Rabu, 17 Disember 2025

Ketika Arus Merempuh, Wajarkah Ombak Dicemuh?

Arus akan sentiasa ada,
membadai hidup yang fana,
sentiasa akan menarik kita,
ke dalam lubuk kecewa.

Ada juga arus kehidupan,
yang akan menolak bak taufan,
memaksa kita kedepan,
tanpa ada payung persediaan.

Maka apakah sikap kita?

Menjadi penentang jangan!
Menjadi pengikut jangan!

Jadilah kita pembaca yang setia.

Yang bijak mengurus arus,
yang bijak menyimpan nafas,
jika tidak kita akan penat awal,
dan impian terlepas dari kawal,
kita hanya mendapat sial.

Jika terlalu gopoh menghakimi,
hilang nanti kawalan diri,
cita-cita kering tanpa perigi,
segala usaha tak bernilai lagi,
ibarat pasir yang perlahan pergi,
dari celahan jari-jemari.

Ahad, 14 Disember 2025

Sahabat, Bila Perang Ini Akan Tamat?

Sahabat,
selepas perang ini tamat,
ke mana kau akan pergi?
akankah kita berjumpa lagi?

Aku akan membawa diri,
segala kesesakan akan ku menjauh lari,
aku ingin segera berjumpa sepi,
bersamanya kembali merenung memori.

Di atas bukit datar tiada ranjau,
aku kan berbaring di rumput hijau,
di situ aku ingin menutup mata,
melupakan segala calar sengketa.

Seperti Shikamaru,
yang asyik merenung langit biru
aku ingin melihat perarakan awan,
aku ingin menikmati hidup perlahan.

Aku merasakan.

Angin yang kita rasakan berdesir,
sebenarnya adalah ribut yang belum terzahir.

Ahad, 7 Disember 2025

Penulisan Sebagai Sebuah Seni


Apabila mendapat khabar berita tentang kematian Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam merasa sangat sedih kerana tidak dapat pergi menziarahi teman seperjuangannya buat kali yang terakhir. Zaman tersebut, belum ada sistem pengangkutan seperti hari ini. Boestamam mendapatkan mesin taipnya, meluahkan perasaannya, penulisan merupakan saliran bagi beliau untuk meluahkan perasaan. Dalam tribute beliau kepada Dr. Burhanuddin, beliau menyatakan bahawa temannya itu merupakan “bapa kebangsaan Melayu”.

Tribute tersebut tidak dihantar ke akhbar, kerana Boestamam tidak mahu ia “dikerat-kerat” oleh editor, ia kemudian diabadikan dalam naskah bertajuk Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. (Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora, 1972), hlm. 72-78). Boestamam memang seorang penulis yang prolifik, beliau pernah menulis untuk akhbar Majlis bersama Ibrahim Yaacob. Jika dibaca memoir Boestamam, beliau memang seorang penulis yang natural, penulisannya enak, tidak dibuat-buat, disulam dengan pengalaman dan juga kadang kala diselit dengan jenaka. Penulisannya ranum dan matang.

Menulis itu bagi saya merupakan sebuah seni. Seperti seni lain, ia mengambil masa untuk matang, untuk ranum, untuk rendang dan enak dipetik. Saya selalu merasakan, penulisan yang sedap itu lahir dari perasaan yang sebenar, bukan dibuat-buat, bahkan penulisan non-fiksyen sekali pun, jika seninya benar, boleh menggetarkan jiwa lebih dari karya fiksyen. Menulis juga merupakan ladang yang subur untuk meluahkan perasaan, hatta perasaan yang paling sensitif, yang paling subversif, jika benar seninya, boleh ditulis dengan gubahan yang mempesonakan.

Seperti bidang-bidang lain, teknologi sebenarnya banyak membantu meningkatkan kualiti penulisan. Jika digunakan dengan betul dan tidak curang. Salahnya pada penulisan-penulisan yang tempang itu bukan pada teknologi, tetapi moral dan pertimbangan. Teknologi hanya alat manusia, jika diguna dengan betul, boleh membantu manusia. Tetapi boleh juga jika diguna dengan bersalahan, mencipta “art berat” yang janggal dan dangkal.

Menulis seharusnya menjadi lapangan akal dan jiwa. Untuk kita menggubah perasaan dan idea. Untuk kita mengadun revolusi dengan cinta. Dan jika betul seninya, mampu menjadi lapangan yang mengubah jiwa manusia.

Penulis Yang Tiada Peminat


Semasa saya sampai ke program bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Putrajaya pada 06 Disember 2025 (Sabtu). Pegawai PNM yang bertugas sangat baik, mesra, dan ramah meraikan penulis. Seorang pegawai bertanya kepada saya berseloroh.

“Encik datang seorang aja ke, tak bawa sekali peminat?”

Saya pun menjawab dengan penuh sopan.

“Saya tak ada peminat puan, tapi saya harap lepas perkongsian saya nanti, puan dan pegawai-pegawai PNM lain sudilah jadi peminat saya.”

Walaupun lawak saya hambar, pegawai tersebut gelak juga sedikit sebagai meraikan penulis yang datang. Saya sebenarnya tidak mahu datang, kerana sedang bergelut menyiapkan disertasi dan perlu bersedia untuk melakukan pembentangan pada Isnin, 08 Disember 2025. Namun kerana asyik terlalu fokus dengan disertasi membuatkan saya stress, saya hadir juga ke Putrajaya, sebagai escapism bagi saya lari sebentar dari program sarjana yang menyesakkan minda.

Apabila sampai giliran saya naik ke pentas, saya pun berkongsilah sedikit perspektif saya tentang penulisan. Perkongsian saya adalah selepas perkongsian Kelly Telly, jadi banyak juga idea beliau yang saya ulas semula, saya sengaja tidak menyediakan apa-apa skrip, kerana tidak mahu menjadi perkongsian yang membosankan, biarlah spontan sahaja. Hendak berkongsi banyak tak pandai, jadi saya rasa berkongsi sedikit cukuplah. 

Bagi saya, saya menulis bukan sebab peminat, tapi sebab saya sendiri yang minat menulis. Mungkin akan ada orang suka apa yang saya tulis, mungkin juga ada yang tidak suka. Jika kita menulis kerana peminat, jika tidak mendapat sambutan, kita mungkin akan berhenti. Tapi jika kita menulis memang kerana kita ikhlas mahu menyampaikan suara kita, ada atau tidak peminat itu tidaklah menggusarkan.

Mempunyai peminat bagi saya tidaklah penting sangat. Bagi saya, kita menulis bukan untuk peminat kita hari ini, tetapi untuk masa hadapan. Ramai penulis yang saya rasa berjaya, tetapi di zamannya dia tiada peminat. Malah ada penulis yang tidak sempat pun melihat karyanya dibaca orang. Karya mereka diterbitkan post-humous iaitu lepas mereka meninggal. Tetapi tetap generasi selepas itu menjadi “peminat” mereka. Bagi saya penulis perlu mempunyai minda sebegini, memastikan karya mereka malar hijau untuk generasi seterusnya, bukan sekadar peminat sedia ada.

Selain itu, bagi saya, menulis untuk memuaskan hati peminat itu tidak benar-benar “membebaskan” saya sebagai penulis. Saya tidak suka terikat dengan sesiapa pun, termasuklah peminat. Saya merasakan, ada ketikanya menulis mengikut peminat itu menjadikan karya “seperti dibuat-buat” dan maksudnya tak cukup tulus dan mendalam. Tidak menyeronokkan jiwa kita, dan mungkin hanya hype buat peminat sementara di generasi ini sahaja tetapi kesan jangka masa panjangnya pudar.

Kita kena menulis dengan berfikiran jauh, tulisan kita akan dibaca oleh generasi seterusnya. Tiada peminat di zaman ini pun tidak mengapa. Jadi, tulislah walau tidak ada peminat. Mungkin peminat anda belum lahir lagi. Mungkin karya anda akan dihargai selepas lima generasi. Siapa tahu. Tetapi jika anda memilih untuk tidak menulis, seribu generasi pun bertukar, suara anda tidak akan ditemui.

Isnin, 1 Disember 2025

Menerbitkan Artikel Dalam Jurnal Melayu Sedunia Universiti Malaya

Terima kasih Jurnal Melayu Sedunia (JMS) Universiti Malaya kerana menerima dan menerbitkan artikel terbaharu saya dalam Vol. 8 (1). Artikel ini merupakan penelitian saya kepada beberapa sumber perihal etnik Cina yang membentuk masyarakat majmuk di Tanah Melayu (Malaysia). Penelitian seperti ini pastilah tidak lengkap jika tidak merujuk kepada sarjana yang terkemuka dalam bidang ini iaitu Prof. Wang Gungwu.
 
Etnik Cina bukan wujud di Tanah Melayu sahaja, mereka juga membentuk populasi yang signifikan di negara Asia Tenggara lain dan ditermakan sebagai "hua-qiao" atau overseas Chinese. Wang Gungwu mencerakinkan lagi kategori masyarakat Cina ini sebagai "huashang", "huagong", dan fenomena paling kontemporari adalah kategori "huayi".

Dalam artikel ini juga saya menyingkap peristiwa bersejarah tentang bagaimana Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis China. Hubungan Malaysia dengan komunis tegang kerana perang dan darurat dari 1948 hingga 1960. Bagaimana selepas 14 tahun darurat tamat, Malaysia dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis ini? Merujuk kepada tulisan guru saya, Dr. Tan Chee Seng, saya cuba menjawab persoalan ini.

Artikel ini boleh diakses secara percuma, klik pautan di bawah:

Mon Monologue: Tri


Akhirnya, aku kini sudah di hujung perjalanan untuk menyiapkan pengajian sarjana setelah melalui proses yang panjang, bermula dari kursus pengenalan, kuliah, tutorial, perbentangan, dan kini di fasa akhir disertasi. Walaupun nasib disertasi ini masih lagi belum jelas, sama ada akan diterima atau tidak oleh pemeriksa, sekurang-kurangnya aku sudah menyiapkannya dan menghantarnya untuk semakan. Aku merasakan, aku sudah melakukan yang terbaik. Maka, aku serahkan pada takdir, akan keputusannya.

Menyerahkan disertasi telah menghilangkan satu beban yang sangat berat dari pundakku. Aku memang teringin untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun mungkin aku akan berehat sebentar beberapa tahun. Mengumpul tenaga dan juga wang ringgit, sebelum melalui jalan sunyi yang menyiksakan dan juga menyeronokkan. Hilangnya bebanan dari pundakku ini sedikit sebanyak dapat membuatkan aku melihat dunia sebagai satu kehidupan yang indah semula. Menghargai sisi-sisi bahagianya yang selama ini terlindung di sebalik tekanan membaca dan menyiapkan kajian setiap hari.

Kesibukan yang tidak membenarkan aku membaca atau menikmati filem. Namun selepas menghantar disertasi, mindaku sedikit sebanyak mula terang kembali. Di sebalik masa-masa senggang, aku sempat menonton animasi The Wind Rises, karya Hayao Miyazaki tidak pernah mengecewakan. Kisah ini adalah berkenaan Jiro, seorang kanak-kanak yang bercita-cita menjadi jurutera aviasi. Aku menonton dengan perlahan, tiga kali sesi masih belum habis. Bukan kerana bosan, tapi kerana aku merasakan kisahnya sangat baik, elok dihargai perlahan-lahan.

Antara babak yang menarik perhatianku adalah Jiro yang sering bermimpi perihal kapal terbang sejak dari kecil lagi. Di dalam mimpinya, dia selalu berjumpa dengan Caproni, seorang jurutera aviasi Itali yang menjadi idolanya. Babak ini sebenarnya sangat memberi kesan kepadaku. Kerana pada masa aku bergelut dengan penulisan disertasi sarjana, sememangnya ia terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Aku sering bermimpi akan hal-hal disertasi semasa tidur, walaupun kadang kala aku sedar ia hanya mimpi, ia mengingatkanku bahawa disertasi itu menghantuiku baik semasa aku sedar mahu pun tidur.

Monolog ini merupakan medium aku mengekspresikan sedikit kebebasan yang kini aku rasai semula. Bertemankan kopi dan penulisan di malam hari memang satu perkara yang sangat mengasyikkanku. Malam dalam aksara yang panjang adalah satu kenikmatan bagiku, sama ada aksara bacaan atau tulisan. Harapnya, kebebasan ini akan mencapai kemuncaknya tidak lama lagi. Saat aku selesai viva voce dan menyerahkan disertasi akhir kulit keras kepada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Tidak sabar rasanya untuk aku menyambung projek penulisan yang tertangguh, juga membaca buku-buku yang menarik yang telah aku kumpul. 2026 akan menjadi tahun yang aku nantikan, akan aku warnainya dengan pembacaan dan tulisan yang membebaskan.