Saya
masih ingat ketika mula berkahwin, antara janji saya pada diri sendiri adalah
menerima isteri. Terima bukan sahaja apa yang baik, yang disukai, yang sesuai,
tetapi menerima juga yang tidak baik, tidak cocok atau tidak sesuai. Kerana
seperti manusia-manusia lain, isteri punya baik dan buruk, sama seperti suami,
manusia yang punya baik dan buruk. Seperti yang dikalamkan Tuhan, manusia
dikurniakan "fujur" dan "thaqwa".
Kenapa
penting berjanji pada diri? Kerana cinta itu perasaan, ia bersifat datang dan
pergi. Ia mungkin kuat dipermulaan tetapi bisa hilang di tengahari. Ia
bersinggahsana di hati, yang selalunya berbolak-balik. Tetapi kalaupun perasaan
itu hilang, janji akan terus kekal. Ia tanggungjawab saat kita menerima akad,
kekal harapnya hingga ke hujung hayat. Maka tika marah kita bertanggungjawab,
ketika sedih kita bertanggungjawab, ketika bahagia kita bertanggungjawab. Kekal
janji itu sebagai tali.
Dan
hidup, hidup itu kadang kita rasa seperti anugerah, kadang kita merasa ia perit
persis satu sumpah. Apa guna suami jika dia tidak menjadi penyambung nyawa buat
isteri, penyejuk hati saat dia marah, penguat hati saat dia kalah, pemberi
senyum saat dia gundah. Sama-sama hidup di saat mewah, juga kekal bersama saat
yang tinggal hanya kuah.
Tugas
suami bukan hanya memetik nikmat ketika dia berminat, namun hilang ketika hidup
terasa berat dan penat. Haruslah dia setia melukis bahagia, walaupun dihalang
seluruh dunia, setia bersama hingga takdir mengambil nyawa. Pasti ada saat-saat
yang gawat, ada saat suhunya tinggi, kata-katanya marah, matanya pasrah. Pada
ketika itu bukalah semula naskah-naskah janji, bukankah sumpah kalian berbunyi
setia ketika diuji? Sekuat mana pun ribut, ia akan berlalu. Sekelam mana pun
malam, akan tiba pagi yang baru. Segelap manapun gerhana, mentari akan bersinar
semula. Ketika semuanya sudah kembali, kita akan merasakan nikmat dan manisnya
setia.
Dan
itu, itulah maknanya cinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan