Khamis, 17 November 2016

Catatan Baitul Muslim 12



Kita selalu berkongsi sisi-sisi kebahagiaan dalam hidup kita, manakala masalah, kepahitan, dan kesakitan kita simpan buat diri kita sendiri.

Setelah tiga hari bekerja, dan berjauhan dari zaujah dan anak, terasa rindu. Tambahan minggu ini merupakan minggu yang sibuk, bangun awal pagi, hampir setiap hari meeting back-to-back, kerja sehingga lah pagi semula. Saya tak mahu mengeluh tentang kerja, bagi saya sibuk lebih baik dari tidak sibuk, kita meningkatkan diri. Mendapat pengalaman baru. Tiada perkara yang berharga yang murah harganya. Semuanya perlu pengorbanan dan masa.

Saya mengambil anak agak awal hari ini, mungkin kerana tidak dapat menahan rindu. Seperti biasa saya di sambut dengan senyuman-nya. Tiap kali selepas 3 hari saya bersyukur dia masih mengingati muka saya. Masuk saja kereta anak berumur satu tahun ini diam sahaja, melihat wajah saya tanpa berkelip, seolah-olah dia sudah dewasa dan ada perkara yang ingin diberi tahu. Setiap minggu saya lihat anak perempuan saya membesar dengan begitu pantas. Ada sahaja perkembangan baru. Hari ini gigi nya sudah bertambah menjadi enam berbanding hanya empat tiga hari yang lalu.

Petang itu dia tidur nyaman. Setelah penat bermain bersama atuknya yang datang sebentar dari Kuala Lumpur. Sejam itu lah masa saya untuk mandi dan menyiapkan kerja-kerja rumah seperti membasuh baju dan pinggan. Hujan turun petang itu, dia akhirnya terjaga. Menangis.

Saya mengambil dan memeluknya, mungkin mimpi buruk saya kira. Saya gosok belakang badan nya sambil mendukungnya keluar rumah. Kami berdua bersama melihat hujan petang itu. Saya hendak bersembang dengan nya, tetapi dia baru berumur satu tahun, masih belum boleh bercakap. Namun, tanpa percakapan dan suara, kami masing-masing merenung melihat hujan. Saya terasa nyaman, seolah-olah kami umpama teman lama. Saya hulurkan tangan untuk merasa hujan yang menitik dari tepi atap, dia melihat kemudian mengeluarkan juga tangan nya. Seolah-olah saya dan dia sama-sama baru belajar mengenali hujan.

Kadang saya termenung sendiri, dikala kesibukan, dan anak yang pantas membesar. Apa yang sempat saya isikan ke dalam dirinya?

Sabtu, 5 November 2016

Catatan Baitul Muslim 11



Manusia terdiri dari 3 fakulti, fizikal, akal dan hati (ruhh). Sejauh mana pun dia lari, dia menafikan nya, akan tiba satu masa fakulti hati terdetik, tersentuh, tersentak. Dia akan sedar bahawa hidup ini lebih dari fizikal dan akal. Mungkin dia punya banyak masa lagi, mungkin masanya telah tiba untuk pulang ke kampung abadi. Dia akan sedar bahawa dia punya hati yang dahaga. Kosong.

Begitulah apa yang saya rasa sekarang. Setelah berumah tangga, bekerja melalui rutin harian, kini sudah mempunyai anak. Semua komitmen mencubit dari segenap segi, masing-masing merebut masa dalam kehidupan kita. Sehingga program dan halaqah tidak lagi manis seperti dulu, tiada lagi energy yang membuak-buak, semangat untuk berdakwah. Semuanya bagaikan rutin. Terasa tawar. Pudar.

Sekian lama hati yang dahulunya hidup, kini sepi menyendiri. Tidak lagi terasa basah segar disiram tarbiyyah, tiada kekuatan walaupun duduk ditengah-tengah arena tarbiyah. Seumpama gema di tepi gaung, semakin lemah, semakin tidak didengari. Hilang.

Namun, sedalam mana pun kita jatuh jangan kita pisahkan diri dari gerabak ini. Paksalah diri bersamanya walaupun mungkin hati memberontak untuk berhenti bersandiwara. Yakinlah dengan rahmat dan kasih-sayang ALLAH bahawa satu hari hati itu akan kembali. Keluar bersinar. Seolah mentari yang muncul di ufuk fajar. Terang. Gembira.

Begitulah perihalnya apa yang ku rasakan hari ini. Setelah sekian lama hati ini menyorok pergi, hari ini ia kembali. Seolah teman lama, datang semula. Hari ini aku bertemu kembali dengan murobbi lama, Cikgu Azmi Bahari. Kata-katanya ringkas tetapi membekas, ia berjaya memujuk hati ku agar keluar kembali, merasakan kehangatan mentari, mentari tarbawi. Aku yakin ia adalah secara langsung atau tidak langsung berkait rapat dengan baitul muslim yang dibina. Banyak kata-kata yang dikongsi beliau sangat di rasai. Izinkan aku bercanda, dan berkongsi.

Perkahwinan tidak ada yang sempurna. Baik yang berkahwin itu mas'ul dan mas'ulah. Kerana masing-masing belajar, baru mula hendak memahami dan mengenali. Namun di sebalik ketidak sempurnaan itu, amat penting untuk kita mempunyai pasangan yang mempunyai fikrah. Cikgu berpesan, mendidik zaujah tidak semudah yang kita sangka. Kerana mereka hidup bersama kita, mereka tahu keburukan kita, berapa helai Al-Qur'an yang kita baca, jam berapa kita bangun tidur, semuanya dihujung jari mereka. Bukan mudah seseorang yang dapat melihat keburukan kita menerima nasihat kita. 

Kerana itu pentingnya berkahwin dengan yang sekufu fikrahnya. Ia bukan merupakan syarat pernikahan, bahkan perkahwinan itu sah. Tapi dalam penerusan tarbiyah ia sangat kritikal. Aku tidak dapat kecuali bersetuju dengan pandangan cikgu. Ya, bukan mudah mahu memaksa diri menghadiri program tarbiyah, bisa saja kita memetik seribu alasan. Namun ia terbatas dengan kehadiran zaujah yang memahami fikrah. Kita mungkin akan malu secara tidak langsung untuk ponteng program tarbawi, atau secara langsung ditegur.

Berbicara soal anak bersama cikgu menjadi diskusi panjang lebar. Bagaimana 7 tahun pertama merupakan fasa bunga untuk anak-anak. Masa untuk kita bercerita bersama mereka, belum tiba fasa menengking dan memarahi. Mereka mungkin degil, tetapi degil itu potensi. Berapa ramai orang yang berjaya kerana mereka degil, tidak mahu mengaku kalah dan terus berusaha. Kedegilan dan kenakalan adalah fasa biasa yang perlu kepada pembentukan, agar ia disalur menjadi potensi.

Didiklah anak-anak dengan al-fikr (pemikiran). Agar mereka menjadi orang yang mampu berfikir dan independent. Mempunyai nilai al-adlu (adil), tersusun hidupnya, meletakkan perkara di tempatnya. Perlu ada as-syuja (keberanian), elakkan dimomok oleh hantu dan ketakutan. Juga sifat 'iffah (kepekaan jiwa), ceritakan kepada mereka kisah-kisah teladan, ajar mereka bersedekah kepada orang miskin, hidupkan jiwanya. Sifat ayah biasanya banyak membiarkan anak, berlawanan dengan sifat ibu yang teliti perihal anak-anak. Ada ketika dalam rumah tangga ia bertembung, kadang pertembungan itu menjadi pertengkaran. Kedua-dua sikap tadi sebenarnya penting untuk sang anak. Ayah yang membiarkan dan menasihati selepas beberapa ketika akan melatih sikap berdikari. Manakala sikap ibu yang sangat teliti akan mengajar anak-anak agar tersusun kehidupan dan urusannya. Anak memerlukan kedua-dua nilai ini.

Tarbiyah kadang kala bersifat mengongkong. Anak remaja pula sikapnya ingin kebebasan. Seringkali dua nilai ini bertembung. Ibu bapa perlu mencari jalan untuk mengharmonikan mereka. Menerangkan kepada mereka bahawa usia remaja adalah usia bercucuk-tanam. Kesusahan yang dilalui ini akan kita tuai hasil baiknya nanti.

Mendidik anak ini bermula dari pemilihan pasangan. Pasangan yang mempunyai fikrah tidak bermaksud pasangan yang sempurna. Pasangan yang tidak berfikrah tidak semestinya jahat. Namun, untuk membekalkan anak-anak dengan fikrah ia memerlukan ibu yang mempunyai fikrah, ketika mereka tidak sempurna, dia mempunyai halaqahnya sendiri, mas'ulahnya sendiri, kebaikan itu dapat dibentuk, walaupun bukan dari suami. Ia adalah jalan yang lebih selamat dan sejahtera.

Setelah sekian lama, aku bersyukur akan hari ini. Hari dimana aku berjumpa dengan hati ku semula.

Jumaat, 4 November 2016

The Prince oleh Niccolo Machiavelli


“it is much safer to be feared than loved” – Nicollo Machiavelli.

Ungkapan ini mungkin ungkapan yang paling terkenal oleh Machiavelli, apabila dia menjawab soalan adakah pemerintah perlu dicintai atau ditakuti. Beliau beranggapan bahawa pemerintah perlu memiliki kedua-duanya, namun ini amat sukar. Sekiranya perlu dipilih, pemerintah harus memilih untuk ditakuti. Kerana cinta adalah perkara semulajadi yang sukar dikawal, manakala ketakutan boleh dicipta dan dikawal.

Machiavelli dianggap sebagai pengasas kepada sains politik moden dengan karyanya The Prince. Buku ini ditulis pada 1513 namun diterbitkan 5 tahun selepas kematiannya, iaitu sekitar 1532. Ia menjadi rujukan sebahagian besar pemimpin dunia, termasuk diktator seperti Hitler. Malah Mussolini menjadikannya sebagai subjek kepada thesis doctorate beliau.

Dalam menguasai mana-mana kawasan, Machiavelli menggariskan bahawa penguasa harus sedar bahawa mereka memerlukan bantuan dari penduduk setempat. Sekuat mana pun tentera, tanpa bantuan populasi setempat, kuasa tidak dapat bertahan. Oleh itu, sangat penting bagi penguasa menguasai mereka dengan kekuatan mahupun tipu helah.

Machiavelli membuat analisa berkenaan penaklukan Milan oleh Louis XII, dan bagaimana Louis melakukan kesilapan sehingga dia hilang semula kuasanya. Beberapa perkara perlu dilakukan penakluk untuk kekal berkuasa, terutamanya apabila menakluki satu kawasan baru, yang mempunyai perbezaan budaya. Antaranya memindahkan pusat pemerintahan ke kawasan baru, menanam koloni, menindas hanya golongan miskin yang tidak mampu membalas dendam dan melemahkan kuasa-kuasa disekeliling. Untuk kekal berkuasa, pemberontakan perlu dihapuskan pada peringkat awal, sebelum ia merebak.

Machiavelli dalam analisanya antara empayar France dan Turki mengakui bahawa terdapat perbezaan dalam dua empayar ini. Perancis mudah ditakluki tetapi sukar untuk mengekalkan kuasa. Hal ini kerana, ia mempunyai banyak golongan bangsawan yang mudah dipengaruhi dan digunakan untuk menakluki pemerintah. Namun apabila berkuasa, bangsawan ini akan menjadi ancaman. Berbeza dengan empayar Turki, ia tidak mempunyai golongan bangsawan yang berpengaruh, jadi untuk menewaskan nya, penakluk perlu menghadapi rakyat yang seluruhnya bersatu dibawah kuasa sultan. Ia sukar ditewaskan, tetapi jika sudah dikuasai, mudah dikekalkan.

Dalam usaha menakluki sesuatu kawasan yang sudah mempunyai struktur budaya dan pemerintahan nya sendiri. Terdapat tiga cara bagi kekal menguasai mereka. Yang pertama, memecah belahkan kesatuan mereka. Yang kedua, mengubah pusat kerajaan ke kawasan itu. Dan yang ketiga, melantik kerajaan proksi yang mempunyai hubungan baik. Jika kita lihat didalam sejarah, kesemua taktik ini digunakan oleh kuasa imperial. British sebagai contoh menggunakan teknik pecah dan perintah.
Dalam mengekalkan kestabilan dua faktor mempengaruhi, ujar Machiavelli. Yang pertama adalah undang-undang dan peraturan yang baik. Yang kedua kuasa dan ketenteraan yang kuat. Yang pertama tidak dapat tertegak tanpa yang kedua. Oleh itu, kesimpulan beliau dalam memelihara kestabilan, perlua ada kuasa yang kuat, baik seperti polis atau tentera yang ditakuti oleh orang ramai.

Seseorang pemerintah ujar Machiavelli tidak boleh menyibukkan diri mereka dengan perkara lain kecuali strategi perang, organisasi-organisasi peperangan dan disiplin peperangan, baik semasa aman atau semasa diancam peperangan. Pemerintah yang sibuk mengejar kekayaan dan perempuan akan menemui kehancuran.

Beliau juga mengingatkan agar kita harus menjadi seseorang yang realistik, mengakui kelemahan dan memperbaikinya, kerana ramai manusia yang berkata-kata tentang kerajaan yang baik dan sempurna, walhal tiada dalam sejarah kerajaan yang sempurna. Mereka mengejar bayang-bayang illusi. Machiavelli juga menasihatkan agar pemerintah belajar untuk tidak menjadi baik, kerana dengan membuat kebaikan dia mudah dipergunakan. Namun, dia harus melakukan kejahatan dengan berhati-hati, hanya ketika perlu, dan seharusnya menjaga imej agar tidak kelihatan kejam.


Karya Machiavelli boleh dianggap sebagai licik, jahat dan kejam. Namun, di sudut praktikal ia sangat mudah digunakan untuk memiliki kuasa dan mengekalkan-nya. Meskipun kita mungkin tidak setuju dengan prinsip yang digariskan beliau seperti ‘matlamat meng-halal-kan cara’, namun saya kira ia tetap perlu dikaji dan ditekuni agar seseorang itu dapat mengambil pelajaran dan berhati-hati terhadap orang lain yang mungkin ingin menjatuhkan-nya. Satu karya politik yang praktikal, namun kejam!

Diterbitkan oleh Signet Classic, 1999 (Cetakan pertama 1532)

Isnin, 31 Oktober 2016

Komen berkenaan artikel: Kemunculan Blok Iran



Terima kasih kepada sahabat saya Saudara Hilmi Azhari yang meminta saya berkomentar berkenaan sebuah artikel yang bertajuk Kemunculan Blok Iran oleh Dr. Muhammad Atiullah bin Othman, yang merupakan seorang pensyarah di UPSI. Saya cuba memberikan komentar se-objektif yang mungkin tanpa memihak kepada aliran sunni atau syiah.

1. Dalam perenggan kedua beliau memetik tulisan Ray Takeyh (2014), artikel Foreign Affairs itu boleh di baca di link ini. Jika kita membaca artikel tersebut, artikel tersebut membincangkan berkenaan dengan peranan CIA pada tahun 1950-an bukan 1978. Revolusi Iran berlaku pada 1978. Ironinya, artikel Ray Takeyh tersebut cuba menafikan CIA mempunyai peranan yang signifikan pada tahun 1950 di Iran. Ray Takeh bahkan menganggap peranan CIA pada 1950 sebagai myth kerana kekurangan sandaran dokumen. Katanya:

"But the mythological version of the events of 1953 has persisted, partly because since the Islamic Revolution, making the United States out to be the villain has served the interests of Iran’s leaders."

Oleh itu saya kira, mengaitkan revolusi Iran dengan peranan CIA adalah satu spekulasi menarik yang perlu dibuktikan. Ia bukanlah fakta. Namun untuk menambah kefahaman kita berkenaan dengan peranan CIA semasa kejatuhan Mossadeq pada 1950, bolehlah membaca buku oleh Ervand Abrahamian bertajuk The Coup: 1953, the CIA, and the Roots of Modern U.S.-Iranian Relations. Saya sendiri belum berpeluang membacanya.

2. Dalam perenggan ke-5 beliau menyebut:

"Hubungan Amerika-Iran sering dilihat bertentangan tetapi sebenarnya tidak. Hubungan ini perlu dilihat berlainan kerana Amerika tidak pernah mensasarkan bom di Iran."

Saya kira, hujah ini sangat simplistik. Amerika tidak pernah mensasarkan bom di Malaysia, Indonesia, Brunei. Apa kesimpulan tersirat yang boleh kita beri? Amerika mempunyai hubungan tersirat dengan pelbagai negara.

3. Amerika tidak hanya menyalurkan senjata kepada Saddam. Amerika menyalurkan senjata kepada Turki, Afghanistan (semasa perang Afghan-Soviet), Israel dan lain-lain. Amerika akan menyokong mana-mana pihak yang dirasakan sesuai bagi keuntungan ekonomi dan hegemoni mereka.

4. Dengan mengatakan bahawa pengayaan nuklear sebagai satu sandiwara, saya kira ia juga memerlukan bukti secara objektif. Jika tiada, ia hanya boleh dianggap satu spekulasi yang menarik. Menurut apa yang saya fahami 1.7 billion tersebut adalah hutang Amerika kepada Iran yang belum dibayar, ia adalah jumlah yang perlu dibayar oleh Amerika melalui pembelian senjata oleh Shah Reza Pahlavi. Amerika membayar wang ini kerana Iran telah menghantar kes ini ke Mahkamah Dunia The Hague, ia dapat dibaca melalui laporan oleh WSJ:

"The White House described the settlement as a victory for taxpayers, arguing that the U.S. was likely to lose in arbitration under way in The Hague, Netherlands, and could have been held liable for billions more if the process had dragged on."

5. Dengan menaikkan pemimpin berfahaman Syiah di Iraq, saya kira ia memang merupakan satu percaturan Amerika untuk melemahkan Iraq, dengan penerusan krisis sectarian. Namun, saya kira ia bukan bertujuan untuk membentuk blok Syiah, tetapi bagi menguasai sumber minyak. Kerajaan demokratik yang kuat di Iraq akan menyukarkan penguasaan syarikat multi-national barat bagi menguasai sumber tenaga di Iraq.

6. Saya bersetuju dengan perenggan akhir, bahawa Amerika ingin mengekalkan kuasa hegemoni di timur tengah.

Kesimpulan, saya faham bahawa kita yang berfahaman sunni bersikap bias dan suka untuk memburukkan Iran kerana mereka majoritinya berfahaman syiah. Namun saya kira kita perlu adil dalam analisis kita dan tidak terbawa-bawa permusuhan sunni-syiah ini dalam analisis kita. Saya tidak bersetuju syiah perlu diperangi dan dibunuh. Sebagaimana saya membenci syiah yang membunuh sunni, saya juga membenci sunni yang membunuh syiah. 

Saya kira kita tidak boleh membunuh seseorang kerana agamanya. Jika syiah terkeluar dari Islam sekali pun kita tidak berhak membunuh mereka. Saya bersetuju dengan Prof. Tariq Ramadhan bahawa nabi sendiri tidak membunuh orang murtad. 

Permusuhan dan pembunuhan sunni-syiah sudah berpanjangan terlalu lama, saya tidak nampak kebaikan nya untuk terus bebunuhan. Sudah tiba masanya kita belajar dari sejarah dan tidak mengulanginya. Belajar hidup bersama tanpa dendam dan prejudis. Saya bersetuju dengan kesimpulan Carl Sagan dalam ucapannya, kita sangat kecil dan perlu belajar hidup bersama, belajar berbuat baik antara satu sama lain.

Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
BEng Marine (Hons) Rus.

Sabtu, 29 Oktober 2016

Power System: Conversations with David Barsamian on global democratic uprisings and the new challenges to US empire



Author: Noam Chomsky
Published by: Hamish Hamilton, 2013

Buku ini sebahagian besarnya membincangkan imperialisma Amerika Syarikat di dunia dan isu-isu domestik dari sudut pandang alternatif yang tidak disentuh oleh mainstream media. Bab-bab dalam buku ini termasuk Imperialisma Amerika baru, penerusan kepatuhan, kebangkitan, isu domestik, kebijaksanaan yang tidak biasa, penghambaan minda, cara untuk meneroka dan juga aristokrat dan demokrat. Penterjemahan bab-bab ini mungkin sukar difahami kerana ia diterjemah secara literal.

Saya tidaklah mahu membuat sinopsis keseluruhan buku, kerana saya kira ia memerlukan kemahiran analisa yang tinggi, juga masa dan tenaga yang banyak. Dalam penulisan ini, saya lebih cenderung untuk memetik beberapa isi yang saya kira relevan untuk dikongsi.

Yang pertama adalah penerusan dalam gerakan perubahan. Apabila sesuatu protes atau kempen dilaksanakan, ia akan meriah pada hari kejadian, tetapi ia berakhir apabila demonstrasi berakhir, perkara ini akan melambatkan perubahan. Beliau memberi contoh bagaimana parti komunis berfungsi, katanya:

“That’s why the old Communist Party was so significant. There was always somebody around to turn the mimeograph machine. They were in it for the long haul. They didn't expect quick victories. Maybe you win something, maybe you don’t, but then you lay the basis for something else, you go on to the next thing”

Perkara ini perlu kita fahami dalam melakukan perubahan. Apa-apa perubahan, baik ekonomi, sosial mahupun politikal. Ia memerlukan continuity dan gerak kerja jangka masa panjang. Sebesar mana pun demonstrasi jika ia hanya bertahan untuk sehari, tidak akan membawa perubahan yang signifikan. Lebih besar perubahan yang ingin dilakukan, lebih lama masa yang diperlukan. Kemenangan yang segera adalah illusi dan sering mengecewakan.

Yang kedua adalah ulasan Chomsky berkenaan dengan Political Islam, bagaimana Amerika dan sekutunya. Beliau berhujah bahawa penolakan barat terhadap Political Islam seperti Ikhwanul Muslimin, bukanlah disebabkan oleh ideologi itu sendiri, Amerika khususnya mempunyai polisi luar yang tidak menggalakkan kebebasan dan demokrasi terutamanya apabila ia boleh mencabar kuasanya dan menggangu peluang ekonominya. Hal ini dibuktikan dengan bagaimana Amerika terus mendokong monarki di Arab Saudi, dan membantu memusnahkan sekular nasionalis arab seperti yang dipelopori oleh Gamal Abdel Nasser dan Abd al-Karim Qasim. Sama ada political Islam atau sekular nasionalis arab, berupaya untuk menjadi satu kerajaan yang bebas dan ini akan mengurangkan kuasa Imperial Amerika. Beliau berkata:

“Concern about political Islam is just like concern about any independent development. Anything that’s independent you have to have concern about because it might undermine you”

Beliau juga menyanggah bahawa Amerika mendokong demokrasi, perkara ini di akui oleh ahli akedemik sendiri. Beliau mengutarakan bahawa demokrasi hanya dibenarkan jika ia masih di bawah kuasa Amerika, sekiranya demokrasi yang dibangunkan itu membebaskan diri dari kuasa Amerika ia akan ditentang. Ia mestilah demokrasi yang pro-Amerika walaupun perkara ini berlawanan dengan kehendak populasi di negara tersebut. Katanya:

“If you look at the record, the yearning of democracy is a bad joke. That’s even recognized by leading scholars, though they don’t put it this way”

Akhir sekali adalah pandangan beliau mengenai pembacaan. Ramai yang kagum dengan kebolehan Chomsky mengutarakan fakta dengan tepat apabila berhujah, seolah-olah beliau sudah membaca semua buku dan bahan bacaan yang ada. Antara cadangan beliau adalah jangan mengira masa yang diperlukan untuk menghabiskan pembacaan, perkara ini akan membuatkan kita merasa terbeban. Beliau juga mengutarakan bahawa pembacaan adalah satu riadah minda. Ia seharusnya membuatkan kita berfikir, berimaginasi dan mencambahkan idea-idea baru. Kita harus berfikir sambil membaca, menganalisa maklumat dan membandingkan dengan keadaan sedia ada. Tidak guna sesuatu pembacaan yang dilupakan selepas itu, tidak difikirkan dan dimanfaatkan. Beliau berkata:

“It means thinking about it, identifying parts that you want to go back to, asking how to place it in a broader context, pursuing ideas. There’s no point of reading a book if you let it pass before your eyes and then forget about it ten minutes later. Reading a book is an intellectual exercise, which stimulates thought, question, imagination”


Sebagai kesimpulan, saya merasakan buku ini sangat baik sebagai satu bacaan santai namun memberi satu kesan yang mendalam pada pemikiran. Ia dapat membantu kita melihat dunia melalui perspektif yang lain, perspektif yang tidak dibicarakan oleh media-media utama. Buku ini membantu kita memahami kesan polisi kuasa imperial dunia seperti Amerika ke atas dunia. Ia membawa kepada pemikiran alternatif dan merangsang perubahan kearah masyarakat yang lebih baik di masa hadapan.

Jumaat, 21 Oktober 2016

Power and Terror – Post 9/11 Talks and Interviews



Author: Noam Chomsky
Publisher: Little More, Tokyo 2002

I borrow the book from Penang Public Library in Georgetown. It was a small book, easy to read, and contain mainly interviews which Chomsky discuss the American exceptionalism and brutal repression to accomplish its foreign policy agenda, mostly to safeguard American control on resources and geopolitical power in the middle-east, Asia Pasific and Central America.

Noam Chomsky is a professor of linguist at MIT, but he was widely popular for his works in the political sphere. Where he along with Howard Zinn were a fierce critics of the US foreign policy. The book discussed in depth the role that the US has played in the international stage, rampaging small countries and using force to dominate the oil reserved.

Chomsky is a bit witty in his remarks, he mark Israel as thug operated by their master, the mafia don, which refers to the US. In his words “when the master speaks, the servant obeys”. This is in light of the optimism that people had when they see that the US now seems to have some consideration for the Palestinian cause. In fact it wasn’t, argued Chomsky. What happen was that the tanks in Palestinian soil seems to interrupt Dick Cheney’s mission. That is why the US politely asked Sharon to withdraw them.

Israel is the American base in the middle east, it supported the US policy and help them to be accomplished. This reason alone, made it valuable to US. For example in 1967 Israel crushed Arab Nationalist, this service is done to ensure that the US influence in the region remain firm, an independent and democratic society in the middle east will undermine US strategic interest.

Chomsky also elaborate on how the US consistently blocking the peace settlement, by vetoing the UN resolution. The Geneva Convention also can be seen as a perfect example on how the US is alone in international views. The forth Geneva Convention makes what US and Israel did to the occupied territory a war crime. In 2000 the UN security council voted that the Geneva Convention applies to Israeli Occupation, the vote was 14 to 0, but the US choose to abstained.


What the US used as a pretext to invade other countries seems paradoxical to Chomsky’s thought. They said that it is the ‘war on terror’. Saddam Hussein is a maniac which kills his own people with poison gas, that is why the US need to come and free the Iraqi from this brutal tyrant. The only missing fact is that the tyrant atrocities was done using military equipment supplied by the US. To end terror, Chomsky note “everyone’s worried about stoping terrorism. Well, there’s a really easy way: stop participating in it”.

Ahad, 16 Oktober 2016

A Thousand Splendid Suns


“I know you’re still young, but I wanted you to understand this now. Marriage can wait but education cannot. You’re very, very bright girl. Truly you are, you can be anything you want, Laila. I knew this about you. And I also know that when this war is over, Afghanistan is going to need you as much as its men, maybe even more. Because a society has no chance of success if its women are uneducated, Laila. No chance.”

Ayat ini merupakan dialog yang sangat membekas dan memberi makna dari novel ini. Novel yang mengisahkan pengalaman Afghanistan melalui siri-siri peperangan dari kisah hidup dua orang wanita. Bermula dari penjajahan Soviet, perang saudara, penguasaan Taliban sehingga lah peperangan oleh Amerika. Bagaimana perperangan memusnahkan kehidupan dan keluarga di Afghanistan.

Mariam dan Laila, dua watak yang berbeza dan dari kehidupan berbeza, seorang gadis kampung dari Herat dan seorang gadis bandar dari Kabul. Dalam novel ini, peperangan menyatukan mereka dalam sebuah keluarga, berkongsi seorang suami yang ganas dan suka mendera isteri.

Hosseini dalam penulisan nya menggambarkan bagaimana wanita menjadi mangsa kepada dua keadaan. Yang pertama adalah mangsa kepada peperangan dan yang kedua adalah mangsa kepada masyarakat yang sering mengenepikan hak wanita.

Hosseini menggambarkan bagaimana wanita Afghanistan menjalani kehidupan yang sukar dalam masyarakat yang mengenepikan hak mereka. Penafsiran Islam oleh golongan Mullah dan Taliban mencorak masyarakat yang menafikan hak pendidikan bagi kaum wanita, memaksakan burqa, menghadkan pergerakan wanita di tempat awam juga diskriminasi dalam hak-hak asas seperti kesihatan.

Islam menurut penafsiran para mullah dan Taliban menjadi agama yang menindas wanita, walhal Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW membebaskan wanita dan memberikan mereka hak yang sebenarnya. Dalam sejarah Islam, peranan wanita di iktiraf. Bahkan Saidatina Aisyah merupakan sarjana feqah yang aktif meriwayatkan hadith.

Penafsiran yang jumud ini sebenarnya bukanlah berasal dari agama Islam tetapi dari budaya dan amalan masyarakat setempat yang mengamalkan ‘tribal system’, apabila Islam datang dan mereka memeluk Islam, budaya-budaya ini diasimilisasikan oleh mereka dan diterima sebagai sebahagian dari agama. Amalan memakai burqa sendiri sebenarnya bukanlah satu kewajipan agama, tetapi hak wanita jika mereka merasakan mereka ingin sedikit privacy. Kita dapati wanita muslimah di Asia dan sebahagian negara Arab tidak memakai burqa, cukup dengan berhijab. 


Novel ini akan membantu sesiapa yang ingin mengetahui sejarah moden Afghanistan dengan cara yang santai. Ia merupakan usaha Hosseini untuk mengetengahkan permasaalahan Afghanistan kepada dunia dalam satu persembahan yang mudah di fahami.