Setiap
orang mempunyai cerita mereka tersendiri. Mereka diberi Tuhan dua pilihan.
Pertama, menyimpan cerita tersebut. Kedua, menulis cerita tersebut. Jika mereka
memilih pilihan yang pertama, cerita mereka akan mati dikafankan bersama mayat
mereka, ditanam dan tidak akan diketahui generasi kemudian. Jika mereka memilih
pilihan kedua, maka generasi akan datang mempunyai peluang untuk mengetahui
cerita mereka.
Setiap
cerita itu mungkin signifikan, mungkin tidak, ramai yang merasakan tiada apa
istemewanya tentang kehidupan mereka, tiada apa yang perlu ditulis buat generasi
seterusnya. Tetapi sebenarnya bukan penulis yang perlu menjadi juri dan
hakimnya, biarlah tugas itu ditentukan pembaca dan generasi akan datang, ketika
mereka membuka semula sejarah dan cerita lalu.
Begitulah
sebenarnya sabda nabi, ketika benih berada ditanganmu saat esok merupakan hari
terakhir dunia, tugasmu adalah menanam benih itu. Nabi menyabdakan bahawa tugas
kerdil manusia adalah usaha. Jadi tika hidup dan cerita berada di tanganmu,
maka tugas kamu adalah menulisnya.
Saya
menulis bermula dari suatu masa yang saya sendiri tidak memahami apa itu
penulisan, apa tujuannya, apa kesannya. Dalam perjalanan penulisan saya temui
pelbagai ragam manusia. Ada yang berterima kasih, kerana dapat mengaitkan perasaan
mereka dengan penulisan saya. Ada juga yang menegah, siapa awak hendak menulis
dan mentafsir, awak bukan doktor falsafah. Jika doktor falsafah adalah syarat
manusia untuk menulis, nescaya dunia yang kita hidup pada hari ini akan lebih
miskin dengan karya, sedangkan falsafah itu sendiri bermula dari manusia yang
tidak punya gelaran doktor falsafah.
Maka
menulislah! Turunkan tinta, biar kata-kata berbicara. Persetankan tegahan dari mereka yang mahu manusia semua berlindung di dalam gua yang selesa. Pergi
kembara dan meneroka, lihatlah dunia yang dicipta Sang Pencipta, dan apabila
sudah terkumpul cerita, perlu kita semua bertinta.
Tetapi
tinta sahaja tidak mencukupi tanpa membaca. Menulis dan membaca merupakan dua
sayap yang sama pentingnya untuk menerbangkan idea. Apabila banyak membaca kita
akan merasa kita perlu banyak menulis, dan ketika kita menulis kita akan
merasakan bahawa kita perlu banyak membaca. Dengan dua sayap ini kita dapat
membebaskan minda dan jiwa, kita akan sedih dan gembira, kita akan menangis dan
tertawa, kita akan tersenyum bila tiba masa menutup mata.
Maka
terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang membaca blog peribadi saya ini. Ia
ditulis oleh manusia, pastilah ada cacat dan cela disini sana. Jika terjumpa
celanya harap di kritik kemudian dimaafkan kekhilafannya. Jika terjumpa baiknya
harap disimpan kemudian disebarkan pada dunia.
Sebelum
saya pulang bertemu Tuhan, biarlah kata-kata ini tertinggal dan ditinggalkan di
dunia. Selamat membaca!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan