Atuk sebelah ayah saya bernama Syed Mohd Jiplus, diceritakan beliau merupakan generasi ketiga yang berasal dari keturunan Syed Enden yang berkahwin dengan Alang Kilit. Syed Enden dikhabarkan berketurunan dari Arab, dan berpindah dari Melaka ke Changkat Tualang, Kota Baru, Perak. Itulah riwayat yang diturunkan arwah ayah pada saya. Atuk saya merupakan seorang imam di sebuah Masjid di Changkat Tin, sebuah masjid yang berdekatan dengan rumah di kampung. Menurut kakak saya, Syarifah Nabihah, atuk juga selalu mengayuh basikalnya, kadang-kadang sehingga sampai ke lombong bijih timah tempat dia pernah berkerja. Menurut sepupu saya, Mohd Hazarudin bin Zulkilpully, atuk juga jika makan pasti licin pinggannya, dan apabila selesai, atuk akan tuang air kosong ke dalam pinggan dan menghirupnya sebagai tanda penutup selesai makan. Amalan makan sehingga licin pinggan ini diingati dan diamalkan juga oleh cucu atuk yang lain, iaitu Jasmin Jalaludin.
Menurut Rosimah Mat Selan, beliau pernah tinggal di rumah bersama atuk dan opah selama 2 tahun selepas moyang Mat Selan meninggal dunia, beliau memanggil atuk dengan gelaran Abang Cik. Beliau juga memerhatikan perkara yang sama, bagaimana atuk basuh tangan di dalam pinggan selepas makan dan minum air tersebut. Menurutnya lagi, atuk memang seorang pendiam namun baik orangnya, dia selalu memerhatikan atuk berzikir lama selepas solat. Atuk juga walaupun berkain pelikat, dia akan memakai kasut, bukan capal (selipar).
Menurut Jasmin Jalaludin, sepupu yang saya panggil Kak Min, atuk juga seorang yang suka membaca, kata Kak Min "he was an avid reader" hingga menyebabkan dia tension sebab atuk membaca surat khabar pagi berjam-jam, atuk membaca setiap artikel dalam setiap muka surat. Semasa mereka duduk di Petaling Jaya, Serdang, dan Bangi mereka melanggan dua surat khabar, Utusan dan New Strait Times (NST). Jika atuk sudah mengambil Utusan, Kak Min terpaksa mengambil NST, namun apabila dia sudah habis membaca NST, atuk biasanya belum habis lagi baca akhbar Utusan. Jadi akhirnya Kak Min terpaksa duduk disebelah atuk untuk baca sekali akhbar Utusan. Atuk biasanya akan membentangkan akhbar di atas lantai, jadi Kak Min akan duduk dan baca disebelah bersama atuk.
Kak Min merupakan anak kepada arwah bapa saudara saya yang tidak sempat saya kenali. Pak We yang bernama Jalaludin lahir pada tahun 1946 namun tidak diletakkan "Syed" pada sijil lahirnya. Cerita kenapa tiada Syed pada nama ini disimpan oleh Pak Ngah dan Mak Yang, yang saya perlu kutip nanti. Arwah Opah ada juga menasihati Pak We agak menukar nama di surat beranak beliau, agar cucu-cucunya seperti Kak Min boleh diberi nama Sharifah Jasmin, namun perkara ini sukar dilakukan kerana nama juga perlu ditukar pada kad pengenalan, surat nikah, dan pelbagai dokumen lain. Walaupun begitu, cucu-cucu Opah tetap mencintai nama yang diberikan pada mereka walaupun tiada Syed dan Sharifah.
Nenek saya di sebelah ayah bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Saya masih kecil ketika mereka meninggalkan saya, tapi sehingga hari ini saya masih ingat suara nenek dengan loghat Peraknya, saya panggil nenek Opah (bukan Oppa macam peminat K-pop tu). Opah banyak simpan duit syiling bawah katilnya, bila raya Opah keluarkan, Opah akan bagi pada saya dua keping syiling 50 sen lama, bukan syiling 50 sen kecil design baru warna kuning sekarang. Mungkin bagi Opah zamannya 50 sen itu besar nilanya, tapi bagi cucunya yang kecil ketika itu, saya lagi gembira apabila dapat duit raya RM10 dari Mak Kecik, adik ayah yang tak pernah bagi duit raya kurang dari RM10.
Saya masih ingat, kadangkala di rumah Opah di Changkat Tin, saya selalu bermain dengan alat pengupas sabut kelapa, alat ini adalah alat manual disebelah kiri rumah bersebelahan pokok sireh. Seingat saya jiran kami dahulu ada mesin parut kelapa untuk membuat santan. Opah hanya ada alat-alat manual. Dalam kelapa tua biasanya ada kumbul kelapa, sedap dimakan, kumbul kecil biasanya manis, manakala kumbul yang besar biasanya masam. Ada juga orang yang memanggilnya sebagai tombong kelapa. Menurut Opah Imah, orang Perak memanggilnya "gomboy nyoir", yang kecil-kecil comel biasanya sedap dimakan. Namun dizaman moden ini saya pun tidak tahu dimana saya boleh merasa gomboy nyoir ini, seolah-olah semasa kecil dahulu itulah kali terakhir saya memakannya.
Ayah kepada Opah Andak Jijah bernama Haji Mat Selan. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Fatimah yang merupakan bidan kampung dan mereka dikurniakan 8 orang anak. Selepas Fatimah meninggal dunia Haji Mat Selan berkahwin dengan isteri kedua bernama Embun dan dikurniakan 10 orang anak lagi, dari 10 anak ini 9 adalah anak perempuan manakala 1 orang anak lelaki, yang paling bongsu adalah kembar 2 perempuan. Opah Andak Jijah adalah anak dari perkahwinan Mat Selan dengan isteri pertama. Menurut Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan, yang merupakan adik Opah Andak Jijah melalui isteri kedua Mat Selan), Haji Mat Selan pada awalnya berkerja sebagai pembantu kedai, ketika umurnya di hujung 40-an beliau berkerja di kapal korek dalam industri perlombongan bijih timah seperti Atuk Syed Mohd Jiplus. Sekitar tahun 1964-1965 beliau menunaikan haji menaiki kapal laut, perjalanan yang mengambil masa 4 bulan.
Pernah satu ketika, masa balik kampung, ayah suruh saya bersembang dengan Opah, saya waktu tu masih kecil, berbeza generasi, tak tahu nak soal apa. Tapi saya pergi juga pada Opah dan bertanya soalan-soalan budak-budak. Opah menceritakan pengalamannya pada zaman Jepun, bagaimana dia menyorok di parit sawah apabila dengar jet Jepun datang. Atuk pula tak banyak bercakap dengan saya, atuk selalunya berserban dan berkain pelikat. Pagi-pagi biasanya saya tengok atuk akan petik rumput di laman rumah, sebelah telaga di tepi rumah ada satu laman kecil macam padang bola. Rumputnya cantik macam rumput sintetik. Atuk akan bersihkan dari rumput-rumput lain supaya kawasan itu nampak cantik dan sekata dengan sejenis rumput sahaja. Ada juga gambar atuk berbalut tangan bersama kakak saya, saya ingat-ingat lupa momen masa gambar itu diambil, atuk waktu itu patah tangan kerana jatuh panjat pokok ciku depan rumah. Depan rumah selain pokok ciku ada pokok rambutan, masa musim rambutan memang best mengait rambutan depan rumah dengan ayah. Zaman sekarang mungkin tak ramai orang yang ada pokok rambutan dan ciku depan rumah, yang banyak adalah tiang elektrik. Ketika raya biasanya Pak Oteh akan mengetuai projek membakar lemang. Depan rumah juga ada hutan kecil, tempat saya meneroka dengan adik-adik sebelum balik semula rumah atuk dan opah sambil menangis kerana digit tungau! Adik saya, Syed Ahmad Islami biasanya akan standby di depan kipas setelah digigit tungau. Pengalaman digigit tungau ini juga antara yang paling diingati adik saya, Syed Ihsan.
Nenek sebelah ibu saya bernama Hafsah Sidin, yang saya panggil Wo, dalam bahasa Kampar nenek dipanggil "Uwo". Wo berketurunan Kampar dari suku Cheniago, keluarganya berasal dari Kuok, Bangkinang (sekarang di Indonesia). Naik kapal mendarat di Singapura sebelum mengikut jalan darat dan sampai ke Bagan Datuk, Perak. Wo berkahwin dengan atuk, Mohd Noh bin Jaafar yang merupakan anak keturunan Banjar generasi ke-3. Kata Wo, Atuk tak dididik buat kerja kampung. Jadi mereka berniaga untuk menyara hidup. Banyak perusahaan yang mereka buat, buka kedai runcit, kedai gambar, dan akhir sekali kedai makan. Masa kecil bila balik kampung, saya akan tengok Wo bangun awal pagi buat nasi lemak, dan dibawa naik kereta Kancil dari Rungkup Kecil ke kedai berdekatan Jeti Bagan Datuk. Menurut kakak saya lagi, Syarifah Nabihah, dahulu dia selalu membaca surat khabar jawi sambil makan ais kacang di kedai Wo, kebolehannya membaca jawi dipandang hebat dan dipuji satu kampung.
Jeti Bagan Datuk ni banyak memorinya. Terkenal dengan ikan Sembilang dikalangan para pemancing tempatan. Berdekatan jeti dulu ada perpustakaan kecil, saya selalu juga masuk bermain dalam perpustakaan itu, sekarang sudah tiada. Sekarang jeti ini sudah dibangunkan dengan moden oleh Datuk Zahid Hamidi. Ada dataran yang cantik, juga dibina masjid terapung. Kedai Wo diwarisi oleh Pak Teh. Juga berdekatan jeti disebelah dataran ada kedai Soto yang diusahakan oleh Makcik Mam, adik kepada ibu. Jeti ini juga dahulunya boleh membawa penumpang ke Pulau Pangkor.
Kampung di Rungkup Kecil, Bagan Datuk ini pun banyak memorinya. Biasanya antara benda yang saya tunggu-tunggu apabila balik kampung adalah mencari ikan di parit. Di parit sekeliling rumahlah saya mengenali ikan haruan, sepat, puyu, juga ikan mata tiga. Ibu dahulu pernah ajar teknik memancing ikan mata tiga tanpa menggunakan mata kail. Apabila balik semula ke Kuala Lumpur, kereta Nissan Sunny kami biasanya akan ada baldi yang berkocak di tempat kaki seat belakang. Biasanya dalam baldi itu ada ikan haruan dan puyu yang kami berjaya tangkap. Ikan sepat pula senang mati, selalu tak dapat tahan perjalanan dalam baldi dari Rungkup Kecil ke Gombak. Menyedihkan!
Banyak lagi kisah sejarah keluarga yang saya ingin rekodkan dan tuliskan. Banyak juga wataknya yang telah meninggalkan dunia dan tak sempat direkod sejarah mereka. Saya sebenarnya ada projek penulisan untuk menulis semula sejarah dan salasilah keluarga dengan lebih lengkap. Namun saya perlukan bantuan ahli keluarga dalam Facebook ini yang sudi membantu. Projek ini masih jauh perjalanannya, dan saya bertarung dengan masa. Jadi jika ada ahli keluarga, opah, nenek, atuk, makcik, pakcik, saudara, sepupu, adik beradik yang mahu menyertai projek ini, saya amatlah berbesar hati. Agar sejarah ini boleh kita rekodkan dengan baik untuk rujukan masa hadapan. Antara bantuan yang diperlukan:
1. Menjejaki ahli keluarga/teman yang menyimpan cerita/dokumen/gambar/sejarah keluarga.
2. Merekod temuramah berkenaan dengan sejarah keluarga dari ahli keluarga yang telah tua dan masih hidup. Contoh temuramah yang direkodkan boleh ditonton dan didengari disini.
3. Menyiapkan transkrip kepada video temuramah.
4. Identifikasi gambar lama, berkenaan tarikh, nama dan latar tempat.
5. Mendigitalkan gambar lama.
Projek ini masih dalam fasa pengumpulan bahan. Yang mungkin memakan masa 5-10 tahun. Jika tiada yang membantu pun saya tetap akan meneruskannya sebelum saya mati. Cuma mungkin jika dibantu, dan disertai ramai, sejarah itu lebih lengkap untuk kita tinggalkan pada generasi seterusnya. Jadi andai ada ahli keluarga yang membaca dan mahu membantu bolehlah hubungi saya. Atau sudilah kongsikan pada ahli keluarga kita yang lain. Dan berdoalah projek ini berjaya sehingga ke akhirnya.