa tahu buku itu akan menjadi sambutan 100 tahun lagi oleh pembaca baru? Tapi jika anda tidak menerbitkannya, tiada siapa yang boleh membacanya.

Sabtu, 2 Januari 2021

Blog: Meraikan 13 Tahun Penulisan


Jika blog ini merupakan manusia, blog ini sudah boleh melangkah masuk ke sekolah menengah dalam Tingkatan 1 kerana sudah mencapai usia 13 tahun. Malah usia blog ini lebih lama dari usia perkahwinan saya. Saya mula blogging pada tahun 2008, 13 tahun yang lalu. Waktu mula-mula blogging saya pun tak tahu apa itu blog, bagaimana ia berfungsi, untuk apa digunakan. Saya mula blogging selepas tengok adik saya ada blog.

Walaupun banyak posting-posting awal saya kelakar, tak matang, saya tak pernah delete, biarlah dia menjadi sejarah dan saya boleh lihat bagaimana gaya penulisan dan gaya pemikiran saya berkembang.

Masa zaman saya muda, hampir semua kawan-kawan ada blog, ramai yang kini sudah padam blog mereka, ada yang jadikan blog sebagai diari kehidupan, sebagai album gambar, saya jadikan blog sebagai tempat latihan menulis. Tempat saya belajar dan bereksperimen. Malah ia juga sering menjadi tempat saya menulis draf untuk penulisan lain, juga untuk pembukuan.

Kerana blog adalah platform kita sendiri, saya selesa menulis disana meski banyak platform yang lain. Apabila selesa, kita boleh menulis dengan tenang, bersemangat, dan yang paling penting jujur. Baru-baru ini saya buatkan page untuk blog saya Meniti Jambatan Masa, agar postingnya mudah dikongsi dan menemui pembaca, meskipun saya tidaklah terlalu aktif mempromosikannya. Sekadar ada.

Hujung tahun lepas sempat bersembang perihal blog di Kultura Podcast, sesi podcast tersebut banyak mengimbau kenangan. Tahun lepas saya agak aktif di blog, sekitar 115 postings. Sepuluh kali ganda lebih banyak dari tahun pertama saya mula blogging. 

Menulis itu menenangkan. Tempat menyalurkan perasaan. Tempat berimaginasi dan bermimpi. Tempat termenung dan berfikir. Tempat memarut sedikit kata untuk ditinggalkan dalam sungai sejarah, moga ia hanyut mudik bertemu generasi seterusnya.

Berani Menuntut Hak


Kisah ini ada saya kongsikan di laman Facebook. Perihal bagaimana baru-baru ini saya ada ke syarikat penghantaran, mahu mengantar buku teks kepada seorang teman di Syria yang akan menduduki peperiksaan professional. Di kaunter saya tanya harga penghantaran 2 buah buku, setelah ditimbang dan di check rate penghantaran, total cost adalah RM300.

Kerana macam mahal, saya balik bincang dengan rakan saya dulu, kami setuju akan kos tersebut. Esoknya saya pergi semula dan bayar.

Selepas beberapa hari, saya dimaklumkan penghantaran tidak boleh dibuat, kerana agen mereka tidak boleh menghantarnya. Saya okay, saya minta refund. "Takda" jawab mereka ringkas. Saya rasa tertipu. Patutnya jika tidak boleh hantar, beri tahu sebelum saya bayar, jimat masa, tenaga, dan duit. Jika nak guna alasan perang, perang di Syria dah bertahun lamanya, jadi patut polisi dah jelas tidak boleh hantar. Bukan beritahu boleh, minta duit, kemudian kata tak boleh hantar.

Saya kata saya akan buat tuntutan di mahkamah kecil, kerana RM300 tak banyak, tapi still rasa tertipu. Ini bukan kali pertama saya guna ayat nak buat tuntutan mahkamah, kali pertama rasanya masa minta pulangkan deposit dari syarikat percetakan yang tak tunaikan servis. Prosedur tuntutan ni senang sahaja, boleh Google. Kalau malas Google saya pautkan link disini. Kalau kawan hutang tak nak bayar pun boleh buat tuntutan.

Akhirnya pihak syarikat penghantaran setuju untuk pulangkan duit. Bayangkan jika 100 orang tidak menuntut dan biar sahaja bila dikatakan tiada refund. Dah boleh dapat RM30,000. Kalau seribu orang, boleh dapat RM300,000 dan boleh beli sebiji rumah secara cash.

Hidup ni kadangkala memang kena melawan kalau tak mahu ditekan. Setiap kali ada penindasan perlu ada perlawanan. Bak kata Widji Thukul "hanya satu kata, lawan!".

Jumaat, 1 Januari 2021

Kuliah 3T: Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah


Pada malam tahun baharu, saya dijemput oleh beberapa mahasiswa untuk memberi sedikit pengisian di dalam Kuliah 3T Tea Talk Together dengan tajuk Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah. Saya kira elok kiranya saya kongsikan disini sedikit nota penyampaian untuk rekod dan rujukan. 

Fikrah dari sudut bahasanya adalah daya fikir atau pemikiran. Pemikiran ini dibentuk melalui pengalaman kita, pendidikan, keluarga, juga suasana sekeliling. Cara kita berfikir, mentafsir dan melihat dunia ini dalam bahasa Inggeris disebut sebagai worldview. Dari sudut pandang dan pemikiran inilah yang menggerakkan kehidupan kita. Kenapa worldview ini penting?

Kerana ialah yang mencorak kehidupan kita. Jika worldview kita adalah moral nihilism kita akan hidup bertuhankan nafsu, tiada hala tuju. Jika fikrah atau worldview kita adalah materialism kita akan hidup hanya untuk memenuhi kehendak material tetapi mempunyai jiwa dan hati yang mati. Dan hidup kita ini hanya sekali, tiada peluang yang kedua, jika fikrah atau worldview kita salah dari awal, maka kita akan bazirkan satu-satunya peluang hidup ini, dan kita tidak ada peluang yang kedua.

Oleh itu kita perlu berpegang dengan fikrah yang benar, worldview yang bukan sahaja memberi kita kejayaan di dunia, tetapi juga kejayaan di kampung abadi kita, akhirat.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera” (Surah Asy-Syu’araa: 88-89)

Kita hendak pulang dengan Qalbin Saleem. Oleh itu fikrah kita hendaklah fikrah Islam, dengan fikrah itu kita melihat dunia dan beramal di dalamnya sesuai dengan tujuan penciptaan kita. Fikrah kita adalah fikrah Islam yang syumul, menyeluruh, bukan dipisah-pisahkan. Seperti yang diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah at-Ta’alim pada usul yang pertama dalam Usul ‘Isyrin:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang – undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”

Jadi jika pemikiran atau fikrah kita jelas akan lengkapnya sistem Islam ini, maka kita juga perlu sedar bahawa ia tidak dapat dilakukan berseorangan. Kita perlukan teman, rakan, suami, isteri, yang sama-sama memahami akan tuntutan fikrah ini, dan sama-sama berkerja sama untuk menjayakannya secara amal jama’ei.

Peranan mahasiswa bukan satu, tetapi pelbagai. Semuanya penting dan perlu dijayakan. Mahasiswa merupakan manusia yang sedang berada dalam fasa kehidupan yang unik, yang punya semangat kuat membakar, perasaan lapar akan pengalaman dan ingin tahu, tenaga yang kuat, intelek yang cerdas, dan masa yang banyak. Ia adalah fasa emas yang tidak boleh disia-siakan.

Yang pertama adalah peranan mahasiswa sebagai pencandu ilmu. Mahasiswa yang mempunyai fikrah Islam hendaklah sedar bahawa kejayaan akademiknya adalah dakwah. Oleh itu dia bukan sahaja perlu berjaya, malah dia perlu berjaya dengan cemerlang. Tidak boleh alasan dakwah dan tarbiyah digunakan untuk menghalalkan kegagalan akademik.

Yang pertama juga adalah keterlibatan mahasiswa dalam program dan aktiviti dakwah dan tarbiyah kampus. Ini juga adalah peranan yang pertama, zaman ini merupakan zaman emas untuk memahami selok belok organisasi, belajar bekerja sesama manusia lain, dan juga membina jaringan ukhuwah Islamiyah sesama aktivis dakwah.

Peranan yang pertama seterusnya adalah memahami masyarakat, bersama masyarakat, dan menyumbang kepada masyarakat. Tenaga, masa, dan intelektual mahasiswa perlulah dirasai masyarakat, jika tidak mahasiswa itu akan menjadi mahasiswa abstrak, yang tenggelam dalam teori-teori tetapi lupa untuk membaiki manusia di bumi.

Untuk membaiki masyarakat, yang pertama kita perlu memahami masyarakat kita. Kita tidak boleh membaiki apa yang kita tidak faham. Kita boleh baca teori dan bahan akademik, tetapi jika kita tak memahami realiti, kita akan kalah. Oleh itu adalah keperluan yang kritikal untuk mahasiswa dan aktivis dakwah memahami pemikiran dan worldview lain, agar mereka punya alatan yang betul, cara yang betul untuk berhujah dan menanganinya. Buku-buku fikrah juga tidak boleh kita fahami secara literal, tetapi disesuaikan mengikut waqi’ dan suasana setempat.

Kita tidak dapat memberi pada orang lain sesuatu yang kita tidak ada. Oleh itu, kita sendiri perlu melalui proses pembaikan, proses tarbiyah, sebelum kita boleh mengajak orang lain. Ini tidak bermakna jika kita sudah mula berdakwah kita meninggalkan tarbiyah, tetapi ia jalan seiring, tarbiyah adalah proses berterusan hingga hujung nyawa. Tarbiyah ini adalah tangungjawab kita sendiri, bukan tangungjawab naqib atau naqibah usrah, kerana objek tarbiyah adalah hati, walau sekuat manapun usaha naqib dan naqibah hanya kita yang boleh membuka hati kita untuk disapa tarbiyah.

Ke mana kita hendak mengajak manusia? Tanya Imam Hassan Al-Banna. Kepada Allah. Kita bukan mahu mengajak manusia kepada peribadi kita, persatuan kita, gerakan kita, tetapi kita hendak mengajak manusia kepada Allah.

Gerakan kita bukanlah satu-satunya gerakan Islam, tetapi gerakan kita adalah sebahagian dari gerakan-gerakan Islam. Masing-masing ikhlas dan punya cara mereka. Kita maafkan perbezaan dan bekerjasama dalam persamaan. Antara buku yang baik untuk memahami strategi berdakwah adalah buku Al-Muntalaq atau terjemahannya Langkah Bermula oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. 

Rabu, 30 Disember 2020

Reviu: Advencer Si Penjual Buku Oleh Benz Ali

Saya memulakan cuti panjang hujung tahun 2020 seperti biasa, berkemas untuk pulang ke kampung (kota) halaman di Kuala Lumpur, kota kelahiran. Pada mulanya saya ingin membawa pulang novel tulisan Susan Barker untuk menemani cuti, tapi kemudian bertukar fikiran, saya masukkan naskah ini ke dalam beg. Saya masih ingat dahulu saya pernah diabel “pentaksub Benz Ali” oleh seorang teman Islamis, mungkin dia tidak selesa saya membaca buku Benz yang agak kontroversial. Tetapi sebenarnya bukan buku Benz sahaja yang saya baca, saya baca semua, dan seperti pembacaan biasa, ada yang saya setuju, ada yang saya tidak setuju, seperti kitab lain dan kitab ini tidak terkecuali. Membaca tidak bererti kita taksub, ia bererti kita mahu memahami pemikiran orang lain.

Saya memulakan cuti panjang hujung tahun 2020 seperti biasa, berkemas untuk pulang ke kampung (kota) halaman di Kuala Lumpur, kota kelahiran. Pada mulanya saya ingin membawa pulang novel tulisan Susan Barker untuk menemani cuti, tapi kemudian bertukar fikiran, saya masukkan naskah ini ke dalam beg. Saya masih ingat dahulu saya pernah diabel “pentaksub Benz Ali” oleh seorang teman Islamis, mungkin dia tidak selesa saya membaca buku Benz yang agak kontroversial. Tetapi sebenarnya bukan buku Benz sahaja yang saya baca, saya baca semua, dan seperti pembacaan biasa, ada yang saya setuju, ada yang saya tidak setuju, seperti kitab lain dan kitab ini tidak terkecuali. Membaca tidak bererti kita taksub, ia bererti kita mahu memahami pemikiran orang lain.

Saya rasa bersyukur kerana membeli dan membaca naskah ini, kerana ia bagi saya merupakan satu naskah yang penting dalam memahami buku haram ‘Antithesis’. Yang pertama ia memberikan konteks kepada buku tersebut. Yang kedua kerana ia membawakan sisi manusia penulis. Sering kali apabila kita melihat seseorang dari kaca mata label seperti sosialis, komunis, ateis, agnostik, liberal, sekularis, kita terlupa bahawa disebalik label itu adalah manusia yang sama seperti kita. Yang juga akan berdarah jika terluka, bersedih tika berpisah dengan kekasih. Buku ini enak dibaca, satu periwayatan kisah hidup, autobiografi, tidak agetatif dan agresif seperti Antithesis, tidak bernada marah tetapi bernada penceritaan.

Saya setuju dengan pandangan beliau bahawa sejarah kita, walaupun kita orang kecil, perlu ditulis, kerana jika tidak, generasi akan datang hanya mengenal orang-orang besar, bangsawan, ahli politik, ini menjadikan sejarah itu tempang, tidak menceritakan keseluruhan kisah masyarakat manusia lampau. Saya teringat akan sejarah yang ditulis oleh Howard Zinn, beliau menulis “the people’s history”, mengumpulkan suara-suara yang tidak disebut dalam sejarah mainstrem yang hanya memfokus pada raja, general dan gergasi intelektual. Ia memberi semangat pada diri saya sendiri, untuk menulis perihal sejarah keluarga, sekolah, kerana tidak ada orang yang akan menulisnya melainkan kita sendiri. Jika sejarah diri, mustahil boleh ditulis oleh orang lain selengkap tulisan kita sendiri.

Dalam tulisan awalnya, perihal zaman persekolahan, beliau menulis bagaimana beliau bersekolah di sekolah agama (yang dipengaruhi kuat oleh PAS dan ABIM) namun tidak diajarkan “tujuan hidup”. Ya, tanpa tujuan kita sukar untuk mengharungi hidup. Jika ada tujuan, kita boleh mengharunginya, apa pun pancaroba yang menyapa. Bak kata Nietzsche, “He who has a why to live for, can bear almost any how”. Saya juga dibesarkan dalam sekolah agama, tetapi saya punya pengalaman yang berbeza, tujuan hidup tidak pernah tidak diajar, sentiasa diulang bahawa tujuan hidup adalah untuk berubudiyah kepada Allah, malah saya telah hafal dalilnya, Surah Az-Zariyat ayat 56 yang selalu diulang. Perkara ini adalah perkara pertama yang menggeluti fikirannya sejak di sekolah, beliau tidak punyai masalah keluarga yang menjadikan dia “bermasalah”, keluarganya tidak berantakan malah berdasarkan penulisan beliau, bagi saya keluarganya berfungsi. (19) Beliau mengakui dengan jujur bahawa dia sendiri yang bermasalah kerana terlalu kuat berfikir.

Di kala pengajian tinggi di KUIS beliau hanya mengikut sahaja temannya, Abdul Rauf, namun apabila temannya pergi ke Mesir dia mula hilang arah. (25) Beliau mula memikirkan soal-soal ketuhanan, perihal kuasa tuhan, persoalan-persoalan yang saya kira tidak berani ditanya oleh orang kebanyakan. Dari pembacaan saya, saya merasakan beliau lebih meragui tentang sifat-sifat tuhan berbanding kewujudan tuhan.

Mungkin ramai orang, termasuk saya sendiri sebelum menelaah dan membaca naskah ini berfikiran bahawa Benz melawan dan menjadi dirinya yang sekarang atas pilihannya (semata-mata). Tetapi dalam naskah ini beliau menceritakan bagaimana dia telah cuba banyak perkara, malah telah mengutus doa kepada kepada tuhan, namun dia tidak dapat melawan keadaan sekelilingnya. “Kita yang tidak berpeluang...dipaksa menjadi apa yang kita mampu” tulis beliau. (35) Seperti yang dikatakan oleh Antonio Gramsci bahawa manusia adalah produk sejarah. Kita lahir dalam satu keluarga yang tidak kita pilih, di satu zaman yang tidak kita pilih, dengan keadaan dan kemampuan yang tidak kita pilih, jadi adakah kita boleh mengatakan bahawa kita boleh memilih? Kerana hampir keseluruhan perkara yang mempengaruhi, membentuk, dan membesarkan kita adalah bukan pilihan kita. Ini antara persoalan hidup yang ditanyakan Benz dalam naskah ini.

Buku ini juga mempunyai sedikit disconnect, contohnya di halaman 45 tiba-tiba kita diberi tahu bahawa Benz bersama bekas isterinya membawa beg berisi buku ke dalam KTM. Bagi pembaca yang tidak mengenali beliau secara peribadi, hal ini mungkin membingungkan, kerana pada 44 mukasurat pertama langsung tidak diceritakan perihal perkahwinan, tiba-tiba sudah punya bekas isteri. Mungkin kisahnya terlalu perit untuk dihidupkan kembali dalam penulisan ini, saya faham, tetapi ia tetap membingungkan jika dilihat dari mata kasar pembaca.

Saya kertawa kecil melihat gambar-gambar lama yang dikongsikan beliau dalam naskah ini. Terutamanya gambar di MPR pada tahun 2008, berkopiah kelihatan begitu soleh sekali, sangat berbeza dengan imej gondrong beliau hari ini. (58) Beliau menceritakan bagaimana beliau bermula dengan penyajak sebelum menjadi penulis, mengikuti gerakan bersama Pak Dinsman yang menjadi guru seninya. (61) Menjadi sosok kontroversial bukanlah suatu yang mudah menurut Benz, disebalik populariti yang didapati. Buku-bukunya tidak disenaraikan di kedai-kedai kebanyakan, malah penerbit juga sering kali meminta dia mengubah nama pena juga nama buku. (93)

Saya juga sangat tertarik kepada perbahasan “kerajinan mampu mengatasi kesarjanaan” yang beliau bahaskan dalam naskah ini. (95) Kita sering ditegah untuk tidak membaca buku tanpa guru, kita bisa tersesat. Namun ada kelompongan dalam hujah ini menurut Benz. Beliau bertanya “bagaimana kita mahu berguru dengan orang yang telah mati?”. Maka disini kita tidak dapat lari dari membaca buku tanpa guru, kerana ia adalah satu metod penggalian ilmu yang praktikal. Bukankah yang memahami sesuatu penulisan itu adalah penulis sendiri? Jika penulisnya telah mati, besar kemungkinan kita akan lebih belajar berkenaan tafsiran guru berbanding maksud sebenar penulis. Ada ketika saya kira kita perlu berguru, ada ketika kita perlu menggunakan akal kritikal kurniaan tuhan untuk memahami teks bacaan. Kerana itulah saya kira fungsi pembelajaran, untuk menjadikan kita independen dalam memahami dan menganalisa ilmu dihadapan kita, kita tidak boleh bergantung kepada guru selama-lamanya. Benz memetik pemikiran Gramsci bahawa semua orang adalah intelektual secara teorinya kerana mereka semua mempunyai idea dan pemikiran. (103)

Gerakan Kiri merupakan gerakan yang dekat dengan ideologi pemikiran Benz, namun beliau tidak naif dari mengakui bahawa gerakan kiri juga berpecah sesama mereka sendiri. (113) Perkara ini bukan sahaja realiti hari ini, ia sudah dirakam zaman-berzaman, malah bermula sejak pengasasan gerakan ‘kiri’ itu sendiri. Bagaimana Marx bersengketa dengan Bakunin, juga bagaimana Trotsky dibunuh oleh assassin yang dihantar Stalin. Chomsky sendiri sering mengkritik rejim Bolshevik, Leninis, Stalinis yang bagi beliau memberi nama buruk kepada gerakan sosialis. Bagaimana Bolshevik menekan golongan pekerja, memerangi anarkis, sebaik mereka memegang puncak takhta yang dirampas dari Tsar Nicholas. Bagi Chomsky kegagalan Bolshevik ini adalah pembenaran tilikan Bakunin bahawa idea Marx hanya akan melahirkan diktator baru, diktator proletariat.

Namun saya kira, walaupun Benz merupakan seorang yang suka bergaduh dan berpolemik, ketika dia jatuh, dia masih mempunyai teman-teman yang sudi menerimanya, memberinya bumbung, menyuapnya makanan, dan memberinya bekas untuk diisikan air mata. Beliau menceritakan penghargaan beliau kepada temannya Zek De La Rocha yang sudi memberinya teduh. Benz menulis ketika dia jatuh, dia pulang ke “pangkuan Allah (Tuhan)”, yang menjawab segala persoalan dan kesedihannya. Benz sendiri mengaku bahawa dunia moden ini tidak dapat memberi apa yang diberi oleh tuhan, dunia moden menurut beliau “serba jamad, beku lagi keras”. (126) Disini saya melihat Benz Ali yang lain, yang berbeza dengan argumen ateis-agnostik yang selalu dikaitkan dengan dirinya.

Malah dalam makalah ini beliau pergi lebih jauh, beliau mengkritik atheis dengan konsep tuhan mereka yang naif. Golongan atheis yang beriman dengan empiricism, hujah empiricism ini naif menurut Benz kerana tuhan itu pastilah tidak dapat ditakluk manusia, tidak dapat dicerap oleh panca indera manusia. Konsep yang naif ini bagi Benz menyebabkan golongan atheist “banyak mengarut dan banyak membuat jenayah akademik”. (137) Beliau juga berkisah tentang perihal fenomena anak muda bercerai, kerana saya berkahwin dengan seseorang yang saya tidak pernah bercinta sebelum kahwin, saya hendak bersetuju dengan tulisan beliau bahawa “...segala-galanya telah dilakukan sebelum perkahwinan. Dan apakah lagi yang manisnya dalam perkahwinan”. Saya juga sangat bersetuju bahawa cinta itu satu tanggungjawab. (139)

Dalam kritikan beliau terhadap atheism beliau turut memuatkan kritikannya pada Richard Dawkins, seorang sarjana “militant atheist”, beliau menyangkal hujah Dawkins bahawa hanya keimanan sahaja yang percaya tanpa hujah. Hakikatnya banyak benda yang kita lakukan secara harian tiada hujah saintifik. Naik kereta misalnya, kita percaya bahawa kereta boleh bergerak, tetapi jika ditanya kita mungkin tidak dapat menjawab hukum fizik atau sistem mekanikal dalaman kereta yang membolehkannya bergerak. Bagi Benz, Dawkins tidak jujur dalam kritiknya pada agama. (152)

Ada juga hujah Benz yang saya kira sangat paradoks dengan praxis beliau sendiri, contohnya beliau menyebut “tidak ada perubahan yang terlahir di dunia hasil maki memaki dalam Facebook”. (189) Pernyataan ini saya lihat sangat kontradik dengan status-status harian Benz Ali di Facebook. Walaupun peringkat awal buku ini pembacaan agak tenteram dengan nada penceritaan, semangat perlawanan dengan nada agresif seperti Antithesis muncul juga di helaian-helaian belakang apabila beliau mengkritik mahasiswa dan universiti. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa “jika kau berniat bahawa kau masuk ke universiti untuk menuntut ilmu. Sama ada kau slow atau kau pura-pura...”. Ya benar universiti banyak kelemahan, dan ada segelintir yang menganggapnya sebagai medan transisi ke alam pekerjaan. Tetapi ini adalah generalisasi yang terlampau luas, ada sahaja manusia yang ke universiti memang dengan hati yang mencintai ilmu. Buku ini juga saya kira punya pengulangan isi yang sama, contohnya cerita tentang Abdul Rauf Baharuddin. (253) Juga ketika beliau menulis bahawa “aku lebih kepada mengikut apa yang disuruh, apa saja yang didengar, apa saja yang diajar, apa saja yang dibaca, tanpa kompromi. Dan gigit dengan geraham”, kenyataan ini kedengaran begitu kontradik sekali dengan idea beliau sendiri bahawa kita perlu mempersoal dan melawan.

Apa pun buku ini sangat enak dibaca, terutamanya bab-bab awal perihal bagaimana Benz Ali meriwayatkan kisah hidupnya, disitu kita dapat memahami bagaimana seorang Amir Hamzah di deconstruct dan kemudian di construct semula menjadi Benz Ali yang melahirkan Antithesis. Ia memberi perspektif untuk kita memahami kisah disebalik buku kontroversi Antithesis. Kritik-kritik beliau juga tajam seperti biasa, cuma mungkin ada beberapa paradoks dan kontradiksi.

Pada thesis yang ke-11 di dalam Theses on Feuerbach Karl Marx menulis “Die Philosophen haben die Welt nur verschieden interpretiert; es kommt aber darauf an, sie zu verändern” yang bermaksud bahawa ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang perlu dilakukan adalah mengubah dunia. Dalam kritik Benz Ali mungkin boleh kita katakan bahawa pengkritik boleh mengkritik dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang diperlukan adalah kritikan ini boleh diaplikasikan untuk mengubah dunia.

Sabtu, 26 Disember 2020

Joram van Klaveren di Pelita Dhihin Petaling Jaya


Joram van Klaveren merupakan seorang ahli politik Belanda yang begitu anti dengan Islam. Beliau menyertai Partij voor de Vrijheid (PVV), sebuah parti kanan yang diasaskan Geert Wilders. Wilders merupakan sosok kontroversi yang bertangungjawab menghasilkan filem 'Fitna' juga pameran lukisan Nabi Muhammad. Penglibatan aktif Joram dalam PVV dan mengetengahkan pelbagai usul di Parlimen Belanda untuk menutup masjid, membuang Qur'an dari parlimen, juga mengharamkan Islam di Belanda hingga beliau mendapat gelaran The Crown Prince of Wilders

Joram mula menulis buku mengkritik Islam, namun sepanjang kajiannya akhirnya beliau jatuh hati dengan Islam dan mengambil keputusan untuk menjadi Muslim. Ucapan dan temuramah Joram di laman Youtube perihal perjalanannya memeluk Islam merupakan rakaman yang selalu saya ulang-ulangkan kerana begitu mengasyikkan. Semalam ketika meninjau buku di Pelita Dhihin terjumpa naskah buku Joram. Jadi dibeli sebuah sebagai koleksi dan tanda solidariti.

Membunuh Pemimpi Mencipta Robot


Peristiwa itu tidak dapat aku padam dari memori. Walaupun setelah 17 tahun berlalu. Bila teringat, bila terimbau, ia membuatkan api rebel remaja dalam diriku bergolak semula, meski pun aku merasakan api itu sepatutnya telah lama terpadam di usia tua ini.

Di tepi cermin dia melukis, khusyuk, tenggelam dalam kretiviti dan imaginasi. Penselnya mengusap-ngusap kertas melahirkan watak-watak komik imaginasinya. Diberi jalan cerita. Berhelai-helai kertas lukisannya, dikumpul sehingga menjadi seperti sebuah buku. Disudut kanan kelas itu dia khusyuk melukis, mencuri masa lapang antara dua waktu kelas, saat guru tiada. Aku melihat sahaja teman sebelah mejaku dengan mata malas tengahari itu, sambil membungkam songkok ke dalam muka. “Ahh sekolah ini memang mengantukkan jiwa” gumam jiwa remajaku, separuh di bumi, separuh lagi di alam mimpi.

Temanku itu sememangnya punya tangan emas, yang dihadiahkan kepada sebahagian kecil kanak-kanak sahaja oleh Tuhan. Melukis komik merupakan impianku sewaktu kecil, sebaris dengan seribu cita-citaku yang lain termasuklah ingin menjadi tukang kayu, penternak ayam, juga saintis NASA. Namun tanganku merupakan tangan manusia biasa, tidak bisa mencipta realiti fiksi. Kadang-kala aku meminjam juga komik temanku itu, sekadar hiburan anak-anak di sekolah yang sepi ini, yang jauh dari hiruk pikuk kota tempat aku lahir, terselindung disebalik hutan getah juga bukit-bukit hijau.

Namun satu hari imaginasinya itu direnggut oleh seorang dewasa yang lalu diluar cermin tingkap kelas. Cuma di usia tua ini memoriku sedikit kabur, aku tidak ingat dengan pasti, sama ada perenggut itu merupakan seorang kerani yang berlagak seperti guru disiplin atau ustaz berkaca mata dengan rambut lebat yang disikat rapat. Temanku itu terbungkam, jiwanya pecah berkecai, dia cuba mendapatkan semula hasil kerja jiwanya itu namun gagal.

Bila difikir di usia tua ini, kadang kala ia membuatkan aku marah, kadang kecewa. Mungkin komik dilihat di sekolah sebagai “dadah” yang berbahaya, mengkhayalkan anak-anak yang sepatutnya menjadi komputer menyelesaikan persamaan matematik dan menyelesaikan permasalahan yang diberi dalam peperiksaan. Mungkin kretiviti tidak seberat nilainya akademik. Di sekolah aku memang seorang rebel. Masih ingat selepas tamat dirotan dikhalayak ramai, aku pergi ke belakang asrama bersama sehelai baju putih dan spray berwarna hitam. Di baju itu aku tulis menggunakan spray tarikh hari tersebut, biar semua orang tahu bahawa aku terima apa yang berlaku dengan bangga. Baju itu aku akan pakai di dalam baju putih sekolah, jadi ia nampak diluar.

Seorang senior yang juga merupakan kaki rebel bersembang denganku petang itu, entah kenapa dia cuba untuk memadamkan hasratku “Sudahlah, berbaloi ke kau buat semua ni, nak dapat apa?”. Entah, aku tak punya jawapan untuk soalan itu, mungkin jiwa muda rela dunianya dibakar hanya kerana semangat kemarahan.

Temanku sang pelukis komik itu memang ditakdirkan hidup dengan tangannya. Setelah beberapa tahun dia berjaya menjadi seorang arkitek. Aku sendiri tidak pasti jika komiknya dahulu tidak dirampas, apakah dia akan menjadi kartunis atau mangaka hari ini, aliran takdir adalah sesuatu diluar batas tekaan manusia. Tapi yang aku pasti, jika ia tidak dirampas dia tidak akan berasa kecewa pada hari itu.

Namun di hela usia tua ini, aku sudah ketemu pelbagai wajah dan watak, api rebel juga sudah mula surut, aku lihat dunia dengan apa yang adanya, dunia itu memangnya tidak sempurna, kadang ia tidak adil malah kejam. Tidak semua orang dewasa atau tua itu merupakan pembunuh mimpi orang muda. Mungkin aku juga kini sudah dewasa. Beberapa minggu lepas aku ada bermesyuarat dengan seorang Datuk, seorang ahli akademik yang sudah menulis puluhan buku, sudah dipuncak kerjaya dan menaiki takhta presiden di universiti awam. Namun apabila manusia-manusia muda bertanya, dia merendahkan pedang authoritinya, menjawab dengan penuh hati-hati, kerana dia sedar golongan muda adalah pemimpi.

“Saya boleh beri macam-macam nasihat, jangan itu dan jangan ini, tetapi kamu adalah pemimpi, kamu ada cita-cita sendiri, jadi walau apa pun nasihat dan pandangan saya, ia adalah pandangan orang luar yang tidak faham akan mimpi kamu, jadi jangan jadikan ia penghalang apa pun hasrat dan impian anda” ujarnya.

Aku tertarik sekali dengan kata-katanya. Seolah dia tahu manusia itu bukanlah perlu diprogramkan sebagai robot untuk dipasarkan di kilang dan pejabat. Tetapi digalakkan imaginasinya, dibiarkan dia mengejar cita-citanya.

T.E. Lawrence mungkin merupakan sosok yang dibenci dalam dunia Islam, kerana peranannya menghasut bangsa Arab untuk rebel melawan Khilafah Turki semasa perang dunia pertama. Tetapi aku kira ada satu kata-katanya yang benar, dan kebenaran itu harus kita ambil dari siapa pun, kawan atau lawan.

“Setiap manusia bermimpi, tapi tidak secara sama. Mereka yang bermimpi di malam hari dalam lamunan mindanya akan terjaga di siang hari dan mendapati bahawa ianya hanyalah khayalan, tetapi pemimpi di siang hari adalah manusia yang berbahaya, kerana mereka mampu berkerja menjayakan mimpinya dengan mata yang terbuka, dan menjadikannya satu kenyataan.” tulis Lawrence dalam kitabnya Seven Pillars of Wisdom.

Di hela usia tua ini, jika ada jiwa muda yang datang dengan cawan untuk di isi dengan nasihat, aku akan menasihati mereka agar menjadi pemimpi dengan mata yang terbuka. Mengejar cita-cita mereka meski yang tua mengatakan ia mustahil. Kerana tidak semua mata yang memandang dari luar itu faham semarak api mimpi dalam cita-cita pemuda. Maka bermimpilah, bercita-citalah, dan berkerjalah untuknya. Meski apapun pesan pesimis yang tiba, bisik “jangan” yang datang, teruslah mara dengan semangat pekerja muda. Walau apa pun pancaroba yang tiba, ingatlah jeritan Erwin Smith “Susume!!”.

Isnin, 21 Disember 2020

Anekdot Perihal Penulisan dan Pembacaan


Setiap kali saya menerbitkan penulisan di blog, sama ada perkongsian pengalaman, puisi, atau artikel, satu rasa gembira terbit dihati. Seolah-olah ia berkata pada diri saya "hari ini awak produktif". Ia bukan soal produktiviti sahaja, menerbitkan penulisan juga satu cara bagi saya untuk menyalurkan perasaan untuk menenangkan minda. Idea yang keluar memberi minda saya lebih kelapangan, lebih banyak ruang untuk berfikir akan hal lain.

Dalam perjalanan penulisan, kadang kala saya perlu bertarik tali dengan pembacaan. Dilema setiap malam setelah anak-anak tidur adalah "malam ini mahu membaca atau menulis?". Menulis dan membaca adalah dua sayap ilmu, ia perlu berjalan seiring.

Jika malam itu saya bertenaga, atau ada idea yang membuak-buak ingin keluar, saya akan menulis. Jika tidak, saya akan membaca, kerana membaca lebih kurang penggunaan tenaga, hanya perlu menggunakan mata dan otak, sedangkan menulis memerlukan tenaga untuk menaip, juga memerah idea dari otak. Menulis tidak boleh tergesa-gesa dan terpaksa, ia memerlukan mood, perlukan suasana kondusif, dan dalam banyak ketika, memerlukan secawan kopi panas dengan kesenyapan malam.

Saya suka menulis apa yang saya mahu tulis, kadangkala ada juga orang lain yang meminta penulisan, saya tiada masalah untuk menulis untuk orang lain, sekurang-kurangnya ada orang mahukan penulisan saya. Cumanya ia tidak memberi kepuasan seperti menulis untuk diri sendiri. Kerana menulis untuk diri tiada sebarang batasan, tiada kerisauan perihal pandangan orang lain, jadi kata yang bebas itu lebih memuaskan, lebih segar, lebih enak, dan yang paling penting, lebih jujur. Penulis perlu menerbitkan tulisannya, seperti yang dikatakan Robert Fisk, bukan apa yang dikehendaki oleh orang lain seperti editor atau pemilik syarikat penerbitan.