Memaparkan catatan dengan label Baitul Muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Baitul Muslim. Papar semua catatan

Isnin, 17 Ogos 2020

Catatan Baitul Muslim 35: Bersembang Dengan Anak Kecil

Saya masih ingat ketika Amni masih kecil, saya selalu merenung pada anak matanya yang berwarna hazel, dan berharap didalam hati agar dia segera pandai bercakap, kerana ada banyak perkara yang saya mahu bualkan bersama. Tetapi apabila dia sudah besar dan pandai bercakap kadangkala saya lupa akan hasrat hati saya ini pada suatu ketika dahulu.

Sering kali apabila mood saya tidak baik, atau dalam keadaan stress, otak saya cepat mengklasifikasikan apa yang keluar dari mulut anak-anak sebagai satu "bunyi bising" yang menganggu. Kadang kala soalan yang berulang-ulang itu seolah-olah boleh menjadikan ibubapa gila. Amni mempunyai habit untuk bertanya soalan "kenapa?" walaupun kadangkala soalan itu kedengaran tidak betul atau tidak masuk akal. Dan apabila dijawab, dia akan mengulang semula jawapan itu dan memasukkan "kenapa" dihujung, dijawab diulang, dijawab diulang, ad infinitum.

Namun kali ini, ketika usianya 5 tahun dia mempunyai habit bertanya yang baru, "kalau tak?". Ya, selalunya soalannya itu tidak logik. Dia akan bertanya, esok hari apa? Apabila dijawab "Isnin" dia akan soal "kalau tak Isnin?". Ia mudah membuatkan kita sebagai ibubapa rimas, namun kadangkala kita mempunyai salah faham pada usia mereka ini. Logik belum dikuasai mereka. Jadi dunia terbentang luas untuk mereka terokai, boleh dicuba yang logik atau tidak, ibubapa yang sudah berfikiran secara logik tidak mampu memahami "penerokaan soalan anak kecil ini".

Tulisan ini mungkin sebagai catatan pada diri saya untuk sentiasa bersemangat menjawab soalan-soalan yang tidak logik dari anak kecil. Mungkin mereka bukan mahukan jawapan yang logik, mereka mahu bersembang dengan ibubapa mereka. Apa sahaja jawapan yang diberikan tidak mengapa, mereka ingin rasa diiktiraf, jika kita menjawab, kita mengiktiraf kewujudan mereka, ada orang dewasa yang mengiktiraf kebolehan mereka berkomunikasi. Dengan menjawab kita mengiktiraf mereka.

Menjawab juga saya kira dapat membantu "cetusan ingin tahu" yang wujud dalam diri mereka. Jika jawapan yang mereka terima hanya menyuruh mereka untuk diam, mungkin ini akan mematikan "cetusan ingin tahu" ini yang merupakan enjin manusia untuk meneroka daerah ilmu.

Malam ini Amni keluar dari bilik tidur, seolah dia belum mengantuk walaupun orang lain semua telah tidur kecuali saya. Saya katakan bahawa saya ingin Solat Isya' dan dia mengatakan bahawa dia mahu menemani saya solat. Habis solat kami bersembang berkenaan dengan "hari", dia bertanya kenapa hari berulang-ulang, selepas habis selasa, rabu, khamis, jumaat, sabtu, ahad, isnin, selasa balik. "Round and round?" katanya. Sekali lagi saya terus memakai kanta logik, dan cuba menerangkan konsep "minggu", satu minggu ada 7 hari, walaupun saya tidak pasti sama ada dia dapat fahami atau tidak. Kemudian dia minta dibaca buku dinosaur sebelum dia masuk ke bilik tidur semula.

Jumaat, 14 Ogos 2020

Catatan Baitul Muslim 34: Pergaduhan Adik Beradik

Pergaduhan antara adik-beradik mungkin merupakan perkara yang natural. Mungkin itu adalah asam garam yang membuatkan kehidupan bersama adik-beradik menjadi satu kenangan yang indah. Namun ada juga peluang ia menjadi satu kenangan yang buruk, menyebabkan anak-anak membesar membenci cara mereka dilayang semasa kecil, mereka merasa tidak dihargai sementara adik-beradik yang lain dirasakan seolah diberi lebih perhatian.

Anak pertama mungkin mendapat perhatian sepenuhnya, namun situasi ini berubah apabila dia mempunyai adik, dia perlu menyesuaikan diri untuk membahagikan kasih sayang, atau ibu bapa perlu menyesuaikan diri untuk membahagikan kasih sayang.

Saya akui, saya mempunyai kelemahan yang besar dalam sudut ini. Saya sering beranggapan bahawa anak yang lebih tua sepatutnya boleh memahami bahawa adiknya perlu lebih perhatian, dan saya sering lupa bahawa kanak-kanak berumur 4 tahun tidak mampu lagi mencapai pemahaman ini. Mudah bagi kita memarahi anak yang lebih tua apabila dia menyebabkan adiknya menangis, atau berebut mainan, tetapi ini akan membuatkan dirinya merasakan lebih tersisih. Saya beruntung kerana mempunyai isteri yang sering menasihati saya sepaya berlaku adil kepada anak-anak, supaya menjaga perasaan mereka agar mereka tidak rasa tersisih atau kurang disayangi. Ia satu perkara yang sukar, tetapi perlu dilakukan. 

Isteri bagi saya lebih terbuka dengan anak-anak, lebih banyak cuba menerangkan keadaan kepada anak-anak meskipun mereka sukar memahami keadaan. Suami pula lebih cenderung bersifat tegas, bagi mereka sesuatu perkara yang praktikal lebih utama dari soal emosi, jadi jalan mudah adalah memarahi agar anak itu takut dan mendengar arahan. Tetapi ini pada hemat saya bukan jalan terbaik, ia praktikal sekarang tetapi mungkin punya kesan buruk buat emosi dalam jangka masa panjang.

Kadangkala saya cuba untuk tidak memarahi, sekadar melihat pergaduhan itu (untuk memastikan mereka bergaduh dalam keadaan yang selamat), dan cuba menerangkan keadaan apabila pergaduhan telah sesuai. Saya semakin lama dapat menerima metodologi penerangan, kerana say lihat anak saya yang pertama, Amni semakin memahami keadaan. Meskipun kadangkala dia masih tidak boleh mengawal emosinya, tetapi dia sudah faham akan keadaan. Harapnya dia faham situasi dan perbezaan dia yang sudah hampir 5 tahun dan adiknya, Idlan yang berumur dua tahun.

Banyak kata-kata Amni sekarang mendalam dan berfalsafah, walaupun mungkin dia tidak sedar akan falsafah tersebut. Satu malam ketika isteri saya menemaninya tidur dia mengajak ummi-nya bersembang, katanya mahu baring-baring sebelum tidur. Dia pun bercerita bagaimana adiknya ternampaknya di tadika, taska Idlan bersebelahan tadika Amni, dan Idlan asyik memanggil namanya. Katanya dia tidak boleh ke taska kerana perlu belajar di tadika, jadi adik hanya boleh bermain dengan kawan-kawannya di taska. Umminya pun menggunakan peluang ini untuk menanamkan rasa sayang adiknya kepadanya "Haa adik sayang sangat la tu kat kakak dia, nak main pun dengan kakak, bangun tidur pun cari kakak, nak tidur pun cari kakak".  Amni pun gelak-gelak sebelum akhirnya dia tidur.

Pergaduhan adik beradik ini sememangnya satu komponen dalam kekeluargaan yang perlu dipelajari oleh ibubapa. Ia perlu diurus, tidak boleh dibiarkan, atau dikawal dengan terlalu ketat sehingga hilang rasa kasih sayang. Tidak boleh ditangani dengan emosi. Perlu ketegasan pada ketikanya, juga perlu penjelasan dan didikan pada ketika lain. Perlu dicari keseimbangan. Ya, ia satu keseimbangan yang sukar, ibarat meniti diatas jambatan setebal benang, jika berjaya insha'Allah dapat menghasilkan hubungan adik beradik yang baik, jadi ia perlu dicuba tanpa putus asa.

Selasa, 28 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 33: Mengisi Tangki Emosi



Sebagai ibu bapa, kadangkala kita rasa bersalah jika kita menghantar anak-anak ke tadika. Kita merasakan sepatutnya kita yang menjaga dan mendidik mereka. Jika kita cuti, kita berasa bersalah jika anak-anak tidak bercuti bersama dan duduk di rumah bersama. Mungkin perasaan ini lebih kuat dalam kalangan ibu berbanding bapa.

Dalam buku Jamie Glowacki yang membicarakan perihal menguruskan anak-anak, beliau ada membicarakan soal 'tangki emosi' satu teori dimana yang penting dalam hubungan ibu-anak bukan jumlah masa yang diluangkan bersama, tetapi kualiti masa yang diluangkan bersama. Dalam kata lain, tiada guna kita meluangkan 2 jam bersama anak-anak tapi sepanjang 2 jam tersebut fokus kita adalah pada talifon bimbit. Sebaliknya 10 minit lebih berharga jika ia 100 peratus fokus terhadap anak-anak dan aktiviti mereka.

Dalam teori tangki emosi ini, masa berkualiti dengan anak-anak adalah masa kita mengisi tangki emosi anak-anak. Apabila tangki ini sudah penuh, anak-anak dengan sendirinya tidak kisah jika dia dibiarkan main berseorangan kerana dia telah merasa mendapat perhatian yang cukup.

Satu perkara lagi yang perlu diingati oleh ibu bapa adalah kesihatan mereka sendiri, baik kesihatan fizikal mahupun emosi. Kerana keluarga itu tidak bermakna tanpa ibu bapa, tidak lengkap, dan tidak akan wujud. Oleh itu perlu kepada ibubapa untuk mendapat rehat yang cukup, baik fizikal atau emosi agar mereka boleh menjalankan tangungjawab mereka dengan berkesan. Oleh itu seharusnya tidak perlu ada rasa bersalah jika ibubapa mengambil cuti dan menghantar anak-anak ke sekolah dan tadika. Masa ini perlu digunakan untuk berehat, setelah anak-anak pulang, ibubapa akan lebih segar dalam mengisi tangki emosi anak-anak.

Di dalam zaman moden ini, dalam keadaan kedua ibubapa keluar mencari rezeki, mustahil kita mampu membesarkan anak-anak tanpa bantuan orang lain. Bagi saya secara peribadi, memang anak merupakan tangungjawab langsung ibu bapa, tetapi dalam masa yang sama masyarakat termasuk guru di tadika dan sekolah juga punya tangungjawab kepada anak-anak kita, kerana akhirnya anak-anak ini akan keluar dan hidup di dalam masyarakat.

Ahad, 26 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 32: Nasihat Buat Kaum Ibu



Bagi lelaki untuk menulis nasihat bagi kaum hawa pada zaman ini mungkin sedikit kontroversi, zeitgeist zaman moden hari ini menyambut kebebasan wanita, mereka perlu dibenarkan membuat keputusan mereka sendiri, sebarang usaha memberitahu atau "menasihati" mungkin boleh ditakrif dengan takrifan seperti bersifat patriarki. Iaitu memaksa dominasi kaum lelaki keatas wanita. Menyedari risiko ini, saya tetap juga ingin tintakan nasihat saya, kerana bagi saya menasihati itu perlu, tidak kisah lelaki kepada wanita, atau wanita kepada lelaki, kerana dalam keluarga atau Baitul Muslim, keduanya perlu bekerjasama untuk membina keluarga yang berjaya.

Usia perkahwinan saya kini sudah memasuki tahun ke-6, melepasi separuh dekad. Walaupun ia tempoh yang agak lama, ia tentu sekali kecil jika dibandingkan dengan keluarga generasi di atas saya yang mungkin sudah berkahwin selama 30-40 tahun. Jadi bagi saya secara peribadi, usia perkahwinan yang singkat ini belum melayakkan saya untuk mengistiharkan diri sendiri sebagai pakar keluarga, namun itu tidak bererti kita tidak boleh menulis perihal pengalaman, nasihat dan renungan kita dalam berkeluarga. Meskipun ia tidak bertaraf jurnal akademik authoritatif berimpak tinggi, ia tetap boleh dibaca dan ditekuni sebagai pedoman.

Saya ingin memberi nasihat secara spesifik buat kaum ibu yang baru berkahwin, atau yang bakal berkahwin. Persoalan ini ada saya baca dalam satu tulisan yang sangat baik yang ditulis oleh Sheryl Sandberg beberapa tahun lalu dalam naskahnya yang berjudul Lean In: Woman, Work, and the Will to Lead. Apabila kita menandatangani kontrak perkahwinan, banyak terma dan syaratnya tidak ditulis secara spesifik, tidak ada hitam putih, tidak ada klausa yang membincangkan tugas dan tangungjawab pihak yang bersetuju untuk masuk kedalam kontrak perkahwinan itu. Lebih bahaya, jika pihak yang masuk kedalam kontrak tersebut tidak mempunyai idea langsung apa tugas dan tanggungjawab mereka, mereka meyakini pasangan mereka hanya atas dasar cinta. Cinta adalah sesuatu yang abstrak dan tidak zahir, tidak material dan sukar dibuktikan, menjadikan keadaan lebih sukar. Dan cinta sifatnya tidak kekal, ia mudah sahaja hilang ditengah pelayaran apabila usia muda yang menyeronokkan telah berlalu.

Oleh sebab itu, perlu ada perkara yang lebih besar dari cinta untuk membina keluarga, untuk memastikan apabila cinta itu telah hilang secara semulajadi, pihak yang terlibat terus kekal menjalankan tugas, amanah, dan tanggungjawab mereka dalam kontrak perkahwinan. Dalam Islam, perkara yang lebih besar dari cinta ini adalah kefahaman Islam yang sama, iaitu kedua-dua pihak mempunyai persefahaman bahawa keluarga mereka adalah institusi untuk melahirkan generasi Islam yang baru, yang cemerlang dan seimbang dari semua segi.

Dalam kontrak keluarga yang kita tandatangani, tiada klausa yang memperincikan pihak mana yang perlu melakukan kerja-kerja domestik. Merangkumi siapa yang perlu memasak, siapa yang perlu buang sampah, basuh dan sidai baju, siapa yang perlu basuh pinggan dan mengemas rumah. Dalam hal ini, kebiasaanya buat kaum ibu yang baru berkahwin, mereka akan melakukannya untuk suami mereka. Mereka merasakan ini tangungjawab mereka. Apabila suami mereka ingin melakukan perkara-perkara tersebut, mereka akan berkata "ala abang tak payahlah buat", mungkin atas dasar sayang dan ingin berkorban untuk suami. Tetapi ini satu kesilapan. 

Kerana apa? Kerana mungkin pada mulanya mereka merasakan mereka ingin berkorban dan berkhidmat untuk suami (yang mana bagus pada perkiraan saya), tetapi dengan menghalang suami di awal perkahwinan untuk melakukan kerja-kerja domestik, ini akan menghantar satu signal kepada mereka bahawa "OK isteri saya boleh buat, saya tidak perlu fikir lagi hal ini". Isteri mungkin merasakan ini hal kecil dipermulaan perkahwinan, tetapi apabila mereka mula mempunyai anak-anak, bertambah dengan bebanan kerja, ia akan menjadi satu bebanan yang besar, bahkan ia mungkin akan menyebabkan isteri tersebut tertekan. Dia mungkin bertanya "kenapa suami aku tak kisah atau tidak mengambil berat?". Dalam masa yang sama, suaminya telah bertahun-tahun tidak dilatih melakukan kerja domestik, dan pada fikirnya sang isteri boleh mengurusnya walaupun dalam masa yang sama mereka perlu mengurus anak-anak dan kerjaya mereka sendiri.

Jadi pada saya, perlu buat kaum ibu memahami sejak awal usia perkahwinan, suami mereka perlu dilatih membuat kerja domestik. Ya, mereka perlu buat bukan "tolong", kerana tugas ini tidak dipersetujui secara spesifik dalam kontrak rumah tangga sebagai tugas eksklusif satu-satu pihak, ia adalah tugas bersama.

Kaum ibu juga pada peringkat awal perlu sentiasa memberi galakan buat suami mereka melakukan kerja-kerja domestik. Jangan terlalu menegur perkara-perkara yang kecil sehingga menyebabkan suami merasakan "hmm kita tak pandai buat benda ni, lebih baik kita biar sahaja isteri yang buat". Perkara kecil seperti sidai baju perlu hanger warna merah, seluar perlu guna warna biru, perkara ini bagi suami adalah hal kecil, mereka biasanya buta warna, asalkan pakaian itu kering, itu sudah memadai. Bukanlah bermaksud tidak boleh menegur langsung suami melakukan hal-hal domestik, tetapi perlulah menegur dalam masa yang sama membina.

Zeitgeist kita hari ini sudah berubah seiring peredaran zaman. Jika zaman dahulu mungkin di rumah, suami tidak pandai membancuh teh sendiri, semuanya diurus isteri, tetapi hari ini ia bukanlah sesuatu yang pelik. Bagi saya ia adalah perkembangan progresif dalam masyarakat, apabila kaum ibu diringankan beban dalam mengurus hal domestik, mereka boleh berdaya saing dalam soal kerjaya. Saya teringat dahulu saya pernah balik ke kampung, dan memandikan anak yang masih bayi dan menyiapkannya memakai baju dan pampers, nenek saya berkata lebih kurang "ish kalau dulu ni, memang tak ada orang lelaki yang mandi dan siapkan anak". Dahulu ia memang dilihat sebagai tugas wanita. Namun begitulah, zaman berubah dan sistem sosial kita juga harus berubah sesuai dengan kehendak zaman. 

Dengan bantu-membantu, insha'Allah keluarga yang dibina akan berjaya.


Rabu, 1 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 31: "Kakak suka dua orang"



Sejak Amni pandai bercakap, banyak kata-katanya yang sangat mendalam, walaupun mungkin pada seorang anak kecil apa yang diungkap itu sekadar perasaannya yang spontan, tapi buat ibubapa, bait kata itu masuk lebih jauh dan tenggelam lebih dalam. Contohnya ketika dia bertanya "Abi dah solat ke belum?" pada anak kecil mungkin itu sekadar pertanyaan berdasarkan pemerhatiannya dengan kebiasaan. Tapi bagi orang dewasa ia adalah soalan yang mendalam, perihal bagaimana kita menjaga komitmen ibadah, hubungan kita dengan Pencipta, serta keadaan dan kesihatan iman.

Selepas tamat tempoh pengurungan ini, ketika di hujung bulan Jun 2020, Malaysia masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan, cuma ia sudah dilonggarkan kepada kawalan "bersyarat" dan kini dalam kawalan "pemulihan", rasminya disebut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dahulu sebelum "dikurung" saya selalu membawa Amni dan Idlan menaiki feri atau ke kolam renang di hujung minggu. Tetapi apabila dunia diserang virus corona baharu yang disebut sebagai COVID-19 ini, perkara tersebut sudah tidak dapat dilakukan atas sebab berjaga-jaga. Jadi yang boleh dilakukan adalah menaiki motor ketika petang, juga berlari-lari di padang yang kosong ketika petang.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang berderu ketika diatas motor, sering kali menyebabkan Idlan yang berumur dua tahun tidur di atas motor. Agak sukar dan berbahaya mengendali motor dengan satu tangan, kerana satu tangan lagi perlu memegang Idlan agar dia tidak jatuh terlentok.

Ketika sedang naik motor, Amni yang berumur lima tahun mengajak saya pergi ke padang. Saya katakan boleh, nanti kita singgah di padang. 

"Nanti Abi patah balik ambil Ummi dulu" katanya lagi.

Saya menjelaskan bahawa Ummi-nya hari ini pulang kerja lambat, jadi kita boleh ke padang tetapi bertiga sahaja bersama adik.

"Tak nak, kakak suka ada dua orang dewasa, kakak nak pergi padang dengan Kakak, Adik, Abi, Ummi" terangnya lagi.

Lalu akhirnya kami pusing-pusing sahaja menaiki motor tidak ke padang, Idlan seperti biasa tidur dipertengahan jalan. Kata-kata anak kecil ini buat saya terfikir akan fitrah manusia yang merasakan keluarganya lengkap jika ada ibu dan ayah. Saya sendiri ketika itu sudah kehilangan ayah, kata-kata Amni sedikit mengusik perasaan saya bertapa saya merasakan keluarga saya sendiri sudah tidak lengkap. Namun itu realiti kehidupan yang saya harus terima.

Dahulu sebelum Amni pandai bercakap, saya teringin bersembang dengannya, selepas dia sudah pandai bercakap, kadang-kadang terasa penat menjawab soalan-soalannya. Semuanya kenapa. Kenapa burung terbang? Kenapa awan biru? Kenapa Abi kerja? Jika dijawab pun akan disambung lagi dengan kenapa yang lain. Kenapa kena cari duit? Kenapa kena makan? Jika lama sangat biasanya akhirnya saya akan jawab "entah". Saya sedar jawapan itu bukan jawapan yang terbaik untuk menggalakkan anak berfikir, itu adalah jawapan untuk mematikan pertanyaan. Tetapi kadang-kala, kita sebagai manusia biasa juga tewas pada teori yang kita pegang, tewas pada prinsip yang kita jaga, ketika realiti kepenatan menjalari hidup seharian. 

Cuma mungkin kita kena selalu memperingatkan diri agar terus kuat untuk bersembang dan berbual dengan anak-anak, perkara kecil dimata kita tetapi sebenarnya besar di dalam hati anak-anak. Kita jika tidak bercakap dengan anak, kita masih boleh bersembang dengan rakan-rakan di Whatsapp, Facebook, dan media sosial yang lain. Tetapi anak kecil, jika ibubapanya tidak mahu bersembang dengan mereka di rumah, dengan siapa mereka boleh bersembang? Dengan dinding? Dengan teddy bear?

Dialog-dialog dengan anak ini sekejap sahaja Tuhan pinjamkan kepada kita, ia adalah nikmat yang sementara. Apabila mereka mula berkawan di sekolah nanti, jika kita tidak selalu bersembang dengan mereka, mereka pun tidak ingin lagi bersembang dengan kita. Kerana mereka sudah punya kawan-kawan lain yang sudi mendengar keluh-kesah mereka. Yang sama tahap pemikiran dengan mereka. Disini kita perlu sedar, media sosial itu tidak kemana pun sebenarnya, apabila kita sudah tua nanti bukan media sosial yang akan kita rindui, tetapi hiruk pikuk anak-anak yang pulang beraya bersama cucu-cucu kita. Jadi, sepenting manapun komen dan like yang kita tagih itu, berpada-padalah.



Isnin, 29 Jun 2020

Catatan Baitul Muslim 30: Novel & Memarahi Anak


Saya gemar membaca, buku yang saya baca kebanyakannya bersifat non-fiksyen, amali dan realiti. Saya kurang berminat untuk membaca novel-novel perihal perasaan dan hati kerana saya tidak memberi kepentingan yang berat pada perasaan, apa yang penting adalah fakta yang praktikal. Tetapi sampai satu ketika, saya merasakan pandangan ini silap. Novel boleh mengajar banyak perkara perihal kemanusiaan kepada manusia. Walaupun ia adalah cebisan imaginasi penulis, tetapi tentulah penulis sendiri menulis dari getusan hatinya, jadi ia tetap tidak dapat lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Melainkan kita ada novel yang seratus peratus ditulis komputer menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Antara novel-novel yang saya minati adalah tulisan Khaled Hosseini, karyawan dari Amerika yang lahir di Afghanistan. Terutamanya karya beliau The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Ia mengangkat nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Dari perspektif ibubapa, novel ini memberi satu kesan tentang bagaimana kita melihat anak-anak dibawah didikan kita. Mereka bukanlah sekadar manusia kecil yang perlu diurus, didisiplinkan, dan dilengkapkan dengan pelbagai informasi. Tetapi mereka punya perasaan, sifat-sifat manusia yang perlu diraikan oleh ibu bapa.

Saya teringat satu teguran baru-baru ini yang tular di Facebook berkenaan dengan manusia yang suka membaca ini kadangkala menjadi "manusia buku", dia gagal memahami sifat kemanusiaan yang kompleks dengan emosi dan perasaan. Segalanya perlu mengikiut buku, dia menjadi "book wise" tetapi tidak "street wise". Walaupun kritik itu bagus, saya kira kesimpulannya bukanlah kita perlu kurangkan pembacaan, tetapi kita perlu juga kayakan pembacaan berkenaan ragam manusia, karya-karya yang mencemaskan perasaan, menimbulkan kesedihan, mengelegakkan kemarahan, bukan hanya karya perihal fakta-fakta yang kering dari sebarang unsur kemanusiaan. Saya berpendapat kita boleh menjadi "street wise" dengan bersosial dengan masyarakat tanpa perlu "mengorbankan" pembacaan.  

Saya minat kata-kata dalam buku tulisan Jamie Glowacki bahawa sebanyak manapun buku-buku "pakar" yang kita baca, apabila menguruskan anak kita sendiri, tiada yang lebih "pakar" berbanding kita sendiri. Kerana kitalah yang duduk 24 jam dengan mereka, kita yang main dengan mereka, makan dengan mereka, mandi dan tidur dengan mereka. Jadi jika nasihat "pakar" tidak berkesan, jangan kita terlalu rigid, sebaliknya timbangkan cara-cara lain yang berkesan dengan anak kita.

Pengalaman saya membesarkan anak, 2 tahun pertama biasanya merupakan tahun-tahun yang membahagiakan, kerana kita belum masuk ke dalam fasa mendisplinkan anak. Mereka ketika ini masih belum boleh membina ayat untuk bertutur dalam menyampaikan kehendak-kehendak mereka. Selepas tahun ini berakhir, kita mula memasuki fasa kita sering memarahi anak. Dalam fasa ini kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan, walaupun kita mungkin dapat apa yang kita mahu mereka lakukan dengan memarahi mereka, kita perlu ingat akan sampai satu masa kemarahan kita tidak lagi akan memberi kesan kepada mereka. Disini perlunya penerangan dan pendidikan.

Jangan salah sangka, saya berpendapat "marah" ada tempatnya dalam pendidikan. Sekiranya anak itu tidak pernah dimarahi dari kecil hingga dewasa mungkin dia tidak akan berjaya memahami apa itu baik dan buruk, mereka juga tidak dapat faham sifat-sifat manusia yang kompleks, atau mungkin dia merasakan dia boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya. Namun, marah itu perlu digunakan dengan berhati-hati, jangan sampai kasih sayang terpadam. Marah harus segera diikuti dengan kemaafan dan penerangan. Dan ibubapa juga perlu berani meminta maaf pada anak-anak mereka jika mereka terlebih marah, atau marah kerana nafsu dan ke-ego-an. 

Seorang ayah itu, ego-nya lebih tebal dari seorang ibu. Ibu sifatnya lebih tebal dengan kasih sayang, selalu membenarkan diri terluka untuk melihat anak dan suami bahagia. Namun saya kira, setebal manapun ego seorang bapa, selepas memarahi anaknya pasti tebit rasa kekesalan, walau sebesar zarah, pasti timbul rasa kasihan apabila melihat anaknya menangis kesedihan. Walaupun kadangkala egonya mengatasi zarah-zarah tersebut. Maka perlulah seorang bapa itu selalu bertanya pada hatinya, untuk apa ego itu? Wajarkah ia diberi kemenangan dengan mengorbankan kasih-sayang diantaranya dan anak-anak?

Mendidik anak itu satu seni yang sukar, tiada satu formula yang sesuai untuk semua anak-anak. Pasti ada kelainan, pasti ada perubahan terhadap cara untuk menghadapi anak-anak yang berbeza. Membentuk manusia ini tidak semudah membentuk tepung yang sudah diuli, kerana manusia itu kompleks dengan emosi dan perasaan. Maka ibu bapa perlu mencari jalan yang seimbang, menanam disiplin dalam masa yang sama menyiram dan memastikan kasih-sayang terus subur. Terlebih marah, anak akan merasakan seolah dia hidup dalam keluarga diktator tanpa kasih sayang, terlebih sayang menjadikan mereka manusia yang hidup tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Jalan sederhana ini juga tidak dijamin mudah dan selesa, ia dijamin penuh dengan dugaan dan airmata. Namun hasilnya, insha'Allah, bahagia.

Sabtu, 23 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 29: Anak Menangis Malam



Menidurkan anak menangis di malam hari merupakan satu peperangan yang akan dilalui oleh ibu bapa yang membesarkan anak ketika mereka berumur 1-2 tahun. Perang ini bertambah mencabar jika anak tersebut menangis dan meraung tanpa henti hingga lewat pagi, sedangkan kedua ibu bapa akan bekerja esok pagi. Di sini biasanya hubungan suami isteri bakal teruji, apabila kesabaran sampai ke tahap breaking point.

Kadang-kadang kita juga tertanya-tanya bagaimana anak kecil ini mempunyai begitu banyak tenaga menangis dengan begitu lama. Anak menangis mungkin disebabkan pelbagai perkara, namun jika lampinnya telah disalin, dan susu telah diberi, jika dia masih konsisten menangis, ibu bapa bakal menjadi buntu. Mereka perlu meneka apa kehendak anak kecil tersebut kerana dia tidak mampu lagi bertutur. Dalam situasi ini, pendekatan kita seharusnya mencari sebab-sebab luaran, bukan terus mengambil keputusan bahawa bayi kecil itu dirasuk syaitan.

Boleh jadi perutnya sakit, atau giginya mahu tumbuh, atau mimpi buruk. Kita harus faham bahawa anak ini baru mengenal dunia, baru mengenal emosi, kemungkinan besar dia menangis tanpa henti kerana dia masih belum berjaya mengawal emosi. Seperti di awal usia di mana dia belum mahir mengawal kaki untuk berjalan.

Suami juga dalam hal ini perlu bertimbang rasa. Tidak boleh semuanya diletak di bahu isteri. Suami yang baik adalah suami yang rela berkorban untuk bangun membancuh susu, atau mengambil giliran mendodoi anak dan memberi peluang kepada isteri untuk tidur. 

Sememangnya ia waktu yang sangat mencabar. Masing-masing penat dan buntu. Keadaan genting dengan jeritan dan tangisan, mudah untuk masing-masing jatuh ke lembah amarah. Bercakap perihal sabar pada situasi ini terbukti seribu kali lebih senang dari betul-betul dapat bersabar. Waktu malam kadang-kala menjadi satu waktu yang sangat menyiksakan, menakutkan, memenatkan, dan meninggalkan perasaan trauma. Namun andai diurus bersama dengan baik, kasih sayang akan mengatasi amarah. Anak itu akan membesar dan belajar mengawal emosi, jadual tidurnya akan menjadi lebih teratur dan konsisten, keadaan akan kembali tenang.

Oleh itu, kepada ibu bapa yang masih bertarung untuk menidurkan anak di malam hari, ketahuilah bahawa ia adalah ribut sebentar yang akan berlalu pergi. Selepas berlalunya ribut ini, malam akan tenang semula disuluh cahaya bulan dan diterangi jutaan bintang. Teruskan perjuangan, satu hari nanti anda akan tersenyum bersama mengenangkannya.

Sabtu, 9 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 28: Pluviophile



Pada musim pandemik ini, ketika sekolah dan tadika ditutup, baru ibu bapa merasai apa yang dirasai oleh guru-guru dan cikgu-cikgu disekolah. Masa bersama anak-anak dari pagi sehingga ke malam tujuh hari seminggu. Anak-anak merupakan sumber kebahagiaan rumah tangga, wajah suci tulus mulus mereka ketika tidur membuatkan hati yang keras menjadi lembut, membuatkan hati yang marah merasa sayang. Namun ada ketika mereka menjerit, menangis sepanjang hari, berkelakuan nakal, sehingga menyebabkan ibu bapa boleh menjadi separuh gila. Itulah lumrah membesarkan anak-anak, namun haruslah kita sedar, apa yang kita rasakan beban hari ini akan menjadi memori dan kenangan indah disatu masa depan, dimana mereka sudah besar dan keluar dari rumah kita, kita akan menangis merindukan masa-masa mereka masih ringan, mudah didukung dan digomol pipi.

Semasa Amni masih kecil sekitar dua tahun, saya masih ingat kadang-kala jika umminya penat dan ingin berehat, saya bawa dia keluar untuk melihat hujan. Kami akan duduk bersama merenung air hujan yang turun berderu-deru dari langit, jika dia menangis melihat hujan akan membantu dia berhenti menangis. Ketika itu Amni belum boleh bertutur, maka kami pun sekadar duduk merenung bersama, mungkin kami sama-sama menyukai bau yang dibawa oleh hujan, juga musik rintik-rintik hujan bersama suhu yang menenangkan.

Idlan juga seperti mempunyai minat yang sama, apabila mendengar bunyi hujan dia akan menyebut "shaea" berulang-ulang kali dan berlari ke pintu mengajak saya keluar. Shaea adalah evolusi perkataan dari "hujan" kepada "jan" kepada "shan" dan akhirnya menjadi "shaea". Ini adalah berkataan awal Idlan yang boleh disebut selepas "shark", "bear", "kakak" dan "nak" ketika ini dimana dia masih berumur setahun setengah. Apabila keluar, selain merenung, saya biasanya akan memegang tangannya supaya dia dapat merasai rintik-rintik hujan, selepas beberapa ketika dia sendiri yang mengeluarkan tangannya untuk memegang hujan dan kadang kala menghulurkan kepalanya kepada air hujan. Sudah tentu saya tidak memberi tahu pada umminya kerana beliau akan jatuh risau Idlan akan jatuh demam.

Dalam bahasa Inggeris seseorang yang suka kepada hujan disebut sebagai "Pluviophile". Namun sebenarnya setiap kejadian Tuhan itu menenangkan. Manusia mencipta pelbagai jenis peralatan canggih, namun dia akan juga masuk ke hutan, pergi ke tepi pantai, mandi di sungai untuk mencari ketenangan. Di musim tidak boleh mengembara ini, Tuhan turunkan hujan untuk membawa ketenangan.

Jumaat, 24 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 27: Hubungan Ibu dan Anak


Mungkin ini kali terakhir saya mencoret nota parenting dari buku tulisan Jamie Glowacki, sudah terlalu lama saya rasa saya membacanya, merenung nasihat-nasihatnya, tiba masa untuk meneruskan perjalanan dan mengutip mutiara di tempat yang lain pula. Buku ini perlu saya tutup dan simpan buat sementara waktu.

Untuk kali yang terakhir ini saya ingin berkongsi satu dari perkara yang saya dapat dari buku ini, iaitu peihal hubungan ibu dan anak. Jamie mengungkapkan, dan saya rasa ia juga terjadi dalam realiti keibubapaan kita, dimana para ibu merasakan ayah lebih effektif, anak mudah sahaja mendengar arahan dari ayahnya dan melaksanakannya tanpa banyak soal. Tetapi tidak kepada arahan ibu, seolah ada sesuatu yang hilang dalam hubungan ibu dan anak.

Jamie menyatakan sebab dari perkara ini berlaku adalah kerana sifat ayah yang kurang bercakap. Mereka akan bercakap sedikit tetapi terus kepada maksud, tidak berpusing-pusing, tidak perlu kepada teka-meneka, dan yang paling penting tegas dan sering maksudkan apa yang dia kata. Jika ayah kata tiada video, mereka mengotakan katanya, membuatkan anak-anak faham dan yakin sebarang kata-kata ayah, dia akan betul-betul laksanakan apa yang dia ungkapkan. 

Para ibu pula menurut Jamie, mempunyai rasa kasihan dan kasih sayang yang banyak. Sering sahaja dalam memberi arahan, para ibu akan memberi huraian dan diceritakan perkara yang tiada kena mengena dengan arahan. Menjadikan sesuatu arahan kedengaran kompleks dalam fikiran anak-anak, sukar ditafsir dan dibuahkan kepada bentuk perbuatan.

Saya kira apa yang diperkatakan Jamie ada benarnya, walaupun bukanlah mungkin 100 peratus, mungkin ada sebahagian dari para ibu yang memberi arahan ringkas dan mudah tanpa huraian kepada anak-anak membuatkan mereka effektif, tetapi jumlah mereka masih sedikit dan tidak dominan dalam masyarakat. Jadi mungkin ayah itu berkesan bukan disebabkan oleh satu kuasa fenomena yang istimewa, cuma mereka memberi arahan ringkas, tegas, dan maksudkan apa yang dia katakan, membuatkan anak-anak senang menangkap maksudnya dan melaksanakannya ke dalam bentuk perbuatan.

Isnin, 20 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 26: Lawak Kahwin Dua Yang Tidak Lawak



Kita sudah memasuki tahun 2020, rasanya lawak tentang khwin dua ini sudah boleh kita tinggalkan sebagai sejarah sahaja. Biarlah generasi baharu ini hidup dengan lawak-lawak baru yang lebih membina. 

Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan seorang teman, kami sudah berteman agak lama sejak zaman idealis era mahasiswa dahulu lagi. Kawan lama biasanya tiada hijab apabila berjenaka dan bersembang, buatlah lawak apa pun, dua-dua tak akan terasa hati. Tapi bila dia keluarkan lawak kahwin dua, entah kenapa saya tak boleh terima ia sebagai lawak, sikit pun tidak ada rasa untuk gelak.

Pertama, kita sahaja kenal isteri kita sebagai isteri. Pengorbanan yang dia lakukan untuk kita, baik dalam urusan membesar dan menjaga anak-anak, hinggalah urusan menjaga serba-serbi keluarga. Saya tak dapat bayang, walaupun se-saat saya boleh khianati pengorbanan yang isteri saya dah lakukan sepanjang kami bersama, walaupun kami baru berkahwin selama 5 tahun.

Kedua, saya katakan padanya, ada seribu satu perkara yang saya hendak lakukan dalam hidup ini, adakah yang difikirkannya hanya perempuan? Kemana hilang idealisme dan retorik-retorik kita selama ini. Saya sendiri secara peribadi banyak cita-cita peribadi yang belum tertunai, seperti ingin menjadi pelukis, ingin membuka rumah anak yatim, ingin duduk di kampung mengajar anak orang asli, ingin belanja pengemis di tepi jalan makan nasi ayam sambil bersembang pasal falsafah kehidupan, ingin temuramah nenek di kampung dan menulis sejarah keluarga dan migrasi Kaum Banjar ke Perak, dan seribu satu lagi cita-cita. Sedikit kecewa jika idealisme mudah sahaja padam, dengan lawak-lawak kahwin dua.

Ketiga, kenapa saya tak rasa lawak kahwin dua ini lawak, kerana saya sudah banyak melihat sendiri kesan kawin dua ini dalam merosakkan keluarga, kesannya pada anak-anak yang ditinggalkan dan diabaikan ayah mereka. Lawakkah? Dan perkara ini berlaku pada kawan-kawan saya disekeliling saya, ia sangat mengguris hati, tiada secebis lawak sedikit pun.

Saya tetap mengiktiraf poligami dalam Islam. Kerana bagi saya ia adalah solusi yang diperuntukkan Islam dalam membela isteri yang kematian suami, juga jika dalam keadaan sosial dimana populasi perempuan melebihi lelaki. Islam meletakkan poligami sebagai instrumen mengangkat darjat wanita, mereka mempunyai kedudukan sebagai isteri dan boleh mewarisi harta, bukan sebagai perempuan simpanan yang tiada apa-apa obligasi dari sudut perundangan dan warisan. Namun ia perlu diletak pada kadar dan keperluannya, dan semestinya kadar itu bukan suatu lawak atau bahan jenaka.

Rabu, 1 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 25: 2020 & Ketakutan Mendapat Anak


Ketika sedang bekerja di pejabat tiba-tiba talifon bimbit bergetar, sahaja saya senyapkan talifon itu agar tidak menganggu "jiran-jiran" yang lain yang sedang tekun bekerja. Isteri saya menghantar pesanan bahawa tahun 2020 ini akan menjadikan kami, bayi yang lahir pada tahun 1990, masuk ke dekad yang ke-3 dan secara rasminya menamatkan usia 20-an kami. 

"Hope our new age will bring us an extra share that make us more sabar dalam mendidik dan mengharungi bahtera rumahtangga bersama, bertambah keimanan kepada Nya". 

Saya pun membalas "Dah tua kita rupanya, I'm bless growing old with you".

Ya, 30 tahun merupakan satu tempoh yang lama. Pelbagai perkara telah saya lalui. Saya belajar merangkak dan berjalan. Menamatkan sekolah rendah. Menangis di talifon awam sekolah menalifon ibu ketika di asrama sekolah menengah. Mengucapkan selamat tinggal kepada ibu ayah dan keluarga menaiki kapal terbang ke luar negara, membuat perbentangan kerja kursus akhir di hadapan pensyarah, ditemuramah pengurus dan mendapat slip gaji pertama, mengucapkan "aku terima nikahnya" di depan imam, menunggu sendirian di depan wad bersalin, menghantar anak kecil pertama ke tadika, menunggu di dewan bersalin kali kedua, ya, telah banyak perkara yang sudah saya lalui. Muda bukan lagi kata yang sesuai untuk mendefinisikan usia.

Pesanan isteri perihal "sabar" itu memang diperlukan. Sebagai mana benda lain, perkataan dan praxis merupakan dua benda yang berbeza, kata itu mudah. Dan di masa-masa tertentu, emosi-emosi tertentu, marah lebih mudah dari perkataan "sabar". Tetapi lambat laun aku harus sedar, akan sedar, bahawa marah dan menjerit itu tidak menyelesaikan, sama ada kesedaran itu cepat atau sudah terlambat.

"Mendidik" juga saya kira satu terma yang sangat perlu diberi perhatian. Lebih mudah kita memberikan video dan cerita kepada anak-anak agar mereka tidak "menganggu" kita. Tetapi itu bukan didikan sebenar walaupun akhirnya mereka mendapat pelbagai jenis perkataan Inggeris dari video-video tersebut. "Didikan" mestilah ada unsur kebersamaan, kasih-sayang, dan komunikasi bersama antara ibubapa dan anak-anak. Tulisnya mudah, praxisnya memerlukan usaha dan susah payah, melawan perasaan inginkan kesenangan, kerehatan, dan keselesaan.

Mungkin tajuk "Ketakutan Mendapat Anak" itu kedengaran kontroversi, malah mungkin satu frasa sensitif yang melukakan bagi pasangan yang telah lama berusaha dan mencuba untuk mendapatkan anak - permata rumah tangga, racun dan penawar bagi perasaan ibubapa.

Tetapi frasa itulah yang berlegar dalam minda saya beberapa hari ini. Selepas mendapat anak pertama dahulu, memang ada perasaan takut untuk mendapat anak kedua. Kerana pada masa itu baru saya faham, bahawa anak bukan sahaja menuntut masa yang banyak dari kehidupan, tetapi juga menuntut perkara-perkara material dan ekonomi. Tidak dapat memberikan apa yang diperlukan oleh anak-anak adalah ketakutan sebenar bagi insan bergelar ayah. 

Saya selalu bersembang panjang dengan Guan Lim berkenaan dengan perkara ini. Beliau memberi sudut pandang ateis dalam melihat keperluan untuk adanya anak-anak. Bagi Muslim, anak itu adalah anugerah dan rezeki, ia tidak patut dibuang kerana faktor ekonomi. Tetapi sekali lagi, ayat "anak adalah rezeki" itu tampak mudah pada perkataan, ia begitu sukar bagi praxis. Maafkan saya jika saya terlalu banyak mengulangi perkara ini, ia bukanlah pleonasme atau tautologi, tetapi sememangnya perasaan yang kerap kali berulang datang.

Namun Alhamdulillah, apabila anak kedua tiba, ternyata "anak adalah rezeki" itu benar. Segalanya dicukupkan Tuhan. Memang ia memerlukan kerja keras dan usaha, terutamanya bangun malam bagi tahun pertama. Tetapi selepas itu, malam-malam berubah tenang seperti sedia kala, dan siang penuh dengan tangisan dan gelak tawa - isi kepada rumahtangga.

Tahun baru ini kita harusnya panjatkan kesyukuran, mengira nikmat-nikmat yang wajar kita alhamdulillah-kan, mengucapkan selamat tinggal pada 20-an, mencari "sabar", memberi "didikan", dan mungkin, sebagai pelengkap lamunan yang sudah dua-tiga hari berpanjangan, untuk berhenti dari ketakutan.

Rabu, 25 Disember 2019

Catatan Baitul Muslim 24: Apa Guna Suami, Jika


Saya masih ingat ketika mula berkahwin, antara janji saya pada diri sendiri adalah menerima isteri. Terima bukan sahaja apa yang baik, yang disukai, yang sesuai, tetapi menerima juga yang tidak baik, tidak cocok atau tidak sesuai. Kerana seperti manusia-manusia lain, isteri punya baik dan buruk, sama seperti suami, manusia yang punya baik dan buruk. Seperti yang dikalamkan Tuhan, manusia dikurniakan "fujur" dan "thaqwa".

Kenapa penting berjanji pada diri? Kerana cinta itu perasaan, ia bersifat datang dan pergi. Ia mungkin kuat dipermulaan tetapi bisa hilang di tengahari. Ia bersinggahsana di hati, yang selalunya berbolak-balik. Tetapi kalaupun perasaan itu hilang, janji akan terus kekal. Ia tanggungjawab saat kita menerima akad, kekal harapnya hingga ke hujung hayat. Maka tika marah kita bertanggungjawab, ketika sedih kita bertanggungjawab, ketika bahagia kita bertanggungjawab. Kekal janji itu sebagai tali.

Dan hidup, hidup itu kadang kita rasa seperti anugerah, kadang kita merasa ia perit persis satu sumpah. Apa guna suami jika dia tidak menjadi penyambung nyawa buat isteri, penyejuk hati saat dia marah, penguat hati saat dia kalah, pemberi senyum saat dia gundah. Sama-sama hidup di saat mewah, juga kekal bersama saat yang tinggal hanya kuah.

Tugas suami bukan hanya memetik nikmat ketika dia berminat, namun hilang ketika hidup terasa berat dan penat. Haruslah dia setia melukis bahagia, walaupun dihalang seluruh dunia, setia bersama hingga takdir mengambil nyawa. Pasti ada saat-saat yang gawat, ada saat suhunya tinggi, kata-katanya marah, matanya pasrah. Pada ketika itu bukalah semula naskah-naskah janji, bukankah sumpah kalian berbunyi setia ketika diuji? Sekuat mana pun ribut, ia akan berlalu. Sekelam mana pun malam, akan tiba pagi yang baru. Segelap manapun gerhana, mentari akan bersinar semula. Ketika semuanya sudah kembali, kita akan merasakan nikmat dan manisnya setia.

Dan itu, itulah maknanya cinta.

Selasa, 17 Disember 2019

Catatan Baitul Muslim 23: Membunuh Kreativiti Anak-Anak


Apabila tahu lukisannya dibuat kulit buku antologi puisi yang saya terbitkan bersama rakan-rakan, anak saya melipat lukisan-lukisannya yang lain dan dimasukkan ke dalam beg yang saya selalu bawa ke tempat kerja.

"Abi, kakak dah masukkan painting dalam beg abi, nanti buat buku" katanya kepada saya.

Saya meng-OK-kannya sahaja. Hari ini balik kerja dalam bas baru sempat saya lihat karya 'artis' ini. Tugas kita ibubapa adalah tidak membunuh kreativiti anak-anak. Rumah bersepah itu lumrah, dan boleh dikemas, kreativiti yang mati adalah hilangnya emas.

Kita semua bersalah, termasuk saya sendiri, dalam proses membunuh kreativiti anak-anak. Apabila menjerit kita suruh dia diam, apabila menconteng dinding kita akan rampas pensil warna mereka, apabila mereka berlari kita seluruh mereka duduk.

Anak-anak tidak tahu apa-apa peraturan. Mereka masih sangat baru di dunia ini, jika mereka berusia empat tahun, bermakna mereka hanya ada pengalaman selama empat tahun sebagai manusia. Bila kita jerit "Jangan sentuh, panas!" maka minda kreatif mereka cuba menafsirkan apa itu panas? Adakah makanan? Atau apa? Mereka belum menguasai ilmu fizik dan belum menguasai konsep 'suhu'. Jadi mereka akan mencuba untuk mencari makna apa itu 'panas' agar dapat dikumpul menjadi pengalaman hidup.

Saya masih membaca buku Jamie Glowacki dengan perlahan. Sekarang sudah sampai kepada bab kreativiti. Apa itu kreativiti?

Kreativiti punya banyak maksud, tak semestinya ia sama, malah mungkin boleh bercanggah. Ada yang  mendefinisikan kreativiti sebagai proses mencipta suatu dari tiada kepada ada. Atau kreativiti sebagai method untuk menyampaikan emosi dan perasaan dalam bentuk non-verbal. Juga mungkin bermaksud perkara yang berbeza dari apa yang dianggap sebagai status quo.

Eksplorasi anak-anak untuk mengenal dunia seringkali menyebabkan kita ibu bapa stress, kita nampak bedak penuh dilantai sebagai satu tindakan nakal dan di luar kebiasaan. Tetapi anak-anak tak pernah tahu pun apa itu 'kebiasaan'? Kerana mereka belum biasa hidup di dunia. Minda kreatif mereka hendak membuat eksperimen, bolehkah manusia berenang di lautan bedak di dalam bilik? Maka mereka uji hipothesis ini. Kreativiti mereka sedang berfungsi, mereka mencipta, dari tiada lautan bedak, kepada ada.

Masharakat kita telah terbiasa dengan 'produk akhir'. Kerana kita bekerja di kilang, jika tiada produk maka bagi kita tiada kerja, tiada hasil. Kita pun bawa minda 'pekerja' ini balik ke rumah apabila bersama anak-anak. Jika kita buat aktiviti dengan anak-anak perlu ada hasil akhir, perlu ada buku yang siap diwarna, setiap aktiviti perlu mengikut arahan yang telah disediakan, sangat sedikit ruang ekplorasi. Walhal kreativiti juga wujud pada proses, bukan hanya pada produk akhir. Contohnya cara memegang pensel, proses memilih warna, imaginasi lain - pokok diwarna biru atau manusia berwarna pink. Jadi proses itulah yang penting sebagai tempat mengembangkan kreativiti. Walaupun di mata manusia dewasa hasil atau 'produk akhir' adalah kertas dengan contengan yang tiada makna.

Ini bukanlah satu seruan untuk membiarkan anak-anak membaling pinggan dan cawan sehingga pecah bagi membiarkan mereka bereksperimen dan ber-kreativiti. Tetapi sebagai teguran dan renungan kepada kita ibu bapa agar melihat anak-anak dengan empati, memahami proses yang mereka sedang alami. Saya sendiri percaya anak-anak perlu dimarahi apabila mereka melanggar peraturan, tetapi mereka tidak wajar dimarahi jika mereka tidak diberi tahu apa itu peraturan. Ibarat kita menyuruh anak bermain ping-pong tapi tidak diterangkan peraturan permainan, bila mereka bermain mengikut peraturan sendiri, mereka dimarah, mereka pun bingung.

Jadi tugas kita sebagai ibubapa adalah menerangkan garis peraturan pada anak-anak, agar mereka dapat mengembangkan daya kreativiti mereka dalam sempadan yang selamat. Tentu sahaja mereka akan melakukan kesilapan, siapa tidak pernah tersilap? Kita harus berhati-hati untuk tidak membunuh kreativiti mereka hanya kerana mereka melakukan kesilapan.

Ahad, 10 November 2019

Catatan Baitul Muslim 22: Buku Parenting (2)



Saya membaca buku Jamie Glowacki, dan saya membacanya dengan begitu perlahan. Kerana pertama, benar, kita semua ada perasaan untuk cepat habiskan baca satu buku dan pergi ke pembacaan seterusnya, tapi saya tiada cita-cita membaca buku 100 naskah setahun. Kedua, saya merasakan buku ini betul-betul praktikal dalam mengurus anak-anak kecil. Sekiranya anda mempunyai anak kecil berusia 2-6 tahun, lebih dari seorang anak dalam usia ini, saya sangat sangat sangat sarankan anda membacanya. Ia akan menyelamatkan anda!

Bahasa yang digunakan mungkin sedikit kasar dan blunt, tapi yang lebih penting ia make sense. Jika anda pernah membaca buku Faber & Mazlish, saya kira ada penerbit yang telah terjemahkan ke Bahasa Melayu, asas teori mereka adalah tawar menawar, memberi pilihan kepada anak-anak berbanding memaksa. Teori ini ada benarnya, tetapi ia mempunyai limit dan tidak sesuai untuk semua situasi. Kanak-kanak pada usia ini belum mampu membuat keputusan yang rasional yang mengambil kira kesan jangka masa panjang. Anda boleh beri pilihan untuk mereka pilih baju tidur, tetapi anda tidak boleh beri mereka pilihan sama ada hendak atau tidak memegang tangan anda ketika hendak melintas jalanraya.

Jamie menekankan perlunya ada peraturan dalam keluarga, anak-anak perlu memahami sempadan, agar mereka mampu meneroka dalam sempadan yang selamat - sempadan ini bukan sahaja sempadan fizikal, tetapi sempadan perilaku dan emosi. Anda tidak boleh membiarkan mereka meneka sempadan mereka sendiri, mereka belum mampu. Fasa ini memerlukan anda menjadi ibu bapa yang authoritative, tetapi tidak authoritarian.

Antara teknik ibu bapa yang authoritative, ialah kebolehupayaan mengurus tantrum anak-anak. Jamie memberi contoh situasi di kaunter supermarket. Ketika beratur, biasanya coklat/mainan kanak-kanak akan disusun berdekatan kaunter (marketing genius). Ketika kita menunggu dengan anak-anak, mereka akan lihat, dan mula minta dibelikan coklat. Dalam situasi ini kita ada dua pilihan.

1. Kita belikan mereka dan kita boleh nikmati ketenangan.

2. Kita tak bagi, dan anak kita akan mula dirasuk keinginan mereka, meraung sambil keluar hingus dan berguling di atas lantai, dan semua manusia akan melihat kita.


Dalam situasi ini, jika pilihan kita adalah yang kedua, tapi kita tahu apabila anak kita mula menjerit, kita akan mengalah. Bagi Jamie, adalah lebih baik kita terus bagi sahaja, berbanding kita beri setelah mereka selesai melaksanakan operasi raungan dan gulingan. Ini kerana kita akan lebih authoritative berbanding kita memberi selepas mereka meraung, dimana mereka mendapat signal bahawa strategi manipulasi mereka telah berjaya mengalahkan keputusan kita.

Tetapi mungkin juga anak kita akan dapat signal kita merestui pembelian coklat, dan esok mereka minta lagi, atau dalam bahasa Inggeris "once means always". Dalam hal ini kita perlu beritahu mereka bahawa kita hanya beli sekali sekala bukan sentiasa. Jika kita ke supermarket lagi, kita perlu beritahu sebelum masuk bahawa kita tak akan beli coklat hari ini, agar minda mereka telah bersedia dari awal, dan dia tahu dimana sempadan yang kita letak.


Jumaat, 1 November 2019

Catatan Baitul Muslim 21: Buku Parenting (1)



Kali terakhir saya membaca buku parenting adalah buku Brainstorm tulisan Daniel Siegel, rasanya sudah sampai masanya untuk membaca semula buku parenting. Kenapa perlu baca?

Kita belajar matematik, sejarah, pendidikan seni, sains, thermodinamic, visual basic dan pelbagai matapelajaran lain di sekolah dan universiti. Kita tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi ayah atau ibu. Tidak ada subjek yang mengajar kita bagaimana mahu menjadi suami atau isteri.

Jika kita punya penyakit dan perlu dibedah, dan doktor bedah memberitahu kita bahawa dia tidak pernah belajar cara membedah manusia, kita akan jerit pada dia "gila! jangan sentuh saya!". Kita tidak sekali-kali akan memberinya peluang untuk merawat kita. Tapi kita yang tidak pernah belajar perihal keibubapaan tiba-tiba mahu mendidik anak-anak hingga berjaya? Magik.

Guru saya berkenaan dengan ilmu kekeluargaan, Tuan Rosdi Baharom pernah bertanya pada saya. "Fathi, bagaimana jika satu hari nanti anak-anak bertanya adakah ayah punya sijil atau kelayakan untuk membesarkan saya?".

Tidak hairan jika masyarakat kita pada hari ini mengabaikan anak-anak mereka, mereka dididik untuk menjadi robot di kilang dan pejabat oleh sistem pendidikan, sebab itu hari-hari kita dengar universiti kita mencari formula "kebolehpasaran graduan", maka lahirlah masyarakat yang hebat di kilang dan pejabat tetapi anak-anak terbiar tanpa kasih sayang.

Ini adalah satu gap dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu kita perlu berusaha mengajari diri, membaca, berkursus, berdiskusi.

Selasa, 25 Jun 2019

Catatan Baitul Muslim 20: Kenapa Abi tak suka kakak?


"Kenapa Abi tak suka kakak?" tanya anakku kepada ibunya.

Aku pun tidak tahu mengapa, sukar benar untukku bersabar dengan karenah anakku yang kini sudah mencecah umur 4 tahun. Petang itu, pulang sahaja aku dari pejabat, aku terus membawanya ke klinik, selepas diperiksa doktor tiada apa yang serius, cuma tonsilnya bengkak. Doktor bungkuskan ubat demam dan antibiotik. Namun, sampai dirumah anakku tidak mahu makan walau puas dipujuk. Sabarku pun habis, aku mengambil keputusan untuk membuat hal sendiri. "Ah penatlah, malas nak melayannya" getus hatiku. Kerana tidak dilayan, akhirnya anakku menangis dan mencari ibunya.

Aku kagum dengan kesabaran isteriku, walaupun pipi dibasahi airmata, dia tetap juga berlembut memujuk anakku, sabarnya lebih panjang dariku. Begitulah kuasa Tuhan menciptakan seorang ibu dengan kesabaran yang begitu ajaib. Aku tidur awal, dengan harapan mimpi dapat memadamkan api kemarahan. Kami bersetuju, jika aku tidak dapat bersabar isteriku akan memujuk, jika dia tidak dapat sabar, aku perlu memujuk, kerana anak akhirnya perlu tempat untuk berpaut.

"Bukan Abi tak suka, bukan Abi marah. Tapi Abi susah hati, Abi risau sebab kakak tak sihat, tapi kakak tak mau makan ubat. Abi balik kerja penat-penat terus bawa kakak jumpa doktor sebab Abi sayang kakak, Abi nak kakak cepat sihat. Jadi kakak kena la makan ubat" pujuk isteriku sepanjang malam.

Keesokan paginya anakku tidak ke sekolah, masih muntah-muntah dan tinggal bersama neneknya sementara kami bekerja.

"Maaf tidak dapat bersabar semalam, entah kenapa susah nak bersabar dengan perangainya semalam. Abang tak layan dia sebab takut kalau terlepas marah tertengking, jadi elok diam sahaja." ujarku pada isteri keesokan pagi.

Biasanya kami akan berbincang semula apabila situasi sebegini terjadi. Sebagai ibubapa muda, ia adalah medan untuk kami belajar dan saling menasihati dalam selok belok menjadi ibubapa. Aku hormati isteriku, sering dalam situasi seperti ini kesabaran dan nasihat beliau sangat berharga. Ya, ego lelaki itu tinggi, tetapi anak itu amanah bersama, jadi masing-masing mempunyai hak menyuarakan pandangan tentang bagaimana merangka strategi membesarkan anak. Bapa selalunya memilih ketegasan, manakala ibu memilih kelembutan dan kasih sayang.

"Kita kena tetap cuba bersabar, sebab mereka masih kecil dan tidak mengerti. Saya faham kadang-kadang kita susah nak kawal amarah dan emosi, kita kena cuba bersama-sama, dan jangan sebut perkataan yang menguris hatinya, kerana walaupun kecil dia ada perasaan, kesannya adalah di masa hadapan, kadang-kadang dia hanya nak bermanja dan sangat sensetif dengan kata-kata kita. Kita saling memerlukan kekuatan untuk mendidik anak-anak" panjang nasihat isteriku pagi itu. Sedikit sebanyak aku berasa bersalah kerana terlalu mengikut emosi dan pendek kesabaran. Seorang bapa perlu belajar merendahkan egonya dan menghulur kasih-sayang disaat hati sedang terbakar dek amarah.

Benarlah mendidik anak bukan semudah menghabiskan pembacaan sebuah buku. Tidak seindah bait-bait puisi. Ia menuntut kesabaran, perasaan, peluh, dan airmata. Khatam sejuta kitab dengan isi-isi teorinya belum tentu dapat menjamin kita berjaya mendidik seorang anak. Moga-moga satu hari nanti kakak faham bahawa umi dan abi marah dan bertegas semuanya untuk kebaikan anak-anak. 


Ahad, 21 April 2019

Catatan Baitul Muslim 19: Muhasabah dari kenyataan Asiah


“Saya cakap terang-terang kat encik suami, dalam bab rumah tangga, jangan jadikan Nabi sebagai contoh. Saya tidak kepingin karakter suami sebegitu. Banyak yang Nabi buat terhadap isteri-isteri baginda, saya tidak setuju dan saya tidak suka. Contohnya, Nabi senang-lenang beribadah di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sesuatu yang pak lebai tabligh contohi dan amalkan hingga kini, nak beribadah tanpa gangguan katanya. Nabi berkahwin lain dengan isteri baru tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda yang sedia ada. Sebab tu lelaki Muslim yang acah-acah nak mencontohi sunnah poligami, mereka juga mencontohi muslihat kahwin senyap-senyap di belakang isteri ini. Nabi bila pening kepala dengan kerenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadap isteri-isteri yang bermasalah. Rujuk awal surah At-Tahrim. Sebab tu lelaki Muslim sampai sekarang guna kuasa talak untuk mendapatkan ketaatan dan kepatuhan isteri. Saya tidak sesabar isteri-isteri Nabi. Saya juga tak ingin nak kejar syurga melalui tapak kaki suami. Sampai bila-bila saya takkan boleh "bersuamikan seorang Nabi". Jadi tak perlulah encik suami berubah menjadi Nabi. Confirm saya akan walk away nanti.” tulis Asiah di Facebook pada 15 April 2019.

Ramai cendiakawan Islam, pak Ustaz, pakar hadis, agamawan, dan ilmuan tampil menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh kenyataan Asiah. Ada yang sedikit tegas bunyinya ada yang bernada ingin berdialog. Itu harus dipuji, begitulah tanggung jawab mereka dalam merungkai kekeliruan masyarakat.

Sememangnya kenyataan Asiah itu mengguris hati orang yang mengaku muslim dan mencintai nabi mereka. Jadi tidaklah janggal keimanan mereka membuahkan perasaan sedih dan kecewa dengan kenyataan itu. Kita bersetuju penafsiran seerah nabi itu harus diperbetulkan dan dijelaskan pemahamannya yang sebenar. Namun pada hemat saya ia tidak boleh terhenti disitu tetapi pergi lebih jauh.

Kritik Asiah terhadap sikap suami muslim yang mengabaikan tanggung jawab terhadap anak dan isteri itu perlu muhasabah yang dalam serta tindakan lanjut. Suami-suami muslim perlu bermuhasabah tentang sejauh mana dia telah mengambil tanggung jawab dalam keluarga, terutamanya dalam menguruskan anak-anak. Seharusnya suami muslim meringankan beban isteri mereka dengan melengkapkan diri dengan kemahiran menjaga anak, memujuk anak menangis, bermain dengan anak kecil, menyusukan anak, menidurkan anak dan seterusnya.

Perkara ini perlu ditekankan hingga kepada bakal-bakal suami muslim, agar isteri-isteri muslim berasa bahagia. Kerana realiti kehidupan hari ini memaksa kedua pasangan bekerja, mereka perlu belajar berkongsi beban. Suami muslim perlu sedar sekiranya mereka tidak bertanggungjawab, mengabaikan keluarga dan anak-anak, mereka adalah fitnah buat Islam.

Juga muhasabah dan tindakan ini perlu dipanjangkan pada persoalan hukum dan undang-undang syariah. Agar kes penceraian dan tuntutan nafkah dipercepatkan supaya tiada muslimah yang merasakan diri mereka teraniaya dengan sistem syariah. Kita perlu melihat lebih jauh dan dalam pada isu ini, bukan sekadar menyalahkan tetapi melihat peranan dan tanggung jawab kita. Seharusnya kita berkerja agar setiap isteri muslim itu bahagia, dan melihat pada struktur sistem yang ada agar tiada yang teraniaya.


Saya lihat ramai yang mengutuk dan mencaci. Mencaci gelap itu mudah. Namun untuk mendapat terang, tidak cukup kita mencaci gelap, kita perlu menyalakan lilin.

Ahad, 14 April 2019

Catatan Baitul Muslim 18: Dengan sebesar dunia pun tidak bisa



Saya teringat satu perbincangan saya dengan Kathrine Lim (bukan nama sebenar) dalam satu mesyuarat bagi penganjuran satu program kesenian di pejabat. Setelah semua perkara habis dibincangkan, Kat bertanya kepada saya.

"Berapa umur anak awak?"

Yang kedua empat bulan dan yang pertama empat tahun jawab saya. Kat sedikit terkejut, kerana dengan usia yang begitu muda saya mempunyai dua orang anak. Kat menceritakan bahawa dia dan suaminya tidak mahu mempunyai anak, kerana ia satu beban yang besar dan dia tak rasa dia mampu. Namun beban tersebut bukan beban keewangan, lebih kepada beban penjagaan, mereka mampu dari segi wang, tapi lebih gemar menggunakan duit untuk bercuti bersama di luar negara.

"Saya dah 40-an. Is it too late? Mesti awak nak kata saya akan menyesal di hari tua."

"Life start at fourty" jawab saya sedikit berjenaka. Saya katakan bahawa setiap orang mempunyai pilihan masing-masing. Saya tak tahu kecenderungan orang lain dan tak tahu sama ada dia akan menyesal di hari tua atau tidak.

Sebab saya tak pandai sangat bercakap (saya lebih selesa menulis dari bercakap), saya cadangkan dia membaca buku Tuesday with Morrie. Kerana saya rasa banyak nasihat yang baik tentang keluarga dan anak-anak dalam buku tersebut.

Tapi jika saya diberi peluang semula untuk memberi nasihat.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa bahagia dan gembiranya apabila mendengar suara anak menjerit kegembiraan menyambut kepulangan kita dari kerja, segala penat lelah dan kerungsingan hilang sebentar melihat wajah ceria mereka memeluk kaki kita kegembiraan. “Abi dah balik!”.

Saya akan katakan, ya, anak-anak memang mengambil masa dan tenaga kita. Kadang kita penat mereka ajak bermain, kita nak tidur dia ajak kita baca buku, dompet tertinggal tapi dia suruh kita beli belon, kita suruh pakai baju merah dia nak pakai baju biru, dan bermacam lagi kisah suka, duka, dan kelakar bersama anak-anak.

Tapi selepas semua masa dan tenaga kita habis. Dan mereka pun akhirnya tertidur. Kita melihat dan merenung wajah mereka yang bersih tidur dengan tenang, kita pun diselubungi tenang, kita kucup pipi mereka tanda selamat malam, dan kita merasa bahagia.

Kita tidak dapat menukar ganti perasaan bahagia itu, dengan sebesar dunia pun tidak bisa.

Isnin, 10 Disember 2018

Catatan Baitul Muslim 17: Pendidikan kebahagiaan



Sekitar Disember 2018 saya berpeluang menziarahi sebuah madrasah di kaki gunung di Pahang yang diusahakan oleh jemaah tabligh. Madrasah ini jauh dari hiruk pikuk kemodenan. Pelajar tidak dibenarkan membawa talifon bimbit. Komik dan novel jika dijumpai akan dibakar. Wang saku pun tidak boleh dibawa!

Melihat anak-anak riang di sini saya teringat sebuah dialog dalam komik yang dilukis Nick Seluk:

Brain: If you can choose to be one person in this world, who would it be?
Heart: I want to be that squirrel.
Brain: You could choose to be Picasso, Einstein, Mandela, instead you choose to be a squirrel?
Heart: That squirrel seems genuinely happy.

Mungkin bagi sesetengah orang anak-anak perlu cepat menghabiskan silibus, perlu cemerlang akademik agar dapat masuk ke pasaran kerja berteknologi tinggi. Akhirnya yang lahir adalah robot yang berfungsi menghasilkan produk bagi memenuhi kehendak industri.

Kehendak industri tidak semestinya selari dengan naluri kehendak manusia. Sebab itu kita baca ada orang yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya hebat, akhirnya jatuh ke alam depresi. Hidup tidak ada tujuan dan matlamat. Akhirnya mereka sedar dunia material objektif tidak dapat memberi kebahagiaan yang subjektif.

Anak-anak ini hidup 100 peratus di dunia sebenar, mereka tiada kehidupan virtual dan digital. Mereka berkawan dengan manusia sebenar, mereka bersembang dan mendengar kata-kata, berkomunikasi dengan intonasi dan suara. Mereka mempunyai karakter dan kemahiran sosial. Dapat berinteraksi dan memahami emosi.

Saya tertarik membaca bagaimana para ahli teknologi di Silicon Valley sendiri pon menghantar anak-anak mereka di sekolah di desa yang masih menggunakan sistem analog, papan hitam dan kapur. Kerana algoritma mempunyai limitasi, mereka mungkin boleh menghasilkan robot yang sempurna, tapi bukan manusia yang sempurna.

Akhir sekali, semua manusia akan cuba mencari bahagia.


Ahad, 18 November 2018

Catatan Baitul Muslim 16: Bina keluarga dengan ilmu



Sekitar bulan November 2018 saya berkesempatan menghadiri Konvensyen Belia Relawan Haluan (KOBAR) Zon Utara 2018. Konvensyen yang berlangsung selama satu hari ini diisi dengan pelbagai topik menarik seperti cara menguruskan gajet dalam keluarga, kesukarelawanan, misi kemanusiaan, dan juga topik kekeluargaan.

Antara slot yang saya kira paling diingati adalah forum berkenaan dengan kekeluargaan yang bertajuk "Bercinta di dunia, bertemukah di syurga?". Pada mulanya persepsi saya adalah forum ini pastinya berkisar dengan percintaan klise yang penuh dengan ayat berbunga disulami kejiwangan. Ternyata persepsi saya salah. Forum ini dibarisi Puan Fatimah Azzahra Azmi, seorang peguam, dan Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff, seorang pengetua sekolah. Forum tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Anas Mokhtar, seorang ustaz selebriti terkenal.

Pelbagai isu dikupas dengan real, seperti tanggungjawab suami isteri, kes-kes penceraian di Malaysia, juga teknik-teknik mengendalikan konflik dalam rumahtangga. Juga diselang selikan dengan kisah-kisah dari seerah yang sememangnya memberi satu perasaan keinsafan dan keinginan untuk memperbaiki rumah tangga. Saya tertarik dengan perkongsian yang diberikan oleh Ustaz Muhtad, dimana beliau menyebut:

"Suami apabila pulang ke rumah perlu menjadi seperti kanak-kanak, apabila keluar dari rumah dia perlu menjadi seorang lelaki yang sejati."

Beliau mengulas bahawa seorang suami yang juga merupakan seorang ayah perlulah meluangkan masa bermain bersama anak-anak, bukan melepaskan terus tanggungjawab bermain dengan anak-anak kepada isteri. Malah sebagai bapa seharusnya bermain dengan serius sehingga menjadi seperti 'kanak-kanak' dalam menghargai anak-anak. Bapa yang baik tidak kekok bermain bersama anak-anak malah anak-anak tidak kekok bermain dengan bapanya.

Saya kira perkara ini penting terutamanya kepada anak pertama pada ketika dia belum mempunyai adik. Ibubapalah yang perlu menjadi rakan sepermainan, dan bukan dilepaskan kepada talifon bimbit bagi mengisi masa bermain anak-anak. Bermain bersama anak-anak juga merupakan salah satu method awal mentarbiyah anak.

Dalam forum tersebut juga, panelis ada menyebut bahawa kita di Malaysia tidak disediakan pendidikan kekeluargaan. Kita tiada subjek yang memberi pendedahan berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab suami atau isteri semasa PMR, PT3 atau SPM. Hatta di universiti sekalipun kita tidak mengikuti kursus pengurusan keluarga. Dengan generasi yang tidak dididik berkenaan soal mengurus keluarga, bagaimana kita hendak mengharap lahir institusi keluarga yang baik dan berfungsi? Dengan magik? Tentulah tidak.

Disini forum tersebut menyimpulkan bahawa pentingnya bakal suami, bakal isteri, bakal ibu, dan bakal ayah, menyiapkan diri dengan ilmu. Membaca buku, menghadiri kursus dan seminar, agar keluarga yang dibina adalah keluarga yang berfungsi dan didasari ilmu.