Buku 'Berfikir tentang pemikiran' merupakan buku pertama yang saya terbitkan bersama syarikat Independent
Insight. Saya cetak sedikit sahaja sebab tak berani nak cetak banyak, tak habis
nanti nak buat apa? Ia merupakan dilema yang selalu mengeluti
penerbit-penerbit kecil dan indie, yang tidak mempunyai modal yang besar juga
capaian pemasaran yang luas. Berjaya menjual 100 naskah pun merupakan satu
kejayaan yang besar buat penerbit kecil.
Saya masih teringat nasihat
sahabat saya Najmi Abd Rahim, dia usahakan syarikat percetakan. Ketika saya
menghantar manuskrip untuk cetakan dia nasihatkan "Aku dah baca, boleh
jual ni, cetak la seratus". Tapi saya tetap tak berani, jadi saya cetak
hanya 50. Alhamdulillah, sebulan sahaja habis semua, saya hanya tulis di
Facebook sahaja, itu pun bukanlah promosi pun, sekadar memberi tahu buku saya
telah siap ditulis. Malah kawan-kawan saya di pejabat juga membeli, baik kawan
Melayu mahupun kawan-kawan Cina, India, Singh dan lain-lain.
Lega, saya pun malas hendak mencetak
lagi. Kemudian, tidak lama selepas itu sahabat saya Izzat Ibrahim mengajak saya
menyertai beliau untuk menjual buku di Pesta Buku KL 2018. Saya pun fikir, ada
ke orang nak beli? Beliau tak putus asa terus mengajak saya. Akhirnya saya
cetak lagi 50. Itu pengalaman pertama dalam hidup pergi PBAKL jual buku, selama
ni pergi beli buku sahaja. Kami dapat menyewa reruai yang murah dan dikongsi
dengan syarikat penerbitan lain. Ramai juga yang membeli pada masa itu, ada
cikgu, ada adik-adik sekolah, mahasiswa, yang paling kelakar mungkin ada
seorang wartawan FMT datang booth kami dan beli buku. Ada juga orang-orang yang
saya pun tak tahu muncul dari mana. Alhamdulillah habis. Lega sekali lagi.
Tapi selepas itu masih ada
sahabat-sahabat yang masih bertanya. Ada yang istiqamah tanya hampir setiap
bulan. Saya pun fikir, apa guna tulis buku kalau orang yang nak baca tak dapat
beli dan baca. Saya ambil keputusan untuk cetak lagi buat kali yang ketiga,
kali ini hanya 30 naskah. Sebab kali ini, saya sudah mempunyai orang yang
order, tidak sampai sebulan juga buku-buku ini hampir habis terjual, yang
berbaki juga semua sudah ditempah orang.
Semasa saya mencetak buku kali
ke-3 pada Disember 2019, saya bersama rakan-rakan menerbitkan antologi puisi ‘Maka Kitab Itu Pun Menyanyi’. Antologi ini kami cetak sebanyak 150 naskah, jadi
setiap penulis mempunyai 50 naskah untuk dijual. Tolak 5 naskah wajib untuk serahan pada Perpustakaan Negara Malaysia, saya mempunyai 45 naskah. Antologi
puisi ini nipis sahaja jika dibandingkan dengan buku pertama saya, kurang 100
mukasurat. Setelah beberapa bulan, ditangan saya tinggal kurang dari 5 naskah
yang tinggal.
Cabaran kami untuk menerbitkan
buku adalah mencari pencetak yang sesuai. Ada pencetak yang memberi harga
murah, tapi tidak berkualiti. Semasa ingin mencetak antologi puisi, kami
berhadapan dengan cabaran pencetak yang mempunyai servis yang buruk. Selepas
membayar deposit, kami dijanjikan dengan jangka masa dua minggu untuk pesanan
kami siap dicetak. Hampir dua bulan kami menunggu. Hampir setiap minggu
pencetak memberi alasan yang pelbagai, vendor bermasalah, kemudian kata sudah
siap tapi belum boleh bagi, alasan kononnya berada di luar negara. Akhirnya kami
tuntut semula deposit atau kami membuat tuntutan undang-undang. Akhirnya kami
dapat deposit kami semula dan mencari pencetak lain.
Bila saya renung-renungkan
semula, ada keseronokan menerbitkan dan menjual buku-buku sendiri. Namun jika
dibandingkan, saya lebih suka menulis dari menjual. Sebab itu ketika Muzamel
bertanya mengapa ingin segera menerbitkan naskah antologi, saya katakan bahawa
saya ingin segera meninggalkan buku ini dibelakang agar saya boleh fokus
menulis buku seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan