Ahad, 11 Jun 2023

Sejarah Sebagai Memori Kolektif


Membaca tulisan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah, antara perkara yang sangat menarik minat saya adalah memori kolektif. Setiap generasi mempunyai cabaran kehidupan yang berbeza. Generasi yang hidup susah akan mempunyai memori yang kuat perihal kesusahan dan daya tahan dalam kehidupan. Mereka cekal hidup hinggalah mereka dapat mencapai kesenangan. Generasi seterusnya lahir dalam kesenangan yang sudah dibayar harganya oleh generasi sebelumnya, oleh itu mereka tidak mempunyai memori perihal kesukaran hidup, dan daya tahannya tidak sama. Perkara ini akan berubah-ubah, semakin lama memori kolektif itu hilang, semakin lama ketahanan hidup generasi tersebut cair seiring dengan peralihan generasi. Di sini kita dapat lihat asas naik turun kerajaan dan tamadun. 

Saya melihat di sinilah datangnya kepentingan sejarah. Sejarah berupaya menjadi jambatan untuk memindahkan memori kolektif dari satu generasi hingga ke generasi seterusnya. Tentulah pengalaman hidup sendiri tidak sama kesannya dengan membaca bahan sejarah, namun sekurang-kurangnya generasi seterusnya mengenali dan mengetahui identiti dan sifat generasi sebelumnya. Mereka dapat menimbang dan berusaha sama ada mahu menjadi seperti mereka, menjadi lebih baik, atau menjadi lebih buruk. Namun jika sejarah itu tiada, generasi seterusnya tidak dapat membuat perbandingan, tiada satu piawaian yang dapat mereka gunakan untuk mengukur kemajuan mereka.

Dalam hal ini, kepentingan yang diperlukan yang pertama adalah merekod, menulis, dan mewariskan bahan sejarah. Tetapi itu tidak mencukupi. Tiada gunanya bahan-bahan sejarah yang ada andai ia tidak dibaca, tidak difahami, tidak didalami, dan tidak menjadi memori kolektif buat generasi seterusnya. Jadi sejarah hanya boleh berfungsi jika ia ditulis dan dibaca, kehilangan salah satunya akan membuatkan sesuatu sejarah itu menjadi sia-sia.

Tiada ulasan: