Rabu, 17 Jun 2020

Mazhab Politik Realism



Bapak politik bermazhab realism, Niccolo Machiavelli menyebut "Lebih baik ditakuti dari dicintai, sekiranya anda tidak boleh menjadi kedua-duanya". Selain realism, politik se-fikrah dengan mazhab ini juga sering disebut sebagai "realpolitik" atau "power politics". Karya pengasas falsafah politik realism ini dalam naskahnya 'The Prince' dibaca oleh tokoh-tokoh politik dunia. Ia dibaca oleh Stalin, malah Hitler dikatakan menyimpan naskah beliau ditepi katil tidurnya, Bismarck dan Napoleon pula dikatakan bersumpah menggunakan naskah tersebut. Saya membacanya lama dahulu, bagi saya ia memang sebuah tulisan yang mudah difahami, ayat-ayatnya tidak diberat-beratkan, bagi saya ia adalah karya yang boleh dikatakan "dark and powerful".

Fundamental kepada idea politik realism adalah sifat manusia yang mengejar kekuasaan, konflik dan peperangan merupakan sifat asal manusia, oleh itu polisi yang didasari mazhab ini akan senantiasa bersifat antagonistik. Idea Machiavelli dianuti dan dikembangkan oleh pemikir dan pemain politik sehingga ke hari ini, ia dianuti oleh sosok seperti Henry Kissinger yang pernah menjadi setiausaha negara Amerika, polisi-polisi Kissinger banyak berbentuk militaristik sehingga ramai yang menganggapnya sebagai penjenayah perang.

Falsafah politik realism menyatakan untuk berjaya dalam politik, kita tidak seharusnya bertindak dengan mengambil kira "bagaimana sepatutnya kita berpolitik" tetapi kita seharusnya bertindak dengan mengambil kira "apa yang berlaku dalam politik". Dalam kata lain, politik tidak harus dilihat sebagai pentas moral "bagaimana sepatutnya", tetapi apa-apa strategi yang boleh menjayakan matlamat adalah sebahagian dari politik berbentuk realism.

Saya teringat satu perbahasan berkenaan dengan "Gandhian non-violence", dimana Gandhi berpendapat tidak ada gunanya jika kita memegang prinsip non-violence jika musuh kita menggunakan keganasan yang tidak mendapat liputan dunia. Sebagai contoh jika gerakan kita berada di dalam hutan dan berpegang dengan ideologi non-violence, tetapi kerajaan datang dengan tentera siap untuk membunuh kita semua, ideologi itu hanya akan menyebabkan kita semua mati dan masyarakat dunia pun tidak tahu akan kematian kita. Tetapi jika kita mengangkat senjata ketika itu untuk bertahan dan menolak serangan, gerakan kita ada peluang untuk survive dan berjaya. Disini kita melihat bentuk realism, dimana kita perlu bertindak membelakangi ideologi kita untuk berjaya. Kita harus bertindak bukan "bagaimana sepatutnya" ideologi kita katakan, tetapi "apa yang berlaku" perlu diambil kira untuk survival.

Realism juga menolak ideologi dalam pemilihan teman dan sekutu. Sebaliknya sekutu yang dipilih adalah berdasarkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Tidak guna bergabung dengan sekutu yang selari ideologi tapi menyebabkan kita kalah perang. Sebaliknya kita perlu memilih sekutu yang kuat meskipun berbeza ideologi untuk menjamin kemenangan. Perkara ini boleh kita lihat bukan sahaja dalam suasana politik dunia, malah sering berlaku di dalam arena politik tempatan di Malaysia. Dimana sosok yang semalam dikeji sebagai diktator korup, esok bersama dalam agenda perjuangan reformasi. Parti yang dituduh sebagai kleptokrat, akhirnya bergabung bersama membentuk perikatan, semuanya jelas dari sudut pandang mazhab politik realism, apa yang penting adalah kuasa dan kemenangan. 

Dalam menilai risiko, politik realism tidak bergantung harap pada kelakuan sebaliknya kekuatan yang material. Sebagai contoh, dalam arena antarabangsa, sesuatu negara tidak dinilai sebagai mengancam hanya disebabkan oleh kelakuan dan diplomasinya, sebaliknya kekuatan ketenteraannya. Walaupun negara itu kelihatan baik dan berdiplomasi, tetapi dalam masa yang sama mereka meningkatkan keupayaan ketenteraan, menambah jet dan perisai, membangun senjata nuklear, mereka tetap harus dipandang berbahaya dan berisiko. 

Bagi mazhab realism, moral tidak mempunyai tempat dalam membuat keputusan. Moral mungkin boleh membuatkan kita berasa bangga, atau berasa senang kerana kita mengangkat ideologi, namun ia sering membawa kepada keputusan yang tidak menguntungkan dari sudut pandang kekuasaan. Bagi seorang yang realis, keputusan yang mengembangkan dan mengukuhkan kuasa adalah keputusan yang betul. Tidak guna sekiranya kita betul dari segi moral tetapi kalah dalam peperangan, tiada makna jika kita benar namun kebenaran itu mati bersama kita sedangkan kejahatan hidup dan berkuasa. Oleh sebab itu Bapak politik realism mengatakan tidak ada guna jika dicintai tetapi dikalahkan, lebih baik ditakuti dan kekal berkuasa.   

Penulisan ini membincangkan mazhab politik realism, bukan mazhab politik yang saya anuti.

Tiada ulasan: