Sahabat
saya, Rayer yang menetap di New Zealand menghubungi saya beberapa hari lepas.
Terkejut juga saya, sudah lama terputus hubungan tiba-tiba menjelma. Rayer
merupakan orang Melayu yang berkerja sebagai akauntan di sana. Beliau bertanya
sama ada saya akan pergi singgah ke jualan gudang Utusan. Walaupun merantau
jauh di negara orang, mungkin akar nasionalis beliau masih setia di sini,
beliau masih cakna dengan isu-isu yang mengeluti Malaysia.
Kebetulan
saya memang hendak ke Kuala Lumpur menziarahi ibu dan ayah. Beliau memberi saya
RM240 untuk dihabiskan di jualan gudang untuknya. Saya bertanya nak beli buku
apa? Katanya taste pembacaan beliau sama dengan saya, beliau cenderung dengan
genre sejarah, politik, falsafah dan sebagainya, jadi dia serahkan urusan
memilih buku pada saya.
Saya
bertanya kepada pihak Utusan berkenaan dengan waktu perniagaan, mereka kata
dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Jadi pada hari kejadian saya singgah di Big
Bad Wolf (BBW) dahulu di The Mines, kerana saya keluar awal pagi dan BBW buka
24 jam. Isteri saya mahu membelikan buku untuk anak-anak.
Seperti
biasa apabila pergi ke pameran buku, ketika melihat-lihat buku, isteri saya
akan memandang saya, tersenyum, dan mengusik "Mana buku 'Berfikir Tentang Pemikiran'?".
Saya gelak kecil, namun hati bergumam, buku rare dan underground mana boleh
jual di pasaran terbuka, tidak mahu kalah.
Saya
bersetuju dengan tulisan Komrad Benz Ali, apabila buku dijual dengan terlampau
murah, buku tersebut seolah-olah hilang nilai dan 'harga diri' nya. Orang beli
sebab murah, bukan kerana rasa ingin tahu, ingin membaca, atau ingin mendalami
sesuatu idea. Buku menjadi seolah-olah satu komoditi, bukan lagi bahan intelek.
Ia wujud sebagai beban kepada penerbit yang ingin menghabiskannya segera.
Mungkin
itu merupakan salah satu sebab saya masih membeli buku di Kinokuniya, walaupun
sesetengah orang mengatakan buku disana harga 'kapitalis'. Kerana bagi saya,
buku yang berharga memang perlu ada ‘harga’. Kawan saya, Lee Kuang Juan sering
sahaja menawarkan e-book percuma pada saya, katanya buat apa membazir beli buku
fizikal, dia boleh tolong download secara percuma untuk saya. Tapi saya menolak
setiap kali, saya tak rasa rugi membeli buku fizikal jika saya rasa buku
tersebut benar-benar menarik minat saya. Dalam masa yang sama, saya menyokong
penulis asal.
Saya
sempat menyelit buku perihal perang Vietnam yang ditulis oleh Nigel Cawthorne
dan buku perihal anak perempuan Stalin karangan Rosemary Sullivan di celahan
pembelian buku anak-anak. Selesai membayar kami ke Taman Shamelin Perkasa.
Sampai
ke gudang Utusan, suasananya sangat menyedihkan. Dengan buku yang berteraburan
dan keadaan gudang yang gelap. Buku yang sudah dibelek tidak disusun semula,
malah setiap buku tiada tanda harga. Tapi tidak boleh salahkan mereka juga,
mungkin sudah tiada pekerja tetap yang mampu mengurus.
Saya
pun mula mengumpulkan buku sesuai dengan kehendak saya, buku berkenaan dengan
politik, tokoh, juga ada satu buku tafsir seingat saya. Saya tidak menggemari
novel, namun saya dapati banyak novel yang diterbitkan. Saya kumpul buku sampai
tak cukup tangan, bubuh dalam beg sandang juga terasa berat. Antara buku yang
saya sempat kutip adalah Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu oleh Ahmad Jelani,
Kepimpinan dan Perjuangan Pemuda Umno oleh Zin Mahmud et al., Malaysia’s New
Economic Policy: An Overview yang disunting oleh Mukhriz Mahathir dan Khairy
Jamaluddin, dan banyak lagi.
Saya
perhatikan banyak juga buku perihal jahitan, gubahan, resepi yang saya kira
terlalu spesifik dan niche. Saya tak dapat tahan dari bertanya, mengapa buku
seperti ini dicetak secara mass production? Saya tak fikir oranng awam akan
membelinya, kecuali jika sesorang itu memang berminat, atau seseorang itu ada
kelas jahitan contohnya. Sepatutnya buku seperti ini dicetak base on demand.
Seperti jurnal-jurnal berimpak maksima di menara universiti, ia perlu dicetak
dan disimpan dalam perpustakaan, tetapi jarang hingga hampir mustahil akan
dibaca oleh masharakat awam.
Banyak
juga buku yang saya lihat design kulitnya seperti dibuat menggunakan template
Microsoft PowerPoint era 90-an, tiada nilai estetika. Ya betul, isi buku yang
penting, tapi dalam pasaran buku yang mencabar, kulit yang menarik merupakan
senjata utama dan pertama untuk menarik pembaca memegang dan menyelak isi buku.
Juga buku-buku gambar, yang bagi saya secara personal bukan 'buku', tetapi
lebih kepada bahan pameran. Saya juga pelik, buku seperti ini juga patutnya
dicetak berdasarkan permintaan.
Namun,
apa pun kesilapan itu, patut kita lihat dalam rangka untuk pembaikan akan
datang, terutama sekali bagi mereka dalam industri pembukuan. Kedatangan ramai
rakyat Malaysia ke gudang Utusan sedikit sebanyak menggembirakan hati. Apa pun
perbezaan politik, masih ramai yang datang membeli, tanda sokongan terhadap satu
wadah penerbitan yang antara tertua dan banyak menyumbang pada pembinaan negara
ini.
Saya
akhirnya sampai ke kaunter bayaran. Sekotak buku yang saya kumpul hanya
bernilai RM79. Saya tanya Rayer sama ada dia mahu buku resepi masakan? Katanya
tak mahu. Saya pun lega kerana tidak perlu pusing sekali lagi, sekadar
memulangkan baki wang pada Rayer.
Semoga
industri buku terus subur di Malaysia, dalam masa yang sama menyuburkan intelek
manusia-manusia di dalam negara tercinta ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan