Seorang teman baik zaman persekolahan saya, Afifi mengucapkan tahniah pada gambar lama pernikahan saya, rupa-rupanya hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan saya yang ke-6. Beliau adalah diantara sahabat yang bersusah payah untuk hadir ke majlis akad nikah saya dan masih menyimpan gambar tersebut di dalam laman sosial medianya. Saya katakan bahawa saya sendiri terlupa akan hari ulang tahun perkahwinan saya sendiri, masih sempat untuk berbuat sesuatu ujarnya.
Petang itu saya dan isteri membawa anak-anak ke padang, asyik terpuruk di rumah, biarlah mereka berlari-lari menghirup udara segar. Dalam perjalanan isteri saya berkata, oh hari ini 5 Disember, mungkin memberi hint, atau ingin menguji minda saya.
"Anniversary?" tanya saya.
"Tahun lepas abang ada mesej beri ucapan masa saya bekerja" ujar isteri.
"Dah berapa lama kita kahwin?" tanya saya.
"6 tahun" jawab isteri.
Lama juga, rupanya sudah enam tahun saya berumahtangga, sungguh tahun ini saya terlupa. Pada waktu malam, setelah isteri dan anak-anak tidur baru saya hantar mesej mengucapkan penghargaan sepanjang 6 tahun bersama, juga memohon ampun dan maaf sepanjang perkahwinan atas segala kekurangan sebagai suami.
Saya tidak pernah keluar dating dengan isteri sebelum berkahwin, kami tidak pernah berkenalan secara dekat apatah lagi bersemuka, saya tidak punya pengalaman bercinta sebelum berkahwin. Saya berkahwin dengan pasangan atas pilihan keluarga. Masih ingat rakan-rakan sekerja yang terkejut dengan kisah perkahwinan saya, Peng Lim dan Sue Deng mengatakan mereka tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh menerima arranged marriage, yang bagi mereka merupakan satu amalan tradisional yang sudah tidak diamalkan pada hari ini.
Saya selesa dengan pilihan keluarga, kerana bagi saya perkahwinan bukan hanya soal saya, tapi ia adalah penyatuan dua keluarga yang lebih besar, pilihan keluarga menjadi pilihan saya kemudiannya. Saya tidak mempercayai cinta pandang pertama seperti yang dipasarkan kepada masyarakat oleh Disney dan Hollywood, bagi saya cinta itu harus diusahakan bersama pasangan. Pilihan keluarga tidak bermaksud saya tidak boleh mencintai atau dicintai.
Tentulah perkahwinan punyai asam garamnya, punya ketawa dan air mata, kerana perkahwinan adalah penyatuan dua insan yang tidak sempurna, dan mereka perlu berusaha bersama untuk mencipta bahagia. Saya masih ingat, di awal perkahwinan ada juga masa-masanya saya bergaduh dengan isteri, ada ketika kami juga bermasam muka, merajuk sesama sendiri. Ada ketika saya berfikir untuk lari dari rumah, namun saya sedar itu akan menjadi tindakan yang tidak matang, setiap masalah harus didepani dengan berani, dimusyawarah bersama, bertolak ansur dan bertoleransi.
Kerana tidak pernah saling mengenali dan bercinta sebelum berkahwin, saya punya masalah komunikasi diawal perkahwinan, ditambah dengan tidak banyak pengalaman berkawan dengan perempuan. Tetapi sebenarnya komunikasi bukan sekadar bercakap bersama, mungkin ada perkataan yang susah nak dikeluarkan semasa bersemuka. Oleh itu diawal perkahwinan saya banyak menulis surat buat isteri, bila bergaduh saya akan menulis surat, menerangkan situasi, perasaan, dan emosi saya. Kemudian senyap-senyap masukkan dalam handbag isteri supaya dia boleh membacanya di pejabat. Surat membolehkan saya meluahkan perasaan dengan panjang lebar, membolehkan saya menyusun ayat dengan selamat, dan yang paling penting pembaca boleh membaca dengan intonasi mereka sendiri. Maka jika saya menulis sambil menjerit pun, pembaca tidak mendengar jeritan saya, yang ada cuma perkataan untuk dibaca dalam intonasi mereka sendiri. Dengan itu perjanjian damai lebih mudah dimeterai di masa-masa perperangan.
Lama kelamaan komunikasi saya dengan isteri bertambah baik (sekurang-kurangnya saya rasa begitu, pihak isteri kena tulis sendiri pendapat beliau), banyak perkara-perkara yang mungkin dahulu kami tidak selesa berbincang kini dapat dibincangkan dengan bersahaja. Ada topik yang dahulunya pasti menjadi dialog bersulam air mata kini dapat dimediasi dengan lebih tenang. Namun teknologi kini sudah semakin maju, jika tidak mahu bersurat pun masih banyak medium komunikasi digital lain yang ada seperti whatsapp, instagram, tiktok, dan lain-lain. Namun saya lebih gemar bersuratan, mungkin saya sedikit tradisionalis dan sentimental.
Tiada dua manusia yang seratus peratus serupa pemikiran dan perasaannya, sekuat mana pun cinta, setebal mana pun sayang. Berkahwin bererti kita rela menerima hakikat ini. Jika kita mahu berkahwin dengan orang yang betul-betul sama dengan diri kita, kita perlu berkahwin dengan diri sendiri. Dalam soal mengurus anak misalnya, saya dan isteri mempunyai pendekatan yang berbeza. Dahulu, kami berselisih juga tentang soal ini, namun lama kelamaan kami menerima hakikat bahawa setiap manusia mempunyai cara mereka yang berbeza, dan itu merupakan sesuatu yang sihat.
Sebagai contoh, sekiranya saya berjanji dengan anak-anak akan sesuatu perkara, saya tidak berjanji kosong, janji saya sentiasa bersyarat. Contohnya saya berjanji mahu membawa anak-anak ke taman di sebelah petang, syaratnya tidak bergaduh sesama sendiri. Jika syarat ini tidak dipenuhi saya tidak akan menunaikan janji saya, walaupun ada ketika saya beri kelonggaran namun anak-anak faham syaratnya, dan dia tahu itu garisan yang mereka perlu berhati-hati untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Isteri saya punya pendekatan yang berbeza, baginya janji perlu ditunaikan kepada anak-anak, dan selalunya janjinya tidak bersyarat. Kami berlapang dada dengan cara masing-masing.
Perkahwinan modalnya bukan cinta sahaja seperti dalam filem dan cerekarama, tetapi ia adalah tangungjawab, komitmen dan usaha. Perlu ada matlamat yang sama untuk diusahakan seperti sabda nabi yang menekankan pilihan utamanya adalah agama, kerana perkahwinan bukan sahaja untuk kebahagiaan sementara didunia, atau mengejar kenikmatan-kenikmatan sementara, tetapi ia juga adalah satu pilihan, memilih seorang teman yang sanggup berusaha bersama-sama untuk ke syurga.
Semoga Allah merahmati perkahwinan saya dan mengekalkannya hingga ke syurga.
Terima kasih pada isteri yang sudi berkongsi hidup bersama (kalau-kalau isteri baca blog ini), insha'Allah susah senang sama-sama kita kongsi sebagai bekalan ke syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan